Search This Blog

Friday, May 11, 2012

Polis tahan 2 perompak lari dengan lori

Berita Harian Online | Polis tahan 2 perompak lari dengan lori:
JOHOR BAHRU: Polis berjaya menahan dua perompak selepas mengejar mereka sejauh lapan kilometer di Taman Mutiara Rini di sini pada 3.30 petang semalam. 

Lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 34 tahun dan dalam keadaan khayal, melarikan diri dengan menggunakan lori satu tan selepas cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Nusa Bestari.


Ketua polis Daerah Nusajaya, Supt Noor Hashim Mohamed, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik rumah dan memaklumkan kepada semua kereta peronda sejurus kemudian.


"Dalam masa setengah jam, sebuah kereta peronda berjaya mengesan lori itu di Jalan Bakti, Taman Mutiara Rini dan mengejarnya," katanya di sini hari ini. 

Polis menemui sebuah televisyen LCD, sebuah alat menghisap dadah, sebuah komputer riba, parang, pisau pemotong daging, pemotong wayar dan besi tuil. 

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memecah masuk sebuah rumah lain sebelum cuba memecah masuk ke rumah tersebut," katanya sambil menambah suspek didapati positif heroin. 

Noor Hashim berkata, pihaknya percaya suspek adalah kumpulan perompak yang mula aktif di kawasan Nusajaya semenjak empat bulan lalu dan ada sembilan kes yang dipercayai ada kaitan dengan mereka. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh. - BERNAMA
'via Blog this'

Warga emas maut terjatuh dari tingkat tiga Hospital Pulau Pinang

myMetro | Warga emas maut terjatuh dari tingkat tiga Hospital Pulau Pinang:

GEORGETOWN: Seorang lelaki warga emas yang baru seminggu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat tiga hospital itu di sini hari ini.
Pada kejadian pukul 1 tengah hari itu, lelaki terbabit, R. Tanchavarnam, 68, dimasukkan ke wad hospital itu selepas disyaki menghidap penyakit batuk kering. 
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata lelaki terbabit sebelum itu dikatakan mengadu kepada beberapa orang jururawat dan doktor bahawa dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat penyakit yang dialaminya.

"Seorang jururawat telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berhubung penemuan mayat itu," katanya.

Gan berkata ini adalah kes pertama seumpamanya berlaku di hospital itu.

Beliau berkata siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, dan mayat lelaki terbabit dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat. - BERNAMA

'via Blog this'

Kumpulan Samun Geng Puru Tumpas

mStar Online : Kumpulan Samun Geng Puru Tumpas:


KLANG: Polis percaya telah berjaya menyelesaikan lima kes samun dan pecah rumah di sekitar Klang dengan tertangkapnya tiga lelaki anggota Geng Puru pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop memberitahu sidang media hari ini, ketiga-tiga lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun itu ditahan di Jalan Tepi Sungai Klang pada pukul 9.20 malam.
Tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Team D9 dan Pecah Rumah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dalam operasi Samun, Rentap/Kesan susulan aduan orang awam bahawa suspek memecah masuk dan cuba menyamun sebuah rumah di Taman Gembira, Solok Nilam Teluk Gadung di sini.
Suspek itu dilaporkan menaiki sebuah kereta Perodua Kenari dengan nombor pendaftaran WLY 1817 dan pasukan polis kemudian mengesan kereta berkenaan dan mengekorinya sehingga Jalan Tepi Sungai, di sini sebelum memberkas mereka, katanya.
Beliau berkata semakan chasis ke atas Perodua Kenari itu mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan merupakan kenderaan yang disamun dalam satu kejadian di Klang sebelum ini. Polis, katanya menemui tiga parang, sebilah pisau, sebatang cangkul, dua topeng ski, dua pasang sarung tangan, pelbagai peralatan pecah rumah, empat telefon bimbit, sebuah televisyen 42 inci Samsung, sebuah tabung wang syiling, dua periuk aluminium untuk upacara sembahyang, tiga topi keledar, dua pelbagai kunci kereta, dua kuku kambing, dan satu pemotong dawai di dalam kereta itu.
Hasil soal siasatan lanjut, polis menemui sebuah kereta Perodua Kancil berwarna biru dengan nombor pendaftaran palsu WNS 4745 di Taman Bertek di sini, kata Mohamad.Beliau berkata kereta itu yang nombor pendaftaran asalnya ialah BGS 459, dilaporkan hilang sebelum ini di Klang.
Polis juga menemui tiga lagi telefon dan dua kunci kereta Perodua di bilik 207 Hotel Taipan yang dipercayai digunakan oleh salah seorang suspek dikenali sebagai Puru, yang merupakan ketua kumpulan ini.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek mempunyai kes jenayah lampau daripada kes curi kenderaan, samun, bunuh dan mencederakan orang dan mereka pernah ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor. "Mereka ini juga didapati positif dadah (ujian air kencing)," katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan reman selama lima hari mulai semalam dan ke disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Mereka ini dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah di sekitar Klang dalam sebulan ini dan menggunakan topeng ski atau topi keledar semasa menyamun untuk mengelak muka mereka dicam mangsa serta menggunakan sarung tangan untuk mengelak cap jari mereka dikesan, katanya. -BERNAMA

'via Blog this'

Serbuan Di Gereja Dibuat Selepas Ada Bukti Wujud Program Kristianisasi

mStar Online : Serbuan Di Gereja Dibuat Selepas Ada Bukti Wujud Program Kristianisasi:


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama 3 Ogos tahun lepas dilakukan selepas siasatan yang dijalankan mendapati wujud program berunsur kristianisasi ke atas orang Islam di gereja itu.
Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin berkata siasatan selama tujuh bulan dilakukan bahagian kajian dan pembangunan jabatan itu sebelum kes tersebut diserah kepada bahagian penguatkuasaan untuk tindakan lanjut.
Saksi itu berkata beliau hanya mengetahui tentang serbuan itu pada keesokan harinya selepas dimaklumkan Penolong Ketua Pengarah Penguatkuasa Jais, Mohd Rais.
Ditanya peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun sama ada Jais membuat laporan mengenai serbuan terserbut kepada exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam ketika itu, Marzuki berkata pihaknya ada berbuat demikian.
Beliau juga berkata Umno tidak disebut dalam laporan itu.
Marzuki memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes saman RM10 juta Umno terhadap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan tiga lagi berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang memfailkan saman itu 14 Sept tahun lepas, menamakan Mustafa, pencetak akhbar Harakah iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, penyunting akhbar berkenaan Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Harakah Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.
Antara lain, Mohd Zin mendakwa Mustafa, ketika ditemu bual Khairul Azlam pada 15 Ogos 2011, memfitnah Umno berhubung operasi serbuan Jais di gereja itu dan kenyataan Setiausaha Agung Pas itu diterbitkan dalam sebuah artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi Jais' di halaman kedua Harakah bertarikh 19-21 Ogos 2011.
Ketika disoal peguam Mohd Asmuni Awi, yang mewakili Mustafa, sama ada beliau mengetahui gereja mana yang terlibat dalam program kristianisasi, Marzuki berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu. Kepada soalan peguam Zulhazmi Shariff, yang mewakili Angkatan Edaran, sama ada pegawai Jais terlibat dalam mana-mana parti politik, saksi itu menjawab setahu beliau tidak ada.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam parti politik, Marzuki menjawab beliau adalah ahli Umno.
Bagaimanapun, saksi itu berkata statusnya sebagai ahli Umno tidak mempunyai kaitan dengan serbuan Jais di gereja tersebut kerana beliau menjalankan tugas sebagai pengarah Jais yang mengikut undang-undang. "Kami sebagai pegawai kerajaan bahagian pengurusan dan profesional, tidak dibenar aktif dalam politik dan tidak boleh memihak kepada mana-mana parti, serta mesti berkecuali. Kami tidak boleh pegang jawatan dalam mana-mana parti politik tetapi tiada halangan untuk kami sertai parti politik," katanya.
Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Zaki Husin disambung 14 Jun.-BERNAMA

'via Blog this'

Lelaki hilang di Taman Rimba Templer

Utusan Malaysia Online - Kota:

KUALA LUMPUR 10 Mei - Seorang eksekutif sebuah syarikat cari gali minyak dan gas tempatan dilaporkan hilang selepas keluar mendaki bukit di Hutan Taman Rimba Templer, Rawang, dekat sini, petang semalam.
Hardip Singh, 51, dipercayai hilang kira-kira 5.30 petang selepas memberitahu keluarganya ingin keluar mendaki bukit secara bersendirian.
Sepupu mangsa, Mohinder Singh, 43, berkata, keluarga Hardip membuat laporan di Balai Polis Selayang pagi tadi dan pasukan mencari dan menyelamat berusaha mengesan lelaki itu sejak 2.30 petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa.

'via Blog this'

Juruterbang mogok: Air India batalkan lebih 20 penerbangan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

NEW DELHI 11 Mei - Syarikat Penerbangan Air India semalam membatalkan lebih 20 penerbangan antarabangsa, selepas sekumpulan juruterbang melancarkan mogok selama tiga hari berturut-turut.
Syarikat penerbangan itu turut memberhentikan tempahan penerbangan jarak jauh termasuk ke Amerika Syarikat, Britain dan juga Eropah sehingga 15 Mei depan.
Menurut jurucakap syarikat penerbangan itu, tiga pelepasan penerbangan antarabangsa dari New Delhi dan lapan lagi dari Mumbai terpaksa dibatalkan, namun satu penerbangan telah dijadualkan semula. - dpa

'via Blog this'

Bas persiaran rempuh pokok: Pemandu maut

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

SEREMBAN 11 Mei - Seorang pemandu bas maut manakala 28 penumpang cedera apabila bas pesiaran yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Gadong Jaya berhampiran LBJ dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, pemandu berkenaan, K. Gunachandar, 52, mati akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan, manakala semua penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk menerima rawatan lanjut.
Menurut jurucakap polis, bas berkenaan sedang membawa penumpang dari Tampin menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hilang kawalan sebelum terbabas merempuh sebatang pokok.
“Semua penumpang dalam perjalanan ke KLIA untuk menaiki penerbangan ke Chiangmai, Thailand untuk bercuti.
“Seramai 21 penumpang dibenarkan pulang selepas diperiksa manakala tujuh lagi masih dirawat di wad biasa," katanya. - UTUSAN

'via Blog this'

Suami isteri ditahan, cuba tanam bayi hidup-hidup

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

NEW DELHI 11 Mei - Sepasang suami isteri ditahan polis dalam cubaan menanam bayi yang berusia sebulan setengah secara hidup-hidup di negeri Uttar Pradesh di utara India, lapor media tempatan.
Dalam kejadian yang berlaku pada malam kelmarin, seorang penjaga kubur mendengar tangisan bayi selepas melihat ibubapa cuba menanam bayi itu di sebuah kubur di bandar Pilakhuwa kira-kira 100 kilometer barat daya New Delhi.
Sementara itu, ibu bayi tersebut, berkata guru menasihatinya supaya menanam bayi tersebut bagi melindungi anak-anaknya yang lain daripada dijangkiti penyakit merbahaya. - dpa

'via Blog this'

Wanita kesal niat bongkar bayi didera disalah erti

Wanita kesal niat bongkar bayi didera disalah erti - Semasa - Sinar Harian:
PETALING JAYA - Niat untuk membongkar kejadian bayi didera oleh ibu kandung sendiri selama hampir tiga bulan menjadi episod malang apabila ia disalah erti oleh sesetengah pihak yang menganggap perakam video itu tidak berhati perut.

Perakam video itu dan merupakan saksi kejadian yang ingin dikenali sebagai Shima, 32, berkata beliau menerima pelbagai tohmahan selepas video itu tersebar di media sosial.

"Bukan sengaja saya ingin merakamkan kejadian itu tetapi kerana inginkan bukti untuk diberikan kepada pihak polis bagi memastikan ibu kandung bayi yang berusia 10 bulan (ketika video dirakam) itu menerima hukuman selepas berbulan-bulan dia mendera bayinya, jadi saya terpaksa.

"Untuk mereka yang tidak tahu perkara sebenar, janganlah menuduh membuta tuli dan mengatakan saya bersekongkol, siasat dahulu supaya tahu apa yang berlaku tetapi bila ini yang saya terima saya kesal dan sedih," katanya kepada Bernama sambil mengesat linangan air matanya.

Beliau berkata pada malam kejadian video itu direkodkan sekitar Mei tahun lepas, ibu bayi berkenaan yang berusia 20 tahun bertindak agresif dengan memukul anaknya selepas dia dinasihat agar menghentikan penderaan terhadap anaknya serta menghalang wanita itu daripada berjumpa teman lelakinya.

"Mungkin marahkan saya kerana membebel, wanita itu terus mencapai anaknya yang berada di ruang tamu ketika itu dan meluru masuk ke dalam bilik.

"Wanita itu kemudiannya bertindak untuk mengunci pintu tetapi saya halang sehingga saya sendiri dikasari dan rambut saya ditarik dan diseret keluar dari bilik," katanya.

Beliau berkata selepas bergelut dengan wanita itu, dia akhirnya berjaya untuk berada di dalam bilik berkenaan dan kesempatan itu digunakannya untuk merakamkan tindakan agresif ibu bayi berkenaan.

Shima berkata wanita itu merupakan anak kepada jirannya ketika dia menetap di Damansara Damai.

"Saya kenal dia sebab saya berkawan baik dengan ibu angkatnya ketika saya menetap di Damansara Damai dan apabila ibu angkatnya meninggal, wanita ini membuat keputusan untuk tinggal bersama saya pada Mac tahun lepas," katanya.

Beliau berkata sepanjang wanita itu tinggal bersamanya, emosi wanita itu kerap kali berubah-ubah dan boleh dikatakan agak sosial.

"Saya tidak kisah dia tinggal dengan saya, tetapi dia sosial dan bila keluar rumah keesokan harinya baru balik, bila bergaduh dengan teman lelakinya anak yang akan dijadikan sasaran.

"Saya pernah bertanya kepada wanita itu bahawa dia menganggap anaknya sebagai apa dan katanya anaknya itu hanyalah tempat untuknya melepaskan geram," katanya.

Menurut laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, wanita yang mendera bayi perempuannya sendiri dalam klip video yang kini tersebar di media sosial, sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana perbuatannya itu.

Kes itu dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 29 Mei 2011 dan tangkapan terhadap wanita itu dibuat pada hari sama.

Berikutan penyebaran video penderaan bayi itu, PDRM menerima hampir 300 aduan dan komen daripada orang ramai yang rata-rata bersimpati dan prihatin dengan nasib bayi itu. – Bernama
'via Blog this'

Sindiket tiga serangkai tumpas

Sindiket tiga serangkai tumpas - Semasa - Sinar Harian:

Sindiket tiga serangkai tumpas
Imran (kanan) bersama pegawainya ketika ditemui di bengkel antara dua kuil yang dibina bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
SEPANG - Sindiket tiga serangkai, curi kenderaan, jual komponen dan dadah, yang berselindung di sebalik kuil di Jalan Meranti 9, Pulau Meranti, Putra Perdana di sini tumpas dalam serbuan, semalam.

Kumpulan ini menggunakan bangsal sebagai bengkel dan dibina antara dua kuil bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki termasuk ketuanya, berumur lingkungan 30-an, diberkas ketika sedang berehat dalam bengkel tersebut.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, semasa serbuan, polis menemui 11 kenderaan disyaki curi antaranya, Kia Spectra, Naza Citra, Nissan Sunny, Mercedes Benz, Honda Accord dan Proton Wira.

Katanya, lima kenderaan itu didapati dicuri di Kajang, Sungai Way, Sunway dan Cheras.

“Sindiket menjadikan kawasan ini sebagai tempat menyembunyikan kenderaan curi dan kita percaya bengkel ini digunakan untuk meleraikan komponen kenderaan.

“Kumpulan ini juga disyaki terlibat sindiket dadah berdasarkan penemuan pil kuda, eramin-5, syabu dan alat penimbang,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas parang, kerambit, serangkai anak kunci, telefon bimbit, walkie-talkie, komputer riba dan topeng kulit.

Katanya, semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan daripada tindakan Ordinan Darurat 1969 di Simpang Renggam, Johor.

Imran berkata, kumpulan­ ini dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket lain.

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

'via Blog this'

Dua lelaki mati ditembak berhampiran lampu isyarat

Dua lelaki mati ditembak berhampiran lampu isyarat - Semasa - Sinar Harian:

SEREMBAN - Dua lelaki mati manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas ditembak dari jarak dekat berhampiran lampu isyarat Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini, malam tadi.

Mereka yang mati ialah Chalidass a/l Perumalsamy, 29, dari Jalan Rasah, Seremban dan Surentharan a/l Gopal, 31, dari Pasir Panjang, Port Dickson, manakala dua rakan mereka yang cedera berusia 29 dan 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata keempat-empat mereka itu ditembak ketika kenderaan pelbagai guna yang mereka naiki menghampiri lampu isyarat itu.
"Dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan itu dan melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah kenderaan itu.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang mati itu baru keluar dari pusat pemulihan akhlak di Machang, Kelantan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Saiful Azli berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda yang cedera akibat tembakan, bagaimanapun terus memandu kenderaan itu sehingga ke Hospital Tuanku Jaafar di sini.

"Dua lelaki itu disahkan mati antara pukul 11 dan 11.30 malam, seorang kini dirawat di unit rawatan rapi selepas menjalani pembedahan dan seorang lagi dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata polis menemui dua kelongsong peluru 9mm dan satu anak peluru di tempat kejadian, selain satu lagi anak peluru dalam kenderaan pelbagai guna itu.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban melalui talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

'via Blog this'

Dua beradik dihukum penjara 17 tahun kerana sebabkan kematian kenalan

Dua beradik dihukum penjara 17 tahun kerana sebabkan kematian kenalan - Semasa - Sinar Harian:
JOHOR BHARU - Dua beradik dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan menyebabkan kematian seorang kenalan mereka, kira-kira lima tahun lepas.
   
Hakim Zamri Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi R. Nalan, 29, dan adiknya Tiagu, 27.
   
Mereka didapati bersalah menyebabkan kematian S. Nadarajah, 31, di Restoran Fa Ta, Jalan Penyiaran 1, Taman Universiti, Skudai antara 8.20 malam dan 9.20 malam, 10 Oktober 2007.
   
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
   
Hakim Zamri memerintahkan Nalan dan Tiagu menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap, masing-masing pada 27 Jan, 2010 dan 14 Dis, 2008.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari manakala dua beradik itu diwakili peguam bela masing-masing V.Komalam dan A.K. Bhavathi. - Bernama
'via Blog this'

Bekas Pengurus Besar Kewangan Mimos didakwa terima RM1 juta

Bekas Pengurus Besar Kewangan Mimos didakwa terima RM1 juta - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Bekas Pengurus Besar Kewangan Mimos Berhad Khairuddin Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan memperoleh rasuah hampir RM1 juta, kira-kira 10 tahun lepas.
  
Bagi pertuduhan pertama Khairuddin, 52, didakwa memperoleh rasuah melalui cek Maybank Berhad bernilai RM91,665 daripada seorang ahli perniagaan Muhamad Khalid Ismail sebagai upah Khairuddin membuat pelaburan dalam dana Mimos berjumlah RM5.5 juta dengan Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd.
 Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh rasuah untuk dirinya melalui cek bank itu bernilai RM150,000 daripada Muhamad Khalid, di mana RM125,000 daripada jumlah itu ialah sebagai upah tertuduh melaburkan dana pelaburan Mimos berjumlah RM5.5 juta dengan Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd.
  
Bagi pertuduhan ketiga, Khairuddin didakwa melakukan kesalahan yang sama melalui cek bank itu bernilai RM295,750 daripada individu yang sama, di mana RM202,000 daripada jumlah itu sebagai upah untuk dirinya bagi tujuan yang sama.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama melalui cek yang sama bernilai RM447,833 daripada Muhamad Khalid, di mana RM83,337.37 daripada jumlah itu sebagai upah untuk dirinya bagi tujuan yang sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd yang beralamat Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan antara 23 Mei 2001 hingga 8 Februari 2002.

Khairuddin, yang kini bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
  
Hakim K.M Nithiyananthan membenarkan Khairuddin diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan semula.
  
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
  
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili Mohd Shahrullah Khan. - Bernama

'via Blog this'

2 cedera ditembak ketika ceroboh rumah ahli perniagaan

2 cedera ditembak ketika ceroboh rumah ahli perniagaan - Semasa - Sinar Harian:

MELAKA - Dua daripada tiga lelaki yang cuba menceroboh rumah dan melakukan samun cedera ditembak pemilik rumah tersebut di Kampung Pantai Belimbing, Durian Tunggal, di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, tiga lelaki dipercayai warganegara Indonesia memotong gril pintu depan rumah Mohd Shamil Fauzi, 27, seorang ahli perniagaan, menggunakan alat pemotong besi.
Katanya, salah seorang daripada lelaki tersebut kemudian cuba memasuki bilik rumah mangsa yang tinggal bersama isterinya, seorang anak, ibu serta adik lelaki, dengan memulas tombol pintu sebelum disedari isteri mangsa.
"Mangsa yang dikejutkan isteri kemudian bertindak mengambil senapang patah sebelum membuka pintu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Raja Shahrom berkata, sebaik membuka pintu, mangsa yang mempunyai lesen senjata api sah, melihat seorang lelaki berdiri di depan pintu memegang pemotong besi dan mengarahkan lelaki itu pergi.

Suspek enggan pergi sebaliknya bertindak membaling pemotong besi ke arah mangsa menyebabkannya cedera di dahi.
Raja Shahrom berkata mangsa bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah suspek menyebabkannya cedera di kaki kiri sebelum dia melarikan diri.
"Kemudian dua lagi rakan suspek mengugut ingin menyerang mangsa menggunakan parang dan pisau menyebabkan mangsa sekali lagi menembak mencederakan salah seorang daripada mereka di bahagian perut," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta. Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bekejar ke tempat kejadian dan menemui suspek yang cedera di kaki kiri terbaring di luar pagar sebelum menghantarnya ke Hospital Melaka  untuk rawatan.

Hasil siasatan mendapati lelaki itu yang memiliki pasport Indonesia memasuki negara ini sejak enam hari lepas. Raja Shahrom berkata kain berlumuran darah dipercayai digunakan suspek yang cedera dijumpai kira-kira 400 meter dari rumah mangsa.
Polis kini giat mengesan dua lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam lima kes samun di daerah Alor Gajah sepanjang tahun ini mengikut modus operandi yang sama. - Bernama

'via Blog this'

Pemilik banglo disyaki mencuri air

Pemilik banglo disyaki mencuri air - Melaka & NS - Sinar Harian:

Pemilik banglo disyaki mencuri air
Premis yang disyaki mencuri air
SEREMBAN – Dua premis banglo dua tingkat, diserbu pihak berkuasa petang kelmarin, kerana disyaki mencuri air melalui penyambungan paip haram.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, penyambungan haram itu untuk kerja pengubahsuaian premis berkenaan, sejak seminggu lalu.

Katanya operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), yang diketuai Pe­gawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (Bhepp Span), Mohadir Hid, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihak kami mengenai wujudnya kegiatan curi air di premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati premis itu mempunyai sambungan tanpa kebenaran atau tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 16 milimeter (mm),” katanya.

Menurutnya, hasil ujian klorin menunjukkan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Satu notis memaklumkan kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik premis terbabit dan paip yang digunakan disita sebagai bahan bukti.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

'via Blog this'

Warga emas kena penjara

Warga emas kena penjara - Melaka & NS - Sinar Harian:

Warga emas kena penjara
See Lai dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam
AYER KEROH - Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menyamun seorang lelaki, dua tahun lalu.

Chong See Lai, 52, dari Taman Rasah Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada hari perbicaraan yang ditetapkan, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, See Lai bersama seorang lagi yang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau ke atas seorang lelaki, Lee Chin Boon, 32, dan mencuri dua kad kredit EON Bank, satu kad kredit Public Bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM600 hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,200 terhadap mangsa.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di Jalan Melaka Raya 24, Taman Melaka Raya kira-kira jam 9 pagi pada 8 Mac 2010.

See Lai didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, See Lai merayu kepada mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dan perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang merompak menggunakan senjata dan menyebabkan kerugian yang tidak dapat dikembalikan kepada mangsa.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman empat tahun bermula daripada tarikh tangkapan pada 17 Februari 2011.

'via Blog this'

Nyaris maut kereta rempuh lori

Nyaris maut kereta rempuh lori - Melaka & NS - Sinar Harian:

Nyaris maut kereta rempuh lori
Keadaan kereta mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Seremban-Tampin, pagi kelmarin
REMBAU – Seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 63 dan 30 tahun mengalami kecederaan parah dan tersepit setelah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Seremban-Tampin, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, kedua-dua mangsa yang datangnya dari arah Seremban dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori tanpa muatan yang datangnya dari arah Tampin.

Menurut pemandu lori berkenaan, Gurmeet Singh, 32, ketika kejadian, dia sangat terkejut apabila mendapati terdapat sebuah kereta masuk ke laluannya secara tiba-tiba dan dia tidak sempat mengelak.

“Saya sangat terkejut tetapi tidak sempat mengelak kerana ia berlaku begitu pantas. Ketika kejadian saya dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur dan berasa sangat berdebar kerana dirempuh oleh kende­raan lain.

“Mujur saya hanya mengalami cedera ringan di kaki dan tangan sahaja. Bagaimanapun, bagi pemandu dan penumpang kereta berke­naan, mereka tersepit dan memerlukan bantuan untuk di bawa keluar,” katanya susu­lan insiden berkenaan, pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan dan bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, pihaknya berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa di bahagian hadapan tempat duduk iaitu di baha-gian pemandu dan bahagian penumpang hadapan.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

'via Blog this'

Penganggur, rakannya hadapi tuduhan culik

Penganggur, rakannya hadapi tuduhan culik - Melaka & NS - Sinar Harian:
AYER KEROH - Seorang penganggur dan rakannya dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menculik serta memaksa bekas teman wanitanya berkahwin, awal bulan ini.

Tertuduh, P Sethupathi, 24, dan sahabatnya, M.P Namasivayam, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Ida Rahayu Syarif.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua sahabat dari Taman Cheng Jaya dekat sini, didakwa menculik atau melarikan R Padmah, 22, bagi memaksa dia berkahwin di tepi Hotel Casa Del Rio, Jalan Kota Laksamana, jam 7.20 pagi pada 1 Mei 2012.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Mahkamah menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berbeza di Mahkamah Sesyen di sini, Sethupathi turut didakwa bersama tiga rakan yang dituduh dan seorang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan, dua tahun lalu.

Tertuduh didakwa merompak harta milik R. Puganeswaran, 20, iaitu wang tunai RM1,500 dan sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericsson di tepi jalan berhampiran Hentian Teksi Melaka Sentral, kira-kira jam 10.10 malam pada 28 Disember 2010.

Dia dituduh mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 395 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff yang mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh dan memohon tertuduh dibicarakan bersama tiga rakan lain.

Namun, tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai ibu bapa dan dijaga oleh seorang nenek saudara selain hanya dia seorang yang membantu neneknya itu.

Hakim Abu Bakar Katar menetapkan tarikh bicara 5 Julai depan.
'via Blog this'

Didakwa rogol: Bekas banduan menangis

Didakwa rogol: Bekas banduan menangis - Melaka & NS - Sinar Harian:
AYER KEROH - Seorang bekas banduan menangis kerana sedih apabila dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol remaja bawah umur 11 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hazizol Ahmad, 30, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan­ kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam kira-kira 12 tengah hari pada 14 Disember 2001.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Jalan Bangsar, Batu Berendam antara jam 12 tengah malam pada 26 Disember hingga 9 pagi, 30 Disember 2001.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Hazizol dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Terdahulu, Mahmoodah ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan­ terhadap tertuduh kerana arahan­ pendakwaan kes tersebut keluar sejak 2003, namun tertuduh tidak dapat dikesan dan hanya ditangkap, kelmarin.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan anak yatim piatu merayu sambil menangis teresak-esak meminta mahkamah memberikan jaminan terhadapnya dengan alasan­ tidak pernah melarikan diri sebelum ini.

“Saya di penjara selama 10 bulan pada 2003 dan kemudian enam tahun sejak 2005 sebelum bebas pada 2009 bagi kes dadah. Sudah banyak kali saya ditahan tapi kenapa sekarang?” katanya.

Selepas mendengar rayuan, Hakim Abu Bakar Katar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua penjamin dan menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
'via Blog this'

Ugut keluarga sendiri, dua pemuda dipenjara

Ugut keluarga sendiri, dua pemuda dipenjara - Kelantan - Sinar Harian:
KUALA KRAI - Seorang pesalah dadah berusia 26 tahun, tergamak mengugut untuk membunuh bapa dan ahli keluarganya sendiri dengan niat hendak mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

Tindakan Tengku Marnizam Tengku Mazidi itu bagaimanapun membawa padah, apabila dia dihukum 15 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Hukuman dikenakan Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah selepas tertuduh mengaku salah melakukan ugutan jenayah, dengan niat hendak mendatangkan ketakutan atau kematian terhadap bapanya, Tengku Mazidi Tengku Mansor, 53.

Kesalahan itu dilakukan di rumah mereka di Guchil 5, dekat sini, kira-kira 5.15 petang, Sabtu lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah membuat ugutan itu, selepas mengamuk dan memarahi bapanya kerana membuat laporan polis terhadapnya hingga dia ditangkap.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemuda berusia 34 tahun dijatuhi hukuman dua bulan penjara setelah didapati bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu tirinya, 13 April lalu.

Tertuduh, Mohd Azam Mat Nawi mengaku bersalah selepas pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dibacakan terhadapnya di hadapan Nor Ahmeed Fahd.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, tertuduh tiba-tiba mengamuk dan cuba memukul ibu tirinya, Mek Yah Dollah, 57, sebelum mengugut akan menyimbah mangsa dengan cuka getah (asid).

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, Inspektor Aizuddin Jamaludin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
'via Blog this'

‘Spiderwoman’ dipenjara seminggu

‘Spiderwoman’ dipenjara seminggu - Terengganu - Sinar Harian:

‘Spiderwomen’ dipenjara seminggu
Wook@ Murniyati dipenjara seminggu mengaku salah mencuri kabel besi tembaga milik SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu ‘gian’ pil kuda, seorang ibu beranak satu nekad memanjat tingkat tiga asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini, semata-mata untuk mencuri kabel besi tembaga, awal pagi Isnin lalu.

Bagaimanapun, tindakan berani wanita yang terdesak itu, Wook @ Murniyati A Rahman, 32, dari Perumahan Kos Rendah Kampung Bukit Tunggal di sini, menerima padah setelah dijatuhi huku­man penjara selama seminggu dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas surirumah sepenuh masa ini mengaku bersalah mencuri lima keping kabel besi tembaga bernilai RM100 milik SMK Bukit Besar, di sini, pada 7 Mei lalu kira-kira jam 4 pagi.

Dengan itu, Wook @ Murniyati mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hada­pan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala Wook @ Murniyati tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Wook @ Murniyati kantoi selepas pengawal keselamatan sekolah yang sedang meronda terserempak dengannya ketika itu sedang membawa kabel besi tembaga tersebut disyaki dicuri di bangunan asrama lelaki di sekolah terbabit.

Pengawal Keselamatan berusia 38 tahun itu terus menahannya dan menyerahkan kepada polis. Satu laporan polis kemudiannya dibuat di Balai Polis Chabang Tiga.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran Selasa, 8 Mei menyiarkan seorang ibu beranak satu berlagak ala ‘spiderwoman’ apabila dia memanjat tingkat tiga bangunan asrama SMK Bukit Besar di sini dipercayai untuk mencuri tembaga wayar bumi yang dipasang di bangunan sekolah berkenaan.

'via Blog this'

Bas langgar pokok, pemandu maut 28 cedera

Bas langgar pokok, pemandu maut 28 cedera - Semasa - Sinar Harian:
NILAI - Seorang pemandu bas persiaran maut manakala 28 penumpang cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Gadong Jaya berhampiran Kampung LBJ dekat sini, hari ini.

Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu menyebabkan K. Gunachandar, 52, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, kata jurucakap polis.

Tujuh daripada penumpang yang cedera itu kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

Beliau berkata bas terbabit membawa sembilan penumpang lelaki dan 19 wanita berusia dalam lingkungan 40 hingga 72 tahun dan ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Tampin ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di Sepang.

Difahamkan kesemua mereka ingin ke Chiangmai, Thailand untuk bercuti.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas ke tepi jalan dan melanggar pokok. - Bernama
'via Blog this'

Bacaan ujian kanabis Saiful Apek, tiga rakan melebihi takat

Bacaan ujian kanabis Saiful Apek, tiga rakan melebihi takat - Semasa - Sinar Harian:
PETALING JAYA  - Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa bacaan ujian pengesanan kanabis terhadap air kencing pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya adalah melebihi takat pengesanan dadah.
   
Rozita Abdullah, 41, pegawai sains di Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, berkata keputusan bacaan ujian itu diketahui selepas ujian pengesanan kanabis dibuat terhadap sampel air kencing empat tertuduh itu pada 22 Jun 2010.
   
"Begitu juga dengan ujian saringan dadah yang dilakukan kepada kesemua mereka, keputusan kesemua bacaan air kencing mereka melebihi takat itu," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.

Pada 1 Nov tahun lepas, Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.
   
Ketika disoal Ahmad Ishrakh mengenai yang mana satu ujian konklusif dalam menentukan kehadiran dadah terhadap air kencing sama ada melalui ujian saringan atau ujian pengesahan, saksi keenam pendakwaan itu berkata ujian pengesahan adalah konklusif berbanding ujian saringan yang tidak konklusif.

Rozita berkata ujian saringan untuk mengesan kehadiran dadah dalam air kencing tidak konklusif kerana ujian saringan dibuat secara biasa serta tidak sensitif.
   
Sementara itu, saksi kelapan pendakwaan Pegawai Penyiasat, Bahagian Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Insp Syed Mohd Rahayat Syed Mohd Ramli, 30, memberitahu beliau menerima sampel air kencing empat tertuduh daripada Pegawai Risikan Cif Insp Mohd Shaifuddin Zulkifli, 31, yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daripada IPD Subang Jaya.
   
"Selepas menerima botol air kencing kesemua mereka (tertuduh), saya terus menyemak label pada sampel itu yang tertera nama dan nombor kad pengenalan mereka dan kemudiannya saya simpan kesemua botol itu dalam peti sejuk di bilik saya dan menguncinya," katanya.
   
Beliau berkata kesemua botol air kencing itu berada dalam keadaan baik semasa berada dalam kawalannya dan kesemua botol berkenaan diserahkan kepada Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 18 Jun 2010 untuk tindakan lanjut.
   
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.
   
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim.
   
Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bersambung 22 Mei ini. - Bernama
'via Blog this'

Ahli perniagaan, pemandu lori didakwa

Ahli perniagaan, pemandu lori didakwa - Semasa - Sinar Harian:

IPOH- Seorang ahli perniagaan dan seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini terhadap tuduhan memberi rasuah sebanyak RM500 kepada seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dua tahun lepas.
Lam Kok Kin, 48, dan Mok Guo Jian, 23, didakwa melakukan perbuatan itu di Km 1 Jalan Damar Laut-Changkat Jering, Pantai Remis antara pukul 7.30 pagi dan 8 pagi pada 1 Jun 2010.
Mereka dituduh secara bersama memberikan wang tunai itu kepada Mustakim Mohd Sani sebagai dorongan supaya Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ itu tidak mengambil tindakan ke atas Mok yang  disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu lori tanpa kelas lesen yang dibenarkan dan tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 43 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka berdua boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM M. Kathan manakala kedua-dua  tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

'via Blog this'

Penjual terkejut lihat api marak dalam rumah

Penjual terkejut lihat api marak dalam rumah - Utara - Sinar Harian:

Penjual terkejut lihat api marak dalam rumah
Beginilah keadaan rumah Chin Yeet yang terbakar hampir 70 peratus
ALOR MENGKUDU, Alor Setar - Seorang penjual dimsum dan pau terkejut apabila terlihat api yang marak di dalam rumahnya ketika sedang sibuk menyiapkan menu itu untuk dijual, semalam.

Penjual, Chan Chin Yeet, 50, berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi itu, suaminya, Chong Chee Keong, 54, tiada di rumah.

Menurutnya, dia segera melihat api yang sedang marak itu di tengah rumahnya di antara bahagian ruang tamu dan dapur.

“Saya segera menghubungi suami dan meminta agar dia pulang.

“Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting sahaja,” katanya di rumahnya di Taman Setar, semalam.

Chin Yeet berkata, suaminya yang pulang ke rumah segera menghubungi bilik gerakan bomba untuk memadamkan kebakaran.

Chee Keong berkata, setelah menerima panggilan daripada isteri, dia segera pulang dan mendapati api sedang marak.

Turut melawat mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Lee Guan Aik yang mewakili Adun Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh bagi membantu meringankan beban mangsa sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Faizal Zainol Halim berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan kira-kira jam 11.30 pagi dan tiba di tempat kejadian 6 minit kemudian.

Beliau berkata, sebanyak tiga jentera bomba termasuk dua dari Balai Bomba Alor Setar dengan kekuatan anggota seramai 14 orang.

“Kita berjaya mengawal api kebakaran dari merebak kira-kira jam 11.43 pagi dan mendapati hampir 70 peratus rumah ini terbakar.

“Kita juga masih menyiasat punca dan jumlah kerugian yang ditanggung keluarga mangsa akibat kebakaran yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

'via Blog this'

Gempar panggilan bom palsu

Gempar panggilan bom palsu - Melaka & NS - Sinar Harian:
SEREMBAN – Sebuah hospital swasta, di sini, gempar apabila menerima satu panggilan bom palsu, pagi semalam.

Seorang jurucakap hospital berkenaan­ berkata, seorang lelaki yang tidak dikenali menghubungi talian kecemasan kira-kira jam 11 pagi dan mendakwa terdapat bom di kawasan itu.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan pihak hospital menghubungi pihak polis sebelum mengarahkan sebahagian pesakit dan kakitangan untuk mengosongkan bangunan.

“Selepas beberapa jam pihak polis melakukan pemeriksaan, kita dimaklumkan bahawa tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dan semua urusan hospital diteruskan seperti biasa.

“Kita berasa kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab ini kerana ia boleh menjejaskan operasi­ hospital dan mengganggu pesakit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang membuat panggilan palsu tersebut.

Katanya, satu unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Kontinjen negeri dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan dari hospital berkenaan.

“Selepas melakukan pemeriksaan secara terperinci di setiap bangunan, kita dapati panggilan berkenaan adalah palsu.

“Kita akan mengesan individu yang bertanggungjawab membuat panggilan itu,” katanya.
'via Blog this'