Search This Blog

Wednesday, April 11, 2012

Lima tertuduh kes bakar mangsa dibenar ikat jamin



KUALA LUMPUR 10 April - Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini membenarkan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan tiga lelaki yang dituduh cuba membunuh seorang lelaki dengan membakar mangsa menggunakan minyak petrol pada Februari lalu, diikat jamin RM13,000 setiap seorang.
Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin setelah mahkamah dimaklumkan bahawa mangsa, Muhammad Syahirudin Mohd. Shauki, 20, kini telah keluar dari unit rawatan rapi (ICU) dan sedang menerima rawatan di wad biasa di Hospital Selayang.
Setiap tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menghubungi atau mendekati saksi pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ridha Abdah Subri sebelum itu membantah kesemua tertuduh diikat jamin kerana mereka mengenali beberapa saksi pendakwaan dan khuatir tindakan tersebut akan mewujudkan situasi kurang selesa di kalangan saksi-saksi.
Pun begitu beliau mencadangkan ikat jamin RM20,000 setiap seorang sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan mereka diikat jamin.
Mohd. Nazrul Md. Noor, 25; adiknya, Mohd. Nazrin Md. Noor, 22; dan Mohamad Nor Akmal Tarmezi, 23, diwakili peguam Leonard Anselm Gomes.
Muhammad Ammar Ashman Jamil, 21, pula diwakili peguam Syahredzan Johan manakala Mohamad Firdaus Mohamad Saruri, 21, diwakili peguam Ding Ngik Eng.
Mohamad Nor Akmal dan Muhammad Ammar adalah pelajar IPT manakala Mohd. Nazrul merupakan penganggur dituduh terlibat melakukan perbuatan itu bersama Mohd. Nazrin, pekerja di butik kasut serta penghantar surat, Mohamad Firdaus.
Kejadian didakwa berlaku di Kampung Sepakat Sungai Tengi, Gedangsa di antara tiang Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bernombor 33 dan 32, Hulu Selangor dekat sini kira-kira pukul 5.45 pagi, 26 Februari lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan akan disebut semula pada 21 Mei ini.

Penyokong fanatik bola sepak Sarawak didakwa belasah polis



ABANG Mohammad Zakri (kiri) bersama adiknya, Abang Saiful Zahrin sempat memberikan gaya masing-masing ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuching, semalam.


KUCHING 10 April - Seorang penyokong fanatik skuad bola sepak Sarawak yang menumbuk seorang anggota polis sehingga pengsan Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah anggota polis terbabit dan menghalang tugas polis.
Abang Saiful Zahrin Abang Abdul Rahim, 30, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Abang Saiful Zahrin didakwa dengan sengaja mencederakan Lans Koperal Amzari Othman, 33, menggunakan gelang sehingga mangsa mengalami kecederaan parah di atas bibir di Stadium Negeri kira-kira pukul 11 malam, 7 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia dan adiknya, Abang Mohammad Zakri, 28, didakwa secara bersama-sama bertindak menghalang tiga anggota polis menjalankan tugas bagi meleraikan mereka daripada membuat kacau di Stadium Negeri pada masa dan tarikh yang sama.
Tuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.
Sementara itu, tuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Abang Muhammad Zakri juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Carl Patrick Ramesh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam, Shankar Ram Astani dan Daniel Lim.
Dayang Ellyn Narisa membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 beserta dua penjamin sementara menunggu perbicaraan yang dijadualkan pada 13 Julai ini.

Ragut: Dua beradik dijel 3 tahun



KUALA LUMPUR 10 April - Cubaan dua adik beradik untuk meragut beg tangan milik seorang wanita gagal apabila motosikal yang dinaiki mereka terlanggar kereta milik ibu mangsa lalu terjatuh sebelum ditangkap dan dibelasah oleh orang awam, hujung bulan lalu.
Hari ini, kedua-dua mereka menerima pembalasan apabila masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan tersebut.
Muhamad Fairuz Dorahim, 28, dan Muhamad Firdaus, 27, didakwa melakukan perbuatan ragut terhadap Chang Sook Wei, 21, berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya, Jalan 3, Taman Cheras Indah, Pandan Indah, Ampang dekat sini pada pukul 6.30 petang, 31 Mac lalu.
Kedua-dua beradik itu yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie di hadapan Hakim Manira Mohd. Noor.
Mengikut fakta kes, mangsa yang hendak ke Stesen LRT selepas turun dari kereta ibunya, tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal lalu meragut beg tangannya.
Semasa cuba melarikan diri, mereka terlanggar kereta ibu mangsa lalu terjatuh sebelum ditangkap oleh orang ramai yang berada di situ.

Pencari suaka tuntut bot dari Indonesia




Polis dan pegawai imigresen Indonesia berunding dengan sekumpulan 120 pencari suaka politik yang menuntut mahu meneruskan perjalanan ke Australia, di pelabuhan Merak, Jawa Barat, kelmarin. - AFP


MERAK, Indonesia 10 April - Kira-kira 120 pencari suaka politik yang diselamatkan di perairan Indonesia menuntut supaya kerajaan negara ini menyediakan sebuah kapal bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke Australia.
Kumpulan pencari suaka yang kebanyakannya dari Afghanistan dan Iran itu menolak untuk meninggalkan kapal tangki yang menyelamatkan mereka di Selat Sunda, kelmarin.
Kapal tangki MT Hermia yang belayar dari Australia ke Singapura itu menyelamatkan pencari suaka politik terbabit dan membawa mereka ke Merak selepas kapal kayu yang mereka naiki karam.
"Sehingga kini mereka masih enggan meninggalkan kapal tangki yang membawa bendera Singapura itu selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi. Mereka menuntut Indonesia memudahkan perjalanan mereka ke Australia dan menyediakan sebuah kapal.
"Kami telah memberikan makanan semalam tetapi tidak dapat memeriksa keadaan kesihatan mereka," kata seorang pegawai imigresen di bandar Cilegon, tempat kapal itu berlabuh.
Menurut pegawai itu, beberapa pencari suaka tersebut menangis dan berteriak seperti terkena histeria ketika polis dan pegawai imigresen menaiki kapal tangki itu untuk cuba membawa mereka keluar.
Beberapa orang daripada mereka bertegas tidak mahu turut kecuali diberi jaminan memperolehi perlindungan suaka politik di Australia. - AFP

Polis tumpaskan Geng Kangkang




Zull Aznam Haron (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan susu tepung yang dicuri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Kangar, semalam. - UTUSAN/faizal abu hassan


KANGAR 10 April - Jika sebelum ini kumpulan penjenayah menyasarkan kenderaan atau barang kemas namun tidak bagi sekumpulan penjenayah di sini, dikenali sebagai Geng Kangkang yang menjadikan susu tepung berjenama untuk dicuri.
Kumpulan itu bagaimanapun tumpas selepas polis memberkas lima daripada 10 ahli kumpulan itu, iaitu 13 jam selepas mencuri susu tepung pelbagai jenama dari dua kedai runcit di sini antara pukul 3.30 dan 4.05 petang, 5 April lalu.
Selain negeri ini, kumpulan tersebut dipercayai turut aktif mencuri susu tepung dari pasar raya di sekitar Lembah Kelang.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berasal dari Sabah yang berusia 21 hingga 53 tahun.
Kata beliau, kesemuanya ditahan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis keesokannya pada pukul 3.30 pagi di Klang, Selangor.
Tambahnya, turut ditahan seorang peniaga kedai ubat di Kuala Lumpur yang membeli susu-susu tepung berkenaan, pada 7 April lalu.
"Suspek ditangkap berdasarkan kereta sewa yang digunakan semasa melakukan jenayah itu. Hasil soal siasat mereka mengaku mencuri susu tepung di Kangar dan menjualnya kepada peniaga ubat itu di Kuala Lumpur.
"Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan kes curi susu tepung di pasar raya dan premis perniagaan di Perlis dan Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.
Zull Aznam berkata, modus operandi kumpulan itu ialah dengan memasukkan susu tepung di dalam kain suspek wanita sebelum meninggalkan premis.
Katanya, perbuatan mereka bagaimanapun terbongkar hasil penelitian yang dibuat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.
"Kita masih memburu saki baki lima lagi dari ahli kumpulan itu yang masih bebas terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.
"Sesiapa yang terlibat membeli barang curi pula boleh dihukum maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan," ujarnya.

Kematian warga UK: Isteri pemimpin China ditahan

Isteri Bo XilaiBEIJING - Isteri pemimpin kontroversi China dan seorang pembantu keluarga itu ditahan berhubung kematian seorang ahli perniagaan Britain berusia 41 tahun November lalu.
Laporan China Central Television dipetik CNNberkata, kematian Neil Heywood, seorang rakan Bo Xilai, ketua Parti Komunis di kawasan Chongqing, yang telah disingkirkan, kini dianggap sebagai satu kes bunuh.
Isteri Bo, Bo-Gu Kailai dan pembantu keluarganya, Zhang Xiaojun ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Bo telah dilucutkan keanggotaan beliau dalam Jawatankuasa Pusat dan Politik Parti Komunis atas alasan yang tidak dinyatakan dengan khusus tetapi didakwa telah melakukan pelanggaran parti yang serius.Bo pada satu masa lalu pernah dilihat sebagai bintang yang menyerlah dalam dunia politik China.
Beliau telah dipecat sebagai Ketua Parti Komunis di Chongqing, bandar terbesar di barat daya China bulan lalu ekoran skandal memlibatkan seorang timbalannya.
Agensi berita China, Xinhua berkata, Bo-Gu dan anak pasangan itu mempunyai hubungan yang baik dengan Heywood, yang ditemui mati di bilik hotelnya pada usia 41 tahun November lalu.
"Bagaimanapun mereka berhadapan dengan konflik berkenaan kepentingan ekonomi," kata Xinhua.
Kedua-dua Bo-Gu dan Zhang telah diserahkan kepada pihak berkuasa kehakiman, kata agensi berita itu.

Pekerja Utusan Melayu disamun dalam pejabat

Polis sedang memeriksa pejabat Utusan Melayu cawangan Negeri Sembilan yang diselongkar penjenayah, sSEREMBAN – Seorang kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad, di sini menghadapi saat mencemaskan dalam kejadian samun yang berlaku di pejabatnya, dekat Taman AST, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, Syed Mahdzar Al Mahjab Wan Hasan, 24, yang bertugas di jabatan pemasa­-ran baru memulakan tugas seorang diri di kaunter yang terletak di tingkat bawah pejabat berkenaan.

Menurutnya, dia terkejut apabila dua lelaki bersenjatakan parang meluru masuk ke pejabat berkenaan menerusi pintu depan.

“Sebaik sahaja dua lelaki itu masuk ke dalam pejabat, mereka terus menerpa ke arah saya sambil mengacukan parang dan meminta supaya saya tidak bising.

“Dalam keadaan kelam-kebut, salah seorang daripada penjenayah mengikat tangan saya dengan wayar tetikus komputer. Manakala, mulut saya dililit dengan baju sebelum mereka mengurung saya dalam bilik surau di belakang pejabat,” katanya.

Menurutnya, penjenayah berkenaan melarikan wang tunai berjumlah RM4,850 yang diambil dari laci.

Selain itu, katanya, turut diambil, telefon bimbit miliknya serta wang tunai yang berada dalam dompetnya berjumlah RM170.

“Sejurus penjenayah itu melarikan diri, saya bergegas keluar ke pejabat dengan tangan masih terikat meminta pertolongan,” katanya.

Ketika itu, katanya, jurugambar Utusan Malaysia, Abdul Razak Aid yang kebetulan berada di pejabat tingkat atas mendengar jeritannya, lalu turun membantu membuka ikatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian.

Menurutnya, polis sedang mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan.

Tidak serik ditangkap lebih 10 kali

BATU PAHAT – Walaupun pernah ditangkap pihak berkuasa lebih daripada 10 kali atas kesalahan dadah, dua sahabat seperti tidak pernah serik apabila terus mengulangi kesalahan yang sama.

Petang kelmarin, kedua-dua lelaki terbabit sekali lagi ditangkap di sebuah rumah beralamat T/L L2-4, Kampung Parit Lintang 2, Separap dekat sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam serbuan hasil maklumat orang awam kira-kira jam 6.45 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Batu Pahat berjaya menahan kedua-kedua suspek selepas melakukan beberapa intipan.

“Suspek ditahan di rumah tersebut yang dipercayai merupakan kediaman salah seorang daripada mereka.

“Pada mulanya, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya dihalang setelah rumah tersebut dikepung oleh anggota polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Din berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemui 124 gram dadah jenis heroin dan 27 biji pil eramin 5 dipercayai untuk diedarkan sekitar kawasan berkenaan berdasarkan rekod lampau kedua-dua suspek.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan atau terlihat jenayah diminta segera menghubungi polis supaya tindakan pantas dapat di­ambil,” katanya.

Pemandu ambulans saman JPN



GOKINA MORGANAN
11 April 2012
saman jpn
GEORGETOWN - Seorang ­pemandu ambulans di Hospital Seberang Jaya memfailkan saman RM500,000 ­terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akibat kecuaian merekodkan statusnya sebagai seorang berbangsa Cina dan beragama Buddha dalam kad pengenalannya.

Mohd Nordin Mohd Tahir, 56, yang diwakili peguam Azizi Abd Hadi, ­memfailkan saman itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Dalam notis tuntutannya, Mohd Nordin menuntut permohonan maaf dan JPN memberi akujanji supaya ­tidak ­mengulangi kecuaian terhadap mana-mana individu lain dan ganti rugi RM500,000 terhadap kecuaian salah ­rekod status bangsa dan agamanya.

Pada 1 Julai 2005, JPN mengeluarkan kad pengenalan MyKad kepada Mohd Nordin namun sering disapa dengan ­pandangan sinis dan tidak menyenangkan ketika mengadakan urusan.

Beliau menyedari kad pengenalannya tidak tertera perkataan ‘Islam’ walaupun beragama Islam dan berbangsa Melayu tetapi ditukar kepada seorang berbangsa Cina dan beragama Buddha.

Akibat kecuaian itu, Mohd Nordin mengalami tekanan perasaan dan malu disebabkan ia adalah isu sensitif kerana agama dan bangsa, maruah serta nama baiknya.

“Kecuaian JPN boleh mengundang pelbagai masalah seperti berlaku ­kematian boleh memberi kesan yang ­parah ­terhadap tuntutan dan pengurusan jenazah, hak ­pewarisan, pusaka dan hilang hak ­sebagai seorang Bumiputera di negara ini,” katanya.

Mohd Nordin memperoleh salinan rekod maklumat peribadi dan mendapati JPN melakukan kecuaian dalam urusan pendaftaran apabila maklumat peribadi disalah rekod setelah kad pengenalan dikeluarkan 1 Julai 2005 tidak tertera ­perkataan Islam.

Tahanan berbahaya dijejak

Mohd Rezuan Abdul RahmanKUALA LUMPUR - Orang ramai digesa bekerjasama dengan polis bagi menjejaki seorang lelaki yang melarikan diri dari lokap Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Jumaat lalu, kerana tertuduh adalah tahanan berbahaya kepada keselamatan dan ketenteraman orang awam.

Tertuduh, merupakan ketua kumpulan Man Kuchai yang aktif melakukan rompakan dengan menggunakan modus operandi melanggar belakang kereta mangsa, termasuk merompak kedai-kedai beroperasi 24 jam di sekitar daerah Brickfields.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, gambar tertuduh, Mohd Rezuan Abdul Rahman, 32, yang lebih dikenali sebagai Man Kuchai atau Man Che Indon disiarkan di laman facebook Polis KL, termasuk media cetak dan elektronik bagi memudahkan orang ramai membuat pengecaman.

Beliau berkata, orang ramai yang mengenali tertuduh atau ada maklumat berhubung lelaki yang pernah dua kali melarikan diri daripada tahanan polis itu, diminta tampil segera ke balai polis terdekat atau menghubungi talian Rakan Cop; 03-2115999 bagi membantu siasatan.

“Kita ingatkan orang ramai yang mungkin melihat kelibat tertuduh agar tidak bertindak sendiri, sebaliknya maklumkan kepada polis terlebih dahulu.

“Orang ramai atau ahli keluarga tertuduh juga diminta agar tidak melindungi suspek yang meloloskan diri kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tiga bulan daripada hukuman berhubung pertuduhan kerana merompak,” katanya, semalam.

Mohmad berkata, apa sahaja maklumat termasuk kedudukan tertuduh yang diketahui oleh orang ramai perlu dilaporkan segera kepada polis, agar tindakan selanjutnya dapat diambil secepat mungkin.

Berdasarkan rekod polis, tertuduh terbabit sepatutnya dibicarakan bagi empat kesalahan jenayah melibatkan Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa, Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan;rompakan dengan menyamar sebagai pegawai polis dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.

Ketika ditanya, berhubung tindakan yang akan dikenakan terhadap anggota polis yang bertugas pada hari kejadian, Mohmad berkata, siasatan sedang berjalan dan pihaknya akan melihat sama ada terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari penjagaan yang sah.

“Jika siasatan menunjukkan berlaku kecuaian di kalangan anggota yang bertugas, kita akan ambil tindakan sama ada tindakan tatatertib atau undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Pada 6 April lalu, tertuduh yang dibawa dari Penjara Sungai Buloh untuk sebutan kes rompakan di mahkamah terbabit, melarikan diri menerusi terowong berdekatan lokap, sebelum naik ke atas dan masuk ke lokap bilik mahkamah.

Tertuduh yang memakai singlet coklat dan berseluar pendek itu, kemudiannya meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah, sebelum kehilangannya disedari polis kira-kira empat minit kemudian.

Mangsa petir: Dipercayai tidak pakai kasut

pokok BUKIT KATIL - “Sebahagian besar yang terkena renjatan itu disebabkan tidak memakai kasut,” kata Muhammad Farhan Aswad, 16.

Muhammad Farhan merupakan salah seorang peserta perkhemahan di Kem Pengakap Tan Chay Yan, Pengkalan Badak, di sini yang menyaksikan 15 peserta terkena renjatan panahan petir, Ahad lalu.

Dia yang merupakan salah seorang peserta perkhema­-han Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) menceritakan detik cemas kejadian kepada Sinar Harian, di sini semalam.

“Masa itu, bunyi dentu­-man petir bertalu-talu, manakala hujan sangat lebat. Saya lihat beberapa batang pokok turut tumbang,” katanya.

Dia yang mewakili Sekolah Kebangsaan Dato’ Dol Said, Alor Gajah berkata, khemahnya terletak bersebelahan tempat kejadian dengan jarak tidak sampai 10 meter.

“Ketika itu, kami baru sahaja selesai pasang khemah. Kebanyakan peserta berada dalam khemah dan sebaik menyedari hujan lebat, diselangi bunyi petir sangat kuat, kami diarahkan kem komandan supaya berlindung di surau kawasan perkhemahan.

“Saya difahamkan, kebanyakan peserta yang terkena renjatan disebabkan mereka tidak memakai kasut,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Rohazam Yahya berkata, pihaknya sudah mengambil langkah keselamatan termasuk arahan­ Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mengurangkan bilangan pokok besar yang boleh mendatangkan risiko tumbang.

“Sehingga kini kita masih meneruskan kerja pemulihan atas kerosakan berlaku.

“Kita juga sedang mengenalpasti pokok besar untuk ditebang bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti ribut petir berulang semula,” katanya.

Menurut Rohazam, pihaknya juga akan mengarahkan pihak penganjur perkhemahan agar mengikuti segala peraturan­ ditetapkan terutama arahan untuk masuk ke dalam dewan disediakan apabila berlaku kejadian hujan lebat.

Tinjauan Sinar Harian di tapak perkhemahan juga mendapati lokasi berlakunya kejadian 15 pelajar Sekolah Menengah St Francis, Banda Hilir disambar petir telah dibersihkan.

Manakala, kesemua baki 16 peserta sekolah berkenaan menarik diri dari program yang sepatutnya berakhir Sabtu ini atas arahan pihak sekolah masing-masing.

64 pendatang tanpa izin ditahan di Pulau Pinang

GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 64 pendatang tanpa izin dalam pemeriksaan di beberapa kawasan tapak pembinaan di Relau dan Bayan Baru awal hari ini.

Operasi pada pukul 3 pagi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (I) negeri Abdul Rahman Hassan itu membabitkan 46 pegawai dan anggota serta dibantu 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Abdul Rahman berkata seramai 354 rakyat asing diperiksa dan daripada jumlah itu 64 orang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 21 lelaki Bangladesh, 28 lelaki dan lapan wanita Indonesia serta tujuh lelaki Myanmar termasuk dua kanak-kanak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata operasi bersepadu yang turut dijalankan di seluruh negara itu dibuat selaras dengan berakhirnya Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).

"Kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Juru untuk siasatan lanjut," katanya. - Bernama

Padah curi motosikal

Noor Hashim menunjukkan motosikal yang dicuri dan dileraikan suspek.
GELANG PATAH – Seorang remaja keciciran sekolah adalah antara enam yang dicekup pihak polis pada 2 April lalu di sebuah premis perniagaan Taman Nusantara, di sini, kira-kira jam 11 malam, selepas didapati terbabit dalam kegiatan curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, bertindak melalui maklumat orang ramai dengan kecekapan pihak polis yang membuat rondaan, remaja tempatan berusia 16 hingga 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, tiga remaja ditahan pada tarikh berkenaan dan hasil soal siasat pihaknya berjaya mengesan tiga lagi suspek pada keesokan hari sekali gus membawa penemuan tujuh motosikal termasuk jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5 yang telah dileraikan.

“Modus operandi suspek adalah mencuri motosikal seterusnya meleraikan komponen untuk dijual kepada kenalan dan kegunaan sendiri, manakala rangka motosikal ditemui di sungai Kampung Bukit Tempurung, di sini.

“Sebahagian komponen motosikal yang belum sempat dijual berjaya ditemui di rumah suspek, justeru pihak polis menasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak mereka supaya tidak terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di Balai Polis Gelang Patah, di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan pemilik motosikal supaya menambah ciri-ciri keselamatan pada kenderaan masing-masing bagi mengelakkan ia dicuri.

“Dua suspek telah didakwa di mahkamah manakala yang lain masih ditahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Dengan tertangkapnya semua suspek pihak polis berjaya menyelesaikan 42 kes curi motosikal di daerah Nusajaya dan kawasan berdekatan,” katanya.

Lelaki menyamar ejen 6P diburu

M Anuar (empat,kiri) ketika sidang media bersama ahli Lions Club.SEGAMAT - Seorang suspek yang terlibat dalam kes penyamaran sebagai ejen Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) diburu bagi menyelesaikan kes penipuan yang melibatkan kerugian kira-kira RM60,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Anuar Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kes penipuan yang melibatkan suspek pada 15 Mac lalu.

Menurutnya, polis menerima tujuh laporan berkenaan kes penipuan dilakukan suspek yang dipercayai bergerak aktif sekitar daerah ini.

“Pihak kami telah mengenal pasti suspek yang menyamar sebagai ejen Pemutihan 6P dengan alamat terakhirnya di Mantin, Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam.

Tambahnya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu secara bersendirian dengan menggunakan modus operandis berjumpa majikan yang mempunyai ramai pekerja warga asing sebelum memperdayakannya.

“Suspek mengenakan bayaran sebanyak RM600 untuk setiap borang Pemutihan Program 6P manakala RM3,500 untuk menyelesaikan segala urusan berkaitan program terbabit bermula dari proses pendaftaran.

“Orang ramai turut diingatkan agar berhati-hati apabila berurusan dengan ejen Pemutihan 6P agar mereka tidak tertipu,” katanya.

Empat senapang angin dirampas



WARTAWAN SINAR HARIAN
11 April 2012
Ahmad (kiri) menunjukkan senapang angin yang berjaya dirampas.
MANJUNG - Sepasukan Cawangan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Manjung berjaya merampas empat laras senapang angin dalam dua serbuan berasingan awal bulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, serbuan pertama dilakukan pada 5 April lalu pada jam 1.30 tengah hari di Taman Seri Perak Manjung dan berjaya merampas satu laras senapang angin bersama peluru yang dibuat daripada timah.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga seramai lima orang ditangkap yang dipercayai pemilik senjata api berkenaan dalam lingkungan umur 22 hingga 36 tahun.

“Bagi serbuan kedua pula dilakukan pada pada 8 April pada jam 1.10 tengah hari di Kampung Datuk Seri Kamaruddin.

“Dalam serbuan ini kita berjaya merampas tiga laras senapang angin bersama dengan peluru guli,” katanya.

Katanya, serbuan kedua itu juga melibatkan tangkapan tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 21 hingga 35 tahun.

“Kita percaya senapang berkenaan digunakan untuk menembak burung dan juga ayam hutan.

“Mereka yang ditangkap bagi kedua-kedua kes itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kita khuatir mereka menyalahgunakan senjata berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Ahmad berkata, Sembilan yang ditangkap berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 36 (1) akta senjata api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kesemua mereka akan masih ditahan reman dan akan dituduh di mahkamah pada 12 April ini,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang memiliki senjata api seumpama itu supaya menyerahkan kepada pihak polis.

“Senjata api itu adalah buatan sendiri dan boleh mendatangkan kematian dan kita khuatir jika ia disalah gunakan.

“Kita menyeru supaya senjata api berkenaan diserahkan kepada polis dan jika tidak kami terpaksa bertindak merampasnya supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Buruh warga asing kena serbu

Antara warga asing yang diserbu Imigresen kelmarin.JOHOR BAHRU - Seramai 125 warga asing yang mendiami kawasan penempatan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Dato’ Onn, di sini tidak mampu meloloskan diri apabila rumah kotai yang didiami mereka diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri, di sini malam kelmarin.

Dalam serbuan bermula jam 2.30 pagi itu, seramai 14 warga asing termasuk empat wanita yang berusia 24 hingga 48 tahun sedang nyenyak tidur dan ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, warga asing yang ditahan ialah 13 rakyat Indonesia dengan sembilan lelaki dan empat wanita, manakala seorang lagi warga Myanmar.

“Dalam operasi berkenaan, seramai 125 warga asing diperiksa, namun hanya 14 yang didapati melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, kesemua warga asing itu yang menetap di situ bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan berhampiran kediaman mereka.

“Ketika serbuan, kesemua mereka sedang tidur, malah sewaktu dikejutkan ada yang cuba bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Namun, usaha itu gagal kerana anggota kita terlebih dahulu mengepung kawasan tersebut,” katanya sambil memberitahu operasi yang disertai 18 anggota penguat kuasa yang berakhir dua jam kemudian itu dilakukan hasil maklumat dan aduan orang awam.

Menurutnya, 13 warga asing itu yang ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi mengikut 15(1)(C) akta yang sama kerana tinggal lebih masa.

Mereka yang ditahan dan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Pasport 1960 kini ditempatkan di Depoh Pekan Nanas untuk tindakan lanjut.

Kilang musnah seratus peratus

kilang musnahIPOH - Sebuah stor penyimpanan komponen elektrik dan elektronik yang terbakar di Kawasan Perusahaan Silibin di sini, petang semalam, menyebabkan kepulan asap hitam tebal melitupi ruang udara dan keadaan itu jelas kelihatan sekitar bandar raya Ipoh.

Timbalan Penguat kuasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Ipoh, P Samasuvam berkata, kepulan asap hitam itu dapat dilihat daripada jarak antara lima ke enam kilometer daripada tempat kejadian.

Beliau yang ditemui semalam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 1.05 petang.

Menurutnya, seramai 33 anggota termasuk pegawai terbabit dalam operasi memadam kebakaran dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 1.16 petang.

“Sebanyak empat jentera dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Ipoh, Simpang Pulai dan Pasir Puteh dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

“Selepas bertungkus lumus anggota kami memadam kebakaran, ia berjaya dikawal kira-kira 40 minit kemudian,” katanya.

Samasuvam berkata, api dapat dikawal daripada merebak ke kilang ubat yang terletak bersebelahan premis tersebut.

“Walaupun angin kuat bertiup namun ia tidak menjejaskan kerja memadam api. Oleh itu, kami cuba mengawal api daripada merebak ke kilang yang terletak berhampiran,” katanya.

Ujarnya, kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dalam kalangan pekerja.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami pemilik kilang berkenaan memandangkan premis itu musnah seratus peratus.

“Kami turut mendapat bantuan dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menggunakan jentolak untuk mengalih sisa kebakaran,” katanya.

Sehingga jam 5.30 petang semalam, kebakaran masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.

Kesan gempa Aceh, gegaran dirasai di KL

 Kesan gempa Aceh, gegaran dirasai di KLKUALA LUMPUR - Lebih 100 kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Tun Razak di sini panik apabila berlaku gegaran di bangunan tersebut susulan gempa bumi kuat di Aceh, Indonesia petang ini.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu juga memaksa semua yang berada dalam bangunan tersebut bergegas turun dan berkumpul di luar bangunan.

Situasi panik itu dikongsi oleh salah seorang  kakitangan, Mohd khairul Izani Othman, 29, yang ketika itu berada di Tingkat 10 bangunan tersebut.

Menurutnya, dia merasai sendiri gegaran yang berlaku sekitar 30 saat itu dan bertanya kepada rakan sekerja sama ada terasa gegaran atau tidak.

"Ketika itu sudah terasa pening dan kami beramai-ramai turun menggunakan lif. Apabila sampai di bawah, sudah ramai yang berkumpul.

"Perasaan takut itu ada kerana ini pengalaman  pertama saya merasainya setelah lima tahun bekerja di sini kerana saya tidak rasa ketika gegaran pada 2007," katanya kepada Sinar Harian.

Pasukan Bomba dan penyelamat turut berada dilokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan keselamatan.

Penunggang motosikal hentak cermin kereta wartawan

MELAKA: Seorang wartawan sambilan akhbar berbahasa Cina berdepan dengan detik cemas apabila seorang penunggang motosikal bertindak menghentak cermin hadapan keretanya dengan topi keledar selepas berlaku kemalangan kecil di sini, semalam.
Tan Ho Hong, 22, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seri Mangga di sini selepas menghadiri satu sidang akhbar di Melaka Raya.
Beliau berkata, setibanya di persimpangan masuk ke Taman Seri Mangga, keretanya bergeser dengan sebuah motosikal dari arah sama yang dipercayai hendak ke laluan terus.

"Saya memberi isyarat untuk masuk ke kanan dan ketika saya hendak masuk ke simpang itu, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang laju dari arah belakang tidak sempat berhenti lalu bergeser dengan kereta saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Tan berkata dia kemudian meminta maaf kepada lelaki berusia 20-an itu namun lelaki tersebut tiba-tiba berang lalu bertindak agresif dengan menendang pintu keretanya sebelum menghentak cermin hadapan sehingga retak menggunakan topi keledar.

Beliau yang berada di dalam kereta sepanjang insiden itu berkata, lelaki tersebut hanya melarikan diri kira-kira lima minit kemudian.

Beliau kemudian menelefon abangnya untuk memaklumkan kejadian tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Malim. - Bernama

Empat kenderaan disita dalam operasi bersepadu JPJ

KEMAMAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita empat kenderaan dalam operasi bersepadu bersama 12 agensi kerajaan lain dekat Kijal malam tadi.
Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, sebanyak 1,801 kenderaan diperiksa di empat lokasi termasuk di hadapan Stesen Penguatkuasa JPJ Kijal, di sini.
"Sebanyak 107 saman dan 78 notis dikeluarkan akibat pelbagai kesalahan teknikal melibatkan pemandu dan kenderaan seperti penggunaan cermin gelap dan saiz nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

"Empat kenderaan yang disita pula adalah kerana kesalahan tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor entiti kenderaan yang diubahsuai," katanya pada sidang akhbar selepas operasi selama lapan jam itu.


Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (SPRM) dan Jabatan Kesihatan.

Turut serta dalam operasi itu ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Penapisan Filem (LPF), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Lembaga Padi dan Beras negara (LPN) yang membabitkan 119 pegawai. - Bernama

Remaja mati lemas, terjatuh dari sampan

LANGKAWI - Seorang remaja lelaki yang terjatuh dari sampan semasa memancing ikan bersama ibunya di perairan Pulau Tuba di sini malam tadi, ditemui mati lemas pagi ini.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara (APMM), Kapten Salim Ahmad berkata mayat Ismail shafie, 16, ditemui terapung di perairan Pulau Tuba kira-kira 10.15 pagi.

Tiga buah bot dari APMM, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menyertai operasi mencari yang dilancarkan malam tadi, katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya mayat remaja itu dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat. - Bernama

Pesawat Korean Airlines ubah haluan terima ancaman bom





2012/04/11

TORONTO: Pesawat Boeing 777 milik Korean Airlines yang dalam perjalanan dari Vancouver ke Seoul terpaksa menukar arah penerbangan ke pangkalan Tentera Udara Kanada di Pulau Vancouver selepas pusat panggilan syarikat penerbangan AS menerima panggilan mengenai ancaman terhadap pesawat. 

Korean Air dalam satu kenyataan menyebut, selepas 25 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver, pusat panggilan di AS menerima panggilan ancaman terhadap pesawat berkenaan.
Selepas berbincang dengan jabatan berkaitan, syarikat berkenaan memutuskan untuk mengubah laluan pesawat.
Angkatan Tentera Kanada dalam satu kenyataan akhbar berkata, penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver dialihkan ke pangkalan udara Comex, 70 batu di luar Vancouver kira-kira jam 5.30 petang (waktu tempatan). 

Syarikat Penyiaran Kanada melaporkan, pesawat itu menukar arah selepas menerima ancaman bom yang dibuat menerusi panggilan telefon kepada pejabat syarikat penerbangan itu di Los Angeles. - AP

13 GRO warga asing ditahan di pub, rumah urut di Cheras





2012/04/11

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat urut refleksologi dan sebuah pub yang menawarkan layanan pelayan wanita atau GRO diserbu polis dan 13 wanita warga asing tanpa permit kerja yang sah ditahan di sini, malam tadi. 

Lima daripada mereka ditahan di pusat urut refleksologi manakala lapan lagi ditahan di pub berkenaan yang terletak di premis berasingan.

Arroyo mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah babitkan AS$300 juta





2012/04/11

MANILA: Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo dan suaminya mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan rasuah berkaitan perjanjian kontrak yang melebihi jumlah sebenar dengan syarikat telekomunikasi China. 

Arroyo ditahan tahun lalu atas tuduhan berasingan membabitkan penipuan berkaitan pilihan raya. Sejak itu beliau didakwa bagi kes kedua berkaitan kontrak kerajaan berjumlah AS$330 juta dengan syarikat telekomunikasi China, ZTE Corp.
Penyiasatan seorang ahli Kongres mendapati kontrak pada 2007 itu melebihi harga sebenar dan dibebani dengan pelbagai masalah termasuk dakwaan bahawa suami Arroyo menerima rasuah melalui perjanjian dengan kelulusan isterinya.
Arroyo kemudian membatalkan perjanjian itu dan melepaskan jawatan pada 2010 dan menghadapi pendakwaan yang dimulakan oleh pengganti pentadbiran beliau. - AFP

Anak ugut ibu guna pisau didenda RM2,000

KUALA TERENGGANU: Seorang anak dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah mengugut ibunya dengan pisau selepas permintaannya mendapatkan wang tidak dipenuhi pada 22 April tahun lalu.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Sahli Ali, 21, dari Kampung Paloh, di sini, selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Sahli didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mendatangkan kecederaan kepada Teh Salleh, 56, dengan niat menyebabkan ibunya berasa cemas di dapur rumah mereka di Kampung Paloh kira-kira jam 2.40 petang.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi, manakala tertuduh yang berpakaian lokap warna ungu tidak diwakili peguam. 

Mengikut fakta kes, pada jam 2.40 petang hari kejadian, ibu tertuduh berada di dapur rumah, sebelum tertuduh yang dalam keadaan marah sambil memegang sebilah pisau mengugut mangsa. 

Dalam masa sama, tertuduh memecahkan barangan dalam rumah itu dan meminta wang tunai RM100, tetapi enggan dituruti mangsa yang bekerja sebagai guru menyebabkan tertuduh mengamuk.

Guru tak benar tiru kena bunuh





2012/04/11

Penyerang dalam kereta langgar mangsa

NEW DELHI: Seorang guru di utara India mati selepas dilanggar kereta dipercayai berpunca daripada keengganannya membenarkan pelajarnya menipu dalam peperiksaan, lapor media kelmarin.
Guru yang dilanggar kenderaan itu, Rakesh Kumar, 37, mengajar di sekolah swasta Haryanastate, bandar Sonepat.
Memang jelas mereka berniat membunuh abang saya. Selepas melanggarnya sekali, mereka mengundur kereta dan melanggarnya lagi, kata adik Kumar, Mukesh.
Dia sedang berjalan pulang ke rumah pada Jumaat lalu apabila dua lelaki dalam sebuah kenderaan menahannya dan didakwa memintanya membenarkan seorang pelajar meniru. 

Tetapi, Kumar menolak permintaan mereka. Kedua-dua lelaki itu kemudian masuk ke dalam kereta dan melanggarnya dua kali, lapor NDTV. 

Kumar meninggal dunia akibat kecederaan dilanggar selepas dibawa ke hospital di New Delhi, 45 kilometer ke selatan Sonepat.

Seorang suspek sudah ditahan dan suspek kedua sedang diburu polis, lapor stesen televisyen CNN-IBN. Keluarga Kumar mengenalpasti suspek sebagai rakan dan saudara kepada pelajar yang mahu menipu itu. 
“Memang jelas mereka berniat membunuh abang saya. Selepas melanggarnya sekali, mereka mengundur kereta dan melanggarnya lagi,” kata adik Kumar, Mukesh.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Kumar sempat memberitahu pihak berkuasa mengenai dua orang yang bertanggungjawab dan media mendedahkan dua suspek itu sebagai Vikram Singh dan Hari Om.

Bapa dan adik Kumar berada bersamanya ketika kejadian dan mereka menuduh dua penyerang terbabit sudah lama mendesak mangsa membenarkan pelajar meniru ketika peperiksaan.

“Dia enggan dan akhirnya inilah yang berlaku,” kata Mukesh lagi.

Kerajaan negeri membuat kenyataan mengakui bahawa perlu ada tindakan tertentu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang dan berjanji memberi keadilan kepada mangsa seperti Kumar. – Agensi

Amah dapat gaji tertunggak RM46,486





2012/04/11

RIYADH: Pegawai Pusat Hal Ehwal Pembantu Rumah (HAC) Arab Saudi dengan kerjasama anggota polis Riyadh memaksa seorang majikan warga tempatan membayar tunggakan gaji sebanyak 57,000 riyal (RM46,486) kepada amah Indonesia yang berkhidmat kepadanya. 

Ia berpunca daripada keputusan pembantu rumah terbabit, Fatimah Ali Noor untuk pulang ke negara sendiri selepas bekerja selama lapan tahun kepada lelaki itu.
Apabila Fatimah bertanya mengenai bayaran tunggakan gajinya, majikannya memberi alasan memerlukan sedikit masa kerana tidak mempunyai wang tunai secukupnya.
Oleh kerana mengesyaki sesuatu tidak kena, Fatimah melarikan diri dari kediaman majikannya dan terus ke balai polis berdekatan, keesokannya. 

Pegawai polis kemudian merujuk kesnya kepada HAC, lapor media berbahasa Arab yang dipetik akhbar Saudi Gazette. 

Ketika polis menghubungi majikan berkenaan, beliau meminta beberapa hari penangguhan untuk mendapatkan wang dan wang itu dibawa ke balai polis seperti dijanjikan. – Agensi

Geng Snooke, Wan Toncet tumpas

Geng Snooke, Wan Toncet tumpas
KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun, ragut dan curi dikenali Geng Snooke dengan tertangkapnya lima lelaki , Selasa lalu.
Modus operandi kumpulan itu melakukan kegiatan jenayah dengan menyasarkan mangsa yang memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.
Suspek yang menaiki motosikal itu memecahkan tingkap kereta, kemudian menyamun barang berharga milik mangsa. Mereka turut mencederakan dan meragut beg mangsa berjalan berseorangan.
Polis menubuhkan pasukan khas mengesan kumpulan itu berikutan kes samun ke atas seorang mangsa di perhentian bas di Batu 6 Jalan Cheras berhadapan sebuah pusat membeli-belah Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Cheras Baru dan menangkap lima lelaki.
“Polis merampas sebilah sabit, pisau pemotong daging, parang, lima telefon bimbit, beberapa peralatan komponen motosikal dipercayai dicuri, beberapa keping nombor plat palsu, enam motosikal dan tiga kereta,” katanya.
Mohan berkata, tujuh kes samun di sekitar Cheras, Brickfields dan Ampang berjaya diselesaikan.
Dalam perkembangan lain, polis juga berjaya menumpaskan Geng Wan Toncet yang dipercayai terlibat kes samun, pecah cermin dan ragut dengan tertangkapnya seorang lelaki, 26 Mac lalu.
Mohan berkata, pihaknya menemui beberapa barang dalam raga motosikal dinaiki suspek antaranya spark plug dibalut pelekat untuk memecahkan cermin kereta mangsa, sarung tangan dan dua telefon bimbit,” katanya.
Mohan Singh berkata, polis mengesan tiga individu antaranya Mohd Fariezzuan Shah Che Arif, Amier Saharuddin A Kumar dan Esnor Shahnizam Mohd Esa bagi membantu siasatan kes itu.