Search This Blog

Wednesday, May 9, 2012

Wanita Didakwa Tipu Ahli Perniagaan RM1.2 Juta



SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat pembekal alat tulis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk membabitkan transaksi kemasukan wang berjumlah RM1.2 juta ke akaun peribadinya, dua tahun lepas.
Norhuda Mahat, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikatnya, Adda Prima Technologies Sdn Bhd, di Lot 03-03C, Tingkat 3, Kompleks PKNS Shah Alam di sini sekitar April 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Aslam Zainuddin membenarkan Norhuda diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, Norhuda menipu Datuk M.Azmi Md.Amin, 51, untuk melabur dalam syarikatnya yang menjanjikan pulangan 15 peratus daripada pelaburan usaha sama syarikat, sedangkan dia tahu Adda Prima Technologies Sdn Bhd bukanlah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pelaburan (Forex).
Perbuatan tertuduh itu mendorong M.Azmi memindahkan wang ke akaun peribadi Norhuda melalui tiga transaksi kemasukan wang, iaitu RM500,000 pada 12 Nov 2010, RM300,000 pada 24 Mac 2011 dan RM400,000 pada 30 Mac 2011.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abdul Rahman manakala Norhuda diwakili peguam Amer Asree Meor Nordin. - BERNAMA

Hukuman Penjara 30 Tahun Lelaki Tanam Ganja Kekal



SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki kerana kesalahan menanam ganja, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Amri Maskor, 30, terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang pada 4 Ogos tahun lepas selepas dia mengaku bersalah.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Sofian berkata tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah minimum dan menasihati Mohd Amri agar memulakan hidup baru selepas selesai menjalani hukuman.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 6B(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali.
Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani hadir bagi pihak pendakwaan.
Mahkamah Sesyen Klang turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan 10 sebatan terhadap Mohd Amri bagi pertuduhan kedua iaitu mempunyai kawalan ke atas satu bekas plastik berisi daun kering ganja seberat 187.7 gram.
Dia juga dihukum penjara tiga tahun oleh mahkamah sama selepas mengaku mempunyai kawalan ke atas satu bungkusan akhbar berisi biji tumbuhan ganja seberat 10.53 gram.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan di sebuah rumah di Kampung Baru Haji Razali, Batu 9 1/2 Tanjong Karang dekat sini, kira-kira 3.30 pagi pada 14 Mei 2010.
Bagaimanapun, Mohd Amri diperintahkan menjalani ketiga-tiga hukuman secara serentak mulai tarikh dia ditangkap. - BERNAMA

Tipu 12 Pelabur: Dua Pengarah Syarikat & Pembantu Didenda RM20,000



SHAH ALAM: Dua pengarah Syarikat Premier Agro Sdn Bhd dan pembantu mereka masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku menipu 12 individu berhubung pelaburan projek ternakan ikan patin sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM300,000.
Hakim Mohd Fadhir Harun turut memerintahkan Johar Arifin Baki, 46, S.Suresh Kumar, 31, dan Fauzi Rizal Baki, 34, dipenjara setahun jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa menipu semua mangsa di premis Syarikat Premier Agro di Jalan Kasuarina 7, Botanic Capital, Bandar Ambang Botanic, Klang dekat sini antara 15 Mei 2009 dan 3 Julai 2010 mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, semua mangsa ditawarkan Skim 'Farming Fish Fry in Cages' yang menjanjikan pulangan kepada pelaburan itu sehingga mendorong 12 pelabur berkenaan memasukkan wang ke akaun Syarikat Premier Reliance (M) Sdn Bhd untuk faedah Syarikat Premier Agro.
Fakta kes yang dibentangkan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Shari'ah Abu menunjukkan modus operandi bagi skim itu termasuk menghubungi pelabur melalui telefon secara rawak dan kemudian meminta mereka hadir ke premis syarikat berkenaan untuk diberi penerangan.
Fakta kes juga menyatakan skim itu merupakan pelaburan penternakan ikan patin yang melibatkan jumlah sebanyak RM37,370 untuk tempoh tiga tahun ditambah dua tahun untuk pembaharuan, dan pelabur akan dibekalkan dengan satu sangkar ikan serta 1,200 benih ikan apabila membuat bayaran.
Seramai 12 pelabur kemudian membayar wang ke akaun syarikat Premier Reliance namun tidak menerima pulangan seperti dijanjikan.
Terdahulu, dalam rayuan, peguam Adi Hazlan Mawardi yang mewakili Johar Arifin berkata anak guamnya ialah seorang pengurus di Malaysia Airport Berhad (MAB) dan tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang pengendalian sebuah syarikat serta tidak berniat untuk menipu mana-mana pihak.
Peguam Adi Harman Mawardi, yang mewakili Fauzi Rizal, turut memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap pelanggannya kerana tertuduh seorang jurujual di sebuah syarikat swasta dan merupakan pesalah pertama selain telah insaf.
Peguam Renuka Krishnasamy yang mewakili Suresh Kumar pula berkata anak guamnya hanya seorang kerani dan tidak mempunyai pengalaman ketika melibatkan diri dalam perniagaan berisiko tinggi.
Sementara itu, Shari'ah meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira kerugian besar yang dialami mangsa.
"Kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh serius, dan pohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM20,000," katanya yang dibantu Nur Atiqah Mohd Yamin.
Di mahkamah sama, Auni Zafirah Abdul Rahim, 26, dan suaminya, Zafir Keith Wong, 40, turut berdepan pertuduhan serupa.
Bagaimanapun, mereka tidak mengaku bersalah.
Hakim Mohd Fadhir membenarkan pasangan suami isteri itu masing-masing diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes.
Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, yang diwakili peguam Fitzgerald Augustin, menyerahkan dokumen perjalanan masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai. - BERNAMA

Imigresen Kelantan Tahan 19 GRO Rakyat Thailand

mStar Online : Imigresen Kelantan Tahan 19 GRO Rakyat Thailand:

KOTA BAHARU: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan menahan 19 wanita Thailand dalam serbuan ke atas sebuah kedai makan yang dijadikan pusat karaoke di Gua Musang, Selasa.
Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Abdul Basek Abu Bakar berkata serbuan dibuat kira-kira pukul 11.30 malam ketika kira-kira 70 orang berada di dalam pusat itu, sebahagian besar adalah penduduk tempatan, sedang menikmati hiburan dan minuman keras.
"Hasil pemeriksaan itu, kami mendapati 19 orang adalah wanita Thailand yang dijadikan pelayan, melayan tetamu yang hadir di situ," katanya kepada pemberita Rabu.
Menurut Abdul Basek sebelum itu pihaknya menerima maklumat orang ramai berhubung kegiatan sebuah restoran yang menggunakan wanita rakyat asing sebagai pelayan di pusat karaoke itu.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua wanita warganegara Thailand berusia antara 18 dan 44 tahun mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mereka ditahan kerana disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral.
"Kami bawa mereka ke Pejabat Penguatkuasa di sini untuk siasatan lanjut dan ditahan sementara di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah sebelum tindakan susulan dibuat termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal," katanya.
Beliau juga berkata sepanjang operasi yang dijalankan sebelum ini bermula 11 April hingga 6 Mei lepas seramai 1,101 rakyat asing diperiksa di Kelantan dan daripada jumlagh itu, seramai 144 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.
"Sebahagiannya telah selesai siasatan dan dikenakan tindakan manakala sebahagian lagi masih dalam perbicaraaan," katanya. - BERNAMA

‘Saya berdoa ada orang nampak kami’

myMetro | ‘Saya berdoa ada orang nampak kami’:

DUNGUN: “Saya berdoa agar ada orang nampak kenderaan kami yang terbabas kerana kawasan itu gelap dan jarang dilalui kenderaan,” kata Hasnah Mamat, 55, menceritakan detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Papan, kelmarin.
Hasnah berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya, Mohd Faizul Hadi Mohd Bustaman, 32, dalam perjalanan dari Dungun ke rumahnya di Kampung Minda, di sini, pada jam 7 malam.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia terkejut mendapati jalan di situ sedang diperbaiki menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter.
Hasnah berkata, setengah jam kemudian dia terdengar suara beberapa lelaki yang menjerit bertanyakan keadaannya sebelum mereka diselamatkan. “Saya bersyukur kerana selamat dan nasib baik salah seorang lelaki yang melalui kawasan itu ternampak kami lalu membantu mengeluarkan kami,” katanya.

Keluar wad balas dendam

myMetro | Keluar wad balas dendam:


SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 34 tahun yang bersenjatakan parang mengugut menetak bapanya dan memecah serta membaling sebuah televisyen keluar dari rumah dalam satu kejadian amuk di Taman Semangat, Jalan Bakar Sampah, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek yang bersenjatakan parang cuba menyerang sebuah kedai tidak jauh dari rumahnya, tetapi gagal sebelum pulang dan mengamuk di rumahnya.

Sumber berkata, suspek dipercayai mahu membalas dendam kerana dua hari lalu berlaku pergaduhan antara suspek dengan beberapa lelaki menyebabkan dia cedera.
“Suspek kemudian dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, bagi mendapatkan rawatan.

“Namun pagi kelmarin, suspek melarikan diri dari hospital dan pada jam 8 malam kelmarin, suspek membawa sebilah parang ke kedai berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakannya dilihat pemilik kedai itu yang segera menutup pintu.
“Berang dengan tindakan pemilik kedai itu, suspek menetak meter elektrik kedai berkenaan dan pulang ke rumahnya.

“Sebaik pulang suspek, bergaduh dengan bapanya dan memecah serta membuang televisyen keluar rumah,” katanya.
Menurut sumber, suspek kemudian mengancam mahu menetak bapanya kerana terlalu marah selepas gagal untuk membalas dendam.

“Bapa suspek menghubungi polis sebelum suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya.

Dibelasah selepas nahas

myMetro | Dibelasah selepas nahas:


KUCHING: Kematian seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan apabila merempuh seorang pejalan kaki, di Batu 13, Jalan Penrinssen, di sini menimbulkan tanda tanya sama ada disebabkan kemalangan atau akibat dibelasah.
Ini kerana Mathew Roker anak John Wayne, 18, dari Kampung Pingiran, Batu 14, di sini ditemui dengan mukanya bengkak selain kesan luka pada badan, dipercayai akibat dibelasah individu tidak dikenali selepas merempuh seorang pejalan kaki kira-kira jam 9.30 malam kelmarin. 
Mathew meninggal dunia selepas enam jam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS), selepas dipercayai dipukul orang ramai.

Bapa saudara mangsa, Bobby anak Jaii 45, berkata, Mathew menunggang berseorangan dikatakan merempuh seorang pejalan kaki ketika dalam perjalanan ke rumah gurunya di Batu 11.

“Saya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan mengatakan anak saudara saya terbabit dalam kemalangan. Tanpa membuang masa, saya terus ke tempat kejadian dan terkejut apabila melihat wajah Mathew yang seperti dibelasah.

Pemandu tersepit dua jam

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bertungkus-lumus mengeluarkan seorang pemandu treler yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 76 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Air Sejuk, Setiu, semalam.
SETIU 8 Mei - Seorang pemandu treler dan kelindannya yang membawa muatan sarat buah kelapa dan baja terpaksa menahan azab tersepit di bawah kenderaan mereka kira-kira dua jam sebelum diselamatkan dalam kemalangan pagi ini.
Kemalangan berlaku di Kilometer 76 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Air Sejuk, di sini ketika pemandu berkenaan, Nurame Abdul Rahman, 35, dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju ke Rantau Panjang, Kelantan untuk menghantar bekalan kelapa dan baja.
Treler itu dipercayai terbabas setelah satu daripada tayar depan sebelah kanannya pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.
Nurame bersama kelindan yang belum dapat disahkan identitinya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Daerah Setiu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Mohd. Khairul Anuar Ahmad yang ditemui di tempat kejadian berkata, pemandu treler tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya setelah salah satu daripada tayarnya pecah.
"Ia melanggar sebatang tiang elektrik berhampiran sebuah kilang batu-bata sebelum terbalik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tiang elektrik yang tumbang itu pula menimpa sebuah kereta Perodua Kancil yang kebetulan diletakkan oleh pemiliknya di hadapan kilang berkenaan.
Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam sebelum treler berkenaan dialihkan. - BERNAMA

Ejen bersenjata buru pembayar cukai

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


BRASILIA 8 Mei - Sekumpulan ejen yang lengkap bersenjata akan terbang ke seluruh negara ini menaiki helikopter, mengetuk pintu rumah mereka yang dikenal pasti dan mengundang ketakutan kepada sesiapa yang melanggar undang-undang.
Namun, ejen tersebut bukan anggota polis, sebaliknya daripada agensi pemungut cukai, Perkhidmatan Hasil Persekutuan, yang terkenal di seluruh dunia dengan penggunaan taktik kreatif dan kerasnya, menjadi satu daripada kunci utama prospek ekonomi Brazil pada tahun ini.
Presiden Dilma Rousseff mengharapkan keberanian anggota daripada agensi pemungut cukai itu akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran bajet yang telah ditetapkan, tanpa diganggu keadaan ekonomi negara yang sedikit goyah.
Terkenal dengan 'singa' sebagai lambang rasminya dan juga mengejar individu yang cuba mengelak membayar hutang melalui kaedah keterlaluan, pelbagai taktik digunakan bagi memastikan individu dan syarikat terbabit mengisytihar serta membayar cukai mereka kepada kerajaan.
Operasi terbaru agensi itu menggunakan nama seperti 'harimau kumbang hitam' dan 'delta' yang biasanya dikaitkan dengan pasukan khas tentera.
Agensi itu turut menggunakan helikopter bagi mengukur luas dan nilai kediaman jutawan bagi memastikan mereka membayar cukai secara konsisten.
Tiada sesiapa yang terkecuali, Rousseff sendiri pernah disiasat pada 2009, ketika beliau memegang jawatan menteri dalam kerajaan terdahulu, kerana menurutnya berlaku satu kesilapan berkenaan pemulangan cukainya.
Namun, kaedah yang digunakan agensi tersebut turut mengundang rungutan di kalangan penduduk di negara ini.
Mereka berpendapat kemudahan infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan lain di negara ini tidak setimpal dengan cukai yang mereka sumbangkan.
Namun, ada juga yang memuji tindakan itu kerana ia meletakkan Brazil dalam sejarah pungutan cukai tersendiri di kalangan negara Amerika Latin.
"Apabila berbicara mengenai kutipan cukai, rakyat Brazil menjadi contoh terbaik, bukan sahaja di benua Amerika Selatan, malah di seluruh dunia," kata seorang penganalisis dari New York, Italo Lombardi. - REUTERS

Waris pembunuhan Batang Kali tuntut keadilan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 8 Mei - Waris kepada 24 pekerja ladang getah dari Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa pembunuhan tentera Britain pada 1948, hari ini menuntut keadilan dengan mengemukakan satu permohonan di mahkamah supaya siasatan lengkap dijalankan berhubung kejadian tersebut.
November lalu, kerajaan Britain menolak mengadakan siasatan rasmi terhadap peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali, Selangor itu semasa zaman penjajahan Britain.
Ahli keluarga mangsa yang tidak berpuas hati bertindak mencabar keputusan itu dan perbicaraan akan berlangsung di Mahkamah Tinggi London, hari ini dan esok.
"Saya berharap kerajaan Britain akan memberi keadilan kepada kami," kata Lim Ah Yin, 76, dalam satu sidang media di sini bersama dua lagi pihak yang menuntut.
Ah Yin yang berusia 11 tahun ketika kejadian menceritakan, dia terdengar bunyi tembakan yang membunuh bapanya dan turut mendakwa tentera Britain mengugut untuk membunuh ibunya bagi mendapatkan maklumat mengenai lokasi komunis.
Loh Ah Choi, 71, pula berkata, dia mendengar bapa saudaranya mati selepas ditembak tiga kali.
"Saya mahu kerajaan Britain memohon maaf dan keadilan sewajarnya akan diperolehi keluarga kami," katanya.
Peguam mereka, John Halford menuduh kerajaan Britain seolah-olah menutup kejadian tersebut dan mendakwa, mangsa ketika itu tidak bersenjata dan tidak memberi ancaman kepada askar yang membunuh mereka.
"Kejadian ini belum ada penyelesaian walaupun sudah 60 tahun berlalu, kerajaan Britain menafikan seolah-olah ia tidak pernah berlaku," katanya.
Pembunuhan tersebut dilakukan tentera Britain dikenali sebagai Pengawal Scots, ketika darurat di Malaya, yang melancarkan operasi ketenteraan menentang pengganas komunis.
Kerajaan Britain pernah membuka siasatan mengenai pembunuhan tersebut, namun pihak berkuasa menggugurkannya pada 1970 berikutan didakwa tidak mempunyai bukti kukuh. - AF

11 maut dalam kebakaran gedung di Filipina

Berita Harian Online | 11 maut dalam kebakaran gedung di Filipina:

BUTUAN (Filipina): Sekurang-kurangnya 11 kerani yang sedang tidur dalam sebuah gedung membeli belah di sini terbunuh apabila bangunan itu terbakar awal pagi tadi, kata pihak berkuasa tempatan.

Seramai 21 pekerja wanita terperangkap dalam kebakaran itu dengan tujuh masih hilang manakala tiga lagi terselamat selepas melompat dari tingkap tingkat dua,
"Dua puluh satu orang sedang tidur di tingkat dua apabila kebakaran bermula di tingkat bawah. Mereka tidak dapat mencari pintu kecemasan kerana bangunan berkenaan dipenuhi asap tebal," kata Ketua Jabatan Bomba wilayah, Cif Inspektor Mario Palarca.
Kebakaran itu berlaku di sebuah gedung di Butuan, bandar kecil di selatan Pulau Mindanao. - AFP

Kapten kapal layar ditemui maut selepas hilang 10 hari

Berita Harian Online | Kapten kapal layar ditemui maut selepas hilang 10 hari: "LOS ANGELES: Seorang kapten kapal layar yang hilang ditemui maut di laut , 10 hari selepas botnya pecah dan tenggelam dengan misteri di luar pantai Mexico, yang membunuh kesemua empat individu di atas kapal berkenaan, kata pegawai tempatan hari ini.

Seorang nelayan melihat sekujur tubuh berhampiran Kepulauaan Coronado Mexico, kelmarin. Ia dihantar untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan ia adalah Theo Mavromatis, 49, kapten kapal layar berkenaan, menurut Pejabat Pemeriksaan Perubatan wilayah San Diego.
Punca kematian disahkan akibat trauma, sama seperti dua daripada tiga mayat dari bot itu, berikutan kesan daripada perlanggaran dengan kapal lebih besar. Mangsa keempat disahkan mati lemas. - AFP"

'via Blog this'

Pihak keselamatan Venezuela tawan semula penjara

Berita Harian Online | Pihak keselamatan Venezuela tawan semula penjara: "CARACAS: Tembakan senjata api dilepaskan dalam penjara Venezuela hari ini sehingga memaksa anggota keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk merampas semula kawasan itu daripada kawalan banduan bersenjata.

Kerajaan negara itu berusaha menutup penjara La Planta berikutan dua cubaan melarikan diri di kalangan banduan dan aduan kesesakan serta mendakwa kemudahan itu tidak menepati piawaian.
Sebahagian besar banduan itu sudah dipindahkan ke pusat tahanan lain.
Pegawai kanan penjara, Iris Varela berkata, sekumpulan kecil banduan mendesak supaya mereka dipindahkan dan beberapa das tembakan dilepaskan dari dalam penjara berkenaan. - AP"

'via Blog this'

Pemilik Costa Concordia bayar pampasan dua juta euro

Berita Harian Online | Pemilik Costa Concordia bayar pampasan dua juta euro: "PARIS: Pemilik kapal persiaran Costa Concordia yang terkandas di luar barat laut perairan Itali Januari lalu membayar pampasan lebih dua juta euro kepada mangsa warga Perancis yang terselamat dalam nahas itu, kata peguam mereka hari ini.

Costa Crociere, yang dimiliki syarikat gergasi Amerika Syarikat, Carnival Corporation, membayar 9,000 euro (RM35,841) kepada setiap seorang membabitkan 235 mangsa yang terselamat, kata peguam Bernard Courtois.
Seramai 32 orang terbunuh apabila Costa Concordia terbalik pada 13 Januari lalu ketika membawa 3,200 penumpang.
Daripada jumlah itu, 456 adalah warga Perancis dan 180 daripada mereka menerima bayaran 11,000 euro (RM43,806) setiap seorang daripada syarikat sebagai pertukaran untuk menggugurkan sebarang tindakan undang-undang; kira-kira 20 mangsa pula memfailkan saman secara bersama manakala 20 lagi mengambil tindakan mahkamah secara individu. - AFP"

'via Blog this'

Nenek rentung bilik terbakar

Foto
ANGGOTA polis memeriksa bilik yang terbakar.
MUAR: Jeritan warga tua berusia 96 tahun akibat terperangkap menyelubungi persekitaran rumah cucunya yang sedang musnah dijilat api, sebelum mayat mangsa ditemui rentung atas katil dalam tragedi dekat Parit Raja di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 11.50 pagi di Taman Mahkota itu, Kalthum Sukaimin, 96, tinggal sendirian apabila cucunya menghantar ibu yang juga anak warga emas terbabit ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah menjalani pemeriksaan kesihatan.
Mangsa sudah terlantar dan tidak dapat bergerak kerana sakit tua itu, ditinggalkan sebentar oleh cucu dan anaknya yang ke hospital berdekatan tidak sampai satu jam sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku.

Foto
ORANG ramai meninjau keadaan rumah yang
 terbakar di Taman Mahkota, Muar, semalam.




Warga tua tinggal sendirian, cucu hantar ibu jalani pemeriksaan kesihatan
Pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40, yang juga jiran keluarga itu, menyedari kejadian itu sejurus sampai menghantar cicit mangsa pulang dari sekolah dan terkejut melihat api sedang marak menjulang bahagian belakang rumah berkenaan. 

Menyedari mangsa berada di bilik belakang berhampiran dapur, beliau terus memberhentikan van di depan rumah berkenaan sebelum mengambil kunci di bahagian rak kasut untuk masuk menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya kerana api terlalu marak. 

“Api marak dengan asap tebal menyebabkan saya tidak dapat masuk ke dalam bilik nenek. Saya ralat apabila terdengar jeritan nenek meminta tolong beberapa minit sebelum hilang dalam api marak memusnahkan keseluruhan rumah, namun tak berdaya membantunya. 
“Dalam keadaan panik dan hilang punca, saya menghubungi bomba apabila api menjadi terlalu marak,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di sini, semalam. 

Cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, neneknya ditinggalkan sendirian di rumah untuk seketika kerana beliau membawa ibunya mengambil ubat kira-kira jam 10.40 pagi.

Beliau yang juga doktor di hospital berkenaan berkata, sebelum kejadian beliau memaklumkan kepada neneknya mereka keluar ke hospital.

“Nenek tinggal bersama saya, suami, ibu serta lima anak saya tetapi ketika kejadian kami semua tiada di rumah. Saya terkejut apabila diberitahu jiran kira-kira jam 12 tengah hari mengenai kebakaran dan bergegas pulang bersama ibu," katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Mohd. Juhar Tumin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan jam 11.58 pagi.
Berita Harian Online | Nenek rentung bilik terbakar:

Pengsan dihempas tentera AS

Berita Harian Online | Pengsan dihempas tentera AS:


Ibu tunggal Iraq cerita seksaan ketika ditahan di Penjara Abu Ghraib 

JAMEELAH memberi keterangan ketika Perbicaraan Pertuduhan Jenayah Perang Terhadap  Bush dan sekutunya di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.
JAMEELAH memberi keterangan ketika Perbicaraan
 Pertuduhan Jenayah Perang Terhadap Bush dan
 sekutunya di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dari Kirkuk, Iraq diseksa tanpa perikemanusiaan ketika ditahan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Penjara Abu Ghraib pada 2004.
Jameelah Abbas Hameedi, 57, memberitahu Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur semalam, beliau dihempas dinding ke dinding sehingga pengsan, dipaksa menanggalkan pakaian, dipukul sehingga berdarah dan dikurung dalam lokap tahanan sempit.
Saksi ketiga pendakwaan pada tribunal perbicaraan jenayah penderaan dan perang terhadap bekas Presiden AS, George W Bush dan sekutunya berkata, seksaan itu dilaluinya ketika ditahan di pangkalan tentera AS Kirkuk, Baghdad dan Penjara Abu Ghraib. 

Episod ngeri itu bermula pada 13 Januari 2004 apabila rumahnya diserbu tentera AS yang mendakwa beliau memberi bantuan kewangan kepada puak penentang. 

“Tentera AS tuduh kami beri bantuan kewangan kepada penentang dan mereka mahukan wang itu. Mereka menggeledah seluruh rumah dan tidak menjumpai apa-apa, kecuali 150 dinar iaitu wang untuk belanja harian kami,” katanya. 

Bekas Ketua Kesatuan Koperasi Kirkuk ketika era pemerintahan Presiden Saddam Hussein itu memberi keterangan dari kandang saksi menerusi seorang penterjemah dan tampil berpakaian serba hitam di depan lima hakim tribunal diketuai bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd Yunus. 
Saksi itu memberitahu Tribunal pada malam serbuan itu, beliau dan empat lain, termasuk anak perempuannya, dibawa ke pangkalan udara di Kirkuk untuk disoal siasat. 

Katanya, ketika ditahan di situ, beliau tidak diberi makan dan minum serta tidak dibenarkan ke tandas, selain terus disoal siasat mengenai pembabitannya dengan puak penentang, termasuk hubungannya dengan Parti Baath (parti pemerintah di Iraq sebelum Saddam digulingkan pada 2003). 

Jameelah berkata, dari Kirkuk beliau dipindahkan ke Lapangan Terbang Baghdad, di mana beliau didera secara fizikal dan mental berulang kali, termasuk dihempas dinding ke dinding sehingga pengsan, diseret kepala, dibelasah dan dipaksa merangkak selepas pakaiannya ditanggalkan dan dicurahkan ais sejuk oleh seorang tentera AS wanita berkulit hitam dalam sebuah bilik gelap. 

“Pada malam hari, saya dengar bunyi muzik dan jeritan. Kemudian mereka buka lokap saya dan biarkan anjing yang besar menyalak di depan saya dan membuatkan saya teramat takut. Mereka buat demikian untuk beberapa ketika sebelum menutup lokap dan meninggalkan saya, ” katanya. 

Jameelah berkata, selepas 20 hari di Kirkuk dan Baghdad, beliau dipindahkan ke Abu Ghraib menggunakan pikap di mana beliau ditempatkan dalam sebuah lokap sempit berukuran dua meter lebar dan panjang selama enam bulan. 

Pada perbicaraan itu, akuan bersumpah bekas tahanan Abu Ghraib, Ali Sh Abbas dan bekas tahanan Teluk Guantanamo, Rhuhel Ahmed digunakan sebagai bukti tambahan bagi kes itu. 

Perbicaraan ke atas Bush bersama bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor undang-undang, John Yoo bersambung hari ini.

Lelaki maut digigit anjing ketika joging

Berita Harian Online | Lelaki maut digigit anjing ketika joging:

Mangsa parah di leher, putus telinga kanan
POLIS memeriksa mayat Yip yang maut diserang anjing ketika berjoging di perumahan  Seksyen 19/5B, Subang Jaya, semalam. Gambar kecil, anjing Pitbull Terrier yang menyerang mangsa.
POLIS memeriksa mayat Yip yang maut diserang
anjing ketika berjoging di perumahan Seksyen
19/5B, Subang Jaya, semalam. Gambar kecil,
anjing Pitbull Terrier yang menyerang mangsa.
SUBANG JAYA: Rutin harian seorang lelaki warga emas yang berjoging sejak 20 tahun lalu bertukar tragedi, apabila maut diserang seekor anjing di kawasan perumahan di Seksyen 19/5B, di sini, pagi semalam.
Mangsa, Yip Sun Wah, 74, mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di leher dan putus telinga kanan selepas bergelut dengan anjing jenis ‘Pitbull Terrier’ hampir lima minit.
Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, mangsa yang sedang berjoging di sekitar kawasan perumahannya itu secara tiba-tiba diserang seekor anjing yang keluar dari kandang sebuah rumah, menyebabkannya terjatuh sebelum leher dan telinga mangsa digigit haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah dan pendarahan teruk mati di tempat kejadian, sebelum mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, pemilik anjing berkenaan tidak mengikat binatang berkenaan dan ia dipercayai keluar melalui pintu sampah sebelum menyerang mangsa yang sedang berjoging di kawasan berkenaan.

“Ini insiden pertama berlaku di kawasan perumahan berkenaan dan mangsa yang tinggal kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian hampir setiap hari berjoging sejak 20 tahun lalu,” katanya di lokasi kejadian, semalam. 
Beliau berkata, pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor mendapati pemilik mempunyai lesen sah membela anjing jenis ‘Pitbull Terrier’ yang dipeliharanya sejak tiga bulan lalu.

Katanya, polis akan mengambil keterangan pemilik binatang berkenaan dalam tempoh terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, isteri mangsa, Lim Yoke Kim, 73, berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya itu seorang penduduk sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dia dan empat anak lelakinya tiba, suaminya sudah meninggal dunia.

“Sejak bersara 20 tahun lalu, hampir setiap hari suami saya akan berjoging di sekitar kawasan perumahan kira-kira sejam, namun saya tidak menyangka ia bertukar tragedi sehingga membawa maut, katanya.

Pasukan khas polis siasat kes culik Ketua Wanita MIC

Pasukan khas polis siasat kes culik Ketua Wanita MIC - Sinar Harian:


JOHOR BHARU - Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes Ketua Wanita MIC Bahagian Pasir Gudang, K.Sundari, yang mendakwa dirinya diculik dan diserang kerana enggan melepaskan jawatan dalam parti itu.
“Ini kesalahan yang serius dan kita akan siasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik," kata Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan menyiasat kes dari semua sudut.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan baru-baru ini bahawa Sundari telah diculik seorang wanita ketika bersembahyang di sebuah kuil di Plentong pada 10.30 malam 5 Mei lalu dan dibawa ke suatu tempat terpencil sebelum dikatakan ditampar, ditendang dan diugut.
Mangsa kemudiannya dikatakan ditinggalkan di sebuah tanah perkuburan Islam di kawasan Cahaya Baru di Masai di sini.
Sundari mendakwa penculik berkenaan yang disertai dua lagi wanita dan seorang lelaki memaksanya menurunkan tandatangan dan nombor kad pengenalan di atas tiga keping kertas bersaiz A4 selain mengambil wang tunai RM170 daripadanya. - Bernama

Duit rasuah bantu penduduk

Duit rasuah bantu penduduk - Pahang - Sinar Harian:


KUANTAN - Seorang kontraktor dan peniaga yang mengaku bersalah atas tuduhan menerima suapan berhubung kontrak perkhidmatan pembersihan di Kampung Tok Kaya Kiri, Kemaman Terengganu, pada Mei 2009 memberitahu mahkamah bahawa wang RM5,000 yang diperoleh itu digunakan untuk membantu masyarakat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.
Tertuduh, Ramli Abdullah, 45 dari Kampung Semayor dan rakannya, Alias Hamzah, 35 dari Kampung Baru, Kemasek, Kemaman, Terengganu melalui peguam mereka memberitahu, wang itu digunakan untuk mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dalam Dun Kemasik bagi tujuan membeli pakaian dan kasut sekolah untuk pelajar miskin.
Mereka juga memberitahu, wang itu juga digunakan untuk membeli lembu dan disumbangkan sempena sambutan Maulidur Rasul.
Atas alasan itu, tertuduh merayu agar hukuman paling minima dikenakan ke atas mereka, tambahan pula kesalahan itu kali pertama dilakukan malah pengakuan bersalah yang dibuat menjimatkan masa dan wang mahkamah.
Mengambil kira segala pertimbangan sewajarnya, Hakim Fathiyah Idris mengarahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara sehari dan didenda RM25,000 atau 25 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika sebuatan pertama kes tersebut dalam mahkamah sama, 15 Februari lalu sebelum dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 setiap seorang.
Berdasarkan kertas pertuduhan , kedua-dua tertuduh didakwa menerima sekeping cek bernilai RM5,000 daripada seorang kontraktor, Ahmad Mizani Mohd melalui Arman Alias.
Cek atas nama Ramli Abdullah itu sebagai dorongan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir. Rosli Othman tidak mengguna pengaruhnya untuk membatalkan kontrak yang diperolehi Syarikat Cekap Sekitar Sdn. Bhd. daripada Majlis Perbandaran Kemaman.
Kontrak membabitkan perkhidmatan mengangkut sampah, membersih longkang, memotong rumput, menyapu jalan dan kerja-kerja berkaitan Zon R di Kampung Tok Kaya Kiri, Kemaman, Terengganu serta kawasan sekitarnya.
Kedua-dua mereka dituduh dengan niat bersama melakukan kesalahan itu di sebuah bilik, Impana Hotels & Resort ,Kilometer 32 Jalan Kuantan-Kemaman dekat sini kira-kira jam 9.45 malam, 30 Mei 2009.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang paling tinggi.

Peneroka rugi RM20,000, kebun diceroboh gajah liar

Peneroka rugi RM20,000, kebun diceroboh gajah liar - Terengganu - Sinar Harian:

Peneroka rugi RM20,000, kebun diceroboh gajah liar
Peneroka rugi RM20,000, kebun diceroboh gajah liar
KEMAMAN – Akibat kebun pisang dan sawit diceroboh gajah liar, sepasang suami isteri kerugian lebih RM20,000 apabila sebahagian besar tanaman mereka di Felda Cerul, dekat sini, musnah dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Lebih menyedihkan, pemilik kebun berkenaan, Siti Latifah Nor Sapee, 21, hanya mampu terduduk sesudah melihat berpuluh-puluh tandan pisang yang sudah hampir masak bertaburan sementara anak pokok sawit yang berusia dua tahun ranap dikerjakan haiwan berkenaan ketika pergi ke kebun kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Ibarat malang datang bertimpa, kejadian tanaman musnah gara-gara gajah itu juga bukan musibah pertama dihadapinya malahan ia adalah kali ketiga dalam tempoh dua tahun menyebabkan dia sekeluarga mengalami kerugian besar, walaupun perkara itu telah diadukan kepada pihak berkenaan khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Saya terkedu dan rasa terlalu sebak apabila melihat sebahagian tanaman pisang dan kelapa sawit rosak bertaburan sebaik sampai di kebun sebelum memaklumkannya pada suami.

“Apabila diperiksa kami dapati ada kesan kaki gajah sedalam lebih 30 sentimeter di beberapa tempat di kawasan kebun seluas lebih dua hektar itu dan tidak syak lagi sekumpulan gajah liar itu datang semula memusnahkan kebun saya ini,” katanya ketika membersihkan sebahagian tanaman kelapa sawit yang rosak di kebun mereka itu.

Sebelum ini, Siti Latifah Nor menanam semula pokok kelapa sawit dan pisang sejurus sebahagiannya musnah awal tahun lalu akibat serangan haiwan terbabit dengan bantuan kewangan daripada bapanya.

Sementara itu, suaminya, Shaari Mamat, 26, memberitahu, impian mereka untuk menyimpan wang hasil jualan pisang yang tidak lama lagi boleh dituai musnah, kerana sebahagiannya telah dirosakkan manakala anak sawit yang berusia dua tahun pula tidak sempat mengeluarkan hasil.

“Perasaan sedih tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Siapa tidak sedih kalau sebahagian besar tanaman musnah. Paling sayu bila lihat berpuluh-puluh tandan pisang bertaburan di atas tanah.

“Kami telah mengadu masalah ini kepada beberapa pihak berkenaan seperti Perhilitan agar tindakan pencegahan dapat diambil termasuk berusaha mendapatkan bantuan anak benih dan membina pagar elektrik namun semuanya menemui jalan buntu,” katanya kesal.

 Sehubungan itu, Shaari berharap masalah mereka itu mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak berkaitan sekali gus dapat membantu mereka mencari modal untuk menanam semula sebagai sumber rezeki.

Kes buang bayi meningkat setiap tahun

Kes buang bayi meningkat setiap tahun - Perak - Sinar Harian:


Kes buang bayi meningkat setiap tahun
Hang Soon meluangkan masa melawat bayi yang dipercayai dibuang di sebuah lorong di Bercham.
IPOH - “Kalau tak mampu jaga, jangan buang di merata-rata, tempatkanlah bayi itu di tempat yang sepatutnya,” tegas Exco Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika mengulas berhubung penemuan seorang bayi lelaki di sebuah lorong di Bercham, kelmarin.

Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana selain sebagai satu perbuatan tidak bermoral, ianya juga secara tidak langsung boleh membahayakan nyawa bayi berkenaan.

Menurutnya, bayi-bayi yang dibuang di kawasan berbahaya, diyakini bakal terdedah kepada pelbagai risiko seperti menjadi mangsa kepada serangan haiwan dan serangga serta keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Saya dimaklumkan, bayi berkenaan diserahkan polis kepada hospital sekitar 1 pagi tadi (semalam) dan saya dimaklumkan keadaan bayi itu berada dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya mengadakan lawatan di wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Bayi berkenaan difahamkan, akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan rapi.

Dalam perkembangan sama, Hang Soon berkata, berdasarkan kepada rekod, kes berkenaan adalah ketiga yang dirujuk kepada JKM, tahun ini.

Secara kronologi, sebanyak enam kes pembuangan bayi dilaporkan berbanding 2010 (lima kes), 2009 (dua kes) dan tiga kes pada 2008.

Hang Soong yang juga Adun Chenderiang berkata, orang ramai yang berada dalam kelompok masalah sama boleh menempatkan bayi mereka di tempat yang disediakan.

Katanya, Hospital Pakar KPJ Ipoh contohnya, ada menyediakan pusat perlindungan bayi atau dikenali ‘babyhatch’ demi kemudahan orang ramai untuk meletakkan bayi-bayi ‘terbuang’ secara selamat.

Mayat kembung ditemui

Mayat kembung ditemui - Sinar Harian:

Mayat kembung ditemui
Mayat lelaki yang dijumpai orang awam di dalam lombong tersebut sudah hampir reput.
KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan kembung di sebuah lombong di Batu 4 Jalan Ipoh, tengah hari semalam.
Mayat dalam keadaan bogel itu ditemui orang awam yang hendak memancing di kawasan lombong itu, kira-kira jam 12 tengah hari.
Terkejut dengan penemuan itu, lelaki terbabit membatalkan hasrat memancing dan terus melaporkan kepada polis.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mati sejak tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung dan hampir reput.
“Tiada butir pengenalan diri dijumpai pada mayat lelaki India berusia dalam lingkungan 30-an itu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah, kes itu diklasifikasi mati mengejut. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Pemandu lori treler tersepit di bawah kenderaan

Pemandu lori treler tersepit di bawah kenderaan - Terengganu - Sinar Harian:


Pemandu lori treler tersepit di bawah kenderaan
Nurame terperangkap hampir dua jam di dalam kepala lorinya kerana kakinya tersekat pada papan pemuka lori.
SETIU - Seorang pemandu lori treler yang membawa muatan sarat buah kelapa, melalui pengalaman menakutkan, apabila dia tersepit di bawah kenderaan itu yang terbalik.
Dia turut menanggung azab selama kira-kira dua jam berada di bawah kenderaan itu, sebelum diselamatkan dalam kemalangan yang berlaku semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi di Kilometer 76 Jalan Kuala Terengganu- Jertih dekat Kampung Air Sejuk, Permaisuri, pemandu berkenaan, Nurame Abdul Rahman, 35, bersama kelindannya dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Rantau Panjang,
Kelantan untuk menghantar bekalan kelapa.
Kejadian dipercayai berlaku apabila salah satu tayar depan kanan lori yang membawa muatan kira-kira 20 tan kelapa itu pecah, menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik.
Kepala lori tersebut nyaris merempuh sebuah pejabat syarikat pembuatan batu-bata selepas ia merempuh guni kapur binaan dan tiang elektrik yang berada berdekatan pejabat tersebut.
Sebaik terbalik, mangsa gagal keluar kerana tersepit pada bahagian papan pemuka lori manakala kelindannya berjaya keluar dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Khairul Anuar Ahmad yang mengetuai operasi menyelamat berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Menurutnya, bantuan traktor daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Setiu (MDB) terpaksa digunakan bagi mengangkat sedikit kepala lori, sebelum anggotanya berjaya mengeluarkan mangsa.
“Ketika usaha menyelamat hampir keseluruhan badan mangsa dipenuhi kapur yang dilanggarnya dan dia dikejarkan ke Hospital Setiu.
“Mangsa dalam keadaan sedar dan difahamkan tidak mengalami kecederaan serius, cuma kakinya saja tersangkut,” katanya.
Mohd Khairul Anuar berkata lagi, seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Setiu dan Balai Bomba Jertih terlibat dalam operasi tersebut.
Sementara itu sebuah kereta Perodua Kancil milik kakitangan syarikat membuat batu bata yang diletakkan di hadapan pejabatnya, ranap dihempap tiang elektrik yang tumbang setelah dirempuh lori treler terbabit.
Keadaan jalan dari kedua-dua arah pada mulanya sesak apabila puluhan ribu buah kelapa dari lori tersebut bertaburan di atas jalan raya, sebelum dibersihkan dengan jentolak MDS dan JKR.