KUALA LUMPUR: Dua penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan dua orang awam termasuk seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan menghalang empat pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan khemah yang didirikan tanpa kebenaran di Dataran Merdeka, Isnin lalu.
Keempat-empat mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Azura Murah.
Ekhsan Bukharee Badarul Hisham dan Muhammad Aliff Hafiz Zainuddin, kedua-duanya pelajar berusia 21 tahun didakwa menghalang kakitangan DBKL, Mohd Radzif Majis, 32, dan Mohd Azmin Yusri Yusof, 29, menjalankan kerja memindahkan khemah yang didirikan tanpa kebenaran.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini, jam 12.50 tengah hari, 24 April 2012.
Kakitangan Jais, Shaiful Buhari Ramlan, 25, didakwa atas pertuduhan sama iaitu menghalang kakitangan DBKL, Jamlus Hamzah, 51, menjalankan tugas di tempat dan waktu yang sama.
Seorang lagi tertuduh, sim, Muhammad Karim Abdullah, 24, didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Shamsuddin Othman, 53.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Nom Phot Prak Dit yang menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah membenarkan Shaiful Buhari dan Ekhsan Bukharee diikat jamin RM1,000 manakala Muhammad Aliff dan Muhammad Karim diikat jamin RM900, selain menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes.