Search This Blog

Tuesday, May 8, 2012

Noor Soeraya elak gambar dirakam

Noor Soeraya elak gambar dirakam - Sinar Harian:


SEREMBAN – Bekas pe­nga­rah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, 39, yang hadir ke Mahkamah Sesyen di sini semalam untuk menghadapi empat tuduhan berkaitan pemalsuan dokumen kenaikan gred jawatan, berjaya me­nge­lak gambarnya dirakam media.
Wartawan Sinar Harian yang menunggu di luar bilik mahkamah hampir sejam, kecewa apabila dia tidak keluar hingga wartawan beredar kira-kira jam 5 petang.
Kira-kira 4.40 petang, suami Noor Soeraya menghampiri wartawan dan meminta gambar isterinya tidak dirakam kerana akan menjejaskan maruah.
Menurutnya, Noor Soeraya, sedih apabila gambarnya dipaparkan dalam akhbar ketika dihadapkan ke mahkamah tidak lama dahulu.
Hakim Datin Nursinah Adzmi semalam mengarahkan pendakwaan menyerahkan ketiga-tiga rakaman percakapan Noor Soeraya kepada peguam bela bagi membolehkan prosiding perbicaraan dijalankan.
Peguam Noor Soeraya, Abdul Aziz Hamzah berkata, pihak pendakwaan telah merekodkan empat rakaman percakapan tertuduh pada 12, 13 Julai, 11 Ogos 2011 dan yang terakhir 17 Januari lalu.
Namun, pihaknya hanya menerima rakaman percakapan terakhir, manakala tiga lagi tidak diserahkan kepada pihaknya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nuur Hafiedzah Md Daud berkata, pihaknya hanya menyerahkan rakaman percakapan terakhir itu mengikut Seksyen 50 (3) Akta SPRM.
Saksi pertama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Putrajaya, Rohaniza Hamzah, memberitahu mahkamah, Noor Soeraya memangku Gred G44 pada 2 Julai 2007 di Pejabat Menteri Pertanian, Kementerian Industri dan Asas Tani.
“Berkuat kuasa 16 April 2008, Noor Soeraya ditempatkan di Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dan bertugas sebagai Pengarah Veterinar Negeri serta diluluskan kepada Gred G 48 pada 1 April 2011.
“Pada 1 Jun 2011, dia bertukar ke Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Putrajaya dengan memegang Gred G44 dan memangku G48,” katanya.
Rohaniza berkata, terdapat surat pemangkuan Gred G44 tertuduh bertarikh 25 Julai 2007 dan ia ditandatangani Ketua Pengarah Veterinar.
Menurutnya, terdapat dua buku rekod perkhidmatan­ Noor Soeraya disimpan di Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Putrajaya yang mempunyai maklumat gred jawatan, tangga gaji, maklumat cuti dan kursus serta kenaikan pangkat.

Tarik balik lesen pemandu pembajak bawa kanak-kanak

Tarik balik lesen pemandu pembajak bawa kanak-kanak - Utara - Sinar Harian:

ALOR SETAR - Tindakan menarik balik lesen akan dikenakan terhadap pemandu jentera pembajak yang masih berdegil membawa kanak-kanak menaiki kenderaan itu, ketika membajak sawah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, segelintir pemandu dikenal pasti mengabaikan keselamatan kanak-kanak dengan membenarkan mereka menumpang di atas jentera pembajak.

Menurutnya, setiap pengendali jentera berkenaan akan dilatih di Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk mendapatkan lesen memandu kelas E, dikeluarkan oleh JPJ kepada mereka yang layak.

“Aspek keselamatan sewaktu mengendalikan jentera itu amat ditekankan sewaktu latihan untuk meningkatkan kesedaran bakal pemandu, namun kita tetap kesal kerana ada antara mereka masih berdegil melanggar prosedur yang ditetapkan.

“Jentera pembajak harus disimpan dalam jarak 10 meter dari kawasan kediaman, bukan diletakkan di bawah rumah serta 10 meter jarak ketika beroperasi untuk mengelakkan berlaku sebarang kemalangan,” katanya.

Musadad berkata, pemandu juga perlu membawa pembantu ketika mengendalikan jentera kerana bunyi bising jentera semasa beroperasi akan menyukarkan pemandu mengawasi keadaan sekeliling.

“Jentera pembajak juga tidak dibenarkan berada atas jalan raya melainkan diawasi dua kenderaan lain, di hadapan serta belakang supaya tidak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Kita juga menggesa orang ramai supaya sentiasa mengawasi keselamatan kanak-kanak, supaya kejadian kanak-kanak maut sewaktu menaiki pembajak sawah tidak akan berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya setiap pemilik jentera perlu sentiasa memantau aktiviti operasi membajak berkenaan ketika pemandu sedang menjalankan kerja mereka.

Sinar Harian semalam melaporkan seorang kanak-kanak, Muhammad Fariz Najmi Nurizan, 9, maut akibat kepalanya digilis bilah pembajak, setelah terjatuh dari jentera pembajak yang dipandu bapa saudaranya, Habibullah Halim, 27, di Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang, pada 5 Mei lalu.

Anak lari akibat salah faham kembali ke pangkuan keluarga

Anak lari akibat salah faham kembali ke pangkuan keluarga - Selangor & KL - Sinar Harian:


Anak lari akibat salah faham kembali ke pangkuan keluarga
Kay Yee (dua, kanan) bersama anak dan suaminya, Chong Mun Keong (dua, kiri) ketika sidang media, semalam
SELAYANG – Kebimbangan seorang ibu selepas tindakan anak perempuannya keluar rumah mengikut tiga warga Afrika berakhir apabila anaknya pulang ke pangkuan keluarga selepas dua hari laporan polis dibuat.

Lim Choon Heng membuat aduan ke biro aduan MCA tentang kehilangan anaknya, Ng Kah Yee selepas bimbang dengan keselamatan anaknya yang hilang tanpa meninggalkan pesanan.

MCA kemudian bertindak membuat sidang media sehari selepas kehilangan Kah Yee dan memohon jasa orang awam yang mengenali dan menjumpainya untuk menghubungi keluarga terdekat.

Bagaimanapun, sehari selepas pendedahan itu, Kah Yee dengan sendirinya pulang ke rumah untuk menyelesaikan permasalahan keluarga.

Kah Yee berkata, dia tidak dilarikan oleh rakannya yang merupakan tiga warga Afrika sebaliknya keputusan keluar rumah dibuat selepas berlaku salah faham antara dia dengan ibunya.

Menceritakan kejadian, dia pulang jam 1 pagi dan dihantar rakannya (warga Afrika) selepas melawat seorang rakannya yang terlantar sakit di Hospital Selayang.

“Sewaktu tiba di rumah, ibu memarahi saya kerana keluar dan berkawan dengan orang yang baru sebulan dikenali sebelum memarahi rakan-rakan serta menghalau mereka menyebabkan saya rasa terkilan kerana tidak menghormati tetamu,” katanya pada sidang media di pejabat MCA di Selayang Jaya, semalam.

Selepas didedahkan media katanya, ramai yang menghubunginya untuk memujuk pulang termasuk rakan-rakannya dan mengambil keputusan pulang selepas perbincangan serta sesi kaunseling diberikan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Penyelaras MCA Parlimen Selayang, Jessie Ooi yang banyak membantu memberikan kaunseling dan berjanji akan membuat permohonan rumah di projek perumahan rendah supaya dapat belajar berdikari.

“Insiden kehilangan saya juga banyak membuka mata banyak pihak yang rasa bertanggungjawab untuk menjejaki saya,” katanya.

Dituduh curi sembilan ayam di pasar

Dituduh curi sembilan ayam di pasar - Utara - Sinar Harian:

GEORGETOWN - Seorang lelaki dituduh mencuri sembilan ayam milik seorang peniaga di Pasar Taman Tun Sardon, 3 Mei lalu.

K Veeraselvan, 37, dari Ladang Kalidonia, Nibong Tebal, dituduh mencuri ayam milik Omar Gulap bernilai kira-kira RM150 di pasar berkenaan pada jam 9.20 malam.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar di hadapan Majistret, Noor Aini Yusof.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua, yang mana kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.

Minta baiki jalan berselut segera

Minta baiki jalan berselut segera - Kelantan - Sinar Harian:

Minta baiki jalan berselut segera
Penduduk kampung menunjukkan jalan ke kampung yang berselut dan berlumpur
GUA MUSANG - Lebih 30 keluarga penduduk di Kampung Baru, dekat Bandar Chiku, di sini, terpaksa mengharungi jalan berselut dan berlumpur untuk berulang-alik ke bandar itu setiap hari.

Keadaan ini juga menyukarkan pelajar Sekolah Menengah Bandar Chiku (SMKBC) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chiku 3, kerana pakaian kotor apabila motosikal yang ditunggangi mereka kerap terbenam dalam jalan berselut itu.

Tinjauan mendapati, jalan kampung terbabit itu sentiasa berselut dan berlumpur terutama musim hujan.

Penduduk, Mohd Shaari Husin, 28, berkata, kampung terbabit diwujudkan lebih lima tahun lalu, dan belum ada kemudahan jalan perhubungan yang sempurna hingga menyukarkan penduduk untuk berulang-alik

Beliau berkata, aduan berkaitan masalah itu sudah dibuat kepada pemimpin tempatan, namun belum ada sebarang tindakan diambil menyebabkan­ penduduk sukar untuk ke bandar.

Katanya, walaupun kampung berkenaan baru, tetapi penduduk yang tinggal di situ kebanyakannya dalam kalangan anak peneroka Rancangan Tanah Felda Chiku Tiga.

“Jika hujan lebat amat sukar bagi kami untuk melalui jalan berkenaan, kerana berselut dan berlumpur hingga mengambil masa yang lama bagi melepasi laluan itu,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Mohd Zawawi Ilias, 32, pula berkata, sebagai sebuah kampung baru yang terletak berdekatan dengan Bandar Chiku sewajarnya ada jalan berturap.

“Paling mengecewakan apabila ramai pelajar sekolah yang melalui jalan itu berdepan dengan risiko kerosakan motosikal dan terpaksa datang ke sekolah dengan pakaian kotor akibat terkena selut berkenaan­” katanya.

Katanya, jalan perhubungan­ tersebut sewajarnya diturap, memandangkan ia menjadi perhubungan penting juga laluan­ untuk pelajar ke sekolah penduduk dan keadaan berlumpur apabila hujan lebat.

Jambatan runtuh jejas pendapatan 18 penoreh

Jambatan runtuh jejas pendapatan 18 penoreh - Kelantan - Sinar Harian:

Jambatan runtuh jejas pendapatan 18 penoreh
Penduduk bergotong-royong membina jambatan sementara
AIR MACHANG - Seramai 18 penoreh getah dekat sini risau pendapatan terjejas kerana hampir seminggu jambatan yang menghubungkan mereka ke kawasan ladang getah runtuh ekoran hujan lebat dan ribut, baru-baru ini.

Pekebun getah, Yaakub Che Wail, 53, berkata, jambatan simen tersebut sudah lebih 10 tahun digunakan penduduk yang mempunyai tanah kebun di seberang sungai untuk melakukan kerja harian.

Menurutnya, hujan lebat dan ribut punca arus sungai kuat dan menghakis tebing menyebabkan jambatan tersebut runtuh sebahagian.

“Sudah seminggu kami tidak menoreh dan mengeluarkan hasil getah ekoran terputus hubungan, kini pendapatan juga terjejas.

“Kami di sini bergantung kepada menoreh getah, mahu atau tidak pekebun terpaksa gotong-royong baiki sendiri walaupun sukar. Saya harap masalah ini mendapat perhatian pihak tertentu bagi menyelesaikan masalah pekebun di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tambahnya, inisiatif baik pulih jambatan tersebut dilakukan kerana sudah terlalu lama hasil getah dikeluarkan malah penoreh terpaksa berjalan kaki selama setengah jam untuk sampai ke kebunnya.

Rahimah Yaakub, 48, berkata, masalah jambatan runtuh itu amat membebankan pekebun getah sepertinya yang menjana pendapatan dengan menoreh.

Menurutnya, dia sudah empat tahun menoreh getah di kawasan tersebut amat berharap ada yang cakna tentang masalah itu.

“Sudah seminggu tidak menoreh, hendak keluarkan hasil pun tidak boleh kami terpaksa baik pulih sendiri namun dengan kudrat yang tidak seberapa ini,” katanya.

‘Spiderwomen’ tumpas

‘Spiderwomen’ tumpas - Terengganu - Sinar Harian:

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu beranak satu berlagak ala-ala ‘spiderwomen’ apabila dia memanjat tingkat tiga bangu­nan­ asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini.

Dia berbuat demikian dipercayai untuk mencuri tembaga wayar bumi yang dipasang di bangunan berkenaan, dalam satu kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, wanita berusia 32 tahun itu bertindak berani melakukan kerja-kerja memotong wayar bumi tanpa pertolongan sesiapa, walaupun dalam suasana persekitaran yang agak suram.

Difahamkan, dia yang turut memiliki rekod lampau jenayah dadah bertindak sedemikian kerana terdesak untuk mendapatkan wang, bagi membolehkannya membeli pil kuda yang menjadi ‘makanannya’ saban hari.

Bagaimanapun, wanita itu kantoi di tangan pengawal keselamatan bertugas semasa sedang mengangkat wayar-wayar yang berjaya dipotong untuk dibawa keluar dari lokasi terbabit.

Dia kemudiannya diserahkan kepada anggota polis peronda yang secara kebetulan melewati lokasi kejadian untuk membuat rondaan keselamatan.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan menjelaskan wanita itu kini direman selama empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Padah keluar waktu malam, pelajar dirogol

Padah keluar waktu malam, pelajar dirogol - Terengganu - Sinar Harian:

KUALA TERENGGANU - Tindakan nekad seorang pelajar tingkatan empat keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga untuk berjumpa dengan buah hatinya membawa padah apabila dia dirogol.

Kejadian berlaku di Kampung Chabang Tiga, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, 16, yang berasal dari Kampung Beladau, di sini, nekad keluar bersama teman lelakinya setelah berjanji untuk bersiar-siar di sekitar bandar raya di sini.

Teman lelaki yang dikenali sebagai Roy itu telah membawa mangsa ke sebuah rumah kosong di Chabang Tiga, di sini sebelum meninggalkannya keseorangan dengan mengunci pintu rumah dari luar dan memberi alasan hendak keluar sebentar berjumpa rakan.

Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa, setia menunggu teman lelakinya itu sehingga tertidur dan sebaik tersedar keesokan paginya, mangsa menyedari dia masih keseorangan di rumah itu.

Bagaimanapun, mangsa berasa pelik kerana merasakan kesakitan yang teramat pada kemaluannya.

Mengesyaki dirinya telah ‘diapa-apakan’ dan diperbodohkan oleh teman lelakinya itu, mangsa cuba melarikan diri namun dia terkedu apabila menyedari dia masih lagi dikurung, selepas mendapati pintu utama rumah masih berkunci dari luar.

Difahamkan, teman lelaki mangsa hanya membuka pintu rumah itu kira-kira jam 2 petang, selepas hampir separuh hari mengurung mangsa sebelum ‘membuang’ gadis itu begitu sahaja di depan Sekolah Kebangsaan Sri Nilam, di sini.

Mangsa yang kepenatan dan dalam keadaan tidak bermaya terpaksa berjalan hampir kira-kira satu kilometer (km) menuju ke rumah rakannya di Kampung Sungai Rengas, di sini, untuk mendapatkan bantuan.

Selepas menceritakan kejadian yang kepada keluarga rakannya, mangsa yang mengesyaki dirinya telah dirogol, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Posmen maut kereta terbabas

Posmen maut kereta terbabas - Sinar Harian:

 KUANTAN--  Seorang pemuda maut selepas kereta jenis Honda Civic yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Kuantan-Bypass depan sebuah stesen minyak dekat sini malam tadi.

 Muhamad Firdaus Rahani, 22, dari Taman Pelindung, Beserah dan bekerja sebagai posmen maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaannya.

 Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam  kejadian 8.40 malam itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Kuantan menuju Gambang.

 "Tiba di tempat kejadian, dipercayai mangsa telah terbabas sendiri ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang tiang elektrik.

 "Mangsa kemudiannya tercampak keluar dari keretanya dan mayat mangsa ditemui tertindih di bawah keretanya," katanya di sini hari ini.

 Beliau berkata pihak bomba dari Balai Bomba Taman Tas kemudiannya mengalih kenderaan tersebut sebelum mengeluarkan mayat mangsa.

 Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

 "Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata Mohamed Fauzi.- Bernama

Remaja mati: Bekas penjaga rumah kebajikan dipenjara

Remaja mati: Bekas penjaga rumah kebajikan dipenjara - Semasa - Sinar Harian:
SHAH ALAM - Dua tahun lepas, seorang bekas penjaga rumah kebajikan tergamak menampar, menumbuk dan membaling seorang remaja yang menghidap autisme ke lantai hanya kerana mangsa enggan makan sarapan pagi yang dibawanya.

Akibat perbuatan bekas penjaga itu, S. Tirupathi, 28, remaja malang berkenaan menemui ajalnya.

Tirupathi, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Brian Goh Kah Heng, 19, hari ini bernasib baik apabila terlepas daripada hukuman mati bagi kesalahan bunuh selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepadanya iaitu menyebabkan kematian mangsa di No: 38, Jalan 18/19, Taman Kanagapuram, Petaling Jaya dekat sini, antara pukul 10.30 pagi dan 11.30 pagi pada 24 Okt 2010.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir dalam keputusannya menjatuhkan hukuman penjara enam dan memerintahkan Tirupathi menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 24 Okt 2010.

Pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
 
Mengikut fakta kes, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan lebam di bahagian dada dan perut di rumah kebajikan itu.

Mangsa adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat mental dan fizikal serta tidak berupaya untuk menguruskan dirinya.

Mangsa dihantar ke rumah kebajikan, yang mempunyai kira-kira 30 penghuni itu dengan bayaran RM500 setiap bulan, dan tertuduh merupakan penjaga di rumah kebajikan berkenaan dengan pendapatan RM900 sebulan.

Pada hari kejadian, tertuduh bertugas menyediakan sarapan pagi untuk Goh dan apabila mangsa menolak, tertuduh bertindak menampar, menumbuk dada mangsa dengan kuat serta membaling remaja malang itu ke atas lantai sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan 'kejutan dan pendarahan teruk ekoran kecederaan limpa yang pecah'.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhani Mohamad Adzhar sementara tertuduh diwakili peguam R.S. Seelan.- Bernama

Anggota polis maut nahas jalan raya

Anggota polis maut nahas jalan raya - Sinar Harian:
KUANTAN -- Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum merempuh batu pembahagi jalan di Jalan Tanjung Lumpur dekat Bandar Putra di sini, awal pagi tadi.

Lans Koperal Mohamad Idzmir Amran, 32, dari Kempadang yang bertugas di Balai Polis Gambang cedera parah di kepala dalam kejadian pukul 6.05 pagi.
 
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, memberitahu mangsa menunggang sendirian dalam perjalanan menuju bandar Kuantan dari rumahnya.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan kenderaannya lalu tebabas melanggar batu pembahagi jalan dan tercampak ke laluan bertentangan.

"Mangsa cedera teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. - Bernama

Seorang ibu dipenjara dan denda kerana mencuri

Seorang ibu dipenjara dan denda kerana mencuri - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Gara-gara mencuri pakaian dan barangan kanak-kanak berjenama bernilai lebih RM1,000 di sebuah pasaraya, seorang ibu dipenjara sehari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
 
Majistret Azmil Muntapha Abas (ulang: Muntapha) turut memerintahkan tertuduh Norlela Osman, 29, dipenjara empat bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.
 
Azmil Muntapha ketika membuat keputusan itu berkata faktor kepentingan awam perlu diambil kira dan rayuan pihak pembelaan termasuk latar belakang tertuduh turut dipertimbangkan sebelum mahkamah menjatuhi hukuman.
 
"Kecurian di pasaraya adalah perkara yang sering berlaku di Kuala Lumpur dan hukuman yang diberikan bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh sebaliknya kepada masyarakat. Alasan tertuduh melakukan kesalahan itu disebabkan kesempitan wang bukan alasan yang munasabah," katanya.
 
Norlela didakwa mencuri 19 helai pakaian kanak-kanak berjenama, tiga botol susu dan barang kanak-kanak yang lain kepunyaan AEON Jusco Wangsa Maju bernilai RM1,017.80 di pasaraya itu di sini antara 8.30 malam hingga 9.30 malam pada Sabtu lepas.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara  maksimum 10 tahun dan denda.
 
Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana tertuduh yang tidak bekerja mempunyai tiga anak berusia antara lapan bulan dan lapan tahun dan seorang daripadanya menghidap ketumbuhan di belakang kepala manakala suaminya bekerja sebagai pemandu lori. - Bernama

Pelajar dakwa dibelasah guru

Pelajar dakwa dibelasah guru - Perak - Sinar Harian:

Pelajar dakwa dibelasah guru
Dailami menunjukkan luka dan lebam di bahagian pipi akibat ditumbuk serta dicakar oleh guru sekolahnya
GERIK - Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah, di sini, mendakwa di belasah seorang guru sehingga mengalami beberapa kecederaan termasuk bengkak di kepala.

Akibat kejadian dipukul pada 4 Mei lalu, pelajar berkenaan, Dailami Hizami Abdul Latiff, 14, mengalami simptom muntah-muntah sehingga di tahan di Hospital Gerik selama tiga hari.

Ibu pelajar berkenaan, Anita Ahmad, 46, berkata, pada hari kejadian dia datang mengambil anaknya di sekolah tetapi anaknya tidak ditemui sebelum pulang ke rumah dan meminta seorang lagi anak menjemput Dailami.

Menurutnya, ketika dibawa pulang Dailami mengalami beberapa kecederaan akibat dipukul guru tanpa diketahui punca sebenar.

“Menerusi laporan polis, anak saya memberitahu kira-kira jam 11.55 pagi sewaktu tamat sesi pembelajaran dia turun tangga untuk pulang tetapi secara tiba-tiba tiga orang guru menahan dan memaksanya masuk semula ke kelas.

“Ketika di dalam kelas itu, datang seorang lagi guru terus memukul muka anak saya dengan cara menumbuk dan mencakar pipi serta berulang kali memukul kepala menggunakan lutut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Anita berkata, ketika dipukul, salah seorang guru berkenaan turut memegangnya.

“Akibat kejadian itu, anak saya mengalami beberapa kecederaan termasuk luka di muka dan lebam di kepala.

“Anak saya juga mengalami pening-pening sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Gerik,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima rawatan dan dibawa pulang ke rumah keadaan kesihatan Dailami menjadi teruk apabila mengalami muntah-muntah serta loya.

“Pada sebelah malam keadaannya semakin teruk dan dia dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dalaman.

“Doktor ingin menahannya tetapi saya membuat permohonan membawanya ke Hospital Gerik semula.

Dailami ditahan di wad selama tiga hari dan dibenarkan pulang semalam,” katanya.

Anita berkata, kenapa guru-guru itu boleh bertindak sedemikian sedangkan mereka sewajarnya memberi pendidikan kepada anaknya.

“Sebelum ini, anak saya ada bergaduh dengan rakan sekelasnya dan pada hari Khamis iaitu sehari sebelum kejadian, bapa kepada pelajar ini meluru masuk ke kelas serta memukul anak saya.

“Saya ada membuat laporan polis tentang pergaduhan anak saya dengan pelajar berkenaan dan kemungkinan dia tidak berpuas hati,” katanya.

Katanya, dalam hal itu, orang luar dilihat boleh menceroboh sekolah sesuka hati dan memukul anaknya.

“Lebih terkilan, guru pula menyeret dan memukul anak saya dengan alasan enggan memberi kerjasama mengenai kes sebelum ini,” katanya.

Katanya, diharap Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini.

“Tidak lupa juga kepada pihak polis, supaya menjalankan siasatan secara telus dan adil serta tidak mengabaikan kes ini begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kes ini,” katanya.

Seorang lelaki ditemui tergantung dengan tali pada tingkap bilik air

Seorang lelaki ditemui tergantung dengan tali pada tingkap bilik air - Melaka & NS - Sinar Harian:


Seorang lelaki ditemui tergantung dengan tali pada tingkap bilik air
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (tengah) turut mengiringi mayat mangsa bunuh diri yang dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat
AYER KEROH - Seorang lelaki ditemui mati tergantung di dalam bilik air di rumahnya di Taman Ayer Keroh Heights, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kita-kira jam 10.15 malam itu, mangsa yang berusia 36 tahun ditemui oleh isteri dan abangnya selepas kira-kira 15 minit pintu bilik air tersebut berjaya dibuka abang mangsa yang tinggal di rumah bersebelahan.

Menurut sumber, isteri mangsa berusia 32 tahun sebelum itu mencari suaminya di dalam rumah sebelum mengesyaki mangsa berada di dalam tandas di bahagian bawah rumah teres dua tingkat berkenaan.

“Selepas isteri mangsa mengetuk pintu sambil memanggilnya tetapi tiada respons, dia meminta abang iparnya datang, lalu mengumpil pintu berkenaan.

“Mangsa kemudian dilihat tergantung dengan tali pada tingkap bilik air berkenaan. Isteri dan abang mangsa menurunkannya bagi memastikan keadaan mangsa sebelum menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pihak polis menerima panggilan kira-kira jam 11.30 malam dan mangsa yang dipercayai membunuh diri dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

SMS bapa, maklum hamil dua bulan

SMS bapa, maklum hamil dua bulan - Melaka & NS - Sinar Harian:

REMBAU – Seorang remaja berusia 15 tahun nekad menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapanya, berusia 40-an bagi memaklumkan dirinya hamil dua bulan kerana dirogol.

Sumber berkata, remaja terbabit yang menetap bersama ibunya setelah ibu dan bapanya bercerai, telah diarahkan bapanya untuk datang ke rumah pada hari sama SMS dihantar dan menceritakan perkara sebenar kepada bapanya.

Sehubungan itu menurutnya, bapa remaja terbabit membuat laporan polis pada 2 Mei lalu.

 “Tiga suspek, dua daripadanya berusia 17 tahun dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Satu tangkapan pada hari laporan dibuat dan dua lagi pada hari berikutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes masih disiasat di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

“Suspek ditahan reman tujuh hari daripada tarikhnya ditangkap,” katanya.

Pemandu nyaris maut

Pemandu nyaris maut - Selangor & KL - Sinar Harian:


Pemandu nyaris maut
Seorang anggota bomba membuat pemeriksaan kereta mangsa, semalam
SHAH ALAM - Seorang polis bantuan nyaris maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas berdekatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Jurucakap bomba, Haizad Morah Abas berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, kereta mangsa, Marzuki Yusoh, 28, dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan sebelum melanggar pembahagi jalan dan pokok.

“Kereta itu berpusing dua kali sebelum berhenti. Tiada kemala- ngan jiwa dilaporkan,” katanya.

Difahamkan, kereta mangsa mengalami 70 peratus kerosakan akibat insiden berkenaan.

123 premis judi disita

123 premis judi disita - Selangor & KL - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Pada tahun lalu sahaja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita hampir 123 premis kafe siber yang menjalankan aktiviti perjudian.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan berkata, dalam operasi itu sebanyak 628 monitor dan 2,950 unit pemprosesan pusat (CPU) disita.

“Sehingga Mac tahun ini pula, sebanyak enam premis disita membabitkan 105 monitor dan 106 CPU. DBKL melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992 dan Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993.

“DBKL akan terus mempertingkat kekerapan tindakan berkenaan bagi membendung masalah ini,” katanya ketika menjawab soalan Senator Chiew Lian Keng yang mempersoalkan mengapa pusat perjudian siber dan rumah pelacuran di sini masih meneruskan operasi selepas serbuan pihak berkuasa dilakukan.

Saravanan berkata, selain aduan dan maklumat orang awam, DBKL sentiasa membanteras kegiatan haram itu melalui risikan dan pemantauan berterusan.

Beliau berkata hasil usaha itu, beberapa kawasan dikenal pasti sering menjadi tumpuan pengusaha perniagaan haram itu dan tindakan penguatkuasaan lebih kerap serta berterusan akan ditumpukan di kawasan tersebut.

“DBKL turut mengambil inisiatif dengan mengatur operasi bersepadu dengan agensi kerajaan terlibat seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen dalam menangani masalah pelacuran dan pusat perjudian siber di sekitar Kuala Lumpur,” katanya. - Bernama

Dua tentera dituduh rompak berkumpulan

Dua tentera dituduh rompak berkumpulan - Utara - Sinar Harian:


Dua tentera dituduh rompak berkumpulan
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah setelah kes ditangguhkan sehingga 11 Jun depan
GEORGETOWN - Dua rakan sekerja dituduh melakukan rompakan secara berkumpulan ke atas seorang pemilik kedai siber 26 April lalu.

Mohd Nazzuan Mohamad Nat, 28, dan Syairul Azli Ahmad, 36, yang bekerja sebagai tentera dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Rumbia, Bukit Jambul jam 10.05 pagi.

Mereka dituduh merompak mangsa, Leong Yee Kwong dengan merampas tunai RM250 dan sebuah telefon bimbit berharga RM50.

Semasa rompakan, kedua-duanya dituduh menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu sebilah pisau.

Mengikut fakta kes, mangsa didatangi empat lelaki disyaki berbangsa Melayu, seorang daripada mereka menghampiri mangsa dan mengeluarkan pisau berwarna hitam dan meletakkannya di leher mangsa serta meminta wang.

Seorang lagi suspek mengambil telefon bimbit di atas meja di hadapan mangsa.

Mangsa kemudiannya menyerahkan wang perniagaannya kepada lelaki berkenaan.

Semasa keempat-empat lelaki terbabit hendak keluar dari premis itu, semua pintu dikunci rakan sekerja mangsa dan menyebabkan mereka memecah kunci pintu dan melarikan diri melalui pintu belakang, namun seorang suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis.

Setelah pertuduhan dibacakan, kedua-duanya yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Penolong Pendakwa Raya, Sariza Ismail Hakim menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Hakim, Sitarun Nisa Abdullah menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Sitarun menetapkan 11 Jun depan untuk serahan dokumen dan tertuduh melantik peguam.

Pemandu treler rempuh anggota trafik

Pemandu treler rempuh anggota trafik - Melaka & NS - Sinar Harian:


Pemandu treler rempuh anggota trafik
Anggota trafik memeriksa treler yang dilaporkan hilang di Tman Megah, Masan
BUKIT BARU - Seorang pemandu lori treler sanggup merempuh sebuah motosikal anggota trafik untuk mengelak ditahan di Jalan Munshi Abdullah, di sini, berdekatan bangunan Sirim Melaka, pagi semalam.

Menurut sumber, pemandu terbabit berusia 40-an merempuh motosikal anggota polis berpangkat Koperal yang berada di bahu jalan sehingga jatuh sebelum memandu lori tanpa muatan berkenaan melalui Taman Perkota menuju sebuah kolej Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, anggota trafik itu menemui treler tersebut di jalan mati hadapan kolej berkenaan namun pemandunya melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad yang mengesahkan kejadian itu berkata, treler berkenaan dilaporkan hilang oleh seorang lelaki di hadapan rumahnya di Taman Megah, Masan, dekat sini.

“Menerusi peranti sistem kedudukan global (GPS), treler terbabit dikesan di Batang Melaka, lalu kami terus menghubungi Bilik Gerakan Alor Gajah memaklumkan perkara tersebut.

“Bagaimanapun, seorang anggota trafik Ibu Pejabat Kontinjen Melaka (IPK) telah mengesan treler terbabit di persimpangan Bukit Baru kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya.

Mohd Sabri berkata, anggota terbabit mengarahkan pemandu berkenaan menghentikan treler tersebut namun sebelum sempat meminta lesen, suspek yang mengunci pintu treler melarikan diri.

“Dalam proses penahanan, berlaku kemalangan namun tiada cedera. Treler terbabit kemudian masuk ke jalan mati dan cuba undur namun tersangkut sebelum suspek larikan diri,” katanya.

Padah curi wang tabung masjid

Padah curi wang tabung masjid - Kelantan - Sinar Harian:

Padah curi wang tabung masjid
Suspek terlantar di dalam Masjid Hadhari Jertih selepas cedera dibelasah orang
ramai, malam kelmarin
BESUT - Seorang lelaki disyaki cuba mencuri peti tabung Masjid Hadhari Jertih cedera parah dibelasah orang ramai apabila kegiatannya disedari pengawal masjid itu malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, lelaki berumur 32 tahun beralamat di Kampung Padang Siam, Pasir Putih, Kelantan itu mengalami patah rahang apabila dipukul orang ramai dalam pergelutan tersebut.

Difahamkan sebelum kejadian pengawal keselamatan membuat pemeriksaan di tingkat atas masjid itu untuk memastikan tidak ada orang dalam masjid sebelum pintu masjid dikunci.

Ketika itulah pengawal keselamatan tersebut ternampak suspek sedang mengumpil peti besi yang terletak di bahagian tengah masjid dengan menggunakan besi pembuka tayar kereta.

Difahamkan, ketika pengawal tersebut bersama rakannya cuba menangkap suspek berlaku pergelutan sehingga menarik perhatian orang ramai yang kebetulan datang untuk mendengar ceramah politik di kawasan berdekatan masjid itu.

Akibat pergelutan itu suspek mengalami kecederaan parah di muka akibat dibelasah orang ramai yang cuba memberkasnya.

Dia yang separuh sedar dan terlantar di atas permaidani masjid itu diserahkan kepada polis kemudian dihantar ke Hospital Besut sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan.

Sinar Harian difahamkan perbuatan suspek turut dirakam oleh kamera litar tertutup yang dipasang di dalam masjid itu.

Salah seorang ahli jawatankuasa masjid memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian, tabung derma orang ramai di masjid itu telah dipecah oleh pencuri menyebabkan wang derma hilang.

“Pencuri sebelum ini menggunakan taktik memecahkan mangga kunci milik masjid kemudian memasukkan mangga kunci yang mereka bawa dengan tujuan datang semula membuka tabung tersebut beberapa hari kemudian,” katanya.

Sembilan sekeluarga hilang rumah, kedai dalam dua kejadian berbeza

Sembilan sekeluarga hilang rumah, kedai dalam dua kejadian berbeza - Kelantan - Sinar Harian:


Sembilan sekeluarga hilang rumah, kedai dalam dua kejadian berbeza
Zawawi (tengah) menerima kunjungan Mohd Fauzi (kanan) dan Penghulu Mukim Laaloh, Zamri Hassan di tapak rumahnya yang terbakar di Kampung Bechah Pulai, dekat Laloh, Kuala Krai
KUALA KRAI - Sembilan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Bechah Pulai, Laloh, dekat sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Lebih menyedihkan, kebakaran kira-kira jam 3 petang semalam adalah kejadian kedua menimpa keluarga itu selepas kedai runcit disewa mereka di Kampung Laloh musnah terbakar hampir tiga tahun lalu.

Ketua keluarga itu, Zawawi Deraman, 45, berkata, kejadian terbaru itu berlaku ketika dia sedang menunggu anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, pulang.

Ketika kejadian katanya, tidak ada orang di rumah kerana semua anaknya berada di sekolah manakala dia dan isteri, Noor Asiah Ismail, 40, keluar dari rumah itu sejak awal pagi.

“Ketika saya sedang tunggu anak balik sekolah, ada orang datang beritahu rumah saya terbakar. Bila saya sampai hampir dengan rumah, orang kampung tak beri saya masuk rapat kerana kata mereka, semuanya sudah musnah,” katanya.

Zawawi berkata, selain menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, kebakaran turut memusnahkan dokumen penting seperti sijil lahir dan peralatan sekolah anaknya termasuk buku.

“Buat sementara waktu ini, saya akan dirikan khemah di sebelah rumah sebagai tempat tinggal saya dan isteri manakala anak-anak boleh menumpang di rumah nenek mereka,” katanya.

Untuk rekod, kejadian pertama menimpa Zawawi pada 9 Julai 2009 mendapat liputan luas media kerana membawa kepada pertemuan pertama antara calon Barisan Nasional dan Pas selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai.

Sementara itu, nasib malang menimpa Zawawi mendapat perhatian segera Ahli Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah yang tampil menghulurkan sumbangan Tabung Serambi Mekah.

Mohd Fauzi berkata, bantuan wang tunai RM1,000 daripada Kerajaan Negeri itu diharap membantu meringankan beban mangsa terutama untuk sara hidup harian termasuk belanja persekolahan.

“Selain cuba proses secepat mungkin baki bantuan sebanyak RM1,000 lagi, saya juga akan bincang dengan keluarga ini dan jika ada apa-apa yang boleh dibantu, saya akan ikhtiar bantu.

“Walaupun beban keluarga ini cukup berat kerana ini kali kedua mereka ditimpa bencana sama, saya harap mereka bersabar dan menerima semua ini sebagai ujian ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Ahmad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 petang sebelum lapan anggota digegaskan ke tempat kejadian.

“Bila kami sampai, keseluruhan rumah sudah musnah terbakar. Selain jarak agak jauh iaitu 35 kilometer dari balai bomba, faktor rumah papan dan saiznya yang kecil menyebabkan kediaman ini cepat terbakar,” katanya.

Menurut Ahmad Nordin, kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000 berdasarkan maklumat mangsa manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Ugut bunuh bapa, penganggur kena jel

Ugut bunuh bapa, penganggur kena jel - Terengganu - Sinar Harian:

Ugut bunuh bapa, penganggur kena jel
Nazri dipenjara 6 bulan mengaku salah ugut mahu bunuh bapanya
KUALA TERENGGANU - Hanya kerana tidak memberi wang yang diminta anaknya, seorang bapa berdepan detik mencemaskan apabila si anak mengugut akan membunuhnya.

Kejadian berlaku di kediaman mereka di Kampung Petaling, Tepoh, di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, perbuatan si anak yang boleh diumpamakan seperti si tanggang itu menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh, Nazri Mohamad, 23, mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan mengamuk dan mengacukan sebilah kekikir kayu serta sebatang kayu kepada bapanya, Mohamad Md Ali, 64, di kediaman mereka di Kampung Petaling, Tepoh, kira-kira jam 2.15 petang pada 3 Mei lalu.

Nazri yang tidak bekerja mengaku salah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau sebat atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, bapa malang itu yang bekerja sebagai penoreh getah telah diterkam oleh tertuduh sejurus masuk ke dalam rumah selepas dia pulang dari kebun.

Tertuduh bukan hanya menerkam bapanya, malah pada masa sama turut mengacukan sebilah kekikir kayu dan sebatang kayu sambil melaungkan kata-kata ‘aku bunuh mu’, sambil terus menghayun pisau ke arahnya.

Bagaimanapun, mangsa sempat mengelak dan terus melarikan diri dengan terjun dari tangga bagi menyelamatkan diri daripada diapa-apakan anaknya itu.

Sebelum ini, tertuduh pernah beberapa kali cuba untuk memukul mangsa dengan kayu.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis dan susulan laporan dibuat, tertuduh ditangkap di rumahnya pada hari sama.

40 rumah di kawasan Kok Lanas rosak kerana ribut

40 rumah di kawasan Kok Lanas rosak kerana ribut - Kelantan - Sinar Harian:

40 rumah di kawasan Kok Lanas rosak kerana ribut
Nik Mahadi (kiri) bersama ahli keluarga Rahidah menolong menyimpan barangan di rumah mangsa
KOTA BHARU - Seorang wanita mengandung lima bulan dan bayi berusia lima bulan bersama tiga yang lain terselamat dalam kejadian ribut di Kampung Kok Lanas petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Rahidah Yahya, 33, dan anak saudaranya, Nizan Azhar serta ahli keluarga lain berada di dalam rumahnya.

Rahidah berkata, ketika itu dia bersama dengan Nizan dan terkejut kerana tiba-tiba ribut melanda kawasan rumahnya sehingga menyebabkan bumbung di dapurnya diterbangkan.

“Saya melihat bumbung dapur terangkat dan terus mendukung Nizan sebelum berlari ke dalam bilik untuk berlindung kerana bimbang keselamatan kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya semalam.

Rahidah memberitahu nasib tidak menyebelahinya apabila bilik tidurnya juga tidak selamat untuk berlindung kerana bumbungnya turut tercabut dan dibasahi hujan.

“Anak saudara lain dan ahli keluarga juga turut berlari menyelamatkan diri masing-masing apabila bahagian konkrit dapur runtuh dan keadaan semakin tidak terselamat,” katanya.

Rahidah bersama yang lain bersyukur kerana terselamat walaupun terpaksa reda apabila sebahagian kediamannya rosak.

Cakna dengan nasib Rahidah, Penyelia Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood melawat keluarga tersebut dan turut menyampaikan bantuan segera.

Katanya, kira-kira 40 rumah di kawasan Kok Lanas rosak dan pihaknya akan menyampaikan bantuan daripada Kerajaan Negeri secara berperingkat untuk membantu mengurangkan beban mangsa ribut.

Pemandu dan kelindan tersepit 2 jam

Pemandu dan kelindan tersepit 2 jam - Semasa - Sinar Harian:


Pemandu dan kelindan tersepit 2 jam
Anggota Bomba dan Penyelamat dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam MalaysIa (JPAM) bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit
SETIU - Seorang pemandu lori treler dan kelindannya yang membawa muatan sarat buah kelapa dan baja terpaksa menahan azab tersepit di bawah kenderaan mereka kira-kira dua jam sebelum diselamatkan dalam kemalangan pagi tadi.

Kemalangan berlaku di Km76 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Air Sejuk, di sini ketika pemandu berkenaan Nurame Abdul Rahman, 35, dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju ke Rantau Panjang, Kelantan untuk menghantar bekalan kelapa dan baja.

Lori treler itu dipercayai terbabas setelah satu daripada tayar depan sebelah kanannya pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.

Nurame bersama kelindan yang belum dapat disahkan identitinya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Daerah Setiu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Mohd Khairul Anuar Ahmad yang ditemui di tempat kejadian berkata pemandu lori tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya setelah salah satu daripada tayarnya pecah.

"Ia melanggar sebatang tiang eletrik berhampiran sebuah kilang batu-bata sebelum terbalik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tiang eletrik yang tumbang itu pula  menimpa sebuah kereta Perodua Kancil yang kebetulan diletakkan oleh pemiliknya dihadapan kilang berkenaan.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam sebelum lori berkenaan dialihkan. - Bernama