Search This Blog

Friday, May 4, 2012

Drebar teksi mahu senjata

myMetro | Drebar teksi mahu senjata:


BAGUIO CITY (Filipina): Pemandu dan pengusaha teksi bandar ini meminta kebenaran pihak berkuasa untuk membawa pisau atau senjata api sebagai mempertahankan diri setelah 11 kes rompakan bersenjata terhadap pemandu teksi berlaku, bulan lepas.
Ahli Majlis, Edison Bilog bagaimanapun berkata, membenarkan pemandu teksi membawa senjata akan meningkatkan kadar jenayah. 
Polis dan Majlis Bandaraya Baguio sebaliknya menawarkan untuk membaiki sistem ganjaran, lampu jalan dan meletakkan lebih banyak kamera litar tertutup untuk mencegah jenayah.

Pemandu dan operator teksi meminta kebenaran untuk membawa senjata ketika berdialog dengan Ketua Polis Baguio, Superintenden David Lacdan, awal minggu ini.

Antara kes yang menyebabkan mereka membuat permintaan itu adalah kejadian rompakan 25 April lalu di Tacay Lodge di mana empat lelaki bersenjata mengikat pekerja hotel dan membawa lari 300,000 peso (RM21,553) dengan menggunakan teksi yang dicuri.

Seorang pengusaha teksi, Ben Fabella, berkata kes pertama bulan lalu dilaporkan pada 6 April.

Selepas berakhir musim percutian pada cuti Krismas, pelancong akan kembali ke bandar itu untuk Minggu Suci.

Katanya, lapan pemandu teksi dirompak antara 16 dan 19 April walaupun protokol keselamatan yang ditetapkan pada awalnya memerlukan pemandu teksi yang bekerja malam melepasi pusat pemeriksaan polis.

Lacdan berkata, ramai pemandu teksi tidak melepasi kawalan keselamatan kerana didesak penumpang mereka.

“Ramai memberi alasan mereka tidak sepatutnya menanggung kesusahan melalui kawalan keselamatan kerana mereka bukan penjenayah,” katanya.

Bilog berkata, membenarkan pemandu teksi membawa senjata adalah melampau.

Katanya, dua kes rompakan telah diselesaikan. Seorang suspek telah didakwa di mahkamah manakala seorang lagi dibebaskan kerana mangsa menarik balik aduannya. - Manila Times 

Sering tidur dalam kereta undang tragedi

myMetro | Sering tidur dalam kereta undang tragedi:


JOHOR BAHRU: Sikap lima sekeluarga yang sering tidur dalam kereta terutama ketika cuaca panas dipercayai antara punca kematian mereka ketika ditemui dalam sebuah Proton Iswara di kedai penghawa dingin kenderaan milik mereka di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Masai di sini, kelmarin.
Difahamkan, tabiat itu dilakukan bagi memberikan keselesaan kepada mereka sekeluarga untuk tidur, namun tidak menyangka menjadi antara punca kematian lima beranak berkenaan.

Malah, ketika ditemui, lima beranak itu tidur bersama bantal untuk keselesaan, malangnya keadaan tertutup dipercayai menyebabkan gas beracun memasuki kereta.
Ketua Polis Darah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan pihaknya percaya lima beranak itu tidur dalam kereta berikutan penemuan bantal dalam kenderaan itu.

Menurutnya, laporan bedah siasat dijalankan semalam masih belum dapat mengetahui punca sebenar kematian berikutan sampel darah, air kencing dan beberapa contoh lain lima beranak itu perlu dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Mangsa, Lim Kah Weng, 32, isterinya, Tiew Ong Nee, 34, manakala anak mereka, Lim Yah Bin, 11, Lim Sim Loo, 9, dan Lim Sim Tian, 4 dipercayai meninggal dunia akibat kekurangan oksigen beberapa jam selepas tidur dalam kereta dengan penghawa dingin dihidupkan, namun kereta itu tidak bergerak.

Keluarga bayar ratusan ribu

myMetro | Keluarga bayar ratusan ribu:


KUALA LUMPUR: Kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar dibebaskan penculiknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang pagi semalam selepas keluarganya membayar wang tebusan secara tunai kepada penculik terbabit di Cheras, kelmarin.
Difahamkan, keluarga mangsa mendapat panggilan telefon daripada penculik terbabit yang meminta mereka membayar RM1 juta jika mahu kanak-kanak itu selamat, namun selepas perundingan mereka bersetuju menerima bayaran ratusan ribu ringgit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh turut mengesahkan keluarga mangsa membuat bayaran kepada penculik di lokasi yang dirahsiakan di Cheras jam 12.30 tengah hari kelmarin.
“Memang benar keluarga membayar sejumlah wang tebusan di Cheras sebelum kanak-kanak itu dibebaskan jam 7.55 pagi tadi (semalam) di R&R Sungai Buloh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mohmad berkata, kanak-kanak itu ditemui selamat dan tidak mengalami kecederaan serta sudah berada di pangkuan keluarga.

Menurutnya, polis masih memburu penculik berkenaan dan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Siswa terbiar dalam sel terpaksa minum air kencing untuk hidup

myMetro | Siswa terbiar dalam sel terpaksa minum air kencing untuk hidup:


LOS ANGELES: Pihak berkuasa antidadah Amerika Syarikat meminta maaf kepada seorang mahasiswa semalam yang mendakwa terpaksa meminum air kencing sendiri selepas dibiarkan terkurung dalam sel selama lima hari.
Daniel Chong, 23, ditahan dengan lapan orang lain pada 21 April dalam serbuan ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) San Diego.

Sejumlah senjata api, peluru dan dadah turut dirampas.
Chong kemudian dikurung dalam sebuah sel.

Bagaimanapun, mahasiswa Universiti California itu dibiarkan secara tidak sengaja dalam bilik kurungan tanpa sebarang makanan atau minuman.

Keadaan itu memaksa Chong meminum air kencing sendiri dan cuba membunuh diri.
Katanya, dia juga memakan serbuk putih yang ditemuinya dalam bilik kurungan itu.

Serbuk itu kemudian didapati adalah dadah methamphetamine.
“Saya terpaksa buat apa saja untuk terus hidup,” katanya.

Chong memfailkan tuntutan ganti rugi AS$20 juta (RM60 juta). - AFP

2 pelancong Eropah dirogol dalam kereta

myMetro | 2 pelancong Eropah dirogol dalam kereta:


SYDNEY: Seorang remaja lelaki ditahan semalam selepas dua pelancong Eropah mendakwa dia mengacukan sepucuk pistol ketika merogol mereka dalam sebuah kereta di bandar padang pasir Australia, Alice Springs.
Menurut polis, mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu tidur dalam kereta mereka apabila dua lelaki menyerang pada awal pagi kelmarin.

Pegawai polis Alice Springs, Michael Murphy, berkata suspek memaksa dua wanita itu mengadakan hubungan seks dengannya.
“Seorang daripada suspek bersenjata raifal,” katanya.

Penjenayah terbabit turut melarikan wang dan tembakau daripada mangsa.

“Dua lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta lain,” katanya.
Hasil siasatan, kata Murphy, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan.

- AFP

Mie Bodo akhirnya dicekup

myMetro | Mie Bodo akhirnya dicekup:


ROMPIN: Seorang lelaki dikenali dengan nama ‘Mie Bodo’ yang menjadi buruan polis sejak lima tahun lalu selepas dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah ditahan bersama tiga rakannya dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Keratong 4, tengah malam kelmarin.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam diketuai Inspektor Mohd Haryadi Kasah bersama tujuh anggota serta tiga anggota Rela, polis merampas heroin seberat 35 gram dan syabu seberat 1.5 gram sedang dibungkus sebelum diedar kepada penagih tempatan.

Difahamkan, lelaki itu dipercayai dalang utama satu sindiket pengedaran dadah terbesar di daerah ini dan dikategorikan sebagai individu paling dikehendaki polis selepas beberapa usaha menahannya sebelum ini gagal.
Mohd Haryadi berkata, ketiga-tiga lelaki ditahan bersama suspek utama itu berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun dan dipercayai bersekongkol mengedar dadah sekitar Rompin.

“Ketika intipan dilakukan, polis mendapati mereka leka membungkus dadah dalam peket kecil sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar daerah ini. Sebelum serbuan, polis terlebih dulu mengepung rumah berkenaan bagi mengelak mereka melarikan diri.

“Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha LC 135 dipercayai digunakan seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, seorang daripada suspek baru dua setengah bulan dibebaskan dari lokap selepas ditahan dalam satu operasi sebelum ini.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Sempat suruh telefon ayah

myMetro | Sempat suruh telefon ayah:


KANGAR: “Walaupun parah selepas dirempuh sebuah lori tanah, arwah sempat meminta orang ramai menghubungi saya kerana dia mengingati nombor telefon saya,” kata Abadin Abdul, 46, bapa kepada Noor Asera, 11, yang maut, manakala ibunya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah lori tanah di Batu 5, Jalan Kodiang-Sanglang, sempadan Kedah-Perlis, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, kerana kecederaan parah di bahagian badan selain mengalami sesak nafas, manakala ibunya, Rokiah Said, 47, cedera.

Abadin yang bekerja sebagai petani berkata, dia mendapat panggilan daripada orang ramai yang berada di lokasi kejadian memaklumkan anak dan isterinya terbabit dalam kemalangan dan dihantar ke HTF.
Menurutnya, walaupun parah selepas dirempuh lori berkenaan, arwah anaknya itu sempat meminta orang ramai menghubunginya selepas dia mengingati nombor telefonnya.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian, namun dimaklumkan orang ramai bahawa isteri dan anak saya sudah dihantar ke HTF.

“Arwah anak saya menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke HTF selepas dipercayai mengalami sesak nafas, manakala isteri saya cedera ringan,” katanya yang ditemui di sini, kelmarin.
Menurutnya, ketika kejadian itu, isterinya menunggang motosikal bersambil Asera dirempuh sebuah lori tanah dari arah belakang yang dalam dalam perjalanan menghala ke Sanglang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Katanya, pemandu lori berkenaan ditahan polis bagi diambil keterangan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai sehingga menyebabkan kematian.

‘Saya tak dipukul’

myMetro | ‘Saya tak dipukul’:


CERITA...Norzaini menceritakan detik dia menemui Nayati, semalam.
CERITA...Norzaini menceritakan detik dia menemui Nayati, semalam.
KUALA LUMPUR: “Dia tak banyak bercakap kerana masih lemah dan trauma, tapi dia beritahu saya yang dia tak dipukul dan diberi makan minum yang cukup sepanjang tempoh dia diculik.”
Itu kata Norzaini Zainol Abidin, 31, individu yang menemui kanak-kanak lelaki warga Belanda yang diculik, Nayati Shamelin Moodliar, 12, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, jam 7.55 pagi semalam.

Nayati dilarikan dua lelaki menaiki Proton Gen.2 di hadapan sekolahnya di Bukit Kiara sejurus keluar dari kawasan perumahannya kira-kira 50 meter dari sekolahnya pada 27 April lalu.
Norzaini yang juga pengurus sebuah kedai serbaneka berkata, dia menemui kanak-kanak itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang Jaya bersama suaminya, Muhammad Asif Abdullah, 31, selepas meluangkan masa bersama keluarga di Butterworth, Pulau Pinang selama seminggu.

Menurutnya, selepas lebih tiga jam perjalanan mereka berhenti di R&R Rawang kerana suaminya meminta dia memandu kereta.

“Sebaik saya turun dari kereta, Nayati berlari ke arah saya dalam keadaan menangis sebelum menyoal sama ada saya tahu berbahasa Inggeris dan dia memberitahu dia baru 20 minit dibebaskan.
“Sebaik melihatnya saya tahu dia kanak-kanak yang diculik kerana pernah melekat risalah mengenai penculikannya di kedai serbaneka tempat saya bekerja.

“Ketika itu keadaannya lemah dan saya memeluk Nayati masuk ke dalam kereta kerana risau kalau-kalau penculiknya masih berada di kawasan sama,” kata Norzaini ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Norzaini berkata, ketika ditanya sama ada dia tahu punca dia diculik, Nayati menyatakan kerana wang dan dia menyatakan diculik dua lelaki tempatan dengan menggunakan kereta.

“Biarpun lemah dan masih trauma, Nayati masih mengingati nombor telefon ibu bapanya dan saya menghubungi ibunya,” katanya.

Menurutnya, dia diminta membawa Nayati ke kawasan Restoran Jejantas di R&R Sungai Buloh dan 30 minit kemudian, kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu bapanya yang ditemani pegawai polis.

Norzaini berkata, dia lega kerana kanak-kanak itu sudah selamat pulang ke pangkuan keluarganya dan dia terharu melihat kedua ibu bapa Nayati memeluk kanak-kanak itu lebih dari lima minit sebaik menemuinya selepas enam hari.

“Saya turut bangga kerana dapat membantu Nayati dan keluarganya. Rasanya, seperti saya dapat menyelamatkan anak sendiri,” katanya.

‘Adik tidur’

myMetro | ‘Adik tidur’:


SURAM...keadaan rumah keluarga bayi yang maut akibat terkena renjatan elektrik.
SURAM...keadaan rumah keluarga bayi yang maut akibat terkena renjatan elektrik.
SHAMINA...genggam wayar elektrik
SHAMINA...genggam wayar elektrik
POKOK SENA: “Mak cik, mak cik...adik dah tidur,” jerit Sofina Zulaikha Mohd Azim, 3, tanpa mengetahui adiknya, Shamina Zulaikha, enam bulan, sebenarnya tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di rumah mereka di Kampung Lanchut Tok Leed, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Shamina dikatakan merangkak sambil bermain-main di sekitar ruang tamu sebelum mencapai wayar penyambung di belakang almari lalu terkena renjatan elektrik yang menyebabkan kematiannya.
Selepas mendengar jeritan Sofina Zulaikha, ibu saudaranya, Nor Aina Rosli, 14, yang ketika itu sibuk menyediakan sarapan di dapur, bergegas ke ruang tamu dan terkejut apabila melihat mangsa tertiarap dan tidak sedarkan diri sambil tangan kirinya menggenggam wayar.

Seorang lagi ibu saudara mangsa, Siti Hajar Idris, 26, berkata, hanya tiga orang di rumah itu iaitu mangsa bersama kakaknya dan mereka dijaga Nor Aina. Menurutnya, datuk dan nenek mangsa tiada di rumah kerana keluar menoreh getah, manakala bapanya, Mohd Azim Akmal, 23, keluar bekerja sebagai pendawai elektrik.

Lori terjunam 5 meter

myMetro | Lori terjunam 5 meter:

MELAKA: Seorang lelaki nyaris maut apabila lori tangki minyak yang dipandunya terbabas sebelum menjunam ke cerun sedalam kira-kira lima meter di Jalan Tanjung Minyak, Cheng, di sini, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lori dipandu mangsa berusia 40-an dari arah Bukit Rambai ke Malim terbabas apabila tayar hadapan sebelah kanannya meletup sebaik tiba di tempat kejadian.

Letupan itu turut menyebabkan lori tangki berkenaan berpusing ke arah bertentangan sebelum menjunam ke cerun.
Menurut sumber, mangsa bernasib baik kerana ketika kejadian, tangki lori berkenaan kosong dan tiada kemalangan jiwa biarpun lokasinya terletak kurang 100 meter dari sebuah rumah berhampiran.

“Tayar hadapan lori ini meletup ketika tiba di lokasi menyebabkan ia berpusing ke arah bertentangan sebelum menuruni curam sedalam kira-kira lima meter dan melanggar longkang.

“Pemandu dan pemilik rumah berhampiran bernasib baik, kerana kejadian berlaku kurang 100 meter dari rumah itu. Jika tidak pasti keadaan lebih buruk sekiranya lori berkenaan terbabas melanggar rumah itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan ringan dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Wanita bagi penampar didenda

myMetro | Wanita bagi penampar didenda:


TAWAU: Gara-gara laman sosial facebook, seorang wanita warga Indonesia didenda RM500 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam, selepas didapati bersalah menampar seorang wanita pada 24 Februari lalu.
Tertuduh, Salma Lambi, 27, mengaku bersalah di hadapan Majistret Edward Paul apabila didapati sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Surhani Muhammad pada jam 9.30 pagi di Kampung Tanjung Batu, Jalan Tanjung Batu, pada 24 Februari lalu.

Tertuduh dikatakan berbuat demikian selepas mendapati gambarnya dimuat turun ke dalam laman sosial berkenaan.
Menurut fakta kes, mangsa ditahan tertuduh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas tidak berpuas hati apabila gambarnya berada di dalam lama sosial berkenaan.

Tertuduh mendakwa mangsa sengaja meletakkan gambar bertajuk ‘orang sedang makan orang’ dalam laman sosial itu yang ditujukan kepada tertuduh dan keluarganya.

Tertuduh menampar pipi kiri mangsa sebelum beredar.
Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan di mahkamah sama, seorang lelaki warga Indonesia turut didenda RM500 selepas mengaku menampar seorang wanita, yang juga kerani di tempat dia bekerja di Wan Ling Advertising, Kilometer 2, Jalan Kuhara, kira-kira jam 8 pagi, pada 24 Februari lalu.

Rodok isteri

myMetro | Rodok isteri: "KINABATANGAN: Bosan mendengar isteri kerap berleter kerana dia malas bekerja, seorang suami nekad merodok perut wanita itu dengan sebilah pisau sehingga mati sebelum cuba membunuh diri dalam kejadian di rumah pekerja di Kampung Arau, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, mangsa, Intan Bago, 41, cedera parah di perut selepas ditikam suaminya, Musdar Rusli, 30, dan mati serta merta di tempat kejadian.
Menurut sumber, sebaik melihat isterinya tidak bergerak lagi, suspek nekad menikam dirinya sendiri dipercayai cuba membunuh diri.

Sumber berkata, jiran suspek yang menyedari kejadian itu berjaya menghalang perbuatan lelaki terbabit sebelum membawanya ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan.


“Jiran mangsa kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan,” katanya."

'via Blog this'

Gaji pekerja RM200,000 kena samun

myMetro | Gaji pekerja RM200,000 kena samun: "SUBANG JAYA: Seorang pengarah syarikat terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000 selepas kereta mewah miliknya dipecahkan sebelum wang hasil perniagaannya disamun sekumpulan perompak di stesen minyak di Hentian Hicom arah Timur, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa memberhentikan kenderaan BMW miliknya di stesen minyak berkenaan selepas mendapati tayar keretanya pancit.


Bagaimanapun, sebaik saja mangsa berusia 50-an itu memberhentikan keretanya, dua kereta jenis BMW dan Toyota Harrier menghalang kenderaannya di bahagian depan dan belakang sebelum dua hingga tiga lelaki meluru keluar ke arahnya bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi semalam berkata, sebelum kejadian, mangsa mengeluarkan RM200,000 dari bank di Sri Muda bertujuan membayar gaji pekerjanya."

'via Blog this'

Ugut culik pelajar sebelum perkosa

myMetro | Ugut culik pelajar sebelum perkosa:


KUALA LIPIS: “Kalau kau tak mahu keluar jumpa aku malam ini, esok masa kau balik sekolah, aku culik kau bawa lari”.
Begitu ugutan dilakukan seorang remaja samseng terhadap seorang pelajar sekolah menengah berusia 13 tahun yang akhirnya menjadi mangsa rogol beramai-ramai dalam sebuah rumah di Jerkoh, dekat sini, Selasa lalu.

Ugutan menerusi SMS itu menakutkan mangsa sebelum tanpa memberitahu keluarga, remaja itu mengambil keputusan keluar menemui suspek dipercayai kenalannya kira-kira jam 11 malam sebelum suspek bersama tiga lagi rakan yang siap menunggu terus melarikan mangsa dengan sebuah kereta ke rumah seorang daripada mereka.
Beberapa penduduk Kampung Sungai Koyan, Lipis yang melihat mangsa sedang bergelut sebelum ditarik ke dalam kereta cuba menyelamatkannya dengan membuat sekatan tetapi pemandu kereta itu enggan berhenti, sebaliknya hampir melanggar penduduk kampung.

Setiba di rumah seorang daripada suspek, mangsa diberi makan sebuku roti dan sekotak air sebelum diarah ke dalam sebuah bilik di rumah itu sebelum dirogol bergilir-gilir tiga daripada suspek terbabit manakala seorang lagi enggan berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa menerima SMS daripada remaja samseng juga kenalannya ketika berada di rumah dan akibat bimbang ugutan itu, mangsa mengambil keputusan keluar menemui suspek terbabit di lokasi dinyatakan dalam SMS itu.
“Ketika tiba di tempat dijanjikan, mangsa ditarik ke dalam kereta sebelum dibawa lari. Bagaimanapun, perbuatan mereka sempat dilihat beberapa penduduk kampung yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian. Mereka (penduduk kampung) cuba menghalang kereta itu daripada bergerak tetapi pemandunya merempuh sekatan berkenaan.

“Mangsa dibawa ke rumah seorang daripada suspek di Jerkoh sebelum dirogol bergilir-gilir oleh tiga daripada suspek manakala seorang lagi tidak berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata, selepas dirogol, suspek meninggalkan mangsa di tepi Jalan Raub sebelum mangsa menghubungi rakannya meminta bantuan.

“Mangsa dibawa ke Balai Polis Raub sementara menunggu ketibaan keluarganya sebelum dibawa ke Balai Polis Lipis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk pemeriksaan selepas membuat laporan dan susulan aduan itu, polis menahan empat remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun di rumah masing-masing di Lipis.

“Walaupun seorang daripada mereka tidak mengambil kesempatan merogol mangsa tetapi turut ditahan kerana boleh menjadi saksi selain bersubahat dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, empat remaja terbabit kini direman tujuh hari di lokap Balai Polis Lipis bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Gadis lawan dua lelaki dicampak

myMetro | Gadis lawan dua lelaki dicampak:

KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang bergelut dengan dua lelaki di dalam kereta menyelamatkannya selepas dia dicampak keluar daripada kenderaan itu dalam kejadian Isnin lalu.
Mangsa mendakwa ‘diculik’ dua suspek ketika berjalan di hadapan sebuah surau di Taman Cheras Perdana, Kajang, untuk ke sekolahnya berhampiran kawasan berkenaan jam 7.30 pagi.

Pelajar perempuan itu bagaimanapun dicampak dari kenderaan berkenaan di hadapan sebuah pusat hiburan di ibu kota selepas bergelut lebih 30 minit dalam kenderaan itu dengan dua suspek terbabit. Menurut sumber, mangsa yang cedera di kepala dan badan dibantu seorang wanita sebelum dia dihantar pulang ke rumahnya. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras, di sini, kelmarin.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa yang berjalan sendirian melihat dua lelaki turun daripada Proton Wira sebelum mereka mengheretnya masuk ke dalam kereta itu.

“Mangsa yang menjerit meminta pertolongan mendakwa ditampar berulang kali selain rambutnya ditarik dengan kuat. “Keengganan mangsa mendiamkan diri menyebabkannya dipukul kedua-dua suspek. Malah, sikap beraninya yang melawan sehingga menyebabkan berlaku pergelutan dengan suspek dalam kereta itu berbaloi apabila dia dicampak di hadapan sebuah pusat hiburan di ibu kota.

“Selepas merayau di kawasan berkenaan lebih 10 minit, mangsa bernasib baik apabila seorang wanita berusia 20-an menghulurkan bantuan selepas dirayu mangsa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dilakukan.

Laung takbir ketika ditembak

myMetro | Laung takbir ketika ditembak:


SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
MOHD NASRUL...menerima rawatan di HRPZ II.
MOHD NASRUL...menerima rawatan di HRPZ II.
KOTA BHARU: Seorang pembekal peralatan rawatan mata sebuah hospital sempat melaungkan ‘Allahuakbar’ ketika diserang ala mafia oleh dua lelaki menembak dan menetaknya di depan sebuah kedai runcit di Taman Perumahan Sentosa Jaya, Kampung Binjai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Mohd Nasrul Alimi Mohamad, 35, cedera parah di kedua-dua kaki akibat terkena tembakan selain cedera di kepala dan pergelangan tangan kiri akibat ditetak berulang kali menggunakan senjata tajam dipercayai kelewang.
Kejadian berlaku di depan kedai runcit hanya kira-kira 300 meter dari rumah mangsa ketika dia baru selesai membeli kad tambah nilai prabayar telefon bimbitnya dan gula-gula.

Pemilik kedai runcit itu, Azizah Yusof, 49, berkata sebaik saja Mohd Nasrul Alimi atau mesra dengan panggilan Yo keluar dari kedainya, dia terdengar bunyi letupan seperti mercun.

“Selepas itu saya dengar Yo menjerit, Allahuakhbar. Saya kemudian keluar dan melihat Yo terbaring atas jalan sambil mengerang kesakitan. Ketika itu, dua lelaki bertopi keledar dan berjaket hitam mengacukan pistol dan parang ke arah saya.

“Walaupun nyawa saya ibarat di hujung tanduk, saya nekad menjerit meminta tolong. Namun seorang daripada penyerang bertindak menetak Yo dengan parang.

“Pada masa sama seorang lagi melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum kedua-dua mereka melarikan diri dengan kereta jenis Perodua Kelisa,” katanya. 

RM12,210 denda kematian amah

Berita Harian Online | RM12,210 denda kematian amah:

SINGAPURA: Majikan seorang pembantu rumah asing yang jatuh dari tingkat lima sebuah rumah pangsa dan menemui ajal, dikenakan denda maksimum S$5,000 (RM12,210). 

Gan Hui Leung, 46, mengaku bersalah semalam atas satu dakwaan gagal memastikan pembantu rumah berkenaan, Siti Ustima, melakukan tugasnya dalam keadaan selamat.
Dokumen mahkamah menunjukkan Siti bekerja untuk Gan mulai April 2010 hingga November tahun lalu.
Di bawah seliaan Gan, satu daripada tugas mangsa adalah membersihkan tingkap ruang tamu rumah pangsa Clementi, terletak di tingkat lima. 

Walaupun defendan melihat pembantu rumah Indonesia itu membersihkan tingkap sambil berdiri di atas bangku dengan jeriji dan tingkap terbuka, Gan tidak pernah mengajar amahnya itu cara selamat melakukan tugas . 

Pada 11 November tahun lalu pada jam 1 tengah hari, Siti dilihat membersihkan tingkap ruang tamu sambil berdiri di atas kerusi. 

Sejurus selepas itu, kedengaran bunyi bising dan dia didapati terbaring di kaki lima rumah pangsa itu. Siti mengalami pelbagai kecederaan akibat terjatuh dan menemui ajal. 
Atas kegagalannya memastikan pembantu rumahnya bekerja dalam keadaan tidak membahayakan nyawa, Gan boleh dipenjarakan sehingga enam bulan, didenda S$5,000 atau kedua-duanya. 

Dalam hujahnya, pendakwa raya menggesa hakim daerah mengenakan denda maksimum atau menghantar satu mesej penghalang kepada majikan pembantu rumah asing. 

Antara Januari dan April lalu, seramai lapan pembantu rumah asing jatuh dan maut ketika melakukan tugas seumpanya. 

Daripada jumlah itu, lima berpunca daripada insiden membersihkan tingkap. 

Namun, peguam Gan berkata, anak guamnya tidak memberi arahan khusus kepada Siti supaya turut membersihkan bahagian luar tingkap kediaman itu. – Agensi

Pembekal rawatan mata ditembak

Berita Harian Online | Pembekal rawatan mata ditembak:

KOTA BHARU: Seorang pembekal rawatan mata di sebuah hospital parah ditembak di beberapa bahagian anggota badan sebelum ditetak dua individu memakai jaket hitam serta bertopi keledar, 300 meter dari rumahnya di Taman Sentosa Jaya, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Badang, di sini. 

Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, Mohd Nasrul Alimi Mohamad, 35, berasal dari Kampung Raja, Jertih, baru membeli kad tambah nilai RM10, ditembak menyebabkan cedera pada bahagian kiri kaki dan lutut kanan akibat tembakan, manakala kesan tetak membabitkan pergelangan tangan kiri dan kepala, dipercayai menggunakan parang.
Mangsa yang berlumuran darah kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Badang sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.
Saksi yang juga pemilik kedai runcit, Azizah Yusof, 49, berkata Mohd Nasrul Alimi atau lebih dikenali sebagai Yo selalu singgah ke kedainya untuk membeli kad tambah nilai dan gula-gula sebelum pergi bekerja. 

“Apabila Yo keluar dari kedai, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan seperti mercun sebelum terdengar orang menjerit, saya segera keluar dan melihat beliau terbaring di atas jalan mengerang kesakitan. 

“Saya terus menjerit meminta tolong sebelum seorang daripada suspek menetak mangsa dengan parang manakala seorang lagi melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum melarikan diri dengan kereta PERODUA Kelisa,” katanya ketika ditemui. 

Isteri mangsa, Ira Syamimi Shamsudin, 24, berkata ketika kejadian beliau berada di rumah sebelum dikejutkan dengan lima das tembakan, tidak lama kemudian seorang jiran datang ke rumahnya dalam keadaan cemas menyatakan suaminya ditembak. 
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata empat kelongsong peluru 9mm dan satu anak peluru dijumpai di tempat kejadian. 

“Dua suspek berkenaan memakai topi keledar dan jaket hitam. Pistol (digunakan) warna perak, punca kejadian masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Bayi mati kena renjatan

Berita Harian Online | Bayi mati kena renjatan:
POKOK SENA: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang bermain di ruang tamu rumah neneknya di Kampung Lanchut Tok Leed, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Shamina Zulaikha Mohd Azim dan kakaknya, Sofina Zulaikha, 3, dikatakan tinggal di rumah itu bersama ibu saudaranya, Nuraina Rosli, 14, manakala datuk dan nenek mangsa keluar menoreh getah.
Bapa kedua-dua kanak-kanak terbabit, Mohd Azim Akmal, 23, pula keluar bekerja sebagai pendawai.
Ketika kejadian dua beradik berkenaan dipercayai baru selesai mandi bermain di ruang tamu rumah itu, manakala ibu saudara mangsa dikatakan sedang menggoreng nasi di dapur rumah itu sebelum dimaklumkan oleh Sofina Zulaikha yang adiknya ‘tertidur’ dipercayai selepas letih bermain.

Difahamkan, Nuraina yang berasa tidak sedap hati bergegas ke ruang tamu rumah sebelum melihat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam ke lantai sambil tangan kirinya memegang wayar elektrik sambungan berkenaan.

Mangsa yang baru pandai meniarap dipercayai pergi ke belakang almari di ruang tamu rumah itu dan menarik wayar sambungan elektrik sebelum dipercayai terkena renjatan dan mati di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang lagi ibu saudara mangsa, Siti Hajar Idris, 26, berkata mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik tinggal di rumah nenek mereka sejak kecil kerana ibu mereka, Siti Mariam Idris, 23, masih menuntut di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang dan pulang menjenguk anaknya setiap hujung minggu. 
Siti Hajar berkata, Nuraina terus mendukung mangsa dan ketika itu dia turut terkena renjatan elektrik dipercayai daripada tubuh mangsa dan berusaha merentap tangan mangsa yang menggenggam wayar berkenaan sebelum meminta pertolongan jiran.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dan dibawa ke HSB di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

Difahamkan, tiada kecederaan serius pada tubuh mangsa dan hanya lebam di beberapa bahagian badan, selain tangan kirinya yang masih dalam keadaan menggenggam.

Jenazah mangsa dituntut bapanya kira-kira jam 3 petang di HSB sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tanggol di sini selepas solat Asar, semalam. 

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Anak hilang ketika keluar beli nasi lemak

Kosmo! Online - Negara:


NORSHAMIELLA dilaporkan hilang selepas keluar membeli nasi lemak berhampiran rumahnya di Labu, Seremban pada 20 April lalu.



SEREMBAN - Seorang ibu kini terpaksa menahan kerinduan setiap hari kepada anak gadisnya yang hilang selepas keluar membeli nasi lemak bulan lalu.
Afidah Abdul Aziz, 46, dari Taman Gadong Indah, Labu dekat sini berkata, Norshamiella Mad Alias, 19, hilang ketika keluar membeli sarapan pada pukul 8.30 pagi, 20 April lalu dan tidak pulang selepas itu.
Katanya, sejak itu, dia sekeluarga bimbang dengan keselamatan anak kedua daripada tiga beradik tersebut.
"Saya tidak tahu apa yang menyebabkan Norshamiella tidak balik kerana kami tidak pernah bertengkar atau berlaku perselisihan faham.
"Sebelum menghilangkan diri, saya selalu menasihatkan dia supaya menyambung pengajian dan tidak leka berseronok dengan rakan-rakan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, dia sekeluarga sudah puas mencari Norshamiella di beberapa tempat tetapi gagal dan menurut rakan-rakannya, anaknya itu mengikut seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia 24 tahun dan bekerja di Petaling Jaya, Selangor.

Guna van simpan barangan seludup

Kosmo! Online - Negara:



HAMZAH (tengah) memeriksa rokok dan minuman keras yang dirampas di Kampung Wonod, Telupid, Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Kastam Sabah berjaya mematahkan sindiket menggunakan van bernombor pendaftaran palsu sebagai tempat simpanan sementara barang belum lulus cukai dengan penemuan dua buah van di Kampung Wonod, Telupid di sini kelmarin.
Timbalan Pengarahnya, Hamzah Sundang berkata, rampasan itu melibatkan penemuan pelbagai jenama rokok dan minuman keras yang dipercayai diseludup dari negara jiran dengan nilai keseluruhannya RM80,000.
Katanya, rampasan pertama dilakukan di kawasan lapang pada pukul 4.30 petang apabila menemui 29,380 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM62,208 yang disimpan dalam sebuah van.
“Van tersebut disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dibiarkan berada di kawasan lapang itu bagi tujuan penyimpanan sementara barangan seludup itu,” katanya di sini semalam.

Guna pistol tiruan takutkan gadis

Kosmo! Online - Negara:


PASIR PUTEH – Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki berniat jahat menakutkan seorang gadis berusia 21 tahun dengan mengacukan pistol tiruan sebanyak dua kali semasa gadis itu membonceng motosikal di sini tengah hari kelmarin.
Lelaki itu didakwa kali pertama mengacukan pistol tiruan tersebut di Jalan Kota Bharu-Jeram Pasu dan kemudian di hadapan pejabat cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu.
Bagaimanapun lelaki berusia 24 tahun dari Tumpat itu berjaya ditangkap setengah jam selepas perempuan itu membuat laporan polis sejurus kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, suspek didakwa telah mengacukan pistol tiruan ke arah mangsa semasa motosikal yang ditunggangi rakannya cuba memotong kereta Satria yang dipandu suspek.
“Mangsa yang berada dalam ketakutan dan mencurigai tindakan itu segera membuat laporan polis di Balai Polis Selising,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini semalam.

Polis tolak elemen bunuh diri

Kosmo! Online - Negara:



JOHOR BAHRU – Polis percaya kematian lima beranak yang ditemui di sebuah pusat servis hawa dingin di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini kelmarin berpunca daripada kemalangan dan bukannya membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, ia berdasarkan pihaknya tidak menjumpai sebarang nota bunuh diri dan selain itu tidak ada elemen jenayah.
“Pada malam kejadian, pendingin hawa di tempat tersebut yang juga menjadi kediaman mereka rosak dan mereka sekeluarga dipercayai tidur dalam kereta.
“Namun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kematian lima sekeluarga tersebut yang dijumpai bapa mangsa lelaki yang curiga selepas gagal menghubungi sejak Ahad lalu.

Kena tembak selepas beli gula-gula

Kosmo! Online - Negara:


NASRUR yang cedera dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU – Seorang wanita tidak menyangka jeritan jiran memberitahu ada orang kena tembak di Taman Sentosa Jaya, Badang dekat sini semalam rupa-rupanya membabitkan suami sendiri yang cedera ditembak oleh dua lelaki berpakaian serba hitam.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Nasrur Alimin Mohamad, 34, ditemui cedera parah akibat terkena beberapa das tembakan di betis kanan dan ditetak di kepala dan pergelangan tangan kanan.
Cerita isteri mangsa, Ira Shamimi Shamsuddin, 24, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pembekal peralatan makmal di hospital di sini singgah di sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai prabayar dan gula-gula sebelum pergi ke tempat kerjanya di sini.
“Tidak lama selepas suami keluar rumah, saya terdengar bunyi letupan bagaikan mercun menyebabkan saya keluar dari rumah untuk melihat apa bunyi itu.
“Sebaik saya jenguk ke luar rumah, saya nampak pemilik kedai runcit itu melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan dalam masa sama saya terdengar jiran menjerit ada orang kena tembak,” cerita Ira yang tidak bekerja ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Kata Ira lagi, dia kemudian cuba menghubungi suaminya untuk memberitahu kejadian tersebut tetapi panggilan itu tidak dijawab sebelum ada jiran datang ke arahnya dan memaklumkan suaminya cedera terkena tembakan.

Dibebaskan selepas 6 hari diculik

Kosmo! Online - Negara:



Saffiya berpelukan dengan Nayati sebaik sahaja mereka bersatu semula semalam.




RAWANG – Pelukan dan ciuman yang diiringi tangisan kegembiraan menyelubungi kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini semalam apabila Nayati Shamelin Moodliar yang hilang diculik sejak seminggu lalu bersatu semula dengan keluarganya.
Nayati, 12, yang diculik pada 27 April lalu ketika dalam perjalanan ke sekolahnya di Mont Kiara International School di sini ditemui dibebaskan di tempat letak kenderaan berat R&R Rawang pada pukul 7.55 pagi.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa oleh seorang wanita yang menemui mangsa di R&R Rawang ke R&R Sungai Buloh bagi menemui keluarganya.
Jarak lokasi mangsa diculik dan lokasi ditemui semula kira-kira 58 kilometer.
Nayati, anak sulung daripada dua beradik itu ditemui semula selepas keluarga mangsa menerima panggilan telefon dipercayai daripada penculik mengatakan anak mereka ditinggalkan di R&R Rawang.
Tidak lama selepas ditinggalkan penculik, seorang wanita menemui mangsa dan menghubungi keluarganya sebelum membawa mangsa ke R&R Sungai Buloh bagi mempertemukan dia dengan keluarganya.
Berikutan itu, keluarga Nayati bersama pegawai Kedutaan Belanda menaiki sebuah kereta Mercedes Benz dan diiringi pasukan polis bergegas ke R&R Sungai Buloh.
Sebaik menemui Nayati pada pukul 8.30 pagi, bapa mangsa, Sham Moodliar, 41, dan ibunya, Janice Smith, 40, terus memeluk Nayati dengan tangisan kegembiraan.

Bayi maut kena renjatan elektrik

Kosmo! Online - Negara:


SEORANG ahli keluarga mangsa menunjukkan soket penyambung elektrik yang dipegang Syahmina di Pokok Sena, Alor Setar semalam.



ALOR SETAR - Seorang bayi berusia enam bulan maut akibat terkena renjatan elektrik selepas memegang wayar soket penyambung elektrik yang diletakkan di lantai ruang tamu rumah neneknya di Kampung Lancor Tok Leed, Pokok Sena di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Syahmina Zulaika Mohamad Hazim Akmal yang baru pandai meniarap dikatakan memegang wayar tersebut sebelum tidak sedarkan diri.
Difahamkan terdapat bahagian wayar dalam terdedah selepas bahagian penebatnya terbuka.
Ketika kejadian, Syahmina berada di ruang tamu bersama kakaknya, Sofina Zulaika, 3, sementara ibu saudaranya, Noraina Rosli, 14, sedang memasak di dapur.
Ibu saudara mangsa, Siti Hajar Idris, 26, memberitahu, mangsa dan kakaknya ketika kejadian dijaga oleh Noraina kerana datuk dan nenek mangsa, Rosli Ahmad, 43, dan Rohani Napiah, 43, keluar menoreh getah.