Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

Gambar tidak bertarikh menunjukkan Menteri Luar Norway, Jonas Gahr Store (kiri) diiringi pemimpin belia Eskil Pedersen, ketika beliau mengunjungi kem musim panas Liga Pekerja Belia (AUF) di pulau Utoeya, satu daripada lokasi serangan Oslo, tahun lalu. - Agensi
SELURUH media dunia minggu lalu tertumpu kepada perbicaraan kes pelampau Kristian berhaluan kanan, Anders Behring Breivik yang bertanggungjawab membunuh 77 orang selepas meletupkan bom di bangunan kerajaan di Oslo dan melepaskan tembakan rambang di kem belia di pulau Utoeya dalam serangan berkembar pada 23 Julai tahun lalu.
Dengan menjadikan isu kebanjiran penduduk Islam dan imigran di Eropah sebagai alasan, Breivik menghalalkan pembunuhan bangsanya sendiri kononnya untuk menyedarkan kerajaan Norway yang terlalu berlembut dalam isu itu.
Persoalannya, adakah benar Breiveik merupakan seorang 'pejuang' yang mahu orang Kristian berkulit putih mendominasi Eropah dengan mengenepikan bangsa lain termasuk Islam dan Yahudi?
Dalam hal ini, ramai pihak tersalah anggap dengan mengangkat dia sebagai pejuang Kristian sejati kerana dia sebenarnya merupakan seorang penyokong kuat Israel yang merupakan wilayah yang didiami penganut Yahudi dan Zionis.
Kenyataan ini berasaskan pemilihan Breivik terhadap kem belia anjuran parti sayap pemuda Parti Buruh, Liga Pekerja Belia (AUF) sebagai sasaran kerana pemimpin parti pemuda itu, Eskil Pedersen pernah mengeluarkan kenyataan mengecam Israel dua hari sebelum serangan dilakukan.
Dalam wawancaranya bersama majalah Dagbladet, Pedersen menyatakan pandangannya mengenai tindakan yang wajar dikenakan terhadap Israel dan mahu Menteri Luar Norway, Jonas Gahr Store mengenakan sekatan ekonomi terhadap rejim Zionis itu.
Katanya, soal keamanan dunia tidak akan selesai selagi Israel tidak berkompromi dan beliau sudah muak dengan sikap rejim itu.
Malah para peserta kem itu turut membuat kain rentang tertulis 'Boikot Israel' sebagai menyokong usaha yang diketengahkan oleh Pedersen.
Ini menunjukkan kepimpinan tertinggi Parti Buruh mengerahkan parti-parti sayapnya memperluaskan sentimen anti Semetik di kalangan ahli-ahlinya.
Selain itu, ahli akademik Norway, Hanne Nabintu dalam buku penulisannya, Respect, menyebut mengenai polisi kerajaan berhaluan kiri negara itu yang memberikan pandangan berat sebelah terhadap Israel, sekali gus menjadikan Norway sebagai negara paling anti Semetik di Barat.
Katanya, kerajaan secara tidak langsung menerima agenda kerajaan Palestin Hamas.
"Menteri Luar, Store pernah mengeluarkan kenyataan dalam akhbar International Herald Tribune yang menyatakan pendiriannya mempertahankan Hamas.
"Tahun lalu, Store menafikan penglibatannya untuk mengadakan perbincangan dengan ketua Hamas, Khaled Meshaal walaupun pemimpin Palestin itu mengesahkan hal tersebut," katanya.
Malah Nabintu berkata, pihak kerajaan turut menyalurkan bantuan kewangan beratus-ratus juta kepada Hamas.
Jelasnya, satu kajian yang dijalankan akhbar terbesar Norway, Verdens Gang mendapati 60 peratus rakyat bersetuju menyatakan media negara itu mengamalkan pandangan pandangan berat terhadap rejim Zionis.
Satu kajian yang dijalankan pada 2010 turut menunjukkan 40 rakyat negara ini telah memboikot barangan Israel sebagai tindak balas terhadap rejim itu yang menyerang kapal bantuan ke Palestin.
Di samping itu, Menteri Kesihatan pada ketika itu, Kristin Halvorsen menyeru masyarakat dunia supaya memboikot perjanjian jual beli senjata dengan Israel.
Berdasarkan usaha-usaha yang dijalankan secara terangan-terangan tersebut, tidak hairanlah Breivik melakukan serangan terhadap parti dan golongan belia yang tidak pro Israel kerana polisi kerajaan jelas mahu mengenepikan komuniti Yahudi yang telah banyak membawa pembangunan budaya di Eropah.
Keganasan yang dilakukan Breivik itu bukan sahaja dipuji kumpulan pelampau lain di sekitar Eropah, malah turut mendapat pujian sekumpulan pengikutnya di Israel yang menyokong tindakan kejamnya itu menentang belia Norway yang pro Palestin dan memboikot Israel.
Sokongan tersebut jelas menunjukkan Breivik merupakan pelampau yang menyokong kuat Israel dan bukan Islam sahaja sebagai motif serangan 23 Julai itu dilakukan.