Search This Blog

Sunday, April 15, 2012

Sakit tiga jam dek cincin RM5

SAKIT.... Devika menunjukkan cincin yang menyebabkan jari telunjuknya membengkak.
SAKIT.... Devika menunjukkan cincin yang menyebabkan jari telunjuknya membengkak.

SEBERANG JAYA: Seorang ibu terpaksa menahan sakit hampir tiga jam selepas cincin dipakainya gagal dikeluarkan sehingga menyebabkan jari tangan kanannya membengkak di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, A Devika, 22, menahan kesakitan selepas kakitangan hospital turut gagal membantunya sehingga mereka terpaksa minta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Devika berkata, dia memakai cincin itu sejak seminggu lalu sebelum jari telunjuknya membengkak empat hari kemudian.

“Selepas jari membengkak, saya cuba menanggalkan sendiri cincin itu dengan pelbagai cara tetapi gagal,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Menurutnya, tidak mampu menanggung kesakitan, dia ke HSJ jam 4 petang kelmarin untuk mendapatkan rawatan, namun kakitangan hospital juga gagal menanggalkan cincin sehingga terpaksa meminta bantuan bomba.

Katanya, cincin berharga RM5 itu dibeli di pasar malam berhampiran rumahnya di Butterworth dan dia tidak menyangka kejadian itu berlaku akibat memakainya.




“Mula-mula pakai cincin ini, saya rasa selesa, jadi saya tidak sangka lama-kelamaan jari saya membengkak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Perai, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.15 malam dan tiba beberapa minit kemudian.

“Kita terpaksa menggunakan ‘ring cutter’ untuk memotong cincin dan jari mangsa juga membengkak,” katanya.

Bot pelarian didakwa hilang ditemui di Lombok

MATARAM: Pihak berkuasa Indonesia semalam berkata, mereka menemui sebuah bot yang didakwa hilang ketika dalam pelayaran ke Australia.
Bagaimanapun, puluhan pencari suaka yang dibawa bot itu dipercayai melarikan diri.

Usaha mencari bot berkenaan dilancarkan selepas pendatang yang kebanyakannya warga Afghanistan membuat panggilan kecemasan kepada aktvis pelarian bahawa mereka berdepan dengan ombak besar dan bot itu diancam karam.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, mereka mengesan bot itu lewat kelmarin di Pulau Lombok.

Bagaimanapun, penduduk tempatan berkata, mereka melihat bot itu tiba Rabu lalu dan penumpangnya melarikan diri. - AFP

Maut pulang beli barang dapur

KUANTAN: Perjalanan pulang seorang lelaki selepas membeli keperluan dapur di sebuah pasar raya, di sini, berakhir dengan tragedi memilukan apabila maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta sebelum bertembung kereta lain di depan stesen minyak di Bukit Rangin, Jalan Pintasan Pelabuhan Kuantan, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, Nasran Tuan Sariff, 39, yang tinggal di Flat Fikri, Kemaman, Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Isteri mangsa, Rosemilla Mamat, 32, dan anaknya, Nur Faqihah Najla Abdullah, 3, cedera dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh orang awam untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu Perodua ViVa dipercayai mengubah laluan secara mengejut dari kiri ke kanan ketika menghala ke Pelabuhan Kuantan dari Gambang sebelum dirempuh Honda Civic yang berada di belakangnya.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar Perodua Myvi yang dikatakan mahu keluar dari simpang stesen minyak.

Katanya, siasatan turut mendapati, mangsa bersama isteri dan anaknya yang tersepit dalam kenderaan itu dikeluarkan dengan bantuan orang ramai di tempat kejadian, namun menghembuskan nafas terakhirnya sebelum sempat dikejarkan ke hospital.




“Mayat mangsa dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di HTAA, malam kelmarin.

“Bagaimanapun, polis akan mengambil keterangan daripada kedua-dua pemandu yang terselamat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Empat remaja cari mempelam terkejut jumpa rangka manusia

PEKAN NANAS: Empat remaja yang mencari mempelam di sebuah kebun di Kampung Parit Pasir Lama, di sini, terkejut selepas menemui rangka manusia berselerak di bawah rimbunan pokok berkenaan, Khamis lalu.
Kejadian jam 6 petang itu menyebabkan remaja terbabit segera memaklumkan kejadian kepada peniaga burger berhampiran, Abd Halim Abd Ghani, 41.

Menurut Halim, dia menyangka remaja terbabit berseloroh, tetapi selepas solat Jumaat keesokannya, dia memaklumkan perkara itu kepada Ketua Umno Cawangan Parit Pasir, Mohamad Salleh Marim, 65.

Pencuri kereta gembira cuma 30 minit

MELAKA: Seorang penjenayah hanya sempat bergaya memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berharga RM140,000 yang dicurinya selama 30 minit sebelum ditahan pasukan unit peronda polis di Jalan Taman Merdeka, Batu Berendam, dekat sini, kelmarin.
Malah, difahamkan, kenderaan Mitsubishi ASX 2.0 Mivec itu baru dibeli dan digunakan pemiliknya yang juga seorang pensyarah wanita di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini selama lima hari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kenderaan yang diletakkan di pakir rumah menantu mangsa di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh disedari hilang selepas anak pemilik SUV itu terdengar bunyi enjin kenderaan dihidupkan jam 8.15 pagi.

“Menantu dan anak mangsa membuka pintu rumah sebelum mendapati kereta itu tiada. Pada masa sama, mereka mendapati kunci SUV yang disangkutkan di tempat letak kunci di dalam rumah juga tiada.

“Menantu mangsa kemudian membuat panggilan kepada 999 dan membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh sebelum polis melakukan hebahan dan pemantauan dijalankan unit kereta peronda Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya pada sidang medianya di sini, kelmarin.

Menurutnya, kenderaan itu dikesan di Jalan Taman Merdeka, Batu Berendam, jam 8.45 pagi oleh sebuah kereta peronda polis dari Balai Polis Batu Berendam.

Tragedi lombong

SIK: Tindakan seorang kanak-kanak pergi memancing bersama dua rakannya berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemui lemas di dalam lombong di Kampung Banggol, Sungai Setar, Mukim Jeneri, dekat sini, malam kelmarin.
Muhammad Aiman Mohd Rodzi, 10, dipercayai keluar rumah jam 5.30 petang tetapi kehilangannya hanya disedari rakannya sekitar jam 7 malam sebelum penduduk membuat laporan polis.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Jeneri sering pergi memancing bersama rakannya di lombong berhampiran rumahnya ketika cuti sekolah hujung minggu.

Katanya, ketika kejadian, seorang penduduk turut memancing berdekatan tempat kejadian sebelum mendapati seorang daripada kanak-kanak itu hilang.

“Penduduk terbabit mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku lalu memaklumkan kejadian kepada saya yang kemudian bergegas ke lombong sejauh 300 meter dari rumah untuk menyelamatkan mangsa namun gagal lalu memaklumkan polis.

“Mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah saya turut melihatnya pergi menunaikan solat Jumaat bersama ayahnya sebelum kejadian,” katanya di Bahagian Forensik Hospital Sik, di sini.




Sementara itu, guru sekolah mangsa, Harishon Shaari berkata, Muhammad Aiman adalah pelajar baik dan tidak pernah menghadapi masalah di sekolah, namun dia menjadi pendiam ketika di sekolah, Khamis lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Asisten Superintendan Muhamad Rusli Mat ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.30 malam.

Menurutnya, selepas menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Jeniang bergegas ke tempat kejadian dan mayat mangsa ditemui jam 8 malam sebelum dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat tidak menemui unsur jenayah dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Jeneri, di sini, jam 10 pagi semalam.

Rampas 15,000 liter diesel

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas 15,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM30,000 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Seksyen 16, di sini, malam kelmarin.
Serbuan bermula jam 9.30 malam sebelum berakhir sejam kemudian itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK Selangor diketuai Pengarah Penguatkuasanya, Othman Nawang.

Othman berkata, serbuan terhadap stesen minyak itu dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai berhubung kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Katanya, intipan dilakukan selama sebulan terhadap kehadiran sebuah lori tangki mencurigakan di stesen minyak itu.

“Kami mengesyaki wujud kerjasama antara stesen minyak dengan sindiket. Apapun kami akan melakukan siasatan lebih lanjut mengenai kes ini.

“Sebelum ini, KPDNKK menyerbu syarikat pengusaha stesen minyak itu dua kali tahun lalu.




“Kali ini kita dapati mereka lebih berani membuat kesalahan dengan menyedut diesel bersubsidi dari tangki bawah tanah secara terang-terangan dan terus dipindahkan ke sebuah lori tangki,” katanya.

Tindakan itu, katanya, dianggap sangat berani kerana memindahkan diesel secara haram di tempat terbuka.

Othman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun iaitu pemandu lori itu dan pemeriksaan lanjut mendapati 15,000 liter diesel bersubsidi sempat dipindahkan ke dalam lori itu dengan nilai RM30,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ditahanpun boleh senyum

KUANTAN: Sembilan lelaki warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan serta permit tamat tempoh, masih mampu tersenyum sambil menunjukkan isyarat bagus apabila wajah mereka dirakamkan pihak media, awal pagi semalam.
Dalam Ops 6P yang dijalankan Jabatan Imigresen Pahang bermula jam 2 pagi hingga 5 pagi itu, 57 warga asing yang tinggal di Kampung Selamat dan Pelabuhan Kuantan diperiksa sehingga membawa kepada penahanan sembilan lelaki terbabit.

Ops diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd Rozi Ghazali itu membabitkan 57 anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN).

Pengarah Imigresen Pahang, Mohamad Nasir Osman berkata, semua pendatang yang diperiksa itu berusia 30 tahun hingga 50 tahun dan bekerja di Pelabuhan Kuantan.

Salah masuk kedai

KAJANG: “Saya mahu pergi ke kedai sebelah, tapi tersalah masuk ke sini pula,” kata seorang lelaki warga emas yang ditahan selepas didapati memasuki sebuah premis judi nombor ekor di sini, semalam.
Bagaimanapun, temberang lelaki berusia 51 tahun itu terbongkar apabila pemeriksaan lanjut menemui beberapa beberapa tiket pertaruhan judi nombor ekor yang baru dibelinya di premis terbabit.

Warga emas terbabit antara yang ditahan dalam ‘Ops Maisir’ bagi membanteras perjudian di kalangan umat Islam di sini.

Operasi selama dua jam disertai 143 pegawai dan penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat diketuai Ketua Penguatkuasanya, Norhisham Mohd Idris dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu dilakukan di sembilan lokasi berasingan sekitar daerah ini.

Norhisham berkata, pihaknya menahan 29 lelaki Islam berusia antara 19 hingga 55 tahun yang leka membeli nombor pertaruhan di premis perjudian berasingan.

“Cubaan beberapa lelaki melarikan diri gagal susulan tindakan pantas penguat kuasa mengepung sekitar premis dan secara keseluruhan tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Seorang yang ditahan berstatus datuk dan pada usia sebegitu, dia sepatutnya memperbanyakkan amal ibadat, bukan berjudi,” katanya.

Tukang urut terkedu lepas diserbu

CHERAS: Pusat urut khusus untuk lelaki yang disyaki menawarkan perkhidmatan urutan bogel serta badan ke badan di sini, diserbu sepasukan anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, malam kelmarin.
Serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai kira-kira jam 9 malam dan ketika serbuan, 16 lelaki termasuk seorang wanita warga asing, dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan susulan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, 15 lelaki yang ditahan adalah pekerja pusat urut itu, manakala wanita terbabit adalah tukang cuci yang juga penjaga pusat urut di bangunan tiga tingkat itu.

“Mereka yang ditahan berusia 27 hingga 40 tahun dan akan menjalani ujian air kencing sebelum tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan diketuai Inspektor Zaili Zakaria itu, lima pelanggan lelaki berada dalam premis terbabit dan mereka didapati berurusan untuk memilih tukang urut lelaki yang dikehendaki, menyebabkan semua terkedu.

“Mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan amaran,” katanya.




Sementara itu, beberapa lelaki yang ingin mendapatkan khidmat urut di pusat terbabit terpaksa melupakan hasrat mereka sebaik menyedari premis itu diserbu.

Wartawan Metro Ahad yang menyertai operasi turut dimaklumkan, pusat berkenaan mempunyai lesen menjalankan kegiatan urutan badan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan serbuan itu yang kedua sepanjang tahun ini.

“Polis tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak dan sentiasa memandang serius kegiatan maksiat serta akan menjalankan serbuan dari semasa ke semasa jika mempunyai maklumat,” katanya.

Jumpa mayat rentung

KULIM: Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan menyayatkan hati apabila rentung 100 peratus di dalam sebuah parit di kawasan belukar di Jalan Padang Meha-Batu Puteh, Sungai Karangan, dekat sini, malam kelmarin.
Mayat mangsa dipercayai berusia 20-an yang belum dikenal pasti identitinya ditemui dua lelaki yang memikat burung jam 10 malam sebelum memaklumkan polis untuk tindakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, dua lelaki berkenaan dikatakan pergi ke kawasan itu untuk memikat burung sebelum ternampak sesuatu dalam keadaan terbakar lalu memeriksanya.

Menurutnya, sebaik melihat mayat berkenaan di dalam sebuah parit, mereka berpatah balik sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan.

“Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, mayat wanita itu masih dalam keadaan terbakar lalu memadam api sebelum menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati mayat itu dipercayai wanita berusia lingkungan 20-an, tetapi tiada pengenalan diri dan polis menjalankan siasatan untuk mengesan identiti mangsa,” katanya.

Tiga maut tersepit

TAWAU: Kegembiraan tiga sekawan yang baru balik dari pusat bandar bertukar tragedi selepas kenderaan dipandu terbabas ke dalam parit sehingga menyebabkan semua mangsa maut akibat tersepit di Batu 4, Jalan Apas, awal pagi, semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi, tiga mangsa dikenali sebagai Tan Tee Khong, 24, Wong Lian Churn, 31, dan seorang lagi wanita berusia 20-an yang gagal ditemui identitinya maut di tempat kejadian.

Kenderaan dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabit dipercayai hilang kawalan lalu menyebabkan mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan Honda Civic dinaiki mangsa dari pusat bandar menuju ke arah lapangan terbang dipercayai dipandu laju.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 24 tahun dan dua penumpang termasuk seorang wanita berusia 20-an yang belum dikenal pasti identitinya.

“Kenderaan dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan, menyebabkan mereka terbabas lalu menjunam ke dalam parit di tepi jalan terbabit.




“Polis masih menjalankan siasatan penuh terhadap insiden ini bagi mengenal pasti sama ada pemandu memandu dalam keadaan mabuk,” katanya, semalam.

Menurut Ibrahim, ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.