Search This Blog

Sunday, May 6, 2012

11 nelayan terselamat dalam kejadian bot karam

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

BACHOK 6 Mei - Seramai 11 nelayan terselamat selepas bot yang mereka naiki karam ketika memancing di kawasan tujuh batu nautika dari pantai Senok di sini, hari ini.
Kejadian itu berlaku pukul 6.30 pagi apabila bot mereka dimasuki air kerana dikatakan tidak menutup injap lubang air bot berkenaan ketika sedang memancing ikan di kawasan tersebut.
Mereka berumur antara 25 dan 52 tahun itu sempat diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada berdekatan tempat kejadian.
"Kami sempat melepaskan tembakan api amaran sebagai isyarat kecemasan kepada bot berhampiran untuk mendapatkan pertolongan mereka," kata pemilik bot yang karam itu, Abdul Aziz Abdullah, 40, dari Kampung Pantai Kemayan dekat sini.
Sambil mengucap syukur dan berterima kasih kepada nelayan yang menolong mereka, Abdul Aziz berkata beliau dan rakan-rakannya hanya menyedari bot itu bocor apabila air masuk hampir menenggelamkan bot itu.
"Jika rakan nelayan itu tidak menyedari kami dalam kecemasan sudah tentu kami lemas dalam kejadian ini, tiada apa yang kami ingat melainkan Tuhan," katanya.
Sementara itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dengan kerjasama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Bachok bergegas ke Pantai Senok untuk memberi bantuan kecemasan, yang kemudiannya mendapati sebelas nelayan tersebut sudah berjaya diselamatkan. - BERNAMA

Salang terkejut pelajar dilarang bawa netbook

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri: "LUBOK ANTU 6 Mei - Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang terkejut dengan tindakan beberapa sekolah di kawasan luar bandar Sarawak yang melarang pelajar membawa netbook 1Malaysia mereka ke sekolah.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan tidak mahu pelajar terbabit mengecas semula netbook mereka di sekolah kerana ini akan meningkatkan bil elektrik.

"Ini satu berita baru kepada saya, tetapi malanganya ia bukan berita baik," katanya semasa merasmikan program sesi rakaman sambutan Gawai Dayak oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di rumah panjang 57 pintu, Rh Jubang anak Bin di Sebangki Panjai di sini malam semalam.

"Netbook diberikan kepada pelajar untuk membantu mereka dalam pelajaran mereka. Tetapi jika mereka tidak dibenarkan membawanya ke sekolah, matlamat itu tidak akan tercapai," katanya. - BERNAMA"

'via Blog this'

Kelindan terbunuh, lori bertembung treler

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


Orang ramai membantu seorang mangsa yang cedera selepas terlibat dalam nahas melibatkan sebuah lori dan treler di pekan Rantau, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN 5 Mei - Seorang kelindan lori warga India terbunuh, manakala rakannya cedera parah selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah treler di pekan Rantau dekat sini hari ini.
Dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa K. Senthaivel, 37, maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian kepala dan badannya.
Jurucakap polis memberitahu, ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi rakannya yang menaiki lori tanpa muatan itu dikatakan dalam perjalanan dari Rantau menuju ke Linggi.
Setibanya di lokasi kejadian, lori itu bergesel dengan sebuah motosikal lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler tanpa muatan.
"Berikutan rempuhan kuat itu, kesemua penumpang dan pemandu kenderaan terlibat tersepit dan cedera. Mangsa yang mengalami cedera parah maut di tempat kejadian dan rakannya yang juga kelindan berusia 30-an, parah," katanya di sini hari ini.
Jurucakap itu menjelaskan, penunggang motosikal berusia 20-an yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian mata.
Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada pihak kedutaan.

Pusat karaoke terbakar di Korea Selatan, 8 maut

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "SEOUL 6 Mei - Sembilan orang termasuk tiga pekerja asing terbunuh manakala 25 lagi cedera apabila sebuah bar karaoke di bandar pelabuhan Busan, selatan Korea Selatan terbakar, kata jurucakap polis hari ini.

Api menjilat 28 bilik karaoke yang terletak di tingkat tiga bangunan enam tingkat itu tengah malam tadi.

Mangsa termasuk tiga lelaki Sri Lanka. - REUTERS"

'via Blog this'

200 rumah rosak teruk dilanda ribut

Utusan Malaysia Online - Timur:

TIGA penduduk membaiki bumbung sebuah rumah yang rosak akibat ribut di Kampung Undang Marang, Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 5 Mei - Lebih 200 buah rumah di sekitar daerah ini dan Marang rosak akibat dilanda ribut dan hujan lebat petang semalam.
Paling teruk terjejas Kampung Undang Marang membabitkan 100 rumah diikuti Mak Kemas (25), Padang Pak Su Man (23), Batu 9 (18), Surau Panjang (10), Tok Dir (6) dan Belukar Jambu (4).
Kejadian pukul 4 petang selama kira-kira 15 hingga 25 minit itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa mahupun kecederaan.
Seorang mangsa dari Kampung Undang Marang, Mohd. Nawi Abdullah, 50, memberitahu, ketika kejadian dia dan ahli keluarga yang lain dalam perjalanan untuk menghadiri kenduri anak saudaranya di Sungai Tong, Setiu.
Ujarnya, sebaik sahaja tiba di majlis itu, dia dimaklumkan penduduk kampung tentang insiden yang meranapkan keseluruhan atap rumahnya itu.
"Mujurlah kesemua empat kereta milik keluarga dibawa keluar ke majlis kenduri dan yang rosak adalah komputer riba, barang elektrik, perkakasan rumah dan buku-buku sekolah," katanya yang menganggarkan kerugian hampir RM10,000.
Beliau yang merupakan kakitangan Jabatan Pertanian di sini memberitahu, rumah adiknya yang dalam pembinaan di sebelah kediamannya turut runtuh akibat dipukul ribut.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang ditemani Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Bukit Payong, Zaidi Muda meluangkan masa melawat beberapa kediaman yang dilanda ribut di sekitar kawasan berkenaan pagi ini.
Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan dengan secepat mungkin bagi mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.

12 maut dalam kebakaran kilang kimia di Thailand

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "BANGKOK 6 Mei - Kebakaran besar di sebuah kilang kimia di timur Thailand membunuh 12 orang, mencederakan lebih 100 yang lain dan melepaskan asap beracun ke udara, kata Kementerian Kesihatan hari ini.

Beratus-ratus penduduk dipindahkan selepas kebakarana, yang turut menyebabkan letupan di kilang wilayah Rayong, menyebabkan asap hitam tebal dilepaskan ke udara, semalam.

Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tetapi para pegawai kesihatan terus memantau kualiti udara yang berkemungkinan menyebabkan keracunan udara.

Kenyataan Kementerian Kesihatan menyebut, 12 orang maut dalam letupan dan kebakaran manakala 129 lain cedera yang kebanyakannya melecur.

Kebanyakan mangsa dipercayai pekerja kilang tersebut. - AFP"

'via Blog this'

Petani Maut Dipatuk Ular

mStar Online : Petani Maut Dipatuk Ular:

ALOR SETAR: Seorang petani berusia 63 tahun maut setelah dipatuk ular ketika sedang berehat di luar rumahnya di Kampung Goncar, Gunung Keriang dekat sini petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Saad Mansor yang dipercayai dipatuk ular berbisa di jari tangan kanan meninggal dunia di rumahnya selepas dua jam dipatuk ular yang tidak diketahui jenisnya.
Anak sulung mangsa, Shahrulniza, 35, berkata, ketika kejadian hanya adiknya, Md Shahrizal, 30, dan ibunya Che Jam Ismail, 63, berada di rumah.
Katanya, sebaik bapanya memaklumkan jari tangan kanannya dipatuk ular, adiknya segera membawanya untuk mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran rumah mereka.
"Pihak klinik mengesyorkan bapa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar namun bapa enggan pergi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, Ahad.
Katanya, bapanya kemudiannya pulang ke rumah dan meninggal dunia kira-kira 8.30 malam.
Jenazah Saad dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lengkuas, Bukit Pinang dekat sini kira-kira 11 pagi Ahad. - BERNAMA

Bahayakan nyawa sendiri, elak rempuh tiga kenderaan

Bahayakan nyawa sendiri, elak rempuh tiga kenderaan - Melaka & NS - Sinar Harian:

Bahayakan nyawa sendiri, elak rempuh tiga kenderaan
Treler yang terbabas kerana mengelak daripada merempuh lebih tiga kenderaan di hadapannya.
TAMPIN – Walaupun terpaksa membahayakan nyawanya sendiri, seorang pemandu treler yang membawa muatan roller, nekad mengelak dari merempuh lebih tiga kenderaan di hadapannya setelah sebuah kenderaan secara tiba-tiba membelok ke simpang berhampiran berdekatan Klinik Kesihatan Tampin, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pada jam 2 petang itu, pemandu treler berkenaan, See Ko Ngin, 57, berkata, susulan insiden berkenaan, treler yang dipandunya terbabas ke bahu jalan. Bagaimanapun, dia berasa lega kerana tidak melanggar kenderaan di hadapannya.
“Semasa kejadian, saya terus terfikir bahaya yang bakal terjadi kepada pemandu kenderaan di hadapan saya sekiranya saya tidak mengelak ke bahu jalan. Ini kerana kenderaan yang dibantu saya itu merupakan kenderaan berat.
“Oleh itu, saya terpaksa mengambil risiko mengelak dan terbabas sehingga menyebabkan perjalanan saya dari Lukut, Port Dickson ke Segamat, Johor yang seharusnya sampai kira-kira jam 4 petang tergendala,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Polis: Tanah langgar akta, bakal diambil tindakan

Polis: Tanah langgar akta, bakal diambil tindakan - Semasa - Sinar Harian:


.
Polis: Tanah langgar akta, bakal diambil tindakan
Sebahagian daripada peserta Himpunan Tanah Rakyat di
 pekarangan Plaza Angsana, Johor Bahru, hari ini
JOHOR BAHRU – Himpunan Tanah Rakyat anjuran Gabungan Tanah Rakyat (Tanah) yang diadakan di pekarangan Plaza Angsana di sini,hari ini didapati melanggar Akta Perhimpunan Aman 2011.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, mengikut akta berkenaan, penganjur perhimpunan perlu menghantar notis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.
Menurutnya, pihak penganjur juga tidak mendapat kebenaran daripada pengurusan UDA Holdings Berhad untuk mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan.
“Kita akan membuat siasatan untuk mengambil tindakan terhadap penganjur selaras dengan undang-undang kerana kita hanya menerima notis semalam (sehari sebelum perhimpunan diadakan).
“UDA Holdings juga telah membuat satu laporan polis pada minggu lepas mengenai perkara ini. Kita akan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan terhadap penganjur berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ruslan berkata, seramai 379 anggota bertugas pada perhimpunan untuk mengelakkan berlaku kekacauan dan mengancam keselamatan kepada pengunjung.
Menurutnya, perhimpunan yang bermula sekitar jam 2 petang dan berakhir sebelum jam 4 petangtadi berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram telah dihadiri oleh lebih kurang 500 orang.
“Akta berkenaan tidak memperuntukkan permit untuk mengadakan perhimpunan, tetapi penganjur hanya perlu menghantar notis awal kepada pihak polis.
“Notis perlu dihantar lebih awal supaya pihak polis mendapat reaksi daripada orang awam sama ada perhimpunan itu terdapat bantahan daripada penduduk setempat atau tidak," katanya.
Sementara itu, Tanah akan terus mengadakan roadshow secara besar-besaran di seluruh kawasan Parlimen negeri ini.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan permasalahan tanah di negeri ini dalam masa terdekat.
Menurutnya, seluruh isu tanah antaranya di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi dan Skudai Kiri akan diperjuangkan untuk membela nasib rakyat yang terlibat.
“Kita tidak akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar kerana beberapa memorandum yang dihantar sebelum ini tidak pernah mendapat maklum balas daripadanya.
“Kita akan mengumpulkan permasalahan rakyat yang timbul berkaitan isu tanah di negeri ini untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat,” katanya.
Perhimpunan ini turut dihadiri barisan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Ketua Dewan Pemuda PasPusat, Nasruddin Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan Setiausaha Tanah, Suhaizan Kaiat.
Perhimpunan yang dihadiri lebih kurang 500 penduduk yang terlibat dengan masalah tanah seluruh negeri ini turut dibangkitkan antaranya dengan isu tuntutan semula Pulau Batu Puteh, penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar dan ketelusan pengurniaan tanah.

Tak sempat ke pesta air, maut dalam kemalangan

Tak sempat ke pesta air, maut dalam kemalangan - Melaka & NS - Sinar Harian:

SEREMBAN – Hasrat seorang remaja lelaki mahu bersuka ria sempena Pesta Air Port Dickson, di sini, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 269.5, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Muhd Shamil Muhd Nor, 21, maut akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Menurut jurucakap polis, keja­dian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari Shah Alam ke Port Dickson berkonvoi bersama empat rakan lain yang turut menunggang motosikal secara berasingan.
“Mangsa yang menunggang motosikal sendirian, dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di hadapan namun gagal dan terus melanggar bahagian belakang kanan kereta terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan melanggar besi pe­ngadang jalan di kanan jalan sebelum tercampak ke atas jalan,” katanya.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar tetapi meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi ketika mendapatkan rawatan.
Difahamkan, empat rakan mangsa yang turut berkonvoi tidak terlibat dalam kemalangan dan pemandu Toyata Hilux tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut dan mayat mangsa telah dituntut ahli keluarganya.

Bekas askar pecah rumah terima padah

Bekas askar pecah rumah terima padah - Melaka & NS - Sinar Harian:

AYER KEROH - Seorang bekas askar yang memperoleh pendapatan sampingan melalui kegiatan pecah rumah dilakukannya pada hujung minggu, dihukum penjara 104 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hukuman dijatuhkan Hakim Zaharah Hus­sain terhadap Norazlan Kamarulbahrin, 32, yang mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan berkaitan pecah rumah dan melupuskan harta curi, membabitkan jumlah kerugian RM45,899.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail, Mahmoodah Abd Latiff, Nor Shazwani Ishak dan Mahadi Abdul Jumaat, sementara tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfazlinda Alimad.
Daripada 13 pertuduhan itu, Norazlan didakwa melakukan pecah rumah bermula 26 November 2009 sehingga 21 Mac 2012 di enam kawasan perumahan di Tanjung Minyak, Bukit Rambai dan Klebang, termasuk taman perumahannya sendiri di Taman Sayang Selasih.
Norazlan ketika melakukan perbuatan itu seorang diri mencuri peralatan elektronik seperti televisyen LCD, bara­ngan kemas dan gajet, selain syiling dan wang tunai, semuanya bernilai kira-kira RM8,470.
Norazlan juga didakwa melupuskan harta curi iaitu set sistem teater rumah bernilai RM899 di sebuah rumah di Taman Rambai Murni, Bukit Rambai, kira-kira jam 4.30 petang pada 4 April 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Zaharah kemudian menjatuhkan hukuman bagi pertuduhan pertama selama lapan tahun, pertuduhan kedua (lima tahun), pertuduhan ketiga (14 tahun dan satu sebatan), pertuduhan keempat (10 tahun), pertuduhan kelima (10 tahun) dan pertuduhan keenam (10 tahun).
Beliau turut menjatuhkan hukuman pertuduhan ketujuh iaitu enam tahun, pertuduhan kelapan (enam tahun), pertuduhan kesembilan (tiga tahun), pertuduhan kesepuluh (10 tahun), pertuduhan ke-11 (lima tahun), pertuduhan-12 (12 tahun dan satu sebatan) dan pertuduhan terakhir (lima tahun).
Norazlan bernasib baik mahkamah mengarahkan hu­kuman berjalan serentak menjadikan hukuman yang perlu diterimanya adalah penjara 14 tahun dan dua sebatan.

5 pelacur warga asing disorok dalam bilik

5 pelacur warga asing disorok dalam bilik - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Polis menahan lima wanita warga asing yang mendakwa dipaksa menjadi pelacur dalam satu serbuan di sebuah  hotel lima tingkat di Sri Damansara malam tadi.

Mereka yang ditahan membabitkan tiga wanita warga Vietnam dan masing-masing seorang wanita warga China dan Thailand yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.

Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman DSP Nor Omar Saffi berkata ketika serbuan pada kira-kira 7.15 malam itu berdasarkan maklumat orang awam, polis menemui mereka yang disorokkan di dalam sebuah bilik.

"Kesemua mereka didapati mempunyai pasport dan telah lama menetap antara dua bulan hingga dua tahun di negara ini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa, bilik itu ditutupi dengan alat penyidai tuala dan hanya pelanggan tetap sahaja yang boleh memasuki bilik khas itu melalui lif dan menekan loceng kecemasan sebanyak tiga kali untuk mendapatkan khidmat seks.

"Mereka mengenakan bayaran RM170 bagi perkhidmatan seks itu," katanya dan turut menambah polis juga menahan seorang  lelaki tempatan berumur 40 tahun dan seorang wanita warganegara China dipercayai pekerja hotel tersebut.
 Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan. -- Bernama

Syarikat pelaburan enggan bersemuka selesai wang RM411 juta

Syarikat pelaburan enggan bersemuka selesai wang RM411 juta - Perak - Sinar Harian:
Syarikat pelaburan enggan bersemuka selesai wang RM411 juta
Pelabur-pelabur skimpelaburan emas mendengar sorakan dari
wakil AJK pelabur di perkarangan Little India, semalam
IPOH - Lebih 500 pelabur yang melabur dalam skim pelaburan emas sejak tiga tahun lalu hampa dengan tindakan pengarah syarikat berkenaan yang enggan bertemu dengan pelabur yang berhimpun di pekarangan Little India di sini, semalam.

Malah, pengarah syarikat yang dikenali sebagai Chong juga didakwa seolah-olah melarikan diri apabila lapan wakil pelabur mendapati kediaman Chong turut kosong di Taman Pertama di sini.

Jurucakap pelabur, K Kunasekaran berkata, semua sepakat untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Mei ini bagi menyelesaikan masalah yang di hadapi seramai 6,764 pelabur.

Menurutnya, selain memungkiri janji, Chong juga memberi alasan baru meminta tempoh sehingga empat minggu untuk memulangkan wang pelaburan berjumlah RM411 juta yang didakwa ‘tersangkut’ di sebuah bank di Hong Kong.

“Selama ini, pihak AJK telah berusaha untuk berjumpa dan membantu Chong untuk mencari penyelesaian dengan campurtangan Bank Negara dan Kementerian Kewangan tapi usaha itu sia-sia.

“Pihak AJK juga akan menyampaikan surat temujanji pada 10 Mei ini untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan masalah kami yang berlarutan sekian lama,” katanya kepada pemberita di Little India di sini, semalam.

Kunasekaran berkata, Chong seharusnya bersua muka dengan para pelabur bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh syarikat tersebut.

“Chong seharusnya berjumpa pelabur untuk menetapkan tarikh pemulangan selain menerima jemputan Bank Negara dan mengadakan perjumpaan dengan pihak yang terbabit bagi mencari penyelesaian.

“Kes di mahkamah dan isu pemulangan wang berjumlah RM436 juta yang berada di Hong Kong adalah dua isu berbeza dan tidak berkaitan langsung denga kami. Bank Negara bersedia untuk membantu,” katanya.

Rumah ranap akibat ribut

Rumah ranap akibat ribut - Perak - Sinar Harian:


Rumah ranap akibat ribut
Keadaan rumah warga emas yang roboh akibat ribut
SUNGAI SIPUT - Malang buat seorang warga emas dari Kampung Sungai Buloh, di sini, apabila rumah papan yang didiami sejak 50 tahun lalu ranap dalam kejadian ribut, minggu lalu.

Ong Kai, 78, yang tinggal seorang diri di rumah itu selain tidak pernah berkahwin kini hilang tempat berteduh.

Salah seorang saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali, berkata, kehidupan warga emas berkenaan tidak terurus dan tidak menjaga diri dengan baik.

“Persekitaran kehidupan dia memang tidak bersih, tidak suka mandi atau menukar pakaian membuatkan orang tidak berapa menyenanginya.

“Kami memang kesian melihat cara hidupnya tetapi tidak dapat berbuat apa-apa melainkan memberi bantuan makanan dan keperluan lain supaya dia dapat meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini.

Katanya, diharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan dan memberikan perlindungan kepada Ong Kai.

Sementara itu, Adun Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam berkata, buat sementara waktu mangsa ditempatkan di rumah penjagaan orang-orang tua di Ulu Kinta sebagai perlindungan.

“Sebelum ini, warga emas ini memang tidak pernah mendapat sebarang bantuan dan kehidupannya sedikit terasing kerana tidak suka membersihkan diri.

“Sebaik sahaja melawat keadaan rumahnya yang sudah roboh, saya segera memanggil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan supaya sumbangan atau bantuan dapat disalurkan,” katanya.

Katanya, dari segi bantuan lain termasuk pembinaan semula rumah, banyak perkara perlu dibincangkan dan pertimbangkan kerana tapak rumah yang diduduki warga emas itu tidak mempunyai geran.

“Kita turut bersimpati dengan keadaan kehidupannya dan akan berusaha mengikut kemampuan,” katanya.

Kereta rempuh kedai motosikal

Kereta rempuh kedai motosikal - Perak - Sinar Harian:


Kereta rempuh kedai motosikal
Kereta yang merempuh kedai motosikal terbalik di hadapan premis berkenaan
IPOH - Seorang warga emas terkejut dan panik seketika apabila kereta Proton Inspira yang dinaiki bersama empat ahli keluarga yang lain terbabas dan merempuh hadapan kedai motosikal di Jalan Pasir Puteh, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandunya, Yen Yuen Meng, 47, berkata, ia berlaku ketika dia cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang memintas kenderaannya.

Katanya, dia cuba mengelak ke kiri jalan sehingga menyebabkan kenderaannya gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan dan merempuh kedai motosikal.

“Ibu mertua saya ketika itu panik seketika namun berjaya ditenangkan oleh ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Peraih ikan itu dalam perjalanan ke bandar raya Ipoh bersama isteri, dua anak serta ibu mertua sempena cuti Hari Wesak.

Sementara itu, pemilik kedai motosikal, Ng Fong Yan, 38, berkata, kejadian tersebut adalah yang pertama kali berlaku sepanjang 10 tahun beroperasi di situ.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, dia sedang sibuk melayan pelanggan.

“Tiba-tiba satu dentuman kuat seolah-olah bunyi bom meletup berlaku di hadapan kedai.

"Saya dan pelanggan segera berlari menyelamatkan diri.

“Kami terkejut melihat sebuah kereta merempuh kedai ini dan terbalik. 10 motosikal yang dipamerkan di hadapan kedai rosak teruk dan kerugian dianggarkan berjumlah RM45,000.

Kaki judi dijatuhi hukuman

Kaki judi dijatuhi hukuman - Melaka & NS - Sinar Harian:


Kaki judi dijatuhi hukuman
Kesemua tertuduh menutup muka selapas dijatuhkan hukuman
 denda oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban, kelmarin
SEREMBAN – Perbuatan empat lelaki beragama Islam bermain judi di sebuah premis perjudian siber akhirnya memakan diri apabila mereka dijatuhkan hukuman denda RM2,700 seorang atas kesalahan berkenaan, petang kelmarin.

Mahkamah Rendah Syariah Seremban menjatuhkan hukuman berkenaan selepas kesemua mereka mengaku bersalah atas tuduhan bermain judi di sebuah premis perjudian siber di Senawang Jaya, pada 3 Mei lalu.

Hakim Syarie, Hamizan Mohd Nor menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia antara 30 hingga 60 tahun mengaku melakukan kesalahan itu dibawah Seksyen 79 A Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang memakai baju-T dan seluar jeans itu mengangguk faham atas pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

Mengikut fakta pertuduhan, mereka dicekup penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat PolisKontinjen (IPK) negeri ketika sedang leka bermain judi.

Perbuatan dilakukan di sebuah premis perjudian siber di Senawang Jaya, Senawang kira-kira 8.30 malam, 3 Mei lalu.

Sementara itu, Hamizan turut menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas seorang lelaki berusia 20-an yang juga mengaku bersalah bersabit dengan tuduhan bersubahat serta berada dalam premis berkenaan pada tarikh dan waktu sama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Syarie, Ahmad Mutaqqi Ismail dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Penunggang maut motor terbabas

Penunggang maut motor terbabas - Selangor & KL - Sinar Harian: "SERDANG RAYA – Gara-gara gagal mengawal pemanduannya seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Besar Serdang Raya, di sini, malam Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Tay Choo Fatt, 52, menunggang motosikal bersendirian dipercayai dalam perjalanan menuju ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangginya lalu terbabas dan jatuh ke atas jalan.

“Akibat kecederaan parah, mangsa dikejarkan ke hospital oleh ambulan yang tiba beberapa minit selepas itu.

“Mangsa dari Desa Petaling,Kuala Lumpur bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 4.15 pagi tadi (semalam) ketika mendapat rawatan di Hospital Serdang,”katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci giat dijalankan."

'via Blog this'

Sejam tersepit dalam kereta

Sejam tersepit dalam kereta - Utara - Sinar Harian:


Sejam tersepit dalam kereta
Keadaan mangsa yang tersepit
TOKAI, Kedah – Seorang lelaki terpaksa bertarung nyawa menunggu pihak bomba mengeluarkannya akibat tersepit setelah kereta dipandunya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di Pekan Tokai, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi, mangsa, Abu Bakar Abdullah dari Kampung Bahagia Guar Kepayang cedera parah di bahagian kepala manakala kakinya disyaki patah akibat tersepit di kereta bersama tiang elektrik yang dirempuh.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Pendang, Mohd Izuddin Inus Meah berkata, mangsa memandu kereta Proton Saga berwarna biru dari arah Tanah Merah menuju ke Simpang Empat Kota Setar.

Menurutnya, jabatan itu menerima panggilan, kira-kira jam lapan pagi dan tiba ke lokasi 15 minit kemudian, mendapati mangsa tersepit menyebabkan anggotanya terpaksa menunggu ketibaan pihak bomba untuk usaha mengeluarkan mangsa.

“Mangsa tersepit kerana kereta yang dipandunya merempuh tiang elektrik bahagian kiri jalan sehingga menyebabkan mangsa tersepit teruk dan kami terpaksa menunggu pihak bomba datang walaupun mangsa mengerang kesakitan.

“Kepala mangsa mengalami kecederaan teruk manakala kakinya disyaki patah sebelum dia terus dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapatkan rawatan dan saya difahamkan mangsa dirawat di zon merah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Izuddin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan hampir sejam kemudian.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan oleh orang ramai bahawa kenderaan itu terbabas dan merempuh tiang elektrik kerana dikatakan mahu mengelak daripada lubang di laluan berkenaan.

Bertembung treler di tengah pekan

Bertembung treler di tengah pekan - Melaka & NS - Sinar Harian:

Bertembung treler di tengah pekan
Keadaan treler yang terbabit dalam kemalangan
RANTAU - Seorang warga India terbunuh, manakala seorang rakannya cedera parah apabila lori dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di pekan Rantau, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi, apabila lori tanpa muatan dinaiki mangsa, K Senthaivel, 37, bersama dua rakannya hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal, lalu terbabas.

Lori berkenaan kemudia bertembung dengan sebuah treler di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan itu, seorang daripada kelindan berusia 30-an dalam lori berkenaan cedera parah selepas dikatakan tersepit di dalam lori terbabit.

Mereka dalam perjalanan dari Rantau menuju ke Linggi.

Jurucakap polis berkata, mangsa (Senthaivel) yang mengalami kecederaan teruk di badan dan kepala seterusnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori dan treler berkenaan cedera.

“Seorang lelaki berusia 20-an yang menunggang motosikal itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di mata,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan India untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian.

Bawa motor naik lif, penghuni flat lari elak bayar ganti rugi

Bawa motor naik lif, penghuni flat lari elak bayar ganti rugi - Selangor & KL - Sinar Harian:



Bawa motor naik lif, penghuni flat lari elak bayar ganti rugi
Pelawat perumahan sedang mengeluarkan notis kompaun terhadap
 pemilik motosikal dalam lif sehingga menyebabkan kerosakan
KUALA LUMPUR - Takut terpaksa membayar ganti rugi kerosakan lif setelah ‘kantoi’ membawa motosikal naik ke unit rumah, seorang penghuni Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak di sini, menghilangkan diri bersama keluarganya membuatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merampas unit rumah yang disewa.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial DBKL, Sukiman Surahman berkata, penghuni berkenaan tidak dapat menafikan yang dia sudah melakukan kesalahan membawa motosikal ke tingkat atas flat setelah lif yang dinaiki tersekat pada 27 Februari lalu.

Malah menurutnya, penghuni berkenaan juga bertindak membuka pintu lif sehingga menyebabkan kerosakan sehari selepas kejadian dia terperangkap, untuk mengambil motosikalnya tanpa kebenaran.

“Ketika terperangkap, hanya dia yang dikeluarkan dari lif dan motosikalnya kita biarkan untuk disita.

“Kemudian, setelah kerosakan dan kos pembaikan dikenal pasti, kita telah mengeluarkan notis tuntutan kepada penghuni tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, notis tuntutan ganti rugi sebanyak RM13,000 itu bagaimanapun tidak diendahkan, malah penghuni tersebut bertindak menghilangkan diri dan mengosongkan rumah.

Katanya, pihaknya juga menghantar notis saman atas kesalahan yang dibuat termasuk notis tamat perjanjian sewa.

“Penghuni tersebut jelas melanggar undang-undang kecil perumahan membuatkan tindakan rampas unit dikenakan.

“DBKL tetap akan meneruskan tindakan saman kepada penghuni berkenaan dan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak jabatan undang-undang,” katanya.

Sukiman berkata, perkara tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada penghuni perumahan DBKL lain yang sering mengambil ringan soal undang-undang kecil perumahan ditetapkan.

Felda Keratong jadi sasaran pencuri

Felda Keratong jadi sasaran pencuri - Pahang - Sinar Harian:



Felda Keratong jadi sasaran pencuri
Jawatankuasa masjid menunjukkan kesan sebuah tabung
masjid yang gagal ditebuk pencuri dalam kejadian itu
KUALA ROMPIN - Kes pecah rumah dan curi motosikal serta wang tabung masjid di sekitar Felda Keratong, Bandar Tun Razak se­makin menjadi-jadi hingga mengundang ­ketakutan dalam kalangan pen­duduk yang tinggal di kawasan itu.

Dalam tempoh dua bulan lalu, sebanyak tiga kes pecah ­rumah ­dilaporkan berlaku di kawasan ­gugusan Felda itu dengan modus operandi yang sama iaitu ­menyelinap masuk ke rumah mangsa pada awal pagi.

Laporan Sinar Harian pada 4 Mac lalu misalnya, seorang ­janda yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)‘berputih mata’ apabila wang itu ‘lesap’ sekelip mata, selepas ­rumahnya di Felda Keratong, 1, di sini, dipecah masuk.

Effarizah Sulaiman, 26, ­berkata, akibat daripada kejadian itu, dia kini semakin berhati-hati dengan ­memastikan rumahnya itu sentiasa diterangi dengan cahaya lampu ­s­­erta mengunci pintu depan dan belakang rumah.

“Kami berasa bimbang dengan kejadian ini dan berharap polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan keselamatan penduduk dapat diberi perhatian,” katanya.

Ketua Blok 18 Keratong 2, Mariam Khamis berkata, kejadian pecah ­rumah dalam masa sehari itu juga turut membabitkan kediamannya, apabila suspek dipercayai memecah masuk melalui tingkap dapur rumahnya.

Mariam menggesa pihak polis agar lebih kerap melakukan rondaan di kawasan itu kerana sudah banyak kali kes pecah rumah berlaku di ­­sekitar kawasan Felda berkenaan.

“Polis diminta sentiasa buat rondaan bagi memastikan kawasan ini tidak dicemari dengan kegiatan tidak bermoral seperti ini bagi memastikan kawasan ini lebih selamat pada masa akan datang,” katanya.

Pada 20 April lalu, Masjid At-Taqwa Felda Keratong 4, digemparkan dengan kes kehilangan wang tabung masjid apabila ia dipercayai dikebas pencuri sewaktu kesemua jemaah ­­selesai menunaikan solat Asar.

Lebih malang, kejadian itu ­berlaku sebanyak empat kali dalam tempoh dua tahun ini dan terbaru ia ­berlaku pada Khamis lalu apabila sebuah ­tabung masjid dipecah, manakala sebuah lagi tabung itu dibawa lari.

Jawatankuasa masjid tidak ­me­nolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan ‘mat gian’ yang terdesak ­untuk mencari wang hingga sanggup menjadikan rumah suci umat Islam beribadah sebagai tempat mereka melakukan tindakan terkutuk itu.

Dianggarkan dalam tempoh dua tahun lalu saja, lebih RM5,000 ­dikebas individu tidak bertanggungjawab t­ermasuk kes curi kipas kaki masjid dan paparan waktu solat.

Imam masjid itu, Jelani Mat Ya’, berkata, perbuatan yang dilakukan pihak terbabit disifatkan ­sebagai per­buatan terkutuk yang dilaknat ALLAH, lebih-lebih lagi perbuatan itu dilakukan di tempat mulia.

“Kita berharap agar pihak terbabit segera insaf kerana perbuatan yang dilakukannya itu dimurkai Allah dan duit hasil curi yang diperolehnya itu juga tidak berkat,” katanya.

Terbaru, Masjid Felda Keratong 5 pula menjadi sasaran ­seterusnya pencuri, apabila dua motosikal ­jemaah di situ dilarikan pihak tidak bertanggungjawab.

Pencuri terbabit dipercayai akan menjual motosikal itu kepada ­pembeli besi buruk agar mereka boleh mem­peroleh wang selain menyukarkan ­pihak berkuasa untuk mengesan ­tindakan ‘licik’ terbabit.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, sebanyak tujuh kes pecah rumah dilaporkan, manakala 18 kes curi motosikal direkodkan sepanjang Januari hingga April lalu.

Katanya, terdapat penurunan kes pecah rumah dan curi ­motosikal pada tahun sebelumnya, namun polis memberi amaran tegas tidak akan ­berdiam diri dengan gejala itu ­terutama di ­kawasan Felda.

“Kita ambil serius isu kes pecah ­rumah dan curi motosikal, namun berharap agar masyarakat dapat membantu polis melalui saluran ­maklumat agar mereka yang tidak bertanggungjawab ini dapat dicekup untuk ­tindakan selanjutnya,” katanya.

Tragedi hari minggu

Tragedi hari minggu - Terengganu - Sinar Harian:


Tragedi hari minggu
Ketua Polis Balai Bukit Besi, Sarjan Mejar Othman Yaakob melihat
 dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di AMBS
 petang kelmarin yang turut mengorbankan seorang guru.
DUNGUN - Hasrat seorang guru pulang ke kampung menziarahi ahli keluarga berakhir dengan tragedi apabila kenderaan dinaiki tiga sekeluarga itu terbabit dalam satu kemalangan dekat sini, lewat petang kelmarin.

Kejadian di Kilometer 87.2 Jalan Jerangau-Jabor dekat sini itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona dipandu Ahmad Bukhari Mohd Nordin, 30, dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya, sebelum berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Ahmad Bukhari berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan dan mengajar di Sekolah Menengah (SM) Agama Hasanah, Rompin Pahang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan AMBS akibat cedera parah pada bahagian dalaman serta patah paha.

Isterinya, Wan Asmahani Wan Ismail, 31, jururawat di Hospital Muadzam Shah, Pahang yang patah tangan kanan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Manakala anaknya, Marisa Maisara yang baru berumur tujuh bulan cedera ringan.

Pemandu pacuan empat roda, Zainal Ibrahim, 45, dari Seri Bandi, Kemaman hanya cedera ringan.

Isteri Zainal, Haslina Md Yahya, 42, cedera dipinggang manakala anaknya, Syazanajihah, 20, penuntut sebuah Politeknik dan Mohd Syariz, 11, hanya cedera ringan.

Mayat arwah Ahmad Bukhari kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Rompin, Pahang.

Dalam tragedi berasingan, seorang pelajar menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Tokkah-Jerangau.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Amirul Aiman Shamsuddin, 14, terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun oleh penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan tersebut dan kes masih dalam siasatan pihaknya
.

Dugaan menimpa dua pasangan raja sehari

Dugaan menimpa dua pasangan raja sehari - Pahang - Sinar Harian:

Dugaan menimpa dua pasangan raja sehari
Pasangan Mohd Azmie dan Aishah (kelabu) serta Abdul Latif dan
Nurul Husna (pink) hanya mampu melihat kanopi yang
 rosak akibat diterbangkan ribut, malam semalam

PEKAN - Kemeriahan kenduri perkahwinan dua pasangan pengantin adik-beradik di Kampung Kelat Rendang sedikit terjejas selepas tiga kanopi diterbangkan ribut, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kanopi tersebut melayang hingga ke rumah jiran, manakala beberapa atap rumah dan kenderaan rosak.

Pasangan Mohd Azmie Soodi, 28 dan Aishah Mohd Robie, 25 serta Abdul Latif Mohd Robie, 29 dan Nurul Husna Ahmad, 23, terpaksa akur untuk terus melangsungkan majlis itu, di sini, semalam.

Bagi Aishah, dia dan suaminya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian di rumah itu, namun dalam masa sama bersyukur kerana tiada kejadian lebih mencemaskan berlaku.

“Sepatutnya malam semalam kami melangsungkan pernikahan, namun terpaksa ditangguhkan ke pagi ini (semalam).

“Sedih memang sedih, namun nak buat macam mana. Walaupun sambutan kenduri sedikit terjejas, paling utama semuanya selamat. Tetamu masih boleh datang menjamu selera biarpun dalam keadaan kurang selesa,” katanya.

Manakala buat Abdul Latif dan Nurul Husna, mereka menarik nafas lega kerana kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan serta kerugian lebih besar.

Sementara itu, adik pengantin, Mohd Iqbal Robie, 18, berkata, keluarga mereka terpaksa bekerja keras sejak awal pagi untuk membersihkan persekitaran bagi memastikan kenduri tersebut dapat diteruskan seperti biasa.

Dua rakan ditemui lemas

Dua rakan ditemui lemas - Kelantan - Sinar Harian:

Dua rakan ditemui lemas
Mayat Wan Muhamad Nazri ditemui kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.
KOTA BHARU - Hasrat seorang pelajar yang tidak pandai berenang berusaha menyelamatkan rakannya yang lemas ketika mandi di sungai berakhir dengan tragedi apabila dia turut lemas dalam kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, Abu Hamid Fadzir, 14, ditemui lemas selepas dikatakan cuba menyelamat rakannya, Wan Muhamad Nazri Wan Mahmood, 15, yang lemas ketika mandi di sungai berkenaan, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Wan Muhamad Nazri Wan Mahmod, menemui ajal selepas dipercayai terperangkap di dalam pusaran air ketika mandi di Sungai Machang, Pasir Tumboh sebelum lemas.

Sabariah Jaafar, 46, ibu kepada Abu Hamid berkata, beberapa hari sebelum kejadian dia membasuh sehelai kain ihram milik arwah suaminya yang disimpannya kerana merasakan ia akan digunakan. “Saya tidak menyangka rupa-rupanya gerak hati saya untuk membasuh sebenarnya adalah untuk digunakan bagi urusan pengebumian anak saya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Paduka, dekat sini, semalam.

Sabariah berkata, anak keenam daripada 14 beradik itu keluar rumah kira-kira jam 3.30 petang bersama empat lagi rakannya untuk belajar silat di rumah seorang guru yang terletak berhampiran sungai berkenaan. “Abu Hamid memberitahu saya dia keluar belajar silat dan difahamkan ketika mereka ke sana guru silat tiada di rumah menyebabkan mereka kemudiannya ke sungai untuk mandi dan dia sebenarnya tidak tahu berenang.

Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya yang juga pelajar tingkatan dua Maahad Ar-Rahmaniah Kenali, Kubang Kerian kira-kira jam 6 petang selepas salah seorang rakan anaknya itu datang ke rumah memaklumkannya.

Menurutnya, jarang bermain jauh dari rumah dan biasanya membantunya membersihkan halaman dan semalam dia perasan anaknya itu agak manja ketika dikejutkan untuk solat Subuh. Katanya, jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuchelong, Bachok kira-kira jam 9.30 pagi semalam
.
Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Ketua Penguasa Bomba Mohd Shukri Ismail berkata, mayat mangsa pertama Wan Muhamad Nazri ditemui kira-kira jam 6.15 petang dan rakannya dijumpai jam 8.15 malam di sekitar tempat kejadian.

Beliau yang mengetuai operasi menyelamat itu berkata, 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat kira-kira jam 5 petang dan kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh unit skuba di dasar sungai tersebut.

“Anggota kita berusaha mencari mangsa ketika hujan lebat dan operasi ditangguhkan seketika selepas mangsa pertama ditemui yang kemudiannya diteruskan semula jam 8 malam. “Kita percaya mangsa pertama lemas ketika mandi di sungai itu dan Abu Hamid yang ketika itu dipercayai dibawa arus ketika berusaha menyelamatkan rakannya,” katanya.