Search This Blog

Saturday, April 21, 2012

Bunuh rakan: Remaja dijel 10 tahun

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


KUCHING 20 April - Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebak ketika membaca latar belakang seorang remaja sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang remaja yang mengaku bersalah menyebabkan kematian rakannya Januari tahun lalu.
Suasana sedih menyelubungi mahkamah apabila Hakim Yew Jen Kie tidak dapat meneruskan kata-kata dan terpaksa berhenti seketika sebelum meneruskan penghakimannya.
Beliau memerintahkan hukuman terhadap Abang Ibrahim Abang Ahmad, 20, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 18 Januari 2011.
Remaja terbabit didakwa menyebabkan kematian Taufik Abdul Rahim, 15, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sadong Jaya, Samarahan antara pukul 1 dan 2 petang, 15 Januari 2011.
Terdahulu dalam penghakimannya, Hakim Jen Kie berkata, berdasarkan laporan akhlak yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mahkamah bersimpati terhadap nasib tertuduh yang menjaga tiga adiknya bersendirian tanpa bantuan saudara mara selepas kematian ibu mereka dua tahun lalu.
Bagaimanapun kata Hakim Jen Kie, kegagalan tertuduh mengawal kemarahan ketika dihambur kata-kata kesat oleh mangsa lalu bertindak memukul kepalanya sehingga mati perlu diberi hukuman setimpal.
''Saya difahamkan kamu meminta peguam menyampaikan permohonan maaf bagi pihak kamu kepada keluarga mangsa. Ini merupakan satu tindakan yang wajar dipuji.
''Selepas ini, saya membenarkan kamu bertemu ayah mangsa, pandang matanya dan minta maaf kepadanya. Ini merupakan tragedi yang menyedihkan namun saya percaya beliau boleh memaafkan kamu,'' katanya.
Beliau turut mengarahkan tertuduh dan bapa mangsa menemuinya di kamar hakim sebaik sahaja prosiding selesai.
Sebelum ini, Abang Ibrahim didakwa atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dia yang diwakili peguam Abdul Rahman Mohd. Hazmi bernasib baik setelah pendakwaan mengemukakan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menggantikan pertuduhan asal.
Menurut laporan akhbar, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum mayatnya ditemui ditanam di belakang rumah tertuduh di Kampung Sadong Jaya, Samarahan.
Mangsa meninggal dunia selepas dipercayai dipukul di kepala dengan sebatang kayu selepas tertuduh naik angin apabila mangsa mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Rahim Hassan, 43 ketika ditemui berkata, dia dan keluarganya tidak dapat memaafkan perbuatan mangsa yang disifatkan tidak berhati perut dan perlu dikenakan hukuman lebih berat.


'via Blog this'

Abang 'Datuk Kabi' dipenjara 3 tahun

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


KUALA LUMPUR 20 April - Abang kepada lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi', C. Yoganandha Moorthy dihukum penjara tiga tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan menipu membabitkan cek bernilai RM26,000, lapan tahun lalu.
Hakim Che Mohamad Zulkifli Jusoh memutuskan demikian setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Yoganandha Moorthy, 39, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menipu Atan Wan Ismail, 62, dan Siow Thiam Huat, 54, dengan memperdayakan kedua-dua mangsa bahawa dia telah menjelaskan bayaran penuh ke atas akaun sewa beli kereta menggunakan cek bernilai RM26,000.
Perbuatan itu telah mendorong Atan menyerahkan sebuah kereta Proton Waja kepada tertuduh, sementara Thiam Huat pula menyerahkan dua keping cek bernilai RM24,084.45 dan RM3,000 sebagai bayaran perbezaan baki harga kereta yang masih terhutang.
Perbuatan itu dilakukannya di hadapan stesen minyak Greenwood, Sentul di sini pada pukul 3 petang, 29 November 2004 dan di Cirlular Auto Enterprise, Jalan Ampang pada pukul 1.30 petang hari yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.
Che Mohamad Zulkifli menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan sebatan sekali bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.

'via Blog this'

Serang peserta: Jangan buat dakwaan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 20 April - Masyarakat diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian serangan sekumpulan lelaki tidak dikenali terhadap kira-kira 30 individu yang berkhemah di Dataran Merdeka di sini semalam tanpa mengetahui kejadian sebenar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, mereka perlu menilai sendiri tindakan polis yang sememangnya dipertanggungjawab menangani kejadian seperti itu.
Katanya, siasatan berkaitan kes itu kini ditangani mengikut prosedur oleh Polis Kuala Lumpur
"Ia berjalan mengikut prosedur. Ada laporan polis dibuat berhubung insiden (serangan) itu dan Ketua Polis Kuala Lumpur juga telah membuat kenyataan.
"Jadi, saya tiada apa hendak tambah," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kembara Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2012 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam, terdapat dakwaan yang mengatakan kononnya polis lambat bertindak apabila hampir 30 lelaki tiba-tiba muncul dan cuba mengasari peserta yang mengadakan demonstrasi memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan cara berkhemah di Dataran Merdeka.
Setakat ini, polis masih belum mengetahui motif sebenar kejadian dan seorang lelaki berusia 28 tahun telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian program tersebut, Ismail memberitahu, Kembara PDRM 2012 bukan sekadar riadah kepada anggotanya, namun ia dirangka melibatkan aspek komuniti kepolisan bertujuan merapatkan hubungan polis dan orang awam.
"Di setiap check-point, pelbagai aktiviti yang melibatkan peserta program dan masyarakat setempat telah dirancang.
"Secara tidak langsung ia memberi ruang kepada masyarakat dan polis mengenai isu keselamatan dan keselamatan sosial," katanya.
Kembara PDRM 2012 disertai oleh 659 pegawai dan anggota PDRM meliputi konvoi pacuan empat roda (4X4), motosikal berkuasa tinggi, basikal dan juga konvoi perairan Pasukan Polis Marin dengan jumlah perjalanan keseluruhan sejauh 2,398 kilometer.

'via Blog this'

Simpan gambar terkini anak-anak

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


BENTONG 20 April - Ibu bapa diingatkan supaya menyimpan gambar terbaru anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah bagi mengelak sebarang kesulitan sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini antaranya kes culik.
Gambar terbaru itu perlu bagi memudahkan kanak-kanak terbabit dikesan pihak berkuasa dan orang ramai jika berlaku jenayah atau kes-kes kehilangan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zininberkata, kes melibatkan kanak-kanak banyak menimbulkan kesukaran kepada polis apabila ibu bapa mangsa sendiri tidak menyimpan gambar terbaru anak mereka.
Katanya, gambar anak mereka yang diberikan kepada polis kebanyakannya tidak berkualiti tinggi atau gambar lama sehingga sukar untuk dicam oleh orang ramai.
"Justeru, polis menggalakkan ibu bapa sentiasa menyimpan gambar terbaru anak mereka untuk memudahkan urusan apabila terjadinya perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita di Janda Baik ketika menyertai program Kembara Polis Diraja Malaysia 2012, di sini hari ini.
Pada program itu, polis turut mempromosikan kempen NurAlert dengan kerjasama RHB Bank bagi mencetak seberapa banyak gambar kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah untuk dijadikan simpanan ibu bapa mereka.
"Gambar ini akan diletakkan dalam satu kad khas yang mengandungi pelbagai maklumat kanak-kanak itu termasuklah tanda lahir di badan.
"Kita akan berusaha mengambil seberapa banyak gambar kanak-kanak khususnya di kawasan pendalaman dan menggalakkan pihak sekolah untuk turut menyimpan gambar murid masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Bakri memberitahu, kes kehilangan remaja dan kanak-kanak dikesan meningkat saban tahun.
"Jika dilihat secara menyeluruh, kes sebegini amat membimbangkan, namun kebanyakan kehilangan terjadi dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 18 tahun," katanya.

'via Blog this'

Pemuda mati digilis treler

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


REMBAU 20 April - Hasrat seorang pemuda untuk pulang ke kampungnya di Jeram, Selangor tidak kesampaian apabila dia maut selepas digilis sebuah treler di Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, tengah malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Razif Abdullah Sani, 24, yang menunggang sebuah motosikal meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke kampungnya di Jeram, Selangor.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai terbabas menyebabkannya terjatuh di atas jalan raya lalu digilis treler itu yang membawa muatan sabun.
"Pemandu treler yang berusia 30-an mendakwa, dia melihat mangsa bersama motosikalnya terbaring di laluan kiri lebuh raya berkenaan, namun gagal mengelak lalu menggilis mangsa.
"Motosikal mangsa kemudian diseret treler berkenaan sejauh 60 meter sebelum terbakar," katanya di sini hari ini.
Jelasnya, api itu turut menyebabkan treler berkenaan terbakar dan pihaknya terpaksa meminta bantuan bomba untuk memadamkan kebakaran.

'via Blog this'

Dua terkorban nahas bas-treler

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


Keadaan sebuah bas kilang hampir remuk selepas dirempuh treler dalam kemalangan maut di Kilometer 38.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Kampar, semalam.
KAMPAR 20 April - Dua pekerja kilang wanita terbunuh manakala lapan lagi cedera apabila bas kilang yang mereka naiki dirempuh sebuah treler di Kilometer 38.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, bas tersebut yang sedang menghala ke Teluk Intan, diseret sejauh 30 meter selepas dirempuh treler berkenaan yang datang dari arah bertentangan.
Rempuhan itu menyebabkan ramai penumpang bas tersebut tersepit di celah-celah kerusi.
Rohani Ramli, 38, maut akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan manakala Russiah Mohamad Yusof, 44, yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, disahkan meninggal dunia pukul 10 pagi ini.
Mangsa yang cedera pula ialah Shila Hashim, 25; Suriati, 27; S. Amkala, 25; M. Malini, 22; Elizabeth Selvi, 39; T. Chandravathi, 22; Norhaliza Mohd. Nawi, 43, dan Zaiton Busu, 43.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar dan dibenarkan keluar hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, bas tersebut dalam perjalanan untuk menghantar pulang 10 pekerja kilang Unisem, di Simpang Pulai yang tinggal di sekitar daerah Kampar dan Mambang Di Awan.
Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat ke Teluk Intan ketika bas kilang itu sedang membelok sebelum treler dari Kuala Lumpur merempuh sisi kiri bas berkenaan.
"Berdasarkan siasatan awal, pemandu treler yang membawa muatan sarung tangan getah dari arah bertentangan dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh bas berkenaan.
"Akibat rempuhan kuat itu, bas kilang terbabit terseret sejauh 30 meter," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Kampar yang diketuai Ketua Balai, Zainuddin Mat Daud mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.
"Pemandu treler berusia 32 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,'' katanya
Menurutnya, selain menahan pemandu treler terbabit, polis juga meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu agar datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk membantu siasatan.

'via Blog this'

Kumpulan bomoh palsu dicekup

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


SRI AMAN 20 April - Lima suspek termasuk dua wanita ditahan kerana menyamar sebagai bomoh palsu sebelum mencuri barangan kemas bernilai hampir RM40,000 milik sebuah keluarga di Lingga, dekat sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Muhammad berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 70 tahun itu ditahan di Kilometer 6, Jalan Sri Aman-Serian pukul 11.50 malam hari yang sama ketika cuba melarikan diri dengan sebuah Proton Iswara.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta berkenaan, polis berjaya menemui seutas rantai emas, tiga gelang emas, sebentuk kerongsang emas, sepasang anting-anting dan tiga bentuk cincin dipercayai milik mangsa serta beberapa peralatan yang digunakan untuk perubatan tradisional.
"Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, kumpulan penjenayah tersebut datang ke rumah mangsa dan mendakwa mampu mengubat penyakit mereka sekeluarga.
"Sebagai sebahagian daripada ritual perubatan, suspek mengarahkan kesemua barang kemas milik mangsa dibungkus dengan sehelai kain hitam sebelum merendamnya di dalam besen berisi air dan mereka perlu mandi menggunakan air rendaman tersebut.
"Setelah kumpulan bomoh itu meninggalkan kediaman mereka, mangsa membuka bungkusan tersebut dan hanya menemui botol ubat batuk serta beberapa keping syiling manakala semua barang kemas mereka lesap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ekoran itu, katanya, keluarga berkenaan bergegas ke Balai Polis Lingga untuk melaporkan kejadian tersebut dan tindakan pantas polis berjaya mengesan kenderaan suspek tidak jauh dari lokasi kediaman mangsa.
"Kesemua suspek kini ditahan direman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Kita juga akan mendapatkan kerjasama polis di seluruh negeri untuk mengesan kemungkinan pembabitan kumpulan penjenayah tersebut dalam kes penipuan lain," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mungkin menjadi mangsa supaya segera membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

'via Blog this'

Suri rumah maut kemalangan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


Suami mangsa (duduk depan) berdekatan mayat isterinya sambil ditenteramkan oleh rakannya di Jempol, semalam.
JEMPOL 20 April - Hasrat seorang suri rumah untuk membantu suaminya mengambil anak saudara mereka di Felda Lui Timur tidak kesampaian setelah dia maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 34 Jalan Bahau-Kemayan, pagi ini.
Dalam kemalangan pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Azizah Abdullah, 26, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 itu dalam perjalanan dari arah Kemayan menuju ke Lui Timur.
"Berdasarkan siasatan awal. kita mendapati sebuah lori muatan tiga tan dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan masuk ke laluan mangsa.
"Lori itu lalu melanggar mangsa menyebabkannya tercampak di atas jalan sebelum digilis sebuah kereta Proton Iswara dari arah sama. Lori itu kemudian terbabas ke bahu jalan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pemandu kereta berusia 27 tahun itu melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
"Mangsa yang tinggal di Kemayan merupakan seorang suri rumah yang berasal dari Felda Chini, Pahang," katanya lagi.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

'via Blog this'

Kanak-kanak mati lemas

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


TELUK INTAN 20 April - Penantian mendebarkan selama lebih 40 jam seorang ibu, Ainiza Mohd. Ali, 33, untuk menemui semula anaknya yang hilang selepas keluar memancing kelmarin, berakhir dengan kisah duka apabila mayat anaknya ditemui terapung di Sungai Perak hari ini.
Perasaan Ainiza menjadi lebih tidak keruan apabila nasib suaminya, Ramlan Ahmad, 34, yang memancing dengan menaiki bot bersama anaknya itu, sehingga5 kini masih belum diketahui.
Mayat Mohd. Aizat, pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Changkat Petai dekat sini, ditemui pukul 9.50 pagi ini di celah-celah rumput berhampiran Jambatan Sultan Yusuf, kira-kira 200 meter dari tempat bot dua beranak itu dipercayai terbalik.
Ainiza berkata, suami dan anaknya keluar rumah kira-kira pukul 7 pagi Rabu lalu untuk keluar memancing dalam keadaan tergesa-gesa, malah tidak sempat bersarapan bersama.
''Saya masih ingat riak wajah Mohd. Aizat yang begitu gembira kerana kali pertama berpeluang mengikuti ayahnya keluar memancing. Tidak sangka akhirnya jadi begini," katanya sebak ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Menurut Ainiza, dia ada menghubungi Ramlan kira-kira pukul 2 petang kelmarin dan Mohd. Aizat sempat memberitahu dia sedang makan nasi lemak yang dibelikan bapanya.
Bagaimanapun, Ramlan tidak dapat dihubungi lagi selepas itu dan satu laporan polis dibuat mengenai kehilangan mereka
sebelum usaha mencari dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat mulai pukul 10.40 malam.
Ainiza memberitahu, Ramlan yang juga kakitangan sebuah bank di Ipoh, memang seorang kaki pancing udang dan pada malam Selasa lalu, dia ada meluahkan hasrat untuk membawa Mohd. Aizat keluar memancing bersama-sama.
''Seluruh ahli keluarga sedang bersedih, kami hanya berharap agar suami saya selamat, tidak sanggup rasanya hilang kedua-dua mereka sekaligus," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Akmar Hisham Basor ketika ditemui berkata, pihaknya yang memulakan operasi mencari sejak pukul 10.45 malam kelmarin, menemui bot terbalik yang dipercayai dinaiki dua beranak itu berhampiran Jambatan Sultan Yusof.
''Operasi mencari dan menyelamat di teruskan sehingga pagi ini dan kita berjaya menemui mayat Mohd. Aizad. Usaha sedang dilakukan untuk mencari bapa kanak-kanak itu, tetapi setakat petang ini, kita belum menemuinya," katanya.

'via Blog this'

Wanita Jepun mati dibaham beruang terlepas kurungan



TOKYO 21 April - Sekurang-kurangnya dua wanita terbunuh selepas seekor beruang terlepas dari kurungan di sebuah taman di utara jepun hari ini, lapor media tempatan.
Dalam kejadian tersebut, pekerja wanita yang berusia 70 tahun meninggal dunia selepas dibaham binatang buas tersebut, manakala rakannya pula yang berumur 60 tahun ditemui mati selepas beberapa jam hilang.
Taman yang terletak di wilayah Akita itu membela kira-kira 38 ekor beruang, lima yang dilaporkan terlepas dari kandang manakala enam lagi ditembak oleh pemburu di kawasan tersebut. - dpa

'via Blog this'

Syarikat pinjaman berlesen menipu?

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:


KUALA LUMPUR 20 April - Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan modus operandi terbaru syarikat pinjaman berlesen yang cuba memperdayakan peminjam dengan mengenakan kadar faedah terlampau tinggi antara 6 hingga 30 peratus sebulan.
Selain itu, segelintir syarikat pinjaman itu turut dikesan 'mengenakan' mangsa apabila menyimpan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) peminjam sehingga bayaran selesai dan memaksa peminjam menandatangani borang perjanjian yang dikosongkan tanpa menyatakan jumlah ansuran perlu dibayar.
Dianggarkan, sebanyak 20 peratus atau kira-kira lima juta penduduk Malaysia meminjam wang daripada 2,800 syarikat pinjaman berlesen yang beroperasi di seluruh negara.
Angka tersebut diperoleh jika setiap syarikat pinjaman itu mempunyai sekurang-kurangnya 200 peminjam sejak ditubuhkan 10 tahun lalu. Malah berdasarkan rekod, tiada lagi syarikat pinjaman berlesen ini yang mencatatkan kerugian sehingga terpaksa gulung tikar.
Utusan Malaysia difahamkan kewujudan syarikat pinjaman berlesen itu umpama cendawan tumbuh selepas hujan kerana bilangan peminjam sebenarnya tidak pernah direkodkan oleh pihak bertanggungjawab.
Di sekitar Lembah Klang sahaja, lebih 50 peminjam syarikat pinjaman berlesen terpaksa menanggung beban akibat dikenakan kadar faedah yang tinggi antara 6 hingga 30 peratus sebulan setelah mendakwa diperdaya menandatangani dokumen dan baucer kosong sebagai syarat pinjaman.
Perkara itu didedahkan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) yang menerima banyak aduan peminjam yang menjadi mangsa terutama di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.
Menurut Yang Dipertuanya, Samsudin Mohamad Fauzi, syarikat pinjaman berlesen dilihat mengambil kesempatan daripada peminjam yang terlalu terdesak sehingga tidak menyedari kadar faedah yang dikenakan melebihi yang sepatutnya.
"Mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (pindaan 15 April 2011), kadar faedah yang dikenakan terhadap peminjam tanpa cagaran ialah tidak melebihi 18 peratus setahun manakala kadar faedah dengan cagaran pula tidak melebihi 12 peratus setahun.
"Bagaimanapun, lebih 30 kes yang diterima mendapati peminjam dikenakan kadar faedah antara 72 peratus setahun hingga 360 peratus setahun.
"Sebagai contoh, seorang peminjam yang dirakamkan percakapannya dengan pihak syarikat berkenaan mendakwa, dia terpaksa membayar melebihi RM7,000 dalam tempoh tiga tahun bagi pinjaman RM1,500," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Cheras baru-baru ini.
Samsudin memberitahu, pekerja syarikat pinjaman itu biasanya meminta peminjam mengosongkan borang perjanjian Jadual Pertama yang dilampirkan bersama Jadual J dengan alasan mereka terpaksa mengira terlebih dahulu jumlah keseluruhan pinjaman yang perlu dibayar.
Malah katanya, peminjam tidak diberikan salinan perjanjian pinjaman dan resit bayaran sehingga menyebabkan mereka seolah-olah teraniaya apabila kes itu dibawa ke mahkamah.
"Malah, pemberi pinjaman wang berlesen itu dilihat seolah-olah menjalankan kegiatan mereka seperti ah long di sebalik lesen yang dimiliki.
"Mereka turut menuntut kad ATM untuk disimpan sehingga pinjaman dijelaskan sepenuhnya. Jika gagal, mereka akan menggunakan pihak ketiga (pemungut hutang) apabila mangsa enggan atau gagal membayar termasuk datang ke tempat kerja atau rumah peminjam untuk mengugut, memalukan dan mengaibkan mangsa," katanya.

'via Blog this'

Pengawal tak mengaku kebas deposit

myMetro | Pengawal tak mengaku kebas deposit:

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan yang ditahan selepas dipercayai terbabit melesapkan wang deposit RM79,363.95 daripada syarikat tempat dia bertugas kononnya untuk melangsaikan hutang peribadi mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Mohd Rizwan Basir, 25, berasal dari Felda Tenggaroh 1, Mersing dituduh mencuri wang berkenaan di Bank RHB Berhad di alamat 22 & 24, Jalan Bestari 2/2, Taman Nusa Bestari di sini, pada pada jam 2.15 petang, 9 April lalu. Tertuduh berkemeja kelabu dan berseluar panjang kelihatan tenang ketika mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan berkenaan.

Mohd Rizwan yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Majistret, Noor Aisyah Ahmad membenarkan Mohd Rizwan diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 20 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ashraff Mohd Diah.

Pada Rabu lalu, seorang pengawal keselamatan yang terdesak melangsaikan hutang puluhan ribu ringgit nekad melesapkan wang deposit syarikatnya.
Bagaimanapun, hasratnya tidak berhasil apabila dia ditahan bersama tiga rakannya selepas polis menerima laporan.

Pengawal keselamatan itu bersama tiga rakannya ditugaskan mengutip dan memasukkan wang kutipan sebuah syarikat beli- belah ke dalam sebuah bank, di sini, 13 April lalu.
Selepas menyedari wang tidak didepositkan ke dalam bank, syarikat berkenaan membuat laporan polis sebelum satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Tampoi, di sini, pada jam 12 tengah hari, Isnin lalu. Dalam serbuan itu, polis menemui semula wang RM31,000 yang masih belum digunakan pengawal keselamatan terbabit.

'via Blog this'

Cinta sampai mati

myMetro | Cinta sampai mati:

USUNG...anggota polis membawa mayat mangsa untuk dibedah siasat, semalam. Gambar kecil, Chua (kiri) dan Seh, maut.
USUNG...anggota polis membawa mayat mangsa untuk dibedah siasat, semalam. Gambar kecil, Chua (kiri) dan Seh, maut.
TERBAKAR...bilik dua mangsa ditemui rentung.
TERBAKAR...bilik dua mangsa ditemui rentung.
KLANG: Seorang lelaki dan wanita dipercayai pasangan kekasih ditemui rentung dalam bilik di tingkat dua rumah kedai empat tingkat dalam kebakaran di Jalan Hulu Balang 26, Taman Ablelink, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Chua Keh Siong, 40, dan Seh Pei Kim, 34, dipercayai mati akibat lemas berikutan kebakaran yang memusnahkan satu daripada tiga bilik di rumah kedai itu.

Difahamkan pihak forensik bomba menemui satu tong bahan bakar di dalam bilik berkenaan, namun masih menyiasat sama ada bahan itu menjadi punca kebakaran berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Penolong Kanan Penguasa Zulkifli Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 6.14 pagi sebelum dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas dan Kota Raja dikejarkan ke tempat kejadian. Zulkifli berkata, sewaktu tiba di lokasi kejadian, bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memecah pintu utama rumah kedai berkenaan kerana tujuh kunci mangga digunakan untuk mengunci pintu utama.

Katanya, sebaik pintu dapat dipecahkan, bomba menemui mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan rentung di dalam bilik utama rumah berkenaan.

“Mayat Chua dijumpai berhampiran pintu bilik manakala mayat Seh pula ditemui di atas katil.
“Sewaktu bomba tiba, api di dalam bilik berkenaan tidak lagi marak dan ini memudahkan bomba menjalankan operasi memadamkan kebakaran.

“Bomba dapat mengawal keadaan kira-kira 20 minit kemudian dengan bantuan 15 anggota dari Balai Bomba Andalas dan Kota Raja,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Beliau berkata, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba dan mayat kedua-dua mangsa kebakaran itu sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

'via Blog this'

Kereta terjunam

myMetro | Kereta terjunam:

MALANG...pasukan penyelamat mengangkat mayat Aimi Mukhlis (gambar kecil) selepas keretanya terjunam ke dalam sungai.
MALANG...pasukan penyelamat mengangkat mayat Aimi Mukhlis (gambar kecil) selepas keretanya terjunam ke dalam sungai.
KANGAR: “Saya lihat cahaya terang menyala dalam sungai dan apabila menghampiri kawasan tebing, saya ternampak bahagian bumbung kereta terapung, manakala pemandunya cuba menyelamatkan diri sebelum tenggelam.”
Demikian kata Zamri Omar, 42, antara saksi terawal melihat kejadian seorang lelaki, Aimi Mukhlis Taib, 26, lemas selepas kereta Perodua Kancil dinaikinya terjunam ke dalam Sungai Bharu, di sini, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.
Menurut Zamri, dia dan rakan yang kebetulan menunggang motosikal di kawasan berhampiran menjerit memanggil mangsa, sebelum seorang rakan terjun untuk menyelamatkan lelaki itu, namun gagal kerana arus terlalu deras.

Katanya, dia hanya mampu melihat kereta berkenaan terus tenggelam sebelum dihanyutkan arus deras sehingga 50 meter dari tempat dia terjunam.

“Saya lihat mangsa yang terperangkap cuba menyelamatkan diri melalui pintu belakang kereta selepas usahanya untuk keluar melalui tempat duduk pemandu gagal

'via Blog this'

Toyol dara pecah flat

myMetro | Toyol dara pecah flat:

SUBANG JAYA: Dia gadis sunti yang masih bersekolah, namun cekap melakukan jenayah pecah rumah bersendirian dan disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes di Flat Sri Kayan, di sini, membabitkan kerugian mencecah ribuan ringgit.
Aktiviti remaja berusia 14 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup selepas memecah masuk dan mencuri kelapa di sebuah rumah penduduk flat berkenaan, jam 5 petang kelmarin. 
Menurut sumber, penangkapan suspek yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, sekali gus melegakan penduduk di flat berkenaan yang sebelum ini kebimbangan apabila 10 rumah penduduk di situ dipecah masuk sepanjang enam bulan lalu.

“Suspek yang bergerak sendirian mencuri apa saja barangan milik penduduk dan antara yang dilaporkan hilang termasuk wang, barang kemas, komputer riba dan kamera yang nilai keseluruhannya mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Sumber itu berkata, remaja terbabit memiliki kemahiran membuka tingkap atau pintu rumah yang dikunci selain licik melalui celahan besi tingkap sempit.

'via Blog this'

Lelaki ramah tiba-tiba keluar pisau

myMetro | Lelaki ramah tiba-tiba keluar pisau:

PETALING JAYA: Seorang jurujual pakaian yang menaiki bas dari Subang Perdana menuju ke ibu negara disamun lelaki yang duduk di sebelahnya selepas diugut akan dicederakan dengan pisau.
Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, suspek yang menaiki bas di hentian bas Sungai Way pada mulanya bersikap peramah apabila bersalaman dengan mangsa dan menceritakan kisah hidup yang menyedihkan.

Menurut sumber, mangsa lelaki yang berusia 18 tahun itu kemudiannya terkejut apabila suspek tiba-tiba mengeluarkan pisau dan mengacu senjata itu ke pinggangnya serta mengarahkannya supaya jangan menjerit jika tidak mahu dicederakan.
“Bimbang ditikam, mangsa yang ketakutan hanya mendiamkan diri dan suspek meminta mangsa menyerahkan dompet berisi kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM), wang tunai RM80 serta jam tangan.

“Kejadian itu tidak disedari penumpang lain kerana mangsa tak berani meminta bantuan. Selepas memperoleh habuan, suspek turun di Kerinchi dan segera menghilangkan diri,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian memaklumkan kejadian samun itu kepada pemandu bas sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Way.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

'via Blog this'

Mati dibelasah

myMetro | Mati dibelasah: "KOTA TINGGI: “Masih terngiang-ngiang lagi janjinya untuk membantu keluarga, tapi itu semua tinggal kenangan,” kata Jalil Jusoh, 55, selepas anaknya Syaiffudin, 26, meninggal dunia akibat dibelasah pada hari pertama dia sepatutnya mendaftar untuk bekerja di sini, semalam.

Syaiffudin, yang lebih mesra dipanggil Din ditemui tidak sedarkan diri pada jam 8.40 malam kelmarin, di Dewan Serbaguna Kampung Makam, dipercayai menjadi mangsa belasahan sekumpulan individu.
Din dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru namun dia disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi, semalam.

Menurut Jalil, Din anak sulung daripada empat beradik sepatutnya mendaftar bekerja di sebuah syarikat di Johor Bahru sebagai pembantu teknikal, semalam.


“Din baru menamatkan pengajian di Pusat Giat Mara Pengkalan Batu, Mersing, beberapa bulan lalu dan begitu bersemangat untuk bekerja malah turut berjanji akan menyara persekolahan adiknya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT."

'via Blog this'

Minta RM500, rampas van

myMetro | Minta RM500, rampas van: "KAJANG: Keengganan membayar wang perlindungan sebanyak RM500, seorang pemandu van cedera dibelasah selain diugut kenderaannya dibakar ketika dia menghantar barang di sebuah kilang di Semenyih, dekat sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, dua lelaki berusia 30-an yang iri hati beranggapan mangsa, 32, ingin ‘merampas’ kawasan mereka yang turut menjalankan khidmat mengangkut barang tekstil.


Akibatnya, mereka bertindak nekad mengacau mangsa sejak empat minggu lalu apabila merampas van dan meminta perlindungan RM500 jika ingin meneruskan pekerjaannya.

Menurut sumber, mangsa pernah menyerahkan wang diminta menyebabkan dia enggan membuat bayaran kali kedua apabila suspek memintanya sekali lagi pada Rabu lalu. “Akibatnya, mangsa dibelasah dengan topi keledar dan ditumbuk bertubi-tubi dan diugut kenderaannya akan dibakar. Selepas hampir 10 minit dibelasah, suspek beredar dan mangsa yang cedera di kepala, muka dan badan mendapatkan rawatan di klinik sebelum membuat laporan polis,” katanya.


Difahamkan seorang daripada suspek ditahan di Hulu Selangor beberapa jam selepas mangsa membuat laporan sebelum dia dihantar semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan selanjutnya."

'via Blog this'

Tahan sakit 30 minit tersepit dalam lori

myMetro | Tahan sakit 30 minit tersepit dalam lori:

BANTU...anggota bomba membantu Mohd Hanif yang tersepit dalam lori.
BANTU...anggota bomba membantu Mohd Hanif yang tersepit dalam lori.
KEPALA BATAS: Seorang pemandu lori ais menahan sakit 30 minit akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Permatang Buloh, dekat sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 3.15 petang, pemandu lori ais terbabit, Mohd Hanif Mokhtar, 30-an, penumpang kereta Perodua Kelisa, Siti Aishah Hamid, 40-an, parah, manakala penunggang motosikal cedera ringan. Sebelum kejadian, Mohd Hanif dalam perjalanan menghala Sungai Dua sebelum merempuh lori Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang membelok ke kanan dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, pemandu lori terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh Perodua Kelisa yang dalam perjalanan ke pekan ini.
Pada masa sama, sebuah motosikal Honda EX5 yang juga dalam perjalanan ke pekan ini tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta berkenaan, namun penunggangnya cedera ringan.

Pemandu Perodua Kelisa, Abdul Halim Nazri, 24, berkata dia bersama ibunya menuju rumah di Taman Haji Abdullah Fahim, dekat sini.

“Ketika tiba di tempat kejadian, saya nampak lori LPP memberi isyarat mahu membelok ke kanan, namun tiba-tiba sebuah lori ais merempuh lori berkenaan dari arah belakang menyebabkan kenderaan itu bergerak lalu merempuh kereta kami.
“Berikutan itu, ibu saya yang duduk di tempat duduk depan cedera di bahu kanan akibat terhentak papan pemuka.

“Pada masa sama, sebuah motosikal dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta kami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Sementara itu, Penyelia Operasi Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Adnan Hashim berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu lori ais yang tersepit, manakala penumpang Perodua Kelisa yang cedera dikeluarkan kakitangan Hospital Kepala Batas (HKB).

'via Blog this'

Wartawan ditikam, tembak

Berita Harian Online | Wartawan ditikam, tembak: "ALMATY(Kazakhstan): Seorang wartawan yang bertugas di sebelah barat Kazakhstan ditikam dan ditembak dalam serangan yang disifatkan rakan sekerja sebagai berpunca daripada laporannya.

Jurugambar di akhbar Uralskaya Nedelya, Raul Uporov, semalam berkata beberapa saksi melihat lima orang menyerang Lukpan Akhmedyarov di luar rumahnya lewat malam.
Uporov berkata, Akhmedyarov menjalani pembedahan selama tiga jam untuk merawat sekurang-kurang lapan luka di seluruh badannya dan keadaannya stabil. – AFP"

'via Blog this'

127 maut pesawat terhempas

Berita Harian Online | 127 maut pesawat terhempas:

ANGGOTA penyelamat Pakistan dibantu penduduk memeriksa lokasi pesawat Bhoja Airline yang terhempas, semalam.
ANGGOTA penyelamat Pakistan dibantu penduduk memeriksa lokasi pesawat Bhoja Airline yang terhempas, semalam.
Nahas penerbangan Bhoja Airline ketika cuaca buruk dekat Islamabad

ISLAMABAD: Pesawat penumpang Boeing 737-200 milik Bhoja Airline terhempas ketika cuaca buruk dekat markas tentera udara Chaklala tidak jauh dari ibu negara, Islamabad, menyebabkan 127 orang terbunuh.
Kawasan kemalangan juga beberapa kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto, kata Menteri Pertahanan, Chaudhry Ahmed Mukhar yang mengesahkan peluang tipis untuk penumpang terselamat.
Kebakaran berlaku selepas pesawat terhempas. Api marak dan pesawat itu musnah sama sekali. Kami datang dengan anggota bomba dilengkapi lampu suluh dan lebih ramai anggota penyelamat dalam perjalanan ke tempat kejadian. - Saifur Rehman, Pegawai unit menyelamat polis,
Laporan lain menyatakan 131 maut manakala satu lagi menyatakan 122 terbunuh dalam nahas udara kali ini.

Hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan sekitar ibu negara ketika nahas berlaku pada 6.40 petang waktu tempatan.

Sumber lapangan terbang berkata, pesawat B4-213 Bhoja Airline itu dijadual mendarat di lapangan terbang Islamabad pada 6.50 waktu tempatan tetapi hilang hubungan dengan menara kawalan 10 minit sebelum itu dan terhempas ketika mendekati destinasi.

Pesawat itu dalam perjalanan dari bandar terbesar Karachi ke Islamabad dan ada kemungkinan kapal terbang itu terkena petir menyebabkannya terbakar, kata pegawai. 
Seorang pegawai unit menyelamat polis, Saifur Rehman, berkata pesawat terhempas di perkampungan Hussain Abad, kira-kira tiga kilometer dari lebuh raya utama Islamabad.

“Kebakaran berlaku selepas pesawat terhempas. Api marak dan pesawat itu musnah sama sekali. Kami datang dengan anggota bomba dilengkapi lampu suluh dan lebih ramai anggota penyelamat dalam perjalanan ke tempat kejadian,” kata Saifur.

“Tiada peluang untuk sesiapa selamat. Jika ada yang selamat, itu satu keajaiban. Pesawat itu musnah keseluruhannya,” kata pegawai polis, Fazle Akbar, yang dipetik akhbar Dawn.

Siaran televisyen menunjukkan bangkai pesawat itu termasuk sebahagian enjin dan sayap dekat sebuah bangunan. Anggota penyelamat menggunakan lampu suluh ketika memeriksa tempat kejadian.

Stesen televisyen juga melaporkan bahawa semua hospital sekitar Islamabad dan bandar Rawalpindi diarah bersedia menerima mangsa pada bila-bila masa selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto dilihat menangis dan menjerit ‘dua anak perempuan saya sudah mati’ manakala orang lain mengerumuni papan tanda melihat senarai nama penumpang pesawat terbabit.

Antaranya termasuk Zarina Bibi yang cuba mendapat maklumat sama ada suaminya adalah penumpang Bhoja Airline itu.

“Dia menelefon saya sebelum berlepas dari Karachi tetapi saya tidak tahu sama ada dia naik pesawat itu atau yang lain,” kata Zarina yang hampir menitiskan air mata.

Nahas udara terakhir di Pakistan juga adalah yang paling buruk berlaku pada Julai 2010 apabila sebuah pesawat Airbus A321 milik Airblue terhempas di kawasan berbukit bertentangan Islamabad, menyebabkan 152 orang maut.
Siasatan pihak berkuasa menyalahkan juruterbang kerana mengubah haluan ketika cuaca buruk. – Agensi
'via Blog this'

Gadis dilarikan lelaki tua serah diri kepada polis

Kosmo! Online - Negara:


BALVIN (kiri) menyerah diri di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kelmarin.


KUANTAN – Remaja perempuan, Balvin Kaur, 17, yang dilaporkan hilang dipercayai dilarikan seorang lelaki tua di sini pada 7 April lalu menyerah diri di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, pihaknya telah memaklumkan hal berkenaan kepada keluarga pelajar tingkatan lima itu.
“Balvin dilaporkan sihat dan selamat ketika menyerah diri. Bagaimanapun, lelaki yang dikenali sebagai Ravi yang didakwa melarikan remaja itu masih gagal dikesan.
“Kita sangat berharap Ravi dapat hadir di balai polis berdekatan untuk membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

'via Blog this'

Suri rumah maut dirempuh lori, digilis kereta

Kosmo! Online - Negara:



SUAMI Azizah yang enggan dikenali meratapi kematian wanita itu pada motosikal yang ditunggangnya dalam kemalangan di Kilometer 34, Jalan Bahau-Kemayan, Jempol semalam.


JEMPOL - Seorang lelaki hanya mampu meratap kesedihan apabila melihat isterinya terbunuh dalam keadaan ngeri selepas dirempuh sebuah lori sebelum digilis pula sebuah kereta di Kilometer 34, Jalan Bahau-Kemayan dekat sini semalam.
Dia yang enggan dikenali terus meluru ke arah motosikal yang ditunggang isterinya sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi, mangsa Azizah Abdullah, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 datang dari arah Kemayan menuju ke Felda Lui Timur.

'via Blog this'

Pasangan kekasih mati rentung

Kosmo! Online - Negara:



BULATAN menunjukkan rumah pasangan kekasih yang mati rentung dalam kebakaran di Taman Desa Ablelink, Klang semalam.


KLANG – Sepasang kekasih ditemui mati rentung dalam bilik utama sebuah rumah kedai di tingkat dua bangunan empat tingkat itu di Jalan Hulubalang 26, Taman Desa Ablelink di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.14 pagi, mayat lelaki, Chua Keh Siong, 40, dijumpai atas lantai berdekatan pintu bilik iaitu kira-kira satu meter dari mayat mangsa wanita, Seh Pei Kim, 34.
Pasangan tersebut dipercayai mati selepas terhidu asap berlebihan dalam bilik mereka.
Keh Siong bekerja sebagai jurujual beralamat di Taman Klang Utama di sini manakala Pei Kim yang tidak diketahui pekerjaannya beralamat di Kampung Baru Jenjarom, Jenjarom dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas dan Kota Raja, Zulkiplie Othman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.14 pagi sebelum tiba ke tempat kebakaran 13 minit kemudian dengan dua jentera bomba dan 15 anggota.
Menurut beliau, pasukan bomba yang naik ke rumah mangsa terpaksa memecahkan empat mangga dan pintu jeriji serta pintu untuk memasuki rumah yang disewa pasangan itu.

'via Blog this'