Search This Blog

Saturday, April 14, 2012

Lelaki maut, isteri parah nahas 3 kenderaan

Berita Harian Online | Lelaki maut, isteri parah nahas 3 kenderaan:






2012/04/14


KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah apabila kereta mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di hadapan stesen minyak di Bukit Rangin di sini semalam. 

Nasran Tuan Sariff, 39, yang berasal dari Kemaman, Terengganu, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala isterinya Rosemilla Mamat, 32, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata ketika kejadian pada pukul 6.10 petang itu, Nasran bersama isteri dan anak perempuan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Flat Fikri, Kemaman.



Anak perempuan pasangan itu, Nur Faqihah Najla, 3, tidak cedera. 

"Mangsa yang memandu PERODUA Viva dari arah Gambang menuju ke Pelabuhan Kuantan dipercayai mengubah ke lorong kanan secara tiba-tiba menyebabkan kereta keluarga itu dilanggar sebuah kereta yang berada di belakangnya. 

"Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas semula ke kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kereta yang berada di simpang keluar stesen minyak itu," katanya di sini, hari ini. - BERNAMA

10 belasah dua beradik

AMPANG: Gara-gara perselisihan faham dengan rakan kerana tidak membenarkan motosikal dipinjam, dua beradik dibelasah 10 lelaki menggunakan batu selain kepala mereka dipijak dalam kejadian di Bukit Indah, dekat sini, kelmarin.
Kumpulan lelaki terbabit mendakwa mereka melakukan serangan itu kerana membalas dendam selepas seorang mangsa pernah memukul rakan mereka.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kumpulan terbabit turut mengacukan pedang samurai ke arah adik beradik itu, namun mereka sempat melarikan diri.

“Mangsa ditumbuk, diterajang selain kepala dihentak dengan batu sehingga berdarah. Mangsa yang cedera di badan dan kepala mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

9 pelancong hanyut 3 hari

KOTA KINABALU: Kegembiraan sembilan pelancong Hong Kong untuk memancing di Pulau Mengalum, dekat sini, terbantut apabila hanyut tiga hari selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin dalam kejadian kira-kira 20 batu nautika dari bandar raya ini.
Bagaimanapun, semua mereka diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, jam 7.15 pagi semalam sebaik menerima arahan dari Pusat Cari Lamat (PCL) Kota Kinabalu.

Terdahulu, kumpulan pelancong berkenaan bersama tiga bot lain bertolak dari jeti Taman Laut Sabah, kira-kira jam 12 tengah hari, Isnin lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua bot dinaiki 11 pelancong dari negara sama selamat tiba di pulau berkenaan manakala bot dinaiki sembilan pelancong itu tersasar dari laluan sebenar berikutan menghadapi masalah enjin sebelum tersadai di tengah laut.

Kejadian itu hanya disedari pengusaha bot yang mendapati hanya dua bot disewakan pulang ke jeti, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Berikutan kehilangan bot itu, pengusaha berkenaan, Muluk Yusuop, 40-an, cuba mengesan kumpulan pelancong berkenaan, namun gagal sebelum menghubungi PCL Kota Kinabalu memaklumkan kejadian itu, ra jam 7.25 petang hari sama.


Sebaik diberitahu, PCL mengarahkan Bot Penyelamat 10 milik APMM berpangkalan di Kota Kinabalu menjalankan kerja mencari dan menyelamat serta-merta.

Pegawai Perhubungan Awam APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Janurin Sukiman ketika dihubungi mengesahkan sejurus menerima maklumat, enam anggota melakukan tugas mencari dan menyelamat kesemua mangsa.
“Keadaan laut ketika itu dilaporkan berombak setinggi antara tiga hingga 3.5 meter dengan angin Timur Laut bertiup pada kelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam (km/j),” katanya.

Muka, tubuh dimamah api

SEBERANG JAYA: “Saya bergegas ke rumah anak selepas terima panggilan daripada pembantu rumahnya dan terkejut melihat muka dan tubuhnya hitam terbakar,” kata Lee Ah Lok, 72, bapa kepada seorang pemilik kilang menghasilkan kepingan besi yang parah apabila keretanya meletup dan terbakar dalam kejadian di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, pagi semalam.
Menurutnya, ketika itu dia bersarapan di kawasan Permatang Pauh berhampiran kedai runcitnya sebelum menerima panggilan berkenaan dan bergegas ke rumah anaknya itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, didapati anaknya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan keadaan muka dan badannya hitam kesan terbakar.

“Sehingga tengah hari (semalam), anak saya masih tidak sedarkan diri dan terpaksa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, mangsa, Lee Chong Beng, 52, parah apabila kereta Nissan X-Trail yang dipandunya meletup dan terbakar di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang.

Bagaimanapun, bapa kepada empat anak berkenaan berjaya ditarik keluar oleh jirannya yang kebetulan melihat kejadian itu.


Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dengan ambulans selepas melecur kira-kira 60 peratus.

Mangsa dikatakan baru masuk ke dalam kenderaannya untuk ke kilangnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Perai.
Bagaimanapun, ketika mangsa cuba menghidupkan kenderaannya itu, secara tiba-tiba ia meletup sebelum terbakar.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan awal mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) itu meletup dan mengeluarkan api sebelum menyambar mangsa yang berada di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, mangsa dapat diselamatkan selepas dibantu orang ramai sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan setakat ini belum dapat ditentukan sama ada ia disebabkan kemalangan atau sabotaj.

“Unit forensik polis dan bomba kini masih menjalankan siasatan, kemungkinan juga akan memanggil Jabatan Kimia bagi membantu siasatan,” katanya.

Turut hadir di tempat kejadian semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah dan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah.

Berikutan kecederaan teruk yang dialami, mangsa dirujuk ke HPP untuk menerima rawatan lanjut kira-kira jam 12 tengah hari semalam dan kini keadaannya kritikal, tetapi stabil.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Prai, A’azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi.

Menurutnya, dua jentera bersama 11 anggota berkejar ke lokasi dan tiba di tempat kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.

Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati mangsa sudah berada di luar kenderaannya dipercayai diselamatkan oleh orang ramai.

“Kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.53 pagi. Punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Ibu dalam pantang berlari dukung bayi

KAMPAR: Seorang ibu yang baru selesai berpantang selepas melahirkan bayinya, bingung apabila semua peralatan dan pakaian baru bayi lelakinya ‘ghaib’ dihanyutkan arus banjir.
Mangsa, Mazurah Yusof, 30, berkata dia hanya sempat berlari sambil mendukung bayinya, Mohd Nasrul Iman Mohd Fairus, dua bulan, sejurus rumahnya di Kampung Baru, Kuala Dipang, di sini, dirempuh arus deras awal pagi kelmarin.

“Saya panik dan hanya terfikir untuk menyelamatkan diri bersama bayi tanpa mengemas lampin, bantal atau tilam bayi.

“Malah botol susu dan peralatan lain tidak sempat dibawa sebelum hanyut dalam banjir,” katanya.

Dia yang berlindung di pusat penempatan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar, di sini, sedih melihat bayinya yang tiada pakaian dan hanya ditutup dengan kain.

“Saya hanya fikirkan sampai bila banjir ini berlaku dan bagaimana nasib bayi saya selepas ini,” katanya yang turut memerlukan bantuan susu tepung untuk bayinya.


Masalah sama dialami Nurasyikin Samsudin, 37, apabila melarikan diri bersama bayinya, Ahmad Adli Abdul Talib, setahun, tanpa membawa sebarang kelengkapan.

“Saya bernasib baik apabila ada pihak menyedekahkan botol susu dan susu tepung bayi semalam. Kami perlukan juga pakaian dan lampin pakai buang berikutan semua barangan ditenggelami banjir,” katanya.
Sementara itu, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Depot Langkap, Fauziah Abu Hassan Shaari, 29, dan Faizura Mior Hashim, 22, yang menetap di Kampung Baru Kuala Dipang pula, meluahkan rasa terima kasih kepada seekor anak kucing bernama Etot yang didakwa menyelamatkan nyawa mereka.

Katanya, haiwan itu yang tidak berhenti membuat bising pada pagi kejadian menyelamatkan mereka daripada lemas.

“Pada pagi kejadian, kami tidak dapat tidur kerana Etot tidak berhenti mengiau. Pada jam 4 pagi air melimpah ke dalam rumah dan terus meningkat mengakibatkan kami terus keluar tanpa membawa apa-apa,” katanya.

Katanya, anak kucing itu berhenti bising sebaik mereka berada di tempat selamat.

Ayah pesan jangan laju

SEPANG: “Malam semalam (kelmarin) saya pesan kepada Angah supaya bawa motosikal elok-elok, jangan laju. Walau lambat macam mana sekali pun, kena hati-hati tetapi nak buat macam mana, dah jadi,” kata Ramli Abdul Hamid, 44, bapa kepada Mohd Redza, 19, yang maut dalam kemalangan di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, motosikal dinaiki remaja terbabit bersama kakaknya Zaidatul Azura, 22, yang dalam perjalanan ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), merempuh sebuah Perodua Alza di persimpangan lampu isyarat dekat Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC). Rempuhan kuat itu mengakibatkan Mohd Redza cedera teruk di kepala, patah tulang pinggang dan tangan kanan. Mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala kakaknya yang cedera ringan, dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

Pemandu Perodua Alza terbabit, Ketua Pegawai Kewangan SIC, Eddy Rashdan Mohd tidak mengalami kecederaan manakala Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali yang menumpang kereta berkenaan, cedera ringan dan menerima rawatan susulan.

Ramli yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia menerima panggilan daripada isteri, Roshita Hashim sambil menangis memberitahu kedua-dua anaknya mengalami kecelakaan di lokasi berkenaan. “Saya terus ke tempat itu dan lihat anak sulung menangis sambil menyebut Angah beberapa kali sebaik saya sampai. Bila saya buka plastik dan tengok wajah Angah, saya dah tak tahu nak cakap apa. Boleh dikatakan setiap hari saya tengok berita kemalangan maut. Tapi bila perkara ini terjadi pada Angah, saya tak tahu macam mana nak gambarkan. Namun, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Ketua Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansor mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

3 lelaki langgar, samun

GOMBAK: Langgar dan samun. Itu dilakukan tiga lelaki yang melarikan sebuah kereta Toyota Hilux menyebabkan seorang lelaki kerugian hampir RM100,000 dalam kejadian di Taman Daya, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, pemandu kereta terbabit berusia 40 tahun dalam perjalanan ke Sungai Buloh sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang kereta.

Menurut sumber, mangsa yang menyangka keretanya dilanggar memberhentikan kenderaan untuk memeriksa.

“Bagaimanapun sebelum mangsa berbuat apa-apa, dua lelaki menyerangnya sebelum seorang daripada mereka mencekik mangsa.

“Malah, suspek merampas telefon bimbit mangsa dan kunci kereta sebelum mengarahkan dia tidak melakukan apa-apa jika tidak mahu dicederakan,” katanya.

Maut akibat tertidur tunggang motosikal

KUALA SELANGOR: Gara-gara mengantuk, seorang warga emas maut dilanggar kereta selepas motosikal ditungganginya terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Kilometer 11 Jalan Kuala Selangor - Rawang, di sini, tengah hari semalam.
Kemalangan itu menyebabkan mangsa, Sarif Katan, 63, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala kerana tercampak kira-kira tujuh meter. Ketua Trafik Daerah Kuala Selangor, Cif Inspektor Roslan Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang juga pekerja landskap dari arah Bestari Jaya menghala ke rumahnya di Kampung Kuantan, di sini. “Terdapat kesan brek kereta sejauh enam meter manakala kereta dipandu lelaki berusia 33 tahun itu terbabas ke kanan selepas terlanggar mangsa, namun pemandu terbabit tidak mengalami kecederaan serius.

“Menurut pemandu terbabit, sewaktu kejadian mangsa kelihatan seperti tertidur dipercayai mengantuk sebelum terbabas ke laluan bertentangan,” katanya.

Roslan berkata, kejadian berlaku di kawasan kebun sawit serta keadaan jalan lurus dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa untuk urusan pengebumian.

Katanya, saksi kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Terima 6 jahitan tegur jiran bising

KUALA LUMPUR: Amukan dua beradik menyebabkan seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun menerima enam jahitan di kepala selepas ditetak dengan parang dalam kejadian berhampiran rumahnya di Batu Muda, Jinjang, di sini, kelmarin.
Difahamkan, dua lelaki berusia 20-an itu menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati dengan pelajar terbabit yang menegur mereka supaya tidak membuat bising di kawasan perumahan itu.

Semuanya bermula jam 9 malam apabila seorang daripada suspek iaitu si adik yang terserempak dengan mangsa mengajaknya berbincang di kawasan tangga di flat berkenaan.

Menurut sumber, mangsa yang tidak curiga dengan pelawaan itu bersetuju, tapi sebaik saja menghampiri kawasan tangga flat itu, si abang terus memukul mangsa sebelum dibantu adiknya itu.

“Seorang daripada suspek mengeluarkan parang lalu menetak kepala mangsa. Akibat tetakan itu, mangsa cedera di kepala dan rebah serta disepak dua suspek terbabit,” katanya. Sumber berkata, penduduk lain yang menyaksikan kejadian itu cuba menenangkan dua beradik itu, malangnya mereka turut diserang kedua-dua suspek.

“Bagaimanapun penduduk di kawasan terbabit tidak mengalami kecederaan kerana sempat melarikan diri,” katanya.


Mangsa dibawa ke hospital berhampiran kawasan berkenaan dan menerima enam jahitan di kepala.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, selepas keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

9 kenderaan berlanggar

SUBANG JAYA: Lima pelancong warga Thailand dan seorang pemandu lori kontena cedera parah dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di Lebuh raya Elite, di sini, malam kelmarin.
Kejadian jam 11.45 malam di Kilometer 13.8 Arah Utara berhampiran susur keluar Putra Heights itu bermula apabila sebuah lori kontena merempuh bahagian belakang bas ekspres yang berhenti di laluan kecemasan.

Difahamkan, bas ekspres terbabit berhenti serta merta selepas diarahkan peronda Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang memintas kenderaan itu.

Bas membawa 30 penumpang itu dikatakan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Hatyai ditahan selepas dikesan memandu melebihi had laju.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, ketika rempuhan itu, kereta Proton Inspira dipandu anggota SPAD dan bas berkenaan sudah berhenti di lorong kecemasan malah, empat anggota penguat kuasa bertugas juga sudah keluar dari kereta untuk membuat pemeriksaan. Bagaimanapun, katanya, beberapa saat kemudian, sebuah lori kontena yang dipandu laju dari arah belakang merempuh bas berkenaan sebelum lori itu tercampak ke dalam gaung.

“Akibat rempuhan lori itu, bas terbabit melanggar belakang kereta anggota SPAD, namun mereka sempat menyelamatkan diri.


“Kemungkinan pemandu lori berkenaan mengantuk dan tidak menyedari bas ekspres itu sedang berhenti menyebabkan dia tidak sempat mengelak sebelum terbabas di sebelah kiri jalan dan terhumban ke dalam gaung kira-kira 50 meter,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.

Katanya, semua mangsa yang cedera parah termasuk pemandu lori kontena yang kritikal dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

Difahamkan, tujuh kenderaan lain iaitu lima kereta termasuk kereta milik SPAD, satu van dan sebuah lori tiga tan terbabit dalam kemalangan itu selepas tidak sempat mengelak bas ekspres serta lori kontena berkenaan.

Sementara itu, SPAD menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Harian Metro semalam, menafikan kemalangan berpunca daripada tindakan anggotanya memintas dan memberhentikan bas ekspres terbabit secara mengejut.

“Ketika kejadian, dua anggota SPAD sudah berada di dalam bas terbabit manakala dua lagi anggota berada di luar bas,” kata kenyataan itu.

Bertempur lagi

BEIRUT: Tentera Syria bertempur dengan pemberontak berhampiran sempadan Turki semalam dalam kejadian dilihat sebagai pelanggaran serius pertama dalam gencatan senjata sejak dikuatkuasakan kelmarin.
Bagaimanapun, selain insiden itu, tiada pertempuran lain membabitkan pengeboman, serangan roket dan mortar seperti kebiasaan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.

Pemantau Syria Untuk Hak Asasi berkata, pertempuran berlaku di pinggir perkampungan Khirbet el-Joz, dekat sempadan Turki.

Menurut pertubuhan itu, rejim Bashar al-Assad menghantar kereta kebal ke kawasan itu sejurus sebelum pertempuran berlaku.

Pertubuhan aktivis lain - Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC) - juga mendakwa kereta kebal dihantar berhampiran Khirbet al-Joz dan cuba menyerang sebuah pos dikawal tentera yang berpaling tadah.

Menurut LCC, berlaku pertempuran sengit di antara tentera kerajaan dan pemberontak dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria.

Aktivis berkata, kereta kebal dan kenderaan perang lain masih dapat dilihat di jalan raya beberapa bandar di sekitar Syria semalam. “Tentera kerajaan turut melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di perkampungan Bardig, Hama lewat kelmarin, manakala tentera yang berpaling tadah membalasnya dan membunuh dua anggota keselamatan Syria,” katanya. - AP

Bot bawa pelarian Afghanistan hilang

MATARAM: Pihak berkuasa Indonesia semalam berusaha mengesan sebuah bot membawa berpuluh-puluh pelarian Afghanistan yang hanyut di perairannya.
Seorang aktivis suaka politik Australia berkata, pelarian itu masih hidup selepas laporan awal menyatakan kapal berkenaan karam.

Bot itu hilang selepas menghantar panggilan kecemasan berdekatan Pulau Sumbawa, di timur Indonesia pada jam 6.50 pagi.

Ian Rintoul yang menerima panggilan kecemasan itu berkata: “Saya bercakap dengan beberapa orang dalam bot itu dan mereka selamat tetapi memerlukan bantuan.” “Enjin bot mereka tidak berfungsi dan bot itu masih hanyut,” katanya di Brisbane.

Menurutnya, kira-kira 60 penumpang berada di dalam bot berkenaan. - AFP

Tembak atau serah diri

BANDA ACEH: Pihak berkuasa Indonesia memberi amaran akan menembak banduan yang melarikan diri ketika gempa bumi melanda Aceh Rabu lalu sekiranya mereka cuba mengelak daripada ditangkap.
Beberapa penjara di wilayah Aceh memindahkan banduan selepas gempa bumi berlaku bagi mengelak mereka terperangkap dalam tsunami, seperti yang berlaku pada 2004.

Dua puluh sembilan banduan dari Penjara Sigli, 50 kilometer dari Banda Aceh, mengambil kesempatan melarikan diri dan masih belum berjaya ditangkap atau menyerah diri sehingga semalam.

Warden, Djoko Budi Setianto berkata: “Kami memberi masa hingga petang ini untuk mereka pulang. Sekiranya ditemui tetapi cuba melarikan diri, anggota keselamatan dan polis dibenarkan menembak mereka.

“Kebanyakan mereka adalah pesalah dadah. Seorang terlibat dalam kes rompakan dan ada pula kerana kesalahan pedofilia,” katanya.

Menurut Djoko, dua banduan menelefon dan berjanji untuk kembali ke penjara.


Pengawal penjara berdekatan pesisiran pantai itu memindahkan semua 221 banduan ketika amaran tsunami dikeluarkan. Kejadian tsunami 2004 yang menyebabkan bangunan penjara musnah, masih segar dalam ingatan warga Aceh.

“Dua anggota pengawal yang membuka pintu pagar untuk banduan keluar pernah terperangkap dalam tsunami 2004.
“Mereka masih lagi trauma dengan kejadian itu,” kata Djoko. Menurutnya, gempa bumi Rabu lalu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada bangunan penjara.

Penjara Banda Aceh yang terletak di pinggir ibu negeri wilayah itu juga mengalami kerosakan. - AFP

Saddam jadi pelat dihentam bola

JOHOR BAHRU: “Saddam kini pelat,” kata Sarimah Abdullah, 49, ibu kepada Saddam El Hafidz Shaari, 16, yang cedera selepas rahang dan giginya beralih akibat hentaman bola hasil rembatan pemain lawan, di Stadium Mersing di sini, Sabtu lalu.
Saddam yang juga penjaga gawang Sekolah Menengah Kebangsaan Anjung Batu, Mersing cedera dalam perlawanan ketika menentang satu lagi pasukan bola sepak pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Mersing (MSSDM).

Akibatnya, Sarimah berkata, anak kelima daripada enam beradik itu mengalami kesukaran bercakap dan mengunyah makanan.

“Saddam menjaga gawang pada perlawanan jam 11 pagi itu apabila terkena bola berkenaan. “Rahang Saddam beralih manakala giginya pula berkemungkinan perlu dicabut dan ditanam semula,” katanya, semalam.

“Kini, saya sedih setiap kali memikirkan keadaan Saddam dan kos rawatan serta perjalanan kerana perlu berulang dari Mersing ke Johor Bahru setiap minggu untuk rawatan susulan,” katanya.

Katanya, sekolah ada memberi bantuan RM300 hasil kutipan daripada pelajar sekolah itu dan ia sedikit sebanyak meringankan beban saya.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Pelajaran Johor berkata, pihaknya menyiasat dakwaan terbabit sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami akan mengumpul maklumat diperlukan sebelum memastikan sama ada pelajar berkenaan layak menerima bantuan kewangan atau keperluan lain yang bersesuaian,” katanya.

Pemilik kilang parah kereta meletup

SEBERANG JAYA: “Saya bergegas ke rumah anak selepas terima panggilan daripada pembantu rumahnya dan terkejut melihat muka dan tubuhnya hitam terbakar,” kata Lee Ah Lok, 72, bapa kepada seorang pemilik kilang menghasilkan kepingan besi yang parah apabila keretanya meletup dan terbakar dalam kejadian di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, pagi semalam.
Menurutnya, ketika itu dia bersarapan di kawasan Permatang Pauh berhampiran kedai runcitnya sebelum menerima panggilan berkenaan dan bergegas ke rumah anaknya itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, didapati anaknya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan keadaan muka dan badannya hitam kesan terbakar.

“Sehingga tengah hari (semalam), anak saya masih tidak sedarkan diri dan terpaksa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, mangsa, Lee Chong Beng, 52, parah apabila kereta Nissan X-Trail yang dipandunya meletup dan terbakar di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang.

Bagaimanapun, bapa kepada empat anak berkenaan berjaya ditarik keluar oleh jirannya yang kebetulan melihat kejadian itu.


Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dengan ambulans selepas melecur kira-kira 60 peratus.

Mangsa dikatakan baru masuk ke dalam kenderaannya untuk ke kilangnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Perai.
Bagaimanapun, ketika mangsa cuba menghidupkan kenderaannya itu, secara tiba-tiba ia meletup sebelum terbakar.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan awal mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) itu meletup dan mengeluarkan api sebelum menyambar mangsa yang berada di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, mangsa dapat diselamatkan selepas dibantu orang ramai sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan setakat ini belum dapat ditentukan sama ada ia disebabkan kemalangan atau sabotaj.

“Unit forensik polis dan bomba kini masih menjalankan siasatan, kemungkinan juga akan memanggil Jabatan Kimia bagi membantu siasatan,” katanya.

Turut hadir di tempat kejadian semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah dan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah.

Berikutan kecederaan teruk yang dialami, mangsa dirujuk ke HPP untuk menerima rawatan lanjut kira-kira jam 12 tengah hari semalam dan kini keadaannya kritikal, tetapi stabil.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Prai, A’azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi.

Menurutnya, dua jentera bersama 11 anggota berkejar ke lokasi dan tiba di tempat kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.

Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati mangsa sudah berada di luar kenderaannya dipercayai diselamatkan oleh orang ramai.

“Kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.53 pagi. Punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Rahsia panggilan tak berjawab

BUKIT MERTAJAM: “Seperti biasa saya bersalam dengannya sebelum arwah pergi kerja tetapi secara tiba-tiba arwah mencium dahi saya menyebabkan saya terkejut,” kata Siti Junaidah Mohd Hasnan, 20, bakal tunang Konstabel Nan Ruazlan Zulkifli, 23, yang maut dalam kemalangan ketika cuba mengejar sebuah kereta yang dalam keadaan mencurigakan di Permatang Tinggi, di sini jam 8.45 malam kelmarin.
Siti Junaidah berkata, dia tidak menyangka tindakan arwah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini menjadi petanda bakal tunangnya itu meninggalkan dia selamanya.

Katanya, sebelum kejadian, Ruazlan datang ke rumahnya yang terletak bersebelahan rumah arwah kira-kira jam 8 malam dan ketika itu tidak menunjukkan sikap pelik atau meninggalkan apa-apa pesanan sebelum mereka bersalam dan arwah mencium dahinya.

Menurutnya, setengah jam kemudian dia menghubungi arwah namun panggilannya tidak dijawab menyebabkannya tidak sedap hati.

Katanya, kebiasaannya arwah menjawab panggilan telefonnya meskipun sibuk dengan tugas sebagai anggota polis.

“Pada malam kejadian, saya membuat panggilan telefon kepadanya namun tidak dijawab menyebabkan saya susah hati.

“Saya hubungi lagi berulang kali, namun tidak dijawab dan merasakan ada sesuatu yang tidak elok menimpa arwah,” katanya ditemui di rumah mayat Hospital Bukit Mertajam, di sini, malam kelmarin.

Siti Junaidah berkata, dia hanya mengetahui kemalangan yang menimpa arwah melalui seorang rakan abangnya yang menghubungi bertanyakan nombor pendaftaran motosikal arwah.
“Jam 9 malam, seorang rakan abang hubungi saya bertanyakan nombor pendaftaran motosikal milik arwah.

“Dia (rakan abang) melihat satu kemalangan dan ingin kepastian sebelum memberitahu arwah terbabit kemalangan,” katanya.

Menurutnya, mereka merancang bertunang dalam masa dekat ini, namun hajat itu tidak kesampaian kerana Ruazlan terlebih dulu meninggalkannya.

“Kami sudah membuat persediaan dan arwah juga sudah membeli beberapa barang untuk dijadikan hantaran pada majlis itu nanti.

“Arwah juga sudah menghantar barang hantaran itu ke rumahnya di Johor, namun semuanya kini tinggal kenangan,” katanya.

Menurutnya, sejak enam bulan mengenali Ruazlan, arwah seorang yang peramah dan sikapnya menyenangkan dia serta ahli keluarganya. Arwah tinggal menyewa bersama dua abang Siti Junaidah iaitu Mohd Rosnaini, 32, dan Mohd Amirudin, 30.

Siti Junaidah berkata, dia reda dengan kejadian itu meskipun sedih dan akan mengiringi jenazah arwah ke kampungnya di Felda Kahang Barat, Kluang, Johor untuk pengebumian.
-metro

Nissan X-Trail meletup, pemilik kilang melecur




keadaan Nissan X-Trail yang meletup dan terbakar di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, Seberang Jaya semalam.


BUKIT MERTAJAM – Seorang pemilik sebuah kilang keluli melecur 70 peratus anggota badan selepas kenderaan pacuan empat roda Nissan X-Trail miliknya meletup ketika mangsa menghidupkan enjin kenderaan itu semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, Seberang Jaya itu, Lee Chong Beng, 52, bernasib baik kerana sempat diselamatkan oleh jiran-jiran yang mendengar letupan kuat sebelum melihat kenderaan mangsa terbakar.
Chong Beng dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang mahu ke pejabatnya di Perai di sini menghidupkan enjin Nissan X-Trail tetapi kenderaan itu meletup secara tiba-tiba dan api terus menyambar tubuh mangsa yang ketika itu berada dalam kenderaannya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata, beberapa jiran dan orang awam yang menyedari kejadian itu membantu menyelamatkan mangsa dan menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
“Pasukan polis forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mengetahui punca kenderaan itu meletup dan terbakar,” kata beliau selepas meninjau tempat kejadian di sini semalam.

Jumpa mayat tanpa kepala



ALOR GAJAH – Dua orang nelayan yang sedang asyik merawai udang di laut terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki tanpa kepala dan tangan kanan di perairan Kuala Linggi di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 malam itu, mayat yang hanya memakai seluar dalam itu ditemui terapung kira-kira dua batu nautika dari Kuala Linggi dalam keadaan fizikal yang tidak sempurna kerana dipercayai telah dimakan ikan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui oleh dua nelayan yang melihat satu objek ketika merawai ikan di laut.
“Mereka kemudian menghampiri objek itu yang pada mulanya disangka bangkai haiwan.
“Sebaik tiba, nelayan tersebut terkejut apabila mendapati objek itu rupa-rupanya mayat seorang lelaki tanpa kepala dan tangan kanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Banjir Kuala Dipang tidak berubah




SEORANG penduduk menyelamatkan barang-barang keperluan apabila rumahnya ditenggelami banjir di Kampung Nyior, Kampar semalam.


KAMPAR – Keadaan banjir di Kuala Dipang dekat sini semalam tidak banyak berubah dengan 1,166 penduduk masih ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar dan Dewan Pulau Berganding di sini.
Bagaimanapun, hujan lebat yang melanda awal pagi semalam menyebabkan dua lagi kampung turut dilanda banjir iaitu Kampung Changkat Jering dan Kampung Mesah dekat sini.
Kelmarin, penduduk tujuh kampung terlibat ialah dari Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Dipang, Kampung Melaya, Kampung Pasir, Kampung Nyior dan Kampung Pulau Berganding.
Ketua UMNO Bahagian Kampar, Datuk Mohamed Radzi Manan berkata, berdasarkan situasi semasa, banjir yang menenggelami sebahagian besar Pekan Kuala Dipang itu dijangka hanya akan surut dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari lagi.

Maut digilis selepas jumpa tunang




ANGGOTA polis mengusung jenazah Nan Ruazlan yang terbunuh selepas digilis sebuah lori satu tan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.


BUKIT MERTAJAM – Hasrat murni seorang anggota polis untuk mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya hujung Mei ini berkecai apabila dia maut selepas menjadi mangsa langgar lari oleh sebuah lori satu tan di Jalan Permatang Tinggi dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 8.45 malam itu mengakibatkan anggota polis dari Balai Polis Machang Bubok, Konstabel Nan Ruazlan Zulkefle, 23, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Nan Ruazlan merupakan anak kelahiran Felda Kahang Barat, Kluang, Johor.
Kemalangan itu berpunca apabila Nan Ruazlan yang sedang meronda bersama seorang rakan dengan menunggang dua buah motosikal terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan.
Ketika hendak berhenti selepas memintas kereta itu, pemandunya yang merupakan seorang lelaki telah memecut laju hingga bergesel dengan motosikal mangsa.
Akibatnya, mangsa terbabas lalu melanggar pembahagi jalan hingga menyebabkan Nan Ruazlan terpelanting di atas jalan sebelum dia digilis sebuah lori.

Mati mengejut ketika peras ugut




DI RESTORAN makanan laut inilah salah seorang daripada dua suspek yang menyamar sebagai pegawai Imigresen untuk melakukan peras ugut menemui ajal akibat serangan jantung dalam kejadian di Kampung Atas tinggi, Pasir Mas Kelantan Isnin lalu.


PASIR MAS – Kedatangan dua lelaki berwajah bengis yang menyamar sebagai pegawai Imigresen untuk memeras ugut seorang pengusaha restoran makanan laut berakhir dengan kejadian tidak diduga apabila salah seorang suspek mati mengejut akibat diserang penyakit jantung.
Kejadian mengejutkan pukul 8.30 malam Isnin lalu di Kampung Atas Tinggi di sini itu mengakibatkan rakannya turut diberkas selepas dia gagal melarikan diri akibat ‘menggigil’ melihat mangsa yang tidak sedarkan diri selepas melakukan penyamaran dan peras ugut.
Difahamkan, kedua-dua suspek belum sempat mengambil wang tersebut kerana kejadian berlaku ketika mereka sedang melakukan peras ugut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, sebelum kejadian, suspek telah datang ke restoran itu untuk memeras ugut pemilik dan pekerja premis itu.
Katanya, belum sempat wang diambil, salah seorang suspek kemudian rebah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian hingga membuatkan pemilik dan pekerja restoran serta rakan suspek panik.

Suami isteri dituduh bunuh amah



mey sichan


BUKIT MERTAJAM – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan dengan niat bersama membunuh seorang amah warga Kemboja pada 1 April lalu.
Soh Chew Tong, 43, dan isterinya Chin Chui Ling, 41, dituduh dengan niat bersama melakukan kesalahan itu terhadap Mey Sichan, 24, seorang warga Kemboja di premis bernombor 2190 Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak di sini pada 1 Januari hingga 1 April.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mereka yang diwakili peguam bela, Michael KL Chee hanya tunduk ketika pertuduhan dibacakan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Chiang Kian Hong menetapkan pada 7 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurdeenie Abdul Rashid.
Difahamkan, tiga pekerja pasangan itu, termasuk seorang wanita, dibebaskan dan menjadi saksi pendakwaan.
Akhbar pada 5 April lalu melaporkan mayat Mey Sichan ditemui di atas katil di dalam sebuah stor barang di tingkat dua premis perniagaan milik kedua-dua tertuduh.

Produk halal, haram dicampur



MOHD. AMRI menunjukkan makanan halal (kiri) dan tidak halal (kanan) yang disimpan di bilik sejuk yang sama di Cheras, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sebuah premis pembekal makanan sejuk beku yang dipercayai untuk pasaran sekitar Cheras di sini diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam setelah pemilik kedai itu didapati mencampur produk makanan halal dan tidak halal dalam bilik sejuk beku yang sama.
Premis yang terletak di Taman Bukit Anggerik, Cheras itu dikatakan telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan menjual pelbagai produk sejuk beku seperti sosej, bebola ikan dan kek ikan tetapi pada masa yang sama turut menjual bebola dan sosej babi.
Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Hub Halal Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, berdasarkan hasil serbuan, pihaknya mendapati pemilik premis berkenaan mencampurkan semua produk makanan itu di dalam bilik sejuk yang sama.
“Hasil pemeriksaan memang didapati wujud percampuran produk halal dan tidak halal dalam bilik sejuk beku yang sama.
“Ini merupakan satu isu yang sensitif kepada umat Islam dan Jakim memandang serius tindakan pemilik premis berkenaan kerana produk makanan tersebut turut dijual kepada pengguna Islam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.