Search This Blog

Monday, April 16, 2012

Ibu rebah dihentak anak

CHUKAI: Seorang wanita berusia 59 tahun hanya mampu mengerang kesakitan apabila dibelasah anak lelakinya dengan besen berulang kali sambil merayu kepada lelaki itu menghentikan perbuatan terbabit dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Paya Berenjut, di sini, tengah hari kelmarin.

Tindakan biadab dan tidak berperikemanusiaan lelaki berusia 30 tahun yang bagaikan dirasuk itu apabila hajatnya mendapatkan wang daripada ibunya tidak dilayan wanita berkenaan.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, wanita yang berusia 59 tahun sedang berehat di ruang tamu selepas keletihan memasak makanan tengah hari untuk keluarga.

Katanya, ketika berehat, mangsa dikejutkan dengan kehadiran anak lelakinya yang masih bujang itu.



Lelaki itu tiba-tiba meminta ibunya memberi wang untuk berbelanja.

Pasar berdarah

SEDIH...anggota keluarga tidak dapat menahan sebak sebaik melihat anggota polis membawa jenazah Noor Fathanah (gambar kecil), semalam.
SEDIH...anggota keluarga tidak dapat menahan sebak sebaik melihat anggota polis membawa jenazah Noor Fathanah (gambar kecil), semalam.
GOMBAK: “Dalam keadaan berlumuran darah, saya terus memangkunya sebelum berlari kira-kira 150 meter ke klinik berhampiran, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” kata Misnawi Mohd, 55, bapa kepada seorang remaja perempuan yang maut ditikam seorang lelaki di pasar malam Kampung Wira Damai, Batu Caves, dekat sini, malam kelmarin.
Menurutnya, ketika memeriksa nadi anaknya, Noor Fathanah, 13, doktor memberitahu peluang untuknya hidup tipis.
“Tidak lama kemudian, doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia menyebabkan lutut menggeletar dan badan terus lemah bagaikan mahu pengsan.

“Apapun, saya terima kejadian ini sebagai takdir, tambahan sebelum kejadian, tiada perubahan pelik ditunjukkan arwah yang juga anak bongsu daripada empat beradik,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Selayang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, dekat sini bersama kakaknya, Noor Fadilah, 15, serta seorang lagi rakan yang sedang membeli air, parah ditikam suspek dipercayai warga Indonesia yang ketika itu sedang mengejar seorang lelaki rakan senegaranya.

Azimat gila kuasa

KHURAFAT...Sharhan menunjukkan cebisan kiswah yang didakwa boleh  ‘melariskan’ diri si pemakai.
KHURAFAT...Sharhan menunjukkan cebisan kiswah yang didakwa boleh ‘melariskan’ diri si pemakai.

SUBANG JAYA: Ghairah mendapatkan kedudukan, pengaruh dan kuasa melalui jalan pintas mengakibatkan segelintir ahli politik menggadai akidah melakukan perkara khurafat dengan mempercayai azimat, wafak, cincin serta amalan pembacaan mantera tertentu.
Demi cita-cita politik, mereka yang sebahagian besarnya golongan veteran sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan pelbagai benda pelik kononnya mampu memberi manfaat kepada pemakainya bagi memastikan hajat tercapai.
Antara alat kononnya ajaib yang menjadi buruan ahli politik, terutama ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin dekat ialah cebisan kelambu Kaabah atau kiswah yang didakwa mampu melariskan diri si pemakai, cincin permata ganjil yang dipakai sebelum berceramah bagi membuatkan pendengar terpengaruh dan kulit rusa putih.

Cemara babi juga dicari kononnya membuatkan si pemakai kebal iaitu pihak lawan sukar menjatuhkannya dalam arena politik.


Mendedahkan perkara itu, Pengamal Perubatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie berkata, kebiasaannya benda pelik itu diperoleh daripada bomoh yang menjalankan khidmat mereka tanpa bersandarkan al-Quran.

Ditipu pakej ‘pucuk muda’




         
KUALA LUMPUR: Hanya tiga hari diperlukan seorang duda warga emas untuk mencari ‘pucuk muda’ bagi mengisi kekosongan hidup dengan upah kahwin rendah.

Pakej itu ditawarkan seorang lelaki berusia 30-an yang menyasarkan golongan lelaki tua sebagai sasaran termasuk upah kahwin RM700, seutas rantai emas dan wang tunai RM1,100 untuk persiapan majlis perkahwinan dengan pasangan muda berbanding pakej biasa berharga antara RM10,000 dan RM20,000.


Dalam kejadian terbaru, seorang warga emas berusia 67 tahun membuat laporan di Balai Polis Rawang, di sini, kelmarin selepas kerugian hampir RM2,000 apabila diperdaya suspek dan bakal ‘isteri’.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, kira-kira jam 9.30 pagi, 9 April lalu, mangsa mendakwa dihubungi lelaki yang baru dikenalinya sebelum suspek mengatur pertemuan dengannya.


“Kurang 10 minit kemudian, lelaki terbabit datang di tempat kerja mangsa di Rawang sebelum bertanyakan warga emas terbabit sama ada benar dia mahu berkahwin atau sebaliknya. Selepas mangsa bersetuju, suspek meminta tempoh tiga hari bagi membolehkannya mencari calon isteri yang sesuai,” katanya.


Sumber itu berkata, pada keesokan hari, suspek menghubungi mangsa sebelum mengatakan sudah bertemu dengan calon isteri yang sesuai dan berjanji akan memperkenalkan wanita berusia antara 20 dan 30 tahun kepada warga emas itu, kira-kira jam 2.30 petang, Khamis minggu lalu.

Menurutnya, selepas bertemu dan berbincang, mangsa bersetuju untuk berkahwin dengan wanita berusia 20-an yang dibawa suspek.


Katanya, suspek kemudian menetapkan beberapa syarat termasuk upah kahwin RM700, wang majlis perkahwinan RM1,100 selain seutas rantai emas sebagai hantaran perkahwinan.


“Mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu kemudian menyerahkan wang dan rantai emas kepada lelaki terbabit dengan disaksikan bakal ‘isteri’ itu.


“Suspek terbabit kemudian berjanji akan mengatur perkahwinan antara mangsa dan pasangannya itu dalam masa terdekat,” katanya.


Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari ditipu lelaki terbabit dan bakal isterinya itu selepas gagal menghubungi mereka.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran kediamannya.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dilakukan.

Gagal lari patah kaki




         
SENTUL: Tindakan nekad tiga penjenayah melanggar kereta orang awam dalam cubaan melarikan diri daripada ditangkap tidak berjaya apabila dua daripada mereka diberkas di Taman Kepong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, seorang daripada suspek yang ditahan patah kaki kiri dalam cubaan melepaskan diri dengan merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dua suspek ditahan itu masing-masing mempunyai tiga dan enam rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi kereta dan dadah.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai ketiga-tiga penjenayah berusia 30-an itu dalam kejadian samun kereta di Padang Balang, 9 April lalu.


“Sehari selepas itu, satu kes samun membabitkan nombor pendaftaran kenderaan dipercayai digunakan suspek sama dilaporkan berlaku di Bukit Indah, Ampang.


“Tiga kejadian cubaan samun itu kemudian dilaporkan di tiga kawasan berbeza di Gombak dan Sentul dalam masa tiga jam dengan kejadian pertama berlaku jam 5 petang Jumaat lalu, namun penjenayah gagal melarikan kereta berkenaan,” katanya pada sidang media, semalam.


Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan curi yang gunakan mereka untuk melakukan jenayah.


“Pada jam 10 malam kelmarin, suspek dilaporkan meragut sepasang suami isteri di Segambut dan melarikan beg tangan wanita terbabit berisi wang RM900 termasuk sebahagiannya dalam mata wang Rupiah.


“Sepasukan peronda polis kemudian mengesan kenderaan suspek di Jalan Kuching menghala Selayang dan cuba mengejar mereka kira-kira lapan kilometer.


“Bagaimanapun, kenderaan suspek merempuh sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Taman Kepong sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dengan sebuah kereta Honda Prelude milik orang awam,” katanya.


Katanya, kereta suspek terbabas 600 meter sebelum suspek menghilangkan diri.


Beliau berkata, susulan penangkapan kedua-dua suspek, dua wanita iaitu isteri dan teman wanita suspek ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah hotel dipercayai tempat mereka berkumpul.


“Polis merampas sebuah Toyota Camry dan menemui sebilah parang dalam kereta berkenaan.


“Suspek yang melepaskan diri sudah dikenal pasti dan gerakan memburunya giat dijalankan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Warga India sorok dadah guna kepingan karbon




         
KOTA BHARU: Taktik seorang warga India menyorok dadah menggunakan dua kepingan karbon dalam bagasinya untuk mengaburi pihak berkuasa tidak berhasil apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Ahad minggu lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang oleh pasukan pegawai kastam selepas dikesan cuba menyeludup dadah disyaki ketamin seberat tiga kilogram dianggarkan bernilai RM120,000, pada jam 11.30 pagi.


Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Zakaria Yusoff berkata, pemeriksaan menemui ruang tersembunyi pada bahagian bagasi yang diubah suai sebelum mendapati terdapat bungkusan kertas warna hitam mengandungi serbuk putih. Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit tiba di Kuala Lumpur pada 7 April lalu dengan menaiki penerbangan malam dari Mumbai, India, sebelum tiba di Kota Bharu dan ditahan pada 8 April.

2 maut, 3 cedera dipanah petir

KAKITANGAN Hospital Gua Musang memeriksa mayat seorang warga Bangladesh yang dipanah petir, semalam.
KAKITANGAN Hospital Gua Musang memeriksa mayat seorang warga Bangladesh yang dipanah petir, semalam.

Lima buruh warga Bangladesh tercampak dua meter akibat terkena panahan 

GUA MUSANG: Dua lelaki warga Bangladesh maut, manakala tiga cedera akibat dipanah petir dalam kejadian di kebun getah di Pos Blau, dekat sini, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Amir Amza, 29, dan Mohammad Akterwas, 35, dikatakan tercampak kira-kira dua meter akibat terkena panahan petir itu dan dipercayai mati di tempat kejadian.

Tiga rakan mangsa yang cedera di kenali dengan Md Robiul Islam, 32, Bashamin, 29, dan Leion, 28, menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan keadaan mereka dilaporkan stabil. 

Md Robiul, berkata beliau bersama empat rakan termasuk dua yang meninggal dunia itu dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi yang terletak dua kilometer dari tempat kejadian. 

Katanya, kebiasaannya mandur ladang berkenaan akan datang mengambil mereka kira-kira jam 5 petang, namun disebabkan ketika itu hujan lebat, mereka mengambil keputusan berjalan pulang ke rumah kongsi, selepas baru menanam anak getah. 

“Ketika dalam perjalanan itu, keadaan begitu cemas dengan kilat sabung menyabung, namun kami masih meneruskan perjalanan, sebelum tiba-tiba dua rakan yang bersama dalam kumpulan kami itu terpelanting kira-kira dua meter akibat di panah petir. 
“Kejadian itu berlaku dengan cepat dan dua rakan bersama turut menerima kesan panahan berkenaan. Keadaan kedua-dua mangsa begitu mengerikan, dengan badan mereka hangus,” katanya. 

Md Robiul berkata, hanya beliau seorang yang masih boleh berjalan selepas kejadian terbabit dan sebaik saja hujan dan petir reda, dia berusaha membantu rakan yang cedera akibat terkena panahan petir itu. 

“Saya mendapati dua rakan yang terkena petir sudah meninggal, manakala dua rakan lagi mengerang kesakitan sebelum saya bergegas ke rumah kongsi untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Pemandu lori punca 9 maut dipenjara 4 tahun

Hakim anggap kejadian 5 tahun lalu disebabkan cuai 

ALOR SETAR: Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM9,000 selepas didapati bersalah atas tuduhan mengakibatkan sembilan kematian dalam kemalangan di Plaza Tol Hutan Kampung, lima tahun lalu.


Mahkamah memerintahkan lesen memandu Zainol Fitri (tengah), dari Jalan Junjong, Kulim digantung empat tahun berkuat kuasa tarikh hukuman dijatuhkan, semalam.

Majistret Zuhair Rosli berkata, selepas mendengar keterangan dan penghujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 

Katanya, pembelaan tertuduh berdasarkan keterangan difikirkan kemudian. 
“Tertuduh larikan diri dari lokasi kejadian dengan memanjat pagar, manakala alasan brek lori kontena tidak berfungsi bersifat kosong. 

“Saksi turut memberitahu tertuduh memandu secara melulu dan ketika kejadian, orang ramai beratur untuk membayar tol. Kemalangan itu membabitkan sembilan mangsa, dan seorang yang terselamat hilang sebelah kaki. 
“Tertuduh sebenarnya masih boleh mengelak berlaku kemalangan (maut) dengan memandu sewajarnya,” katanya. 

Sehubungan itu, katanya, tertuduh disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Zainol dituduh memandu secara melulu sehingga menyebabkan sembilan kematian dalam kejadian di Kilometer 41.3 Lebuhraya Utara-Selatan dalam daerah Kota Setar, jam 3.50 petang pada 29 Mei 2007. 

Mereka yang terbunuh membabitkan enam sekeluarga iaitu Suraya, Mohd Azlan, Sawiyah, Muhamad Alif Syafiq, Nurul Izzati termasuk bapa mereka, Ilias Salleh; selain Uzmadaniel Syahril, Wan Rohani Wan Ibrahim serta Mohd Arif Irfan Mohd Taqiyudin. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suzzane Tiyon Bimen, manakala tertuduh diwakili peguam Prem Singh.

Rumah menantu P. Ramlee disita




SURIA berdiri di hadapan rumahnya yang bakal disita DBKL di Taman Setapak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – “Hendak ku nangis tiada berair mata.”Bait lagu Di Mana Kan Kucari Ganti nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee cukup untuk menggambarkan perasaan satu-satunya menantu seniman agung itu, Suria Bakar, 35, yang terpaksa membesarkan dua anak lelaki dalam serba kekurangan.
Tambah memeritkan, rumah yang menjadi tempat berteduh tiga beranak sejak 20 tahun lalu itu akan disita pada 18 April ini akibat kegagalan Suria menjelaskan tunggakan cukai pintu yang kini berjumlah RM10,000 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Jelasnya, sejak kematian suami, Nasir P. Ramlee empat tahun lalu, dia hilang sumber pendapatan sekali gus kehidupan mereka lebih sukar.
“Saya bukan tidak mahu bayar tetapi saya tidak mampu.
“Sumber pendapatan saya hanyalah RM400 sebulan sumbangan Baitulmal, hanya cukup untuk kegunaan harian kami bertiga,” ceritanya sewaktu ditemui di Taman Setapak di sini semalam.
Menurutnya, dia pernah menerima sumbangan RM35,000 daripada seorang pemimpin negeri pada pertengahan 2010 bagi melangsaikan cukai tersebut.

Dadah: Mak andam, tiga lelaki diberkas polis



TIGA lelaki dan seorang mak andam dibawa ke Balai Polis Banda Hilir Melaka semalam untuk disiasat.


MELAKA – Gelagat tiga lelaki dan seorang wanita yang mencurigakan berada di hadapan sebuah bengkel kereta di Duyong di sini kelmarin terjawab apabila mereka rupa-rupanya disyaki sedang berurus niaga mengenai dadah.
Dalam serbuan pada pukul 10 malam, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 19 hingga 38 tahun. Wanita yang berusia 25 tahun dan merupakan kekasih kepada salah seorang suspek yang berusia 38 tahun turut ditahan.
Satu sumber berkata, keempat-sempat suspek itu ditahan oleh polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka semasa polis membuat rondaan Ops Tapis di kawasan Duyong.
Polis yang membuat rondaan curiga melihat ketiga-tiga lelaki yang berada di hadapan bengkel itu dengan salah seorang daripada mereka membawa beg sandang.
Polis yang memeriksa beg sandang tersebut menemui sejumlah pil eramin 5. Pemeriksaan dalam kereta Proton Perdana milik suspek berusia 38 tahun itu pula menemui 31.5 gram dadah syabu dan 335 pil ekstasi.

Penyamun kereta mewah diberkas




KEADAAN kereta Toyota Camry yang remuk selepas melanggar sebuah Proton Wira ketika dikejar polis di Kepong malam kelmarin.


KUALA LUMPUR - Kegiatan licik sekumpulan penjenayah yang terlibat dalam pelbagai kes samun termasuk samun kenderaan mewah dengan modus operandi melanggar belakang kenderaan sasaran mereka tidak bertahan lama apabila empat orang termasuk dua wanita diberkas polis kelmarin.
Dua suspek lelaki yang berusia 32 dan 37 tahun diberkas selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Desa Jaya, Kepong pada pukul 10.30 malam kelmarin manakala isteri dan teman wanita kedua-dua suspek itu pula ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di ibu negara tidak lama selepas itu.
Sebelum dua penjenayah itu diberkas, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta Toyota Camry warna putih yang dinaiki dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka di bulatan Kepong, Jalan Kuching di sini pada pukul 10.30 malam.
Sebaik dihampiri polis, kereta tersebut terus memecut menyebabkan polis terpaksa mengejar kenderaan tersebut sejauh enam kilometer sehingga sampai ke persimpangan lampu isyarat di Desa Jaya di sini.
Suspek yang panik dikejar polis kemudian merempuh sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki seorang lelaki menyebabkan kedua-dua buah kenderaan itu remuk.
"Dua daripada tiga lelaki yang menaiki Toyota Camry itu keluar dan cuba melarikan diri," kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.

Litar lumba haram panas digempur polis, JPJ



SEBAHAGIAN daripada pengguna jalan raya yang diperiksa polis dalam operasi di Lebuh Raya Besraya kelmarin.


KUALA LUMPUR - Keseronokan sekumpulan remaja yang menghabiskan masa pada malam minggu dengan menonton aksi pelesit rempit beraksi di Lebuh Raya Besraya di Serdang dekat sini tergendala apabila kegiatan mereka itu dihidu polis malam kelmarin.
Dalam operasi pada pukul 12 tengah malam itu, ratusan penonton yang sedang menonton persembahan pelesit rempit itu bertempiaran lari sebaik melihat kelibat pihak berkuasa.
Bagaimanapun, dua remaja lelaki daripada ratusan penonton pelesit rempit yang berusia 15 dan 17 tahun dicekup.
Dalam operasi sama, seorang pelesit rempit yang menunggang motosikal tetapi tiada lesen sanggup membuat pusingan sebanyak enam kali di Plaza Tol Sungai Besi untuk melarikan diri.
Namun tindakan lelaki berusia 20-an itu sia-sia apabila dia dapat diberkas selepas motosikal yang ditunggang terbabas.
Pegawai Operasi Unit Khas Trafik Bukit Aman, Asisten Superintendan Khuzir Abd. Majid berkata, dalam operasi selama lima jam itu, seramai 200 pemandu kenderaan ditahan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk pelesit rempit.