Search This Blog

Thursday, April 12, 2012

SSM dakwa 9,806 syarikat, perniagaan

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendakwa 9,806 syarikat, pegawai syarikat dan perniagaan di mahkamah kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Syarikat 1965 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 bagi 2011.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendakwaan meliputi tiga kesalahan lazim, termasuk kegagalan syarikat mengadakan mesyuarat agung tahunan melibatkan 2,542 kes.
Kesalahan lain ialah kegagalan syarikat menyerahsimpan penyata tahunan masing-masing di SSM dan kegagalan pengarah syarikat membentangkan penyata kewangan yang diaudit dalam mesyuarat agung tahunan syarikat.
Mohamad Shahren berkata, 494 kes pendakwaan difailkan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Kesalahan yang sering dilakukan golongan peniaga adalah menjalankan perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran, menjalankan perniagaan tanpa pendaftaran dan kegagalan mempamerkan sijil pendaftaran perniagaan.- BERNAMA

Banjir di Kuala Dipang semakin buruk





2012/04/12

KAMPAR: Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir di Kuala Dipang meningkat kepada 1,145 orang daripada 254 keluarga. 

Sebelum ini, kira-kira 500 penduduk dari 124 keluarga yang tinggal di beberapa kampung di sekitar Kuala Dipang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka dinaiki air sehingga ke paras bumbung sejak jam 5 pagi tadi.

Gegaran turut dirasa di Singapura

BERJAGA-JAGA: Beberapa pekerja dilihat berkumpul di luar
 Albert Complex setelah merasakan gegaran
 petang semalam. -- Foto THE STRAITS TIMES

SINGAPURA turut berasakan gegaran kecil di beberapa kawasan seperti Changi, Eunos, Marine Parade, Serangoon, Bedok, Whampoa, Bras Basah dan Woodlands ekoran gempa yang melanda Indonesia semalam.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis berkata pihaknya menerima 38 panggilan daripada orang awam mengenai gegaran itu sekitar 4.43 petang.Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam juga menasihati orang ramai agar usah cemas dan berkata bahawa berdasarkan lokasi Singapura, negara ini dan pulau-pulau sekitarnya tidak dijangka terjejas dengan sebarang tsunami yang mungkin terbit ekoran gempa tersebut.Seorang penduduk di Serangoon Avenue 3, Encik Mohammad Farid Rahmad, 22 tahun, berkata beliau sedang berada di biliknya apabila terasa gegaran sekitar 4.40 petang semalam.'Saya rasa mabuk sedikit tetapi tidak lihat barang-barang di rumah yang terjatuh dan sebagainya,' ujarnya, yang bersama ibunya bergegas turun sebagai langkah waspada.Tambahnya, ini kali keenam beliau merasakan gegaran akibat gempa bumi di negara jiran sejak beliau berpindah ke flat tingkat 17 itu bersama keluarganya sekitar 13 tahun lalu.Namun menurutnya, gegaran yang dirasakannya semalam adalah yang paling lama - sekitar 15 saat - berbanding gegaran-gegaran lain yang pernah beliau alami sebelum ini, yang biasanya berlangsung selama lima hingga enam saat sahaja.Di Hab Islam Singapura di Braddell Road pula, kakitangan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Masjid Muhajirin serta peserta kursus kendalian Muis bergegas ke bawah sebagai langkah berjaga-jaga.Menurut seorang kakitangan, gegaran dapat dirasakan di tingkat atas bangunan itu dan mereka dibenarkan pulang setengah jam lebih awal daripada waktu rasmi pejabat (6 petang).Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata pihaknya sedang memantau perkembangan tersebut dan menasihati warga Singapura yang berada di negara-negara terjejas agar memberi perhatian kepada perkembangan yang berlaku dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa setempat.Warga Singapura yang berada di kawasan terjejas dinasihati mendaftar di lamanhttp://eregister.mfa.gov.sg/ agar memudahkan pihak MFA berhubungan dengan mereka sekiranya berlaku kecemasan.Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) pula telah menawarkan bantuan kepada Palang Merah Indonesia (PMI) dan bersiap sedia untuk mengerahkan sumber-sumber jika perlu.


Tangan warga emas tersepit mesin tebu terpaksa dipotong

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang warga emas untuk menambah pendapatan keluarga dengan menjual air tebu bertukar tragedi apabila tangan kanannya terpaksa dipotong selepas digilis mesin tebu dalam kejadian di Taman Semarak, Bukit Tunggal, dekat sini pagi semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi menyebabkan tangan kanan Wan Hamzah Wan Ismail, 58, yang juga penghidap sakit jantung itu terpaksa dipotong sehingga ke pergelangan tangan.
Anak mangsa, Wan Nor Hazha, 35, berkata ketika kejadian dia sedang membersihkan tebu di belakang gerai sebelum terdengar ayahnya menjerit meminta tolong setelah tangannya tersepit pada mesin berkenaan.

"Sebaik mendengar jeritan itu saya terus berlari ke arah ayah dan segera menutup suis mesin tebu. Saya lihat tangan ayah sehingga ke pergelangan sudah leper seperti hampas tebu.


"Saya panik ketika itu dan cuba menahan kenderaan yang lalu di depan gerai namun tiada yang berhenti. Saya kemudiannya meminta pertolongan daripada beberapa pekerja yang sedang menyelenggara rumah tidak jauh dari situ," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurutnya ayahnya terpaksa menahan kesakitan kira-kira sejam sebelum tangannya berjaya dikeluarkan selepas mesin itu dileraikan dengan bantuan orang ramai.

Mangsa yang telah tujuh tahun berniaga air tebu, kemudian dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Katanya tangan kanan ayahnya itu terpaksa dipotong kerana kecederaan parah yang dialami.

Sementara itu mangsa yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijadual ke Institut Jantung Negara (IJN), 18 Mac ini untuk menjalani pemeriksaan selepas membuat pembedahan kecil kira-kira tiga bulan lalu.

"Doktor memaklumkan keadaannya stabil tapi saya harap insiden ini tidak menjejaskan kesihatan jantung ayah saya yang memang sudah bermasalah," katanya. - BERNAMA

Sindiket jual bayi antarabangsa diburu



12/04/2012 4:18pm

KUALA LUMPUR — Polis sedang mengesan rangkaian sindiket penjualan bayi antarabangsa susulan penangkapan enam suspek termasuk ibu bapa kepada seorang bayi dan seorang wanita warga Singapura, Jumaat lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis sedang mengenal pasti pihak lain yang terlibat dalam rangkaian antarabangsa itu.
"Kita masih memburu seorang wanita tempatan dipercayai menjadi dalang dalam sindiket ini, dan siasatan masih kita jalankan bagi mengesan modus operandi sindiket ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, polis percaya sindiket yang berjaya ditumpaskan baru-baru ini telah menjual lebih daripada tiga bayi dengan harga antara RM6,000 hingga RM28,000.
Jumaat lepas, polis berjaya menumpaskan satu sindiket menjual bayi yang aktif sejak tiga bulan lalu selepas menahan enam suspek termasuk seorang warga Singapura yang lumpuh sebelah kaki dalam serbuan di sebuah restoran di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi hasil maklumat awam itu, polis turut menyelamatkan dua bayi lelaki daripada didagangkan oleh sindiket berkenaan. Dua lagi bayi dipercayai telah dijual.
— BERNAMA

Pinjaman ‘Ah Long’: 3 lelaki ditahan



12/04/2012 6:08pm

MELAKA — Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam rangkaian penipuan pemberi pinjaman wang 'Ah Long' ditahan dalam satu operasi bersepadu, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Supt. Soh Hock Sing berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 24 dan 28 tahun itu ditahan sedang memasang iklan pinjaman tidak berlesen di kawasan perumahan di Taman Pulau Gadong, di sini pada pukul 10.30 pagi.
Beliau berkata, dalam operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu, pihaknya turut merampas 289 keping iklan itu di dalam sebuah kereta.
"Kita percaya kumpulan ini sedang mula bertapak dan baru beberapa bulan aktif menjalankan aktiviti ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan tangkapan itu, polis percaya dapat mengawal rangkaian sindiket Ah Long yang semakin berleluasa di Melaka.— BERNAMA

Wanita tempatan disyaki lindung PATI ditahan



12/04/2012 5:59pm

MELAKA — Seorang wanita tempatan yang disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), merupakan antara 107 warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P di negeri ini awal hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail berkata, dalam operasi dari 12 tengah malam hingga 5 pagi ini, wanita berusia 30-an terbabit ditemui bersama lima lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 30-40 tahun di sebuah rumah di Jalan Pegaga, Taman Merdeka di sini.
"Ketika serbuan dilakukan, seorang warga Bangladesh itu ditemui di siling rumah dan wanita bersama empat lagi di ruang tamu dan cuba melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam operasi itu, katanya seramai 107 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, Pakistan, Uganda dan Nigeria berusia antara 19 hingga 40 tahun ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya daripada jumlah itu, seramai 94 adalah lelaki dan 13 wanita.
Operasi melibatkan seramai 28 pegawai penguatkuasa termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pendaftaran, katanya.— BERNAMA

Doktor cedera ditikam ketika berhibur



KOTA KINABALU 11 April - Kegembiraan seorang doktor berhibur bersama rakan-rakannya di sebuah pusat hiburan di sini berakhir dengan tragedi apabila dia cedera parah akibat ditikam di bahagian belakangnya dengan senjata tajam oleh seorang suspek awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supritendan M. Chandra berkata, kejadian pukul 2 pagi tersebut mengakibatkan mangsa terpaksa menjalani pembedahan selepas dikejarkan ke hospital dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, polis kini memburu suspek bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Beliau turut berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Pemuda parah ditikam rakan kerana mata kail



KOTA KINABALU 11 April - Hanya kerana perselisihan faham berikutan jumlah mata kail yang dibeli tidak mencukupi, seorang pemuda cedera parah akibat ditikam di dadanya dengan keris oleh rakannya, petang semalam.
Kejadian berlaku pukul 4.30 petang semasa mangsa, Mohd. Faizal Matiyo, 30-an, berada di sebuah bot nelayan berhampiran Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supritendan M. Chandra berkata, mangsa sebelum itu telah diberi sejumlah wang oleh suspek untuk membeli mata kail.
Namun, katanya, suspek tidak berpuas hati kerana mendakwa jumlah mata kail yang dibeli mangsa tidak mencukupi.
"Insiden itu telah menyebabkan pergaduhan sehingga suspek menikam mangsa dengan keris sepanjang lapan sentimeter.
"Polis yang mendapat maklumat bergegas ke lokasi dan menemui senjata itu manakala suspek telah melarikan diri dan sedang diburu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa dirawat di unit rawatan rapi Hospital Queen Elizabeth di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Wartawan dikepung, mat rempit pecah cermin kereta



MELAKA 11 April – Seorang wartawan sambilan akhbar Nanyang Siang Pau berdepan detik cemas apabila dikepung sekumpulan mat rempit yang bertindak ganas memecahkan cermin hadapan kereta mangsa malam tadi.
Mangsa, Tan Ho Hong, 22, berkata, kejadian pukul 9.30 malam itu berlaku ketika dia memandu kereta seorang diri tidak jauh dari rumahnya di Taman Seri Mangga Seksyen 2, Pokok Mangga di sini.
Menurut Ho Hong, semasa hendak membelok ke kanan, tiba-tiba muncul sebuah motosikal dari arah belakang yang memotongnya menyebabkan ia hampir bergesel dengan kereta Toyota Vios milik bapanya itu.
“Penunggang motosikal itu yang tidak berpuas hati cuba menendang pintu di bahagian pemandu serta mahu menghentak cermin sisi dengan topi keledar tetapi gagal dan saya terus memandu seperti biasa.
“Bagaimanapun, lelaki berusia 20-an itu mengejar saya. Pada masa sama, kira-kira enam hingga tujuh buah motosikal lain mengepung kereta saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, lelaki terbabit kemudian melompat ke atas bonet hadapan kereta itu sebelum memijak cermin hadapan beberapa kali sehingga pecah.
“Kejadian berlaku selama kira-kira lima minit dan saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu takut. Nasib baik mereka tidak mencederakan saya,” katanya.

Peniaga kerugian RM20,000 beg tangan diragut lelaki




RAHANA Majid (kiri) bersama Siti Nazira Fauzi menceritakan kejadian ragut dialami mereka di Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 11 April – Seorang peniaga wanita hanya mampu tergamam apabila lelaki berpakaian kemas ala pejabat yang melemparkan senyuman ke arahnya tiba-tiba bertindak meragut beg tangannya mengakibatkan mangsa kerugian RM20,000.
Kejadian berlaku pukul 4.30 petang semasa mangsa, Rahana Majid, 44, memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah bangunan di Lundang di sini, sebelum melihat suspek itu berjalan dan senyum ke arahnya.
Dia yang tidak mengesyaki perkara buruk bagaimanapun terkejut apabila suspek yang disangkanya hendak ke tempat kerja berpatah balik dan meragut beg tangannya di dalam raga motosikalnya.
Kata Rahana, beg itu mengandungi wang kutu RM9,700 yang hendak diberikan kepada rakan-rakan peniaga lain, wang miliknya sebanyak RM5,000 serta rantai emas dan loket yang baru dibeli Sabtu lalu bernilai RM4,700.
“Anak saya, Siti Nazira Fauzi, 16, sempat memegang beg saya tetapi gagal menghalang suspek yang kemudian melarikan diri ke arah sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki, yang menunggu berhampiran.
“Saya ke situ bersama anak kerana hendak menguruskan insurans motosikal anak lelaki yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rahana yang menjual sayur dan ikan di Wakaf Stan di sini kemudian membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa pada pukul 5.20 petang.

5 penjenayah pecah masuk rumah



MUAR 11 April - Sebuah keluarga di Jalan Ahmad Kampung Lenga Batu 31, dekat sini, kerugian hampir RM60,000 apabila rumah mereka dipecah masuk lima perompak, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Hawa Ahmad, 72, yang sedang tidur bersama suami, Mohd. Yasin Mohd. Nor, 75, dikejutkan dengan jeritan anak lelakinya, 46, yang tidur di bahagian ruang tamu.
Menurut Hawa, belum pun sempat mengejutkan suaminya untuk melihat apa yang berlaku, anaknya itu terlebih dahulu membuka pintu biliknya dengan keadaan kedua belah tangan terikat bersama dua penjenayah.
Katanya, terdapat tiga lagi penjenayah masuk ke biliknya selepas itu dan mereka turut membawa tali nilon sebelum mengikat mereka tiga beranak di bilik sebelah.
"Suami merayu kepada penjenayah itu supaya tidak mengikat tangan kami dan minta lepaskan anak kami tetapi mereka yang bersenjatakan parang tidak menghiraukannya. Mereka menggunakan kain pelikat suami dan anak untuk menutup muka.
"Mujur penjenayah terbabit tidak bertindak agresif, sebaliknya meminta sejumlah wang dan barangan kemas. Dua penjenayah terbabit kemudian menggeledah bilik sehingga terjumpa kunci peti besi tempat menyimpan wang tunai dan sedikit barang kemas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, lima perompak itu kemudian menggeledah tiga bilik di rumahnya selama satu jam setengah sebelum melarikan wang RM10,000, dua utas rantai, empat bentuk cincin, dua gelang tangan, dua telefon bimbit, satu komputer riba dan kereta Perodua Viva yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM60,000.
Dia berkata, kejadian itu merupakan pengalaman paling menakutkan sejak 70 tahun tinggal di kampung berkenaan.
Katanya, mereka kemudian membuat laporan polis pada pukul 3.30 pagi di Balai Polis Lenga.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi enggan mengulas lanjut insiden tersebut.

Dadah bernilai RM277j dirampas

KUALA LUMPUR 11 April - Kecekapan pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbukti apabila berjaya merampas 89,227 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM16 juta di lapangan terbang itu sejak awal Januari sehingga 7 April lalu.
Malah, sepanjang tahun lalu, pasukan itu juga mematahkan cubaan menyeludup 1,097 kilogram dadah bernilai RM261 juta, menjadikan keseluruhan rampasan dadah sejak 2011 adalah 90,324 kilogram dan dianggarkan bernilai RM277 juta.
Difahamkan, sekiranya JKDM gagal menyekat kemasukan lebih 90,000 kilogram dadah itu, kesannya adalah ia mampu membunuh hampir dua juta penagih dadah di negara ini.
Timbalan Pengarah JKDM di KLIA, Siti Baya Berahan berkata, dadah seberat 1,097 kilogram yang dirampas sepanjang tahun lalu itu melibatkan 43 penyeludup lelaki.
Menurutnya, penahanan tahun ini pula membabitkan seramai 22 lelaki kerana cuba menyeludup 89,227 kilogram pelbagai jenis dadah melalui pelbagai cara.
"Jika sebelum ini ramai penyeludup dadah terdiri daripada warga Afrika dan Iran, kini warga India juga antara yang dikesan melakukan jenayah sama.
"Pelbagai kaedah digunakan oleh penyeludup untuk menyembunyikan dadah-dadah itu termasuk dalam bingkai cermin, hadiah, bagasi, barangan elektrik malah ada yang sanggup menggadai nyawa dengan menelan dadah tersebut
"Bagaimanapun, hampir kesemua helah itu berjaya dikesan oleh pegawai dan anggota JKDM yang bertugas melalui mesin pengimbas atau pemerhatian terhadap gerak-geri pelancong yang mencurigakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan kes penyeludupan dadah berlaku di lapangan terbang utama berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).
Katanya, suspek bukan sahaja terdiri daripada pelancong yang memasuki Malaysia tetapi juga penumpang yang transit di lapangan terbang tersebut.
Siti Baya memberitahu, daripada kesemua 65 suspek yang ditahan, ada di antara mereka telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, kesemua kes tersebut dikendalikan sendiri oleh pegawai JKDM sehingga ke peringkat mahkamah selain mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ramai nelayan tidak turun ke laut bimbang tsunami




ALOR SETAR: Keadaan jeti Seberang Kota dan Tandop di sini hari ini lengang kerana ramai nelayan tidak turun ke laut berikutan gempa bumi yang menggegarkan Aceh semalam.

Seorang nelayan di jeti Seberang Kota, Mohd Azhar Ahmad, 27, berkata beliau tidak turun ke laut semalam kerana bimbang berlakunya tsunami tetapi kembali menangkap ikan hari ini kerana terpaksa bagi mendapatkan sumber pendapatan.

Katanya, sepanjang empat jam menangkap ikan hari ini, keadaan laut tenang dan tidak bergelora tetapi tidak ramai nelayan yang turun ke laut.

"Namun hasil tangkapan tidak begitu banyak. Saya hanya mendapat ikan kembung kira-kira 15 kilogram sahaja.

"Sepanjang saya berada di laut pagi tadi, kira-kira 10 bot nelayan sahaja yang keluar. Mungkin yang lain masih risau," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Romalah Hanapiah, 54, yang berniaga ikan di Tandop Kubang Rotan, berkata bekalan ikan untuk hari ini sangat sedikit iaitu 10 kilogram (kg) berbanding 200kg hingga 300kg pada hari-hari biasa.

Penyelia jeti Seberang Kota, Ahmad Hashim, 63, berkata selalunya jeti itu dibuka sehingga 1 tengah hari tetapi hari ini banyak gerai ikan tutup awal kerana hasil tangkapan tidak banyak.
"Mungkin petang ini nelayan akan ke laut seperti biasa memandang keadaan cuaca juga semakin baik," katanya. - BERNAMA

Pengawal keselamatan dihukum 5 bulan penjara ugut adik kandung





2012/04/12

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang selalu pulang dalam keadaan mabuk, hari ini dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret kerana mengugut adiknya, lima hari lalu. 

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamal Mohamad Abdul Wahab, 40, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengugut dengan menggunakan sebilah pisau serta mengancam hingga mendatangkan kematian terhadap adiknya, Salmah Cheeta Abdul Ghaffar Ramujy, 35.
Mohd Azali memerintahkan Jamal Mohamad menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 April lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 31-14-10, Sri Perak, Bandar Baru Sentul, pada jam 9 malam, 7 April lalu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Mengikut fakta kes, abang (tertuduh) kepada pengadu (Salmah Cheeta) pulang ke rumah dalam keadaan mabuk di rumah ibunya dan naik marah selepas dimarahi ibunya dan Salmah Cheeta kerana beliau selalu pulang dalam keadaan mabuk. 

Dia kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan mengugut mangsa dengan mengancam akan membunuhnya. 

Jamal Mohamad tidak diwakili peguam manakala kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Safuan Alias. - BERNAMA

Kampar dilanda banjir, 124 keluarga dipindahkan





2012/04/12

KAMPAR: Kira-kira 500 penduduk dari 124 keluarga yang tinggal di beberapa kampung di sekitar Kuala Dipang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka dinaiki air sehingga ke paras bumbung sejak jam 5 pagi tadi. 

Banjir terburuk sejak 30 tahun itu menyebabkan penduduk berkenaan terpaksa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar.
Pegawai Daerah Kampar, Ismail Hassan, berkata banjir kilat mula berlaku jam 5 pagi dengan kawasan terjejas termasuk Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Baru Kuala Dipang dan Kampung Nyior.
Beliau berkata, kejadian berpunca limpahan air Sungai Kampar akibat hujan lebat sejak tengah malam tadi dan diburukkan lagi dengan kejadian dua tebing sungai yang pecah.

Lari separuh bogel rumah diserbu

TAHAN...sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi pagi semalam.
TAHAN...sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi pagi semalam.

KAJANG: Ada yang melarikan diri dalam keadaan separuh bogel, ada pula bersembunyi di dalam almari pakaian sebaik menyedari rumah sewa mereka diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu 6P di Kg Abu Bakar Baginda, Bangi, awal pagi semalam.
Difahamkan, sebahagian warga asing yang tinggal di perkampungan terbabit turut melarikan diri dan cuba berlindung di dalam semak berhampiran kerana bimbang dicekup.

Usaha seorang remaja berusia 20 tahun menyorok di dalam almari pakaian di dalam sebuah bilik gagal apabila dia akhirnya ditemui dan dicekup pegawai penguat kuasa sebaik kawasan perkampungan itu digempur kira-kira jam 2 pagi.

Selain tidak mempunyai dokumen yang sah, pendatang asing tanpa izin terbabit dikatakan tidak menjalani proses pemutihan seperti diarahkan dan hanya berdaftar untuk memiliki slip berkenaan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Putrajaya, Marie Ajeng, pihaknya sudah menjalankan intipan sejak dua minggu lalu sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

“Lebih 800 warga asing dari pelbagai negara diperiksa dan daripada jumlah itu, 126 ditahan. Bagaimanapun, hanya 83 orang saja yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.


“Operasi ini dilakukan bagi memeriksa dan menahan warga asing yang tidak menjalani proses pemutihan yang berakhir 10 Mac lalu. Mereka berdaftar dan memiliki slip sementara tetapi tidak menjalani proses pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang menjalani proses pemutihan itu akan memiliki slip pendaftaran yang mempunyai nombor siri sekali gus mengesahkan kemasukan mereka adalah sah.
Operasi yang tamat kira-kira empat jam kemudian disertai kira-kira 140 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Rela.

Cinta rumah kongsi

GEORGETOWN: Akibat penangan cinta, seorang wanita sanggup lari dari rumahnya dan tinggal bersama teman lelakinya di rumah kongsi yang sempit dan sesak di kawasan tapak pembinaan di Bayan Baru, di sini, sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun itu akhirnya ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang.

Ketika ditahan, wanita itu dikatakan sedang tidur bersama teman lelakinya dalam sebuah bilik di rumah kongsi berkenaan.

Ketika disoal, wanita terbabit yang berasal dari Jitra, Kedah memberikan alasan dia anak yatim piatu dan terpaksa hidup menumpang di rumah kekasihnya itu kerana mendakwa tidak mempunyai saudara-mara lain.

Bagaimanapun, selepas dipujuk wanita terbabit memberikan nombor telefon bimbit seorang lelaki dipercayai abangnya sebelum anggota penguat kuasa menghubungi lelaki berkenaan untuk datang mengambil adiknya itu.

Ketika itu, wanita terbabit yang diberi peluang bercakap dengan abangnya masih lagi menangis kerana takut dimarahi abangnya itu sebelum ahli keluarganya itu mengambilnya di Balai Polis Sungai Nibong.


Difahamkan, wanita itu baru beberapa bulan mengenali teman lelakinya yang juga seorang pekerja kontrak berasal dari Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan itu.

Sementara itu, empat lelaki yang ketika itu asyik bermain judi daun terup cuba melarikan diri melalui bumbung, tetapi berjaya ditahan anggota Imigresen yang sudah mengepung kawasan berkenaan.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata, pihaknya melakukan Ops Sepadu bersama pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam, kelmarin.

“Operasi ditumpukan di dua lokasi kawasan pembinaan iaitu di Bayan Baru dan juga Relau selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan juga hasil risikan.

“Dalam operasi itu, kita berjaya mengesan seorang wanita rakyat tempatan yang sanggup menggunakan alasan sudah kematian ibu bapa sebelum dia mengaku melarikan diri dari rumah kerana mahu tinggal bersama teman lelakinya,” katanya.

Menurutnya, seramai 46 anggota Imigresen dan 30 anggota Rela terbabit dalam operasi selama tiga jam itu dan pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 354 warga asing.

Tekan loceng terus tembak

AMPANG: Dua lelaki sempat menekan loceng rumah sebagai umpan sebelum seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan mengenai belakang bahu kiri seorang kontraktor di Pandan Perdana, semalam.
Sebaik melepaskan tembakan kedua-dua mereka yang memakai topi terus melarikan diri menaiki kereta Proton Saga sementara mangsa yang berlumuran darah terpaksa dikejarkan ke Hospital Pantai Ampang oleh isterinya dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa yang berusia 45 tahun didatangi dua lelaki kira-kira jam 9.30 pagi sebelum dia sempat berbual dengan mereka selama beberapa minit namun tidak lama kemudian kembali semula ke dalam rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, belum sempat mangsa masuk semula ke dalam rumah, tiba-tiba satu das tembakan dilepaskan suspek dan terkena belakang bahu kiri.

Menurutnya, sebaik melepaskan tembakan, suspek terus melarikan diri dengan kereta Proton Saga sebelum isteri mangsa yang terdengar bunyi tembakan bergegas keluar dan melihat suaminya dalam keadaan berlumuran darah.

“Isteri mangsa kemudian menghubungi pekerja suaminya berusia 40 tahun memaklumkan kejadian menimpa sebelum dia menghantar mangsa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 9.50 pagi selepas pekerja mangsa menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.

Md Nazri berkata, hubungan antara mangsa dengan suspek masih dalam siasatan sama ada dia mengenali mereka atau tidak dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Setakat ini, kita masih belum mengetahui motif serangan terbabit namun akan menjalankan siasatan dari semua sudut sama ada ia bermotifkan dendam, hutang, urusan perniagaan atau sebagainya.

“Malah kita juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mangsa, malah hasil pemeriksaan juga mendapati CCTV di rumah jirannya turut merakamkan kereta suspek ketika datang dan melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan dia masih menerima rawatan di hospital. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Riuh kompleks ‘kena goncang’

PANIK...orang ramai bergegas keluar selepas gempa berukuran 8.7 pada skala Richter landa Aceh, Indonesia, semalam. Gambar kecil, Nurul Nadiha.
PANIK...orang ramai bergegas keluar selepas gempa berukuran 8.7 pada skala Richter landa Aceh, Indonesia, semalam. Gambar kecil, Nurul Nadiha.

SEBERANG JAYA: “Tiba-tiba saya rasa bangunan bergegar dan lihat semua pengunjung lari selamatkan diri,” kata Nurul Nadiha Kasim, 28, yang turut bergegas menyelamatkan diri ketika berada di Kompleks Sunway Carnival, di sini, selepas berasa gegaran akibat gempa bumi yang melanda Aceh, Indonesia.
Menurutnya, ketika itu dia bersama rakannya sedang memilih barang di sebuah kedai di dalam kompleks membeli-belah itu.
“Selepas berasa bergoyang, saya segera mencampak barang dan menarik kawan saya keluar dari bangunan berkenaan,” katanya yang pertama kali berdepan pengalaman kejadian seperti itu.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Hafiz Najmi Soaid, 23, berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakannya sedang menonton wayang di kompleks berkenaan.


“Sedang asyik menonton, saya berasa pening dan bangunan seakan bergoyang,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.
Menurutnya, dia dan kawannya tanpa berlengah segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri, begitu juga pengunjung yang lain.

Remaja mati lemas, terjatuh dari sampan

LANGKAWI - Seorang remaja lelaki yang terjatuh dari sampan semasa memancing ikan bersama ibunya di perairan Pulau Tuba di sini malam tadi, ditemui mati lemas pagi ini.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara (APMM), Kapten Salim Ahmad berkata mayat Ismail shafie, 16, ditemui terapung di perairan Pulau Tuba kira-kira 10.15 pagi.

Tiga buah bot dari APMM, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menyertai operasi mencari yang dilancarkan malam tadi, katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya mayat remaja itu dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat. - Bernama

Hajat tak sampai pergi kedai

Hajat tak sampai pergi kedaiMUAR – Hajat seorang anak untuk membawa ibunya pergi kedai tidak kesampaian apabila ibunya maut setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman berhampiran Parit Sakai dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, Jaminah Dariman, 74, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala anaknya, Suhailah Amal, 51, mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangi Suhailah hilang kawalan selepas digesel sebuah kereta jenis BMW.

Kereta terbabit dipandu seorang lelaki yang cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal lalu memasuki lorong motosikal sebelum bergesel dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.

Akibat geselan itu, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum kedua-duanya tercampak ke atas jalan raya.

Bagaimanapun, pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Penangan nombor ekor

Penangan nombor ekorSEGAMAT - Tindakan seorang warga emas yang mempercayai kata-kata seorang warga asing menjual tiket nombor ekor yang dikatakan memenangi wang bernilai RM130,000 akhirnya mengundang padah.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan M Anuar Ismail berkata, mangsa telah diperdayakan suspek apabila diberitahu tiket nombor ekor itu yang dibelinya dengan harga RM55 memenangi wang sejumlah RM130,000.

“Setelah memujuk rayu mangsa dan menyatakan wang jualan tiket itu akan digunakan untuk menampung kos rawatan kakaknya yang dimasukkan ke Hospital Segamat kerana sakit mahu bersalin, akhirnya mangsa bersetuju membeli tiket berkenaan dengan harga RM13,000,” katanya.

Tambahnya, warga emas yang berumur 66 tahun terpaksa membayar RM13,000 untuk tiket terbabit dan apabila dia mahu menuntut hadiah yang dijanjikan, dia diberitahu pemilik kedai tiket nombor ekor yang dimilikinya adalah palsu.

Mangsa yang kecewa kerana kehilangan wang yang banyak kerana ditipu warga asing itu segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

“Kejadian yang menimpa mangsa berlaku di salah sebuah bank di kawasan Labis pada 14 Mac lalu dan suspek warga asing yang terbabit dalam kes berkenaan dipercayai berumur lingkungan 30an,” katanya.

M Anuar turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tipu helah individu yang datang untuk menawarkan apa apa jenis keuntungan sekiranya meragukan.

“Kes penipuan sebegini boleh dijadikan iktibar supaya masyarakat lebih berhati-hati apabila menjalankan urusan dengan individu yang mereka tidak dikenali mereka,”katanya.

Harga e-book: AS saman Apple, penerbit

Apple
WASHINGTION - Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap syarikat teknologi maklumat dan komunikasi, Apple dan sejumlah penerbit buku yang dikatakan berkomplot dalam menetapkan harga pasaran e-book.
Saman difailkan terhadap syarikat Apple dan Hachette, HarperCollins, Macmillan, Simon and Schuster, dan  Penguin.
Kes itu difailkan selepas kesemua syarikat terbabit meletakkan harga yang lebih tinggi untuk produk mereka berbanding dengan pengedar luar.
Bagaimanapun, saman terhadap Hachette, HarperCollins, dan Simon and Schuster telah selesai.
Jabatan Kehakiman berkata, kes ke atas Apple, Macmillan dan Penguin akan diteruskan kerana “berkonspirasi” untuk menghakis kebebasan peruncit-peruncit e-book untuk bersaing dari segi harga.
“Ekoran dakwaan konspirasi ini, kami percaya bahawa pengguna membayar lebih, dianggarkan berjuat-juta dolar, bagi beberapa judul yang popular,” kata Peguam Negara Eric Holder.
Dalam pada itu, wakil daripada Syarikat Hachette menegaskan pihaknya yakin bahawa mereka tidak melanggar sebarang akta atau undang-undang.
Manakala Syarikat Apple yang menjual aplikasi teknologi seperti iBooks, iPad dan iPhone dikatakan enggan mengulas lebih lanjut tentang saman terbabit.

Injunksi: Mahkamah benar Sri Wani buat pindaan

Sri Wani Choo Abdullah
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah hari ini membenarkan pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, yang berhadapan dengan isu pertikaian jantinanya, membuat penambahan perkara dalam injunksi 'ex-parte' yang difailkannya terhadap madu-madunya.

Injuksi tersebut dipohon bagi menghalang mereka dari mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes dan tidak mengganggunya.

Sri Wani, 37, menjadi tarikan umum apabila suaminya, bekas dekan universiti, Bahrom Sunagi, 61, memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan.

Dia  mendakwa Sri Wani seorang lelaki.

Bahrom turut memohon mahkamah memerintahkan ujian DNA dijalankan bagi mengesahkan jantina isteri ketiga itu, yang dinilkahi pada 19 Ogos 2009.

Susulan kes itu, Sri Wani memfailkan bantahan awal dengan alasan dia dianiaya.

Polis Kelantan selamatkan lelaki diculik, tahan dua suspek

KOTA BAHARU - Polis berjaya menyelamatkan seorang pekerja sebuah syarikat berkaitan urusan pengangkutan yang diculik kira-kira 9.30 malam semalam selepas menahan dua lelaki yang menculik mangsa, di sini pagi ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kejayaan itu hasil gerakan pantas pasukan khas yang ditubuhkan berhubung kes culik itu yang berjaya menahan kereta yang dinaiki suspek dan mangsa di simpang lampu isyarat Jalan Kampung Sireh di sini kira-kira 7.30 pagi ini.

Polis merampas dua bilah parang, wang tunai RM3,000 yang dipercayai wang tebusan mangsa culik berumur 30 tahun itu dan kereta suspek, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kejadian itu dikatakan bermula selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dengan dua suspek di sebuah kedai makan di Kampung Belimbing, Tanah Merah, kira-kira pukul 9.30 malam.

"Ketika itu, salah seorang suspek tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol dan diletakkan di atas meja sebelum membawa mangsa ke dalam kereta jenis Perodua Myvy menghala ke Jalan Pasir Mas," katanya.

Beliau berkata suspek kemudiannya telah menuntut wang tunai RM10,000 dan pihak keluarga mangsa bersetuju memberikan RM3,000.

"Setelah rundingan dibuat, pasukan petugas polis mengekori pergerakan kereta suspek sebelum dapat menahan kereta berkenaan di lampu isyarat itu.

"Kejayaan ini hasil gerakan cepat pasukan petugas khas yang ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK)," katanya.

Bagaimanapun, katanya sehingga ini polis masih belum menemui senjata api yang dikatakan digunakan suspek.

Jalaluddin berkata polis sedang menyiasat sama ada suspek, masing-masing berasal dari Kampung Kubur Kuda di sini dan Gong Badak, Terengganu, terbabit dalam kes culik lain atau jenayah yang membabitkan senjata api.- Bernama

64 warga asing ditahan

Pati
GEORGETOWN - Seramai 64 warganegara asing dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar ditahan dalam dua operasi sama oleh Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, awal pagi semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (1) Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 54 lelaki, 8 wanita dan dua kanak-kanak, mereka berusia antara 1 hingga 50 tahun.

Menurutnya, operasi itu ditumpukan di kawasan pembinaan di dua lokasi iaitu di Bayan Baru dan juga Relau selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan juga hasil risikan sendiri. Ops Sepadu yang disertai 76 pegawai dan anggota Imigresen Pulau Pinang termasuk Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), susulan intipan sejak beberapa hari lalu.

“Semasa serbuan, pihak berkuasa memeriksa seramai 354 warga asing, antaranya yang ditahan dalam operasi itu ialah 21 warga Bangladesh, 36 warga Indonesia dan 7 warga Myanmar.

“Kita juga berjaya mengesan seorang wanita rakyat tempatan yang sanggup menggunakan alasan sudah kematian ibu bapa sebelum dia akhirnya mengaku melarikan diri dari rumah kerana mahu tinggal bersama teman lelakinya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, wanita itu baru beberapa bulan mengenali teman lelakinya yang juga seorang pekerja kontrak warganegara asing yang bekerja di tapak pembinaan terbabit.

“Wanita itu dipercayai sanggup lari dari rumah dan tinggal bersama teman lelakinya itu merayu dan menangis meminta dilepaskan. Bagaimanapun, dia diberi peluang bercakap dengan abangnya sebelum ahli keluarganya itu diminta mengambilnya di Balai Polis Sungai Nibong,” katanya.

Anak hilang sejak 9 hari

Anak hilang sejak 9 hari
GUA MUSANG - “Mustahil anak makcik dilarikan kekasih kerana dia berperangai seperti lelaki termasuk dari segi gaya dan pakaian.

“Makcik hairan ke mana dia pergi dan motosikal yang ditungganginya juga turut hilang,” kata Che Esah Yusoff, 60, di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, dekat sini, yang bimbang anaknya, Nor Ain Shafnie, 15, hilang sejak sembilan hari lalu.

Menurutnya, Nor Ain tidak pernah keluar dari rumah dalam tempoh yang lama, dan kebiasaannya apabila keluar dia akan pulang sama ada petang atau lewat malam.

Bagaimanapun, dia sedih kerana anak bongsu daripada 10 beradik itu yang keluar rumah jam 9 pagi, 3 April lalu dengan menunggang sebuah motosikal Kriss tidak pulang ke rumah.

Dia berkata, operasi mencarinya membabitkan penduduk kampung bersama anggota Rela telah dilakukan pada hari Nor Ain hilang, termasuk pergi ke setiap rumah rakannya namun sehingga kini masih belum ditemui.

“Sebelum Nor Ain keluar, makcik sempat bertanya kepadanya, dan dia menyatakan ingin berjumpa rakan. Saya tidak sangka perbualan itu adalah kali terakhir, sebelum dia hilang walaupun sebelum itu abang iparnya ada menemuinya di kawasan Kampung Baru Jeram Tekoh yang menghala ke Kampung Limau Kasturi,” katanya.

Che Esah yang juga ibu tunggal berkata, anaknya itu hanya bersekolah setakat tingkatan dua dan selepas itu enggan meneruskan persekolahan.

“Puas makcik memujuknya supaya pergi sekolah, tetapi dia enggan,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada jam 4 pagi, 4 April lalu.

Menurutnya, jika orang ramai ada menemui anaknya, minta menghubunginya segera di talian 014 -5408607.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah semasa dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan remaja berusia 15 tahun itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan­ lanjut berhubung perkara itu dan meminta sesiapa yang menemui Nor Ain menghubungi segera balai polis berhampiran.

Kanak-kanak nyaris jadi mangsa culik

Kanak-kanak nyaris jadi mangsa culikKOTA BHARU – Tindakan nekad seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terjun dari kereta ketika kenderaan itu dilarikan penjenayah menyelamatkan dia dari menjadi mangsa culik dalam kejadian curi kereta di Pasir Tumboh di sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika bapa mangsa yang juga seorang doktor di sebuah hospital di sini berhenti di tepi jalan untuk menghantar adik mangsa di sebuah tadika berdekatan.

Katanya, doktor berkenaan turun dari kereta jenis Honda Accord tanpa mematikan enjin sebelum tiba-tiba dihampiri sebuah Perodua Kancil yang berhenti berhampiran lalu seorang daripada dua penjenayah masuk ke dalam kereta itu dan melarikan kenderaan tersebut.

“Dia yang panik tidak dapat berbuat apa-apa apabila memikirkan dua anak lelakinya, lapan dan 10 tahun berada di dalam kereta tersebut. Bagaimanapun, salah seorang daripada anaknya itu bertindak berani terjun selepas menyedari orang tidak dikenali masuk ke dalam kereta.

“Manakala, seorang lagi anaknya ditinggalkan di tepi jalan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian sebelum, penjenayah terbabit memecut menghala ke arah Binjai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Azham berkata, susulan kejadian, bapa mangsa membuat laporan polis di balai polis Kubang Kerian dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 kerana menculik serta 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

“Kes akan disiasat dan pada masa yang sama pihak kami berpuas hati serta bersyukur dua kanak-kanak ini terselamat dari diapa-apakan penjenayah terbabit. Selain itu, orang awam yang mempunyai maklumat boleh disalurkan bagi membantu pihak polis mengesan dua lelaki tersebut,” katanya.

Taktik pukau sebelum samun

Taktik pukau sebelum samunPUCHONG – Bermodalkan cerita sedih konon anaknya mengidap sakit kulit kronik, seorang wanita warga China dikesan bergiat aktif menyamun pengunjung pasar pagi di Puchong Indah di sini, dipercayai menggunakan cara pukau.

Difahamkan, beberapa mangsa mendakwa terpedaya dan kerugian lebih RM50,000 selepas menyerahkan barang kemas dan wang tunai kepada suspek dalam keadaan tidak sedar.

Sinar Harian turut difahamkan, wanita terbabit akan menyapa mangsa rata-ratanya wanita yang berkunjung ke pasar itu sebelum ‘membuka’ cerita sedihnya.

Suspek dikatakan bertanya kepada mangsa di mana klinik pakar kulit boleh dikunjungi untuk membawa anaknya yang sakit mendapatkan rawatan.

Selepas berjaya mempengaruhi mangsa dengan cerita simpati itu, suspek dikatakan akan membawa mangsanya ke sebuah kereta jenis Naza Ria yang diletakkan di parkir kereta berhampiran pasar sebelum bertemu dengan dua orang lelaki.

Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berkata, suspek dikatakan datang ke negara ini Sabtu lalu sebelum memulakan ‘kerjanya’ sehari selepas itu.

Menurutnya, suspek turut menggunakan helah meminta mangsa menunjukkan di mana kedudukan pokok besar yang didakwa untuk dijadikan ubat bagi merawat sakit anaknya.
“Salah seorang mangsa memberitahu, suspek mengatakan anaknya sakit dan perlu mencari kulit pokok bersaiz besar kononnya untuk direbus dan dijadikan air penawar.

“Mangsa yang bersimpati, akan percaya dengan kata-kata itu dan bersedia menunjukkan lokasi tempat pokok besar yang diketahui,” katanya.

Chee Heng berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah kereta bercermin gelap yang diletakkan berhampiran pasar, dua orang lelaki dikatakan berada di dalam kenderaan itu dipercayai menjalankan kerja-kerja memukau.

Menurutnya, mangsa diberikan tangkal azimat untuk mengelak bala dan diminta tidak memberitahu orang lain mengenai perkara itu.

Katanya, suspek kemudiannya meminta mangsa pulang ke rumah dan mengambil barangan kemas serta wang tunai. Selepas menyerahkan segalanya, suspek menyerahkan karung berwarna hitam kepada mangsa.

“Hanya selepas tersedar dari pukau, mangsanya akan menyedari ditipu dan mendapati suspek hanya meninggalkan beberapa biji buah limau dalam karung hitam diberi,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun penipuan licik dilakukan wanita terbabit akhirnya tumpas apabila dia berjaya diberkas peniaga yang menyedari kegiatannya.

Gara-gara kemaruk cinta, sanggup lampias nafsu di jirat Cina

Gara-gara kemaruk cinta, sanggup lampias nafsu di jirat CinaIPOH - Sepasang kekasih yang kemaruk bercinta sanggup memilih jirat Cina untuk melampiaskan nafsu kerana beranggapan kawasan itu adalah tempat paling selamat tanpa sebarang gangguan.

Malangnya, anggapan itu meleset apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menyergah pasangan berusia awal 20-an tersebut serta diarahkan beredar ketika melakukan serbuan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini awal pagi semalam.

Tindakan yang sama turut diambil terhadap sepasang kekasih lain yang sedang leka melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di tepi padang kawasan rekreasi tersebut.

Pasangan berusia awal 20-an itu didapati bercumbuan sebelum cermin gelap kereta berkenaan disuluh oleh pegawai penguat kuasa Jaipk menggunakan lampu suluh.

Sewaktu sesi soal siasat dijalankan teman lelaki pasangan terbabit memberi alasan dia mahu menghantar gadis tersebut pulang ke rumah selepas habis waktu kerja.

Bagaimanapun, pasangan itu diarahkan meninggalkan kawasan terbabit selepas diberikan amaran lisan oleh pegawai Jaipk yang bertugas.

Sementara itu, Pengarah Jaipk, Mohd Yusop Husin berkata, seramai 10 pegawai penguat kuasa Jaipk yang menaiki dua van melakukan rondaan cegah maksiat di sekitar taman rekreasi tersebut sehingga jam 3 pagi.

Menurutnya, rondaan berkumpulan itu tidak hanya dilakukan pada waktu hujung minggu atau cuti umum malah turut membabitkan hari biasa.

“Kami memandang serius aktiviti maksiat yang dilakukan remaja Islam di sekitar kawasan tumpuan awam.

“Berikutan itu kami sentiasa kerap melakukan rondaan dan operasi rambang pada setiap masa bagi mengelakkan gejala tidak bermoral itu daripada terus berleluasa.

“Selain itu, kami juga turut melakukan tindakan berdasarkan aduan orang ramai bagi memastikan golongan remaja dan belia terhindar dari aktiviti yang menghampiri zina,” katanya.

Budak enam tahun mati lemas

Budak enam tahun mati lemasJOHOR BAHRU - “Sedih dengan pemergian arwah. Danish amat rapat dan manja dengan saya. Tidak sangka hari ini dia pergi meninggalkan kami sekeluarga,” luah bapa kepada Mohd Danish Aqmal Aziz, 6, yang lemas selepas tergelincir dalam sungai Anak Sebulung di Kampung Melayu Majidee, di sini, semalam.

Aziz Tarmin, 34, yang bertugas sebagai polis bantuan peronda lebuh raya berkata, tiada sebarang perubahan yang disedari berlaku ke atas anak bongsu daripada tiga beradik itu sejak kebelakangan ini.

“Saya diberitahu oleh pihak ibu pejabat mengenai kejadian sekitar jam 5 petang. Saya bersama isteri segera bergegas pulang ke rumah, namun apa kan daya dia sudah tiada.

“Tiada sebarang perubahan yang berlaku ke atas dirinya. Dia (Danish) cuma kerap menghubungi untuk meminta saya agar menjemputnya di rumah Kampung Melayu Majidee ke rumah baru kami di Taman Sri Skudai.

“Hari Sabtu dan Ahad lalu, baru sahaja saya menjemputnya ke rumah di Taman Sri Skudai seperti yang dipinta. Tidak sangka pula berlaku kejadian seumpama ini dan dia sudah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Aziz berkata, anak bongsunya itu kerap menghabiskan masa bermain pada waktu petang bersama anak keduanya, Mohd Danial Fitri, 9, di kawasan permainan berdekatan rumah.

“Ada juga saya atau isteri menasihatkan dia supaya tidak bermain jauh dari pandangan kami. Bagaimanapun, budak-budak, jika kita halang pun mereka akan keluar secara sembunyi,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Danial berkata, adiknya lemas selepas tergelincir ke dalam sungai Anak Sebulung ketika cuba untuk mengambil selipar yang terjatuh ketika hendak pulang ke rumah.

“Saya bersama adik hari-hari main di taman. Masa nak balik, selipar adik jatuh ke dalam parit besar dan dia mahu mengambil sebelum dia tergelincir. Saya ada cakap dengan dia supaya tidak ambil, tetapi dia cuba ambil juga.

“Ketika nampak adik sudah tenggelam di dalam air, saya jerit minta tolong. Ada beberapa orang datang untuk tolong tarik adik daripada lemas,” katanya.

Salah seorang penduduk, Zainal Abdul Hanan, 57, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas diberitahu jirannya mengenai kejadian berkenaan seterusnya meminta belia kampung turut sama memberikan bantuan.

“Belia kampung yang ada segera turun ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak ini. Sebaik sahaja berjaya mencapai kanak-kanak ini daripada terus lemas dan tenggelam ke dasar sungai, kami membawanya naik ke atas untuk melakukan sesuatu, namun gagal.

“Kami segera membawanya ke hospital untuk dirujuk kepada pakar perubatan di wad kecemasan, tetapi doktor mengesahkan kanak-kanak ini sudah tiada lagi dan meminta jenazah di bawa pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, jawatankuasa penduduk di Jalan Utama Tengah, Kampung Melayu Majidee sudah beberapa kali mengusulkan cadangan kepada pemimpin setempat supaya kawasan sungai Anak Sebulung dipagar bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

Ketua UMNO Cawangan Utama Tengah, Senan Abd Samad berkata, permohonan itu sudah dibuat kepada Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat wakil rakyat agar satu tindakan sewajarnya diambil segera secara lisan serta bertulis sejak tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya ada meminta supaya sungai Anak Sebulung dipasang pagar atau ditambakkan dengan batu granit bagi supaya kedalaman kawasan terbabit tidak membahayakan sesiapa.

“Kita telah ajukan kepada Ahli Majlis dan pejabat wakil rakyat supaya melakukan kerja baikpulih saliran sungai ini. Permohonan ini kerana permukaan dasar sungai yang tidak sama. Ada yang tempat yang cetek dan ada juga yang dalam. Namun sehingga kini tiada maklum balas,” katanya.

Tukang urut dicekup

Tukang urut warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat refl eksologi rawatan kesihatan dSHAH ALAM - Seramai 13 wanita warga asing termasuk remaja bawah umur yang menjadi pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam dua serbuan di sebuah pub dan pusat refleksologi di Bandar Mahkota, Cheras, kelmarin.
Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor yang diketuai Asisten Superintendan Adzli Abu Shah itu dijalankan jam 10.45 malam.

Beliau berkata, dalam serbuan di pub, pihaknya menahan lapan GRO warga Vietnam berusia 17 hingga 30 tahun, yang sedang sibuk melayan lima pelanggan mereka.

“Pemeriksaan mendapati empat daripada wanita itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara, dua dikesan tiada dokumen pengenalan diri dan dua lagi hanya mempunyai slip daftar kemasukan.

“Semakan menunjukkan premis terbabit beroperasi sejak lima tahun lalu, selain lesen juga sudah tamat tempoh,” katanya.

Adzli berkata, siasatan menunjukkan tiada khidmat seks ditawarkan di premis itu, namun polis percaya semua GRO terbabit ada menawarkan perkhidmatan itu di luar premis, tanpa pengetahuan pengurus pub bagi mencari duit lebih.

Menurutnya, seorang penjaga premis lelaki berusia 22 tahun turut ditahan dalam operasi itu kelmarin.

Dalam operasi berasingan di pusat refleksologi pula, Adzli berkata, lima tukang urut terdiri daripada tiga wanita Thailand dan dua warga Laos dicekup.

Beliau berkata, semua wanita berusia antara 24 hingga 44 tahun itu sedang asyik mengurut lima pelanggan mereka, manakala tiga lagi pelanggan lain sedang menunggu giliran untuk diurut.

“Siasatan awal dapati semua tukang urut tidak memiliki permit kerja itu, kerap keluar masuk negara menggunakan pas lawatan sosial.

“Kita tahan seorang lelaki tempa­tan berusia 30 tahun yang juga merupakan penjaga premis,” katanya.

Adzli berkata, semua yang ditahan termasuk lima pelanggan di pusat ref­leksologi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kajang untuk tindakan lanjut dan siasatan dibuat mengikut kesalahan menggaji pekerja tanpa permit.