Search This Blog

Tuesday, April 10, 2012

Menara elektrik jadi sasaran



ALAUDIN MA
10 April 2012
Ab_Aziz_tunjuk_besi_tiang_elektrik_sasaran_pencuri
GUA MUSANG - Besi menara elektrik berkuasa tinggi di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir, dekat sini, menjadi sasaran pencuri dipercayai dilakukan mat gian sejak tahun lalu.

Kejadian itu amat membimbangkan apabila peneroka RKT terbabit mengesan beberapa batang besi menara elektrik tersebut hilang dan terdedah kepada tumbang apabila tidak dikawal lebih awal.

Mereka mengakui kawasan RKT Kesedar itu menjadi sasaran mat gian mencuri pelbagai besi dan baru-baru ini tertumpu kepada menara telefon mudah alih yang terletak di atas bukit berhampiran hingga generator elektrik bersama besi menara habis dileraikan.

Tinjauan mendapati, beberapa batang besi menara elektrik berkuasa tinggi di RKT Kesedar Lebir itu dicabut dan beberapa batang lagi semakin longgar selepas dibuang skrunya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Ab Aziz Ab Rahman berkata, mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan di RKT Kesedar berkenaan kerana menganggap terletak jauh dari perkampungan lain.

Katanya, ini kerana rancangan tanah terbabit dianggap ‘selamat’ untuk melakukan kegiatan itu berikutan pihak berkuasa sukar untuk mengesan kegiatan itu, tetapi lambat laung akan tertangkap nanti selepas kegiatan berkenaan sudah terbongkar.

Menurutnya, kejadian itu dikesan beberapa peneroka sebaik melalui kawasan tersebut dan ternampak kesan tinggal lubang sahaja terutama besi yang berada di bahagian bawah menara.

“Walaupun hanya beberapa batang besi menara elektrik itu hilang, namun saya bimbang kejadian lebih buruk boleh berlaku selepas ini sekiranya pihak terbabit tidak pantau dan bertindak lebih awal,” katanya.

Seorang peneroka, Alias Yusof, 58, berkata, sebelum ini rancangan tanah itu paling selamat daripada ancaman kecurian, tetapi sejak kebelakangan ini peneroka juga semakin takut dengan perkara itu yang turut menjejaskan keselamatan mereka.

Menurutnya, memang peneroka juga berani untuk menghalang kegiatan terbabit jika terserempak dengan mereka, malangnya kejadian itu dipercayai dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi ketika penduduk nyenyak tidur.

“Kita tahu mengenai kejadian tersebut apabila melalui kawasan menara elektrik berkenaan dan belum dapat dikesan angkara siapa yang berani berbuat demikian,” katanya.

Mayat lelaki ditemui di hotel empat bintang



10/04/2012 6:31pm

KUALA LUMPUR 10 April – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbogel dengan kesan kecederaan di belakang kepala di sebuah hotel bertaraf empat bintang berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini petang ini.
Mangsa berusia 37 tahun dipercayai dibunuh antara tengah malam tadi hingga tengah hari ini sebelum ditemui oleh tukang cuci pukul 3 petang. – UTUSAN

Curi bateri pencawang, lelaki ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
curi bateri
KUALA BERANG – Tindakan seorang lelaki mencuri bateri di dalam pencawang milik syarikat telekomunikasi di Kampung Felda Mengkawang bernilai RM7,200 dan seorang peniaga barangan lusuh membeli barang curi membawa padah apabila kedua-dua mereka ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, dua anggota polis yang melakukan rondaan trafik cegah jenayah terserempak sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di hadapan kedai membeli barangan lusuh di Kampung Bukit Perah, Ajil pada jam 3 petang Februari lalu.

“Apabila polis menghampiri van itu, tiga lelaki yang mencurigakan, mereka memecut kenderaan menyebabkan polis mengejar. Walaupun diarah berhenti, mereka tidak mengendahkannya malah cuba menghimpit kereta polis.

“Sebuah lagi kenderaan polis ‘diturunkan’ untuk membantu menahan mereka namun menemui jalan buntu apabila berada di jalan mati di kebun getah Kampung Bukit Kolam, Ajil,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan pemeriksaan ke atas van menjumpai 17 biji bateri, dipercayai dicuri dari sebuah pencawang milik syarikat telekomunikasi di daerah itu.

Susulan itu, soal siasat dijalankan ke atas pengusaha kedai barangan lusuh dan polis berjaya menahan pemandu van berusia 28 tahun pada 1 April lalu.

“Polis kemudian melancarkan satu serbuan dan berjaya menahan seorang peniaga barangan lusuh berusia 38 tahun pada 3 April lalu.

“Dia kemudian menunjukkan lokasi di mana bateri yang sudah dibeli dan dijual pula kepada peniaga barangan lusuh di Kuala Terengganu. Pemeriksaan dilakukan menemui empat lagi bateri,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 28 tahun itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

PPM rampas lembu seludup



ROHANA ISMAIL
10 April 2012
lembu seludup
TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor berjaya merampas 27 ekor lembu bernilai RM135,000 dalam operasi pencegahan penyeludupan di sempadan dari Januari hingga April.

Daripada jumlah ini, rampasan terbesar sebanyak lapan ekor lembu jenis Brahman bernilai RM40,000 apabila di seludup masuk menyeberangi Sungai Golok melalui Pangkalan Mek La Kampung Simpangan, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, kejayaan itu hasil intipan anggota PPM di sekitar Pangkalan Haram Mek La kira-kira jam 3 pagi.

“Ketika intipan itu, kelihatan sebuah perahu enjin galah dari arah Thailand mengheret lembu menyeberangi sungai Golok menghala ke Pangkalan Mek La.

“Apabila perahu itu rapat di tebing, kelihatan dua lelaki tempatan yang sedang menunggu ketibaan lembu tersebut mengheret lapan lembu itu naik ke darat.

“Kira-kira jam 4.30 pagi, serbuan dilakukan, bagaimanapun dua lelaki tersebut berjaya melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, haiwan tersebut dibawa ke Balai Polis Simpangan dan diserahkan kepada ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dipercayai lembu tersebut untuk dijual dipasarkan tempatan dan aktiviti ini semakin aktif menjelang Aidilfitri nanti.

Jalan mendap tunggu mangsa



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
jalan raya mendap
SONGSANG - Keadaan bahu jalan raya Temerloh-Jerantut, dekat sini, yang mendap memerlukan perhatian sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengguna, A Gopal, 25, berkata, pihak berkenaan sepatutnya sudah mengambil tindakan untuk mengatasi masalah itu berikutan keadaan tersebut sudah berlarutan selama hampir empat bulan.

Menurutnya, keadaan itu turut membahayakan keselamatan pengguna terutama penunggang motosikal kerana kon diletakkan di kawasan terbabit mudah tumbang ditiup angin dan boleh menyebabkan kemalangan.

“Beberapa hari lalu, saya nyaris terjatuh daripada motosikal ketika melalui jalan ini semasa sedang menunggang menghala ke pekan Kerdau. Kon tersebut tiba-tiba tumbang dan saya nyaris terjatuh.

“Nasib baik ketika itu tiada kenderaan di belakang saya. Kalau tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati mendapan di jalan terbabit semakin dalam dan perlu dibaiki segera.

Gopal berkata, sehubungan itu pihak berkenaan diharap dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan membaiki kerosakan tersebut kerana bimbang ia semakin teruk.

Tambahan pula katanya, keadaan gelap terutama pada waktu malam meningkatkan lagi risiko kemalangan.

“Pemandu dari arah Temerloh menuju Jerantut akan masuk ke laluan bertentangan untuk mengelak mendapan itu. Kita bimbang tindakan tersebut akan menyebabkan kemalangan.

“Tambahan pula, kenderaan di kawasan ini dipandu laju dan jumlah kenderaan pula semakin bertambah,” katanya.

Padah liat bayar sewa tertunggak



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
Anggota-penguatkuasa-MBAS-ketika-menjalankan-operasi-sitaan
ALOR SETAR - Sikap gemar menangguhkan bayaran sewa bulanan premis menyebabkan lapan pemilik medan selera terpaksa berdepan dengan tindakan sita yang diambil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Pada operasi sitaan tunggakan gerai dan harta majlis yang dilakukan MBAS semalam, dua premis di Medan Selera Mergong dan satu premis di Sudut Selera Putra disita.

Ketua Unit Sewaan MBAS, Shaari Abdullah berkata, operasi yang disertai 25 penguat kuasa MBAS itu melibatkan gerai yang gagal menjelaskan tunggakan melebihi tiga bulan.

“Dua pemilik premis di Sudut Selera Putra menjelaskan separuh daripada jumlah tunggakan yang menyebabkan tiada tindakan diambil terhadap gerai mereka.

“Kita masih memberi peluang kepada pemilik premis sekiranya mereka mahu membuat bayaran walaupun separuh dan mereka perlu ke pejabat MBAS untuk kita memberi jadual pembayaran untuk masa akan datang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Shaari berkata, pada operasi kali ini jumlah tunggakan membabitkan RM22,720 manakala tunggakan tertinggi melibatkan gerai minuman di Sudut Selera Putra dengan jumlah tertunggak sebanyak RM5,600.

Menurutnya, pemilik gerai itu gagal membuat sebarang pembayaran menyebabkan peralatan perniagaannya terpaksa disita.

Tempoh tujuh hari waktu bekerja diberikan kepada pemilik untuk membuat bayaran bagi membolehkan mereka mengambil semula barang miliknya yang disita.

Menurutnya, dua gerai di Sudut Selera Putra ditutup namun, pemiliknya masih belum menjelaskan jumlah sewa tertunggak.

“Walaupun mereka tidak lagi beroperasi namun, ini tidak bermakna mereka tidak perlu menjelaskan bayaran tertunggak kerana kita akan mencari mereka untuk melunaskan bayaran itu.

“Kita juga tidak akan membenarkan mereka menyewa mana-mana gerai MBAS sekiranya belum membuat pembayaran,” katanya.

Shaari berkata, operasi sitaan yang dijalankan itu diadakan pada setiap minggu dan akan berakhir pada Disember depan.

Pembaca berita dibaling telur dan yogurt ketika bersiaran



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
GREEK - Seorang penunjuk perasaan nekad menyerbu masuk ke studio sebelum melempar telur dan yogurt ke arah pengacara televisyen, Panagiotis Bourchas ketika siaran langsung sebuah program bual bicara.

Adegan yang disangka sebahagian daripada babak program itu bertukar kecoh apabila siaran terhenti dan penyerang itu akhirnya ditangkap kerana kesalahan menceroboh sehingga menimbulkan kekecohan pada kejadian Jumaat lalu.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Bourchas menemuramah seorang jurucakap dari sebuah parti politik sayap kanan neo-Nazi yang mengamalkan pemerintahan diktator dan dari fahaman anti-Fasis.

Gara-gara suapan RM50, pemandu lori didenda RM10,000




10 April 2012
KUANTAN - Gara-gara memberi suapan RM50 kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang pemandu lori hari ini didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan di sini hari ini.
Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mat Nasir Dullah, 48, selepas dia mengaku bersalah dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Bagaimanapun Mat Nasir membayar denda itu.
Mat Nasir didakwa memberi suapan itu kepada Ketua Penguat kuasa JPJ KLIA, Azlee Ahmad sebagai dorongan tidak menyaman tertuduh di atas kesalahan memandu kenderaan WGU 7392 yang lesennya telah tamat tempoh di Km 12 Jalan Kuantan-Cherating pada 9.40 pagi, 27 Mei, 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mat Nasir yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin.- Bernama

Lelaki curi udang dari pasar raya dijel seminggu



RUBIAH OMAR
10 April 2012
Udang
KUALA TERENGGANU - Taktik kotor seorang lelaki menyembunyikan udang basah curi dalam baju dipakainya, kantoi apabila dia ditangkap.
Lebih malang, bapa kepada dua anak itu, Mohd Hamzah Mohd Nor, 31, dari Kampung Baru Seberang Takir, di sini, terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh hari dan dikenakan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Bukan itu sahaja, Mohd Hamzah yang bekerja sebagai buruh turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi jika gagal menjelaskan denda.

Hukuman terbabit dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri udang basah seberat 1.202 kilogram bernilai RM24.03 milik Pasar raya Mydin Mall, Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 8 April lalu.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Berdasarkan fakta kes, tindakan tertuduh disedari oleh pengawal keselamatan bertugas dan terus memaklumkan kepada rakan setugas supaya menunggunya di luar pasar raya.

Bagaimanapun, tertuduh berjaya ditahan di kedai berhampiran iaitu di kawasan yang melepasi pintu imbasan.

Tertuduh kemudian dibawa ke bilik pengawal keselamatan dan mengaku mencuri udang basah itu yang disembunyikan di dalam bajunya sebelum dia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Gara-gara motosikal tiada lampu



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
motosikal
BUKIT MERTAJAM – Dua penunggang motosikal maut apabila kenderaan yang ditunggang bertembung antara satu sama lain dalam satu kejadian dekat Jalan Kepala Batas, berhadapan Pasar Awam Penanti, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.21 malam itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohd Tarmizi Wahab, 26, yang menunggang motosikal jenis Suzuki RGV120 dalam perjalanan dari Kubang Semang menuju ke Guar Perahu.

Mangsa yang dipercayai menunggang laju itu dikatakan telah memasuki lorong bertentangan ketika tiba di lokasi, lalu bertembung dengan motosikal Honda EX5 ditunggang seorang lagi mangsa, Muhammad Ishaizal Ishak, 24, yang kebetulan melalui jalan itu.

Akibatnya, kedua-dua mangsa terpelanting ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Mayat kedua-dua mangsa yang bekerja sendiri itu kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, Ketua Trafik/Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Manogaran ketika ditemui mengesahkan menerima laporan mengenai kejdian.

Menurutnya, selain memasuki lorong bertentangan, lampu hadapan motosikal jenis Suzuki RGV120 yang tidak berfungsi dipercayai menjadi punca kemalangan.

Ia menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5 tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.

“Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua mangsa yang berasal dari Mukim 19 Mengkuang Titi dan Mukim 20 Penanti itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Pelajar ponteng sekolah, lepak di pusat siber



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
remaja ponteng
BUKIT SENTOSA – Pasangan kembar seiras dan sepasang adik beradik antara 27 pelajar sekolah menengah yang ditangkap dalam Ops Ponteng di sini semalam.

Kesemua pelajar terbabit ditangkap ketika leka bermain permainan video dan melayari laman sosial di pusat siber.

Kembar seiras yang ditemui mengakui sering ponteng sekolah malah ibu bapa mereka dikatakan menyedari perbuatan itu namun tidak pernah menegur atau memarahi mereka.

“Ibu bapa tahu kami suka ponteng tapi mereka tak marah dan menegah perbuatan kami asalkan pencapaian akademik baik.

“Lagi pun kami tidak buat apa-apa selain menghabiskan masa bermain Internet di pusat siber,” katanya selepas disoal siasat pihak berkuasa.

Menurut salah seorang kembar terbabit yang dikenali sebagai Mail, 16, mereka jarang bersama ibu bapa kerana masing-masing sibuk bekerja di Klang dan Petaling Jaya serta hanya dapat bertemu pada waktu malam.

Katanya, tindakan ponteng dibuat kerana bosan menghadiri sekolah, tambahan pula hari Isnin ada perhimpunan dan walaupun ponteng sekolah mereka tidak pernah terlibat dengan gejala tidak sihat serta jauh sekali mengambil bahan terlarang.

Kembar ini turut diambil ujian air kencing namun keputusannya negatif.


Dakwa ibu bapa tidak peduli

Operasi tersebut juga menemui adik beradik lelaki dan perempuan yang pada awalnya mengakui tidak lagi bersekolah namun setelah disoal siasat mereka sebenarnya ponteng sekolah.

Pelajar perempuan Tingkatan 3 itu berkata, dia sudah tidak berminat untuk bersekolah malah ibu bapanya tidak pernah mempedulikan hal mereka.

“Saya nak buat apa lagi kalau sudah tidak berminat ke sekolah, cakap macam mana pun saya tidak akan ke sekolah sebab itu saya berani katakan saya sudah berhenti sekolah.

“Tetapi, tak sangka pula ada yang katakan saya boleh diambil tindakan kerana berhenti sekolah pada usia begini,” katanya.

Menurutnya, dia bersama adik lelakinya tidak pernah menerima teguran tegas daripada ibu bapa malah hanya seminggu sekali dapat bertemu mereka kerana sibuk bekerja di Kuala Lumpur.

Pada operasi itu juga, dua pelajar yang pernah dibuang sekolah ditahan dan dipercayai menjadi dalang dalam menghasut pelajar lain.

Soal siasat yang dilakukan pihak sekolah turut memperlihatkan pelajar terbabit tidak menghormati guru dan anggota keselamatan yang bertugas.


Turut ditahan merokok

Sementara itu, pada operasi di awal pagi, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berjaya menahan enam pelajar tingkatan lima yang didapati merokok di taman perumahan bersebelahan sekolah mereka di sini.

Tiga daripada pelajar terbabit telah dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan akan berdepan tindakan mahkamah jika gagal menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh ditetapkan.

Salah seorang pelajar dikenali sebagai Lan, 17, mengakui perbuatan merokok bukan disebabkan ketagih atau tertekan tetapi sudah menjadi trend remaja.

Menurutnya, perbuatan itu tidak dapat ditegah ibu bapa kerana dia akan memberi alasan bapanya juga perokok.

“Kalau ibu bapa pun tidak ambil kisah, buat apa takut pada orang lain.

“Kami merokok pun bukan sorok-sorok tetapi merokok di tempat terbuka cuma lambat masuk sekolah, itu saja,” katanya.


Rumah kedai sedia bekalan

Sinar Harian difahamkan, terdapat sebuah premis kediaman di taman bersebelahan sekolah menengah itu didakwa menjual rokok kepada pelajar sekolah.

Premis tersebut, jelas melakukan kesalahan menjadikan premis kediaman sebagai kedai dan membekalkan rokok kepada remaja bawah umur.

Dalam pada itu, Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Hulu Selangor, Kamal Rusdi berkata, operasi bersepadu disertai tujuh agensi keselamatan dan jabatan kerajaan itu tertumpu pada budaya ponteng dan gejala sosial yang dilakukan
pelajar sekolah menengah sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.


Masyarakat perlu sensitif

Menurutnya, operasi bermula seawal jam 7 pagi itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Masyarakat perlu sensitif terhadap budaya ponteng sekolah kerana ia akan menyumbang kepada gejala sosial serta menyuburkan jenayah berat jika tidak dibendung.

“Malah, peratusan kes ponteng sekolah juga meningkat dan merlukan tindakan sewajarnya bagi mencegah ia menjadi lebih serius,” katanya.

Manakala, Timbalan Ketua Polis Balai Bukit Sentosa, Sarjen Major Ibrahim berkata, tiada tindakan diambil terhadap pelajar sekolah terbabit selain membawa mereka ke sesi kaunseling di sekolah.

Menurutnya, kesemua pelajar terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan hanya terlibat dalam gejala sosial seperti ponteng sekolah dan merokok.

Mayat mangsa bunuh ditemui dalam semak



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
SAIFUL-AZLY
SEREMBAN – Kehilangan seorang lelaki akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui sekitar kawasan semak dekat Jalan Seremban - Mantin, di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai A Thiruna Vukarus, 43, ditemui mati dipercayai dibunuh sebelum dicampak dekat kawasan berkenaan.

Mangsa yang bekerja di Thailand sebelum ini dilaporkan hilang selama semingggu berdasarkan laporan polis dibuat keluarganya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dipercayai dipukul dengan objek tajam dan polis tidak menafikan bahawa mangsa sudah mati beberapa hari lalu dan dibunuh di tempat lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian Hotline 06-7619999.

Adik Mufti Terengganu maut kemalangan



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
Kemalangan
MARANG –  Adik kepada Mufti Terengganu terbunuh selepas van yang dinaiki terbabas, lalu melanggar batu penanda jalan dan sebatang pokok di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa Nor Asma Abdullah, 43, meninggal dunia akibat cedera parah selepas tercampak keluar dari van.
Bagaimanapun pemandu, Mohd Rozi Abu Bakar, 40, dan empat lagi penumpang berada  dalam van Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) itu terselamat.
Salah seorang penumpang juga cedera parah akibat tersepit dalam kenderaan itu.
Mohd Nazmy Mohd Zawawi, 26, penumpang van yang ditemui berkata, mereka berenam dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kemaman untuk mengikuti kursus bahasa isyarat di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, secara tiba-tiba van dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar batu penanda jalan sebelum merempuh sebatang pokok di tepi kiri jalan.
“Saya percaya faktor hujan dan jalan licin menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal sehingga ia terbabas,” katanya.
Menurutnya, rempuhan kuat itu juga menyebabkan mangsa yang berasal Kampung Alor Keladi, Jertih, Besut tercampak keluar dan terhumban beberapa meter ke atas jalan, serta nyaris dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
Mohd Nazmy yang luka pada tangan dan dahi berkata, mereka kemudiannya memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa, manakala kesemua mangsa yang terselamat pula dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam pada itu, sepasukan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang turut bergegas ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit sejurus menerima panggilan kira-kira jam 8.07 pagi.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Alias Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian juga mengesahkan mengenai tragedi yang menimpa adiknya itu dan memaklumkan jenazah mangsa akan dikebumikan di Besut.

‘Datuk Kabi’ didakwa tipu peniaga dan pengurus jualan




10 April 2012
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi' dihadapkan di dua mahkamah berasingan hari ini terhadap empat pertuduhan menipu seorang peniaga dan pengurus jualan membabitkan lebih RM27,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, C. Kamaleshwaran, 33, yang merupakan ahli perniagaan, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan dua majistret berlainan.

Di Mahkamah Majistret Ampang di sini, Kamaleshwaran didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu peniaga, Napizah Mohamed Nor Piah, 35, dengan memberi tiga keping cek, masing-masing bernilai RM5,000 yang tidak boleh ditunaikan di No 60, Taman TAR, di sini pada 4 petang 18 April 2008.

Majistret Zulyana Zoolkapli membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 dan 22 Jun depan untuk perbicaraan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzi manakalatertuduh diwakili peguam Omar Bakhi Ahmad.

Sementara itu, Kamaleshwaran dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dekat sini terhadap pertuduhan menipu pengurus jualan, Arlene Helena Dason, 40, membabitkan cek bernilai RM12,190 dengan memberhentikan pembayaran ke atas cek itu yang kononnya dikemukakan bagi bayaran tempahan dewan untuk majlis hari jadi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu Eastin Hotel, No 13, Jalan 16/11, Pusat Dagangan Seksyen 16, Petaling Jaya dekat sini pada 5 petang, 10 Oktober 2008.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan atau didenda jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat manakala tertuduh diwakili peguam Omar Bakhi dan Datuk Suraj Singh.

Kamaleshwaran merupakan adik kepada C.Yoganandha Moorthy, 38, yang juga ahli perniagaan yang dilepas dan dibebaskan bersama rakannya, Mercy Sumathi Christie, 43, tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap 12 pertuduhan menipu membabitkan RM143,890 pada 2008. - Bernama

Ahmad 100 sudah pindah rumah

Ahmad 100 sudah pindah rumah
KUALA LUMPUR – Ketua Kumpulan Ajaran Ahmad 100 dipercayai sudah berpindah dari kediamannya di Seksyen 4, Wangsa Maju ke kawasan lain selepas menyedari kegiatan haramnya mula tersebar.
Tinjauan Sinar Harian semalam ke rumah ketua ajaran sesat itu mendapati pintu pagarnya bermangga dari luar.
Menurut jirannya, sudah hampir empat hari kelibat Ahmad dan ahli keluarganya tidak kelihatan.
“Tidak nampak kelibat Ahmad dalam tempoh beberapa hari ini,” kata salah seorang jiran.
Sementara itu sebuah lagi rumah pe­ngi­kut Ahmad yang terletak bersebelahan­ rumahnya juga tidak berpenghuni dan pintu pagarnya bermangga.
Difahamkan rumah pengikutnya itu paling ramai dikunjungi hampir setiap malam oleh pelbagai lapisan peringkat umur.
“Kalau pemiliknya ada pasti motosikalnya ada di tingkat bawah,” katanya
Khamis minggu lalu Sinar Harian menyiarkan pengakuan bekas pengikut kumpulan itu yang menyimpang daripada ajaran Islam apabila ketua kumpulan itu menganggap dirinya sebagai Imam Mahdi dan memimpin alam jin selain mahu memperisterikan 13 wanita kononnya boleh mendapatkan keberkatan.
Ketua Ajaran sesat itu juga sanggup merampas isteri pengikutnya untuk dikahwinkan dengannya.