MOHD MOKHTAR (tengah) menunjukkan gambar tiga penjenayah warga asing pada sidang media di Johor Bahru, semalam. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata ketiga-tiga suspek itu dipercayai terbabit dengan lebih 20 kes jenayah di bandar raya ini, Segamat dan Muar, malah dianggap berbahaya serta ganas kerana sanggup melakukan apa saja jika kemahuan mereka tidak dipenuhi.Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki terbabit supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membolehkan mereka dicekup secepat mungkin.“Pemberi maklumat berhubung lokasi suspek ini akan diberikan ganjaran. Penjenayah ini adalah antara suspek dikehendaki polis dan berbahaya kerana sanggup bertindak ganas jika mangsa enggan menurut arahan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sementara itu, dalam perkembangan lain polis menahan lapan suspek iaitu lima lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 49 tahun yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan empat kes bunuh yang berlaku di negeri ini, bulan lalu.
Katanya, kes itu membabitkan pembunuhan lelaki berusia 26 tahun dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Kampung Makam, Kota Tinggi di sini pada 19 April lalu, selain dua kematian pada 21 April lalu iaitu wanita dengan kesan kelar di leher di Permas Jaya dan kes warga asing menikam lelaki tempatan di Taman Johor Jaya serta kes wanita berusia 30-an yang dijerut dipercayai menggunakan tuala di pekan Masai pada 22 April lalu.
“Bagi kes membabitkan pergaduhan hingga menyebabkan kematian di Kota Tinggi, dua lelaki dan dua perempuan ditahan bagi membantu siasatan, manakala bagi kes di Permas Jaya pula, seorang lelaki dan wanita ditahan.
“Selain itu, bagi kes di Taman Johor Jaya, polis mengesan dua suspek lelaki dan seorang perempuan warga Myanmar yang dikenal pasti terbabit. Dua lagi lelaki ditahan membabitkan pembunuhan wanita di pekan Masai,” katanya.
Mohd Mokhtar berkata, semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.