Search This Blog

Thursday, April 19, 2012

Polis serbu tiga premis judi haram, tahan lima orang

myMetro | Polis serbu tiga premis judi haram, tahan lima orang: "GEORGETOWN: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang penjawat awam yang sedang leka berjudi dalam serbuan di tiga premis perjudian siber dalam sebuah pusat beli belah di Jalan Lim Chwee Leong dekat sini malam tadi.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Polis berkata sebanyak 43 unit komputer yang telah diubah suai bernilai hampir RM150,000 turut disita dalam 'Ops Dadu' itu.
"Hasil maklumat awam dan intipan selama beberapa minggu polis dapat mengesan taktik licik pemilik premis yang berselindung di sebalik perniagaan kedai gambar dan ini adalah serbuan pertama membabitkan premis judi yang beroperasi dalam pusat beli belah tahun ini," katanya.

Katanya hasil siasatan awal mendapati premis itu terhad kepada pelanggan yang dikenali sahaja.


Jurucakap itu berkata lima lelaki yang berusia 25 hingga 65 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun. - BERNAMA"

'via Blog this'

Peniaga asing ‘kebal’

myMetro | Peniaga asing ‘kebal’:

SERI KEMBANGAN: Walaupun sudah lima tahun beroperasi tanpa lesen, peniaga gerai makanan warga Myanmar di Apartmen Taman Impian Indah, di sini, masih lagi meneruskan perniagaan di bekas tapak pasar basah di situ.
Mereka boleh dianggap ‘kebal’ kerana masih beroperasi walaupun selepas di saman beberapa kali oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana tidak mempunyai lesen perniagaan.

Timbalan Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Badli Hamat berkata, tindakan mereka menjual makanan dan minuman di situ cukup diragui terutamanya membabitkan aspek kebersihan makanan.
“Tapak itu bekas pasar basah taman perumahan ini. Selepas ia gulung tikar, warga Myanmar mula mengambil alih dengan berniaga di lot parkir di situ dengan membuat sambungan elektrik dari dalam bangunan pasar.

“Kami tidak tahu bagaimana mereka mendapatkan sumber air memandangkan bekalan air sudah dipotong,” katanya kepada Harian Metro (HM), di sini, semalam.

Beliau berkata, peniaga asing itu memulakan operasi seawal jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam. Bagaimanapun, operasi mereka akan berakhir lewat terutama hujung minggu dan ada perlawanan bola sepak kerana mereka turut menyediakan televisyen menggunakan siaran berbayar.
“Keadaan ini mengganggu penduduk apatah lagi ia menjadi pusat tumpuan warga Myanmar yang terdiri daripada 40 peratus jumlah penduduk di sini.

“Malah, tindakan mereka berniaga di situ menyebabkan persaingan kepada peniaga tempatan yang menyewa lot kedai dengan bayaran sehingga RM2,000 sebulan. Ini menyebabkan ada di antara kedai makan yang gulung tikar.
“Kami difahamkan MPKj tidak boleh mengambil tindakan termasuk menangkap mereka kerana tiada tertakluk dalam perundangan. Malah, tapak pasar itu milik pemaju menyebabkan mereka hanya boleh mengenakan saman kerana tiada lesen,” katanya

'via Blog this'

Onar teman laman sosial

myMetro | Onar teman laman sosial:

KUANTAN: Pengaruh dan penggunaan Internet tanpa sempadan yang semakin berleluasa termasuk laman sosial facebook dikesan menjadi punca berlakunya jenayah rogol di kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata medium itu yang sepatutnya menjadi bahan rujukan positif disalahgunakan hingga mengundang perlakuan jenayah dan masalah sosial lain di kalangan pelajar serta remaja.

Katanya, berdasarkan indeks jenayah membabitkan pelajar sekolah, sebanyak 133 kes rogol direkodkan tahun lalu berbanding 222 pada 2010 menunjukkan 40 peratus penurunan.
“Walaupun jenayah rogol di kalangan pelajar sekolah ini menunjukkan penurunan, namun ia tetap membimbangkan.

“Akses kepada Internet dan laman sosial yang terlalu bebas tanpa kawalan sememangnya boleh menjurus kepada perlakuan jenayah dan masalah sosial,” katanya pada sidang media selepas Majlis Dialog Naib Pengerusi MCPF Kebangsaan Bersama Guru-Guru Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri Pahang, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani.
Lee berkata, melalui Internet dan laman sosial berkenaan pelajar terbabit akan berkenalan dengan individu tertentu yang seterusnya membawa kepada temujanji dan pertemuan sehingga ada yang lari dari rumah.

“Dari situ mereka terjerumus ke dalam masalah sosial seperti paparan gambar lucah, cerita seks dan pelbagai lagi yang akan menjurus kepada jenayah rogol,” katanya.
Katanya, semua itu berlaku disebabkan kebebasan tanpa kawalan diberikan ibu bapa kepada anak mereka yang masih di bangku sekolah.

Katanya, ibu bapa atau penjaga sepatutnya perlu memantau dengan tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak mereka untuk melayari Internet serta mengakses laman web negatif yang sememangnya merosakkan pemikiran golongan terbabit.

“Masalah yang timbul ini masih belum ada jalan penyelesaian holistik, semua pihak termasuk ibu bapa perlu mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengawal seterusnya memantau aktiviti sosial golongan pelajar,” katanya.

Lee berkata, selain rogol kes curi motosikal dan pecah rumah membabitkan golongan pelajar sekolah turut membimbangkan dengan masing-masing mencatatkan 579 dan 208 kes tahun lalu.

“Bagaimanapun, statistik perlakuan jenayah di kalangan pelajar sekolah menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 1,512 kes sepanjang tahun lalu atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan indeks jenayah berbanding 1,862 kes pada 2010.

“Bagi Januari hingga Februari tahun ini jumlah kes jenayah membabitkan pelajar adalah sebanyak 233 kes dan bagi tempoh sama tahun lalu sebanyak 240 kes,” katanya.

Menurutnya, bagi menangani perkara itu daripada terus berleluasa, MCPF akan membantu KPJ di sekolah seluruh negara yang kini dianggarkan lebih 5,000 sudah ditubuhkan membabitkan 90 peratus sekolah rendah dan menengah.

“Kita akan membantu mereka (KPJ) dengan memberi garis panduan aktiviti boleh disertai pelajar selain membuat lawatan ke sekolah dengan mengadakan program penerapan nilai murni untuk membentuk generasi muda yang berwibawa seterusnya mencapai sasaran sifar jenayah,” katanya.

'via Blog this'

Lelaki OKU dipenjara tujuh tahun, enam sebatan liwat pakcik, dua adik

myMetro | Lelaki OKU dipenjara tujuh tahun, enam sebatan liwat pakcik, dua adik:

KLANG: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meliwat bapa saudaranya yang juga seorang OKU serta dua adik kandungnya berusia lapan dan 10 tahun, bulan lalu.
Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh yang berusia 22 tahun menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 5 April lalu. 
Lelaki itu, yang berasal dari Sekinchan, Sabak Bernam didakwa meliwat bapa saudaranya yang berumur 41 tahun serta dua adik kandungnya yang berusia lapan dan 10 tahun di bilik hadapan sebuah rumah di Sekinchan, antara 10.30 malam dan 11.30 malam pada 23 Mac lalu.

Tertuduh, yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan seorang yang lembam memanggil bapa saudaranya masuk ke dalam bilik itu di mana kedua-dua adik lelakinya turut berada di dalam bilik sama.

Tertuduh kemudian meliwat kedua-dua adiknya sehingga mereka menangis sambil disaksikan bapa saudaranya.

Tertuduh kemudian meminta bapa saudaranya untuk membuka seluar dan baju serta meniarap sebelum bertindak meliwatnya di hadapan kedua-dua adiknya pula.

Tertuduh turut berpesan kepada mereka supaya tidak memberitahu ibunya mengenai kejadian itu.

Kedua-dua adiknya kemudian mengadu kepada ibu mereka mengenai perbuatan tertuduh dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menjalani pemeriksaan.

Ekoran itu, tertuduh ditangkap pada 5 April lepas dan siasatan mendapati dia adalah seorang OKU yang disahkan oleh pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sabak Bernam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh sangat serius kerana ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

"Tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan ketiga-tiga mangsa memandangkan dua mangsa adalah adiknya manakala bapa saudaranya adalah seorang lembam," katanya. - Bernama

'via Blog this'

Pengawal keselamatan bank ditahan kerana lepaskan tembakan

myMetro | Pengawal keselamatan bank ditahan kerana lepaskan tembakan: "GEORGE TOWN: Polis menahan seorang pengawal keselamatan kerana melepaskan satu das tembakan secara cuai di sebuah bank dekat Bandar Baru, Air Itam, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian jam 7.30 malam, lelaki berusia 56 tahun itu secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan dalam menggunakan senapang patah jenis 'Benelli Nova'.
"Mujur tembakan itu hanya mengena pintu kayu kerana semasa kejadian terdapat tiga pekerja bank di dalam premis itu," katanya pada pemberita sempena Program Polis Bersama Pelanggan di Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam. - Bernama"

'via Blog this'

Mangsa kereta meletup meninggal dunia

myMetro | Mangsa kereta meletup meninggal dunia:

BUKIT MERTAJAM: Pemilik kilang menghasilkan kepingan besi parah apabila keretanya meletup dan terbakar dalam kejadian di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, Jumaat lalu meninggal dunia pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah mengesahkan mangsa yang koma sejak kejadian letupan dan kebakaran itu, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, mayat mangsa dituntut keluarganya untuk disemadikan selepas proses bedah siasat selesai.
“Kami masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu, buat masa ini masih belum dapat disahkan sebab kejadian terbabit,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, Lee Chong Beng, 52, parah apabila kereta Nissan X-Trail yang dinaikinya meletup dan terbakar di seberang jalan di hadapan rumahnya.

Mangsa yang juga bapa kepada empat anak itu berjaya ditarik keluar oleh jirannya yang kebetulan melihat kejadian itu.
Lee yang melecur hampir 60 peratus badan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dengan ambulans sebelum dirujuk ke HPP.

Dalam kejadian itu, mangsa baru masuk ke dalam kenderaannya untuk ke kilangnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Perai.

'via Blog this'

Melambung angkat kon

myMetro | Melambung angkat kon: "ALOR GAJAH: “Saya berlari mendapatkan rakan yang sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di tepi longkang manakala seorang lagi rakan, terbaring di tepi jalan mengerang kesakitan,” kata saksi kemalangan yang mengorbankan tiga orang di Kilometer 199.0, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke selatan dekat sini, petang semalam.

Muhammad Efendi Osman, 30-an, berkata apabila mendapati rakannya, Muhammad Azizul Safian Suri, 28, sudah tidak bergerak, dia bergegas ke arah seorang lagi rakan sekerjanya, Ishak Mohamad, 56, yang meraung kesakitan di tepi lori sebelum menghubungi pasukan penyelamat.
Ketiga-tiga mereka baru selesai membaiki sebuah lori milik Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang rosak apabila kemalangan itu berlaku.

Menurut Efendi, kejadian berlaku ketika dia bersama Muhammad Azizul dan Ishak berada di belakang lori MPJ mengangkat kon selepas selesai membaiki kenderaan itu, kira-kira jam 3 petang.


“Ketika kejadian, saya bersama Muhammad Azizul dan Ishak berada di belakang lori mengangkat kon selepas selesai membaiki kenderaan itu yang rosak di tepi lebuh raya"

'via Blog this'

Kebas 1 karung duit

myMetro | Kebas 1 karung duit:

JOHOR BAHRU: Empat pengawal keselamatan melesapkan wang berjumlah RM79,363.95 yang sepatutnya dimasukkan ke dalam bank, namun hanya sempat membelanjakan sebahagian daripadanya sebelum mereka dicekup polis.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, empat pengawal keselamatan itu ditugaskan mengutip dan memasukkan wang kutipan syarikat beli-belah ke dalam bank di sini, 13 April lalu.

Menurutnya, selepas menyedari wang itu tidak didepositkan ke dalam bank seperti diarahkan, syarikat berkenaan membuat laporan polis sebelum sebuah serbuan dilakukan di rumah di Tampoi di sini,jam 12 tengah hari, Isnin lalu. “Dalam serbuan itu, polis menemui semula RM31,000 yang belum digunakan pengawal keselamatan terbabit. Keempat-empat mereka yang berusia 22 hingga 27 tahun ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pengawal keselamatan terbabit membawa lima karung wang yang dikutip daripada beberapa syarikat namun satu daripada bungkusan itu tidak didepositkan ke dalam bank.

Noor Hashim berkata, polis kini masih menyiasat sama ada tiga rakan suspek yang ditugaskan mengutip wang pada hari kejadian turut terbabit atau tidak dalam kejadian itu. “Ujian air kencing mendapati suspek utama kes ini yang pernah bertugas sebagai juruteknik sebelum menjadi pengawal keselamatan positif dadah jenis kanabis.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan sebahagian wang yang dilarikan itu membayar hutang individu dan menyorok baki wang di dalam rumahnya,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Semua suspek direman sehingga 20 April ini termasuk tiga pengawal keselamatan yang bersama suspek pada hari kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

'via Blog this'

Tendang pintu selamat nenek

myMetro | Tendang pintu selamat nenek:

JASIN: “Saya tendang pintu kerana nampak nenek terbaring di dapur dan menyangka dia pengsan kerana terhidu asap,” kata Azrul Rahmat, 33, yang nekad menyelamatkan neneknya daripada rentung ketika rumah wanita itu di Kampung Hulu, Batang Melaka, di sini, terbakar petang kelmarin.
Menurutnya, dia masuk ke dalam rumah yang terbakar dan mendukung neneknya, Zaharah Wahab, 85, keluar dari rumah.

Azrul yang juga seorang anggota tentera berkata, dia ternampak kepulan asap keluar dari tingkap tengah rumah neneknya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya tidak jauh dari situ selepas membeli kuih di kedai.
“Memang kebetulan mahu singgah ke rumah nenek untuk memberinya kuih apabila melihat asap hitam keluar melalui tingkap.

“Saya terus meluru ke rumah nenek dan nampaknya terbaring berkemungkinan sedang nyenyak tidur lalu saya menjerit sekuat hati memanggilnya “Nenek tersedar namun terpinga-pinga lalu saya tendang pintu dapur dan membawanya keluar,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.10 petang, warga emas terbabit tinggal seorang diri, sedang berbaring di dapur sementara dua cucunya, Shahrizan Kamaruddin, 15, di sekolah manakala Sabri Kamaruddin, 18, keluar memancing.
Difahamkan, kebakaran memusnahkan semua dokumen penting termasuk kelengkapan rumah papan dua bilik di bahagian atas yang dibina lebih 50 tahun lalu dengan kerugian dianggarkan lebih RM70,000.

Menurutnya, selepas mengeluarkan neneknya di tempat selamat, dia cuba memadamkan api dengan menggunakan baldi namun gagal dan tiba-tiba berlaku beberapa letupan kecil lalu menghubungi bomba dan penyelamat.
Dua jentera dari balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jasin tiba di tempat kejadian tidak lama selepas dihubungi.

Sementara itu, anak mangsa, Abu Hassan Md Dah, 53, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kampung berkenaan berkata, dia terkejut dengan kejadian itu namun bersyukur ibunya selamat.

“Saya di fahamkan kejadian berpunca dari litar pintas di bahagian tengah rumah dan semua kelengkapan rumah tidak dapat diselamatkan namun kami sekeluarga bersyukur ibu selamat,” katanya

'via Blog this'

Cucu pucat keluar bilik air

myMetro | Cucu pucat keluar bilik air:

PETRA JAYA: “Saya terkejut apabila melihat cucu keluar dari bilik air dalam keadaan pucat dan ketakutan, selepas itu baru saya sedar rumah kami terbakar,” kata Madusiah Abeng, 52, ketika menceritakan detik cemas selepas sebahagian rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Tupong Batu, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Madusiah sedang menidurkan seorang cucunya, Hazelina Alisya Abdul Malek yang berusia sembilan bulan, manakala seorang lagi cucunya, Nur Azmira Aqilah, 2, turut berada di dalam rumah.

Tiba-tiba, katanya, dia melihat seorang lagi cucu lelaki Malique, 5, keluar dari bilik air dengan wajah ketakutan selain kaku apabila didesak memaklumkan punca kelakuan peliknya itu.
“Saya kemudian bergegas ke belakang rumah dan terkejut apabila melihat asap hitam memenuhi kawasan itu, sebelum nekad melarikan ketiga-tiga cucu ke rumah depan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, suaminya, Akip Salleh, 60, yang kebetulan di depan rumah cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, tetapi alat itu tidak berfungsi sebelum menggunakan air bagi memadam api.

Katanya lagi, keadaan api semakin marak menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah beberapa penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan memberikan bantuan.
“Saya hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan cucu walaupun kudrat tidak seberapa, tetapi saya nekad membawa mereka keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.10 tengah hari sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, sebuah jentera bersama 10 anggota tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian, sebelum memadam api daripada merebak ke rumah berdekatan.

“Sebaik tiba, kami mendapati sebahagian besar rumah berkenaan sudah musnah dan mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengawal api daripada merebak.

“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan masih menyiasat punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian dialami keluarga mangsa.” katanya.

'via Blog this'

Cedera turun Genting

myMetro | Cedera turun Genting:

GENTING HIGHLANDS: Seorang lelaki warga Afrika cedera selepas kereta dipandunya gagal mengelak tanah runtuh ketika dia dalam perjalanan turun dari pusat peranginan Genting Highlands, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di Kilometer (KM) 3, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, dan mangsa yang berusia 30-an ketika itu dikatakan memandu sendirian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, mangsa tidak dapat mengawal kereta Toyota Camry dipandunya sebelum terbabas dan merempuh timbunan tanah runtuh di laluan berkenaan.
Menurutnya, lelaki terbabit yang identitinya belum dikenal pasti cedera di kepala dan tangan dihantar ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.30 petang sebelum dua jentera dari Balai Bomba Genting Highlands dan Bentong bersama 19 anggota digegaskan ke tempat kejadian.

“Pemeriksaan mendapati tanah runtuh berlaku disebabkan hujan lebat berterusan sejak tengah hari membabitkan laluan naik dan turun dari pusat peranginan itu. Bagaimanapun ia tidak menjejaskan pergerakan trafik di sekitar kawasan terbabit,” katanya

'via Blog this'

Gempar siling klinik runtuh

myMetro | Gempar siling klinik runtuh:

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat kesihatan komuniti di Jinjang, di sini, gempar apabila siling beberapa bahagian bangunan itu runtuh berikutan hujan lebat petang semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiada kecederaan dilaporkan berikutan tindakan pantas kakitangan klinik mengosongkan bangunan sebaik saja terdengar bunyi bising di bahagian siling itu.

Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Arif, 40, berkata, ketika kejadian, ada kira-kira 10 pesakit menunggu giliran di ruang menunggu klinik berkenaan.
“Tiba-tiba terdengar bunyi sangat bising datang dari bahagian siling seperti sesuatu akan runtuh dan petugas klinik mengarahkan semua yang berada di dalam bangunan keluar.

“Kira-kira 10 minit selepas itu, siling di bahagian menunggu serta dua bilik runtuh berserta dengan air yang sangat banyak mengakibatkan peralatan termasuk ubat-ubatan rosak,” katanya.

Saksi terbabit turut berkata, mujur tiada sesiapa mengalami kecederaan berikutan tindakan pantas kakitangan mengosongkan bangunan.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Rosli Haris ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.20 petang dan tiba di 10 minit kemudian.

“Semasa tiba, kami dapati bangunan telah pun dikosongkan dan terdapat tiga bahagian yang rosak teruk akibat runtuhan berkenaan iaitu ruang menunggu, bilik menyimpan ubat serta satu daripada bilik rawatan.
“Hujan lebat selama beberapa hari ini dipercayai menjadi punca siling berkenaan runtuh selepas tidak lagi mampu menampung air yang bertakung kemungkinan akibat terdapat kebocoran di bahagian bumbung,” katanya.

'via Blog this'

Masuk jerat belakang hotel

myMetro | Masuk jerat belakang hotel: "KOTA BHARU: Dua penjenayah paling dikehendaki di negeri ini akhirnya tumpas selepas terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah hotel bajet di Jalan Sri Cemerlang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, penjenayah terbabit, Elezulhelmie Ilias atau terkenal dengan panggilan Emi Lias dari Bachok dan Ahmad Izzuddin Che Deraman atau Din Billion dari Kota Bharu, kedua-duanya berusia 24 tahun.
Mereka pada mulanya nekad terjun dari bilik hotel melalui tingkap dan seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah anggota polis yang membuat serbuan, sebelum terbunuh selepas terkena tembakan balas anggota polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dua penjenayah itu anggota Geng Buyung dan memiliki lapan rekod jenayah berat termasuk cubaan bunuh, samun senjata, culik dan melakukan pemerasan jenayah.


Katanya, serbuan dilakukan di hotel berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam."

'via Blog this'

Pekerja kilang maut

myMetro | Pekerja kilang maut: "SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja maut ketika melintas jalan dalam satu kejadian langgar lari di Seksyen 15 menuju ke arah bulatan Sejahtera, di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Santosh Chemjong, 24, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya.


Mangsa, warga Nepal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Azizul Zahari berkata, setibanya di bulatan, mangsa bersama tiga rakan hendak melintas jalan apabila datang sebuah motosikal dari arah Seksyen 15 merempuh mangsa."

'via Blog this'

Suami ke masjid mati nahas

myMetro | Suami ke masjid mati nahas: "POKOK SENA: “Arwah tidak menunjukkan kelakuan pelik ketika hendak keluar rumah memandangkan setiap kali masuk waktu solat, dia berjemaah di masjid berhampiran menunggang motosikalnya,” kata Saisah Jiran, 50, isteri Che Mat Rejab, 68, yang maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Batu 9, Jabi menghala Pokok Sena, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang, mangsa yang juga penoreh getah memakai baju Melayu biru dan berkain pelekat kelabu singgah ke kedai di seberang jalan kampungnya sebelum membuat pusingan U untuk ke masjid.


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala."

'via Blog this'

Muntah darah sebelum maut

myMetro | Muntah darah sebelum maut: "ARAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di selekoh lalu merempuh tembok di bahu jalan itu sebelum terjatuh ke dalam longkang berdekatan lampu isyarat Batas Liku, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, mangsa, Danial Fakiq Zainol, 25, yang berasal dari Kampung Pida 3 Lama, Tambun Tulang, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala.
Saksi, Ahmad Ishamudi Ahmad Elias, 27, berkata ketika kejadian itu, dia berada di kedai motosikal di depan jalan berkenaan.

“Kami beramai-ramai mengangkatnya ke atas jalan dan mangsa yang parah tidak dapat berkata-kata. Kami mengalihkan badannya sebelum dia memuntahkan darah serta sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.


Sementara itu, Pegawai Turus Traffik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Padang Nyu menuju Arau, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala."

'via Blog this'

Ibu dagang zuriat cacat

myMetro | Ibu dagang zuriat cacat:

SHAH ALAM: Seorang bayi cacat anggota berusia lima bulan yang dijual pada harga RM6,000 oleh sindiket jual bayi kepada orang ketiga berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah di Perdana Villa Apartment, Taman Sentosa, Klang, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, kecacatan bayi berkenaan menyebabkan harga ditawarkan rendah oleh sindiket sama yang tumpas 6 April lalu, berbanding harga bayi normal.

Bayi mempunyai dokumen lengkap pengenalan diri itu dapat diselamatkan susulan tangkapan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun di Tanjung Sepat, Banting, pada malam Isnin lalu yang juga ibu kandung bayi terbabit. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, siasatan awal mendapati bayi itu sudah dijual kepada sepasang suami isteri berusia 30-an pada November tahun lalu. Menurutnya, serbuan dilaksanakan selepas mendapat maklumat dan risikan selain hasil soal siasat terhadap suspek. Reman terhadap suspek berakhir Ahad ini.
“Ketika serbuan jam 5.45 petang itu, bayi berkenaan berada dalam sebuah unit kediaman di Perdana Villa Apartment, Taman Sentosa, Klang, bersama ibu dan bapa angkat yang membelinya.

“Siasatan awal setakat ini mendapati sindiket pemerdagangan bayi mengambil kesempatan dengan kesukaran perempuan hamil tidak bersuami untuk meraih keuntungan. “Suspek yang juga ibu bayi diselamatkan dalam serbuan terbaru tidak bekerja dan bayi dijual itu anak teman lelakinya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana suspek boleh terbabit urusan pemerdagangan bayinya yang dipercayai didalangi sindiket sama yang tumpas pada 6 April lalu.
Ditanya berapa banyak suspek terima daripada bayaran RM6,000 untuk urusan jualan bayinya itu, Mohamad berkata, perkara itu juga dalam siasatan.

“Kami percaya sindiket hanya menganggap golongan mempunyai masalah peribadi seperti mereka ini umpama kilang membuat bayi untuk mengaut keuntungan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

'via Blog this'

Anak setan

myMetro | Anak setan:

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 69 tahun membuat laporan meminta polis menahan anak lelakinya selepas dia gagal mengawal suspek.
Warga emas itu bertindak demikian selepas anak lelakinya berusia 20-an membelasahnya selain memukul wakil penduduk di sebuah flat di Jinjang, di sini, kelmarin hanya kerana mereka menasihatkannya supaya berubah.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek dilaporkan mengamuk dengan memecahkan barangan dalam rumahnya sebelum menyerang bapanya dan wakil penduduk yang menasihatkannya.
Menurut sumber, bapa mangsa yang gagal mengawal anak lelakinya itu meminta wakil penduduk di kawasan perumahan berkenaan menasihatkan suspek dengan harapan nasihat itu didengari suspek.

“Bagaimanapun, tindakan si bapa dan wakil penduduk itu menimbulkan kemarahan suspek sebelum lelaki terbabit memaki-hamun mereka.

“Suspek yang gagal mengawal kemarahan menumbuk dan menyepak bapanya,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek menyerang wakil penduduk berkenaan dengan menampar mangsa beberapa kali sebelum memukulnya.

“Amukan suspek tidak berakhir apabila dia mengamuk di tempat letak kereta kawasan perumahan berkenaan,” katanya.
Difahamkan, suspek memecahkan pasu bunga dan papan kenyataan di kawasan perumahan itu.

Katanya, suspek meninggalkan kawasan itu selepas melihat ramai penduduk menyaksikan kejadian itu.

Sehubungan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang meminta polis menahan anaknya itu kerana gagal mengawalnya selain bimbang suspek mencederakan lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan.

Dalam laporannya, mangsa mengesyaki anak lelakinya mungkin terbabit penagihan dadah hingga gagal mengawalnya.

Difahamkan, mangsa dan wakil penduduk berkenaan dirawat sebagai pesakit luar di sebuah hospital kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

'via Blog this'

Tujuh kereta terperangkap dalam air

myMetro | Tujuh kereta terperangkap dalam air:

ROSAK...Mark (kanan) melihat keretanya yang rosak akibat ditenggelami air, semalam.
ROSAK...Mark (kanan) melihat keretanya yang rosak akibat ditenggelami air, semalam.
KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih satu jam menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara dinaiki air terutama di Segambut Dalam dan Kepong menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kereta terperangkap, semalam.
Kejadian pada jam 5.30 petang itu menyebabkan tujuh kereta terperangkap di Segambut Dalam dibawa keluar dengan menggunakan trak penunda.

Mangsa, Mark Bay, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan tiga anak di tempat kejadian, keadaan jalan sesak sebelum keretanya terperangkap.
Katanya, hanya dalam lima minit kereta Nissan Serena miliknya dinaiki air separas tayar dan enjin mati.

“Keadaan kelam-kabut dan saya membawa keluar isteri bersama tiga anak untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun, tidak sampai lima minit air naik separas stereng.

“Saya hanya melihat kereta tenggelam dalam air dan dibantu orang ramai yang cuba mengeluarkannya sebelum trak penunda tiba,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dia yang tinggal di Mont Kiara berkata, air mengalir deras menyebabkan orang ramai mengalami kesukaran untuk bergerak ke tempat lebih tinggi, bagaimanapun semuanya terselamat.

Seorang lagi mangsa, Hassan Abdullah, 40, berkata air naik dengan cepat hingga menyebabkan pengguna jalan raya tidak sempat menyelamatkan kereta.
“Kami minta pihak berkenaan mengambil tindakan kerana arah aliran air naik dengan cepat ekoran sungai berdekatan seperti tersumbat,” katanya.

'via Blog this'

10 tentera Amerika terbabit

myMetro | 10 tentera Amerika terbabit: "WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 10 tentera Amerika Syarikat mungkin terlibat dalam skandal seks membabitkan ejen Perisikan Amerika Syarikat di Colombia.

Pentagon sebelum ini berkata, lima pegawai tentera terbabit tetapi kini, senarai berkenaan termasuk lima anggota pasukan khas, dua pakar bom tentera laut, dua pengendali anjing dari pasukan marin dan seorang anggota tentera udara.


Tentera Amerika menjalankan siasatan berasingan mengenai skandal itu yang berlaku sebelum Presiden Barack Obama tiba di Colombia untuk menghadiri sidang kemuncak pemimpin Pertubuhan Negara Amerika baru-baru ini. - AFP"

'via Blog this'

Polis serah fail 11 suspek kes penggodaman telefon

myMetro | Polis serah fail 11 suspek kes penggodaman telefon:

LONDON: Polis Britain yang menyiasat kes penggodaman telefon syarikat akhbar milik Rupert Murdoch memberi pendakwa raya fail 11 suspek selepas siasatan yang memakan masa lebih setahun berakhir, kata ketua pendakwa raya, semalam.
Empat wartawan, seorang pegawai polis dan enam lagi individu yang tersenarai dalam fail itu kini disemak oleh Perkhidmatan Pendakwa Raya Agung untuk dakwaan, kata Pengarah Pendakwa Raya Awam, Keir Starmer. “Kami sekarang memasuki tahap di mana kami ingin membuat keputusan sama ada untuk mendakwa suspek atau sebaliknya,” katanya.

Kesalahan itu, termasuk salah laku di pejabat awam, melanggar akta perlindungan Britain, memutarbelitkan sistem keadilan, mengancam saksi dan melanggar akta kawalan kuasa penyiasatan.
Pendedahan syarikat akhbar Murdoch, News of the World mengakses secara haram peti pesanan suara pelajar sekolah yang dibunuh, selain puluhan selebriti, ahli politik dan mangsa jenayah memaksanya menutup akhbar tabloid mingguan itu Julai tahun lalu.

Starmer berkata sejumlah 43 orang yang ditahan dalam operasi siasatan penggodaman telefon Scotland Yard, bayaran haram kepada pegawai polis dan kesalahan lain di News of the World masih di bawah ikat jamin. Mereta termasuk bekas jurucakap Perdana Menteri David Cameron, Andy Coulson, bekas pengarang News of the World, Rebekah Brooks dan suaminya seorang pelatih kuda lumba, Charlie Brooks. - AFP

'via Blog this'

Ejen langgan 20 pelacur

myMetro | Ejen langgan 20 pelacur:

WASHINGTON: Skandal pelacuran membabitkan ejen Perkhidmatan Perisikan Amerika Syarikat semakin panas dengan pendedahan ejen dan tentera negara itu berada bersama-sama sekurang-kurangnya 20 pelacur dalam kamar hotel sebelum ketibaan Presiden Barack Obama untuk menghadiri sidang kemucak dengan pemimpin Amerika Latin di Colombia.
Pengarah Perkhidmatan Perisikan, Mark Sullivan yang berdepan dengan soalan perwakilan di Capitol Hill mengenai sama ada kejadian itu boleh menjejaskan keselamatan presiden berkata, beliau sudah merujuk perkara itu kepada penyiasat bebas kerajaan.

Menurutnya, 11 ejen perisikan dan 10 anggota tentera yang disoalsiasat memberi cerita berbeza mengenai wanita berkenaan.
Beliau mengerah lebih ramai penyiasat ke Colombia untuk menyoal siasat wanita berkenaan, kata anggota Dewan dari Republikan, Peter King yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri.

“Sebahagian mereka mengaku wanita itu pelacur. Yang lain berkata mereka hanya wanita yang ditemui di bar hotel,” kata King dalam wawancara menerusi telefon.

“Tidak seorangpun di kalangan pelacur itu, yang terpaksa menyerah kad pengenalan mereka di hotel, adalah bawah umur.
“Tetapi, sama ada pelacur atau bukan, untuk membawa masuk warga asing ke kawasan keselamatan adalah satu masalah.

Senator Susan Collin, anggota Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan berkata semalam, 20 atau 21 wanita asing dibawa pulang ke hotel berkenaan. “Sebelas daripada pegawai Amerika yang terbabit ialah anggota Perkhidmatan Perisikan dan bakinya anggota Marin,” katanya.
Menurut King, agensi itu benar-benar bernasib baik.

“Jika wanita itu bekerja untuk pertubuhan pengganas atau kumpulan anti-Amerika yang lain, mereka sudah pasti memperoleh maklumat mengenai kedudukan presiden atau protokol keselamatan ketika berada di bilik ejen berkenaan,” kata King. - AP

'via Blog this'

Pembunuh bersiri ditemui mati tergantung dalam tandas lokap

myMetro | Pembunuh bersiri ditemui mati tergantung dalam tandas lokap:

PRACHUAP KHIRI KHAN: Seorang pemandu lori pikap Thailand yang dituduh melakukan pembunuhan bersiri menggunakan racun tikus ditemui mati tergantung di bilik tahanannya, semalam.
Ketua Polis Klong Wan, Noppadon Thuwangkawat, berkata pegawai bertugas di lokap itu cuba menyelamatkan Chamlong “Nirut” Sonkhamhan, tetapi gagal.

Kata Noppadon, Chamlong kelihatan tertekan dan tidak menunjukkan banyak reaksi ketika disoal siasat malam kelmarin.
“Apabila dihantar ke selnya, dia diletakkan di bawah pengawasan anggota bertugas,” katanya.

Menurut Noppadon, Chamlong masuk ke tandas dalam sel itu kira-kira jam 5.30 pagi dan ditemui mati tergantung tidak lama kemudian.

“Dia menjerut lehernya dengan kain yang diikat pada siling,” katanya.
Polis menahan Chamlong, 43, disyaki membunuh pemandu lori pikap yang disewanya sebelum mencuri kenderaan serta barang berharga milik mangsa.

Lori pikap itu kemudian dijual semula kepada kumpulan penjenayah di Hat Yai.
Pembunuhan itu dipercayai bermula sejak Januari 2011 dan berlanjutan hingga 9 April lalu. Sembilan pemandu lori menjadi sasaran Chamlong dan empat daripadanya maut, manakala tiga lagi terselamat.

Bagaimanapun dua pemandu lagi gagal ditemui. - BP

'via Blog this'

Awasi lelaki penjual batu delima

myMetro | Awasi lelaki penjual batu delima: "BANDAR SERI BEGAWAN: Polis Diraja Brunei menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya melayan kerenah lelaki menawarkan batu delima yang kononnya mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.

Amaran itu dikeluarkan apabila Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan dan Balai Polis Berakas menerima empat laporan mengenai kes penipuan seumpama itu.


Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, polis berkata mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita 50 tahun ke atas.

“Biasanya, dua lelaki akan menegur mangsa dengan seorang daripadanya menawarkan batu delima merah.


“Dia merendam delima berkenaan dan batu itu mengeluarkan cahaya menunjukkan ia mujarab mengubati pelbagai penyakit,” kata polis. Ketika leka melihat “keajaiban” itu, lelaki kedua akan mengambil barang kemas mangsa tanpa disedari. - Media Permata"

'via Blog this'

Ibu ditembak, bayi diculik

myMetro | Ibu ditembak, bayi diculik: "SPRING (Texas): Seorang bayi yang baru dilahirkan diculik daripada ibunya selepas wanita itu ditembak berulang kali di luar sebuah hospital di sini, semalam.

Menurut penyiasat, penembak berkenaan melarikan diri dengan sebuah kereta Lexus.


Syerif di Montgomery County berkata, Kayla Marie Golden, 28, terbunuh dalam kejadian itu.

Kayla dilapor berjalan ke kenderaannya selepas pemeriksaan anaknya, Keegan yang baru berusia tiga hari apabila dia bertengkar dengan seorang wanita yang meletakkan kereta di sebelah kenderaannya, kata syerif, Lt Dan Norris.


Menurut saksi, wanita itu kemudian menembak Kay- la berulang kali sebelum mengambil bayi itu dan melarikan diri, melanggar mangsa yang menjerit “Anak Saya.” Saksi berkata, mereka mendengar kira-kira tujuh das tembakan dilepaskan wanita itu. - AP"

'via Blog this'

Muzium bakar hasil seni kerana bantah pemotongan bajet

myMetro | Muzium bakar hasil seni kerana bantah pemotongan bajet: "CASORIA: Sebuah muzium Itali semalam mula membakar koleks seni kontemporarinya kerana membantah pengurangan mendadak bajet yang menyebabkan banyak institusi kebudayaan terjejas.

Muzium Seni Kontemporari Castoria berdekatan Naples bertindak demikian dengan membakar lukisan artis Perancis, Saverine Bourguignon yang menyokong bantahan berkenaan dan mengikutinya menerusi Skype.


Pengarah muzium, Antonio Manfredi berkata: “Seribu koleksi seni kami kini akan dimusnahkan kerana perbezaan pendapat dengan kerajaan.” Dia merancang membakar tiga hasil seni seminggu dalam usaha yang digelarnya ‘Perang Seni.’ Manfredi tahun lalu mengumumkan, dia menulis surat kepada Canselor Jerman, Angela Merkel, meminta diberikan suaka politik kerana sudah bosan dengan ancaman mafia dan kegagalan kerajaan melindungi kekayaan warisan budaya Itali.

Beliau bercadang membawa seluruh muziumnya jika diberikan suaka itu. - AP"

'via Blog this'

Bebas atau hukum mati

myMetro | Bebas atau hukum mati:

OSLO: Fanatik anti-Islam warga Norway, Anders Behring Breivik, yang membunuh 77 orang dalam dua serangan Julai lalu, memberitahu mahkamah di sini semalam, hanya ada dua keputusan kemungkinan dalam perbicaraannya, dibebaskan atau dihukum mati.
“Hanya ada dua keputusan yang sah dalam kes ini. Dibebaskan atau hukuman mati,” katanya kepada mahkamah.

Dia mengakui kedua-duanya tidak ‘realistik’ kerana dia sudah mengaku melakukan serangan itu dan Nor- way tidak melaksanakan hukuman mati.
Breivik yang berkata sebelum ini, tujuan serangannya ialah untuk mempertahankan etnik Norway daripada apa yang dianggapnya sebagai pencerobohan Islam, juga memberitahu mahkamah semalam, dua sel lain bersedia untuk menyerang Norway.

Apabila disoal oleh pendakwa raya, Inga Bejer Engh sama ada rakyat negara itu perlu bimbang terhadap serangan berkenaan, dia menjawab: “Ya. Saya hanya seorang daripada ramai militan kebangsaan di Norway dan Eropah. “Sekiranya tuntutan kami tidak dipenuhi, serangan itu akan berlaku,” katanya mertujuk kepada Parti Buruh yang memerintah supaya menamatkan dasar mesra pendatang.

Dalam keterangannya sebelum itu, dia mengadu menjadi sasaran cemuhan di mahkamah.
Dia juga menuntut supaya tindakannya membunuh 77 orang tahun lalu dianggap sebagai peperangan menentan imigrasi.

“Saya berharap anda memberi tumpuan kepada isu, bukan orang,” kata Breivik, 33, kepada mahkamah. - Agensi

'via Blog this'

Jual bayi di bar

myMetro | Jual bayi di bar:

BERKAS...suspek yang ditahan, semalam.
BERKAS...suspek yang ditahan, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan diselamatkan polis ketika dalam proses untuk dijual dengan harga RM4,000 oleh seorang lelaki Myanmar kepada seorang wanita tempatan di sebuah bar di Jalan Hang Kasturi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, polis menahan lelaki Myanmar terbabit yang berusia 30-an untuk siasatan lanjut.
Sumber polis berkata, sebelum serbuan ke bar itu dilakukan, polis mendapat maklumat daripada seorang lelaki tempatan yang menerima tawaran untuk membeli bayi berusia empat bulan daripada lelaki Myanmar terbabit.

Menurutnya, sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melakukan serbuan ke bar yang dikenal pasti pada waktu ‘urus niaga’ dirancang iaitu pada jam 4.30 petang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, polis menemui seorang lelaki Myanmar mendukung seorang bayi lelaki berusia empat bulan dan berunding dengan seorang wanita tempatan.

'via Blog this'

Tahan sakit 30 minit

myMetro | Tahan sakit 30 minit:

SAKIT...Huzaini (kiri) dan Rosnita melihat kecederaan tangan anak mereka.
SAKIT...Huzaini (kiri) dan Rosnita melihat kecederaan tangan anak mereka.
RAUNG...gelagat Mohd Asyraf  menahan kesakitan.
RAUNG...gelagat Mohd Asyraf menahan kesakitan.
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun hanya mampu menangis dan menahan sakit selama setengah jam selepas tangan kanannya tersepit di dalam mesin permainan di sebuah kedai runcit di Kedai Mulong, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Asyraf Mohd Huzaini dari Kampung Batu Lapan, Kadok, dekat sini, yang berkunjung ke kedai runcit itu bersama bapanya, Huzaini Yahya, 32, pada mulanya memasukkan syiling ke dalam sebuah mesin permainan, tetapi barang permainan tidak keluar menyebabkan dia memasukkan tangan kanannya di lubang mesin permainan itu.
Bagaimanapun, cubaannya mengeluarkan semula tangan gagal sehingga terpaksa ditenangkan ibunya, Rosnita Wahab, 28, dan dibantu anggota bomba.

Huzaini berkata, dia terkejut mendengar anaknya menangis ketika berada di kaunter pembayaran.

Katanya, sebelum kejadian, dia memberikan anaknya syiling 50 sen selepas diminta kanak-kanak itu.

'via Blog this'

Diseksa kekasih warga Nigeria

myMetro | Diseksa kekasih warga Nigeria:

SUBANG JAYA: Hanya kerana silap memasukkan kad mesin juruwang automatik (ATM) sehingga kad itu disekat, seorang wanita mendakwa diseksa teman lelakinya yang berasal dari Nigeria selama lebih 24 jam di sebuah kondominium di USJ 1, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Isnin lalu, mangsa yang juga pelajar kolej swasta berusia 25 tahun mendakwa kepalanya dihantuk ke dinding, badannya dihempas ke sinki dan mukanya dicucuh dengan rokok oleh teman lelakinya yang berusia 26 tahun.
Sumber berkata, kejadian berlaku sejurus mangsa pulang dari tempat kerja sambilannya apabila dia tiba-tiba diserang suspek yang menunggunya di dalam rumah.

Menurutnya, pada mulanya mangsa dipukul menggunakan botol plastik sebelum kepala wanita malang itu dihantuk ke dinding beberapa kali.

“Selepas puas menghantukkan kepala mangsa, suspek kemudian mengangkat wanita terbabit sebelum menghempasnya ke atas sinki bilik air dan perbuatan kejam itu berterusan sehingga kira-kira tiga jam.

'via Blog this'