Search This Blog

Wednesday, April 25, 2012

Ugut ibu kerana ayah

myMetro | Ugut ibu kerana ayah:


ARAU: Seorang anak tergamak mengugut menyembelih dan membunuh ibu kandungnya sendiri menggunakan parang selepas berang kerana mangsa dikatakan menjadi punca bapanya terbabit dalam kemalangan jalan raya, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 49 tahun dituduh suspek berusia 29 tahun bersalah kerana menjadi punca kejadian kemalangan parah yang menyebabkan bapa suspek yang juga suami mangsa terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini. 
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya di Pida 4, Tambun Tulang, di sini, bersama adik suspek berusia 23 tahun serta dua jirannya sebelum didatangi suspek yang kelihatan tergesa-gesa sambil membawa sebilah parang.

“Suspek kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah sebelum menyerang mangsa dengan memeluknya dan mengacukan parang ke lehernya sambil memaki hamun ibunya.

“Tindakan anak lelakinya itu dipercayai dilakukan selepas dia berang dengan ibunya yang dikatakan menjadi punca kepada kemalangan yang menimpa bapanya.

“Sebaik memaki hamun mangsa, suspek bertindak mengeluarkan parang yang dibawanya sebelum mengacunya ke leher mangsa sebelum mengugut menyembelih dan membunuh ibunya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

myMetro | Lelaki bogel mengamuk

myMetro | Lelaki bogel mengamuk:


MIRI: Penduduk satu kawasan perumahan di Permyjaya Baru, Tudan, dekat sini, semalam gempar dengan tindakan seorang lelaki bogel yang tiba-tiba mengamuk sambil memegang sebilah pisau sehingga menyebabkan sebuah motosikal rosak manakala cermin tingkap tiga rumah pecah.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, tindakan lelaki berusia 30-an itu menyebabkan penduduk ketakutan kerana bimbang dicederakan selepas dia bertindak ganas dengan merosakkan harta benda mereka.

Difahamkan, sebelum kejadian, lelaki dipercayai pekerja sebuah syarikat minyak itu dikatakan sering berkelakuan ganjil termasuk bercakap seorang diri dan memecahkan botol kaca di depan rumahnya.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Uda, 46, berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah dari tempat kerja selepas menghantar dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun ke sekolah.

“Ketika mahu masuk dalam rumah, tiba-tiba lelaki itu meluru keluar dari rumahnya dalam keadaan bogel dan memegang pisau sebelum membaling topi keledar hingga merosakkan tingkap rumah saya.

“Akibat terlalu panik, saya terus masuk ke dalam dan menutup pintu sebelum membawa kedua-dua anak keluar mengikut pintu belakang bagi mengelak kejadian buruk menimpa kami,” katanya yang ditemui ketika membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.
Menurutnya, ketika kejadian, isterinya tiada di rumah kerana bekerja dan bersyukur kerana tiba di rumah tepat pada masa sekali gus berjaya mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang lagi saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Sarina, 34, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyediakan bekal makanan untuk anak lelakinya berusia tujuh tahun ke sekolah sebelum tiba-tiba terdengar cermin tingkap depan rumahnya pecah.
“Saya kemudian meluru ke ruang tamu dan terkejut apabila melihat lelaki itu sedang memegang pisau sambil melontar batu-bata ke arah cermin tingkap rumah saya. “Mujur ketika itu, pintu depan rumah saya berkunci sekali gus menghalangnya menceroboh masuk dan jika tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Menurutnya, seminggu sebelum kejadian, lelaki yang tinggal bersendirian itu menunjukkan sikap agak pelik dipercayai mengalami tekanan mental.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu kira-kira jam 11.40 pagi sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba, lelaki terbabit cuba bertindak agresif terhadap anggota polis yang cuba menenangkannya sebelum dia akhirnya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden itu termasuk mengenal pasti sama lelaki itu mempunyai masalah mental atau sebaliknya,” katanya.

Lelaki cari adik maut kena langgar komuter

Berita Harian Online | Lelaki cari adik maut kena langgar komuter:




2012/04/25

SHAH ALAM: Hasrat seorang lelaki mencari adik kandung yang hilang di sekitar bandar raya ini sejak sekian lama tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dipercayai dilanggar komuter di Kilometer 20.5, Seksyen 15, di sini, semalam.

Sebelum ini, mangsa dari Ladang Raja Musa, Kuala Selangor dikatakan mendapat maklumat beberapa pihak mengatakan adik kandungnya yang hilang berada di sekitar Shah Alam dan Klang.
Misi mangsa mencari adik kandungnya dipercayai diketahui polis apabila menemui nombor telefon di pakaian mangsa dan menghubungi nombor berkenaan sebelum dijawab seorang pemandu teksi mendakwa menemui mangsa di Perhentian Teksi Seksyen 25, Sri Muda, dua minggu lalu.
Pemandu teksi terbabit turut mengesahkan mangsa ada meminta nombor telefonnya dan turut meminta bantuan bagi mengesan adiknya yang hilang itu.

Bagaimanapun, penemuan mayatnya dipercayai dilanggar komuter dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Klang, kira-kira jam 9 pagi, menggemparkan pelbagai pihak terutama pekerja kilang berdekatan kerana tiada sebarang laluan ke landasan berkenaan, selain tiada kediaman di sekitar itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata polis menemui mayat mangsa di antara dua laluan komuter dari arah Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

“Mangsa berusia dalam lingkungan 50-an dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam. 
Sementara itu, pengawal kilang berhampiran, Mohd Zul Hazlin Sameon, 19, berkata beliau yang bertugas di pos pintu belakang kilang terkejut melihat sebuah komuter sarat penumpang dari arah Kuala Lumpur berhenti secara tiba-tiba.

Katanya, pemandu komuter itu seolah-olah memberi isyarat tangan kepadanya sambil menunjuk sesuatu ke arah belakang komuter berkenaan.

“Saya hanya mengetahui kemalangan itu selepas melihat beberapa anggota dan kereta peronda polis menghampiri landasan komuter berkenaan,” katanya.

Tujuh termasuk ketua kampung kena tahan

Berita Harian Online | Tujuh termasuk ketua kampung kena tahan:



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2012/04/25

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki termasuk ketua kampung ditahan selepas mencederakan empat pelajar Tingkatan Satu dan Dua dengan mengikat mereka di pokok getah sebelum memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan parah, di Sungai Choh, Rawang, Sabtu lalu. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, tujuh penduduk kampung berusia 22 hingga 62 tahun itu dikatakan bertindak memukul empat pelajar sekolah terbabit selepas mengetahui mereka merogol seorang pelajar Tingkatan Satu, pada 14 April lalu.
Empat pelajar berusia 13 dan 14 tahun itu dikatakan diikat pada pokok getah sebelum penduduk kampung memukulnya menggunakan rotan dan kayu sehingga mengalami kecederaan di muka dan badan, namun kejadian itu berjaya dihalang oleh pihak polis daripada menjadi lebih serius.
Difahamkan, dalam kejadian pada 14 April lalu, seorang pelajar Tingkatan Satu dipercayai dirogol salah seorang daripada empat pelajar lelaki terbabit di ladang berkenaan dan kejadian itu turut dirakam, selain dua daripada mereka bertindak sebagai pemantau keadaan. 

Pelajar perempuan itu memaklumkan perkara terbabit kepada rakannya sebelum diketahui oleh kedua ibu bapa mangsa. Berikutan itu, keluarga mangsa yang marah kejadian menimpa anaknya memberitahu ketua kampung sebelum bertindak memukul empat pelajar lelaki itu. 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata susulan kejadian itu tujuh lelaki termasuk ketua kampung berusia 66 tahun ditahan kerana mencederakan empat pelajar lelaki terbabit. 

Katanya, siasatan polis mendapati, penduduk kampung bertindak sedemikian kerana marah terhadap empat pelajar lelaki terbabit yang merogol rakan sekolahnya berusia 13 tahun yang juga adik kepada salah seorang individu yang ditahan. 
“Hasil pemeriksaan doktor, pelajar perempuan berkenaan mempunyai kesan kecederaan di kemaluannya,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Norel Azmi berkata, kesemua mereka ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. 

Seorang lagi askar AS langgan pelacur

Berita Harian Online | Seorang lagi askar AS langgan pelacur:





2012/04/25

BOGOTA: Pentagon menggantung perkhidmatan anggota tentera ke-12 yang dikaitkan dengan skandal pelacur di Colombia semalam sebelum Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tiba di negara itu untuk menghadiri persidangan antarabangsa, awal bulan ini. 

Seramai 12 ejen Perkhidmatan Rahsia turut terbabit dalam kejadian berkenaan, skandal terburuk dalam masa beberapa dekad bagi agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Presiden Amerika dan pegawai kanan lain.
Enam daripada mereka sudah meninggalkan agensi terbabit sejak skandal itu terdedah.
Anggota tentera ke-12 itu, yang ditempatkan di Agensi Komunikasi Rumah Putih, digantung tugas sementara menantikan keputusan siasatan, menurut pegawai pertahanan Amerika yang enggan dikenali. 

Perkhidmatan Rahsia Amerika dan kakitangan ketenteraan dituduh membawa 21 wanita balik ke hotel mereka di Cartagena pada malam 11 hingga 12 April lalu, sebelum Obama tiba untuk menghadiri Persidangan Negara Amerika. 

Perbuatan mereka terdedah apabila seorang wanita membuat aduan mengenai wang yang membawa kepada pembabitan polis tempatan. 

“Kami meminta warga Amerika di mana juga mereka berada, sama ada di Colombia atau negara lain supaya berkelakuan baik. 
“Jika penyiasat mendapati berlaku sebarang pelanggaran, individu berkenaan perlu bertanggungjawab,” kata Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta kepada wartawan di pangkalan tentera Tolemaida di Colombia. 

Panetta berkata, Pentagon menggantung kebenaran memasuki Rumah Putih kakitangan tentera yang terbabit dalam skandal itu walaupun tidak diketahui berapa ramai daripada 12 orang berkenaan memiliki keistimewaan itu. 

Apapun, kejadian melanggan pelacur itu memalukan Amerika dan membayangi penyertaan Obama di sidang berkenaan. 

Mengambil khidmat pelacur dilarang oleh tentera Amerika tidak kira di mana ia berlaku. Mereka yang bersalah boleh dipenjara sehingga setahun atau diberhentikan. – Reuters

Diplomat dituduh cabul kanak-kanak

Berita Harian Online | Diplomat dituduh cabul kanak-kanak:





2012/04/25

TEHRAN: Iran melancarkan siasatan ke atas dakwaan seorang diplomatnya mencabul kehormatan gadis bawah umur di sebuah kolam renang di Brazil. 

Ketika mengumumkan siasatan itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast memberitahu wartawan diplomat tertuduh sudah dipanggil pulang ke Iran dan akan berdepan dengan tindakan disiplin.
Pada masa sama, beliau juga menyifatkan kejadian yang berlaku pertengahan April lalu itu diputar belit sesetengah media Barat dan Arab untuk meraih kepentingan politik menentang Iran.
Menurut media Brazil, diplomat Iran itu dituduh meraba sekurang-kurang empat kanak-kanak dan remaja Brazil berusia antara sembilan dan 15 tahun ketika berenang di kelab sukan Brazil, menyebabkan mangsa menangis dan memaksa ibu bapa mereka masuk campur. 

“Orang ramai mahu membunuhnya. Jika kelab itu tiada pengawal keselamatan, mereka mungkin memburu saya sebagai pembunuh hari ini,” kata bapa kepada seorang remaja itu yang tidak mahu dikenali kepada laman web berita GI. 

Polis Brazil menahan warga Iran itu tetapi segera membebaskannya kerana dia memiliki imuniti diplomatik. 

Media Brazil turut mengenal pasti diplomat itu sebagai Hekmatollah Ghorbani, 51, pegawai nombor tiga di Kedutaan Iran di Brazil. 
Diplomat itu juga sudah berumah tangga dan mempunyai anak serta memegang jawatan itu selama dua tahun. 

Kedutaan Iran mempertahankan tindakan diplomatnya itu dengan menyatakan tuduhan dia meraba adalah salah faham budaya dan menuduh media Brazil berat sebelah. 

Tetapi, Kementerian Luar Brazil juga berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu dan sedang dalam proses untuk meminta kerjasamamisi Iran. 

Ketika diminta menjelaskan mengenai salah faham budaya, Mehmanparast menjawab: 

“Pada dasarnya, kita tidak menerima perbuatan individu ini berada di kolam renang bercampur lelaki dan perempuan dan ia dianggap melanggar disiplin. Diplomat ini sudah diarah pulang dan kami menyiasat kes ini,”katanya. 

Beliau menambah diplomat itu juga akan berdepan dengan peraturan Kementerian Luar. – AFP

Bomba sempat selamat kedai perabot daripada hangus

Utusan Malaysia Online - Jenayah:



KULIM 25 April - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan sebuah kedai perabot di Jalan Tunku Putra di sini daripada hangus malam tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Kulim, Ahmad Ridwan Yahaya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.58 malam dan bergegas ke lokasi kebakaran dan tiba di sana kurang daripada lima minit.
Namun sebaik tiba api sedang marak dan membakar bahagian belakang stor kedai perabot berkenaan, katanya di lokasi kebakaran.
"Bahagian hadapan iaitu ruang pejabat dan ruang pameran sempat diselamatkan dan perabot di dalamnya tidak mengalami kerosakan atau terbakar.
“Anggota kami juga sempat mengawal api daripada merebak ke sebuah rumah kediaman berhampiran dan sebuah premis menjual kereta terpakai bersebelahan kedai perabot itu," katanya.
Punca kebakaran tidak diketahui. - BERNAMA

Mekanik kerugian RM8,000 rumah dimasuki perompak

Utusan Malaysia Online - Jenayah:



KUANTAN 25 April - Seorang mekanik kerugian kira-kira RM8,000 apabila rumahnya dipecah masuk empat lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan kuku kambing di Batu Lapan Lepar dekat Paloh Hinai, Pekan awal pagi ini.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 49 tahun bersama isteri dan seorang anaknya diikat dengan wayar.
Penjenayah melarikan dua rantai emas, dua gelang tangan, tujuh unit telefon bimbit dan wang tunai RM1,800 yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM8,000. - UTUSAN

Wanita kudung jual bayi didakwa

Kosmo! Online - Negara:



Hwee Bin dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang semalam atas tuduhan memperdagangkan bayi.


KLANG – Seorang wanita warga Singapura yang kudung kaki kirinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi berusia 22 hari bagi tujuan eksploitasi pada awal bulan ini.
Lee Hwee Bin, 36, didakwa memperdagangkan bayi bagi maksud eksploitasi iaitu menjual bayi lelaki itu di luar Starbucks Coffee, Jusco Bukit Tinggi, Klang pukul 11.30 pagi, 6 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Hwee Bin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Dia yang kudung kaki kirinya terpaksa disorong dengan kerusi roda untuk memasuki mahkamah.
Semasa ditahan, tertuduh dalam proses menjual seorang bayi yang berketurunan Cina dan India itu kepada sepasang suami isteri.
Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, K. Muthiah berkata, Hwee Bin mempunyai masalah kehilangan pasport miliknya dan perkara itu sudah dilaporkan kepada polis.

Ajaran 'Kerajaan Langit' Ayah Pin diwarta sesat

Kosmo! Online - Negara:




SEBAHAGIAN daripada pengikut ajaran Ayah Pin mengadakan salah satu upacara 
di markas Kerajaan Langit di Besut sebelum diambil tindakan oleh pihak berkuasa pada tahun 2008.


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyenaraikan empat ajaran sesat termasuk ajaran 'Kerajaan Langit' Ayah Pin bertentangan dengan ajaran Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat berkata, tiga ajaran lain ialah Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam yang dibawa Ashaari Muhammad, ajaran Azhar Abdul Wahab dan Syarikat Rufaqa' Corporation dan rangkaian syarikat-syarikat gabungannya yang masih membawa Aurad Muhammadiah.
"Sehingga kini, Jabatan Agama Islam negeri telah mendakwa seramai 52 orang yang terlibat dengan ajaran sesat Ayah Pin termasuk pengasasnya, Ariffin Mohammed.
"Bagi tiga lagi ajaran sesat itu, belum ada pendakwaan dibuat," kata Khazan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Tina dirayu pulang ke pangkuan keluarga

Kosmo! Online - Negara:




AZIZAH menunjukkan gambar Norzaidatina yang hilang sejak 15 April lalu di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang ibu merayu anaknya, Norzaidatina Yunus, 18, pulang semula ke pangkuan keluarga selepas dipercayai meninggalkan rumah mereka di Kampung Sungai Keladi, Chetok, Pasir Mas dekat sini sejak 16 April lalu.
Azizah Abdul Samad, 42, yang bekerja mengambil upah menoreh getah berkata, dia menyedari kehilangan anaknya yang dipanggil Tina kira-kira pukul 6.30 pagi apabila hendak mengejutkan anaknya itu menunaikan solat Subuh.
Menurut Azizah, dia mengesyaki anaknya itu meninggalkan rumahnya pada awal pagi dan dia tidak pulang sehingga ke hari ini.
"Saya dan saudara-mara lain sudah puas mencari Tina di sekitar kampung berdekatan tetapi gagal ditemui.
"Saya membuat laporan kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas kira-kira pukul 4 petang dan berharap Tina segera pulang," katanya di sini semalam.

Cari ayam jumpa rangka

Kosmo! Online - Negara:



beberapa penduduk kampung melihat lokasi rangka Nor Ain (gambar kecil) ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang kelmarin.


GUA MUSANG – Misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka gadis itu ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh di sini kelmarin bersama motosikal miliknya yang hangus.
Rangka Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang hilang sejak 3 April lalu ditemui seorang pemandu lori membawa kelapa sawit pada pukul 6 petang beserta dompet, kad pengenalan dan sebuah motosikal.
Polis mengesyaki Nor Ain turut dibakar bersama motosikal miliknya.
Ekoran penemuan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan.
“Enam yang ditahan merupakan individu yang mengenali mangsa dan bersama mangsa sebelum mangsa hilang. Lima daripada mereka termasuk seorang suspek wanita positif dadah,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, Nor Ain dilaporkan tidak pulang ke rumah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini selepas keluar pada pukul 9 pagi, 3 April lalu dengan menunggang motosikal Kriss bernombor pendaftaran AEK 4943.
Ekoran itu, keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan Nor Ain yang merupakan anak bongsu daripada sepuluh adik-beradik.