Search This Blog

Thursday, May 10, 2012

Loji Petronas Kerteh meletup, 2 maut

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:





KEMAMAN 10 Mei - Dua pekerja syarikat kontraktor terbunuh manakala lapan yang lain cedera dalam letupan di sebuah loji pengeluaran gas di GPP3 dekat Kerteh, Kemaman petang ini.


Identiti kedua-dua mangsa belum diketahui dan mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman dan Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.


Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ini ketika kesemua mangsa sedang melakukan kerja penyelenggaraan di loji tersebut.


Bagaimanapun, menurut sumber itu, kebakaran berjaya dikawal dan api dapat dipadamkan kira-kira pukul 3.20 petang. - UTUSAN

Jenayah Lenggong, Gerik meningkat

Jenayah Lenggong, Gerik meningkat - Perak - Sinar Harian:
LENGGONG, Ulu Perak - Kaki judi dan penagih dadah dikenal pasti menjadi punca berlakunya kes jenayah termasuk kegiatan mencuri getah beku di sekitar Gerik dan Lenggong yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Hasil laporan, kira-kira 90 peratus kes jenayah berlaku di kawasan itu ditimbulkan penagih dan kaki judi yang membimbangkan semua pihak.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Abdul Manab Baharum berkata, walaupun pernah ditangkap, golongan ini tidak pernah serik dan melakukan kesilapan yang sama apabila dibebaskan.

Menurutnya, kegiatan mereka itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menyusahkan orang ramai.

“Masalah ini akan terus berleluasa jika masyarakat dan agensi lain tidak membantu pihak polis serta bekerjasama membanteras jenayah ini.

“Walaupun ditangkap mereka akan kembali kepada kegiatan tidak bermoral itu dan ada sesetengah mereka dibelasah penduduk kampung ketika mencuri tetapi ia tidak menjadi halangan untuk kembali mencuri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Dialog Keselamatan Bersama Pasukan PDRM Gerik/Lenggong dan Penguatkuasa Undang-Undang di Balai Polis Lenggong di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Gerik, Asisten Superintendan Sekam Anak Anoi dan Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gerik, Inspektor Redzuan Abdul Aziz;

Kata Abdul Manab, peraih yang tidak memiliki lesen membeli getah daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut memberi ruang kepada penagih dengan mencuri dan menjual getah tanpa kawalan pihak berkenaan.

Jelasnya, pihaknya telah mengenal pasti terdapat kira-kira seramai 70 penagih tegar di sekitar Lenggong dan sebanyak 24 kes jenayah judi dicatat bagi tahun lalu di mana seramai 12 orang daripada mereka ditangkap pada tahun ini.

“Sejak dikurangkan jumlah anggota polis di Balai Polis Lenggong selepas diturunkan taraf tiga tahun lalu menyebabkan pihaknya sukar membendung kes jenayah di kawasan yang mempunyai penduduk seramai 36,000 orang.

“Selain itu, penduduk turut dihantui masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) dan kenderaan asing khususnya dari Thailand yang memecut laju,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, bagi menampung pertambahan jumlah penduduk Kementerian Dalam Negeri bersetuju untuk menaik taraf semula Balai Polis Lenggong supaya keanggotaannya ditambah.

“Pertambahan penduduk akan meningkat menjelang 2015 apabila ketiga elemen siap iaitu pembinaan Pusat Latihan askar wataniah terbesar di negara ini di Kampung Beng, pengisytiharan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco dan pembinaan Kolej Mara,” katanya.
'via Blog this'

Suspek kes samun maut selepas dilanggar sebuah kereta di MRR2 Kepong - Semasa

Suspek kes samun maut selepas dilanggar sebuah kereta di MRR2 Kepong - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Seorang suspek kes samun maut selepas dilanggar oleh sebuah kereta ketika cuba melarikan diri setelah menyamun Stesen Shell MRR2 Kepong menghala ke bulatan Batu Caves, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, suspek yang dikenali sebagai Noor Falah Raizam Ismail, 31, dari Bandar Baru Sungai Buloh, cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal selepas ternampak kereta peronda polis.

Suspek yang mempunyai 23 rekod lampau dengan sebanyak 19 kes samun, telah melarikan diri menuju ke jalan besar tiba-tiba dilanggar sebuah kereta, katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu yang patah kaki kirinya telah ditahan oleh anggota peronda polis apabila seorang pekerja warga Bangladesh Stesen Shell itu melaporkan kepada mereka bahawa suspek baru sahaja menyamun stesen minyak itu dan melarikan wang tunai sebanyak RM1,500.

Zakaria berkata polis peronda telah membawa suspek ke Hospital Selayang untuk rawatan, dan kemudian meninggal dunia di hospital itu.

"Punca kematian dipercayai akibat kemalangan jalanraya itu, dan keputusan post-mortem masih belum diketahui," katanya.

Zakaria berkata polis turut merampas sebuah motosikal, sebilah parang dan wang tunai RM1,115 daripada mangsa, dan sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan juga di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya.    -- Bernama

'via Blog this'

Suspek kes samun maut selepas dilanggar sebuah kereta di MRR2 Kepong - Semasa

Suspek kes samun maut selepas dilanggar sebuah kereta di MRR2 Kepong - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Seorang suspek kes samun maut selepas dilanggar oleh sebuah kereta ketika cuba melarikan diri setelah menyamun Stesen Shell MRR2 Kepong menghala ke bulatan Batu Caves, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, suspek yang dikenali sebagai Noor Falah Raizam Ismail, 31, dari Bandar Baru Sungai Buloh, cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal selepas ternampak kereta peronda polis.

Suspek yang mempunyai 23 rekod lampau dengan sebanyak 19 kes samun, telah melarikan diri menuju ke jalan besar tiba-tiba dilanggar sebuah kereta, katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu yang patah kaki kirinya telah ditahan oleh anggota peronda polis apabila seorang pekerja warga Bangladesh Stesen Shell itu melaporkan kepada mereka bahawa suspek baru sahaja menyamun stesen minyak itu dan melarikan wang tunai sebanyak RM1,500.

Zakaria berkata polis peronda telah membawa suspek ke Hospital Selayang untuk rawatan, dan kemudian meninggal dunia di hospital itu.

"Punca kematian dipercayai akibat kemalangan jalanraya itu, dan keputusan post-mortem masih belum diketahui," katanya.

Zakaria berkata polis turut merampas sebuah motosikal, sebilah parang dan wang tunai RM1,115 daripada mangsa, dan sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan juga di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya.    -- Bernama

'via Blog this'

Elie ugut bunuh bila pintu dibuka

Elie ugut bunuh bila pintu dibuka - Sinar Harian:

Elie ugut bunuh bila pintu dibuka
Elie Yousseff Najem
KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, lelaki bergelar ‘Jutawan Lubnan’, Elie Yousseff Najem ada mengugut membunuh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dan ahli keluarganya kerana mengetuk pintu biliknya di sebuah hotel pada 26 April 2010.
Penolong Pembantu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Shariza Zakaria berkata, dia ada mendengar Elie Yousseff membuat ugutan itu, selepas pintu biliknya dibuka.
“Saya dan enam lagi PPA jelas mendengar kata-kata Elie Yousseff sebaik sahaja pintu bilik tersebut dibuka dengan bantuan polis selepas menerima aduan daripada pekerja hotel tersebut.
“Kami ada lihat dia buat panggilan kepada orang kenamaan dan bercakap dalam keadaan yang marah,” katanya.
Menurut saksi kelima itu, sebaik pintu bilik dibuka beliau melihat seorang lelaki Arab dan Elie Yousseff memperkenalkan dirinya.
“Elie Yousseff hanya memberi syarat dan meminta dua petugas iaitu seorang lelaki serta wanita saja yang dibenarkan masuk. Ketika itu saya dan jurufoto masuk ke dalam bilik,” katanya.
Shariza berkata, mereka melihat seorang wanita di atas katil dalam berkeadaan seperti bangun dari tidur selepas pemeriksaan terhadap bilik itu dilakukan.
Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes khalwat membabitkan Elie Yousseff, 52, dengan seorang wanita, Roslin Tahir dalam sebuah bilik di tingkat lapan, Wisma Belia, di sini jam 3.45 petang, 26 April 2010.
Elie Yousseff menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 27 (a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 manakala Roslin didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Perbicaraan bersambung 16 Julai depan.

'via Blog this'

Mengaku rogol gadis 16 tahun

Mengaku rogol gadis 16 tahun - Johor - Sinar Harian:
JOHOR BAHRU – Perkena­lan hampir enam bulan dengan seorang jejaka berakhir duka apabila remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol, Rabu lalu.

Kejadian berlaku di sebuah bilik di Rumah Pekerja Ladang, Kulaijaya, kira-kira jam 7 hingga 9 pagi.

Pekerja warga Indonesia, Hasanudin, 20, mengaku salah di Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan merogol gadis bawah umur itu.

Hakim, Zamri Bakar menetapkan hukuman penjara lima tahun ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar, manakala Hasanudin tidak diwakili peguam.
'via Blog this'

Lagak samseng: Buruh diperintah bayar pampasan

Lagak samseng: Buruh diperintah bayar pampasan - Kelantan - Sinar Harian:

Lagak samseng: Buruh diperintah bayar pampasan
Mohamad Firdaus diiringi anggota polis selepas dikenakan denda, semalam.
KOTA BHARU – Gara-gara cuba berlagak samseng dengan memecahkan cermin kereta milik seorang doktor, bulan lalu, seorang buruh menerima padah apabila didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Selain itu, Mohamad Firdaus Ismail, 22, juga diarah Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly supaya membayar pampasan berjumlah RM2,000 kepada mangsa. Sekiranya gagal, dia akan dihukum sembilan bulan penjara.

Mohamad Firdaus dari Kampung Pauh Badang, Jalan PCB di sini, didapati bersalah melakukan perbuatan khianat itu pada jam 7.30 pagi, 21 April lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu, seorang doktor pakar, menaiki kereta jenis Mercedez Benz melalui Lorong Sekolah Ismail 3 dan berselisih dengan kereta dinaiki Mohamad Firdaus sebelum berlaku perselisihan faham.

Selesai menghantar anaknya ke sekolah, pengadu sekali lagi melalui jalan sama dan keretanya ditahan Mohamad Firdaus yang mengarahkan pengadu supaya turun dari kereta.

Pengadu yang bimbang akan keselamatannya enggan turun dan Mohamad Firdaus kemudian memukul cermin hadapan kereta menggunakan sebatang kayu.

Pengadu yang tidak berpuas hati membuat laporan dan polis menahan Mohamad Firdaus.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman.

'via Blog this'

Rumah dihempap pokok kelapa warga emas dan 3 cucu selamat

Rumah dihempap pokok kelapa warga emas dan 3 cucu selamat - Kelantan - Sinar Harian:

Rumah dihempap pokok kelapa warga emas dan 3 cucu selamat
Minah (kiri) menunjukkan keadaan rumahnya yang dihempap pokok kelapa dalam kejadian lewat petang kelmarin.
KOTA BHARU – Seorang nenek bersama tiga cucunya terselamat apabila kediaman mereka ditimpa pokok dalam kejadian ribut lewat petang kelmarin.

Minah Awang Long, 70, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, dia berada di dapur manakala tiga cucunya berada di dalam bilik rumahnya.

Menurutnya, apabila keadaan ribut semakin kuat, dia mengarahkan cucunya keluar bilik dan berada di ruang tamu.

“Ketika itu hujan lebat dan saya bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini. Beberapa minit selepas mengarahkan cucu keluar dari bilik, saya keluar ke ruang tamu melihat sebatang pokok telah tumbang menghempap sebahagian bilik dan ruang tamu.

Saya tidak sedar bila pokok itu tumbang kerana ribut sangat kuat menenggelamkan bunyi pokok yang menghempap rumah.

“Seorang cucu saya, Siti Nur Asyikin Raml,13, cedera pada bahagian belakangnya akibat terkena daun pokok kelapa yang tumbang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, akibat kejadian itu sebahagian rumahnya rosak teruk dan tidak dapat dihuni sementara waktu.

Beliau kini menumpang sementara di rumah anaknya, Zarina Daud, 43, yang tinggal berdekatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Beris Lalang, Che Hamid Che Deraman membuat laporan polis untuk membolehkan bantuan bencana alam diberikan kepada mangsa ribut berkenaan.

Manakala, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Jelawat, Datuk Dr Ilias Husain yang menziarahi Minah akan cuba mendapatkan bantuan lain untuk Minah memandangkan kerosakan yang dialaminya tidak mencukupi dengan bantuan RM1,000 dari wang ehsan.

“Saya akan cuba dapatkan bantuan tambahan lain untuk beliau memandangkan kerosakan yang dialaminya amat teruk berbanding rumah lain.

“Keseluruhan dianggarkan setakat ini 15 buah rumah rosak akibat kejadian ribut yang berlaku semalam (kelmarin). Ia meliputi beberapa kawasan lain termasuk kawasan Pak Badol, Mak Mayong, Seneng, Bakong, Gunong, Keting dan Kubang Telaga,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang terlibat perlu membuat laporan polis sebelum menyertakan salinan kad pengenalan dan salinan laporan polis kepada Pengerusi JKKKP masing-masing.

'via Blog this'

Terlepas hukuman mati kerana anak kecil

Terlepas hukuman mati kerana anak kecil - Utara - Sinar Harian:
GEORGETOWN - Seorang ibu muda kepada enam anak terlepas daripada hukuman mati selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan pilihan atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 62.26 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abd Rahim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Kokila Mugeon, 24, atas tuduhan pilihan dari mengedar ke memiliki dadah itu di sebuah rumah Jalan Kulim, Sungai Lembu, Bukit Mertajam, dekat sini, kira-kira jam 9.30 malam, 1 Mac 2011.

Dalam penghakiman ringkas, Zamani yang menerima pengakuan bersalah daripada Kokila berkata mahkamah menjatuhkan hukuman minimum terhadap wanita itu dengan mengambil kira prinsip ‘temper justice with mercy’.

Kokila yang meringkuk dalam tahanan penjara selama setahun didapati melahirkan anak bongsu yang kini berusia sembilan bulan di dalam penjara, bagaimanapun semalam Kokila bernasib baik menerima peluang kedua apabila Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar menawarkan pertuduhan pilihan.

Dalam rayuan, Mohd Ismail Mohamad dan Noraishah Ismail mewakili Kokila memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum terhadap anak guamannya untuk memberi peluang memulakan hidup baru bersama anaknya.

“Kokila adalah ibu kepada anak berusia lapan, tujuh, enam, lima, tiga dan sembilan bulan. Difahamkan, suami Kokila dalam tahanan polis.

“Oleh itu saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kepada Kokila supaya dia kembali kepada keluarga untuk memulakan hidup baru dengan anak-anaknya. Pengakuan bersalah Kokila sebelum kes bicara bermula menjimatkan kos dan masa mahkamah,” katanya.
'via Blog this'

Majikan nafi dera empat pekerja warga China

Majikan nafi dera empat pekerja warga China - Utara - Sinar Harian:

Majikan nafi dera empat pekerja warga China
Lim (dua kanan) dan Hen Chong menunjukkan laporan akhbar berkenaan dakwaan pekerjanya didera.
GEORGETOWN - Seorang pemilik pusat refleksologi menafikan dakwaan empat wanita warga China kononnya didera sepanjang bekerja dengannya seperti disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris dua bulan lalu.

Eric Lim, 35, yang mengusahakan pusat refleksologi di pusat membeli belah Queensbay di sini berkata, beliau kecewa dengan dakwaan empat pekerjanya itu kerana menjejaskan reputasi dan perniagaannya.

Menurutnya, selepas dakwaan pekerjanya itu disiarkan dalam akhbar pada 29 Mac lalu, beliau menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin yang turut hadir pada sidang media berkenaan, tetapi tidak menjawab panggilan telefon atau menghubunginya semula.

“Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab, kerana saya mempunyai bukti bahawa dakwaan pekerja terbabit tidak betul. Hari ini saya tampil mencari keadilan untuk membersihkan nama,” katanya pada sidang media di pejabat Gerakan di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Biro Pengaduan Awam Gerakan, Dr Kiew Hen Chong.

Pada 29 Mac lalu, empat wanita warga China berusia antara 23 dan 38 tahun, mendakwa tidak menerima gaji penuh sejak bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat refleksologi, selain mengalami penderaan mental.

Keempat-empatnya juga mendakwa majikan memaksa mereka bekerja 364 hari dalam setahun kecuali pada hari pertama Tahun Baru Cina, mengunci mereka dalam premis perniagaan dan mencabar seorang daripada mereka untuk membunuh diri.

Lim berkata, dakwaan pekerjanya itu dipercayai bermotifkan dendam kerana beliau pernah memarahi mereka beberapa kali berikutan aduan pelanggan yang menyatakan wanita terbabit mengganggu suami mereka.

“Bukan seorang yang buat aduan, tetapi beberapa orang yang mengadu pekerja saya itu mengganggu suami mereka. Saya memarahi dan menasihati agar menjaga kelakuan,” katanya.

Sementara itu, Hen Chong berkata, Adun Pantai Jerejak yang bertindak untuk menyelesaikan masalah berkenaan seharusnya menghubungi majikan wanita berkenaan terlebih dahulu sebelum membawa perkara itu kepada media.

'via Blog this'

Anggota PGM dipenjara 3 bulan, denda RM4,000

Anggota PGM dipenjara 3 bulan, denda RM4,000 - Utara - Sinar Harian:

Anggota PGM dipenjara 3 bulan, denda RM4,000
Norman dibawa keluar mahkamah selepas dibicarakan.
GEORGETOWN - Seorang anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) berpangkat lans koperal dipenjarakan tiga bulan dan denda RM4,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri sebuah enjin sangkut, tiga tahun lalu.

Majistret Noor Aini Yusof memutuskan hukuman itu terhadap Norman Abu Noor, 49, selepas perbicaraan penuh selesai.

“Mahkamah memutuskan hukuman ini selepas mengambil kira kamu sebagai kakitangan kerajaan dan juga mempertimbangkan kepentingan awam kerana mencuri adalah kesalahan berat, lebih-lebih lagi ia membabitkan harta hak milik kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Norman disabit atas tuduhan mencuri sebuah enjin sangkut model Honda 50HP kepunyaan PGM Pulau Pinang yang dikawal oleh seorang anggota PGM, Che Yahaya bernilai RM7,000.

Untuk kesalahan berkenaan, tertuduh dibicarakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faisal Md Noor.

'via Blog this'

Saiz baju gagal selamatkan warga Iran

Saiz baju gagal selamatkan warga Iran - Utara - Sinar Harian:

Saiz baju gagal selamatkan warga Iran
Matjaba Moktarighani menutup muka ketika dibawa keluar dari mahkamah
GEORGETOWN - Seorang pemandu teksi warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamin seberat dua kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) Februari tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Amin Firdaus Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Majtaba Moktarighani Ali, 27, dari Teheran, Iran, atas pertuduhan mengedar 2,751,7 gram methamphetamin di Balai Ketibaan LTABL, kira-kira jam 3.15 petang, 16 Februari tahun lalu.

Majtaba Moktarighani yang diwakili peguam K Thangesvaran didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam penghakiman ringkas, Mohd Amin berkata tertuduh dalam pembelaannya menafikan bagasi berisi dadah itu miliknya kerana pakaian yang terdapat dalam bagasi itu bukan saiznya.

“Bagaimanapun, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh adalah tidak munasabah. Kini, sudah menjadi kebiasaan pengedar dadah meletakkan pakaian saiz tidak sesuai dengannya dalam bagasi untuk menafikan bagasi bukan kepunyaannya ketika ditahan.

“Jika, benar-benar bagasi itu bukan kepunyaannya, maka tentu dia memberitahu pegawai bertugas sebelum bagasi itu dibuka untuk diperiksa. Tindakan tertuduh menafikan itu bukan bagasinya selepas dibawa ke bilik khas untuk pemeriksaan lanjut, adalah penafian semata-mata,” katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam, Nur Sarah Dina Baharuddin.

'via Blog this'

Tukang paip tangan panjang direman

Tukang paip tangan panjang direman - Utara - Sinar Harian:
GEORGETOWN - Polis percaya mampu menyelesaikan lima kes pecah rumah dan kedai yang dilaporkan di sekitar Jalan Petani selepas tertangkapnya seorang tukang paip tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kon Meng berkata, lelaki berusia 29 tahun dan berasal dari Jalan Lintang, Air Itam di sini, ditahan di hadapan sebuah restoran, Jalan Bukit Bendera kira-kira jam 6.05 petang kerana dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah secara ‘solo’ sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, siasatan polis menemui beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukannya.

Antaranya ialah 16 kotak rokok, sembilan telefon bimbit, tiga komputer riba, tujuh beg, sebuah kotak mengandungi dua GPS, sehelai surat pajak gadai dan 11 botol minuman keras.

“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod kesalahan lampau," katanya.
'via Blog this'

Remaja lelaki bunuh bapa didakwa

Remaja lelaki bunuh bapa didakwa - Sinar Harian:

IPOH - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bapanya minggu lepas.
Remaja bawah umur itu dituduh membunuh bapanya yang berusia 40 tahun, di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara pukul 11.30 malam, 30 April dan 12.30 malam, 1 Mei lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof di dalam kamar Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Peguam tertuduh K.Nahtan yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya telah memohon kepada mahkamah untuk merujuk remaja itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan.
Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba pada kira-kira 9.30 pagi di mahkamah tanpa ditemani anggota keluarganya.
Selepas pendakwaan dilakukan, remaja itu kelihatan bersahaja ketika jurugambar berpusu-pusu merakam gambarnya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa yang merupakan peniaga kayu ditemui mati dalam bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dengan pisau di bahagian perutnya. - Bernama

'via Blog this'

Suami isteri tinggal sehelai sepinggang kediaman terbakar

Suami isteri tinggal sehelai sepinggang kediaman terbakar - Sinar Harian:

ALOR SETAR - Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Taman Setar II, Alor Mengkudu di sini musnah dijilat api, pagi ini.   
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu memusnahkan semua barangan dalam rumah tersebut termasuk perabot dan peralatan elektrik.
Mangsa, Chan Chin Yeet, 50, berkata ketika kejadian dia berada di rumah menyediakan kuih pau dan dim sum untuk dijual petang ini manakala suaminya, Chong Chee Keong, 56, berada di luar rumah.
Menceritakan kejadian itu, Chan berkata semasa di ruang tamu, beliau tiba-tiba melihat api marak berhampiran dapur.
"Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting dan terus lari keluar rumah menyelamatkan diri dan meminta pertolongan daripada jiran," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Naza Citra yang berada di tempat letak kereta di rumah tersebut selamat dalam kebakaran tersebut.
Pasangan itu mempunyai tiga anak tetapi kesemuanya tinggal di tempat lain.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Raja, Mohd Faizal Zainol Halim berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.30 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.
Tiga jentera dan 14 anggota yang dikejarkan ke tempat kejadian dapat mengawal api daripada merebak ke rumah lain pada pukul 11.45 pagi, katanya.
Mohd Faizal berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih disiasat. - Bernama

'via Blog this'

Kes guru melecur: Seorang lagi wanita ditahan

Kes guru melecur: Seorang lagi wanita ditahan - Semasa - Sinar Harian:
BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lagi wanita semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru wanita melecur hampir 45 peratus dalam kebakaran di rumahnya di Flat Taman Tun Hussein di Seberang Jaya, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata wanita berusia 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan semasa dia menyerah diri di Balai Polis Seberang Jaya.

Sebelum ini, polis menahan seorang wanita berusia 62 tahun apabila wanita itu menyerah diri di balai polis yang sama. Kedua-dua wanita ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Azman berkata siasatan awal mendapati kepala Julie Yeoh Kartin, 39, dihentak dengan  senjata tajam sehingga cedera dalam kejadian kebakaran itu.

Katanya polis masih belum boleh mengambil kenyataan daripada guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lay Keow di Permatang Pauh itu yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

- Bernama
'via Blog this'

Bekas pengarah syarikat dipenjara 7 tahun

Bekas pengarah syarikat dipenjara 7 tahun - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR-- Seorang bekas pengarah syarikat perkhidmatan teksi dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah wang syarikat membabitkan RM1.5 juta lima tahun lepas.

Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi Datuk Ab Malik Ab Rahim, 50, di akhir kes pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman penjara dan sebatan itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan yang akan difailkan oleh Ab Malik.
Mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM80,000 dengan dua penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dalam keputusannya, Komathy berkata keterangan Ab Malik ketika membela diri adalah penafian semata-mata malah keterangan isteri tertuduh, yang juga pengarah syarikat itu, turut bercanggah dengan keterangan tertuduh.

Ab Malik, selaku ejen yang diamanahkan Pempena Sdn Bhd untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan teksi, didakwa pecah amanah wang milik syarikatnya berjumlah RM1.5 juta di Dalamasa Sdn Bhd, Unit B-8-6, Blok B, Tingkat 8, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini antara 6 April 2007 dan 16 Mei 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Sebanyak 17 saksi pihak pendakwaan dan dua saksi pihak pembelaan termasuk isteri tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazir Amir Johari, Lim Yoi Pheng dan M.Puveneswaran manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus dan Muhammad Abd Kadir.
Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, Muhammad berkata Ab Malik mempunyai dua isteri dan lima anak berusia antara enam bulan dan 27 tahun, tidak mempunyai rekod kesalahan lampau malah telah kehilangan jawatan.

Nazir Amir pula berkata kesalahan Ab Malik sangat serius kerana ia membabitkan kepentingan awam serta melibatkan jumlah yang besar. - Bernama

'via Blog this'

Kilang proses, edar kopi terbakar

Kilang proses, edar kopi terbakar - Johor - Sinar Harian:
JOHOR BAHRU – Sebuah kilang memproses dan mengedar kopi di Jalan Jening berhampiran Kawasan Perindustrian Taman Johor, dekat sini, terbakar petang semalam.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Yusof Mohd Gunnos berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.58 petang, seramai 27 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru dan Johor Jaya bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 4.10 petang, anggota kami mengambil masa sehingga kira-kira jam 5.45 petang untuk mengawal kebakaran. Kami juga terpaksa menggunakan enam pili bomba bagi mengawal kebakaran kilang tersebut.

“Hampir 70 peratus kilang tersebut terbakar setelah kami tiba ke lokasi. Semasa kejadian, seramai 12 pekerja wanita dan 10 pekerja lelaki berada di tempat kejadian, bagaimanapun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Sementara itu, penyelia kilang berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 40an berkata, ketika kejadian dia berada di dalam tandas sebelum mendengar jeritan para pekerjanya.

“Saya terus keluar dari tandas dan pihak pengurusan mengarahkan kami menyelamatkan diri masing-masing. Kilang ini telah beroperasi lebih 10 tahun,” katanya.
'via Blog this'

Lapan samseng serang pusat perubatan - Perak - Sinar Harian

Lapan samseng serang pusat perubatan - Perak - Sinar Harian:

Lapan samseng serang pusat perubatan
Azisman
IPOH - Sekumpulan lelaki dipercayai samseng bertindak menyerang sebuah pusat perubatan swasta di sini bertujuan untuk mencari seorang lelaki berikutan perselisihan faham yang berlaku antara kedua-dua pihak terbabit.

Berikutan itu, seramai 200 pesakit, kakitangan dan orang awam yang berada di pusat perubatan berkenaan panik, bagaimanapun bertindak mendiamkan diri kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan kumpulan tersebut.

Sekumpulan lapan orang berusia antara 20 ke 30 tahun itu dipercayai cuba menyerang mangsa yang berusia 30 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Difahamkan perkara itu terjadi akibat pergaduhan antara suspek dan salah seorang ahli kumpulan terbabit di sebuah pusat hiburan di sini.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya dileraikan dengan tindakan pantas pengawal keselamatan yang mengawal keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan polis sedang menyiasat motif kumpulan berkenaan.

“Kami sudah menerima laporan membabitkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

"Kami juga meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk dijadikan bahan bukti bagi kes tersebut.

“Berdasarkan rakaman CCTV polis tidak melihat sebarang senjata yang dibawa oleh kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, tiada pesakit atau orang awam yang mengalami kecederaan manakala tiada laporan membabitkan jumlah kerugian besar yang dialami pihak hospital.

Kes disiasat di bahawa Kanun Keseksaan 147 kerana rusuhan dan polis masih meneruskan siasatan berhubung perkara berkenaan,” katanya.

'via Blog this'

Terlanggar isteri

Terlanggar isteri - Perak - Sinar Harian:
IPOH - Kecuaian seorang lelaki warga emas mengundur kereta tanpa melihat ke belakang menyebabkan isterinya maut dalam kejadian yang berlaku di hadapan rumah mereka di Taman Buluh Mas, Taman Pertama, di sini, pagi kelmarin.

Mangsa, Wong Foo Mei, 74, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari yang sama.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, suami mangsa, Lee Lan Ching, 77, dikatakan tidak menyedari kehadiran isterinya sewaktu mengundurkan kenderaan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, suami mangsa yang panik turut melanggar pondok di taman berhampiran rumah mereka sehingga rosak.

 “Siasatan awal polis mendapati mangsa, Foo Mei, berada di belakang kereta ketika suaminya sedang mengundurkan kereta lalu terlanggarnya.

 “Akibat rempuhan itu mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HRPB untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.35 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu tiada unsur jenayah kerana pasangan warga emas berkenaan tidak mempunyai masalah keluargan, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
'via Blog this'

Warga emas didakwa cabul

Warga emas didakwa cabul - Johor - Sinar Harian:

Warga emas didakwa cabul
Aman didakwa mencabul tiga kanak-kanak April lalu
JOHOR BAHRU - Seorang nelayan warga emas semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tiga tuduhan mencabul kehormatan tiga kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Aman Khamis, 67, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.

Bagi tuduhan pertama, Aman didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun di sebuah bilik di rumahnya di Taman Redang, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, 23 April lalu.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga dia dituduh mencabul kehormatan dua kanak-kanak perempuan berumur sembilan dan lapan tahun, di tempat yang sama, kira-kira jam 10 pagi, 20 April lalu.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua.

Maslinda membenarkan Aman diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Julai depan untuk bicara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Vinodharan. Aman tidak diwakili peguam.

'via Blog this'

Warga emas kena penjara

Warga emas kena penjara - Melaka & NS - Sinar Harian:

Warga emas kena penjara
See Lai dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam
AYER KEROH - Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menyamun seorang lelaki, dua tahun lalu.

Chong See Lai, 52, dari Taman Rasah Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada hari perbicaraan yang ditetapkan, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, See Lai bersama seorang lagi yang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau ke atas seorang lelaki, Lee Chin Boon, 32, dan mencuri dua kad kredit EON Bank, satu kad kredit Public Bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM600 hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,200 terhadap mangsa.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di Jalan Melaka Raya 24, Taman Melaka Raya kira-kira jam 9 pagi pada 8 Mac 2010.

See Lai didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, See Lai merayu kepada mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dan perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang merompak menggunakan senjata dan menyebabkan kerugian yang tidak dapat dikembalikan kepada mangsa.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman empat tahun bermula daripada tarikh tangkapan pada 17 Februari 2011.

'via Blog this'

Dicekup tengah tunggu pelanggan

Dicekup tengah tunggu pelanggan - Terengganu - Sinar Harian:

Dicekup tengah tunggu pelanggan
Mohd Rosli menunjukkan tunai dan barang kes yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di tepi jalan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Pueh.
KUALA BERANG - Cubaan seorang lelaki berumur 25 tahun dipercayai pengedar dadah melarikan diri apabila diserbu polis ketika sedang menunggu ‘pelanggan’ ternyata tidak berhasil apabila dia dicekup, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 4.30 petang di tepi jalan dekat ladang kelapa sawit Kampung Kuala Pueh itu, polis terpaksa mengejar pemuda itu sejauh kira-kira 20 meter, malah dia sanggup terjun ke dalam parit berhampiran jalan itu bagi tujuan menyembunyikan diri.

Suspek yang berasal dari kampung berkenaan juga sudah lama menjadi perhatian pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, berikutan penangkapan berkenaan, polis turut berjaya merampas kesemua barang kes termasuk dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM3,500, dadah jenis methamphetamine berjumlah kira-kira RM1,500 dan tunai sebanyak RM320.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan. “Apabila menyedari kehadiran pihak polis, suspek mengambil sesuatu dalam beg pinggang bertali berwarna hitam dan kuning yang disangkut dibahunya lalu membuang bungkusan di situ,” katanya.

Mohd Rosli berkata, suspek kemudiannya diarahkan mengambil bungkusan itu dan diserahkan kepada polis.

Hasil pemeriksaan mendapati, ia mengandungi lima botol plastik lut sinar berpenutup tertudung kuning berisi serbuk putih disyaki dadah.

“Selain itu, polis turut menemui satu paket plastik lut sinar berisi 30 biji pil berwarna merah bertanda MY dan tiga paket plastik lut sinar yang setiap satunya berisi 10 biji pil berwarna merah disyaki dadah. “Semua barang kes dirampas untuk tindakan selanjutnya. Suspek seorang penganggur dan dipercayai baru berjinak dengan dadah bagi edaran kampung dan kawasan sekitar,” katanya semalam.

Mohd Rosli berkata, hasil siasatan awal juga mendapati suspek mendapatkan beka-lan dadah di Jerteh, Besut dan tidak mempunyai kesalahan lampau serta ditahan reman selama tujuh hari bermula 8 Mei.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

'via Blog this'

19 warga Thailand dicekup bekerja sebagai GRO

19 warga Thailand dicekup bekerja sebagai GRO - Kelantan - Sinar Harian:

9 warga Thailand dicekup bekerja sebagai GRO
Sebahagian wanita warga Thailand yang ditahan dalam operasi di sebuah restoran jalan Gua Musang-Kuala Lipis malam semalam.
KOTA BHARU - Seramai 19 wanita warga Thailand ditahan dalam serbuan yang dilakukan Imigresen Kelantan, di sebuah restoran yang beroperasi sebagai pusat karaoke di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini malam semalam.

Operasi pada jam 11.30 malam itu turut disertai Pengarah Imigresen Kelantan, Mahasan Mustapha dan Ketua Bahagian Penguat kuasa, Abdul Basek Abu Bakar.

Abdul Basek berkata, serbuan yang disertai 20 anggota dan pegawai itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

“Kesemua wanita terbabit dipercayai dijadikan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sedang melayan lebih 70 pelanggan yang sedang asyik menikmati minuman keras sambil berkaraoke. “Mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun dan akan ditempatkan di depoh tahanan Imigresen Tanah Merah untuk sementara waktu sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan,”katanya kepada pemberita di pejabat Imigresen Telipot di sini semalam.

Abdul Basek berkata, kesemua wanita terbabit ditahan kerana melanggar syarat pas pelancong dan menggunakan pas terbabit untuk bekerja sebagai GRO di bawah peraturan 39 (B) peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, tangkapan terbabit merupakan kejayaan terbesar melibatkan pusat karaoke pada tahun ini.

“Sepanjang tahun ini sehingga Mei, sebanyak 163 tangkapan telah dibuat yang melibatkan operasi di pelbagai tempat termasuk di kawasan pembinaan dan penempatan. “Pelbagai kesalahan dilakukan warga asing berkenaan, termasuk tinggal di Malaysia melebihi masa permit yang ditetapkan selain menyalah gunakan pas lawatan dengan bekerja di premis-premis perniagaan dan pembinaan di sekitar negeri ini,” katanya.

'via Blog this'

Penganggur miliki dadah mengaku sakit mental

Penganggur miliki dadah mengaku sakit mental - Kelantan - Sinar Harian:

Penganggur miliki dadah mengaku sakit mental
Tertuduh keluar dari mahkamah selepas dikenakan denda, semalam.
KOTA BHARU – Seorang penganggur yang berdepan tuduhan memiliki dadah, Februari lalu, mengaku sakit mental dan menggunakan dadah itu sebagai ubat untuk meredakan penyakitnya.

Alasan itu bagaimanapun gagal mengelak Azlim Ismail, 37, dari dihukum apabila dia dikenakan denda RM2,000 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas tertuduh mengaku bersalah dan gagal mengemukakan laporan perubatan berhubung dakwaan penyakitnya itu.

Azlim bersalah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 1.6 gram dadah apo-diazepam di tepi Jalan Kampung Paya Rawa, Dewan Beta di sini pada jam 6.40 pagi, 27 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, 16 pil itu dijumpai dalam beg pinggang milik tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

'via Blog this'