Search This Blog

Tuesday, April 24, 2012

Rogol remaja: Bekas imam dipenjara 15 tahun, 12 sebatan

Rogol remaja: Bekas imam dipenjara 15 tahun, 12 sebatan - Semasa - Sinar Harian:


Rogol remaja: Bekas imam dipenjara 15 tahun, 12 sebatan
JOHOR BAHRU – Seorang bekas Imam sebuah masjid di Johor Bahru hari ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang gadis di bawah umur tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Nu’aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, walaupun tertuduh pertama kali melakukan kesalahan seksual itu, namun kedudukannya sebagai seorang imam jelas menunjukkan dia benar-benar mengetahui hukum dan kesalahan yang dilakukan.

“Mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini dan bukannya kedudukan dia sebagai imam. Tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat dan menjaga nama baiknya,” katanya.

Tertuduh didakwa merogol remaja perempuan ketika kejadian berusia 13 tahun di rumahnya di Taman Perling, dekat sini, kira-kira jam 3 petang, 21 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding berkenaan, tertuduh kelihatan tenang namun sebaik sahaja keputusan dibacakan, dia akhirnya mengalirkan air mata apabila dipeluk ahli keluarga yang lain.

Terdahulu, peguam Sukhaimi Mashud memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan atas alasan kesalahan pertama dilakukan selain tertuduh adalah adalah seorang imam serta sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia empat tahun.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afif Ali.

Doktor klinik swasta didakwa ugut isteri

Doktor klinik swasta didakwa ugut isteri - Semasa - Sinar Harian:

PETALING JAYA - Seorang doktor klinik swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut isterinya yang juga seorang doktor.

E.Jaya Suresh Naidu, 31, didakwa mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap L.Parameswari, 29, di No. 25 Jalan SS 19/6U, Subang Jaya, pada 8.30 malam 24 Feb lepas.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membenarkan Jaya Suresh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei untuk sebutan kes.

Pada 28 Feb lepas, Jaya Suresh juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan mencederakan isterinya dengan menggunakan tangan dan kaki di tempat berlainan iaitu di No. 29, Jalan SS19/6U, Subang Jaya, pada 12.30 tengah hari pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
Peguam R.Murugan mewakili tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat.   -- Bernama

Lelaki kes dera dicari

Lelaki kes dera dicari - Semasa - Sinar Harian:


Dikehendaki Suspek Azhar Jusof
Jamshah bersama isterinya Datin Noriah Hashim meluangkan masa menziarahi mangsa di wad HSNZ semalam.
KUALA TERENGGANU - Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes dera melibatkan anak teman wanitanya berusia dua tahun di Kampung Tualang, Manir, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lelaki berusia 31 tahun dan tidak bekerja itu dipercayai memukul mangsa, Mohd Danish Aiman Abdullah selepas berang dengan kanak-kanak itu yang dikatakan terlalu aktif.
 
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa berkata, lelaki terbabit melarikan diri sebaik menyedari teman wanitanya yang berusia 22 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
 
“Bagaimanapun, kami yakin lelaki berkenaan masih bersembunyi di negeri ini dan kini usaha menjejaki sedang dipergiatkan,” katanya selepas melawat kanak-kanak malang itu di wad Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), semalam.
 
Menurut Jamshah, siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk rusuhan, culik, dadah dan lain-lain jenayah.
 
Katanya, kerjasama orang awam menjejakinya amat dialu-alukan dan kepada mereka yang mempunyai maklumat terkini diharap dapat menghubungi balai polis berhampiran.
 
Mohd Danish Aiman yang mengalami pendarahan otak dipercayai akibat ditampar kini dilaporkan stabil selepas selamat menjalani pembedahan pada petang Sabtu lalu.

Mangsa lemas ditemui tersangkut pada ranting pokok

Mangsa lemas ditemui tersangkut pada ranting pokok - Perak - Sinar Harian:

Mangsa lemas ditemui tersangkut pada ranting pokok
TELUK INTAN  - Kerja mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak Khamis lalu dihentikan selepas penemuan mayat mangsa lemas di lebih kurang 200 meter dari jeti Semenang, dekat sini.

Pegawai Operasi, Nazri Mohamat, berkata, sepasukan menyelamat mengadakan operasi mencari dan menyelamat sepanjang Sungai Perak bagi mencari seorang mangsa yang dipercayai lemas selepas turun memancing udang bersama anaknya.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Ramlan Ahmad, 34, ditemui tersangkut pada ranting pokok oleh pihaknya kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Ketika ditemui mayat itu dalam keadaan terlentang dan berpakaian lengkap malah kami mendapati terdapat kecederaan pada punggung mangsa.

“Lelaki ini merupakan bapa kepada kanak-kanak yang turut lemas dijumpai pada Jumaat lalu, selepas mereka turun bersama-sama untuk memancing udang di Sungai Perak pada pagi Khamis lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Sinar Harian menyiarkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui lemas di celah rumput berikutan bot yang dinaiki terbalik, di Sungai Perak, kira-kira 200 meter dari Jambatan Sultan Yusuf dekat Ladang Nova Scotia.

Nazri berkata, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Teluk Intan, bagi tindakan selanjutnya.

“Penemuan kedua-dua mangsa adalah hasil kerjasama polis, Bomba dan Penyelamat dari Hutan Melintang, Teluk Intan, Unit Skuba dari Pulau Pangkor, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk,” katanya.

Surau musnah 100 peratus

Surau musnah 100 peratus - Perak - Sinar Harian:

Keadaan surau Kampung Jeliang yang musnah 100 peratus akibat kebakaran itu.
MANONG – Penduduk Kampung Jeliang kehilangan tempat beribadat apabila sebuah surau di sini, musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, surau dua tingkat berkenaan tiba-tiba sahaja terbakar tanpa diketahui puncanya.

Ketua Balai Bomba Daerah Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, surau berkenaan musnah 100 peratus akibat kebakaran itu.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5. 57 petang dan tiba 20 minit kemudian, memanda­ngkan tempat kebakaran terletak agak jauh.

“Ketika sampai di lokasi, api sudah terlalu marak dan kita hanya mampu melakukan operasi pemadaman api sahaja.

“Api hanya dapat dikawal pada jam 6.44 petang serta padam sepenuhnya pada jam 7.27 petang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, seramai lapan anggota menggunakan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran.

Jelasnya, punca kejadian masih belum dikenal pasti, manakala jumlah kerugian juga masih dalam siasatan.

Sementara itu, Adun Manong, Datuk Ramly Zahari berkata, walaupun kehilangan surau namun, penduduk boleh menggunakan masjid yang ada di kampung berkenaan.

Katanya, bagi membantu kerja-kerja pembersihan sisa kebakaran, pihaknya hulurkan bantuan segera sebanyak RM2,000 untuk membeli kelengkapan pembersihan.

“Kita juga akan membuat permohonan daripada kementerian kewangan untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi proses pembinaan semula surau itu.

“Surau itu sudah lama kerana dibina sejak 35 tahun lalu dan jemaahnya juga tidak ramai kecuali pada bulan Ramadan,” katanya.

Mangsa jatuh longkang meninggal

Mangsa jatuh longkang meninggal - Terengganu - Sinar Harian:

KEMAMAN – “Waktu saya pegang Nur Hidayah, hujung kakinya sejuk manakala kukunya kebiru-biruan,” kata Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok 2, Rohanah Abbas.

Beliau menceritakan perubahan Nur Hidayah Mohamad, 7, saat murid tahun satu itu tenat sebelum menghembuskan nafas terakhir lewat petang kelmarin di Hospital Kemaman.

Nur Hidayah yang bertarung nyawa sejak sekian lama selepas tragedi jatuh ke dalam longkang besar di hada­pan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kemaman, Mak Chili pada 14 Februari lalu, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.52 petang, ketika berada di samping kedua ibu bapa, wakil PIBG dan gurunya.

Rohanah yang segera bergegas ke hospital bersama Naib YDP, Norhayati Che Kamaruddin selepas menerima panggilan daripada bapa Nur Hidayah kira-kira jam 5.30 petang, melihat dada kanak-kanak malang itu berombak kencang ketika sampai ke wad kanak-kanak.

“Saya turut memegang tangannya namun ketika mahu meleraikan genggaman tangan dia masih pegang tangan saya, walaupun dia kelihatan cukup lemah,” katanya.

Ibu mangsa, Norizah Zakaria, 42, berkata, beberapa detik sebelum menghembuskan nafas terakhir, Nur Hidayah batuk lalu terkeluar buih daripada mulutnya sebelum dia menekap dada dan menyedut buih yang keluar serta memanggil-manggil nama anak bongsunya itu, namun tiada sebarang respons.

Bapanya, Mohamad Embong, 48, pula berkata, dia tidak sangka keadaan Nur Hidayah kembali tenat sedangkan beberapa hari sebelum itu, anaknya beransur sihat dan doktor yang melakukan ujian imbasan mengatakan anaknya boleh pulang ke rumah dalam beberapa hari lagi.

“Bagaimanapun kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) nafasnya makin lemah, dia juga turut diserang demam,” katanya di Unit Forensik, Hospital Kemaman malam semalam.

Nur Hidayah yang koma selama dua minggu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hanya sempat dirawat di rumahnya di Kampung Jaya, Chukai, juga dua minggu sebelum kembali dimasukkan ke wad Hospital Kemaman 2 April lalu akibat sawan, dan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah dikafan dan disembahyangkan terus di Unit Forensik sebelum diserahkan kepada keluarga serta selamat dikebumikan di kampung halaman bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Lebai Salleh, Kuala Terengganu kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan penderitaan hidup Nur Hidayah selepas tragedi jatuh dan lemas dalam longkang besar tidak berpenutup yang masih dalam pembinaan ketika sedang bermain di belakang gerai pisang goreng ibunya.

Rentetan hidup Nur Hidayah cukup memilukan sebab sejurus tersedar dari koma, dia tidak mampu bergerak dengan badan kejang dan bergantung pada mesin penyedut kahak serta alat pernafasan untuk terus hidup.

Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja

Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja - Pahang - Sinar Harian:


Tertuduh ketiga yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun menutup wajahnya sebaik keluar dari mahkama
KUANTAN - Lima sekawan menghadapi nasib berbeza apabila menerima hukuman masing-masing selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada seorang remaja sehingga mati pada Mei tahun lalu sehingga mati di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Tertuduh pertama, Mohd Salahuddin Shamsul, 20 dan tertuduh kedua, Mohd Masyadi Mohd Zainal, 21 hanya mampu menarik nafas lega selepas Hakim Datuk Mariana Yahya menetapkan hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa dari kedua-duanya ditangkap iaitu pada 31 Mei 2011.

Sebelum ini, kedua-duanya berada dalam tahanan di Penjara Penor selama 10 bulan dan 23 hari.

Manakala tertuduh keempat dan kelima yang masing-masing berumur 17 dan 18 tahun dibebaskan dengan jaminan bon berkelakuan baik selama setahun dan dikenakan cagaran sebanyak RM1,000.

Namun kedua-duanya diminta melaporkan diri ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhampiran ditemani ibu bapa dan penjaga masing-masing pada minggu pertama setiap bulan selama setahun berkuat kuasa Mei depan.

Keempat-empat mereka menghadapi pertuduhan dan disabitkan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas si mati, Zulkifli Ali, 17 di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini pada 21 Mei tahun lalu kira-kira jam 1.30 pagi.

Kesemuanya disabitkan di bawah Seksyen 32 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh ketiga iaitu Mohd Zubaikhan Abdul Halim, 22 dari Sri Damai di sini pula menghadapi nasib berlainan berbanding rakan-rakannya dan terpaksa meringkuk di penjara selama 12 tahun selepas Mariana menetapkan keputusan tersebut selepas mendengar penggulungan hujah dan rayuan yang dikemukakan peguam belanya,Arifin Che Ali.

Sebelum itu, Arifin mengemukakan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan dan tinggal bersama ibunya yang juga seorang ibu tunggal yang hanya meniaga secara kecil-kecilan.

Menurutnya, tertuduh anak keempat daripada 12 adik-beradik dan ketika kejadian berlaku pada 21 Mei lalu, tertuduh berusia 21 tahun 2 bulan dan tidak menggunakan senjata terhadap mangsa.

Mariana menetapkan hukuman tersebut berkuat kuasa daripada tarikh Zubaikhan ditangkap iaitu pada 31 Mei tahun lalu.
Sebelum itu dalam kenyataannya, Mariana memberitahu, tertuduh dikira bernasib baik selepas pertuduhannya ditukar dari membunuh ke pertuduhan mematikan orang dengan salah.

Menurutnya, beliau mendengar rayuan itunamun hukuman tersebut dijalankan mengikut kepentingan awam kerana nyawa manusia tiada nilai.

“Perlakuan tertuduh telah menyebabkan kehilangan nyawa pada mangsa dan kehilangan untuk keluarga mangsa yang dijadikan harapan buat mereka.

“Kalau sudah hilang nyawa, saya tak tahu apa nak diganti dan saya memandang serius perkara ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Zubaikhan disabitkan menyebabkan kematian pada mangsa, Zulkifli Ali, 17 dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang menyebabkan kematian pada mangsa pada 21 Mei tahun lalu di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini kira-kira jam 1.30 pagi.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, kejadian bermula apabila si mati bersama rakannya berada di tempat kejadian untuk melihat orang memancing di lokasi tersebut.

Sebelum kejadian kawan si mati telah meminta mangsa menunggu kerana ingin membuang air dan sebaik keluar dari tandas, dia melihat si mati telah dipukul lebih kurang lima orang lelaki.

Rakannya ternampak tertuduh ketiga telah menghentak kepala si mati ke pintu besi kedai makan dan mangsa rebah ke lantai namun tertuduh terbabit masih lagi menyepak belakang badan dan kepala hingga si mati tidak sedarkan diri.

Selepas kumpulan lelaki itu beredar, mangsa dibawa ke hospital dan tidak sedarkan diri sehingga disahkan meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu.

Hasil pemeriksaan pakar patologi mendapati terdapat kesan retakan di tiga lokasi bahagian tengkorak kepala iaitu salah satunya di sebelah kiri depan tengkorak kepala berdekatan mata sebelah kiri dan pendarahan dalam kepala.

Selain itu terdapat juga kesan lebam pada paru-paru sebelah kanan dan paru-paru dan buah pinggang kedua-duanya tidak berfungsi dengan baik akibat komplikasi dari koma.

Tertuduh pertama, kedua dan keempat diwakili peguam bela, Bob Arumugam dan tertuduh kelima diwakili Azizan Abdullah. Manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

Rumah, kedai dilanda ribut

Rumah, kedai dilanda ribut - Kelantan - Sinar Harian:


Rumah kedai-Phuah-tercabur-bumbung-dilanda-ribut
GUA MUSANG - Sebanyak 10 rumah dan kedai membabitkan kawasan bengkel di simpang tiga Kampung Pulai dan Kampung Batu Papan, dekat sini, rosak kerana tercabut atap dilanda ribut, petang kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang semasa angin kencang dan hujan lebat itu tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana kebanyakan mangsa masing-masing menyelamatkan diri.

Mereka menganggap kejadian tersebut yang paling menakutkan kerana ribut yang datang secara mengejut berserta dengan hujan lebat hingga keadaan menjadi kelam kabut berikutan bimbang atap yang diterbangkan angin bertaburan.

Menurut seorang mangsa yang tinggal di rumah kedai kawasan bengkel simpang tiga Kampung Pulai, Phuah Hooi Wah, 57, semasa kejadian dia bersama isteri dan tiga anak berada diruang luar kedainya.

Kata mangsa berkenaan, sebaik ribut datang terus mengajak mereka berselindung di bahagian dapur kerana keadaan rumah kedainya bergegar sebelum atap tercabut di bawa angin kencang.

“Nasib baik sempat saya dan isteri serta anak berselindung di dapur jika tidak kami semua berdepan dengan bahaya kerana atap bertaburan jatuh berhampiran kedai.

"Selepas atap tercabut hujan lebat turun hingga membasahi semua barangan dalam kedai saya sehingga menunggu awal pagi ini (semalam) untuk mengemas semula,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut juga di kawasan sama, Rusmaria Mohd Uyuk, 31, berkata, sebelum atap tercabut keadaan rumah kedainya juga berulang kali bergegar hingga dia bersama empat anak berlindung di belakang dinding simen.

Beliau berkata, tindakan diambil itu kerana bimbang keselamatan anak-anak yang mungkin dihempap atap yang terbang di landa ribut itu jika tidak melindunginya di kawasan selamat.

“Semasa kejadian suami saya Ab Rahman Mamat, 54, tidak ada di rumah kerana ada urusan lain di luar hingga kawasan dalam rumah dibasahi air hujan selepas atap tercabut,” katanya.

Buruh binaan dihempap jentera cerucuk

Buruh binaan dihempap jentera cerucuk - Johor - Sinar Harian:


Keadaan jentera tanam cerucuk yang terbalik.
Mayat Kim Fatt berjaya dikeluarkan setelah satu jam dihempap jentera terbabit.
MUAR – Seorang pekerja buruh binaan maut dalam keadaan menyayat hati selepas dihempap sebuah jentera tanam cerucuk di Kampung Tengah Air Hitam dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Chong Kim Fatt, 46, dipercayai cuba membetulkan kedudukan jentera berat terbabit yang senget kerana struktur tanah di kawasan itu lembik.

Malangnya, ketika mangsa sedang leka memasukkan besi dan kayu di bawah jentera berkenaan, secara tiba-tiba jentera itu terbalik lalu menghempapnya.

Kejadian tersebut disedari dua rakannya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dan cuba membantu mangsa tetapi gagal.

Kim Fatt berasal dari Rawang, Selangor dan baru beberapa hari melakukan kerja pembinaan masjid di Kampung Parit Tengah, Air Hitam sebelum berlakunya kejadian itu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Jamil berkata, projek pembinaan masjid berkenaan mula dilakukan kira-kira tiga bulan lalu.

Menurutnya, jentera berat itu berada di bekas tapak kolam lama menyebabkan kedudukannya senget sejak dua hari ditinggalkan di situ.

“Penduduk kampung yang mendengar tentang kemalangan terbabit segera datang ke situ untuk memberi bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang terbenam dalam tanah di bawah jentera tersebut.

“Satu jam kemudian, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan sebuah jentera lain tetapi sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penduduk kampung turut menghubungi pihak polis dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk memaklumkan kejadian itu.

Orang Asli mati tergantung

Orang Asli mati tergantung - Melaka & NS - Sinar Harian:

Arah mangsa ditemui keluar semasa ketiadaan ahli keluarga yang lain.
ALOR GAJAH - Seorang remaja berusia 19 tahun dari perkampungan Orang Asli Hutan Percha, di sini, ditemui mati tergantung di sebatang pokok manggis oleh adik dan abang iparnya di sebuah dusun berhampiran rumah mereka, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa ditemui kira-kira pada jam 8 pagi ketika dalam usaha mencari mangsa yang dikatakan hilang selepas seharian keluar rumah.

Abang ipar mangsa berusia 31 tahun, berkata, mangsa keluar rumah sendirianjam 4 petang dan disedari seorang saudara namun tidak bertanya ke mana mangsa pergi.

“Mangsa keluar rumah dengan berjalan kaki dan menuju ke arah dusun buah-buahan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.

“Semasa dia keluar, tiada siapa berada di rumah. Sehingga jam 8 malam, kelibatnya masih tidak kelihatan dan kami hanya mengandaikan dia keluar bersama rakan lain,” katanya.

Menurutnya, kehilangan mangsa disedari pada jam 12 tengah malam namun bercadang mencarinya pada keesokan hari berikutan keadaan sekeliling gelap tanpa mencurigai perkara buruk berlaku ke atas mangsa.

“Kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 10 malam. Keesokan paginya, saya dan adik ipar keluar mencarinya kerana merasakan dia tidak berada jauh dari rumah,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di dusun, dia dan adik mangsa terkejut melihat mayat mangsa dalam keadaan tergantung menggunakan tali tambat kambing di belakang rumah mereka.

Menurut abang ipar mangsa, adik iparnya itu disifatkan seorang yang pendiam dan tidak gemar bercerita sekiranya tidak mempunyai masalah dengan adik-beradik. Malah tidak tahu menahu jika mangsa mempunyai masalah peribadi dengan orang lain.

“Mangsa tidak bergaduh dengan kami adik-beradik tetapi tidak tahu pula sekiranya dia ada perselisihan faham dengan mana-mana rakan tanpa pengetahuan kami kerana dia seorang yang begitu suka menyimpan rahsia.

“Sehari sebelum kejadian, mangsa tidak menampakkan sebarang perubahan pelik,” katanya terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan penemuan mayat remaja berkenaan, kelmarin.

“Mangsa yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik ditemui tergantung pada tali tambat kambing kira-kira jam 8 pagi di sebatang pokok manggis dalam keadaan terkulai dan pucat kebiruan dan kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, semalam.

Peniaga kecurian RM8,000

myMetro | Peniaga kecurian RM8,000: "SEGAMAT: Seorang peniaga makanan kerugian kira-kira RM8,000 apabila beg tangan yang disembunyikan di bawah tempat duduk depan kereta Perodua Viva dilarikan penjenayah di tempat letak kenderaan di depan pasar raya berhampiran Jalan Salim, Jumaat lalu.

Safiah Jidin, 48, berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, dia meletakkan wang tunai RM1,000, barangan kemas, dua telefon bimbit dan buku akaun bank di bawah tempat duduk sebelah pemandu.


“Saya hanya membawa beberapa ratus ringgit untuk membeli barangan keperluan di pasar raya berkenaan.

“Setengah jam kemudian, saya keluar dan memasukkan barangan dibeli di tempat duduk belakang tanpa menyedari cermin kiri depan kereta dipecahkan,” katanya, semalam.


Menurut Safiah, anak perempuannya tiba-tiba mendapati longgokan kaca di tempat duduk penumpang depan dan memaklumkan perkara itu kepadanya.


Safiah berkata, dia terus memeriksa beg tangan berkenaan dan mendapati ia dilarikan penjenayah."

'via Blog this'

Mati dirodok rakan sekerja

myMetro | Mati dirodok rakan sekerja: "KENINGAU: Seorang penoreh getah berusia 31 tahun maut ditikam rakan sekerjanya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kebulu Sook, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Andi Jumadi Page meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Keningau akibat dadanya parah ditikam dengan benda tajam dipercayai pisau.
Difahamkan, suspek berusia 30-an memberitahu penduduk kampung Andi (mangsa) tidak pandai menoreh getah dan mangsa yang dimaklumkan mengenai perkara berkenaan menemui rakannya itu bagi meminta penjelasan.

Bagaimanapun berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek yang berang menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian dada sehingga mangsa rebah ke lantai.


Beberapa pekerja di ladang getah terbabit yang menyaksikan kejadian itu kemudian membantu mengangkat mangsa sebelum menghubungi pihak hospital sementara suspek melarikan diri."

'via Blog this'

Bawa balik bom dalam lori

myMetro | Bawa balik bom dalam lori: "SEGAMAT: “Saya bersyukur kerana bom itu diletakkan di dalam lori sampah biasa dan bukannya lori pemampat kerana jika sebaliknya, ia pasti sudah meletup,” kata kakitangan Majlis Daerah Segamat (MDS), Raden Mohd Nor, 27, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Raden sedang membersihkan sekitar kawasan perindustrian di Jalan Genuang bersama dua rakannya sebelum menemui objek bujur disangka besi buruk di dalam parit.


Raden kemudiannya memasukkan objek itu ke dalam lori sampah itu dan mahu menjualnya sebagai besi buruk.

“Saya membawa objek seberat kira-kira tiga kilogram itu ke stor simpanan pelupusan di Jalan Muar sebelum menayangkan di depan rakan.


“Saya membayangkan ia mampu mencecah harga tinggi jika dijual sebagai besi buruk, tetapi rakan terkejut dan mengagak ia kemungkinan bom lama,” katanya.


Raden bersyukur kerana ia tidak meletup sepanjang perjalanan kira-kira 20 minit ke stor itu.

“Jika berlaku sebaliknya, pasti ada yang tercedera,” katanya yang kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud mengesahkan penemuan bom itu dan ia akan dimusnahkan secepat mungkin."

'via Blog this'

Lima bawa 1.7kg dadah ditahan

myMetro | Lima bawa 1.7kg dadah ditahan: "JAKARTA: Polis Batam menahan lima penyeludup serbuk methamphetamine yang dituduh menggunakan bot laju untuk membawa dadah berkenaan, kata pihak berkuasa.

Polis turut merampas 1.7 kilogram serbuk dadah itu yang bernilai dua bilion rupiah (RM669,473). “Kami berjaya menjejaki sindiket berdasarkan penhanan seorang suspek sebelum ini yang dibuat di depan Hotel Newton Nagoya,” kata Ketua Unit Narkotik Polis Batam, Komisoner Arif Bastari, semalam. - Jakarta Post"

'via Blog this'

3 pekerja disyaki mangsa sindiket dagang organ manusia

myMetro | 3 pekerja disyaki mangsa sindiket dagang organ manusia: "JAKARTA: Tiga pekerja dari Nusa Tenggara yang mati di Malaysia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan organ manusia, lapor akhbar semalam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Herman, Abdul Kadir Jaelani dan Mad Noon dipercayai ditembak mati dalam satu kejadian pada 24 Mac lalu di negara jiran itu. Jenazah mereka dihantar pulang pada 5 April lalu.


“Terdapat kesan pembedahan luar biasa di mata, dada dan perut mangsa,” kata eksekutif pekerja migrasi, Anis Hidayah dipetik sebagai berkata dalam kompas.com.

Surat dari Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur berkata, pihak kedutaan tidak melakukan siasatan mengenai punca kematian pekerja berkenaan.


Keluarga mangsa merancang untuk bertemu agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap perlindungan pekerja migrasi bagi menuntut keadilan atas kematian mereka. Pada 12 April lau, Dewan Perwakilan sebulat suara mencapai perjanjian Konvensyen Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perlindungan Hak Pekerja Migrasi dan ahli keluarga mereka. - kompas.com"

'via Blog this'

Murid, wanita hamil maut dilanggar remaja tak berlesen

myMetro | Murid, wanita hamil maut dilanggar remaja tak berlesen: "TOKYO: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan seorang wanita hamil terbunuh semalam selepas sebuah kereta melanggar sekumpulan murid sekolah rendah di Kyoto.

Lima kanak-kanak parah selepas seorang remaja berusia 18 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu, merempuh sembilan murid dan seorang wanita.


Yukihi Matsumura, 26, yang hamil tujuh bulan, mati beberapa jam selepas kejadian. Anak yang dikandungnya juga mati.

Polis menahan remaja berkenaan yang dikatakan tidak tidur sepanjang malam sebelum nahas.


Media tempatan melaporkan dia mungkin tertidur ketika memandu.


“Dia mengaku berfoya-foya sepanjang malam bersama-sama dua rakan,” kata jurucakap polis. - AFP"

'via Blog this'

Rogol: Bekas imam dipenjara 15 tahun, sebatan

Berita Harian Online | Rogol: Bekas imam dipenjara 15 tahun, sebatan:

JOHOR BAHRU: "Sebagai seorang imam, tertuduh sepatutnya tahu mengenai hukum dan tidak patut melakukan perbuatan demikian. 

"Tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik pada masyarakat dan juga menjaga nama baik institusi yang beliau wakili," kata Hakim Mahkamah Sesyen Nua'man Mahmud Zuhudi ketika menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan ke atas bekas imam sebuah masjid kerana kesalahan merogol remaja bawah umur.
Beliau memerintahkan tertuduh Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Nur Akmal, 32, didapati bersalah merogol remaja perempuan itu yang ketika kejadian berumur 13 tahun di rumahnya di Taman Perling, di sini pada kira-kira 3 petang, 21 Februari 2011. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Ketika menyampaikan penghakimannya, Hakim Nua'man berkata keterangan tertuduh ketika perbicaraan hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta gagal menimbulkan keraguan munasabah. 

Nur Akmal yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia empat tahun pada mulanya kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan tetapi mula menitiskan air mata ketika dipeluk anggota keluarga. 
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam Sukhaimi Mashud. - BERNAMA

Kilang tenusu meletup, 1 terkorban, 3 cedera

Berita Harian Online | Kilang tenusu meletup, 1 terkorban, 3 cedera: "OSLO: Satu letupan gas berlaku di bangunan kilang tenusu di tenggara Norway hari ini, membunuh sekruang-kurangnya seorang pekerja dan mencederakan tiga yang lain, demikian menurut laporan polis tempatan.

Sementara itu, media tempatan melaporkan anggota penyelamat kini dalam usaha mencari lima lagi pekerja yang dipercayai hilang.
Menurut agensi berita NTB, seramai 20 hingga 25 orang bekerja di kilang ketika letupan berlaku. Berdasarkan rakaman agensi berita, ia menunjukkan kerosakan yang teruk kepada bahagian loji serta sekitar bangunan.
"Seorang disahkan mati dan tiga lagi cedera parah," kata jurucakap polis di Fredrikstad dalam satu kenyataan hari ini. - AP"

'via Blog this'

Pengarah didakwa tipu bank untuk dapatkan RM2 juta

Berita Harian Online | Pengarah didakwa tipu bank untuk dapatkan RM2 juta:

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah di sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan menipu sebuah bank bagi mendapatkan kemudahan kredit membabitkan hampir RM20 juta. 

Bagi pertuduhan pertama, Ng Huat Jian,50, yang merupakan pengarah syarikat Oil-Line Engeneering & Associates Sdn Bhd didakwa menipu Bank Islam Malaysia Berhad dengan mengemukakan dokumen-dokumen palsu sehingga mendorong bank itu memberi kemudahan kredit berjumlah RM1,350,000 kepada syarikat terbabit.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu ibu pejabat bank berkenaan pada 9 Februari 2009 hingga 23 April 2009.
Bagi pertuduhan kedua Ng didakwa menipu bank terbabit dengan mengemukakan dokumen-dokumen palsu sehingga mendorong bank itu memberi kemudahan kredit berjumlah RM18,639,536.47 kepada syarikat itu. 

Ng didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada 26 Disember 2008 hingga 28 April 2009. 

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 368 (a) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya. 

Terdahulu Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Shari'ah Abu menawarkan jaminan RM40,000 dikenakan terhadap Ng bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan peguam Guok Ngek Seong yang mewakili tertuduh tidak membantah jaminan terbabit. 
Hakim S. M Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan kes. - BERNAMA 

10 tahun sorok jamu

Berita Harian Online | 10 tahun sorok jamu:

KUALA LUMPUR: Taktik seorang lelaki menjadikan deretan stor di sebuah rumah ibadat di Chow Kit sebagai gudang simpanan ubat-ubatan haram sejak 10 tahun lalu, terbongkar apabila premis terbabit diserbu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan, pagi semalam. 

Dalam operasi jam 10.30 pagi itu, 10 premis yang dijadikan stor di kawasan itu diserbu dengan pelbagai jenis ubat dan jamu tradisional dianggarkan bernilai RM2 juta dirampas, dipercayai untuk edaran sekitar Lembah Klang selain Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Kamarul Azhar Kamaruddin berkata, semua ubat dan jamu dirampas itu tidak didaftarkan dengan kementerian selain turut dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh membawa maut.
Katanya, ubat dan jamu dari negara jiran itu dikesan turut dicampur racun berjadual bagi memberikan kesan lebih cepat kepada pengguna. 

“Bagaimanapun, produk beracun jika diambil secara berterusan boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit kepala, cirit-birit, muntah dan kegatalan pada kulit selain boleh membawa maut,” katanya semalam. 

Kamarul Azhar berkata, kebanyakan produk dirampas adalah produk seksual dan kecantikan yang mendapat permintaan tinggi dan menguntungkan. 

“Produk seksual biasanya mengandungi racun Sildenafil dan Sibutramine untuk meningkatkan nafsu syahwat, manakala produk kecantikan pula dicampur racun Hydroquinone bagi memutih dan menghaluskan kulit,” katanya. 
Katanya, penggunaan racun itu menyalahi Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 kerana ia hanya diambil dengan pemantauan doktor dan tidak boleh dijual secara terbuka. 

Tiada wang punca rahsia kematian

Berita Harian Online | Tiada wang punca rahsia kematian:

MIRI: Ketiadaan wang untuk urusan pengebumian dipercayai antara punca kematian seorang ibu bersama anak perempuannya dirahsiakan selama lima tahun oleh seorang lagi anak perempuan mereka yang pernah tinggal bersama mereka. 

Perkara itu terbongkar apabila tulang dan tengkorak ibu serta anak perempuannya itu ditemui di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Lutong Baru, di sini, Ahad lalu.
Seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 40-an yang pernah tinggal bersama, merahsiakan kematian mereka atas permintaan ibunya sebelum meninggal dunia.
Ini menyebabkan wanita itu membiarkan mayat ibu dan kakaknya diletakkan dalam sebuah bilik di rumah terbabit. 

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah menunjukkan kedua-dua mangsa dibunuh, malah mangsa dipercayai meninggal dunia hampir lima tahun lalu. 

Beliau berkata, bagi mengelak kematian itu terbongkar, mayat si mati diletakkan dalam bilik berkenaan dengan tingkap ditutup rapat, bagi mengelak bau busuk dikesan termasuk oleh jiran berdekatan. 

“Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dapat mengesahkan punca kematian sebenar atau jika ada motif lain di sebalik kejadian itu. 
“Polis masih menyiasat termasuk membabitkan anak perempuan mangsa dan anak saudara yang pernah tinggal di rumah berkenaan,” katanya. 

Mengulas tindakan anak mangsa yang merahsiakan kematian itu, beliau berkata, sama ada wujud unsur pemujaan atau sebaliknya, polis belum dapat mengesahkannya sehingga hasil siasatan lengkap diperoleh. 

Kelmarin, dua rangka wanita berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 49 tahun ditemui di sebuah bilik oleh seorang lagi anak perempuan mangsa bersama suaminya ketika mahu menjenguk ibunya yang tidak ditemui sejak hampir lima tahun lalu.

Meninggal selepas dua bulan koma jatuh parit

Berita Harian Online | Meninggal selepas dua bulan koma jatuh parit:

CHUKAI: Selepas lebih dua bulan bertarung nyawa akibat lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air di Kampung Mak Cili, dekat sini pada 14 Februari lalu, Nur Hidayah Mohammad (atas), 7, menghembuskan 
nafas terakhirnya di Hospital Kemaman (HK) jam 6.52 petang kelmarin. 
Bapanya, Mohammad Embong, 48, berkata keadaan menimpa anaknya agak mengejutkan kerana sejak kelmarin arwah sudah menunjukkan perkembangan positif selepas dimasukkan semula ke hospital pada 2 April lalu akibat sawan. “Doktor memaklumkan Nur Hidayah boleh dibawa balik petang ini (kelmarin) selepas mendapati keadaannya pulih daripada demam akibat jangkitan di paru-paru.

“Namun, ketika saya datang pagi tadi (kelmarin) menghantar sarapan untuk isteri (Norizan Zakaria, 42), arwah kelihatan semakin lemah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, HK, semalam. 

Beliau berkata, kebiasaannya Nur Hidayah melawan pernafasannya yang tersekat dengan mengangkat tangan, namun pagi tadi (semalam) dia seolah-olah sudah tidak bertenaga. 

“Kira-kira jam 4 petang, isteri menelefon memberitahu keadaannya semakin nazak. Saya bergegas ke hospital dari tempat kerja,” katanya sambil menahan sebak. 
Berita Harian sebelum ini melaporkan, Nur Hidayah koma akibat lemas terjatuh ke longkang berhampiran tempat ibunya berniaga di Kampung Mak Chili pada 14 Februari lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. 

Selepas dua minggu, pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok Dua itu sedar daripada koma dan dibenarkan pulang untuk dirujuk ke Hospital Kemaman. 

Nur Hidayah sekali lagi dimasukkan ke HK pada 2 April lalu selepas terkena sawan akibat paru-parunya dijangkiti kuman. 

Selepas 20 hari di hospital, keadaannya semakin baik sebelum tiba-tiba kembali merosot pagi kelmarin dan meninggal dunia.

Bergelandangan di rumah sendiri

Kosmo! Online - Negara:


ARIFFIN (kiri) melawat rumah Zamri yang usang di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Sekali pandang, kehidupan dua beradik di Kampung Binjai, Kubang Kerian di sini, tidak ubah seperti ‘gelandangan’ yang tinggal merempat di rumah kosong atau terbengkalai tanpa penghuni namun hakikatnya itulah rumah mereka sendiri.
Seandainya rumah sering dianggap sebagai tempat untuk berteduh dari cuaca panas dan hujan, rumah usang yang didiami Zamri Abdul Rahman, 37, dan adiknya, Ismail, 27, tidak mampu pun menghindar terik mentari dan tempias.
Dengan bumbung yang bocor di sana-sini dan sebahagian dinding terlopong kerana terpaksa dirobohkan kerana dimakan anai-anai, dua beradik itu masih tegar menghuni rumah itu walau hanya ditemani cahaya lilin bagi menggantikan cahaya lampu pada malam hari.
Zamri yang hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan antara RM15 hingga RM30 sehari tidak mampu untuk membaiki rumah keluarganya itu manakala adiknya pula tidak bekerja.
“Kami tinggal dalam rumah yang macam ini sejak lima tahun lalu. Ibu bapa dan lapan adik-beradik yang lain berhijrah ke Kuala Krai 10 tahun lalu kerana ibu bapa saya mendapat kerja sebagai penoreh getah di sana. Saya dan adik diajak ikut bersama tapi kami memilih untuk terus berada di rumah ini kerana sudah biasa di sini.
“Kemudian, setelah mereka berhijrah, rumah usang ini yang didiami keluarga kami sejak berpuluh-puluh tahun lalu semakin teruk keadaannya terutama apabila sebahagian dinding terpaksa dirobohkan kerana serangan anai-anai,” ceritanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.

l 'Ulat' jam tiruan dapat RM20,000 sebulan

Kosmo! Online - Negara:




KEBANYAKAN 'ulat' jam tiruan menjadikan pelancong Arab sebagai mangsa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Pulangan lumayan sehingga mencecah RM20,000 sebulan menyebabkan semakin ramai ‘ulat’ jam tiruan bermaharajalela di Bukit Bintang di sini sejak kebelakangan ini.
Tinjauan mendapati kehadiran kira-kira 20 daripada mereka yang dipercayai orang Sabah dan warga Filipina itu mencemari kawasan segi tiga emas negara yang menjadi tumpuan ramai pelancong luar negara.
‘Ulat-ulat’ tersebut gemar mendekati pelancong terutama mereka dari negara Asia Barat yang dikatakan mudah terpedaya dengan taktik mereka.

Hairan kereta tak lulus ujian

Kosmo! Online - Negara:


KIRI: MOKTHAR menunjukkan nombor enjin yang didakwa diketuk semula menyebabkan kereta tersebut gagal dalam ujian pemeriksaan Puspakom di Shah Alam kelmarin.


SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Seksyen 28 di sini apabila kereta Proton Wira miliknya didapati gagal melepasi pemeriksaan khas.
Ahli perniagaan itu, Mokthar Endan, 54, mendakwa, berdasarkan laporan Puspakom, kegagalan itu disebabkan nombor enjin kereta tersebut telah diketuk semula dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan oleh syarikat pengeluar kenderaan tersebut.
Bagaimanapun, tegasnya, sejak kenderaan itu dibeli daripada seorang rakannya pada tahun lalu untuk kegunaan harian anaknya, dia tidak pernah mengetuk atau menukar enjin sehingga pemeriksaan Puspakom dijalankan semula, Khamis lalu.
“Ketika membeli kereta ini, saya juga telah melakukan pemeriksaan Puspakom untuk proses tukar hak milik dan hasil ujian adalah lulus pada enjin yang sama.
“Namun, hasil ujian kali ini amat mengecewakan, malah Puspakom tuduh saya mengetuk semula nombor enjin asal pada enjin baharu yang mungkin dicuri bagi menutup kesalahan dan semua tuduhan ini amat berat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.