Search This Blog

Friday, April 13, 2012

2 lelaki lakukan seks sejenis dijel 3 tahun

DUBAI: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara maksimum tiga tahun selepas mahkamah mendapati mereka melakukan hubungan seks songsang di bawah pokok.
Mahkamah semalam memenjarakan dua suspek itu, seorang guru warga Britain dan seorang kakitangan dari Seychelles, masing-masing tiga tahun.

Seorang saksi rakyat Palestin yang meletakkan keretanya di belakang stesen minyak melihat dua lelaki itu melakukan hubungan seks sejenis di bawah pokok.

Kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 40 tahun itu mengaku bersalah. Seorang daripada suspek juga didenda 1,000 dirham (RM835) kerana minum minuman keras. - SG

Bapa mengaku bunuh anak sakit mental

MAKKAH: Seorang bapa berusia 70-an semalam mengaku di mahkamah Syariah membunuh anak lelakinya yang berusia 30 tahun kira-kira 11 bulan lalu.
Menurut polis, anak lelakinya itu menghidap sakit mental.

Kes itu difailkan sebagai kes bunuh diri berdasarkan keterangan ibu bapanya.

Bagaimanapun, Biro Siasatan dan Pendakwaan di Riyadh menghantar semula kes itu ke Mahkamah Makkah kerana terdapat percanggahan. Ibu bapa mangsa pada awalnya mendakwa anak lelaki mereka menikam lehernya sendiri selepas mereka enggan memberinya wang. - SG

Tukang cat didakwa culik remaja





2012/04/13

KUALA LUMPUR: Seorang tukang cat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan menuntut wang tebusan sebanyak RM50,000 daripada bapa mangsa, minggu lalu. 

Lau Kin Yong, 22, bersama seorang lagi yang masih bebas, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kedai 7-Eleven, Jalan Kas Kas, Taman Cheras, di sini, pada 7.20 pagi, 2 April lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Siti Shakirah membenarkan Lau diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan juga diperintahkan menjauhkan diri dari mangsa. 

Majistret kemudian menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

Tertuduh diwakili peguam R Sritheran manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abdul Halim. - BERNAMA

Pencuri bunuh diri, dua mayat reput ditemui dirumahnya

TOKYO: Seorang lelaki yang disyaki pencuri, membunuh diri dengan melompat dari bumbung apartmennya apabila polis menyerbu rumahnya untuk mencari dua mayat yang dikatakan disumbat di dalam almari baju.
Fuji TV dan media lain melaporkan, anggota polis menghentikan pencarian mayat di rumah Isao Takahashi, 62, apabila lelaki itu terjun dari bumbung bangunan enam tingkat setelah memberitahu mereka dia perlu membatalkan temujanji.

Dua hari kemudian, pemilik rumah Takahashi, menemui dua mayat reput yang dibalut surat khabar dan plastik ketika melakukan pembersihan di apartmen itu di Fukushima.

Anggota polis dipetik oleh akhbar tempatan Kahoku Shimpo sebagai berkata: “Suspek membunuh diri kira-kira 10 minit selepas kami memulakan kerja mencari. Kami kemudian menghentikan kerja mencari apabila tidak menemui mayat itu.

Polis Fukushima bagaimanapun berkata mereka tidak dapat mengesahkan laporan itu. - AFP

Putrajaya rekod 1,247 kemalangan tahun lalu

PUTRAJAYA: Statistik menunjukkan 1,247 kes kemalangan jalan raya direkodkan di kawasan ini sepanjang tahun lalu, berbanding 1,334 pada 2010, namun kes membabitkan kemalangan maut dan langgar pejalan kaki didapati sedikit meningkat.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman berkata, daripada hanya tiga kes pada 2010, kemalangan maut meningkat 11 kes tahun lalu, malah kemalangan membabitkan pejalan kaki turut meningkat tujuh kes pada tahun lalu, berbanding enam kes pada tahun sebelumnya. Menurutnya, kadar kemalangan yang tinggi itu antara lain disebabkan aspek pematuhan peraturan lalu lintas yang rendah di kalangan pengguna.

“Aspek pematuhan peraturan lalu lintas rendah di Putrajaya, malah berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada Jun tahun lalu mendapati kadar pemakaian topi keledar dan tali pinggang keselamatan masih di tahap rendah iaitu 50.3 peratus. “Bukan itu saja, saya sering melihat pengguna jalan raya tak hormat langsung lampu isyarat warna merah. Kadang-kadang mereka bertindak sedemikian ketika pihak berkuasa tiada di kawasan itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Hadiah Pertandingan DeCare di sini, semalam. DeCare iaitu pertandingan berkaitan pendidikan keselamatan jalan raya membabitkan kanak-kanak dan dewasa dilaksanakan PPj sejak 2009 bagi memberi peluang peserta mengetahui lebih lanjut sikap dan tatacara selamat ketika di jalan raya.

Polis bongkar tiga makmal dadah di Klang, Kedah dan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Polis percaya telah menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan yang aktif di beberapa negeri apabila menahan 14 lelaki dan dua wanita serta membongkar tiga makmal memproses dadah dalam serbuan di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis turut merampas 2.5 kg dadah jenis syabu, bahan-bahan kimia dan pelbagai peralatan memproses dadah.
Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM266,288 dan 10 buah kenderaan mewah bernilai lebih RM1 juta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Klang, Selangor, polis menahan sembilan lelaki dan dua wanita serta merampas 228 gram syabu bersama peralatan memproses dadah.


Susulan serbuan itu, polis membuat serbuan di sebuah dusun di Kampung Kemunting, Karangan di Kulim, Kedah dan menahan tiga lelaki yang sedang membungkus dadah dalam sebuah pondok yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah, katanya. - Bernama

Mangsa banjir di Kampar meningkat

KAMPAR: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan di sini bertambah kepada 1,166 orang tengah hari ini berbanding 1,145 orang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir berkata seramai 862 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar dan selebihnya di Dewan Pulau Bergading.
Antara kampung terlibat banjir ialah Kampung Melayu, Kampung Baru, Kampung Pasir, Kampung Nyior, Jeram, Kampung Mesah, Kuala Dipang, Changkat Jering dan Kampung Batu 20.

Hujan lebat pada Rabu menyebabkan air Sungai Kampar melimpah dan membanjiri kampung terlibat.


Tinjaun Bernama mendapati air masih bertakung di kawasan terlibat berikutan hujan lebat malam tadi.

Sementara itu, pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Sungai Segar yang menempatkan 39 mangsa banjir di Ijok, Selama ditutup pagi ini apabila kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing. - BERNAMA 

Ahli perniagaan cedera parah kereta meletup di Butterworth

BUTTERWORTH: Seorang ahli perniagaan cedera parah apabila kereta jenis Nissan X-Trail miliknya meletup ketika beliau menghidupkan enjin kereta itu di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilangdi sini hari ini.
Kejadian pada pukul 8.20 pagi itu menyebabkan Lee Chong Beng, 52, terbakar lebih 70 peratus di bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakub berkata ketika kejadian, Lee ingin menghidupkan enjin kereta itu untuk keluar bekerja.

"Ketika mangsa menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba berlaku letupan dan mengeluarkan api serta menyambar mangsa. Mangsa yang panik menjerit meminta tolong dan diselamatkan oleh orang awam yang melalui kawasan perumahannya itu," katanya.


Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini hari ini, Ayub berkata sepasukan anggota bomba memadamkan kebakaran daripada merebak ke rumah mangsa.

Ayub berkata anggota forensik dengan bantuan Jabatan Kimia masih menyiasat punca kereta itu meletup dan terbakar.

"Setakat ini kita belum tahu punca sebenar sama ada kejadian itu disebabkan sabotaj atau kereta mangsa mengalami masalah," katanya. - BERNAMA

Dendam lama dorong bakar motor

KUALA LUMPUR: Akibat dendam, satu keluarga hidup dalam ketakutan apabila seorang lelaki dikenali mengganggu hidup mereka termasuk membakar sebuah motosikal milik ahli keluarga itu dalam kejadian di Bandar Baru Sentul, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun terkejut selepas dimaklumkan motosikal Honda EX5 miliknya dibakar seorang lelaki ketika sedang tidur.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chandran, 17, berkata, dia menyedari motosikalnya dibakar selepas dipanggil jiran yang melihat kepulan api marak memenuhi ruang tempat letak motosikal.

Katanya, sebaik keluar, dia mendapati motosikal kesayangannya sedang terbakar dan cuba dipadamkan anggota bomba dan penyelamat bagi mengelakkan merebak ke kenderaan lain.

“Saya mengesyaki seorang lelaki yang bertanggungjawab membakar motosikal kerana berdendam dengan saya ekoran pernah ditahan polis selepas memukul saya dan emak tanpa usul periksa beberapa minggu lalu.

“Akibat kejadian itu, saya dan emak mengalami kecederaan di badan sebelum lelaki itu ditahan polis,” katanya di sini, semalam.

Katanya, selepas dibebaskan, lelaki itu masih menyimpan dendam dengan mengugut terus mengganggu hidupnya sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Rebah lalu temui ajal

MELAKA: Seorang pengurus sebuah kilang tiba-tiba rebah sebelum mati di tempat letak kereta di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, M Puspannathan, 54, ditemui mati oleh orang awam yang kebetulan melalui lokasi itu kira-kira jam 9.30 pagi.

Puspannathan dikatakan ke kompleks itu untuk membuat pasport kerana bakal bekerja di Medan, Indonesia Julai ini.

Menurut isteri mangsa, S Indrani, 52, suaminya keluar dari rumah di Bukit Sebukor, di sini kira-kira jam 8 pagi dengan memandu kereta Nissan Shilpy.

“Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada seseorang memaklumkan kejadian menimpa suami.

“Saya amat terkejut kerana suami berada dalam keadaan sihat ketika keluar dari rumah pagi tadi (semalam),” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mendiang juga seorang perokok tidak menghidap penyakit berbahaya sebelum ini. “Suami bekerja sebagai pengurus sebuah kilang di Batu Caves, Selangor dan hanya balik ke Melaka pada setiap hujung minggu untuk berjumpa dengan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhuddin Abd Rahman mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, kematian mangsa tidak membabitkan unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

34 rumah di Pendang dilanda banjir lumpur

PENDANG: Sebanyak 34 rumah di empat kampung di Mukim Air Putih dekat sini dilanda banjir lumpur sedalam 0.2 meter awal hari ini.
Empat kampung yang terlibat dalam banjir lumpur itu ialah Kampung Kilang Kechil (lima rumah), Kampung Lanjut Binjal (12), Lorong Haji Daud, Air Putih (2) dan Kampung Air Putih (15).
Talib Arifin, 70, yang tinggal di Kampung Kilang Kechil berkata hujan lebat ada pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi ini menyebabkan air bukit di kawasan kuari tanah itu mengalir deras secara tiba-tiba dan masuk ke dalam rumahnya dan jiran yang lain.

"Masa kejadian, saya dan isteri Azizah Md Rejab, 64, sedang tidur. Apabila tersedar, kami dapati air sudah mula masuk ke dalam bilik...air naik secara mendadak dan kami tak sempat menyelamatkan barang-barang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.


Talib yang tinggal berdua sahaja bersama isterinya berkata, kawasan rumahnya dan jiran yang terlalu rendah menyebabkan kerap berlaku banjir kilat tetapi banjir lumpur ini yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 50 tahun.- Bernama

Pemandu bebas tuduhan perdagang dua wanita Indonesia

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada dua tuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks, tahun lepas.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lim Kar Choy, 49, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, katanya tiada keterangan mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan itu serta tiada bukti menunjukkan Lim memegang atau menyimpan pasport mangsa.

Lim didakwa memperdagangkan Delima, 22, dan Nia Deniata, 18, bagi maksud ekploitasi seks di hadapan Restoran Mook Thai Food, No. 15, Jalan Alor, di sini, 6 Sept 2011.


Lim didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Amiyerra Awod Abdullah manakala Lim diwakili peguam Indran Kumaguru. - Bernama

Tergelincir ambil selipar

JOHOR BAHRU: “Selipar adik terjatuh ke dalam parit besar dan dia cuba mengambilnya sebelum tergelincir,” kata Mohd Danial Fitri, 9, abang kepada Mohd Danish Aqmal Aziz, 6, yang lemas di Sungai Anak Sebulung, Kampung Melayu Majidee di sini, jam 4 petang kelmarin.
Menurut Danial, ketika kejadian mereka baru pulang bermain di taman permainan berhampiran kediaman.

“Setiap hari saya dan adik akan ke taman berkenaan untuk bermain. Kami dalam perjalanan pulang ke rumah apabila selipar adik terjatuh ke dalam parit itu.

“Saya berkali-kali melarang adik mengambilnya namun tidak diendahkan. Adik tiba-tiba tergelincir dan terjatuh sebelum menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Danial, dia yang tidak mampu berbuat apa-apa terus menjerit sekuat hati bagi mendapatkan bantuan dan beberapa penduduk bergegas ke lokasi untuk membantu.

“Adik tidak lagi bergerak selepas dia dinaikkan ke darat dan saya hanya mampu menangis,” katanya.


Bapa mangsa, Aziz Tarmin, 34, yang juga polis bantuan peronda lebuh raya berkata, tiada sebarang perubahan sikap ditunjukkan anak bongsu daripada tiga beradik itu sebelum kejadian.

“Danish hanya kerap menghubungi saya meminta dibawa ke rumah baru kami di Taman Sri Skudai.
“Saya dimaklumkan berkaitan kejadian pada jam 5 petang dan bergegas pulang ke rumah bersama isteri,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Aziz, mereka dimaklumkan bahawa Danish sudah meninggal dunia sejurus tiba.

Penduduk, Zainal Abdul Hanan, 57, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan berkaitan perkara itu.

“Saya terus maklumkan kepada belia di sini untuk membantu dan ada yang terjun ke sungai berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Sejurus dibawa naik, kami membawanya ke hospital namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Baju tersangkut dasar tali air

BATU PAHAT: “Kalau saya ada lagi, pasti saya akan pergi.” Itu pesanan terakhir Muhammad Syaiful Radzi, 12, kepada rakannya ketika diajak bermain futsal pada hujung minggu ini sebelum dia lemas ketika memancing di pintu kunci air Jalan Rejo Sari, petang kelmarin.
Malah, perwatakan Syaiful yang bertukar pendiam beberapa hari sebelumnya dianggap sebagai petanda dia akan pergi buat selamanya.

Hal itu diceritakan ibunya, Zakiah Kasidi, 45, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Bahrum, semalam.

“Arwah yang mesra dipanggil abang di kalangan ahli keluarga sempat menjamah nasi lemak dibeli atuknya untuk makan tengah hari pada hari kejadian.

“Selepas makan tengah hari, abang keluar secara senyap-senyap bersama rakannya,” katanya.

Menurut Zakiah, dia hanya mengetahui berkaitan kejadian selepas beberapa penduduk mengunjungi kediamannya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.


Katanya, sejurus tiba, dia mendapati Syaiful sudah meninggal dunia dan dinaikkan ke darat oleh orang ramai.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakan memancing sebelum bergerak ke tengah tali air berkenaan.
Bagaimanapun, pakaian mangsa tersangkut pada besi di dasar tali air sebelum ditarik arus. Panik dengan kejadian, rakan Syaiful cuba membantunya namun gagal, mereka kemudiannya mendapatkan bantuan daripada penduduk setempat.

Bapa Syaiful, Abdul Rahim Ibrahim, 46, berkata, ketika kejadian dia bekerja dan menerima panggilan daripada abang iparnya supaya membawa pulang kakak mangsa, Nur Jannah Zafira, 15, yang ketika itu berada di asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Senggarang.

“Saya tidak dimaklumkan berkaitan kejadian dan hanya mengetahuinya daripada ahli keluarga yang lain selepas menjemput Jannah.

“Syaiful sangat manja dengan ibunya. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Jenazah Syaiful dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Bahrum kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dikatakan baru selesai memancing sebelum terjun ke tali air terbabit untuk mandi.

“Mangsa tiba-tiba tenggelam dan maklumat awal mendapati bajunya tersangkut pada besi di dasar tali air. “Rakan mangsa cuba membantu namun gagal. Dia berjaya dibawa naik setengah jam kemudian namun sudah meninggal dunia,” katanya, semalam.

Menurut Din, mangsa dikatakan pergi memancing pada jam 2 petang dan sehingga 15 orang awam membantu untuk menyelamatkan mangsa namun gagal.

“Kejadian terbabit pertama kali berlaku di lokasi terbabit dan orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelak daripada ditimpa kejadian tidak diingini,” katanya.

Tercampak atas bonet

LAHAD DATU: Seorang warga emas yang cuba melintas jalan menemui ajal di atas bonet kereta apabila dirempuh kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.15 pagi, mangsa, Marakala Highdra, 55, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Shamsudin Mat berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan cuba melintas jalan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga menyebabkan lelaki terbabit tercampak di atas bonet hadapan kereta sebelum terlentang di tengah jalan.

“Kenderaan ini dipandu warga emas berusia 60 tahun yang dipercayai dalam perjalanan dari pekan ini ke Tungku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, kesan perlanggaran itu menyebabkan mangsa cedera teruk di kepala termasuk patah kaki kanan. “Polis menahan pemandu kenderaan terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Mayat dihantar ke Hospital Daerah Lahad Datu (HLD) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris mangsa untuk dikebumikan,” katanya.

Shamsudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membantu siasatan.

Ibu dibawa beli-belah maut nahas

MUAR: Hasrat seorang wanita membawa ibunya membeli-belah di bandar ini tidak kesampaian apabila motosikal yang mereka tunggang terbabit dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman berhampiran Parit Sakai di sini, kelmarin menyebabkan ibunya itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Jaminah Dariman, 74, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala serta badan.

Anaknya, Suhailah Amal, 51, parah dan kini di rawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Difahamkan, ketika kejadian, dua beranak itu dalam perjalanan ke bandar Muar untuk membeli pakaian serta barangan keperluan dapur.

Saksi, Ahmad Md Monoto, 20, berkata, ketika kejadian dia mahu melintas jalan berkenaan bersama rakan sebelum terlihat sebuah kereta jenis BMW cuba memotong kenderaan di depan, namun gagal.

“BMW terbabit kemudiannya menghimpit ke bahu jalan dan memasuki laluan motosikal sebelum bergesel dengan motor ditunggang mangsa.


“Saya lihat penunggang motosikal itu hilang kawalan dan kedua-duanya kemudiannya tercampak ke atas jalan raya,” katanya.

Menurut Ahmad, orang ramai cuba membantu, namun seorang daripada mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah mangsa di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

4 lelaki mengamuk

KENINGAU: Akibat perbuatan suami yang suka berhutang, seorang isteri merana dan trauma apabila rumahnya di Taman Bersatu, di sini, dicerobohi empat lelaki yang mengamuk dan memecah pelbagai peralatan selepas gagal mencari suaminya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.15 malam, mangsa berusia 32 tahun bersama tiga anaknya bernasib baik kerana tidak dicederakan, namun beberapa peralatan rumah termasuk almari dan peralatan dapur rosak, menyebabkan kerugian RM8,000.

Sumber berkata, suami mangsa dikatakan berhutang dengan seorang daripada empat lelaki terbabit dan gagal menjelaskan hutang itu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kumpulan lelaki terbabit datang ke rumah mangsa mencari suaminya bagi menuntut hutang berkenaan.

“Apabila mendapati suami wanita itu tiada di rumah, kumpulan lelaki terbabit terus mengamuk dan memecahkan pelbagai barangan di dalam rumah,” katanya. Menurutnya, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan tiga anaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed, ketika dihubungi berkata, berdasarkan laporan mangsa, sepasukan polis ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.


“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan, namun polis menggerakkan operasi bagi memburu semua suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Zahari mengesahkan serangan dikaitkan suami mangsa berhutang dengan seorang daripada penyerang itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 448, Kanun Keseksaan.

Kaca putus urat keting

KUALA TERENGGANU: Akibat tersepak gelas pecah ketika bermain dengan adiknya, seorang kanak-kanak nyaris kehilangan kaki kiri dalam kejadian di Kampung Nibong, Dungun, Isnin lalu.
Mangsa, Mohd Firdaus Abd Rahim, 10, bagaimanapun, bernasib baik apabila serpihan kaca itu hanya memutuskan urat ketingnya dalam kejadian jam 12.30 tengah hari di rumahnya di kampung berkenaan.

Anak keempat dari enam beradik itu ketika ditemui di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata dia tidak menyedari gelas berkenaan berada di atas lantai ketika berkejaran dengan adik bongsunya dalam rumah.

“Kejadian berlaku spontan dan saya tidak tahu bagaimana kaki kanan boleh tersepak gelas itu sehingga berderai sebelum serpihannya menusuk bahagian belakang kaki kiri,” katanya.

Ditikam ‘goda’ isteri rakan niaga

GOMBAK: Hanya dikatakan sering menggoda isterinya, seorang peniaga parah dibelasah rakan niaga selain ditikam dengan pisau di belakang badan dalam kejadian di Selayang Baru, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun menaiki van datang ke gerai makan miliknya bersama isteri berusia 38 tahun untuk menghantar bekalan makanan sebelum berjumpa rakan niaga itu.

Menurut sumber, mangsa menyapa lelaki terbabit sambil memberi senyuman, namun tidak dibalas sebaliknya bertukar tegang apabila dia dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata kesat.

“Pelik dengan sikap lelaki terbabit yang tiba-tiba naik angin, mangsa cuba meminta penjelasan, namun terkejut apabila lelaki itu mendakwa dia sering mengacau dan cuba menggoda isterinya.

“Bagaimanapun, mangsa menafikan dan memberitahu semua itu salah faham dan dia tidak pernah menggoda isteri lelaki itu tambahan dia sudah berkahwin,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu enggan mempercayainya dan menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum kejadian itu disedari isteri mangsa yang datang membantu.

“Namun, niat wanita terbabit yang ingin meleraikan pertengkaran gagal sebaliknya dia ditumbuk di muka beberapa kali.

“Tidak tahan dipukul mangsa dan isterinya cuba melarikan diri untuk mendapatkan bantuan menyebabkan lelaki terbabit bertambah berang sebelum mengambil pisau dan menikam belakang badan mangsa menyebabkan dia mengerang kesakitan,” katanya.
Menurutnya, lelaki terbabit yang panik melihat mangsa berlumuran darah melarikan diri sementara isteri mangsa yang ketakutan menjerit meminta tolong sebelum ia disedari rakan mangsa lain yang datang membantu dan menghantarnya ke Hospital Selayang.

Isteri mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri dan suami membuat laporan di Balai Polis Selayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Hilang ingatan dibelasah


LUKA...Ahmad Azraf menunjukkan siku kanan yang cedera selepas dibelasah, semalam.
LUKA...Ahmad Azraf menunjukkan siku kanan yang cedera selepas dibelasah, semalam. 


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah di kepala dan mengalami hilang ingatan manakala rakannya cedera ringan selepas ditumbuk dengan buku lima dalam kejadian samun kereta mewah di Lebuhraya Metramac, arah Cheras berhampiran Bandar Sri Permaisuri, di sini, awal semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, mangsa, Mariss Khan Mer Amanullah Khan, 32, dan Ahmad Azraf Azman, 26, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain badminton apabila kereta Honda Civic dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta BMW dari arah belakang di tempat kejadian.
Ahmad Azraf berkata, sejurus dilanggar, dia memberhentikan keretanya di tepi jalan sebelum keluar dari kereta bersama Mariss Khan untuk melihat kerosakan.

Menurutnya, tiga lelaki kemudian turun dari kereta BMW berkenaan, namun dia terkejut selepas mendapati dua daripada mereka bersenjatakan buku lima manakala seorang lagi membawa parang berlari ke arah kereta mereka.


“Lelaki yang membawa parang itu menyerang dengan senjatanya, namun saya sempat mengelak, tetapi saya tetap ditumbuk lelaki itu beberapa kali.

“Mariss tidak sempat mengelak kerana dua lelaki itu sudah menumbuknya bertubi-tubi dengan buku lima di muka dan kepala hingga pengsan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Duit mahu, suami tak mahu


DAIF...dua anak wanita terbabit  di hadapan rumah mereka yang usang.
DAIF...dua anak wanita terbabit di hadapan rumah mereka yang usang.


PASIR GUDANG: Suami yang separuh lumpuh dan dua anak masih kecil ditinggalkannya tanpa penjagaan, namun dia pulang ke rumah sebulan sekali semata-mata mengambil wang bantuan persekolahan anaknya sebanyak RM300 yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Begitu sikap seorang isteri durjana yang menyebabkan suaminya berusia lewat 50-an dan dua anak perempuan berusia sembilan dan 13 tahun hidup melarat serta bergantung kepada keprihatinan jiran untuk makan dan minum setiap hari.
Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim yang mendedahkan sikap isteri berusia 30-an itu berkata, kejadian itu berlarutan lebih setahun lalu, sebelum dikesan pihaknya, baru-baru ini.

Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati wanita terbabit membiarkan suaminya yang uzur akibat angin ahmar dan mengalami jangkitan kuman pada kaki kiri kerana diabetes terlantar di pondok usang bersama dua anak mereka.


Selepas menerima maklumat mengenai nasib tiga beranak itu yang tinggal di pondok yang hampir roboh di sebuah kampung di sini, Manayi berkunjung ke situ semalam untuk melihat nasib mereka sambil ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Wanita lindungi warga Bangladesh ditahan

MELAKA 12 April - Seorang wanita tempatan yang tinggal serumah dengan lima lelaki Bangladesh diberkas dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen negeri di Taman Merdeka di sini malam tadi.
Dalam serbuan Ops Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) pukul 12 tengah malam, wanita berusia 30-an itu ditahan kerana dipercayai menjadi 'pelindung' kepada lima warga Bangladesh yang turut tinggal bersamanya.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, seorang daripada mereka cuba melarikan diri semasa serbuan yang diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen negeri, Salmah Omar.
"Bagaimanapun, cubaan lelaki itu meloloskan diri melalui siling gagal menyebabkan kelima-lima mereka berjaya ditangkap," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Imigresen Ayer Keroh hari ini.
Difahamkan, wanita itu sudah berkahwin dan tinggal di situ kerana mempunyai masalah keluarga.
Kamalludin berkata, mereka adalah sebahagian daripada 103 warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasi bermula pukul 2 petang sehingga 5 pagi ini.
Semua mereka yang merupakan warga Nepal, Bangladesh, India dan Indonesia itu ditahan masing-masing di premis rumah kedai di Jalan Munshi Abdullah, Melaka Sentral, Peringgit dan Taman Merdeka.
Menurutnya, kebanyakan yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah selain tinggal lebih masa di negara ini.
"Selain itu, dua wanita warga Uganda turut melakukan kesalahan dipercayai melakukan aktiviti tidak bermoral," katanya.

Polis buru penyangak Arab

MELAKA 12 April - Polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita dari Asia Barat yang menjadikan juruwang sekitar negeri ini sebagai mangsa untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.
Pasangan dari Asia Barat berusia awal 40-an itu licik apabila turut menggunakan seorang kanak-kanak dalam kegiatan jenayah mereka.
Mendedahkan taktik jenayah samun itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Supritendan Soh Hock Sing berkata, suspek akan menyamar sebagai pelancong dan membeli barangan yang murah dengan harga tertentu menggunakan wang kertas RM100 atau RM50.
"Sebagai contoh, suspek lelaki akan memilih barangan berharga RM2.20 dan menghulurkan sekeping wang kertas RM100 dan syiling 20 sen kepada juruwang, manakala suspek wanita akan menggunakan paras rupanya yang cantik untuk menarik perhatian pekerja lain berbual dengannya.
"Ketika juruwang membuka mesin kaunter untuk memulangkan wang, ketika itulah suspek berpura-pura tidak pernah melihat wang RM50 dan meminta mangsa menunjukkannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.
Tambahnya, juruwang terbabit yang tidak mengesyaki apa-apa akan menyerahkan beberapa keping wang kertas RM50 untuk dibelek dan ketika itulah, suspek dengan pantas mengambil kesempatan mencuri beberapa keping wang itu tanpa disedari.
Menurutnya, dalam dua kes berasingan yang dipercayai dilakukan suspek sama pada 28 Mac lalu dan terbaru pada Selasa lalu, kedua-dua mangsa masing-masing mendakwa kerugian RM250 dan RM1,050.
"Kes itu berlaku di dua pusat beli-belah terkenal. Mangsa tidak sedar kehilangan wang tersebut kerana kejadian berlaku begitu pantas.
"Suspek juga biasanya akan berdiri bersebelahan juruwang untuk membelek wang sebelum meletakkannya semula membuatkan juruwang tidak mengesyaki apa-apa walhal dia sebenarnya sempat mengambil beberapa keping wang," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai terutamanya juruwang supaya lebih berhati-hati apabila dihampiri lelaki dan wanita dari negara Asia Barat itu.
Menurut Hock Sing, usaha mengesan suspek sedang dilakukan termasuk meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Doktor menangis klinik diserbu



Timbalan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM,Mazlan Ismail menunjukkan pil psikotropik haram yang dirampas di sebuah klinik di Taman Danau Desa, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 April - Seorang doktor lelaki menangis teresak-esak dan menggigil apabila klinik miliknya di Taman Danau Desa di sini, diserbu pihak berkuasa kerana dipercayai menjual pil psikotropik kepada penagih dadah hari ini.
Serbuan pukul 10.45 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Doktor berusia lingkungan 40-an yang mendapat pendidikan di dua universiti luar negara itu bagaimanapun bernasib baik apabila dia hanya diambil keterangan dan tidak ditahan.
Selain di Taman Danau Desa, sebuah lagi klinik di Taman OUG di sini turut diserbu kerana melakukan kesalahan yang sama.
Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Mohd. Hatta Ahmad berkata, pemeriksaan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan berhubung tindakan pemilik klinik menjual pil psikotropik yang diharamkan sejak tahun lalu.
Menurutnya, ketika serbuan terhadap klinik di Taman Danau Desa, seorang lelaki dipercayai penagih dadah sedang membeli sejenis pil psikotropik iaitu dormicum.
"Dalam serbuan itu, pihak kami menemui hampir 1,000 biji pelbagai jenis pil tersebut yang terdiri daripada dormicum, stilnox dan valium selain pil viagra.
"Klinik di Taman OUG pula dikesan menjual pil jenis xanex yang akan memberi kesan ketagihan. Pil yang dipercayai diseludup dari Pakistan ini boleh menjadikan mereka yang mengambilnya bertindak agresif termasuk terlibat dalam jenayah," katanya kepada Utusan Malaysia.
Serbuan hari ini diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Mazlan Ismail.
Mohd. Hatta berkata, pil psikotropik diharamkan di negara ini apabila ia dikesan dijual secara tidak dikawal oleh pelbagai pihak dan pengambilan yang tidak mengikut syarat.
"Sepatutnya pil psikotropik hanya untuk pesakit insomnia, tetapi ia kini menjadi pil kegilaan penagih dadah yang kemudian dilaporkan agresif melakukan jenayah," ujarnya.
Difahamkan, klinik tersebut terletak di tingkat bawah sebuah pejabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti dadah.

3 ditangkap pasang iklan ah long




Soh Hock Sing (kanan) menunjukkan sebahagian daripada 289 banting iklan pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Melaka, semalam.


MELAKA 12 April - Jangkaan tiga lelaki bahawa tiada pihak berkuasa bertugas pada hari cuti umum semalam meleset apabila mereka ditahan ketika leka menggantung banting iklan ah long di sekitar Pulau Gadong di sini.
Selain ditahan, kereta yang digunakan kesemua lelaki itu yang sarat dengan 289 banting iklan pinjaman haram turut dirampas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan pada pukul 10.30 pagi dalam satu operasi bersepadu melibatkan JSJK negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
"Sebaik sahaja dihampiri, mereka terkejut kerana mungkin menyangka tiada anggota kerajaan bekerja sempena cuti umum semalam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta jenis Proton Wira yang digunakan menemui 289 keping banting yang memenuhi ruang tempat penumpang dan bonet kereta.
Hock Sing berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Difahamkan, mereka menerima bayaran RM50 sehari setiap seorang sebagai upah memasang banting berkenaan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 29A Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Rogol, cabul anak: Pengawal dijel 30 tahun, sebat 15 kali


KUALA LUMPUR 12 April - "Saya tak akan maafkan DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dunia akhirat".
Demikian reaksi seorang pengawal keselamatan yang tidak dapat menerima hakikat dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan sebatan 15 kali kerana merogol dan mencabul kehormatan anak perempuannya berusia lapan tahun, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini, Roszianayati Ahmad memutuskan demikian hari ini selepas mendapati lelaki itu bersalah atas kedua-dua tuduhan itu ekoran kejayaan pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Dalam keputusannya, Roszianayati berkata, hukuman berat harus dikenakan kepada tertuduh kerana mangsa adalah anaknya sendiri.
"Kamu sepatutnya menjadi pelindung kepada anak kamu tetapi sebaliknya yang berlaku," katanya.
Lelaki berusia 44 tahun itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini antara 10 Mac 2010 dan 3 Ogos 2010.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) dan 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Bagi kesalahan merogol, dia dihukum penjara 25 tahun dan sebatan 10 kali manakala bagi kesalahan mencabul kehormatan, lelaki itu dihukum penjara lima tahun serta sebatan lima kali.
Hukuman bagi kesalahan kedua berkuat kuasa selepas hukuman bagi kes pertama selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali dan Noor Fadzlin Abd. Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Boestamam Ahmad.
Mengikut laporan akhbar sebelum ini, tertuduh semasa dihadapkan kali pertama ke mahkamah mendakwa isterinya curang dan dia perlu menjaga anaknya itu bagi membolehkan dia diikat jamin.

Lebih tiga bayi sudah dijual

KUALA LUMPUR 12 April - Polis percaya lebih daripada tiga bayi sudah dijual susulan pembongkaran sindiket menjual bayi di sebuah restoran di Bukit Tinggi, Klang baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, berdasarkan siasatan, sindiket yang didalangi seorang wanita warga Singapura itu mempunyai rangkaian di seluruh negara dan mula aktif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kata beliau, berikutan itu, pihaknya percaya lebih daripada tiga bayi sudah dijual oleh sindiket tersebut yang sebahagian daripada ahlinya masih bebas.
"Hasil siasatan polis, kita juga sedang mengesan seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini dan dia masih bebas.
"Bagaimanapun, semua enam suspek yang ditahan kecuali wanita Singapura itu, bertindak sebagai orang tengah penjualan bayi," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Jumaat lalu, polis menahan enam individu antaranya sepasang suami isteri, seorang wanita yang hamil lapan bulan dan wanita warga Singapura yang merupakan ketua sindiket.
Dua bayi lelaki diselamatkan dalam serbuan tersebut dan siasatan polis mendapati setiap bayi dijual pada harga mencecah RM28,000.
Tiga wanita terbabit antara empat yang ditahan di sebuah restoran di Jaya Jusco Bukit Tinggi di sini bersama dua bayi yang dipercayai cuba dijual.

Injunksi dua madu Sri Wani didengar 17 Mei



SRI Wani Choo Abdullah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 April - Permohonan injunksi terhadap dua madu oleh seorang pengusaha pusat kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah yang status jantinanya dipertikaikan oleh suami, ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 17 Mei ini.
Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan Sri Wani untuk penambahan tempoh masa bagi meminda afidavit injunksi berkenaan.
Bagaimanapun, hakim tersebut menjelaskan, perbicaraan permohonan itu hanya akan berjalan sekiranya segala dokumen yang berkaitan telah difailkan secara teratur.
Pada prosiding terdahulu, Hakim Abdul Walid menasihati Sri Wani agar permohonan injunksi terhadap madu-madunya yang sebelum ini dibuat secara sebelah pihak (ex-parte), difailkan secara inter-parte(antara pihak).
Ia bagi membolehkan mahkamah mendengar keterangan dan melihat bukti-bukti daripada pihak-pihak yang terlibat terhadap dakwaan tersebut.
Sri Wani, 37, menjadi perhatian selepas suaminya iaitu bekas Dekan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Bahrom Sanugi, 61, memohon perintah agar isteri ketiganya itu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan jantina sebenar wanita itu.
Bahrom membuat permohonan tersebut mengikut Seksyen 85 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 pada 18 Januari lalu selepas meragui jantina sebenar isterinya itu.
Keputusan bagi permohonan itu ditetapkan pada 23 April ini.
Pasangan yang berkahwin di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2008, kini dalam proses untuk memfaraqkan (memisahkan) perkahwinan tersebut.
Pada awal prosiding, Sri Wani memaklumkan bahawa permohonan injunksi itu masih belum diserahkan kepada madu pertama dan kedua sebagaimana yang diperintahkan sebelum ini kerana ingin membuat pindaan terhadap beberapa perkara.
Beliau yang hadir dengan memakai jubah hitam dan berniqab (sehelai kain yang digunakan untuk menutupi muka seorang wanita kecuali mata) warna oren memohon tempoh selama seminggu untuk berbuat demikian.
Wanita itu turut memberitahu bahawa terdapat perbincangan antara beliau dengan peguam suaminya bagi penyelesaian secara baik kes faraq tersebut.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Bahrom, Muhammad Hafiz Ab. Rashid ketika ditemui selepas prosiding mengesahkan perjumpaan tersebut namun memaklumkan pihaknya menolak jalan penyelesaian ekoran syarat- syarat yang ditawarkan tidak munasabah.

Bas kilang rempuh premis




SEBUAH bas kilang terbabas dan merempuh sebuah premis kitar semula di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 12 April - Penduduk di Paya Terubong di sini gempar selepas sebuah bas kilang tiba-tiba terbabas dan merempuh sebuah premis kitar semula di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi apabila pemandu bas berusia lingkungan 40-an yang memandu dari Tingkat Paya Terubong cuba mengelak daripada melanggar penunggang motosikal menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas.
Berikutan kejadian itu, pemandu tersebut mengalami kecederaan di kepala akibat terkena serpihan kaca cermin bas yang pecah.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar sekumpulan pekerja kilang sebelum bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.
Akibat kejadian itu, bas tersebut hilang kawalan lalu melanggar dua buah kenderaan jenis Proton Waja dan Perodua MyVi sebelum merempuh sebuah kedai kitar semula.
Bagaimanapun, penunggang motosikal dan dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan. Seorang kanak-kanak lelaki yang berada dalam MyVi itu turut mengalami kecederaan di bahu.
Jurucakap polis ketika dihubungi hari ini berkata, pemandu bas kilang dan murid sekolah rendah berusia 12 tahun yang cedera itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.
Katanya, ketika kejadian premis terbabit tidak mempunyai pekerja dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat rempuhan kuat bas terbabit.

Banjir selepas hujan lebat lima jam



ROSLI Shabudin meredah air untuk ke rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Nyior, Kuala Dipang, Perak, semalam.


KAMPAR 12 April - Kira-kira 1,500 penduduk daripada 657 keluarga terpaksa dipindahkan selepas banjir melanda beberapa daerah sekitar Perak awal pagi ini ekoran hujan lebat lebih lima jam sejak tengah malam tadi.
Paling teruk terjejas adalah kawasan sekitar Kuala Dipang di sini apabila 1,200 penduduk daripada 254 keluarga terpaksa dipindahkan dalam kejadian banjir paling buruk melanda kawasan itu dalam tempoh 30 tahun.
Operasi memindahkan penduduk terbabit dimulakan seawal pukul 7 pagi selepas rumah mereka dinaiki air mencecah lebih tiga meter.
Banjir di Kuala Dipang turut berpunca daripada ban Sungai Kampar di sini pecah sehingga menyebabkan paras air naik mendadak dalam masa singkat sekali gus menyukarkan penduduk menyelamatkan harta benda.
Kawasan terlibat adalah Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Melaya, Kampung Nyior dan Kampung Pulau Bergading.
Ketika ini, semua mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu seramai 767 mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar manakala 378 mangsa lagi ditempatkan di Dewan Pulau Bergading.
Selain di Kampar, sebanyak 403 rumah di sekitar Ijok, Selama dekat sini turut ditenggelami air iaitu 215 rumah di Kampung Sungai Jernih, Kampung Masjid (76) dan Kampung Sangkut (26).
Dua buah rumah yang terletak di Kampung Sungai Jernih turut runtuh dan dihanyutkan arus deras.
Bagaimanapun, hanya 39 keluarga di sekitar Ijok dipindahkan di Dewan Orang Ramai Sungai Segar.
Banjir turut dilaporkan berlaku di kawasan Batang Padang, Tapah dekat sini yang mana sebuah jambatan bernilai RM500,000 dihanyutkan.
Seorang pengusaha kedai perabot, Mohd. Yusri Basiran, 44, di Kampung Kuala Dipang memberitahu, kesemua perabot yang diperbuat daripada kayu jati bernilai RM600,000 di kedainya ditenggelami air ekoran kejadian itu.
"Air naik begitu pantas sejak pukul 6 pagi. Mana mungkin saya dan empat pekerja lain mampu menyelamat perabot tersebut dalam masa singkat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampung itu hari ini.
Mohd. Yusri yang baru berniaga di kawasan itu dua tahun lalu memberitahu, dalam tempoh setengah jam, kesemua barang di premisnya ditenggelami air.
Penduduk Kampung Baru, Fauziah Abu Hasan Saari, 29, pula berkata, dia dan rakan serumahMaizura Mior Hashim, 32, seperti terhutang nyawa kepada anak kucing yang baru dibela sejak seminggu lalu.
Katanya, anak kucing tersebut yang diberi nama Etot mengiau dengan nyaring sehingga mengejutkan mereka dari tidur ketika air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 2.30 pagi.
"Saya pergi mendapatkannya dan alangkah terperanjat apabila melihat air ketika itu sudah paras betis. Saya segera mengejutkan Maizura dan keluar rumah menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di SMK Kampar.

'Objek terbang' Pyongyang jatuh ke laut




TOKYO: Menteri Pertahanan Jepun, Naoki Tanaka, berkata Korea Utara melancarkan "objek terbang" yang jatuh ke laut selepas terbang seketika.

“Kami mempunyai maklumat bahawa ada objek terbang dilancarkan dari Korea Utara pada jam 7.40 pagi (6.40 pagi waktu Malaysia).

"Objek itu dipercayai terbang lebih seminit dan jatuh ke laut. Ia tidak langsung menjejaskan wilayah negara ini," katanya. - AFP

Korea Utara lancar roket, ingkar amaran antarabangsa


PYONGYANG: Korea Utara melancarkan roket jarak jauh awal pagi tadi, sekali gus mencabar amaran antarabangsa terhadap pelancaran yang dilihat secara menyeluruh sebagai provokasi, kata Menteri Pertahanan Korea Selatan.

Di Washington, Pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata pelancaran itu mungkin gagal.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-Seok, berkata kepada pemberita dalam sidang akhbar tempatan di Seoul bahawa Korea Utara melancarkan roket sekitar jam 7.39 pagi tadi waktu tempatan.

Beliau berkata, pegawai kementerian cuba mengesahkan sama ada ia berjaya atau tidak.

Bagaimanapun, Min-Seok tidak memberi sebarang maklumat lanjut dan enggan menyatakan bagaimana Korea Selatan mengesahkan pelancaran roket yang berlaku di pantai barat Tongchang-ri.

Sementara itu, Pyongyang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pelancaran roket itu dan ia adalah percubaan kali ketiga untuk menghantar satelit ke angkasa lepas sejak 1998. - AP

Pemberontak Peru tembak helikopter, kapten polis maut


LIMA, Peru: Sebuah helikopter yang digunakan bagi mencari puluhan tebusan yang ditahan pemberontak di hutan Amazon di Peru ditembak bertalu-talu, menyebabkan seorang kapten polis terbunuh manakala tiga lagi, termasuk juruterbang, cedera.

Serangan itu berlaku ketika pihak kerajaan mengerah 1,500 askar dan polis ke kawasan berhampiran lapangan gas utama di Camisea bagi menyelamatkan 40 pekerja binaan yang ditahan gerila Maoist Shining Path Isnin lalu.

Pihak pemberontak menuntut wang tebusan AS$10 juta.

Tembakan gerila pemberontak itu menembusi helikopter berkenaan ketika ia terbang di ruang udara kawasan tasik di daerah Echarate. - AP

2 pengawal pantai AS ditembak mati di Alaska


ANCHORAGE (Alaska): Dua pengawal pantai Amerika Syarikat (AS) ditembak mati di stesen komunikasi di sebuah pulau di luar Alaska hari ini.

Mayat mereka dijumpai rakan setugas di dalam kawasan bertugas berdekatan Pulau Kodiak, di sini.

Pegawai Pemerintah di Pangkalan Kawalan Pantai, Kapten Jesse Moore, berkata tembakan itu mungkin berlaku sejurus mereka tiba di tempat kerja.

Anggota polis maut digilis lori ketika kejar kereta

BUKIT MERTAJAM: Seorang anggota polis yang sedang mengejar sebuah kereta, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum digilis sebuah lori di Permatang Tinggi, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata ketika kejadian pada 8.45 malam itu, Konstabel Nan Ruazlan Zulkefle, 23, yang bertugas di Balai Polis Machang Bubok, mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan semasa sedang meronda bersama rakan setugasnya dengan masing-masing menunggang motosikal.

Nan Ruazlan memintas kenderaan berkenaan bagi menahan dan memeriksanya dan ketika menghampiri kenderaan itu, pemandunya, seorang lelaki, memecut kenderaannya lalu bergesel dengan motosikal mangsa.

"Akibat kejadian itu, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar pembahagi jalan dan beliau (Nan Ruazlan) terpelanting di atas jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang lalu di kawasan terbabit," katanya kepada pemberita selepas melawat jenazah mangsa di Hospital Bukit Mertajam (HBM), malam tadi.

Ayub berkata, mangsa yang berasal daripada FELDA Kahang Barat, Kluang, Johor cedera parah di bahagian kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke HBM untuk dibedah siasat.

Katanya, PROTON Saga dan lori yang terbabit dalam kejadian itu meninggalkan tempat kejadian dan usaha mengesan pemandunya sedang giat dijalankan.

"Kita percaya lelaki yang memandu PROTON Saga itu terbabit dengan kesalahan berikutan keengganannya untuk berhenti dan diperiksa. Polis juga mengenal pasti pemilik kenderaan berkenaan berdasarkan nombor pendaftaraan yang diperoleh," katanya.
Katanya, polis juga memeriksa rumah pemilik kenderaan terbabit di Lunas, Kedah malam tadi, tetapi pemandu kereta terbabit tiada di rumah dan dipercayai melarikan diri.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Azwan Kamaruddin di talian 04-5301977 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, teman wanita Nan Ruazlan, Siti Junaida Mohd Hasnan, 20, yang ditemui di HBM berkata mereka merancang untuk mengikat tali pertunangan 27 Mei ini dan arwah membuat persiapan dengan membeli barang hantaran untuk majlis pertunangan itu.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana sejam sebelum kejadian arwah datang ke rumahnya yang terletak bersebelahan rumahnya.

Selepas selesai badah siasat, mayat mangsa disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah seberang Perai Tengah, di sini sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya. - BERNAMA

Sementara itu, laporan ini yang disiarkan Berita Harian Online mendapat perhatian segera Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menghantar "tweet" @bharianmy itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Suami isteri dituduh bunuh amah Kemboja

BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan niat bersama membunuh seorang amah warga Kemboja pada 1 April lalu.

Tertuduh Soh Chew Tong, 43 dan Chin Chui Ling, 41, dituduh dengan niat bersama melakukan kesalahan itu terhadap Mey Sichan, 24, seorang warga Kemboja di premis bernombor 2190 Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak antara 1 Januari hingga 1 April.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka yang diwakili peguam bela Michael KL Chee hanya tunduk ketika pertuduhan dibacakan. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Chiang Kian Hong menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurdeenie Abdul Rashid.

Akhbar melaporkan mayat mangsa ditemui di atas katil dalam sebuah stor barang di tingkat dua premis perniagaan milik kedua-dua tertuduh.
Mangsa bekerja dengan pasangan suami isteri itu sejak September tahun lalu dan mula didera sejak beberapa bulan lalu. - BERNAMA

Gegaran di Malaysia skala 6

ORANG ramai masih bersiar-siar sekitar Padang Kota Lama walaupun lokasi itu ditutup susulan amaran tsunami yang dikeluarkan ekoran gempa bumi di Acheh, kelmarin.
ORANG ramai masih bersiar-siar sekitar Padang
 Kota Lama walaupun lokasi itu ditutup susulan
 amaran tsunami yang dikeluarkan ekoran
 gempa bumi di Acheh, kelmarin.


Bacaan kecil, sederhana tidak rosakkan struktur bangunan 

KUALA LUMPUR: Gegaran yang dirasai di kebanyakan tempat di Malaysia, kelmarin adalah pada skala lima hingga enam (V hingga VI) MMI (Modified Mercalli Intensity) yang tidak membawa kerosakan besar kepada struktur bangunan.
Bacaan skala diklasifikasikan antara kecil dan sederhana itu adalah berdasarkan kesan gegaran dialami saksi serta keadaan struktur bangunan berikutan gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Ritcher yang melanda Aceh, Sumatera Utara pada jam 4.38 petang, kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata pihaknya terus memantau perkembangan di Sumatera dan memaklumkan kepada umum. 

Beliau berkata, berdasarkan pemodelan tsunami akibat gempa bumi kelmarin, jika pun tsunami melanda perairan Malaysia, ketinggiannya hanya 0.74 meter saja. 

“Jabatan Meteorologi sudah mengeluarkan nasihat tsunami (kelmarin) meminta orang ramai menjauhi kawasan pantai bagi negeri Perlis, Kedah (termasuk Langkawi), Pulau Pinang dan Perak,” katanya kepada Berita Harian, semalam. 

Beliau berkata, sehingga jam 6 petang semalam, sebanyak 39 gempa susulan bermagnitud 4.5 sehingga 6.0 pada skala Richter dilaporkan di pusat gempa. 
Kelmarin, ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di perairan Aceh pada jam 4.38 petang, diikuti gempa susulan pertama pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter. 

Bomba jamin bangunan tinggi selamat diduduki 


KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi jaminan semua bangunan tinggi di negara ini selamat diduduki walaupun ada antaranya mengalami keretakan akibat dua gegaran susulan gempa bumi yang berlaku dalam tempoh dua jam di Aceh, Sumatera Utara, petang kelmarin. 

Kebanyakan premis kediaman dan bangunan tinggi yang sebahagian besarnya terletak berhampiran pantai sekitar negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Pahang termasuk di Putrajaya dan ibu negara sudah diperiksa selepas dikhuatiri mengalami kerosakan akibat gegaran itu. 

Difahamkan, lebih 80 bangunan di 84 lokasi membabitkan semua negeri terbabit sudah diperiksa sejurus selepas bomba menerima panggilan orang ramai yang melaporkan bangunan diduduki mereka mengalami gegaran antara satu hingga lima minit. 

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata siasatan pihaknya mendapati tiada bangunan mengalami kesan kerosakan serius sebaliknya hanya mengalami keretakan kecil yang tidak mengganggu kestabilan dan keselamatan bangunan terbabit. 

“Sejurus menerima laporan, semua anggota kita dikerah ke semua lokasi terbabit dan pemeriksaan terus dilakukan semalam (kelmarin). Hasilnya, memang ada antara bangunan itu mengalami keretakan namun tidak serius. 

“Antara bangunan diperiksa membabitkan hotel, pusat beli belah, hospital, apartmen serta kondominium,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 

Wan Mohd Nor berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM di seluruh negara masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk tsunami sekiranya berlaku gegaran susulan di Aceh. 

Di GEORGETOWN, struktur Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 kilometer tidak menghadapi sebarang masalah susulan gempa bumi itu berikutan penggunaan teknologi dikenali sebagai galas getah redaman tinggi (HDRB). 

Jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berkata, HDRB dapat melindungi jambatan daripada kerosakan struktur walaupun menghadapi gempa bumi berukuran 7.5 skala Richter di kawasan itu. 

“Gempa bumi petang semalam (kelmarin), jauh dari jambatan dan ia sudah pasti tidak memberi kesan langsung, malah jika berlaku di kawasan jambatan sekalipun, HDRB mampu melindungi strukturnya. 

“Kebarangkalian berlaku gempa bumi di kawasan jambatan adalah 1:475 tahun, jadi tidak perlu risau kerana teknologi HDRB mampu mengelak sebarang kejadian tidak diingini ke atas jambatan,” katanya.

Siasat SMS penyebar porno



KUALA LUMPUR - Persatuan Pemilik Telefon Bimbit (Perbit) akan menyiasat kira-kira 150 syarikat yang mungkin terlibat dengan penyebaran maklumat lucah dan permainan terselindung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Presiden Perbit, Mohd. Ali Ibrahim berkata, siasatan itu akan diadakan bersama dengan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
"Kita akan kaji sama ada perkhidmatan yang syarikat telekomunikasi (Telco) sediakan adalah benar-benar telus ataupun mempunyai unsur penipuan.
"Jika ada yang terbukti salah, mereka akan diserahkan kepada pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk tindakan selanjutnya," ujarnya ketika dihubungi semalam.

Wanita tinggal bersama lima lelaki asing ditahan




SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam Ops 6P selama dua hari sekitar Melaka Tengah semalam.


MELAKA - Tindakan seorang wanita tempatan tinggal bersama lima lelaki warga asing menerima padah apabila dia dicekup dalam Ops 6P oleh Jabatan Imigresen negeri di Taman Merdeka di sini semalam.
Program 6P iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran bermula sejak 1 Ogos 2011 dan berakhir pada 10 April lalu yang antara lain bertujuan mengenal pasti jumlah sebenar pendatang asing di negara ini.
Dalam serbuan pada pukul 12 tengah malam itu, wanita berusia 30-an tersebut ditahan kerana dia dipercayai menjadi pelindung kepada lelaki warga Bangladesh berkenaan.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, semasa serbuan yang diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen negeri, Salmah Omar itu, salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri.
"Lelaki itu cuba meloloskan diri melalui siling manakala empat lagi berada di ruang tamu termasuk wanita tempatan terbabit.
"Bagaimanapun lelaki yang cuba meloloskan diri itu berjaya ditangkap," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Imigresen, Ayer Keroh di sini semalam.

Culik: Inspektor antara didakwa



salah seorang tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas dakwaan menculik.
salah seorang tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas dakwaan menculik.


PETALING JAYA - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tiga yang lain didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menculik seorang anak ahli perniagaan bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM1.5 juta bulan lepas.
Pegawai polis itu yang kini digantung tugas, R. Raja Kumar, 44, peniaga G. Thiagarajah, 37, M. Ramu, 35, dan K. Shashi, 26, kedua-duanya pengawal keselamatan, hanya mengangguk apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 16 Mei untuk sebutan kes.