Search This Blog

Monday, April 9, 2012

Warga emas bunuh dan makan isteri

Warga emas bunuh dan makan isteriBOSTON - Seorang warga emas berumur 79 tahun yang baru sahaja berhijrah dari China ke Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), mengaku tidak bersalah dan keliru dengan pertuduhan terhadapnya iaitu membunuh kejam isteri pertamanya, kelmarin.
Menurut polis, Jeiming Liu yang ditemui anak lelakinya, dalam keadaan duduk di atas sebuah kerusi malas serta berlumuran darah pada tangan, mulut dan muka sambil memandang ke luar kondominium serta dikelilingi cebisan daging yang dipercayai milik isterinya.
 Kemudian dia menjumpai ibunya, Yuee Zhou, 73, dalam sebuah bilik tidur dengan keadaan berbaring, berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah pada bahagian lengan tangan.
 Namun, anak lelaki Liu yakin ayahnya tidak mampu melakukan kekejaman itu kerana mempunyai saiz fizikal yang kecil.
 Liu yang asyik mengulangi ayat ‘Ini bukan ibu kamu’ sejak ditemui, dipercayai menghidapi penyakit Alzheimer atau demensia.
 Penolong Pendakwa Raya Daerah, Michael D. McHugh berkata, Liu mungkin memakan cebisan daging isterinya berikutan sebahagian lengan kiri mangsa berlubang dan beberapa batang jari turut ditemui di sekitar kondominium mereka.

Tragedi salji Pakistan: Peluang hidup tipis

Gunung
ISLAMABAD - Pakar-pakar berpendapat harapan bagi mengesan mangsa yang terselamat dalam tragedi runtuhan salji di kem tentera Pakistan awal pagi kelmarin sangat tipis.
Seramai 135 orang termasuk 124 askar dipercayai tertimbus dalam kejadian itu.
Selepas lebih dua hari tragedi, yang dikatakan paling buruk dalam sejarah Pakistan, pasukan mencari dan menyelamat belum menemui mana-mana mangsa yang terselamat ataupun mayat mangsa yang terbunuh.
Kem tentera di lokasi kejadian beroperasi sejak lebih dua dekad.
Kenyataan pihak tentera sebelum ini menyebut runtuhan salji di daerah Gayari, dekat Siachen Glacier, awal pagi kelmarin meliputi kawasan seluas 1,000 meter dan setebal 25 meter.
Kira-kira 180 askar dan 60 orang awam terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.
Menurut pakar-pakar berkaitan salji, harapan untuk mencari mangsa yang terselamat sangat tipis.
"Tidak ada harapan. Tiada peluang langsung," kata seorang pakar Kolonel Sher Khan.
"Anda hanya boleh mengesan (mangsa hidup) dalam tempoh lima hingga 10 minit yang pertama," kata beliau dipetik laporan AFP dan ABC.
"Kehilangan nyawa dalam kejadian runtuhan salji berlaku disebabkan tekanan beban (salji), kesejukan yang melampau dan kekurangan oksigen," katanya lagi.
Pihak tentera berkata, Pangilan Tentera Jeneral Ashfaq Kayani melawat tempat kejadian dan menyelia operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Gagal serah coklat, pemandu didakwa pecah amanah

SHAH ALAM - Seorang pemandu sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah iaitu tidak menghantar dan menyerahkan barangan coklat bernilai RM45,000 kepada pelanggan, pada Disember lalu.

Mohd Herman Abdul Latib, 28, dari Sungai Buloh dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Litt Tatt Enterprise Sdn Bhd, No: 9, Jalan Laksamana 1A/KS7, Taman Sentosa, Klang dekat sini, kira-kira pukul  11.50 malam pada 13 Disember lalu.

Mohd Herman, yang ditangkap pada 3 April lepas, didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam membenarkannya dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abdul Rahman sementara Mohd Herman diwakili peguam Mohd Jamil Yacob. – Bernama

Wanita dipenjara 8 tahun dera anak teman lelaki

KLANG - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan teman lelakinya, berusia 13 tahun, hingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Shalina Sundiri Abdullah, 42, telah mendera mangsa dengan menyimbah air panas, memukul menggunakan getah paip dan kayu besar serta memasukkan batang kayu mop dan cili padi ke dalam kemaluan kanak-kanak malang itu.

Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kelima-lima pertuduhan itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei 2011.

Siti Noraida turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas bapa kanak-kanak itu selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa dengan memukulnya menggunakan kayu.

Shalina didakwa melakukan kesemua perbuatan itu ke atas mangsa di sebuah pangsapuri di sini, antara 25 Disember 2010 sehingga akhir April tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bapa kanak-kanak malang itu yang berumur 40 tahun dan berasal dari Bentong, Pahang juga didakwa menyebabkan kecederaan fizikal ke atas mangsa di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, bapa kanak-kanak itu membawa anaknya tinggal bersama-sama dengan teman wanitanya pada cuti sekolah pada akhir tahun 2010.

Sepanjang berada di sana, Shalina mengarahkan kanak-kanak itu membuat kerja-kerja rumah dan tidak membenarkan mangsa ke sekolah selepas sesi persekolahan tahun berikutnya bermula.

Malah mangsa dipukul setiap hari oleh tertuduh atas alasan kanak-kanak itu tidak melakukan apa yang disuruhnya.

Pada masa sama, budak perempuan itu turut didera oleh bapa kandungnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

Akhbar sebelum ini melaporkan penderaan ke atas kanak-kanak itu terbongkar apabila teman wanita bapanya menghantar mangsa ke satu pusat jagaan kanak-kanak di Taman Radzi di sini pada 6 Mei tahun lepas.

Kakitangan pusat itu ternampak kesan kecederaan pada kanak-kanak itu dan kemudian membuat laporan polis.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa melawat kanak-kanak itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada Mei tahun lepas memberitahu pemberita bahawa mangsa perlu diberikan kaunseling secara berterusan berikutan trauma penderaan dahsyat ke atasnya. – Bernama

Jururawat dituduh curi seluar dalam

Jururawat dituduh curi seluar dalam
KOTA BHARU-Hanya kerana mencuri sekotak seluar dalam, seorang jururawat sebuah hospital dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri satu kotak seluar dalam lelaki dan beberapa barangan lain di sebuah pasar raya, minggu lalu.
Tertuduh Zubaidah Yaacob, 26, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di hadapan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan, Zubaidah didakwa mencuri satu kotak seluar dalam lelaki jenama Edwin, dua helai baju T lelaki jenama Polo, sehelai baju perempuan jenama LD Mat, satu tali pinggang kulit, satu selipar dalam rumah jenama G-Style, satu getah pengikat rambut jenama G-Style dan satu klip rambut jenama G-Style di pasar raya tersebut pada jam 2.30 petang.
Zubaidah dari Kampung Padang Lati Bekelam, Bachok, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan menawarkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM4,500.Bagaimanapun Zubaidah yang berada di kandang tertuduh memohon supaya wang jaminannya dikurangkan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,800 dan 30 April ini untuk sebutan kes.

Timbalan Pengarah SKMM didakwa subahat rasuah dengan isteri

Timbalan Pengarah SKMM didakwa subahat rasuah dengan isteri
SHAH ALAM - Seorang timbalan pengarah Bahagian Kandungan dan Penguatkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan bersubahat dengan perbuatan rasuah isterinya dan seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta membabitkan nilai RM250,000 pada Mac lepas.

Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Dia didakwa bersubahat dengan isterinya Suraya Hani Ahmad Zaki dan Noorshidin Mohd Noor, yang didakwa menerima bagi diri mereka suapan wang tunai RM250,000 daripada ketua pegawai operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn Bhd Mohd Shukri Othman sebagai upah kononnya telah membantu syarikat itu memperoleh surat penganugerahan bagi tender untuk mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM.

Noor Mohamed Khan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, kira-kira 10.25 pagi pada 14 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Noor Mohamed Khan juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan bersubahat dengan Suraya Hani dan Noorshidin yang didakwa cuba menipu Mohd Shukri dengan memperdayakan beliau bahawa mereka telah membantu Siaga Informatics sehingga berjaya memperoleh surat penganugerahan bagi tender yang sama sehingga mendorong Mohd Shukri menyerahkan kepada mereka wang tunai RM250,000 di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 107 dan Seksyen 511 kanun sama.

Hakim Asmadi membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Noorshidin, 40, dan Suraya Hani, 32, pengurus akaun sebuah syarikat swasta, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerima suapan itu.

Kedua-duanya, yang ditangkap pada 14 Mac lepas, juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan cuba menipu Mohd Shukri.

Hakim M.Bakri Abd Majid membenarkan Noorshidin dan Suraya Hani, yang sedang mengandung dua bulan, dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang serta seorang penjamin dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

M.Bakri juga memerintahkan supaya pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada SPRM Mahamad Sukri Abu Seman. - Bernama

50 suspek al-Qaeda dibicara


RIYADH 8 April - Seramai 50 suspek al-Qaeda yang dituduh merancang dan melancarkan serangan di Arab Saudi, termasuk ke atas kepentingan Amerika Syarikat (AS) dan Britain di negara ini, mula dibicarakan semalam.
Suspek yang dihadapkan ke mahkamah jenayah khas di sini terdiri daripada 47 warga Saudi, dua rakyat Syria dan seorang warga Yemen, lapor agensi berita rasmi, SPA.
"Mereka dituduh menyertai kumpulan pengganas di negara ini yang merupakan sebahagian rangkaian al-Qaeda, dan berkomplot untuk meletupkan rumah-rumah kediaman dan sebuah bangunan awam serta membunuh seorang rakyat Amerika.
"Suspek juga menghadapi tuduhan berkomplot untuk meletupkan kedutaan AS dan Britain di Riyadh, merancang untuk membunuh seorang pegawai tinggi kerajaan Saudi dan beberapa pegawai keselamatan kanan, selain melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan," lapor SPA.
Kumpulan defendan tersebut, lima daripada mereka hadir di mahkamah dan didakwa memiliki senjata api serta menyeludupkan senjata berat dari Iraq ke negara ini 'untuk kegunaan rangkaian pengganas itu', menurut agensi itu.
Pada Jun lalu, 85 suspek yang menghadapi tuduhan sama juga dibicarakan di sebuah mahkamah keselamatan khas.
Pada April 2011, satu sumber kehakiman berkata, 5,080 suspek pengganas bakal dibicarakan atau sudah pun dibicarakan di mahkamah khas yang dikecam oleh para peguam.
Arab Saudi menjadi sasaran gelombang serangan maut oleh rang kaian al-Qaeda antara 2003 dan 2006, mendorong pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran ke atas al-Qaeda cawangan tempatan.
Al-Qaeda juga aktif di negara jiran, Yemen dan cawangan rangkaian itu di Saudi dan Yemen telah bergabung di bawah sepanduk al-Qaeda di semenanjung Arab.
Ia dianggap oleh AS sebagai cawangan paling aktif dalam rangkaian al-Qaeda. - AFP

Bot nelayan karam dihempas benak




Lima penumpang sebuah bot nelayan mengalami detik cemas ketika dipukul ombak muara sungai atau dikenali sebagai benak pada sambutan Pesta Benak 2012 di Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak, semalam.


SRI AMAN 8 April – Kemeriahan Pesta Benak 2012 di Sungai Batang Lupar di sini dikejutkan dengan insiden sebuah bot nelayan terbalik sebelum karam selepas dilanda benak atau ombak muara, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Muhammad berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan terdiri daripada polis, Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Sebelum kejadian, mangsa bersama ribuan penonton berada di tebing sungai menanti untuk menyaksikan fenomena benak pada petang ini yang dianggarkan mencecah ketinggian 6.3 meter.
“Ketika benak melanda, mangsa yang berseorangan dalam bot tiba-tiba dihempas oleh ombak menyebabkan botnya hilang kawalan sebelum terbalik. Namun tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya menyelamatkannya dari dibawa arus deras,” katanya ketika dihubungi di sini.
Bagaimanapun, Mat Jusoh memberitahu, bot nelayan itu gagal untuk diselamatkan kerana terlalu berat, mungkin disebabkan ia membawa muatan peralatan menangkap ikan.
“Bot tersebut hanyut dibawa arus pasang ke hulu sungai dan kita akan lancarkan operasi untuk mencari bot itu esok,” ujarnya.
Pesta Benak 2012 yang merupakan acara lima teratas dalam kalendar pelancongan Sarawak bermula kelmarin dan berakhir petang ini.

Rumah arwah bapa hangus




ANGGOTA bomba mencari bukti punca kebakaran selepas berjaya memadamkan api yang memusnahkan rumah Natrah Awang di Kampung Kijang, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI


KOTA BHARU 8 April - Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, mangsa, Natrah Awang, 39, hanya sempat menyelamatkan dokumen penting manakala semua barangan lain termasuk pakaian musnah.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di ruang tamu rumah manakala suaminya, Azlin Mohammad, 40, yang bekerja sebagai pemandu bas keluar bekerja.
"Saya kemudian masuk ke dapur dan terkejut apabila melihat api sedang marak.
"Terkejut dengan kejadian itu, saya berlari keluar dan hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja kerana api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Natrah yang bekerja sebagai pembantu kedai memberitahu, rumah tersebut adalah peninggalan arwah orang tuanya dan dihuni sejak dia masih kecil.
Dia menerima kejadian ini dengan reda dan ketika ini Natrah serta suaminya menumpang di rumah saudara terdekat.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Wan Asri Wan Yaakob berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 8.10 pagi.
"Ketika pihak kami tiba, rumah berkenaan sudah terbakar 60 peratus. Punca masih disiasat manakala kerugian dianggarkan sebanyak RM80,000," katanya.

Pemandu bas persiaran didakwa cuai sehingga sebabkan kematian

BENTONG: Seorang pemandu bas persiaran hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan dua pelancong warga India maut dalam nahas jalan raya di Genting Highlands, Mac lepas.
R. Sugumaran, 26, didakwa memandu dengan cuai sehingga menyebabkan bas tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di Km 4.5, Jalan Genting Highlands pada 5 Mac lepas.
Kemalangan itu menyebabkan dua daripada 22 pelancong dalam bas itu maut iaitu Rajindra Kumar Agarwal, 67, dan Anita Aggarwal, 59.

Sugumaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun sehingga 10 tahun dan denda minimum dari RM5,000 hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.


Majistret Nurliana Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Mangsa kena peluru sesat kini stabil

BALING: Seorang tukang kasut yang cedera pada tulang rusuk kirinya akibat terkena tembakan peluru sesat, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, sini.
Mangsa, Md Isa Yaakob, 45, dari Kampung Charok Bunting, Siong, di sini, sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, untuk mengeluarkan sebutir peluru yang tersangkut di bahagian tulang belakangnya.

Lelaki berkenaan dibawa keluar dari kawasan Air Tepus, Hutan Simpan Ulu Muda, dekat Betong, Thailand sekitar jam 1 tengah hari kelmarin dengan bantuan Unit Helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akibat struktur bukit yang curam.

Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya berbincang dengan pakar perubatan HSAH supaya menyegerakan pembedahan bagi membuang peluru yang berada dalam badan mangsa.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke HSB bagi menjalani pembedahan kerana terlalu lama menahan kesakitan hampir 36 jam di dalam hutan kerana kesukaran membawanya keluar akibat cuaca dan faktor bumi.

Peniaga mengaku tidak bersalah ugut abang kandung

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap pertuduhan mengugut abang kandungnya, minggu lepas.
Mohd Haris Mohd Satha, 44, didakwa mengugut Mohd Yusof, 46, seorang pemandu teksi dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepadanya di Blok C, Kelumpuk Camar, AU3/8, Ampang, Ulu Kelang, di sini pada 6 petang, 4 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Haris turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki dua paket plastik disyaki syabu seberat 1.3 gram di tempat sama pada 12 tengah malam, 5 April lepas.


Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Zulkpli Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Sorok tin susu celah kangkang


BONGKAR...rakaman CCTV menunjukkan aksi dua suspek.
BONGKAR...rakaman CCTV menunjukkan aksi dua suspek.


KANGAR: Kumpulan wanita berjubah yang aktif mencuri susu di pasar raya di beberapa lokasi seluruh negara muncul di bandar ini dengan taktik lebih agresif sebelum dicekup polis selepas perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam kejadian di sebuah pasar raya di Jalan Kaki Bukit, di sini, Khamis lalu, lima wanita terbabit dikesan mencuri puluhan susu tepung berjenama yang bernilai kira-kira RM10,000 dengan cara menyorokkan barangan itu di celah kangkang mereka.
Melalui rakaman CCTV, mereka yang bertudung labuh, berbaju kurung dan berjubah dilihat keluar masuk premis pasar raya itu sebanyak empat kali dan dengan selamba menyorokkan tin serta kotak susu yang dicuri di dalam pakaian masing-masing.

Pihak pengurusan pasar raya yang menyedari perbuatan itu selepas melihat rakaman CCTV terus membuat laporan polis.


Siasatan polis kemudian mendapati lima wanita terbabit turut dibantu enam lelaki dan polis menahan enam daripada mereka termasuk dua wanita di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.

Gerun tatap jenazah anak

KUALA TERENGGANU: “Saya dan ibu tidak berani menatap wajah jenazah adik, kami berdua tabahkan hati memandangnya dari jauh,” kata Ahmad Mustaqin Mohamad Ghani, 25, abang Mohammad Izzat, 21, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan dua motosikal di jalan Kampung Pasir Panjang, di sini, malam kelmarin.
Difahamkan dalam kejadian jam 9.30 itu, mangsa dan rakannya, Mohamad Zaki Said, 21, dalam perjalanan dari pusat bandar ke rumahnya di Kampung Padang, Gelung Bilal, di sini, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, kedua-dua penunggang berkenaan gagal mengawal motosikal mereka apabila sebuah kereta Nissan Grand Livina dari arah bertentangan membelok ke kanan jalan secara tiba-tiba.

Mohammad Izzat tidak sempat membrek motosikal merempuh bahagian sisi kereta Nissan Grand Livina dinaiki tiga beranak dan mangsa yang tercampak bertembung pula dengan sebuah kereta Nissan Sentra dari belakang kereta berkenaan.

Mohammad Izzat parah di muka dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohamad Zaki yang mengelak ke kanan jalan pula bertembung Nissan Grand Livina sebelum tercampak beberapa meter dari tempat kejadian.

Mohamad Zaki yang koma akibat cedera di kepala dan badan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi di sini, semalam mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan berkata, kemalangan itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Panggilan ajal adik turun kelaut

KANGAR: “Saya tidak menyangka keinginan adik untuk turun ke laut buat kali pertama selepas dua bulan tidak melakukannya adalah panggilan ajalnya.”
Begitu kata Shahimi Che Din, 41, abang Herwan, 29, yang ditemui lemas dalam keadaan tertiarap sejak hilang lebih 36 jam selepas terjatuh dalam laut ketika menangkap ikan di Kuala Perlis, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Herwan tergelincir lalu jatuh ke laut jam 1 pagi kelmarin sebelum mayatnya ditemui jam 1.30 tengah hari, semalam.

Shahimi berkata, mangsa sebelum itu beria-ia mahu turun semula ke laut selepas melihat badannya semakin berisi dan mahu melakukan sesuatu, malah ingin mencari duit lebih.

Katanya, dia bersama adiknya bercuti sebagai nelayan selama dua bulan kerana ikan di kawasan berkenaan semakin berkurangan dan perlu pergi lebih jauh jika mahu mendapat tangkapan lebih lumayan.

“Kami keluar ke laut bersama, namun dia menaiki bot lain manakala saya menaiki bot lain jam 5 petang Jumaat lalu. Hampir 10 bot nelayan keluar ketika itu dan menghala kawasan berdekatan Pulau Brasmana, Thailand.


“Selepas beberapa jam menangkap ikan, saya tidak nampak bot dinaiki adik sehingga dimaklumkan rakannya Herwan hilang dipercayai terjatuh dalam laut lalu kami pulang untuk membuat laporan polis di Kuala Perlis,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya menerima kejadian seorang nelayan hilang selepas terjatuh ke dalam laut jam 11 pagi kelmarin Menurutnya, mayat mangsa ditemui kira-kira 0.3 batu nautika daripada pantai berdekatan.

Pagar berkaran ragut nyawa jiran

BUKTI...Che Yusoff menunjukkan penyambungan bekalan elektrik  secara haram dalam pondok  kebun sawit jirannya. Gambar kecil, Mohd Azri.
BUKTI...Che Yusoff menunjukkan penyambungan bekalan elektrik secara haram dalam pondok kebun sawit jirannya. Gambar kecil, Mohd Azri.
MERSING: Tindakan seorang penduduk memasang pagar elektrik secara haram bagi menghalang babi dan gajah merosakkan kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Gajah Mati, dekat sini, meragut nyawa jirannya sendiri.
Mayat Mohd Azri Che Yusoff, 29, ditemui dalam keadaan tangannya tersangkut pada pagar dawai elektrik berkenaan jam 9 pagi kelmarin selepas dia dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak keluar pada jam 8 malam sebelumnya.
Bapa mangsa, Che Yusoff Che Ahmad, 66, berkata, anaknya bersiar-siar di kawasan kejadian yang terletak 100 meter dari rumahnya jam 8 malam Jumaat lalu sebelum tidak pulang ke rumah.

“Kami amat bimbangkan keselamatannya dan segala persoalan terjawab apabila jiran memaklumkan menemuinya di kawasan berhampiran pagar elektrik itu pagi semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui, semalam.


Che Yusoff berkata, ketika itu dia berada di luar kampung dan bergegas pulang ke rumah sejurus diberitahu mengenai kematian anak keenam daripada tujuh beradik itu menerusi panggilan telefon oleh isterinya, Rahmah Ag Ahmad, 62.

‘Aku tak boleh tengok perlakuan songsang’

KUANTAN: “Aku tak boleh tengok perlakuan songsang ini.” Itu kata seorang lelaki yang dipercayai menjadi buruan polis berikutan beberapa siri kes serangan terhadap pondan di bandar ini ketika ditahan kira-kira jam 5.30 pagi, berdekatan sebuah bank di Jalan Abdul Aziz, di sini, semalam.
Difahamkan, suspek berusia 26 tahun dari Sungai Isap, di sini, dicekup selepas memukul seorang pondan dengan besi pengunci motosikal sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Bagaimanapun, tindakan suspek melarikan diri menemui kegagalan apabila jeritan kesakitan mangsa berusia 30 tahun didengari anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Anggota polis yang mendengar jeritan itu bertindak mengejar suspek dan menahannya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut. Dipercayai, ketika ditahan, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu dengan selamba memaklumkan kepada polis dia sakit hati melihat kehadiran pondan di bandar itu menyebabkannya menyerang golongan terbabit.

Ketika ditahan, suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh alkohol.

RM27,000 hilang lepas kaki dipegang

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera elektrik kerugian lebih RM27,000 selepas dipukau dua lelaki tidak dikenali dengan cara menyimbah air ke seluar sebelum menyentuh kaki mangsa dalam kejadian di Jalan Chow Kit, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 36 tahun bersama ahli keluarganya sedang berjalan menghala ke Stesen LRT berdekatan lokasi kejadian sebelum didatangi dua lelaki berusia 20-an.

Menurutnya, seorang daripada mereka menyimbah air ke seluarnya sebelum memegang kaki mangsa.

“Terkejut dengan tindakan berkenaan, saya berhenti untuk melihat keadaan seluar dan ketika itu, mereka dengan tiba-tiba memegang kaki saya kononnya untuk membersihkan kekotoran.

“Sebaik kaki dipegang, saya seolah-olah dipukau dan selepas sedar kira-kira 30 minit kemudian, saya mendapati wang berjumlah AS$9,100 (RM27,000) hilang,” katanya kepada Harian Metro, semalam. Katanya, wang berkenaan disimpan semata-mata untuk membelikan barang kelengkapan perkahwinan dan ia juga adalah wang hasil pelaburan saham yang baru diperolehnya.

Menurutnya, mereka sekeluarga cuba mencari kedua-dua lelaki itu namun gagal.


Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Perguna ‘kekasih’ untuk kerakyatan

KUALA LUMPUR: Niat baik seorang pemandu teksi untuk membantu seorang wanita warga Vietnam dibalas ‘racun’ apabila wanita itu bukan sahaja menyembunyikan pekerjaannya sebagai pelacur, malah mempergunakan mangsa semata-mata untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.
Wanita warga Vietnam yang memperkenalkan dirinya sebagai Aishah, 20-an, itu turut berjanji memeluk Islam untuk mengahwini mangsa demi membalas budi lelaki terbabit sejak hari pertama perkenalan mereka di sebuah pusat beli-belah di Jalan Peel, awal tahun lalu. Menceritakan kembali kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Hariz, 30, berkata dia menemui wanita berkenaan di pusat beli-belah berkenaan sebelum perkenalan itu bertukar percintaan selepas wanita itu sering menggunakan perkhidmatan teksinya.

“Bagaimanapun, pada 3 April lalu, saya menerima kejutan apabila ternampak dia keluar dari sebuah hotel di kawasan Bukit Bintang,” katanya, semalam.

Menurutnya, selepas menanyakan pihak hotel mengenai wanita berkenaan, baru dia tahu, kekasihnya itu pelacur.

Katanya, dia kecewa selepas mengetahui identiti kekasihnya itu dan apabila bersemuka untuk mengetahui kebenaran, wanita terbabit mengakui menipunya semata-mata untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

“Saya yang yakin diri saya tertipu membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun HS Lee untuk tindakan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Suspek pecah rumah dikepung penduduk

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki gagal melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan 22/27B, Taman Desa Setapak, Wangsa Maju, di sini, ekoran dikepung penduduk taman yang menyedari lelaki terbabit berada di atas bumbung sebuah rumah yang dipecah masuk malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, jiran mangsa dikatakan terlihat kelibat seorang lelaki di atas bumbung dan menjerit serta memanggil penduduk lain sebelum mereka mengepung rumah teres berkenaan.

Polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan dan menahan suspek ditemui bersembunyi di tangki air rumah di situ.

Penghuni rumah tempat suspek menyorok, Siti Fatimah Jabbar, 27, berkata ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen bersendirian apabila terdengar kaca pecah sebelum jeritan penduduk berhampiran rumahnya.

“Saya dengar beberapa jiran menjerit mengenai ada pencuri atas bumbung dan saya kelam-kabut keluar dari rumah untuk melihat apa sebenar terjadi,” katanya.

Pelajar beli burger mati ditikam

SHAH ALAM: Hasrat seorang pelajar tingkatan lima yang mahu menjamah burger baru dibelinya tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dengan kesan tikaman di tempat letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25, di sini, kelmarin.
Mangsa, R Teeneshe, 17, ditemui terbaring oleh orang ramai yang melalui kawasan itu bersama burger baru dibeli mangsa, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa maut selepas ditikam dengan senjata tajam di beberapa bahagian badan.

“Mayat mangsa ditemui dengan berpakaian lengkap dalam keadaan terbaring berhampiran sebuah kereta.

“Polis percaya mangsa dibunuh di tempat kejadian sebelum suspek melarikan diri berdasarkan kesan darah yang ditemui di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal, mendapati mangsa tinggal bersama neneknya di kawasan perumahan berhampiran dan kini masih menuntut di tingkatan lima di sebuah sekolah di Klang.

Kecewa isteri, kekasih muda

KAJANG: Seorang wanita berusia 42 tahun ‘tidak sedar diri’ selepas menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki muda berusia 26 tahun sejak beberapa bulan lalu sebelum di tangkap khalwat dalam kejadian di Taman Sutera, di sini.
Kejadian akhir Mac lalu, di rumah sewa teman lelaki itu cuba disorok daripada suaminya, namun terbongkar selepas dimaklumkan seorang ustaz, Selasa lalu ketika suaminya pergi bersolat di masjid berhampiran rumahnya.

Sebaik mendapat tahu perbuatan terkutuk isterinya itu, lelaki berkenaan yang berusia 45 tahun terus membuat laporan polis.

Sumber polis berkata, mangsa sudah berkahwin dengan isterinya sejak 10 tahun lalu kecewa dengan isterinya yang sanggup menduakannya .

Katanya, mangsa terkilan kerana isteri dan pasangannya dibebaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang.

“Kelibat isteri mangsa ke rumah teman lelakinya itu dapat dihidu pasukan pencegah maksiat yang menyerbu rumah pasangan itu sebelum mencekup mereka kira-kira jam 12 malam.


“Selepas disoal siasat, wanita itu didapati sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak,” katanya, di sini, semalam.

Sumber berkata, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Kajang, namun dibebaskan selepas diberi nasihat membuatkan suaminya kecewa.
Menurut sumber, mangsa kemudian membuat laporan polis terhadap pasangan itu kerana mahu diambil tindakan mengikut undang-undang syariah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan lelaki berkenaan.

Agensi jual ijazah palsu

RIYADH: Kementerian Pelajaran Tinggi Arab Saudi semalam berkata, ia membongkar kegiatan 110 agensi yang menjual ijazah palsu daripada universiti asing.
“Agensi berkenaan membekalkan ijazah palsu itu sejak beberapa tahun lalu,” kata Setiausaha Rendah Bagi Hal Ehwal Akademik kementerian, Muhammad Al-Ouhali.

Ijazah yang dibekalkan agensi berkenaan bukan tulen atau disahkan oleh badan rasmi negara itu.

“Ijazah palsu juga dibekalkan oleh beberapa institusi yang menjalankan kursus tanpa memenuhi standard yang diluluskan,” lapor akhbar Al-Madinah.

Ia memetik Muhammad sebagai berkata, kementerian berkenaan sudah mengambil langkah untuk mengenal pasti agensi terbabit.

“Kementerian sudah memnubuhkan jabatan khas bagi menangani masalah ijazah palsu. “Jabatan itu mempunyai kuasa untuk mengesahkan ketulenan mana-mana ijazah dengan menghubungi institusi yang didakwa mengeluarkan dokumen itu,” kata Muhammad.


Bagaimanapun, menurutnya, jumlah ijazah palsu yang dikeluarkan di negara itu tidak sebanyak jumlah yang terdapat di beberapa negara lain.

Sehingga ini, kementerian itu sudah menemui 569 ijazah palsu dalam bidang kejuruteraan, 326 kejururawatan dan 306 farmasi.

Pesawat ditembak

TIMIKA: Lelaki bersenjata menembak sebuah pesawat ringan selepas ia mendarat, membunuh seorang wartawan dan mencederakan empat yang lain, termasuk dua juruterbangnya.
Pesawat Twin Otter yang dikendalikan syarikat Trigana Air berlepas dari Papua membawa lapan penumpang dan anak kapal.

Serangan itu menyebabkan ia merempuh sebuah bangunan di lapangan terbang di bandar Mulia apabila juruterbangnya hilang kawalan.

Jurucakap polis berkata, seorang wanita dan seorang budak berusia empat tahun adalah antara penumpang pesawat berkenaan.

Katanya, polis percaya hanya satu atau dua tembakan dilepaskan.

“Mangsa cedera akibat terkena serpihan peluru,” katanya. Serangan bersenjata memang lazim berlaku di sekitar Papua yang terletak jauh di timur Indonesia. Kawasan itu didiami kumpulan pemisah yang tidak mempunyai kelengkapan senjata yang baik untuk meneruskan perjuangan mendapatkan kemerdekaan sejak beberapa dekad lalu. Sementara itu, Pegawai Daerah Mulia, Agus Fakaubun, berkata juruterbang pesawat itu cedera di kaki, manakala pembantunya di tangan.


“Pesawat itu tiba di hujung landasan dan bergerak ke tempat parkir apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari kawasan bukit berhampiran lapangan terbang,” katanya. - AFP

Lelaki tak sedar bunuh isteri

LIU ketika didakwa di mahkamah Shrewsbury, Massachusetts di New England.
LIU ketika didakwa di mahkamah Shrewsbury, Massachusetts di New England.
MASSACHUSETTS: Seorang lelaki berusia 79 tahun yang berhijrah dari China baru-baru ini mengaku tidak bersalah semalam atas tuduhan membunuh isterinya.
Khamis lalu, polis di pinggir bandar New England, Shrewsbury di Massachusetts menemui Jieming Liu duduk di kerusi goyang dengan darah di tangan, mulut dan mukanya dalam kondominiumnya.

Menurut polis, isterinya yang berusia 73 tahun, Yuee Zhou ditemui di bilik tidur bersebelahan dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah di lengannya. Anak lelaki Liu memberitahu polis bapanya yang berketinggian 155 sentimeter dan seberat 35 kilogram tidak sedar apa yang telah dilakukan ketika itu dan berulang kali menyebut: “Ini bukan ibu kamu.” Di mahkamah Shrewsbury semalam, Penolong Pendakwa Raya, Michael D McHugh memberitahu, polis mendapati wanita tua itu sudah tidak bernyawa ketika polis tiba kira-kira jam 4.30 petang di kediaman itu, Khamis lalu.

Ketika polis tiba di kondominium itu mereka mendapati Liu berlumuran darah dan di kelilingi cebisan daging isterinya.

Rekod mahkamah menyebut dia memberitahu anak lelakinya, “Ini bukan ibu kamu” dalam bahasa Mandarin.

Liu didakwa melakukan pembunuhan kejam itu.


McHugh memberitahu mahkamah: “Dia mungkin memakan daging isterinya.” Pendakwa Raya Worcester Joseph D Early Jr turut berkata kebanyakan daging di lengan kiri Yuee hilang. Polis turut menemui beberapa jari bertaburan di sekitar kondominium itu. Early menyifatkan keadaan di kondominium itu sebagai ‘menggerunkan, pemandangan yang sukar dan sangat menakutkan,’ lapor telegram.com. Menurut pendakwa raya, Liu mendakwa dia bertindak mempertahankan diri.

Peguam belanya Michael Hussey memberitahu mahkamah Liu mungkin hidap alzheimer atau demensia.
Hussey berkata: “Liu kelihatannya tidak menyedari apa yang telah berlaku.

“Dia benar-benar bingung. Saya tidak fikir dia faham mengapa polis membawanya ke sini dan untuk apa.” Menurut Boston Herald, Liu dihantar ke Hospital Bridgewater untuk penilaian psikiatrik. - DM

Peru mohon bantuan selamatkan 9 pelombong terperangkap


ANGGOTA penyelamat dan pelombong cuba mengeluarkan sisa runtuhan dan batu yang menyekat pintu masuk ke lombong tembaga yang runtuh di selatan Peru mengakibatkan sembilan pekerja terperangkap di dalamnya selama empat hari. (berita lanjut) - Foto REUTERS


2012/04/09

LIMA: Kerajaan Peru memohon bantuan daripada syarikat perlombongan antarabangsa untuk menghantar peralatan berat dan pakar untuk sembilan pekerja yang terperangkap selama empat hari dalam lombong tembaga. 

Berpuluh-puluh anggota penyelamat menggunakan penukul dan penyodok untuk mengeluarkan sisa runtuhan dan batu setinggi lapan meter yang menyekat pintu masuk ke lombong berkenaan.
Kejadian Khamis itu berlaku selepas pekerja lombong itu meletupkan bahagian tertentu dalam lombong berkenaan. - AP

Polis buru wanita terbabit kes jual bayi





2012/04/09

SHAH ALAM: Polis sedang mencari seorang wanita yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket pemerdagangan bayi yang berjaya ditumpaskan, Jumaat lalu. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata suspek berkenaan dipercayai bertindak sebagai orang tengah dan polis yakin wanita itu masih berada di sekitar Kuala Lumpur. “Polis sedang mencari wanita ini kerana mempunyai maklumat rangkaian sindiket jual bayi ini.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini sudah menjual tiga bayi. Oleh itu, polis yakin wanita ini dapat membantu melengkapkan siasatan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Jumaat lalu, polis menggagalkan percubaan sindiket pemerdagangan bayi selepas menyelamatkan dua daripada empat bayi ketika urusan jual beli di premis sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, Klang. 

Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, polis turut menahan lima wanita dan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

Empat pemancing terjun ke laut diserang lebah





2012/04/09

GEORGETOWN: Empat sahabat yang seronok memancing ikan pada hari minggu, terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri selepas diserang lebah di Tanjung Assam, Bayan Lepas di sini, semalam. 

Seorang daripada mereka, Ong Ben Chian, 49, yang terkena kira-kira 20 sengatan di muka dan badan, dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil manakala tiga rakannya cedera ringan. Empat sahabat itu dikatakan pergi memancing di kawasan berkenaan yang tebing curam dan berbukit, kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketika seronok memancing, mereka secara tiba-tiba diserang lebah yang menyebabkan keempat-empat lelaki terjun ke laut untuk menyelamatkan diri. 

Mereka yang kesakitan akibat sengatan terpaksa berendam di dalam air kerana lebah masih berterbangan di kawasan itu. 

Sepasukan tiga anggota bomba dari Unit Kelvar 03 Mak Mandin, Butterworth, dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan. 

Imigresen pantau warga Afrika




MASALAH sosial dan jenayah melibatkan warga Afrika di negara ini semakin membimbangkan.- Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen tidak sesekali akan membenarkan pelajar warga asing, khususnya warga Afrika masuk sewenang-wenangnya ke negara ini, terutamanya mereka yang pernah disenarai hitam atas kesalahan jenayah.
Itu tegas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad dan pihaknya menyemak secara teliti setiap rekod keluar masuk warga asing, termasuk mereka yang berstatus pelajar di pintu masuk utama di negara ini.
"Kami hanya akan mengeluarkan pas pelajar setelah mendapat kelulusan daripada KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) atau KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia)," ujarnya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan banyak pihak mengenai kegiatan sesetengah warga asing, terutamanya warga Afrika yang melakukan jenayah di negara ini.
Sesetengah mereka dikatakan telah menyalahgunakan status pelajar dan terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram, perjudian dan aktiviti tidak bermoral.

Penjenayah berputih mata




Penduduk di Desa Setapak, Wangsa Maju malam kelmarin keluar beramai-ramai mencari penjenayah yang memecah masuk sebuah rumah di kawasan itu.


KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah dicekup ketika cuba bersembunyi dengan hasil curi di atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Setapak, Wangsa Maju di sini kelmarin selepas memecah masuk rumah jiran bersebelahan.
Lelaki warga tempatan itu dikatakan memecah masuk sebuah rumah yang pada ketika itu tiada berpenghuni pada kira-kira pukul 10 malam serta melarikan beberapa barang yang dicuri.
Bagaimanapun, perbuatannya itu disedari jiran tetangga yang bertindak memberkas suspek sebelum menghubungi polis.
Ramai penduduk di kawasan perumahan itu keluar bagi membantu menangkap penjenayah terbabit.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, suspek berumur 36 tahun itu melarikan diri dengan memasuki rumah bersebelahan dan bersembunyi berhampiran tangki air yang terletak di siling rumah tersebut sebelum diberkas polis dan penduduk setempat.
Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Cif Inspektor Mispani Hamdan berkata, polis turut menemui barangan dipercayai hasil pecah rumah antaranya komputer riba, kamera dan telefon bimbit daripada suspek.

Jururawat HUSM didakwa mencuri



DI pasar raya Giant Pusat Dagangan Kota Bharu di Jalan Parit Dalam inilah Zubaidah dituduh mencuri beberapa barangan.


KOTA BHARU – Seorang jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri satu kotak seluar dalam lelaki jenama Edwin dan beberapa barangan lain di sebuah pasar raya di sini pada minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Zubaidah Yaacob, 26, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di depan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor.
Zubaidah didakwa melakukan perbuatan tersebut di pasar raya Giant Pusat Dagangan Kota Bharu (KBTC) di Jalan Parit Dalam di sini pada pukul 2.30 petang, 3 April lalu.
Selain satu kotak seluar dalam jenama Edwin, Zubaidah turut didakwa mencuri dua helai baju-T lelaki jenama Polo, sehelai baju perempuan jenama LD Mat, satu tali pinggang kulit, sepasang selipar jenama G-Style, satu getah pengikat rambut jenama G-Style dan satu klip rambut jenama G-Style milik pasar raya tersebut.
Difahamkan nilai keseluruhan barangan yang didakwa dicuri jururawat itu sebanyak RM190.82.
Zubaidah dari Kampung Padang Lati Bekelam, Bachok, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan menawarkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM4,500.
Bagaimanapun, Zubaidah yang berada di kandang tertuduh memohon supaya wang jaminannya dikurangkan.
“Saya banyak hutang, tanggungan ramai, saya mohon wang jaminan dikurangkan,” kata Zubaidah yang difahamkan sudah berkahwin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,800 dan menetapkan 30 April ini untuk sebutan kes.
Sementara itu, Zubaidah dilihat sudah berada di mahkamah sejak pagi.
Zubaidah menutup mukanya dengan tangan apabila jurugambar mahu merakam wajahnya. Dia membayar wang jaminan.

15 pelajar berkhemah dipanah petir



MOHD. ALI melawat pelajar yang dipanah petir dalam kejadian ribut di Bukit Katil, Melaka semalam.


MELAKA - Seramai 15 pelajar lelaki yang sedang mengikuti program perkhemahan di Kem Pengakap Bukit Katil di sini cedera disambar petir ketika berteduh di bawah khemah masing-masing sewaktu hujan lebat semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, pelajar yang menganggotai Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) dari Sekolah Menengah St. Francis, Bandar Hilir berusia 15 hingga 17 tahun tersebut menerima rawatan di jabatan kecemasan, Hospital Melaka.
Difahamkan, sebelum kejadian, semua pelajar yang berjumlah 584 orang dari sekolah seluruh negeri Melaka sedang menjalani sesi perkhemahan di kawasan terbabit sebelum hujan lebat dan petir berlaku.
Seorang mangsa, Mohd. Faisal Othman, 15, berkata, ketika kejadian dia dan rakan yang lain diarah masuk ke dalam khemah yang menempatkan enam pelajar lain kerana hujan lebat.