Search This Blog

Saturday, May 5, 2012

Kerajaan Mohon Saman Pesara Tentera Dibatal



KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan telah memohon Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman yang difailkan oleh pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana tidak munasabah dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili enam Perdana Menteri Malaysia bermula Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara dan beberapa pihak kerajaan Malaysia membuat permohonan itu pada 19 April lalu.
Saman yang difailkan oleh Tengku Zainal Abidin Tengku Yusoff, 58, didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin pada Jumaat.
Vazeer Alam menetapkan 11 Jun untuk pengurusan kes.
Selain itu, pihak kerajaan turut mendakwa bahawa plaintif gagal mengenal pasti identiti 403 pegawai yang berada di dalam perkhidmatan dan bersara serta permohonan plaintif juga melebihi had masa.
Tengku Zainal Abidin, yang berpangkat kapten, memfailkan saman pada 20 Januari lepas dengan mendakwa mewakili 403 pegawai berpangkat Leftenan Muda hingga Jeneral.
Pesara tentera itu menamakan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, enam Perdana Menteri Malaysia bermula Tunku Abdul Rahman sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pertahanan bermula era Tun Abdul Razak Hussein sehingga sekarang iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Pertahanan, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Perdana Menteri pertama sehingga keenam dan Ketua Setiausaha Negara telah menipu, melakukan konspirasi dan menyalah guna kuasa mereka untuk menjatuhkan maruah pegawai ATM dengan cara memotong kuantum gaji kor dan elaun pegawai berkenaan dari tahun 1963 sehingga sekarang.
Antara yang dituntut adalah deklarasi bahawa keputusan Kabinet pada 1963 yang menyisihkan ATM daripada Suruhanjaya Khas yang dibentuk untuk menyemak tangga gaji dan perkhidmatan untuk kesemua sektor awam, adalah salah dan melanggar undang-undang.
Sementara itu di luar mahkamah, Tengku Zainal Abidin memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah menyerahkan saman kepada Lee dan Kerajaan Republik Singapura pada 3 Mei lalu dan mereka mempunyai masa selama 20 hari untuk memfailkan kehadiran. - BERNAMA

Longkang tersumbat didakwa jadi punca



AMPANG 3 Mei - Banjir kilat akibat hujan lebat semalam menyebabkan penduduk di Taman Putra di sini mengalami kerugian apabila air naik setinggi hampir satu meter di dalam rumah mereka.
Kira-kira 50 rumah penduduk daripada kawasan kediaman tersebut terjejas dan dimasuki air.
Seorang penduduk, Treise Yong, 39, berkata, lebat hujan telah menyebabkan air naik dan memasuki rumahnya kira-kira pukul 1.30 petang.
Katanya, ketika itu dia berada di dapur dan tiba-tiba terdengar bunyi air yang kuat dari bahagian depan rumah.
"Bila saya ke depan, saya mendapati air sudah memasuki rumah. Dalam masa 10 minit sahaja air sudah banyak. Saya berasa takut kerana perkara ini tidak pernah terjadi di sini.
"Banyak perabot dan peralatan elektrik seperti televisyen rosak terkena air dan saya harap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat memberi pampasan kepada penduduk," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Woi Faa Kong, 62, berkata, kerugian yang dialaminya dianggarkan RM2,000 ke RM5,000 kerana air naik begitu cepat dan banyak barang tidak dapat diselamatkan.
"Banjir yang masuk ke rumah turut membawa sampah-sarap. Kami mengambil masa hampir enam jam untuk membersihkan rumah selepas itu.
"Sudah 20 tahun saya tinggal di sini dan ini merupakan banjir yang paling teruk," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Hamid Hussien, 50, berkata, banyak barangan untuk perniagaannya rosak kerana dimasuki air.
"Saya berniaga kuih-muih dan bila air masuk (ke rumah) banyak bahan-bahan untuk membuat kuih rosak.
"Saya juga tidak dapat berniaga selama dua hari bagi membersihkan rumah," jelasnya.
Longkang yang dipenuhi sampah-sarap dan tidak disenggara didakwa menjadi penyebab berlakunya banjir kilat di Taman Putra petang semalam.
Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Ben Liew berkata, air naik kerana longkang di kawasan kediaman itu dipenuhi sampah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik.
Katanya, lebih 50 buah rumah di kawasan itu terjejas dan dimasuki air.
"Rumah yang dimasuki air adalah di Jalan 19, Jalan 21 dan Jalan 23.
"Banjir ini berlaku kerana longkang dipenuhi sampah sehingga menyebabkan penduduk terjejas dan kerugian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di perumahan tersebut di sini hari ini.
Ben turut memberitahu bahawa terdapat kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan DUN itu iaitu di Taman Saga, Pangsapuri Intan, Bukit Permai dan Cheras Baru.
"Nasib baik tiada kemalangan jiwa berlaku, cuma sebuah kereta yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Intan.
"Saya harap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat mengambil tindakan untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.
"Sebelum ini saya pernah menulis surat kepada MPAJ supaya membina benteng konkrit (di Pangsapuri Intan) untuk mengelakkan hakisan tetapi masih tiada apa-apa tindakan," jelasnya.

Senjata buatan sendiri meletup



Zahari Mohamed (kiri) menunjukkan senjata buatan sendiri yang meletup ketika diuji oleh seorang pemuda pada sidang ahkbar di Keningau, semalam.
KENINGAU 3 Mei - Seorang pemuda nyaris maut akibat terkena letupan semasa melepaskan tembakan ketika menguji senjata buatan sendiri milik rakannya semalam.
Mangsa yang berusia 24 tahun melepaskan tembakan dari kawasan beranda rumah rakannya di Kampung Gaulan dekat sini pada pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, bagaimanapun senjata itu meletup menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah cedera di kanan muka, mata dan telinga.
"Mangsa kemudian dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan saudara rakannya itu bagi mendapatkan rawatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Berikutan itu, Zahari berkata, dua rakan mangsa yang berusia 27 dan 29 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi membantu siasatan.
Tambahnya, siasatan di tempat kejadian membolehkan polis menemui tiga komponen senjata buatan sendiri yang dimiliki oleh salah seorang rakan mangsa.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan cedera dengan senjata.

Bapa sedih anak dipukul



ZULKIFLI Che Daud (kiri) bersama Mohamad Hatta Alias (dua dari kiri), Mohd. Rafiee Zakaria (dua dari kanan) dan Abu Bakar Abd. Rahman (kanan) menceritakan pengalaman bertugas pada perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD NOOR MAT AMIN
KUALA LUMPUR 4 Mei - Hati mana yang tidak tersentuh apabila mendapat tahu anak lelaki yang bertugas sebagai anggota polis trafik dipukul dan diserang lebih 10 peserta perhimpunan Bersih 3.0 sehingga parah dan tanpa belas kasihan, Sabtu lalu.
Demikian luahan Detektif Koperal Zulkifli Che Daud, 51, yang mendapat tahu berita itu setelah dihubungi seorang rakan semasa bertugas di Bahagian Pendokumentasian peserta Bersih 3.0 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak pada hari kejadian.
Zulkifli yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, dia terus bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi dikejutkan pula apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanya sama ada anaknya, Mohd. Fairuz, 26, telah meninggal dunia.
Katanya, disebabkan terlalu bimbang dan terkejut, tangannya menggigil sehingga sukar menunggang motosikal selain merasakan jarak ke HKL pula begitu jauh.
"Sejurus tiba di Unit Rawatan Rapi HKL, saya berasa lega apabila mendengar suara anak kedua (Mohd. Fairuz) memanggil saya. Saya bersyukur kerana dia masih hidup walaupun ada yang melihat situasi dia diserang mengatakan mungkin tidak dapat bertahan.
"Manakan tidak kerana anak saya dipijak dan dibaling objek keras bertalu- talu oleh puluhan peserta perhimpunan," katanya ketika ditemui pemberita di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut beliau, anaknya itu yang bertugas di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee kini berada di Kelantan untuk berubat secara tradisional selepas dibenarkan keluar dari HKL semalam.
Seorang lagi anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Koperal Abu Bakar Abd. Rahman, 32, turut diserang oleh peserta perhimpunan itu namun hanya mengalami kecederaan ringan di muka.
"Ketika perhimpunan itu, saya hendak membantu seorang anggota polis yang terperangkap selepas kereta peronda (Proton Waja) dinaikinya diserang dan diterbalikkan oleh peserta perhimpunan berhampiran pusat beli-belah Sogo.
"Apabila melihat anggota polis itu telah dikeluarkan, saya pun menuju ke ambulans tetapi semasa dalam perjalanan, keadaan menjadi kelam- kabut dan tiba-tiba seorang peserta (Bersih) menumbuk pipi kanan saya sehingga jatuh," katanya yang turut disepak dan dibaling objek keras oleh peserta semasa menunggang motosikal untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya, selepas kejadian dia mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Pegawai trafik dari Balai Polis Trafik Tun H. S Lee, Inspektor Mohamad Hatta Alias, 40, yang mengetuai lalu lintas di kawasan Sogo dan Maju Junction berkata, peserta perhimpunan Bersih 3.0 kali ini dianggap lebih ganas berbanding perhimpunan sebelum ini.
"Saya pernah bertugas dalam pelbagai bentuk perhimpunan sama ada menghantar memorandum mahupun bantahan termasuk Bersih 2.0 namun kali pertama berhadapan situasi anggota polis trafik diserang walaupun tugas kami hanya mengawal dan melancarkan lalu lintas.
"Saya hampir dicederakan apabila peserta Bersih 3.0 mengepung dan cuba menyerang saya ketika bertugas namun mujurlah ada segelintir orang awam yang prihatin membuat benteng dan menyelamatkan saya daripada dicederakan.
"Saya sungguh terkilan dan tidak menyangka peserta akan menyerang anggota polis trafik yang ketika itu hanya saya bersama dua anggota bertugas di kawasan Sogo selepas kesemuanya bergerak ke Dataran Merdeka," katanya yang sudah lapan tahun bertugas dalam Polis Diraja Malaysia.
Seorang lagi pegawai polis trafik dari Balai Polis Trafik Tun H. S Lee, Sub Inspektor Mohd. Rafiee Zakaria berkata, dia merupakan antara pegawai yang bertugas memantau anggota polis trafik di seluruh kawasan lokasi perhimpunan Bersih 3.0 dijalankan.
"Saya lihat anggota polis trafik yang bertugas langsung tidak menahan atau menghalang mana-mana peserta yang berhimpun ketika itu.
"Oleh itu saya rasa tindakan mereka menyerang tidak wajar kerana kami hanya menjalankan tugas," ujarnya sambil memberitahu seramai empat anggota cedera daripada lebih 200 yang bertugas.

Tidak tahan dengar leteran, suami tikam isteri hingga mati



KOTA KINABALU 3 Mei - Tidak tahan dengan leteran isteri, seorang suami bertindak luar batasan dengan menikam isterinya sehingga mati di Kinabatangan semalam.
Panik dengan tindakan luar kawalan itu, suami berusia 39 tahun kemudian cuba membunuh diri dengan menggunakan pisau yang digunakan untuk menikam isterinya namun sempat diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Supritendan Martin Lugu berkata, suspek dikatakan tidak tahan dengan leteran isterinya yang berusia 41 tahun kerana asyik membebel sikapnya yang tidak membantu menguruskan kerja rumah selain malas berkerja.
"Tertekan dengan tindakan isterinya itu, suspek bertindak mengambil sebilah pisau di dapur dan menikam isterinya sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia berhampiran pintu hadapan rumah.
"Suspek kemudian cuba membunuh diri dengan menggunakan senjata yang sama namun, dia sempat diselamatkan oleh orang ramai," katanya di sini hari ini.
Martin berkata, kejadian berdarah tersebut disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang lalu di kawasan perumahan tersebut yang terletak di dalam kawasan ladang.
Menurutnya, saksi tersebut mendapati kedua-dua mangsa berada di hadapan pintu rumah mereka dan badan penuh berlumuran darah.
"Dibantu oleh beberapa pekerja ladang yang lain, suspek yang masih bernyawa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Lagi kapal China ceroboh Filipina



MANILA 3 Mei - Tentera Filipina hari ini menuduh China menghantar lebih banyak kapal ke pulau kecil Scarborough Shoal, kawasan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara itu, sekali gus menyifatkannya sebagai satu penghinaan yang akan memburukkan lagi ketegangan.
Jurucakap tentera wilayah Filipina, Mejar Loel Egos berkata, empat kapal peninjau dan 10 bot nelayan China telah berlabuh di perairan pulau tersebut dan kumpulan nelayan itu turut mengambil kima gergasi serta batu karang yang dilindungi mengikut undang-undang negara ini.
Menurut beliau, ia adalah jumlah terbesar kapal China yang pernah dilihat di kawasan itu sejak kedua-dua negara tersebut mula mempertahankan wilayah masing-masing di Laut China Selatan.
"Tindakan itu satu penghinaan dan memburukkan lagi keadaan. Ia benar-benar mahu menguji apa negara kecil seperti Filipina boleh lakukan untuk menentangnya," kata Egos yang bertanggungjawab ke atas kawasan itu.
Egos berkata, Filipina hanya mempunyai dua kapal pengawal pantai dan sebuah kapal perikanan di pulau itu yang tidak mampu berbuat apa-apa dengan bot nelayan China.
Ketika ditanya berhubung peningkatan kapal China di kawasan itu, jurucakap Presiden Benigno Aquino berkata, Filipina akan mengambil sikap bertenang.
Kapal kedua-dua negara itu telah berada di kawasan tersebut sejak 8 April lalu selepas Filipina menemui lapan kapal nelayan China di perairan sama. - AFP

Penumpang MAS ditahan bawa dadah



NEW DELHI 4 Mei - Penumpang MAS yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur di tahan oleh pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di sini kerana didakwa memiliki 3.26 kilogram ketamine.
Barangan tersebut ditemui di dalam bahagian sebuah beg milik penumpang Mohideen Bhaseer ketika melalui pemeriksaan.
“Dalam pemeriksaan, 3.16 kilogram ketamin ditemui dalam uncang yang diletakkan di bahagian tersembunyi di bawah beg,’’kata pegawai kastam, Arun Kumar. - BERNAMA

Pembantu tadbir mahkamah dituduh rasuah



KUANTAN - Seorang pembantu tadbir undang-undang di Mahkamah Rompin dipenjara sehari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan memperoleh rasuah bagi menyelesaikan kes saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 2010.
Mohd. Firdaus Zakaria, 29, turut diperintahkan oleh Hakim Fathiyah Idris dipenjara selama 15 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 9 Jun 2010, tertuduh yang bertugas di hadapan kaunter Mahkamah Majistret Rompin secara rasuah memperoleh wang tunai RM3,000 daripada seorang wakil syarikat pengangkutan, Idarus Awang Denan bagi membantu menyelesaikan dua saman JPJ untuk tidak dibawa ke mahkamah terbuka. - Utusan.

Pemungut hutang kekal digantung



PUTRAJAYA 2 Mei - Seorang pemungut hutang kekal menjalani hukuman gantung atas kesalahan mengedar heroin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih 10 tahun lalu selepas rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Ong Lock Soon yang ketika itu dalam perjalanan ke Sydney, Australia ditahan di KLIA, Sepang selepas pemeriksaan badan yang dijalankan menemui dadah yang dilekat pada lengan dan perutnya menggunakan pelekat.
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan lelaki itu selepas berpuas hati bahawa bukti keterangan kes yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah kuat bagi mensabitkan perayu.
Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 11 Ogos 2006 serta Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya pada 16 November tahun lalu, selamat dan tidak perlu diubah.
Lock Soon diwakili oleh peguam, Datuk V. Sithambaram manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas. - UTUSAN

Bunuh 3 anak: Bekas jaga kekal digantung



PUTRAJAYA 2 Mei - Seorang bekas pengawal keselamatan terpaksa menerima hakikat hayatnya akan berakhir di tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman tersebut atas kesalahan membunuh tiga anaknya yang masih di bawah umur, lapan tahun lalu.
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak rayuan P. Vellertore, 52, selepas berpuas hati bahawa pembelaannya merupakan penafian semata-mata.
Mahkamah berpendapat, tiada asas bagi menolak keterangan pakar jiwa yang merumuskan bahawa perayu menyedari perbuatannya walaupun ketika itu dia mengalami tekanan.
Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor pada 7 April 2010 dan Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya, selamat dan tidak wajar diubah.
Empat lagi hakim yang turut bersidang dalam panel tersebut ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datin Paduka Zaleha Zahari.
Perayu diwakili oleh peguam-peguam, Suzanawati Ismail dan Salim Bashir manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Nur'aini Mohd. Noor.
Laporan akhbar menyebut, Vellertore menangis sambil menjerit-jerit ketika hakim bicara di Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman terhadapnya sambil bersumpah menyatakan dia tidak membunuh ketiga-tiga mangsa.
Hakim bicara berpendapat, walaupun memahami keadaannya yang tertekan akibat ditinggalkan isteri dan perlu menyara empat anak pada masa yang sama, dia tidak berhak mengambil nyawa mereka.
Lelaki tersebut disabitkan membunuh tiga daripada empat anaknya, Rudraa Kumar, 6, Kessaprata, 5, dan Harini, 3, di rumah mereka di Taman Muhibbah, Saleng, Kulaijaya antara pukul 10.30 pagi dan 3.30 petang, 20 November 2004.
Dia yang dilaporkan cuba menggantung diri selepas itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jiran yang menyedari kejadian tersebut.

Lelaki diberkas bersama dua botol disyaki dadah



MOHD. Kamal Zainal (tengah) menunjukkan pistol mainan yang digunakan suspek untuk mengugut seorang perempuan di Pasir Puteh, kelmarin.
PASIR PUTEH 4 Mei - Polis memberkas seorang lelaki dan merampas dua botol mengandungi cecair dipercayai dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tualang Rendang Selising, dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, polis turut merampas satu plastik mengandungi daun kering mampat disyaki ganja daripada suspek yang berusia 32 tahun itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, bahan dipercayai dadah itu disembunyikan dalam sebuah kereta terletak berhampiran dengan rumah suspek.
Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam.

12 kes penipuan libatkan pakej umrah, pelancongan



KUALA LUMPUR 3 Mei - Sebanyak 12 kes penipuan melibatkan lima kes berkaitan pakej umrah dan tujuh kes berkaitan pakej pelancongan direkodkan Kementerian Pelancongan sepanjang tempoh dari 2010 hingga 31 Mac lalu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan syarikat pelancongan telah dibatalkan lesen mengikut Akta Industri Pelancongan 1992, tiga syarikat dikenakan amaran manakala satu kes lagi masih dalam siasatan.
Jelas beliau, kementeriannya juga sedang mengambil tindakan untuk meminda Akta Industri Pelancongan 1992 bagi mewujudkan peraturan baru dalam melindungi hak-hak pengguna dan kepentingan pelancongan.
"Antara langkah yang akan diambil adalah penubuhan Kumpulan Wang Pampasan Industri Pelancongan (KWPIP) yang mendapat sokongan Persatuan Agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (Matta).
"Peraturan baru yang dicadangkan ini akan mewajibkan semua syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berlesen untuk menyumbang kepada kumpulan wang pampasan ini," katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk Boon Som Inong yang bertanyakan jumlah syarikat pelancongan yang dikenakan tindakan akibat aktiviti penipuan melibatkan pakej percutian dan umrah.
Menurut James, kementeriannya menjangkakan peraturan baru berhubung KWPIP itu akan dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

Belon gas meletup, 144 cedera, melecur

Berita Harian Online | Belon gas meletup, 144 cedera, melecur: "YEREVAN: Lebih 140 orang awam cedera lewat malam tadi apabila belon berisi gas meletup ketika konsert kempen pilihan raya di ibu negara Armenia, menjelang pilihan raya parlimen pada Ahad ini, kata pegawai tempatan.

Kementerian Kecemasan berkata, 144 orang cedera dan melecur apabila belon gas itu meletup dan terbakar di konsert yang dianjurkan Presiden Serzh Sarkisian dari Parti Republik di Dataran Republik, Yerevan.
Laman sesawang Armenia menunjukkan, api yang marak menjulang ke udara manakala orang ramai bertempiaran lari serta menjerit ketakutan.
"Belon meletup dan terbakar selepas orang ramai yang memegang sejambak belon melepaskannya ke udara," kata seorang saksi. - AFP"

'via Blog this'

Mangsa diserang dua lelaki ketika membeli kad prabayar

Mangsa diserang dua lelaki ketika membeli kad prabayar - Kelantan - Sinar Harian:

'
Mangsa diserang dua lelaki ketika membeli kad prabayar
Anggota polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes tembak dan tetak di
hadapan sebuah kedai
KOTA BHARU - Seorang lelaki, cedera ditembak dan ditetak dari jarak dekat oleh dua lelaki yang tidak dikenali selepas keluar membeli kad prabayar dan gula-gula di Taman Sentosa Jaya, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Badang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Mohd Nasrur Alimi Mohamad, 35, yang berasal dari Kampung Raja, Jertih, Terengganu ditembak di betis dan turut diserang dengan senjata tajam jenis Kelewang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa berwarna perak disyaki melepaskan tembakan serta menetak mangsa.

“Dipercayai kedua-dua suspek turut memakai helmet dan jaket hitam dan polis turut menjumpai empat kelongsong peluru berukuran 9 milimeter (mm) di kawasan kejadian.

“Pistol yang digunakan kedua-dua suspek terbabit juga berwarna perak dan kini kita giat memburu kedua-dua pemuda tersebut,” katanya kepada pemberita.

Saksi kejadian, Nor Khairun Nisha Mohd Yusof, 22, berkata, semasa kejadian, dia berada di dalam kedai membantu ibunya, Azizah

Yusof, 49, sebelum terdengar bunyi letupan sebanyak tiga kali dan keluar melihat keadaan di luar.

“Saya bersama ibu segera keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku, namun tergamam apabila melihat Abang Yo (panggilan kepada Mohd Nasrur) yang baru keluar daripada kedai selepas membeli kad prabayar, ditetak seorang lelaki yang memakai helmet dan berjaket hitam.

“Penjenayah itu juga turut mengacukan senjata tajam kepada ibu saya sebagai amaran dan sempat melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum bertindak melarikan diri selepas mencederakan Abang Yo,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Ira Shamimi Syamsuddin, 24, berkata, ketika kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pembekal kepada sebuah hospital baru keluar dari rumah dan menuju ke sebuah kedai runcit untuk membeli kad prabayar.

“Tiba-tiba, saya terdengar beberapa letupan seperti mercun dan segera keluar daripada rumah untuk melihatnya sebelum anak pemilik kedai tersebut memaklumkan ada orang kena tembak.

“Saya yang terkejut segera menelefon suami, namun tak menyangka Nasrur yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Ira Shamimi berkata, sebelum kejadian tersebut berlaku dia turut terlihat kelibat kereta Kelisa itu lalu di hadapan rumahnya, namun tidak menyangka mereka adalah penjenayah.

Pemuda ditahan gara-gara acu pistol mainan

Pemuda ditahan gara-gara acu pistol mainan - Kelantan - Sinar Harian:

PASIR PUTEH - Seorang lelaki berumur 26 tahun ditahan polis gara-gara mengacukan pistol mainan kepada seorang gadis berusia 21 tahun kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, dalam kejadian tersebut lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Satria itu cuba menakut-nakutkan gadis itu sebanyak dua kali iaitu di Jalan Jerus dan di hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa.

“Melihat kelakuan tersebut gadis itu terus ke Balai Polis Selising untuk membuat aduan dan setengah jam kemudian lelaki itu ditahan oleh polis di simpang tiga Bernas, Padang Pak Amat.

“Hasil siasatan terhadap pemuda tersebut polis menjumpai sepucuk pistol mainan berwarna hitam di dalam keretanya,” katanya kepada media dalam satu sidang akhbar di sini, semalam.

Menurutnya, pemuda yang berasal dari Tumpat itu ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Mohd Kamal berkata, pemuda tersebut juga disyaki menghidapi sakit mental dan akan diserahkan kepada pihak hospital untuk siasatan lanjut.

Beliau juga memuji sikap gadis itu yang cepat mengambil tindakan dengan segera membuat aduan kepada polis dan berharap orang ramai dapat mencontohinya di masa akan datang.

“Sikap sedemikianlah yang kami harapkan agar masalah dapat diselesaikan dengan cepat dengan kerjasama orang ramai,” katanya.

Penjual buah didenda beri keterangan palsu

Penjual buah didenda beri keterangan palsu - Kelantan - Sinar Harian:

KOTA BHARU-Seorang penjual buah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin terhadap tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi berhubung kes seorang Inspektor polis menerima rasuah RM1,000 daripada seorang peniaga mercun, Mac tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu selepas Wan Mohd Rozi Wan Mahmood, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. Mengikut pertuduhan, Wan Mohd Rozi didakwa memberi keterangan iaitu “Ya, saya sebenarnya pada bila-bila masa pun tidak bertemu dengan Inspektor Badrul” semasa perbicaraan kes membabitkan Pendakwa Raya melawan Muhamad Badrul Hisham Othman di Mahkamah Sesyen, pada jam 2.30 petang, 9 Mac 2011.

Kenyataan itu adalah tidak selaras dengan pernyataan diberikan tertuduh kepada Pegawai Badan Pencegah Rasuah, Penyiasat Mohd Alif Omar Md Abu Bakar, di pejabat Badan Pencegah Rasuah Kelantan (kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM), pada 14 Oktober 2006 iaitu “Saya kenal baik dengan Inspektor Badrul sebelum ini.

Bagi kesalahan itu, Wan Mohd Rozi yang mempunyai lima anak didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Wan Abdullah Thani Wan Yusof memohon dikenakan hukuman denda minima memandangkan anak guamnya mempunyai lima anak yang masih bersekolah dan bayi di bawah jagaan isterinya. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Ahsan Latif memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh. “Walaupun ia kesalahan pertama, tetapi mahkamah perlu melihat betapa seriusnya kesalahan dilakukan tertuduh, oleh itu, saya memohon hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.

8 pelajar diserang histeria

8 pelajar diserang histeria - Kelantan - Sinar Harian:

8 pelajar diserang histeria
Keadaan di kawasan lokasi perkhemahan lapan pelajar yang diserang histeria
PASIR MAS – Lapan pelajar perempuan sekolah menengah dari sebuah daerah yang menyertai perkhemahan di satu kawasan di sini beberapa hari lalu diserang histeria kelmarin.

Sinar Harian difahamkan kejadian berlaku serentak malam kelmarin memaksa pihak sekolah menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional atau pun bomoh bagi menenteramkan pelajar terlibat.

Pelajar-pelajar ini menjerit, meracau serta memberitahu takut dengan makhluk halus yang dikatakan datang mengganggunya. Salah seorang daripadanya menangis kerana takut serta bimbang kejadian serupa berulang. Beberapa pelajar kembali pulih setelah mendapatkan rawatan daripada bomoh sementara serangan ke atas sebahagian daripadanya berlarutan hingga ke tengah hari semalam. Berikutan kejadian itu, ibu bapa pelajar yang diserang histeria datang melihat keadaan anak masing-masing.

Seorang pelajar yang belum pulihkan walaupun diberikan rawatan dibawa keluarganya pulang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa pelajar terlibat datang mengambil anak mereka sementara pelajar yang mengikuti perkhemahan ini pulang dengan menaiki bas.

Pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Rohana berkata, dia diberitahu tentang kejadian pagi semalam dan sempat mengubati tiga pelajar. Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian dia dapat melihat keadaan pelajar yang terkena serangan histeria. “Saya mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk merawat pelajar terlibat. “Alhamdulillah selepas menerima rawatan, kesemua pelajar kembali pulih,” katanya.

Rohana berkata, pelajar-pelajar ini terkena serangan makhluk halus dan kemungkinan tempat perkhemahan ini merupakan kawasannya.

Menurutnya, dia mengubati pelajar-pelajar ini dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sinar Harian difahamkan, lokasi perkhemahan sering kali menjadi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti tetapi kejadian kelmarin merupakan yang pertama berlaku di sini.

Mat Bangla culik rakan

myMetro | Mat Bangla culik rakan:

SHAH ALAM: Hasrat seorang lelaki warga Bangladesh mencari pekerjaan di negara ini tergendala apabila terpaksa mengharungi kesengsaraan selama lebih sebulan apabila dia bukan saja dikurung, dirantai, malah turut dipukul sekumpulan lelaki yang menculiknya pada 8 Mac lalu.

Mangsa berusia 19 tahun datang ke Malaysia mencari pekerjaan sekitar Mac lalu dan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia didatangi suspek yang menawarkan pekerjaan kepadanya.


Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, mangsa bersetuju menerima tawaran suspek sebelum dibawa ke sebuah rumah kedai di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, sebaik tiba di premis itu, suspek mengurung mangsa dan meminta mangsa menyerahkan RM15,000 jika ingin dibebaskan.


Katanya, mangsa yang tidak memiliki wang menghubungi bapa saudaranya di Tokyo, Jepun supaya memasukkan wang dikehendaki suspek ke dalam akaun mereka.


“Bagaimanapun, bapa saudara mangsa tidak berbuat demikian kerana tidak memiliki wang sebanyak itu menyebabkan mangsa terus dikurung. Namun, pada Selasa lalu, bapa saudara mangsa tiba ke Malaysia mencari anak saudaranya, tetapi gagal.

“Bimbangkan keselamatan anak saudaranya itu, lelaki itu membuat laporan polis kelmarin pada jam 11.20 pagi,” katanya.


Menurutnya, bertindak atas laporan, polis menahan 10 lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita warga Indonesia dalam tiga siri tangkapan berasingan.

Mereka yang berusia 21 tahun dan 43 tahun ditahan di kawasan Mentari Court, Sungei Way, dekat Petaling Jaya dan rumah kedai di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.


Hasil tangkapan itu, polis menemui mangsa bersama dua lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Myanmar yang turut dikurung di dalam premis berkenaan.


Tun Hisan berkata, dalam modus operandinya, suspek akan menghampiri warga Bangladesh atau Myanmar yang masuk ke negara ini untuk mencari pekerjaan sebaik mangsa tiba.


Menurutnya, mangsa akan ditawarkan pekerjaan sebelum dibawa ke rumah kedai untuk dikurung dan hanya dilepaskan sekiranya membayar wang dikehendaki.


“Mangsa dikurung selagi suspek masih tidak memperoleh wang yang diinginkan selain dirantai dan dipukul menggunakan kayu hoki jika cuba melawan. “Polis turut merampas pasport milik suspek dan semua mereka bekerja sebagai buruh dan memiliki permit kerja yang sah,” katanya.


Katanya, polis kini berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung dan sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.

Rampas 555 ular tedung

myMetro | Rampas 555 ular tedung:

GEORGETOWN: Bunyi kura-kura disembunyikan dalam kotak menggagalkan usaha satu sindiket yang cuba menyeludup haiwan itu dan ratusan ular tedung senduk ke luar negara apabila ia dikesan dalam satu operasi di Kompleks Kargo, Batu Maung, kelmarin.

Dalam operasi jam 4.30 pagi itu, sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pulau Pinang dan Agensi Pencegahan Penyeludupan Spesies-Spesies Terkawal Malaysia Pulau Pinang (Maqis) melakukan pemeriksaan dalam sebuah lori yang pada mulanya mengisytiharkan barang dalam kotak adalah betik untuk dieksport ke luar negara.


Bagaimanapun, ketika memeriksa kotak berkenaan, anggota Perhilitan dan Maqis terdengar bunyi pelik dalam beberapa kotak yang pada mulanya didakwa hanya buah betik.

Susulan bunyi itu, mereka melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemui ratusan kura-kura dan juga ular tedung senduk yang diletakkan di belakang kotak berisi buah betik untuk mengaburi pihak berkuasa.


Pengarah Perhilitan negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata sindiket terbabit cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan barangan dalam kotak berkenaan adalah betik yang akan dieksport ke Hong Kong.


Menurutnya, dalam serbuan diketuai Ketua Unit Kawalan Pintu Masuk dan Pemeriksaan Konsaimen Perhilitan, Tang Teong Kim itu, pihaknya merampas 555 ular dan 171 kura-kura yang jumlahnya bernilai RM110,000.

Jamalun Nasir berkata, permintaan tinggi penggemar makanan eksotik itu membuatkan ada sindiket sanggup menyeludup ular dan kura-kura daripada spesies yang sukar ditemui kerana mahu mengaut keuntungan.


“Harga pasaran seekor ular tedung senduk itu boleh mencecah hingga RM200 untuk saiz besar dan RM80 untuk yang bersaiz kecil, manakala harga bagi kura-kura pula boleh mencecah RM200 seekor.

Menurutnya, seorang lelaki yang juga pemandu lori berusia lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan dan pihaknya masih mengesan dalang sebalik sindiket penyeludupan terbabit.


Difahamkan, semua haiwan terbabit akan dilepaskan semula ke habitat asal di utara Semenanjung dan Pahang secara berperingkat secepat mungkin.

Anak mati dipanah petir

myMetro | Anak mati dipanah petir:

KUALA TERENGGANU: “Kata-kata ‘mak lihat saya seperti mahu bergaduh’ ketika saya merenung wajahnya sebelum dia meninggalkan rumah menjadi gurauan terakhir apabila arwah maut dipanah petir di pantai Teluk Ketapang,” kata Norhayati Mamat, 42, ibu Mohd Ismuazam Mohd Jaafar, 18, yang maut dipanah petir ketika memancing di pantai berkenaan, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakannya, Mohd Ikhwan Nawawi Abdullah, 18, dan Mohd Fharal Adzaana Ngah, 26, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.


Norhayati dari Taman Desa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Chendering, di sini berkata, arwah anaknya meninggalkan rumah jam 3 petang untuk memancing selepas makan tengah hari.

“Dari pagi arwah meminta menggunakan motosikal daripada saya dan suami, Mohd Jaafar Jusoh, 43, untuk memancing.


“Bagaimanapun, sebelum meninggalkan rumah, saya sempat merenung wajahnya dan dalam keadaan bergurau itu, arwah sempat berkata sama ada saya mahu bergaduh dengannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anaknya memaklumkan kejadian itu, jam 4.30 petang sebelum mereka sekeluarga bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, pada pagi hari kejadian, arwah memberitahu mahu memancing di Marang dan tidak mengetahui yang mereka ke pantai berkenaan bersama lima rakan.


Rakan mangsa yang turut memancing bersama sebelum kejadian, Mohd Arif Hanafi, 22, dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini, berkata, mereka memilih lokasi benteng pemecah ombak berbatu di pantai itu untuk memancing.

“Tiba-tiba awan berubah kehitaman dan hujan lebat. Melihat keadaan tidak terkawal berikutan guruh dan petir, saya meminta rakan lain berteduh dalam kereta berikutan mereka datang dengan motosikal.


“Saya bersama dua rakan masuk dalam kereta, namun arahan saya yang meminta tiga mangsa yang maut dan cedera itu berlindung dalam kereta tidak diendahkan,” katanya.


Menurutnya, ketiga-tiga mangsa berlindung dalam khemah kanvas yang didirikan pemancing lain sebelum ini.


Katanya, ketiga-tiga mangsa enggan berganjak, malah sempat berkata ‘alang-alang dibasahi hujan’, mereka mahu terus memancing.


Mohd Arif berkata, selepas hujan berhenti, dia turun ke tempat tiga mangsa itu memancing dan mendapati seorang daripadanya sudah tidak bernyawa manakala dua lagi rakannya cedera dan meminta bantuan orang ramai membawa mereka yang cedera ke hospital.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu yang membabitkan satu kematian dan dua parah akibat dipanah petir ketika memancing di pantai berkenaan.

Orang pertama serah diri

myMetro | Orang pertama serah diri:KUALA LUMPUR: Individu pertama daripada 49 peserta terbabit dalam perhimpunan Bersih 3.0 yang disiarkan gambar mereka dalam media cetak dan elektronik, sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, lelaki berusia 39 tahun itu datang ke IPK KL jam 3 petang untuk membantu siasatan selepas melihat gambarnya tersebar meluas di media.


Menurutnya, seorang lagi mahasiswa berusia 22 tahun pula berjanji kepada pihaknya untuk menyerah diri bersama peguamnya pagi ini.

Sementara itu, semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengedarkan 13 keping gambar lagi yang menunjukkan keganasan sewaktu perhimpunan berkenaan.


Mohmad berkata, hasil daripada penelitian pada gambar dirakamkan pihak media dan polis sepanjang perhimpunan itu pada 28 April lalu, pihaknya membuat keputusan mengedarkannya yang dibahagikan kepada Lampiran A dan Lampiran B.


Menurutnya, gambar dalam Lampiran A itu menunjukkan rakaman anggota polis yang didakwa mengasari orang awam serta wartawan ketika bertugas mengawal keadaan ketika perhimpunan berkenaan.


“Melalui rakaman gambar di Lampiran A, saya meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian khususnya mereka yang menyaksikan kejadian berkenaan (kekasaran anggota polis) untuk tampil memberikan kerjasama mahupun menyerahkan bukti yang ada.


“Keterangan mereka akan direkodkan pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas dakwaan mereka itu,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Katanya, gambar dalam Lampiran B pula menunjukkan aksi deretan peserta perhimpunan yang merempuh kawalan polis di kawasan berdekatan Dataran Merdeka. Beliau berkata, gambar dalam lampiran kedua itu nyata menunjukkan peserta perhimpunan berhasrat menuju ke Dataran Merdeka yang dikawal polis dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Katanya, pihaknya turut mengenal pasti 42 individu lain yang turut terbabit dalam perhimpunan berkenaan dan gambar mereka turut diedarkan supaya mereka tampil memberi kenyataan.


“Orang ramai yang mengenali mana-mana individu yang berada dalam Lampiran A mahupun B untuk tampil menyalurkan maklumat kepada mana-mana pegawai polis, balai polis atau berhubung terus dengan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz melalui e-mel azmiaziz@rmp.gov.my atau talian 019-2602344 dan 019-3872344,” katanya.


Semalam, akhbar menyiarkan gambar 49 individu termasuk mahasiswa yang dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah ketika perhimpunan Bersih 3.0, di ibu negara, Sabtu lalu. Dalam sidang media dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu Mohmad berkata, individu berkenaan diminta tampil secepat mungkin sebelum mereka dijejaki melalui alamat kediaman masing-masing. “Polis mempunyai maklumat lengkap mereka, namun kami meminta mereka tampil untuk memberi kerjasama dan membantu siasatan. “Kalau mereka masih berdegil, kita tidak teragak-agak mencari mereka di alamat yang dikenal pasti,” katanya.

Pelancong Mesir curi arak dijel, denda RM100

myMetro | Pelancong Mesir curi arak dijel, denda RM100:

KUALA LUMPUR: Seorang pelancong dari Mesir dihukum penjara sehari dan denda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku bersalah mencuri tiga tin minuman keras.

Tertuduh, Khaled Abdelzaher Imam Sayed Hezgazi, 47, didakwa mencuri tiga tin minuman keras yang mana dua daripadanya berjenama El Diablo Super Strong Brew dan setin lagi jenama Double Dutch, keseluruhannya bernilai RM23.70.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di 168, Stor No 90-92, Jalan Changkat Bukit Bintang, Dang Wangi, pada jam 11.30 malam, 24 April 2012.

Bagi perbuatan itu, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan dia adalah penanggung tunggal bagi isteri dan enam anaknya dan hanya bekerja sebagai seorang tukang kayu di negara asalnya.


Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula semalam dan denda RM100 serta 10 hari penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor E Chandra.

Geng langgar, samun silap mangsa

myMetro | Geng langgar, samun silap mangsa:

KAJANG: Akibat tersalah pilih mangsa, seorang anggota Geng Bampar akhirnya ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Taming Jaya di sini, selepas suspek melanggar kereta seorang anggota polis hingga cedera di Taman Seri Timah, Balakong, kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.
Suspek yang berusia 24 tahun, dikatakan mencari mangsa yang terdiri daripada pemilik kereta mewah sebelum melanggar belakang kereta (bampar) dan menyamun menggunakan parang serta membawa lari kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan dua lagi rakan suspek berusia 20 dan 24 tahun setengah jam kemudian di hadapan Kondominium Juta Mines, Balakong.
“Polis menemui sebuah beg sandang, serangkai anak kunci kereta dan merampas empat kereta jenis Isuzu, Proton Persona, Honda Civic dan Honda Accord yang dipercayai turut menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Beliau berkata, dengan penahanan tiga lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan lima kes curi kereta mewah di sekitar Kajang dan beberapa daerah lain.

“Polis masih memburu saki baki anggota geng terbabit dan mengesan kereta mewah yang disamun. Siasatan awal mendapati kumpulan ini sudah bergiat aktif sejak Januari 2011. “Seorang daripada suspek yang ditahan ini juga baru dibebaskan daripada perintah sekatan buang daerah (PCO),” katanya.
Katanya, sebuah kereta mewah yang dirampas ditemui di tempat letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil dan semua nilai rampasan dianggarkan bernilai RM400,000.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 kerana samun berkumpulan bersenjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Penunggang maut langgar pacuan 4 roda

myMetro | Penunggang maut langgar pacuan 4 roda:


NILAI: Perjalanan seorang pemuda ke Pesta Air Port Dickson dengan berkonvoi bersama beberapa rakannya bertukar tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 269.5, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah selatan, dekat sini, semalam.
Lebih memilukan apabila mangsa, Muhamad Shamil Mohd Nor, 21, yang masih bujang dikatakan turut tidak sempat bekerja di sebuah kilang besi di Shah Alam, Selangor, yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z bersendirian berkonvoi bersama beberapa rakannya ke pesta air berkenaan.
Namun, sejurus tiba di lokasi kejadian, anak sulung daripada dua beradik itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar belakang sebuah Toyota Hilux sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

Mangsa yang cedera di badan dan kepala kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital itu tidak lama kemudian. Rakan mangsa, Mohd Anas Mohd Ali, 21, berkata dia bersama beberapa rakan termasuk arwah yang berasal dari Temerloh, Pahang, sempat minum di sekitar kawasan rumah sewa mereka di sekitar Shah Alam, kira-kira jam 3.30 pagi.

“Pada waktu itu, dia (mangsa) tidak menunjukkan sebarang perubahan namun beberapa kali memberitahu mahu pulang kerana terlalu mengantuk dan mahu tidur.
“Apabila tiba di rumah sewa, saya melihat dia terus tidur sebelum bangun semula, kira-kira jam 6 pagi. Apabila ditanya, dia memaklumkan mahu ke pesta air di Port Dickson bersama beberapa rakan lain,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Bilik Mayat HTJS, semalam.

Menurutnya yang terkejut dengan kejadian itu, mangsa sebelum ini bekerja di sebuah kilang elektronik, namun berhenti dan bakal bekerja di tempat baru iaitu kilang besi. “Bagaimanapun, hasratnya itu ternyata tidak kesampaian dan sedih dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang yang peramah, mesra dan kuat bekerja,” katanya.
Difahamkan, Muhamad Shamil turut sempat minum di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sekitar lokasi kejadian sebelum kembali meneruskan perjalanan dan terbabit dalam kemalangan itu.

Jenazah Allahyarham yang dituntut ahli keluarganya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kampung Awah, Temerloh, Pahang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan yang masih disiasat pihaknya.

Badan tersepit pada tayar

myMetro | Badan tersepit pada tayar:


KINABATANGAN: Dua sahabat baik yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Paris, dekat sini, maut selepas motosikal dinaiki terbabas, menyebabkan mereka tersepit pada tayar pacuan empat roda yang dirempuh di Kilometer 123, Jalan Lahad Datu-Kinabatangan, di sini, petang kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Harun, 50, menunggang motosikal dan rakan belum dikenal pasti identitinya yang membonceng maut di tempat kejadian dalam kejadian jam 6.45 petang.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada jam 6.55 petang namun tiba di lokasi, kira-kira dua jam kemudian berikutan jarak tempat kejadian agak jauh dari bandar Sandakan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa didapati tersepit di tayar kenderaan pacuan empat roda terbabit dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Martin Lugu berkata, keadaan jalan yang licin dikenal pasti menjadi punca motosikal ditunggang mangsa terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal ditunggangi mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan Toyota Vigo dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, mangsa maut di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat, manakala pemandu pacuan empat roda terbabit yang berusia 30-an tidak cedera.

“Mangsa maut akibat cedera parah di kepala dan badan sebelum mayat dihantar ke hospital untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Gua di bawah reban ayam

myMetro | Gua di bawah reban ayam:


TAHAN...pendatang tanpa izin dikumpulkan di kawasan rumah kongsi berhampiran Flora Damansara, malam tadi.
TAHAN...pendatang tanpa izin dikumpulkan di kawasan rumah kongsi berhampiran Flora Damansara, malam tadi.
SEMBUNYI...dua wanita yang menyorok di dalam lubang di bawah reban ayam (duduk kiri) dan lantai rumah ditahan anggota Rela.
SEMBUNYI...dua wanita yang menyorok di dalam lubang di bawah reban ayam (duduk kiri) dan lantai rumah ditahan anggota Rela.
KUALA LUMPUR: Pendatang Indonesia tanpa izin sanggup melakukan apa saja untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa termasuk menggali gua di bawah reban ayam bagi dijadikan tempat persembunyian.
Kegiatan menggali gua persembunyian ini terbongkar selepas pasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen menangkap seorang wanita yang cuba menyorok ketika serbuan di rumah kongsi di Flora Damansara dekat sini, malam tadi.
Wanita yang seakan-akan hilang pertimbangan diri apabila meronta, menangis dan meraung meminta dilepaskan itu antara 92 warga asing yang ditangkap dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan dengan kekuatan 32 anggota dan dibantu 25 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan lima anggota Jabatan Pertahanan Awan Malaysia (JPAM), kira-kira jam 11 malam.

Dalam serbuan itu, taktik menggali lubang seakan gua itu turut dikesan di bawah rumah kongsi di mana penghuninya akan berdiam diri dalam gelap bagi mengelakkan dicekup anggota keselamatan.

Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, James Musa Singa, berkata pihaknya sudah melakukan intipan selama seminggu di kawasan terbabit selepas menerima aduan orang ramai.

“Pemeriksaan membabitkan seramai 216 orang terdiri 186 lelaki, 54 wanita dan 21 pemegang kad pengenalan merah sebelum kami menahan 92 orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Daripada 92 orang yang ditahan, seramai 34 lelaki dan 13 wanita Indonesia, 40 rakyat Bangladesh dan lima orang Myanmar,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas operasi berkenaan.

James berkata, tapak rumah kongsi terbabit mempunyai lima blok kontena dua tingkat dan empat rumah kongsi kayu dengan keseluruhan 50 bilik.

“Kebanyakan mereka yang ditahan melakukan kesalahan tiada permit kerja di negara kita dan mereka semua dibawa ke Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk tindakan lanjut.

“Kami akan berusaha menemui majikan mereka dengan mengenal pasti pemilik tapak rumah kongsi ini. Lokasi ini hanya menjadi tempat tinggal warga asing dan mereka bekerja di tapak pembinaan di sekitar Damansara.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan Akta Pemerdagangan Orang (Atip),” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan turut mendapati ramai yang tidak mendaftarkan diri Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) walaupun tempoh diberikan cukup panjang.

Uli berlakon dalam DVD porno

myMetro | Uli berlakon dalam DVD porno:


JAKARTA: Kisah artis yang menjadi mangsa manipulasi gambar pornografi di internet adalah perkara biasa.
Tapi, apa yang dialami oleh artis seksi Uli Uliani (gambar) kali ini, memang luar biasa.
Tiba-tiba saja dia dilihat ‘berlakon’ dalam DVD filem pornografi cetak rompak.

“Baru-baru ini saya ada berlakon filem dan tidak lama kemudian keluar pula DVD cetak rompak di mana di dalamnya dicampur dengan babak pornografi,” katanya, semalam. 
Uli menitiskan air mata kerana kesal dengan kejadian itu. 
Uli merasa dirinya dipermainkan sehingga terpaksa bertemu dengan wartawan untuk menerangkan hal itu.

Yang lebih menarik, pertemuan dengan wartawan dibuat di markas Front Pembela Islam (FPI) di Petamburan, Jakarta.

“Saya sangat marah kerana lakonan saya dipermain-mainkan seperti ini,” katanya.

Namun begitu, Uli tidak memberitahu filem lakonannya yang mana satu yang telah dipergunakan sebagai filem pornografi itu.

Aktres yang berusia 26 tahun itu berkata, dia sangat malu dengan babak yang ditayangkan dalam DVD cetak rompak itu dan baginya ia adalah sangat tidak bermoral.

“Isi video itu dicampur antara filem saya dengan babak filem pornografi. Gambar kulit DVD itu juga bukan diambil dari filem saya. Nampak sangat tidak bermoral,” katanya. - Detikhot 

Perompak campak najis sebelum larikan wang

myMetro | Perompak campak najis sebelum larikan wang: "SYDNEY: Polis semalam memburu sekumpulan perompak jalanan yang melontarkan najis ke arah mangsa sebelum merompak wang mereka.

Kumpulan itu dikaitkan dengan sekurang-kurangnya tiga kes jenayah setakat ini, membabitkan mereka melemparkan najis selepas mangsa mengeluarkan wang dari bank. Mereka akan menawarkan bantuan untuk membersihkan najis itu dan ketika melakukannya, mereka akan mencuri wang tunai milik mangsa.


Dalam satu kejadian, suspek melarikan Aus$30,000 (RM93,333) dan dalam satu lagi kes lebih Aus$8,000 (RM24,896) dilarikan, kata polis.

“Perompak ini memang licik dan sangat menjengkelkan. Kami berusaha sedaya mungkin untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab ini,” kata penyiasat, Inspektor James Deeley. - AFP"

'via Blog this'

Seorang lagi ahli keluarga Kwok ditahan ekoran rasuah

myMetro | Seorang lagi ahli keluarga Kwok ditahan ekoran rasuah: "HONG KONG: Siasatan rasuah terhadap aktiviti seorang daripada keluarga terkaya di Asia ditingkatkan semalam selepas pihak berkuasa Hong Kong menahan ahli tertua keluarga Kwok.

Syarikat keluarga itu, Hartanah Sun Hung Kai digantung daripada perdagangan di bursa saham Hong Kong selepas pengumuman bahawa ejen antirasuah telah menahan Walter Kwok atas tuduhan rasuah.


Walter memaklumkan kepada bursa itu malam kelmarin bahawa dia ditahan Suruhanjaya Bebas Terhadap Rasuah (ICAC) sambil menambah penahanan itu tidak akan menjejaskan operasi perniagaan syarikat berkenaan.

Ejen antirasuah menahan dua adik ellakinya, Pengerusi bersama Sun Hung Kai, Thomas dan Raymond pada Mac lalu, manakala eksekutif keempat, Thomas Chan, ditahan lebih awal dalam satu daripada kes rasuah terbesar di bandar raya itu.


Walter adalah pengarah bukan eksekutif syarikat itu.


Keluarga Kwok adalah antara lelaki terkaya di Hong Kong dan Hartanah Sun Hung Kai adalah pemaju hartanah terbesar di bandar raya itu berdasarkan modal pasaran. - AFP"

'via Blog this'

Mayat 3 jurufoto dalam beg plastik

myMetro | Mayat 3 jurufoto dalam beg plastik:


pix_middle
MEXICO CITY: Tiga jurufoto yang bertugas membuat liputan di Veracruz, wilayah timur Mexico yang dilanda keganasan, ditemui mati, semalam.
Mayat mereka ditemui dalam beg plastik yang dicampakkan ke dalam parit.

Ia berlaku kurang seminggu selepas seorang wartawan penyiasatan sebuah majalah dipukul dan dijerut di rumahnya di negeri yang sama.
Kumpulan Kebebasan Akhbar berkata, ketiga-tiga jurugambar itu melarikan diri buat sementara waktu selepas menerima ancaman bunuh tahun lalu.

Kumpulan berkenaan mendesak kerajaan Mexico bertindak serta-merta untuk menghentikan serangan yang mensasarkan wartawan.

Sekurang-kurangnya tujuh wartawan, jurugambar, bekas wartawan dan bekas jurugambar mati dibunuh di Veracruz dalam masa 18 bulan.
Seperti kebanyakan mangsa yang dibunuh, tiga jurugambar yang ditemui semalam adalah antara segelintir wartawan yang masih terbabit dalam membuat liputan berita mengenai kejadian jenayah di negeri itu.

Ancaman dan pembunuhan menyebabkan kebanyakan media bimbang untuk melaporkan keganasan berkait dengan dadah.
Kini, hanya media sosial dan blog yang membuat laporan mengenai jenayah serius.

Mexico menjadi negara paling bahaya untuk wartawan sejak beberapa tahun kebelakangan. Mereka sering menjadi sasaran ketika tindakan kerajaan terhadap kartel dadah dan permusuhan antara kumpulan penjenayah menyebabkan puluhan ribu pembunuhan, penculikan dan peras ugut.

Pendakwaan dalam kes membabitkan pembunuhan wartawan tidak pernah dilakukan.

Pembunuhan terbaru berlaku di bandar Boca del Rio, tempat polis menemui mayat empat orang, semalam. Penemuan itu adalah hasil maklumat orang ramai yang melihat empat beg plastik mencurigakan dalam parit, kata Pejabat Peguam Negara Veracruz. Mayat itu mempunyai kesan diseksa dan dikerat.

Seorang mangsa dikenalpasti sebagai Guillermo Luna Varela, jurugambar bahagian jenayah untuk laman web www.veracruznews.com.mx.

Dia dilihat kali terakhir oleh wartawan tempatan ketika membuat liputan mengenai kemalangan kereta petang kelmarin.

Menurut seorang rakan yang enggan dikenali, Luna, berusia 20-an dan anak saudara kepada seorang lagi mangsa yang mayatnya turut ditemui di tempat sama, Gabriel Huge.

Huge berusia awal 30-an dan bekerja sebagai jurugambar untuk akhbar Notiver sehingga musim panas lalu apabila dia melarikan diri setelah dua rakan wartawannya dibunuh.

Huge kembali bekerja sebagai wartawan di Veracruz baru-baru ini tetapi tidak dapat dipastikan bertugas di bahagian mana.

Pegawai berkata, mangsa ketiga ialah Esteban Rodriguez, jurugambar akhbar AZ di bahagian jenayah sehingga musim panas lalu apabila dia juga melarikan diri. Dia kemudian pulang tetapi bekerja sebagai jurukimpal. - AFP

Bahan cetak rompak RM276,000 dimusnah

Kosmo! Online - Negara:


GHEE LYE (kiri) membantu memusnahkan sebahagian daripada bahan cetak rompak yang dirampas di Melaka semalam.


MELAKA - Polis memusnahkan sejumlah 51,229 keping cakera digital (CD), video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak dan lucah bernilai kira-kira RM276,000 yang dirampas sepanjang tahun 2004 hingga 2009.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kesemua barangan yang dimusnahkan itu merupakan bahan bukti kepada 81 kes yang sudah selesai di mahkamah.
Menurutnya, mengikut statistik, sejak lima tahun lalu, operasi membanteras sindiket cetak rompak pada 2007 sehingga tahun lalu membawa kepada rampasan 347,366 VCD cetak rompak.
"Dalam tempoh itu, kita telah menangkap seramai 325 orang kerana melakukan kesalahan mengedar dan menjual barangan haram tersebut," katanya.