Search This Blog

Sunday, April 8, 2012

15 pengakap cedera terkena panahan petir



08/04/2012 8:14pm

MELAKA 8 April – Seramai 15 pelajar dari 17 buah sekolah di sekitar negeri ini yang sedang mengikuti perkhemahan, cedera setelah dipanah petir di Kem Pengakap Bukit Katil di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika hujan renyai-renyai turun di kawasan perkhemahan tersebut.
Kesemua pelajar yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka dan kini dirawat di Unit

Nelayan ditemui lemas di Kuala Perlis

KANGAR: Mayat seorang nelayan, Herwan Che Din, 29, yang jatuh ke dalam laut ketika keluar mengkap ikan awal pagi semalam ditemui hari ini tidak jauh daripada pantai Kuala Perlis.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya kira-kira pukul 1 pagi semalam dan polis yang menerima laporan kejadian itu pukul 11 pagi semalam melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.
Katanya mayat mangsa ditemui kira-kira 0.3 batu nautika dari pantai kira-kira pukul 1.30 petang tadi dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Abdul Rahman berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.


Abang mangsa, Shahimi Che Din, 41, berkata dia dan mangsa keluar menangkap ikan menggunakan bot secara berasingan pukul 5 petang Jumaat lalu berhampiran Pulau Brasmana.

Katanya selepas beberapa jam berada di perairan berhampiran pulau itu, beliau dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dari botnya.

Gerakan mencari dilakukan oleh kumpulan nelayan yang sama-sama beroperasi di kawasan itu sebelum membuat laporan polis.

Shahimi berkata mayat adiknya ditemui terapung tidak jauh dari pantai dan dibawa pulang ke jeti Kastam Kuala Perlis di sini sebelum dihantar ke HTF. - BERNAMA

Tekong terjun laut


CEKUP... anggota APMM menahan pendatang asing di Teluk Ramunia, semalam.
CEKUP... anggota APMM menahan pendatang asing di Teluk Ramunia, semalam.


JOHOR BAHRU: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa melompat ke dalam sebuah bot pancung yang bergerak laju bagi menyelamatkan 34 pendatang asing tanpa izin (Pati) apabila tekong dan pembantu bot terbabit terjun ke laut untuk meloloskan diri.
Dalam kejadian di perairan Teluk Rumania, Pengerang, Kota Tinggi di sini, jam 12.40 tengah malam semalam, tekong bot pancung itu turut mengarahkan Pati terbabit mencampakkan beg pakaian ke arah bot APMM bagi menggagalkan usaha memintas mereka.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pemeriksaan dijalankan pihaknya mendapati bot itu dinaiki 34 Pati, termasuk empat wanita serta dua kanak-kanak berusia setahun hingga 43 tahun.
Terdahulu, anggota dan pegawai APMM yang menjalankan rondaan terserempak dengan bot terbabit sebelum mengejarnya selepas ia didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Sejurus dihampiri, tekong bot memecut dan Pati terbabit mula mencampakkan beg pakaian mereka ke arah bot APMM.

“Kami berjaya mengelak beg terbabit dan selepas dikejar 10 minit, tekong dan pembantunya terjun ke laut dan gagal dikesan.
“Usaha ditumpukan kepada usaha menyelamat bot pancung itu, anggota kami terpaksa melompat ke dalam bot terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurut Adon, tindakan tekong bot itu tidak bertanggungjawab kerana dia mendedahkan Pati itu dengan risiko kemalangan.
Adon berkata, tindakan itu juga merugikan Pati terbabit apabila ada yang berputih mata berikutan barangan berharga seperti wang tunai disimpan dalam beg berkenaan tenggelam.

“Walaupun dapat meloloskan diri, usaha mengesan tekong dan pembantunya masih diteruskan, kami menghantar aset APMM untuk mengesan kedua-duanya,” katanya.

Pati terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat APMM Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.

Sebuah bot fiber sepanjang sembilan meter dan empat meter lebar bersama dua enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda turut disita.

Pati terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksen 5 (1) (2) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang Pindaan 2010 kerana keluar/masuk Malaysia melalui pengkalan yang tidak diwartakan.

Lempar beg elak diberkas




sebahagian daripada 34 PATI Indonesia yang ditahan oleh Maritim Malaysia di Teluk Ramunia, Pengerang dikumpulkan di jeti Stulang, Johor Bahru, semalam. - GAMBAR IHSAN MARITIM MALAYSIA


JOHOR BAHRU 7 April - Pelbagai cara digunakan oleh sindiket penyeludupan manusia yang menggunakan laluan laut untuk meloloskan diri apabila dikejar oleh pihak berkuasa, termasuk membuang beg pakaian serta barangan lain bagi menghalang mereka diberkas.
Terbaru, 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak demikian apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengejar bot dinaiki mereka di perairan Teluk Ramunia, Pengerang pukul 12.40 tengah malam tadi.
Namun, kesemua PATI warga Indonesia dan dipercayai mahu pulang ke negara mereka itu ditahan Maritim Malaysia 10 minit kemudian. Bagaimanapun, dua lelaki termasuk seorang tekong melarikan diri dengan terjun ke laut.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Adon Shalan berkata, kesemua PATI berusia lingkungan setahun hingga 43 tahun termasuk empat wanita dan dua kanak-kanak ditahan semasa Maritim Malaysia membuat rondaan di situ.
"Empat anggota peronda mengesan sebuah bot fiber berukuran sembilan meter panjang dan empat meter lebar dengan dua enjin sangkut jenama Yamaha dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju.
"Apabila kita hampiri bot itu, beberapa beg dilihat dicampak ke laut untuk menghalang kami daripada terus mengejar dan apabila mereka gagal melarikan diri, seorang tekong dan pembantunya bertindak terjun ke laut.
"Anggota kami kemudian terpaksa melompat ke atas bot berkenaan untuk memberhentikan bot itu dan hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati 34 PATI berada dalam bot tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Adon, kesemua mereka ditahan kerana keluar atau masuk ke negara ini melalui pangkalan tidak diwartakan.
Beliau berkata, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 5(1)(2) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang Pindaan 2010 kerana keluar masuk negara ini melalui pangkalan yang tidak diwartakan.

Dua kali rumah terbakar, nelayan rugi RM100,000




Anggota bomba memadamkan api yang menjilat rumah Che Ismail Hashim di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu, semalam.


SETIU 7 April - Tiga tahun lalu seorang nelayan, Che Ismail Hashim (gambar), 48, ditimpa malang apabila rumah barunya di Kampung Saujana dekat sini yang dalam pembinaan, musnah terbakar menyebabkannya menanggung kerugian kira-kira RM20,000.
Semalam, dia sekali lagi ditimpa musibah sama apabila rumah papan yang didiaminya di Kampung Fikri dekat sini sejak 20 tahun lalu hangus dijilat api mengakibatkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang semalam itu turut memusnahkan dua buah motosikal, perkakas rumah, perabot dan peralatan elektrik yang kesemuanya bernilai kira-kira RM80,000.
Ketika ditemui Che Ismail berkata, semasa kebakaran dia tiada di rumah kerana berada di kedai makan.
Menurutnya, kejadian itu disedari isterinya, Noriliha Abdul Razak, 47, setelah diberitahu oleh seorang daripada dua anaknya yang ternampak api sedang marak dari sebuah bilik tidur rumah mereka.
"Isteri saya terkejut apabila menyedari rumah kami terbakar dan dalam keadaan kelam-kabut dia hanya sempat menyelamatkan sejumlah wang, beberapa dokumen penting serta barang kemas sebelum membawa keluar dua anak kami.
"Saya mengetahui kejadian itu setelah diberitahu seorang rakan dan sejurus tiba di kawasan rumah, saya tergamam dan hanya mampu melihat api membakar rumah kami," katanya
Che Ismail bagaimanapun tetap bersyukur kerana isteri dan dua anak mereka terselamat dalam kebakaran itu.
Sementara itu, sebuah jentera bersama empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira pukul 3.47 petang dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran.
Jurucakap jabatan itu berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan tetapi tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada litar pintas.

3 maut, dua kenderaan bertembung

LAHAD DATU 7 April - Tiga terbunuh, dua parah manakala lima yang lain termasuk seorang bayi berusia dua bulan cedera apabila dua buah kenderaan bertembung di Kilometer 24, Jalan Lahad Datu-Sandakan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, tiga yang terbunuh ialah pemandu kereta Proton Saga dan dua penumpang wanita yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Apandi Mahmood berkata, kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan.
"Mangsa yang cedera parah ialah penumpang wanita yang menaiki Perodua Alza. Sehingga kini, identiti kesemua mangsa yang terlibat dalam nahas ini belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, sebuah jentera bersama lima anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 3.42 petang.
Menurut Apandi, sebaik sahaja pihaknya tiba di tempat kejadian, kesemua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang ramai dan dibawa ke hospital.

Sorok dadah dalam bingkai cermin

SEPANG 7 April - Pelbagai taktik untuk menyorok dadah digunakan untuk membawa bekalan itu masuk ke negara ini.
Namun, kecekapan pihak berkuasa juga harus dipuji kerana berjaya mengesan kegiatan itu yang kini menggunakan pelbagai cara untuk menyeludup dadah ke Malaysia.
Terbaru, taktik seorang lelaki warga India yang cuba menyeludup masuk 12 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM480,000 yang disorok dalam bingkai cermin muka gagal setelah berjaya dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Timbalan Pengarah JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Siti Baya Berahan berkata, suspek yang berusia 26 tahun ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejurus tiba dari Bangalore, India pukul 2.30 pagi kelmarin.
Menurut beliau, dadah itu ditemui pada satu lapisan plastik putih di bahagian belakang bingkai cermin dan apabila dibuka terdapat serbuk putih yang disahkan dadah jenis ketamin.
"Suspek ditahan apabila hasil ujian imbasan ke atas 12 keping cermin muka yang dibawanya menunjukkan imej meragukan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Siti Baya berkata, suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Sementara itu, kata beliau, dalam satu lagi operasi pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, dua lelaki warga Hong Kong ditahan kerana memiliki dadah yang bernilai RM1.43 juta.
Beliau berkata, operasi yang berdasarkan maklumat orang awam dan risikan JKDM itu turut menemui pelbagai jenis dadah.
Antara dadah yang dirampas kata beliau, adalah 5.4 kilogram syabu, 900 gram ketamin, 140 biji pil eramin 5, pil ekstasi (575 biji) dan 100 gram ganja daripada kedua-dua suspek yang berusia 56 dan 60 tahun.
"Kedua-dua suspek baru tiba di Malaysia pada awal bulan ini itu ditahan reman selama 14 hari dan mereka juga disiasat mengikut Seksyen 39B akta yang sama," katanya.

Curi kabel: TNB rugi RM168.5 juta


BUTTERWORTH 7 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian lebih RM168.5 juta sejak 2004 disebabkan kes kecurian kabel elektrik di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khaleb Mohamad Noh berkata, terdapat 64,580 kes kecurian berlaku dari 2004 hingga Februari lalu berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga.
Katanya, antara negeri yang mempunyai kes kecurian kabel elektrik paling tinggi adalah Selangor dengan kerugian RM52.6 juta diikuti Johor (RM29.9 juta) dan Kuala Lumpur (RM25.8 juta).
"Pulau Pinang di tempat kesembilan dengan kerugian berjumlah RM5.2 juta manakala Putrajaya dan Perlis mencatat kes kecurian kabel elektrik paling rendah dengan masing-masing kerugian RM665,000 dan RM645,000.
"Saya minta orang awam bekerjasama memantau perkara ini supaya dapat membasmi kegiatan curi kabel kerana TNB tidak mampu mengesan golongan yang terbabit secara bersendirian," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik TNB peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang Teluk Air Tawar di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Seramai 260 murid dari 65 sekolah rendah di sekitar daerah Seberang Perai Utara menyertai kempen itu.
Dalam majlis tersebut, empat sekolah di bawah Program Mempromosi Kebijaksanaan, Mengasah Bakat dan Menyuntik Tanggungjawab (Pintar) masing-masing menerima sumbangan sejumlah RM20,000 daripada TNB.
Che Khaleb memberitahu, statistik kemalangan elektrik menunjukkan terdapat 62 kes pada 2011 dengan 28 kes melibatkan kematian berbanding 69 kes keseluruhan pada 2010.
"Bagi Pulau Pinang, sebanyak 11 kes berlaku sepanjang tahun lalu," ujarnya.

Beli coklat, percuma ulat

8 April 2012

ALOR SETAR - Rasa geli dan loya!, ­begitulah yang dihadapi tiga beranak ­apabila hasrat menikmati coklat yang baru dibeli dari sebuah pasar raya terbantut ­ketika melihat beberapa ekor ulat keluar dari kepingannya.

Ahmad Pouzai, 55, bersama isteri dan anaknya mula menyedari keadaan luar ­biasa coklat itu apabila membuka ­lapisan pembungkus coklat ketika ­berada dalam kereta selepas selesai membeli ­barangan keperluan kira-kira jam 10.50 pagi semalam.

“Entah kenapa tiba-tiba timbul perasaan ingin mencuba coklat ini, mungkin kerana keluaran tempatan dan ­diedarkan ke luar negara seperti United Kingdom, Hong Kong serta Singapura sedangkan saya sendiri tidak pernah membelinya ­sebelum ini.

“Sebagai langkah berwaspada ­setiap kali membeli, saya membaca dulu label kandungan coklat, tarikh halal dan yang pastinya tarikh luput coklat itu pada 16 Januari tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad berkata, isterinya sempat ­makan sedikit coklat berkenaan kerana belum menyedari kewujudan ulat yang ada pada bahagian bawahnya sebelum ­berkongsi bersama.=

“Namun, sewaktu saya ingin mematahkan kepingan coklat seterusnya, saya perasan seekor ulat jatuh ke ­tempat ­duduk sebelum membuat ­keputusan memeriksa keseluruhan coklat dan menemui tiga ekor ulat.

“Walaupun sebelum ini pernah ­mendengar kejadian serupa berlaku pada orang lain, namun tak sangka kali ini kami pula terkena,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad berharap pihak pengurusan syarikat pengeluar coklat itu lebih prihatin terhadap produknya termasuk mengutamakan ­aspek kebersihan serta memeriksa kembali tarikh luput sebenar coklat.

“Saya sendiri sudah tidak berminat untuk membeli coklat jenama ­berkenaan selepas ini. Jika ingin membelinya saya akan mencari jenama lain atau yang biasa dibeli,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, syarikat pengeluar coklat perlu lebih berhati-hati dalam memastikan kualiti bahan serta produk dihasilkan sentiasa terjaga.

“Kita tidak mahu kejadian ­seperti ini turut berlaku di tempat lain ­kerana coklat yang sama diedarkan ke ­negara luar. Imej baik produk tempatan akan terjejas jika ada pembeli di negara ­berkenaan terbeli coklat sudah berulat.

“Sepanjang tahun ini, kita sudah ­menerima empat hingga lima kes yang melibatkan produk makanan tercemar serta berulat. Kita akan menghantar notis kepada syarikat terbabit untuk ­memastikan mereka mengambil langkah ­sepatutnya bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Vaksin Aids sudah ditemui?



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2012
WASHINGTON - Ia mungkin satu berita baik kepada penghidap sindrom kurang daya tahan penyakit (Aids) kerana vaksin yang digunakan dalam eksperimen pada 2009 menunjukkan tindak balas positif kepada 31 peratus antibodi individu berlainan dalam projek kajian itu.

Laporan yang diterbitkan dalam New England of Medicine menunjukkan antibodi yang berfungsi bagi melawan jangkitan digelar IgG, mampu menyerap ke atas permukaan protein HIV untuk mengelakkannya daripada menjangkiti sel dalam tubuh.

Bagaimanapun, Pengarah Program Penyelidikan HIV di Institut Tentera Walter Reed, Nelson Michael berkata, vaksin tersebut mungkin memberi tindak balas berbeza bergantung kepada antibodi individu.

Lebih 25 juta maut akibat dijangkiti HIV sejak 1981 dan kira-kira 30 juta penghidap virus pembawa maut itu masih belum mendapat vaksin untuk mengubati mereka.

Pesawat Twin Otter ditembak, wartawan Indonesia maut




8 April 2012
JAKARTA - Seorang wartawan media tempatan dilaporkan terbunuh manakala empat orang lagi cedera apabila pesawat Twin Otter yang mereka naiki ditembak orang tidak dikenali ketika pesawat itu sedang mendarat di Lapangan terbang Mulia, Daerah Puncak Jaya, Papua, hari ini.
Polis berkata, kejadian jam 8.21 pagi itu menyebabkan pesawat milik Trigana Air itu hilang kawalan sehingga melanggar bangunan gudang di lapangan terbang itu.
Mayat penumpang yang terkorban serta empat mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Mulia.
Pihak berkuasa menutup sementara lapangan terbang itu untuk memudahkan siasatan terhadap kejadian itu.
Pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera masih memburu penembak di kawasan pergunungan dekat lapangan terbang itu dan setakat ini polis belum mengetahui sama ada penembak bergerak seorang diri atau bersama
kumpulan tertentu.  
Insiden menembak pesawat di kawasan lapangan terbang itu merupakan kejadian pertama dan lokasi lapangan terbang itu yang dikelilingi lembah, dipercayai memberi kelebihan kepada penyerang untuk melepaskan tembakan dari arah manapun. – Bernama

Remaja lelaki maut ditetak



NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
7 April 2012
remaja-maut
SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki tingkatan lima maut ditikam selepas pulang membeli burger dalam kejadian di tapak letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25, semalam.

Mayat mangsa, R Teeneshe, 17, ditemui penduduk setempat kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa maut selepas ditikam di badan dengan senjata tajam dipercayai pemutar skru.

“Mayatnya ditemui lengkap berpakaian dan terbaring berhampiran kereta.

“Kita percaya mangsa dibunuh di situ berdasarkan kesan darah yang masih baru,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa tinggal di kawasan berdekatan bersama neneknya dan bersekolah di Klang.

“Kita sedang menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh,” katanya.

Zahedi berkata, siasatan Unit Forensik tidak menemui senjata digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, beliau percaya lebih daripada seorang penjenayah terlibat dalam kejadian tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Warga emas bunuh dan makan isteri




8 April 2012
Warga emas bunuh dan makan isteri
BOSTON - Seorang warga emas berumur 79 tahun yang baru sahaja berhijrah dari China ke Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), mengaku tidak bersalah dan keliru dengan pertuduhan terhadapnya iaitu membunuh kejam isteri pertamanya, kelmarin.
Menurut polis, Jeiming Liu yang ditemui anak lelakinya, dalam keadaan duduk di atas sebuah kerusi malas serta berlumuran darah pada tangan, mulut dan muka sambil memandang ke luar kondominium serta dikelilingi cebisan daging yang dipercayai milik isterinya.
 Kemudian dia menjumpai ibunya, Yuee Zhou, 73, dalam sebuah bilik tidur dengan keadaan berbaring, berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah pada bahagian lengan tangan.
 Namun, anak lelaki Liu yakin ayahnya tidak mampu melakukan kekejaman itu kerana mempunyai saiz fizikal yang kecil.
 Liu yang asyik mengulangi ayat ‘Ini bukan ibu kamu’ sejak ditemui, dipercayai menghidapi penyakit Alzheimer atau demensia.
 Penolong Pendakwa Raya Daerah, Michael D. McHugh berkata, Liu mungkin memakan cebisan daging isterinya berikutan sebahagian lengan kiri mangsa berlubang dan beberapa batang jari turut ditemui di sekitar kondominium mereka.

Wanita, warga emas diminta berhati-hati setiap masa



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2012
Wanita, warga emas diminta berhati-hati setiap masa
BACHOK - Semua wanita dan warga emas dinasihati lebih berhati-hati terhadap orang tidak dikenali setiap masa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, semakin hari semakin banyak kejadian samun dan rompak.
Namun, beliau bersyukur kerana warga emas, Mek Mat Dam, 72, yang menjadi mangsa culik dan samun, ditemui selamat.
“Kita berharap semua berhati-hati, penjenayah bukan hanya mencari mangsanya pada waktu malam, sebaliknya siang juga.
“Banyak kes yang menimpa warga emas, malah ada antara mereka dibunuh kejam, tetapi kita bersyukur kerana makcik ini selamat,” katanya ketika menziarahi Mek, semalam.
Sementara itu, Mek tidak mampu menahan sebak kerana terharu dengan kunjungan dua wakil rakyat ke rumahnya untuk bertanya khabar berhubung kejadian 2 April lalu.
Mek merangkul dan memeluk anggota Exco Kerajaan Negeri, Wan Ubaidah yang hadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Abdul Azziz Kadir.
Wan Ubaidah simpati nasib Mek yang kerugian RM30,000 setelah menjadi mangsa culik dan samun turut menyampaikan hamper dan wang tunai bagi meringankan beban warga emas itu.
Mek berkata, sebelum diseret masuk ke dalam kereta, dia terpaksa bergelut dengan seorang penyamun yang memasuki rumahnya sehingga menyebabkan keduanya terjatuh.
“Melihat keadaan itu, dua lagi rakannya meluru ke arah saya dan mengusung saya ke dalam kereta diparkir berdekatan rumah.
“Tidak cukup dengan mencekik leher, saya dikasari, manakala seorang lagi mengambil barang kemas berupa rantai, gelang dan cincin,” katanya.
Mek berkara, dia akhirnya ditinggalkan di Kampung Kuchelong kira-kira enam kilometer dari rumahnya dan dibawa pulang penduduk Gunong setelah dihubungi seorang pekedai di Kuchelong.
“Akibat kejadian, leher dan perut saya masih sakit, kesan luka juga terdapat di muka,” katanya.
Ketika kejadian, suaminya Mat Yusof Che Lah, 75, berada di kedai kopi dan anak bongsunya, Nurul Azita, 34, yang tinggal bersama keluar dengan suami ke Pekan Jelawat.

Lubang rahsia dalam bar



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2012
Lubang rahsia dalam bar
PETALING JAYA – Tindakan licik tujuh pegawai perhubungan pelanggan (GRO) untuk meloloskan diri gagal apabila kepantasan polis berjaya menahan semula mereka dalam serbuan di sebuah bar di Taman Mayang Emas, malam kelmarin.
Dalam serbuan oleh Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan diketuai oleh Inspektor Ravindran itu turut menemui sebuah lubang rahsia yang ditebuk melalui dinding di tingkat dua premis terbabit.
Lubang rahsia terbabit menembusi ruang tangga bersebelahan yang ditutup menggunakan almari.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi berkata, GRO yang ditahan terdiri daripada enam warga Vietnam dan seorang Indonesia serta siasatan mendapati lima daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar, masing-masing berusia 29 dan 36 tahun yang menjadi penjaga kepada semua GRO terbabit turut ditahan.
Difahamkan, bar tersebut pernah diserbu lima kali sebelum ini dan kembali menawarkan khidmat layanan serta seks kepada pelanggan sejak sebulan lalu berdasarkan penemuan bilik-bilik khas yang disediakan di tingkat atas.
Turut ditemui, sejumlah kondom yang disembunyikan dan ketika serbuan, sebelas pelanggan berada di bar terbabit.
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.\
Arjunadi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1963 atas kesalahan mengambil atau menggaji warga asing yang tidak memiliki pas sah.

Taktik baru ibu ayam cari pelanggan



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2012
KOTA BHARU- ibu ayam kini semakin licik menjalankan ‘perniagaan’ mendapatkan pelanggan seks mereka dengan mengubah taktik terbarunya supaya pergerakannya sukar dijejaki pihak berkuasa.
Dilaporkan sekarang ini, ibu-ibu ayam tidak lagi menunggu di kawasan terbuka untuk mencari pelanggan tetapi secara 'mobile' di mana mereka hanya perlu ke kedai-kedai tertentu dengan menunjukkan gambar ‘wanita-wanita’ yang berada di bawah jagaan menerusi telefon bimbitnya sebelum ditempah.
Pendedahan berkenaan dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), yang mendapati ibu ayam terbabit akan menuju ke kedai-kedai tertentu dan ‘persetujuan’ akan dibuat individu berkenaan apabila melihat gambar-gambar menarik tersebut.
Dengan persetujuan harga yang ditetapkan dan wanita pilihan sudah ditempah, mereka akan mengaturkan perjumpaan untuk pasangan terbabit melangsaikan gelora nafsu masing-masing di lokasi yang difikirkan selamat daripada dicekup pihak berkuasa.
Demi memuaskan nafsu, ada di antara pelacur yang ditempah oleh pelanggan yang sengkek ini sanggup memilih kawasan hutan untuk tujuan tersebut walaupun dalam suasana gelap dan dipenuhi sarang nyamuk.
Ini terbukti dengan penemuan kondom terpakai, tisu dan pelbagai lagi barangan lain di dalam kebun pisang serta hutan di sebuah penempatan di bandar ini ketika Operasi Cegah Maksiat yang dilakukan baru-baru ini.
Penolong Pengarah Penguat kuasanya, Ramly Che Hussin berkata, taktik terbaru itu sudah dihidu oleh pegawai-pegawainya dan perkara ini tidak akan terus berleluasa sehingga mereka merasakan selamat untuk mencari makan dengan cara itu.
“Sehingga kini pihak kami sentiasa mengadakan operasi-operasi dalam membendung perkara ini dan tidak membuka peluang untuk mereka berani ‘berniaga’ dengan cara haram ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, kawasan hutan dan kebun pisang tersebut akan dibersihkan untuk mengelak pelacur-pelacur ini terus menggunakan lokasi terbabit, malah tempat-tempat terbabit sebelum ini pernah diserbu.

Penyewa sudah lali tengok remaja berasmara



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2012
Penyewa sudah lali tengok remaja berasmara
YAN - “Saya sudah lali melihat remaja berkelakuan tidak senonoh di tingkat atas bangunan ini,” demikian luah seorang penyewa Bangunan Arkid Majlis Daerah Yan (MDY) di sini, Ang Bee Hwa, 54, yang didakwanya menjadi tempat pilihan remaja melakukan perbuatan tidak senonoh.
Bee Hwa berkata, dia sudah menyewa sebuah premis di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu sejak 12 tahun lalu dan mendapati remaja atau pasangan kekasih sering menjadikan tingkat atas bangunan terbabit sebagai tempat mereka berasmara.
Menurutnya, dia bertambah geram apabila sering terhidu bau hancing dan terserempak pasangan remaja melakukan perbuatan tidak senonoh itu di situ.
“Mereka menjadikan tangga tingkat atas untuk berdua-duaan kerana banyak premis di tingkat atas kosong dan jarang ada orang naik ke tingkat atas.
“Saya sudah lali dengan keadaan ini dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Bee Hwa berkata, dia juga mohon kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelenggarakan bangunan terbabit yang didakwanya seakan-akan diabaikan.
Katanya lagi, penyewa di premis bangunan terbabit menghadapi beberapa masalah akibat bumbung bangunan yang bocor dan menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir sempurna mengikut saluran air di atas bumbung itu.
“Apabila hujan, air akan melimpah ke bahagian bawah dan kadang-kala menyebabkan premis berdekatan bumbung bocor terkena tempias air yang melimpah itu.
“Saya sudah maklumkan kepada PBT setiap kali membayar sewa bulanan premis ini, namun tiada tindakan diambil sehingga kini,” katanya.