Search This Blog

Wednesday, May 2, 2012

Tragedi Hari Pekerja: 3 maut kemalangan

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:



ANGGOTA penyelamat memeriksa bas yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 434.2, berhampiran susur keluar Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam. - IHSAN SIN CHEW
HULU SELANGOR 1 Mei - Hasrat sekumpulan penduduk kampung dari Chenderiang, Tapah, Perak untuk bercuti di Melaka sempena sambutan Hari Pekerja hari ini tidak kesampaian apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan awal pagi ini.
Kemalangan kira-kira pukul 1.50 pagi itu telah mengakibatkan tiga termasuk pemandu bas maut setelah kenderaan itu merempuh tembok simen di kawasan pembinaan jalan di Kilometer 434.2, berhampiran susur keluar Bukit Beruntung sewaktu bas itu menghala ke ibu negara.
Difahamkan, kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu bas melihat tembok simen yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan plaza tol baru Sungai Buaya, Rawang akibat keadaan sekitar yang begitu gelap.
Setelah merempuh tembok simen itu, bas yang membawa seramai 48 ahli rombongan pelbagai bangsa itu dikatakan terseret sejauh 50 meter sebelum merintangi lebuh raya berkenaan.
Ia mengakibatkan pemandu bas terbabit iaitu S. Velmuruvu, 44; penumpang wanita, K. Vimala, 58, serta seorang Orang Asli dari Kampung Sungai Balik, Setapa Mat, 46, maut selepas tercampak keluar dari bas itu.
Seramai 26 penumpang lain turut mengalami kecederaan namun kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Rombongan berkenaan difahamkan dalam perjalanan untuk melawat beberapa tempat menarik di sekitar Melaka sempena cuti umum dan dijadualkan pulang pada hari yang sama.
Sementara itu, anak kedua kepada Vimala, K. Ragunathan, 37, kecewa kerana kemalangan itu berlaku di kawasan gelap yang sepatutnya mempunyai kemudahan lampu kerana kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan.
“Saya diberitahu, ibu seronok sekali dapat berjalan-jalan ke Melaka bersama penduduk kampung dan ini kali pertama dia menaiki bas untuk bercuti.
“Bagaimanapun malang menimpa dan saya amat berdukacita sekali dengan punca terjadinya kejadian. Nasib baiklah dua anak saudara saya yang berusia 10 dan 13 tahun terselamat dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Kubu Bahru hari ini.
Seorang lagi anak mangsa, Syamin Setapa, 18, pula terkilan kerana bapanya, Setapa tidak sempat ditemuinya buat kali terakhir.
“Saya hanya bertemunya awal bulan lalu setelah berhijrah ke ibu negara dan rasa sedih kerana tidak sempat menyerahkan sebahagian gaji pertama saya kepadanya untuk membantu menyara empat lagi adik," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
Dalam pada itu, wartawan televisyen NTV7, Sarinah Salleh, 46, cedera setelah terlibat dalam kemalangan berhampiran Bandar Country Homes, Rawang ketika menuju ke lokasi kemalangan itu.

Buruh maut langgar babi hutan

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri: "

KUANTAN - Seorang buruh ladang maut selepas motosikalnya melanggar seekor babi hutan yang melintas di Jalan Simpang Mengkarak-Kuala Bera dekat Bera semalam.

Mangsa warga Indonesia yang dikenali sebagai Sugiono, 28, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Lubuk Kiah, Kuala Bera menuju ke tempat kerjanya di Kampung Bukit Serdang.

Beliau berkata, mangsa didapati tidak mempunyai lesen memandu, tidak memakai topi keledar serta menunggang dalam keadaan laju. - BERNAMA"

'via Blog this'

Mayat pelajar UMP lemas ditemui

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri: "

KUANTAN - Mayat pelajar Universiti Malaysia Pahang, Ang Kent Chin, 21, yang lemas selepas dihanyutkan air ketika mandi di kawasan perkelahan Air Terjun Bekelah dekat Gambang ditemui petang semalam.

Mayat ditemui kira-kira pukul 7.17 malam di kawasan tersebut tetapi hanya dapat dikeluarkan kira-kira 10 pagi ini dengan menggunakan helikopter polis.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, usaha mengeluarkan mayat mangsa terpaksa ditangguhkan sehingga pagi ini berikutan keadaan cuaca yang gelap dan hujan lebat.

Mayat pelajar yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Difahamkan mangsa bersama rakan-rakannya pergi ke kawasan perkelahan itu untuk melakukan aktiviti kegiatan kokurikulum mereka. - BERNAMA"

'via Blog this'

Sembunyi sehingga tertidur

Sembunyi sehingga tertidur - Kelantan - Sinar Harian:

TO UBAN – Seorang kanak-kanak di Kampung Kolam, masih trauma selepa hampir dipanah petir pada 18 April lalu.

Ibunya, Zaharah Ismail, 29, berkata, anaknya, Mohd Khairul Mohd Rosdi, 9, masih tidak dapat melupakan kejadian yang berlaku dan tidak seceria dahulu.

Menurutnya, Khairul yang sebelum ini ceria, berubah dan banyak mendiamkan diri, selepas ditimpa kemalangan tersebut.

Zaharah berkata, anaknya akan menyorok di dalam bilik tidur dan menyelimutkan diri, setiap kali hujan.

“Dia sembunyi di dalam selimut, sehingga tertidur kerana terlalu takut jika terdengar bunyi guruh.

“Khairul juga tidak mahu ditinggalkan sendirian, kerana dia takut kilat mungkin berlaku ketika dia berseorangan di rumah,” katanya.

Zaharah berkata, dia bersyukur, kerana anak-anak yang lain tidak mengalami sebarang trauma dan dapat bersekolah seperti biasa.

Menurutnya, Khairul sudah memulakan persekolahan semalam, selepas mendapat cuti sakit selama seminggu.

Mereka sekeluarga banyak memberi sokongan kepada Khairul, agar dapat melupakan kejadian itu dan menjadi anak yang berani.

“Saya berharap keadaan ini tidak berlanjutan, dan dia akan berubah menjadi lebih berani di masa hadapan,”’ katanya, semalam.

Katanya, dia juga tidak mahu pembelajaran anak-anaknya tercicir selepas kejadian yang berlaku, di rumah lama mereka.

Kini, Zaharah bersama suami dan lima anaknya, baru sahaja menetap di rumah Dhuafat, hasil bantuan Kerajaan Negeri, yang dibina pada Februari lalu.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, kerana kesulitan selepas rumah lama saya dipanah petir, dapat dikurangkan, selepas saya mula berpindah di rumah baru ini,” katanya, semalam.

Murid sekolah rendah cedera dirempuh Hilux

Murid sekolah rendah cedera dirempuh Hilux - Melaka & NS - Sinar Harian:

Murid sekolah rendah cedera dirempuh tak sempat beli mi segera
Adnan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Aiman ketika menziarahi di Kampung Tanjung Jati
KAMPUNG PARIT - Hasrat ­seorang murid sekolah rendah untuk ­membeli mi segera ­tidak ­kesampaian ­apabila dia ­dirempuh ­sebuah kenderaan ­jenis Hilux milik Syarikat Air Negeri Sembilan  (Sains) dari arah Bahau ke Kuala Pilah pada 17 April lalu.

Kejadian berlaku pada 1.30 petang di hadapan Pejabat Pos Kuala Pilah menyebabkan mangsa, Muhamad Aiman Mohd Razali, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah cedera di muka, tangan, kaki dan tiga gigi kekal patah setelah mukanya tersembam di jalan raya.

Ibunya, Norhayati Ahmad, 38, berkata, anaknya itu ke kedai bersama rakannya untuk membeli mi segera dan menyangka kenderaan itu sedang ­berhenti di tepi jalan.

“Namun sangkaannya ­meleset ­apabila kenderaan itu sebenarnya ­bergerak lalu merempuhnya ketika dia melintas jalan.

“Rakannya sempat melintas ­tetapi Muhamad Aiman dirempuh kenderaan itu,” ­katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Norhayati berkata, ketika menerima panggilan dari pihak sekolah yang menyatakan anaknya terlibat ­dalam ­kemalangan, yang terlintas di fikirannya hanya hidup atau tidak.

“Petang kejadian, dia ada kelas Kafa di sekolah tersebut dan sebelum kelas bermula, dia akan membeli makanan bersama rakannya

“Saya terkejut kerana atuknya baru sahaja menghantarkan wang saku RM2 kepadanya dan ketika melawatnya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), saya seluk kocek seluar ­sekolahnya dan mendapati masih ada RM2,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Jati.

Menurutnya, dia bersyukur ­kerana keadaan Muhamad Aiman tidak teruk dan hanya mengalami luka selain menerima ­empat jahitan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah, Adnan Abu Hassan ­kerana melawat Muhamad Aiman, malah menghulurkan bantuan bagi menampung pembelian ubat-ubatan.

“Individu yang melanggar Muhamad Aiman juga ada datang menziarahi dan ­memberi dua persalinan baju ­sekolah,” katanya.

Namun katanya, dia sedikit ­terkilan kerana wakil daripada pihak Sains ­sendiri tidak menziarahi anaknya.

“Saya bukan mahu meminta ­apa-apa tetapi atas dasar budi bicara pihak syarikat tersebut, mereka perlu datang melihat keadaan anak saya,” katanya.

Spa tumpuan gay diserbu

Spa tumpuan gay diserbu - Selangor & KL - Sinar Harian:

Spa tumpuan gay diserbu
Anggota penguatkuasa MBPJ menyita barangan dari premis terbabit

PETALING JAYA – Sebuah premis perniagaan di sebuah rumah kedai di Seksyen 17 di sini yang kerap dikunjungi lelaki pelbagai peringkat usia sejak tiga bulan lalu sebenarnya pusat spa tumpuan golongan gay.

Misteri operasi premis yang diragui masyarakat setempat itu terbongkar hasil serbuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam. 

Hasil risikan MBPJ mendapati pusat spa bersembunyi di sebalik perniagaan perkhidmatan mandi lulur dan cuci muka itu turut menawarkan pakej istimewa sampingan iaitu layanan istimewa tukang urut lelaki muda warga asing.

Perkhidmatan tersebut khas disediakan untuk pelanggan lelaki bernafsu songsang yang mahu merasai kenikmatan layanan khas tukang urut terbabit yang terdiri daripada jejaka jambu dan tampan berusia awal 20-an. 

Pengarah Penguatkuasa MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, rumah kedai di tingkat satu rumah kedai terbabit telah diubahsuai bahagian dalamnya kepada tujuh buah bilik kecil. 

“Pemilik ini melakukan pengubahsuaian tanpa sebarang permit dan kalau dilihat dari bahagian luar memang kita tidak sedar ada premis tidak sihat seperti ini beroperasi,” katanya ketika ditemui dalam serbuan itu. 

Menurutnya, ketika serbuan terdapat tiga lelaki dipercayai tukang urut berada di dalam premis. 

Ketika siasatan lanjut, pemilik premis berusia awal 30-an pada awalnya menafikan premisnya dijadikan pusat urut, namun selepas satu resit pembayaran dan sehelai kertas yang tercatat hasil perolehan pada hari itu ditemui. barulah lelaki itu mengakui bahawa rumahnya itu adalah sebuah spa. 

Siasatan lanjut mendapati pelanggan tetap yang ingin mendapatkan khidmat seks songsang boleh membuat tempahan tukang urut terlebih dahulu dan lazimnya mereka boleh memilih pakej dari RM170 hingga ke RM295 mengikut jenis layanan yang dinginkan,” katanya. 

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 31 (1) Pusat Kecantikan dan Kesihatan MBPJ 2007 di mana barangan dan peralatan seperti tilam disita manakala premis itu dikenakan tindakan kompaun kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Cubaan 298 warga asing masuk negara gagal

Cubaan 298 warga asing masuk negara gagal - Utara - Sinar Harian:


Cubaan 298 warga asing masuk negara gagal
Hashim (kanan) mengedarkan roti kepada warga asing yang dibawa ke IPD Kuala Muda


TANJUNG DAWAI - Cubaan 298 warga asing memasuki negara gagal apabila terkandas di perairan dekat kawasan ternak ikan Tanjung Dawai sebelum ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Operasi penahanan yang diketuai Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali dilakukan jam 10 pagi semalam bersama 16 anggota setelah menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, bot yang membawa 298 warga Myammar itu dipercayai rosak dan kesemua penumpang tersadai sejak malam kelmarin.

“Kesemua penumpang dipercayai belum pernah berada di Malaysia.

“Mereka juga dikatakan diawasi oleh lima ejen dan hanya dua orang yang fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Hashim berkata, ini merupakan tangkapan pertama pihaknya berhubung kes warga asing.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 1 petang di IPD Kuala Muda mendapati kesemua mereka dikumpulkan, diberi makan dan minum sementara siasatan lanjut dijalankan.

Berdasarkan sumber, kesemua mereka memulakan perjalanan dari Myammar sejak lapan hari lalu dengan jumlah bayaran tertentu bertujuan mencari pekerjaan di negara ini.

Tiga wanita lemas ketika berkelah

Tiga wanita lemas ketika berkelah - Semasa - Sinar Harian: "LAHAD DATU - Aktiviti perkelahan sebuah keluarga dari Kampung Jawa di sini bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka mati lemas apabila bot yang mereka naiki karam tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Samsudin Mat berkata mangsa yang lemas dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu dikenali sebagai Noristikoma Sadik, 18, Norhayati Hasan, 50, dan Ani Udin, 17.

Mayat Noristikoma dan Norhayati dibawa ke Klinik Kesihatan Tungku manakala Ani Udin meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu.

Seorang lagi mangsa yang berjaya diselamatkan dikenali sebagai Esa Sahid, 36, yang kini sedang dirawat di Hospital Lahad Datu dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut Samsudin sebelum kejadian keluarga berkenaan keluar untuk berkelah di Pantai Kahapan sempena cuti Hari Pekerja sekitar jam 7 atau 8 pagi.

Ketika di pantai, mangsa dan lima yang lain menaiki sebuah bot untuk bersiar-siar melihat keindahan pantai apabila bot berkenaan tiba-tiba karam namun puncanya belum dikenal pasti.

Kesemua mangsa dikatakan tidak pandai berenang dan tidak memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot berkenaan. - Bernama"

'via Blog this'

Kaki judi terima padah - Pahang

Kaki judi terima padah - Pahang - Sinar Harian:



Kaki judi terima padah
Johari (kiri) dan Mohd Razali Razak menunjukkan barang rampasan





KUALA ROMPIN – Gara-gara ­ingin cepat kaya, ‘kaki judi’ sanggup ber­habis ratusan ringgit dalam masa sehari semata-mata mahu melakukan ­aktiviti itu asalkan mereka ­mampu ­hidup senang hasil daripada wang ­perjudian haram.



Namun, malangnya, tindakan mereka itu hanya membawa padah apabila seramai 22 individu dicekup dalam serbuan yang dijalankan polis di dua lokasi berasingan iaitu di Tanjung Gemok dan Muadzam Shah, di sini, malam kelmarin.



Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, di Tanjung Gemok, misalnya, anggota dan pegawai polis yang menggempur pusat judi Internet turut ­melibatkan
Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.



“Dalam serbuan di sebuah ­premis di Tanjung Gemok, seramai 19 ­individu dicekup termasuk tiga lelaki Cina yang merupakan penjaga premis tersebut selain 16 pelanggan berusia antara 22 hingga 60 tahun,” katanya kepada Sinar Harian. 



Johari berkata, dalam ­serbuan itu, polis berjaya merampas ­masing-­masing 27 unit komputer, unit pemprosesan pusat (CPU) dan papan ­kekunci selain 80 keping wang tunai RM50, dua wifi modem TM, satu ‘load balance broadband’, dan satu mesin ­jenama Canon.



Sementara itu, katanya, di Muadzam Shah, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin ­menahan tiga individu berhubung judi Internet dalam serbuan kira-kira jam 10 ­malam di sebuah premis di ­kawasan ­perindustrian Muadzam Shah.



Beliau berkata, kedua-dua premis yang menjalankan kegiatan itu tidak mempunyai lesen dan berselindung di sebalik lesen perniagaan kafe siber.

Polis temui 4 beranak mati dalam rumah

myMetro | Polis temui 4 beranak mati dalam rumah: "MELBOURNE: Dua orang dewasa dan dua kanak-kanak dipercayai daripada keluarga berketurunan Fiji-India ditemui mati di dalam kediaman mereka di sini semalam yang disifatkan oleh polis sebagai satu “tragedi”.

Pegawai penyiasat berkata, mereka bergegas ke kediaman itu selepas seorang saudara meluahkan kebimbangan dan menemui mayat berkenaan di dalam kediaman itu, termasuk seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan. Pegawai kanan polis, Sarjan David Snare tidak mahu mengulas mengenai punca kematian sehingga bedah siasat selesai dan enggan memberi ulasan lanjut sama ada terdapat sebarang petunjuk ditemui dalam kediaman itu.


“Kami belum dapat mengesahkan mengenai punca kematian dan sebarang petunjuk ditemui,” katanya. - AFP"

'via Blog this'

Panik api menjulang

myMetro | Panik api menjulang: "KUANTAN: “Ketika mengira harga roti dibeli pelanggan, tiba-tiba saya terdengar orang menjerit mengatakan bilik di belakang pentas utama terbakar.

“Keadaan tiba-tiba menjadi panik sebelum saya terlihat api menjulang hingga tingkat satu disertai asap tebal memenuhi ruang legar,” kata Haniza Akma Haidzir, 18, saksi kejadian kebakaran pentas di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.
Dia yang bekerja di kedai roti di pusat beli-belah itu berkata, ketika kejadian ramai pengunjung berikutan cuti umum Hari Pekerja.

Menurutnya, mulanya dia menyangka ia hanya kebakaran kecil, namun tiba-tiba api marak hingga menjulang ke tingkat satu, sekali gus menimbulkan kelam-kabut.


“Ada pekerja cuba menggunakan pemadam api tetapi tidak berjaya kerana api terlalu marak hingga memaksa kami bertempiaran lari menyelamatkan diri."

'via Blog this'

Ibu harap anak koma setahun pulih

myMetro | Ibu harap anak koma setahun pulih:


KUALA TERENGGANU: “Doktor memaklumkan anak saya mungkin koma sepanjang hayat dan jika benar, kami sekeluarga reda menerima keadaan itu sebagai ketentuan Allah.
“Apapun saya bersyukur kerana mulanya doktor menjangkakan anak saya hanya mampu hidup selama tiga hari, namun Allah memberi kami peluang bersamanya,” kata Nik Aini Mohammad, 53, ibu kepada Iman Adam Raman, 9, yang koma sejak terbabit kemalangan jalan raya pada 2 Mei tahun lalu.

Menurutnya, hari ini genap setahun anaknya itu koma dan sejak kemalangan itu, Iman sudah menjalani 20 pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
“Pada 14 Mei ini, dia sekali lagi akan menjalani pembedahan di kepala di hospital sama dan kami berharap ia membawa perubahan positif,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Penyakit Kronik kerajaan negeri bernilai RM15,600 disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di Kampung Kebor Besar, Manir, semalam.

Bapa Iman Adam, Raman Abdullah, 58, ketika mengimbau kejadian itu berkata, kemalangan itu berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Manir ketika dia menuju ke kedai runcit di depan sekolah.

“Pada mulanya, Iman tidak bercadang mengikut saya ke kedai dan menunggu dalam kereta yang tidak dimatikan enjin.
“Ketika melintas, saya rasa tidak sedap hati dan menoleh ke belakang sebelum terkejut melihat dia mengekori saya melintas.

“Ketika itu, sebuah motosikal dalam keadaan laju gagal mengelak dan terus melanggarnya sebelum melarikan diri,” katanya

Benam bayi dalam baldi

myMetro | Benam bayi dalam baldi:


SIASAT...anggota  forensik memeriksa mayat bayi yang  ditanam dua remaja.
SIASAT...anggota forensik memeriksa mayat bayi yang ditanam dua remaja.
SUNGAI PETANI: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipercayai mencekik dan melemaskan bayi lelaki yang dilahirkannya dalam baldi berisi air Ahad lalu, sehari sebelum menanam mayat bayi itu dalam semak berhampiran kawasan kilang di Taman Ria Jaya di sini, keesokannya dengan bantuan teman lelakinya berusia 17 tahun.
Dalam kejadian 6.30 petang Ahad lalu, pelajar terbabit yang melahirkan bayi lelaki cukup sifat, panik lalu mengambil tindakan membunuh bayinya bagi mengelak perbuatan kejinya diketahui.

Menurut sumber, pelajar terbabit mencekik dan melemaskan bayi itu dalam baldi berisi air sebelum menyimpan mayatnya dalam almari di biliknya.
“Bayi itu dipercayai hidup dan sempurna sifat ketika dilahirkan.

“Ibu bapa remaja perempuan itu tidak tahu anak mereka hamil mungkin kerana perutnya yang membesar tidak terlalu ketara,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, keesokannya kira-kira jam 6.30 pagi, remaja perempuan itu memasukkan bayi berkenaan ke dalam beg sekolah untuk dibawa ke sekolah dan membuat temu janji dengan teman lelakinya, bekas pelajar sekolah berkenaan yang sudah tidak bersekolah.
“Pelajar perempuan itu kemudian mengikut teman lelakinya yang datang ke sekolah dengan menunggang motosikal, membawa mayat bayi untuk ditanam di tanah kosong di Kawasan Perusahaan Taman Ria Jaya.

“Mereka menanamnya bersama beg sebelum menutup dengan batang kayu untuk mengelak dikesan,” katanya.
Menurutnya, perbuatan pasangan remaja berkenaan terbongkar selepas pelajar perempuan itu menceritakan kejadian kepada beberapa rakannya yang kemudian melaporkan kepada guru kaunseling di sekolah berkenaan. Beliau berkata, guru kaunseling berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada seorang ahli jawatankuasa masjid berhampiran yang melaporkan kepada polis. Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Tey ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya sudah menahan pasangan berkenaan malam kelmarin untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat bayi tanpa kebenaran. Polis akan menyiasat secara menyeluruh untuk mengetahui punca kematian bayi itu.

“Mayat bayi itu dipercayai ditanam lebih 24 jam lalu di Jalan PKNK 1/8, Kawasan Perusahaan Taman Ria Jaya dan ia dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Rumah pengarang foto dipecah masuk

myMetro | Rumah pengarang foto dipecah masuk: "KUALA LUMPUR: Pengarang Foto Majalah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Noor Azmi Mat Nor, 52, kerugian RM15,000 selepas rumahnya di Taman Cheras Utama, di sini, dipecah masuk malam tadi.

Sebelum ini, dia sekeluarga pulang ke kampung isteri di Kuala Ketil, Kedah, selepas ibu mentuanya diserang angin ahmar sebelum pulang semula ke rumah jam 9 malam.


Menurutnya, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa kerana tiada tanda pintu rumah dipecah masuk. Bagaimanapun, sebaik anaknya naik ke tingkat atas rumah untuk menonton televisyen, mereka terkejut apabila mendapati pelbagai barangan berselerak.

“Sebaik diperiksa, saya mendapati rumah dipecah masuk dengan cara mengumpil tingkap sebelum menanggalkan jeriji bahagian dalam rumah.


“Saya dimaklumkan jiran terlihat kelibat dua lelaki pada waktu Subuh, Ahad lalu, namun mereka menyangka saya sekeluarga sudah pulang ke rumah,” katanya.


Noor Azmi berkata, barangan yang hilang ialah televisyen, kamera digital, cincin, barangan kemas, wang RM300 dan jam tangan yang dihadiahkan syarikat turut lesap.

“Jumlah kerugian dianggarkan RM15,000. Saya membuat laporan di Balai Polis Damai Perdana,” katanya."

'via Blog this'

Buaya gigit tiga jari

myMetro | Buaya gigit tiga jari:


MERSING: “Ketika mahu mengambil wuduk di belakang rumah, saya ternampak seekor burung jatuh ke dalam sungai menyebabkan saya mengambil sebatang kayu menyelamatkannya sebelum tangan kiri saya disambar seekor buaya,” kata warga emas, Zakaria Ibrahim, 70, menceritakan kejadian dia disambar haiwan berkenaan di Sungai Tenglu Kecil, Kampung Benaung, dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, tiga jari Zakaria luka akibat digigit buaya sepanjang kira-kira satu meter.

Menurutnya, ketika kejadian dia ke sungai kira-kira satu meter dari rumahnya dan cuba menyelamatkan burung itu menggunakan kayu dipegang tangan kiri.
“Akibat disambar buaya itu, tangan terasa amat sakit menyebabkan saya dengan spontan melepaskan kayu berkenaan.

“Mujurlah, buaya sepanjang kira-kira satu meter itu melepaskan tangan saya dan mengejar kayu berkenaan. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu apa nasib saya mungkin diheret ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Zakaria berkata, dia kemudian terus berlari ke rumahnya lalu menghubungi anak, Roslan Zakaria, 41, yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Klinik Tenglu.
Katanya, Roslan tiba ke rumah dan membersih serta merawat jarinya namun dia tidak mendapatkan rawatan susulan di hospital kerana kecederaannya tidak serius.

“Walaupun tiga jari luka digigit buaya itu, saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Impi RM700 sebulan, rugi RM35,000

myMetro | Impi RM700 sebulan, rugi RM35,000:


KUALA LUMPUR: Akibat terlalu taksub dengan janji pulangan pelaburan RM700 setiap bulan, seorang lelaki kerugian kira-kira RM35,000 selepas menyerahkan wang kepada dua beradik yang menyamar sebagai pegawai bank.
Helah suspek yang juga rakan mangsa berusia 24 dan 26 tahun itu terbongkar apabila lelaki terbabit mendapati akaun banknya masih kosong selepas menyerahkan wang selain gagal menghubungi mereka.

Abdul Halim Yusof, 27, berkata suspek yang pandai berlakon selain memiliki borang dan kad nama bank terbabit menyebabkan dia percaya sepenuhnya kepada kata-kata mereka sehingga sanggup membuat pinjaman bank untuk membuat pelaburan itu.
“Saya berkenalan dengan dua beradik itu lebih setahun lalu kerana sering mengunjungi kedai makan ibu mereka di Ampang. Ketika itu, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya yang merek berniat jahat kerana perwatakan baik,” katanya.

Menurutnya, kejadian penipuan berlaku 19 Ogos tahun lalu apabila suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank dan menawarkan kepadanya ‘pakej’ simpanan tetap menjanjikan imbuhan RM700 sebulan.

“Suspek memberitahu saya cuma perlu melaburkan RM35,000 dan bank terbabit memasukkan RM700 ke dalam akaun saya setiap bulan. Cara penjelasan dan pengetahuan suspek seperti profesional menyebabkan saya terpedaya akhirnya bersetuju dengan tawaran itu,” katanya. Mangsa berkata, dia sebelum itu membuat pinjaman bank RM100,000 untuk menyelesaikan masalah pinjaman keretanya dan bercadang menggunakan sebahagiannya untuk melaburkan ke dalam ‘pakej’ itu.
“Pada hari berkenaan suspek membawa saya ke sebuah bank di Taman Setiawangsa dan meminta saya mengisi beberapa borang di dalam kereta sebaik tiba di premis itu.

“Selepas selesai mengisi borang diberikan, seorang suspek masuk ke dalam bank bersama wang diberikan untuk menguruskan permohonan pakej itu,” katanya.
Abdul Halim berkata, dia mula curiga selepas suspek memasukkan RM700 ke dalam akaunnya dua bulan kemudian selain gagal menghubungi mereka ketika mahu mendapatkan penjelasan lanjut.

“Ketika itu, saya mula tidak sedap hati dan ke bank berkenaan untuk bertanyakan mengenai pakej berkenaan. Saya terkejut apabila diberitahu pegawai bank terbabit yang tawaran seperti itu tidak wujud,” katanya.

Katanya, dia membuat laporan polis 16 April lalu di Balai Polis Hulu Klang berhubung penipuan itu selepas gagal menghubungi kedua-dua suspek sejak Oktober lalu.

“Saya ada pergi ke kedai makan ibu suspek untuk bersemuka dengan mereka kerana mahu mendapatkan semula wang saya tetapi diberitahu wanita itu mereka tiada,” katanya.

Diikat penyamun ketika ahli keluarga bercuti

myMetro | Diikat penyamun ketika ahli keluarga bercuti: "GOMBAK: Seorang lelaki diikat empat lelaki yang menceroboh rumahnya di Kampung Damai, Rawang, di sini ketika ahli keluarga lain bercuti ke luar negara, kelmarin.

Penyamun yang dipercayai masuk dengan mengumpil pintu jeriji rumah berkenaan melarikan barang kemas dan barangan elektronik berjumlah RM20,000.


Sumber berkata, kejadian itu berlaku jam 4 pagi ketika mangsa yang berusia 25 tahun tidur sebelum terkejut selepas terdengar bunyi pintu biliknya cuba dipecahkan.

“Sebaik memasuki bilik, lelaki terbabit terus mengikat tangan dan kaki mangsa dengan dawai.


“Mangsa hanya melihat rumahnya digeledah dan tidak berani melawan kerana bimbang keselamatannya memandangkan semua lelaki itu bersenjatakan pisau,” katanya."

'via Blog this'

Mati kepala kena stereng

myMetro | Mati kepala kena stereng: "KUCHING: Kegembiraan empat sahabat karib menikmati makan malam sempena cuti Hari Pekerja berakhir dengan tragedi memilukan apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Jalan Penrinssen, dekat Batu 3, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa, Ng Wee Shian, 20, dari Taman Desa Moyan, Batu Kawa meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai akibat terhantuk pada stereng.
Rakannya, Joseph Bau Quey Chyu, 16, terselamat dan hanya cedera ringan selepas merangkak keluar sebelum menghubungi rakan bagi mendapatkan bantuan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, keempat-empat rakan yang menaiki dua kereta mengadakan pertemuan di sebuah restoran di Padungan.


“Ketika dalam perjalanan pulang, Ng yang memandu Perodua MyVi mengekori kereta dipandu rakannya sebelum hilang kawalan dan terbabas."

'via Blog this'

Petugas media pula terbabit nahas

myMetro | Petugas media pula terbabit nahas:


RAWANG: Tiga petugas media yang dalam perjalanan untuk membuat liputan satu kemalangan membabitkan sebuah bas di Bukit Beruntung terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka remuk dirempuh sebuah pacuan empat roda, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di Jalan Rawang berhampiran Bandar Country Homes itu, mangsa, Sarinah Salleh, 40-an dan dua anaknya menaiki Perodua Viva cedera ringan dan luka di bahagian muka.

Mangsa dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Selayang untuk menjalani rawatan sebelum dibenarkan pulang jam 9 pagi.
Difahamkan, keadaan jalan yang gelap dan tiada lampu jalan di simpang terbabit menyebabkan anak pemandu kereta tidak menyedari kehadiran kereta yang datang dari arah kiri.

Akibat rempuhan itu kereta yang dinaiki mangsa remuk dan mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk membuat liputan mengenai kemalangan bas berkenaan.

Hartawan pemurah

myMetro | Hartawan pemurah:


IPOH: “Saya tidak percaya dia (suspek) tergamak menikam bapanya hingga mati,” kata Inder Singh, 65, sepupu Jaswant Singh Udan Singh, 40, yang ditemui mati dipercayai dibunuh anaknya di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini, awal pagi semalam.
Inder berkata, mangsa antara saudara yang rapat dengannya dan peramah serta kerap berkunjung ke rumahnya bersama isteri untuk berbual sambil menjamu selera.

“Dia ahli perniagaan berjaya dan tidak lokek menderma. Saya tidak pasti apa yang berlaku kerana dia tidak pernah mengadu mengenai masalah dengan anak sulungnya itu.
“Saya hanya mengetahui kejadian pembunuhan ini pada jam 3.30 pagi semalam, lalu bergegas ke rumah mangsa. Bagaimanapun, mayat Jaswant sudah dibawa ke HRPB,” katanya yang ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam, Menurut Inder, mangsa baru membeli kereta Mercedes Benz baru dan mempunyai kilang serta beberapa rumah sewa di Taman Botani, di sini.

Sementara itu, usaha wartawan menemu bual isteri mangsa, Kamaljit Kaur, 35, di rumahnya di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini, gagal kerana dia terlalu sedih dengan kejadian menimpa suaminya.

Bagaimanapun, seorang jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Kamariah, 54, berkata dia sekeluarga tidak dapat tidur pada malam kejadian berikutan bunyi bising salakan anjing dari rumah mangsa.

Rumah pengarang foto dipecah masuk

myMetro | Rumah pengarang foto dipecah masuk: "KUALA LUMPUR: Pengarang Foto Majalah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Noor Azmi Mat Nor, 52, kerugian RM15,000 selepas rumahnya di Taman Cheras Utama, di sini, dipecah masuk malam tadi.

Sebelum ini, dia sekeluarga pulang ke kampung isteri di Kuala Ketil, Kedah, selepas ibu mentuanya diserang angin ahmar sebelum pulang semula ke rumah jam 9 malam.


Menurutnya, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa kerana tiada tanda pintu rumah dipecah masuk. Bagaimanapun, sebaik anaknya naik ke tingkat atas rumah untuk menonton televisyen, mereka terkejut apabila mendapati pelbagai barangan berselerak.

“Sebaik diperiksa, saya mendapati rumah dipecah masuk dengan cara mengumpil tingkap sebelum menanggalkan jeriji bahagian dalam rumah.


“Saya dimaklumkan jiran terlihat kelibat dua lelaki pada waktu Subuh, Ahad lalu, namun mereka menyangka saya sekeluarga sudah pulang ke rumah,” katanya.


Noor Azmi berkata, barangan yang hilang ialah televisyen, kamera digital, cincin, barangan kemas, wang RM300 dan jam tangan yang dihadiahkan syarikat turut lesap. “Jumlah kerugian dianggarkan RM15,000. Saya membuat laporan di Balai Polis Damai Perdana,” katanya."

'via Blog this'

Wanita bawa geng serang bekas rakan sekerja

myMetro | Wanita bawa geng serang bekas rakan sekerja:

KUALA LUMPUR: Tidak berpuas hati dengan bekas rakan sekerja, seorang wanita berusia 20-an membawa geng sebelum menyerang dan memukul mangsa yang bekerja di sebuah kedai serbaneka di Bukit Jalil, di sini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa berusia 20 tahun diserang sekumpulan lelaki kerana dia berselisih faham dengan wanita itu mengenai masalah di tempat kerja.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa cedera di kepala dan badan.
Menurut sumber, mangsa yang bekerja sendirian di kedai berkenaan dihampiri empat lelaki bersama bekas rakan sekerjanya itu.

“Sebaik masuk, empat lelaki itu memukul mangsa. Mangsa mendakwa ditampar, ditumbuk dan diterajang kumpulan terbabit,” katanya.

Sumber berkata, kumpulan terbabit meninggalkan kedai itu selepas melihat mangsa terjatuh di lantai dan berada dalam keadaan lemah.
“Mangsa menghubungi majikannya sebelum dibawa ke klinik berhampiran kawasan berkenaan,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini.
Dalam laporannya, mangsa mendakwa mengenali seorang daripada mereka yang memukulnya.

Katanya, mangsa mengesyaki wanita itu tidak berpuas hati atau berdendam dengannya selepas berselisih faham ketika bekerja bersama beberapa bulan lalu sehingga membawa rakan menyerangnya.

Upah samseng halau cikgu

myMetro | Upah samseng halau cikgu:

PETALING JAYA: Seorang guru wanita yang mengajar di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Damansara di sini, mendakwa hidup dalam trauma dan ketakutan selepas diganggu serta diugut sekumpulan samseng yang dipercayai diupah ibu bapa pelajar yang tidak berpuas hati mangsa mengajar di sekolah berkenaan.
Menurut sumber, guru berkenaan yang berusia 40 tahun menerima lima ugutan sejak 10 April lalu dan ugutan terbaru diterima ketika berada di tempat letak kereta rumahnya, jam 10 pagi, Sabtu lalu.

“Ketika kejadian itu, mangsa yang menuju keretanya dihampiri seorang lelaki tidak dikenali dan memarahinya kerana masih mengajar di sekolah itu walaupun beberapa kali diberi amaran supaya berpindah.
“Lelaki terbabit yang juga orang sama mengganggunya sebelum ini mengugut dengan mengeluarkan perkataan ‘esok akan mati jika kau berdegil’ dan berpindah dari sekolah berkenaan,” katanya, semalam.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Damansara. Sumber berkata, sekumpulan samseng terbabit turut mengekori guru berkenaan ke mana saja mangsa pergi termasuk membuat gangguan di rumah pada waktu malam apabila pintu rumah diketuk berulang kali.

“Siri gangguan terhadap mangsa bermula selepas isu penggunaan bahasa Melayu di sekolah berkenaan ditimbulkan segelintir ibu bapa pelajar yang tidak sependapat dengan pentadbiran sekolah pada hujung tahun lalu.
“Mangsa yang mengajar subjek Bahasa Melayu menyediakan kertas ujian pelajar dalam bahasa itu dan tindakan itu menyebabkan ibu bapa pelajar terbabit tidak berpuas hati. “Mangsa yang tidak tahan dengan gangguan itu membuat laporan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama dan memohon untuk ditukarkan sekolah lain kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadapnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan

Berita Harian Online | Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan:

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan pakaian seragam di sekolahnya, pagi Ahad lalu. 

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan St Micheal, Muhammad Norman Zahar, dilaporkan gagal dikesan oleh keluarganya ketika ingin mengambilnya di sekolah sebaik program itu berakhir.
Ibu mangsa, Sharifah Mustafa, 35, mempercayai anaknya diculik kerana kanak-kanak itu tidak pernah hilang dari rumah atau mempunyai masalah dengan keluarga.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan guru sekolah bahawa Muhammad Norman sudah pulang ke rumah selepas selesai program perkhemahan kira-kira jam 10 pagi, Ahad lalu. 

“Namun, kami tidak menemuinya sepanjang hari. Kami membuat laporan polis pada malam Ahad lalu,” katanya ketika ditemui di Taman Tawas Indah, di sini, semalam. 

Lebih menguatkan syak anaknya diculik apabila anak saudaranya, Fazli Bakhtiar, 22, yang sedang memandu lori terserempak dengan Muhamamad Norman dalam sebuah kereta Perodua MyVi di Jalan Silibin, di sini, kelmarin. 

“Anak saudara saya memaklumkan Muhammad Norman melambaikan tangan dari dalam kereta berkenaan, namun gagal dijejaki dan lesap dalam kesesakan lalu lintas. 
“Selang sejam kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan anak saya berada bersamanya dan akan menghantarnya pulang ke rumah,” katanya. 

Sharifah berkata, dia menunggu kepulangan anaknya itu di rumah, namun kelibat Norman tidak muncul sebelum dia menyerahkan nombor telefon suspek kepada polis untuk siasatan lanjut. 

“Saya dan suami, Zahar Ahmad, 37, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa keluarga kami. Kami percaya ada individu yang menyembunyikan anak kami,” katanya yang berusaha menjejaki mangsa, termasuk menerusi rakan sekolahnya dan sanak- saudara di Ipoh serta Taiping. 

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihak nya menerima laporan dibuat keluarga mangsa. 

“Sehingga semalam, kami tidak dapat menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jari nyaris hancur digigit buaya

Berita Harian Online | Jari nyaris hancur digigit buaya:
MERSING: Dua jari kiri seorang warga tua hampir hancur digigit buaya ketika cuba menyelamatkan seekor burung yang terjatuh di tepi Sungai Tenglu Kecil di Kampung Benaung, dekat sini. 

Dalam kejadian jam 4 petang Sabtu lalu, Zakaria Ibrahim, 70, dikatakan hendak mengambil wuduk di belakang rumahnya yang terletak semeter dari sungai berkenaan apabila melihat seekor burung terjatuh menyebabkan dia cuba menyelamatkannya.
Zakaria berkata, beliau kemudian mengambil sebatang kayu kecil untuk menarik burung berkenaan ke tepi sungai sebelum secara tiba-tiba tangan kirinya yang memegang kayu disambar buaya.
“Ketika mahu mengambil burung itu, tangan kiri saya disambar buaya, menyebabkan tiga jari terkena gigitannya dan rasa sakit menyebabkan saya melepaskan kayu berkenaan, sekali gus berjaya melepaskan diri daripada buaya. 

“Saya bernasib baik apabila buaya sepanjang satu meter itu melepaskan tangan saya apabila kayu berkenaan dicampakkan, jika tidak mungkin saya turut ditarik ke sungai. Kejadian itu menyebabkan dua jari kiri hampir hancur,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Zakaria berkata, dalam keadaan tangannya berlumuran darah, beliau berlari ke rumahnya lalu menghubungi anaknya, Roslan Zakaria, 41, yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Klinik Tenglu, berhampiran rumahnya. 

Katanya, Roslan kemudian membersih dan merawat jarinya tetapi tidak mendapat rawatan susulan di hospital berikutan kecederaan dianggap tidak serius. 
“Serangan buaya itu kali pertama berlaku sejak lebih 30 tahun tinggal di tepi sungai berkenaan, malah tidak menyangka kawasan itu turut dihuni buaya. 

“Saya tidak menyangka buaya boleh bertindak ganas menyambar tangan saya daripada tepi sungai dan perkara itu boleh berlaku kepada sesiapa saja, malah sebelum kejadian itu, kira-kira 10 kanak-kanak asyik memancing berhampiran lokasi berkenaan dan mereka bernasib baik tidak menjadi mangsa,” katanya. 

“Kejadian berlaku ketika paras air laut pasang sehingga sungai itu mempunyai kedalaman sehingga dua meter tetapi saya tidak menyangka ia turut dihuni buaya. 

Sehubungan itu, Zakaria meminta pihak berkuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memantau kawasan sungai berkenaan bagi mengelak serangan buaya, selain berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membersihkan sungai itu. 

Masalah peribadi bukan punca polis kena tembak

Berita Harian Online | Masalah peribadi bukan punca polis kena tembak:
AYER HITAM: Tindakan seorang anggota polis melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senjata M16 hingga menyebabkan kematian rakan setugas di balai pengawal Istana Anak Bukit, di Alor Setar, Khamis lalu, tidak membabitkan sebarang masalah peribadi berikutan kedua-dua mereka baru berkenalan ketika ditugaskan bersama pada hari kejadian. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata kejadian itu bukan berpunca daripada masalah peribadi terutama cinta memandangkan dua anggota terbabit baru berkenalan, namun pihaknya percaya berlaku pertengkaran kecil menyebabkan kejadian itu berlaku.
Katanya, mungkin berlaku perselisihan mengenai penugasan mereka di balai pengawal berkenaan menyebabkan suspek bertindak demikian.
“Tidak timbul soal pertengkaran cinta kerana pada hari kejadian, itu kali pertama mereka ditugaskan bersama. Kami percaya pertengkaran kecil berlaku membabitkan soal penugasan mereka. 

“Isu ini antara mereka berdua, tiada pembabitan orang lain yang boleh menyebabkan kejadian,” katanya selepas program polis bersama masyarakat di Pejabat Pos Alor Biak Jerlun di sini, semalam. 

Ahmad juga berkata, setakat ini pihaknya masih melengkapkan siasatan dan tempoh tahanan reman suspek yang tamat esok, tidak dilanjutkan. 

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. 
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang 26 April lalu, mangsa, Konstabel Mohamad Sobri Md Sidik, 22, dari Melaka, mati di tepi pintu pagar Istana Anak Bukit akibat parah di kepala dan badan selepas ditembak rakan setugas dipercayai akibat perselisihan faham. 

Suspek berusia 25 tahun dan berpangkat Lans Koperal kemudian melarikan diri menaiki kereta sebelum ditahan tiga jam selepas itu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di rumahnya di Simpang Empat, Perlis.

103 mangsa korban feri India karam

Berita Harian Online | 103 mangsa korban feri India karam:

GAUHATI: Pasukan penyelamat dan penyelam tentera membawa keluar sekurang-kurangnya 103 mayat dari Sungai Brahmaputra di negeri Assam, timur laut India, selepas sebuah feri yang sarat muatan karam ketika angin kencang dan hujan semalam, kata seorang pegawai. 

Hakim daerah Goalpara, Pritam Saikia, berkata sekurang-kurangnya 100 orang dikhuatiri masih hilang selepas bot membawa 350 penumpang itu pecah dua dalam kejadian itu,
“Penyelam laut dalam dan pasukan penyelamat bencana tentera bekerja sepanjang malam untuk membawa keluar mayat mangsa,” katanya.
Angin kencang dan hujan selepas kemalangan itu menjejaskan operasi menyelamat, kata Ketua Menteri, Tarun Gogoi. 

“Saya akan mengarahkan satu siasatan terhadap punca kemalangan tetapi sekarang keutamaan kami adalah terhadap nasib mereka yang menaiki feri terbabit,” kata Gogoi. 

Saikia berkata, kira-kira 150 penumpang terpaksa berenang untuk menyelamatkan diri atau diselamatkan penduduk kampung yang tinggal berhampiran. Beliau berkata sejumlah 103 mayat sudah dibawa keluar dari sungai itu. 

Penyelam dan pekerja penyelamat menggunakan bot getah untuk meredah sungai awal kelmarin bagi mencari mangsa yang kebanyakan masih berada dalam feri terbabit. 
Seorang penumpang, Hasnat Ali memberitahu televisyen tempatan, kira-kira 200 orang berada di dalam feri yang sarat dengan kargo, manakala beliau bersama kira-kira 150 yang lain berada di atas bumbung ketika ribut melanda. 

“Bot terbabit terumbang ambing dan kebanyakan mereka yang berada di atas bumbung terjatuh ke sungai tetapi dapat berenang ke tepi sebelum feri itu pecah,” katanya. 

Ali berkata, beliau berjaya berpaut pada sebatang kayu sebelum diselamatkan penduduk kampung. 

Ketua Polis Assam, J N Choudhury, berkata penumpang yang berada di bahagian atas kebanyakan terselamat. 

Choudhury berkata, kemalangan berlaku berhampiran kampung Fakiragram di daerah barat Dhubri, kira-kira 350 kilometer ke barat Gauhati, berhampiran Sungai Brahmaputra sempadan Bangladesh. – AP