Search This Blog

Saturday, April 7, 2012

Runtuhan batu ragut tujuh nyawa



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
Runtuhan batu ragut tujuh nyawa
NAIROBI - Pasukan penyelamat diketuai Majlis Perbandaran Nairobi digesa menyalurkan bantuan pemulihan tragedi runtuhan ketulan batu-batu besar di kawasan Mathare, Kenya.

Ketika kejadian, kira-kira tujuh orang disahkan maut dan lapan yang lain mengalami kecederaan serius akibat dihempap sisa runtuhan, manakala 40 rumah mengalami kerosakan teruk.

Jurucakap Unit Pertubuhan Palang Merah Kenya (KRCS), Nelly Muluka berkata, operasi menyelamat bermula kelmarin, bagi kerja-kerja pembersihan tapak dan mencari 10 lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam sisa runtuhan terbabit.

Menurutnya, keluarga terlibat ditempatkan di kem sementara di Sekolah Heidemari sementara bantuan kecemasan agak terjejas kerana hujan lebat dan kekurangan jentera yang sesuai bagi mencari mangsa tertimbus.

Bekas eksekutif Amanah Raya didakwa seleweng dokumen



MOHD ISKANDAR OTHMAN
30 Mac 2012
amanah-raya
GEORGETOWN - Bekas pegawai eksekutif Amanah Raya Bhd  Pulau Pinang, Elias Puteh mohon dibicarakan atas dua tuduhan menggunakan dokumen palsu dalam urusan tuntutan pembahagian harta pusaka dua tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama, Elias, 50 didakwa dengan niat curang menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu Borang T (Peraturan 12(3) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) dalam harta pusaka milik Din Sharif iaitu wang pampasan tanah berjumlah RM499,686.04 di lot nombor 38 geran 58436, bandar Perai.

Di bawah tuduhan kedua, Elias dituduh menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu Borang T (Peraturan 12(3) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) dalam harta pusaka Sman Hamad iaitu wang pampasan berjumlah RM453,000 atas tanah GM 838 Lot 1526, Mukim 14, Seberang Perai Tengah.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukanya di pejabat Amanah Raya cawangan Pulau Pinang di sini pada 26 Julai 2010 dan 8 Disember 2010.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Elias yang hadir di Mahkamah Sesyen dengan memakai kemeja-T berwarna jingga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar kadarnya dikurangkan.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sitarun menetapkan 3 Mei depan bagi sebutan semula kes.

Lagi sindiket penipuan internet ala ‘Huang’ tumpas




6 April 2012
KUALA LUMPUR - Selepas serbuan di Kajang semalam, polis hari ini menumpaskan satu lagi sindiket penipuan internet dan perjudian haram ala "Huang" dalam serbuan di empat kediaman mewah di Serdang.

Dalam serbuan 11.30 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Bukit Aman, berjaya menahan 83 orang membabitkan 75 warga Taiwan (67 lelaki, lapan wanita), enam rakyat China termasuk seorang lelaki dan dua lelaki tempatan.

Polis turut merampas 30 komputer dalam serbuan itu dan anggaran nilai rampasan masih dalam siasatan, kata Pengarah JSJK Datuk Syed Ismail Syed Azizan kepada pemberita, di sini.

Ketika serbuan didapati tiga daripada empat kediaman sedang cuba dikosongkan oleh anggota sindiket yang dipercayai bimbang susulan serbuan di Kajang semalam manakala sebuah lagi didapati masih menjalankan aktiviti mereka, katanya.

"Semasa serbuan dibuat, kita dapati 16 lelaki dan tiga wanita warga asing ini sedang sibuk menjalankan urusan menghubungi mangsa mereka yang berada di sekitar Taiwan dan China berdasarkan skrip yang disediakan sindiket," katanya.

Beliau berkata kumpulan terbabit yang beroperasi sejak sebulan lalu adalah sebahagian daripada sindiket yang ditumpaskan dalam serbuan di enam banglo mewah di Country Heights, Kajang semalam.

Katanya, bagaimanapun berbeza dengan serbuan di Kajang, sindiket yang dikesan hari ini hanya menjalankan aktiviti penipuan talian dan internet dan tidak melibatkan sebarang kegiatan perjudian namun didalangi pihak yang sama.

Semalam polis menahan 148 warga China dan Taiwan dalam serbuan di  Country Heights, Kajang yang dipercayai sudah mengaut keuntungan RM4 bilion dari kegiatan haram mereka.

Bernama pada Febuari lepas, melaporkan ketua sindiket penipuan antarabangsa terbesar menggunakan internet berpangkalan di Pulau Pinang yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM10 bilion dikenali sebagai Huang berjaya diberkas Polis Taiwan.

Kejayaan penangkapan Huang itu ekoran satu serbuan ke pangkalan pusat penipuan internetnya di Pulau Pinang pada 6 Jan lepas hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia dan polis Taiwan.

Dengan tangkapan hari ini, sudah 225 anggota sindiket penipuan itu ditangkap polis.

Syed Ismail berkata kebanyakan warga asing itu yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat akan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank atau polis atau pegawai mahkamah dan meminta mangsa memindahkan wang dari akaun asal ke satu akaun yang diberikan dengan alasan mangsa terlibat dalam salah laku perbankan.

Pemeriksaan polis mendapati kesemua warga asing yang berusia antara 20 dan 35 tahun memasuki negara ini sejak 13 Mac lalu menggunakan pas lawatan social serta dibayar antara RM2,000 hingga RM4,000 bagi bertugas sebagai operator telefon sebelum kembali ke nagara asal selepas hampir sebulan berada di sini.

Syed Ismail berkata, pihaknya yakin kegiatan penipuan internet yang dipercayai beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang ini mensasarkan mangsa yang kebanyakannya dari luar negara. – Bernama

Penghantar surat rompak usahawan diarah bela diri




30 Mac 2012
PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang penghantar surat membela diri terhadap pertuduhan merompak seorang usahawan dengan menggunakan sebilah parang, tujuh tahun lepas.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap S.Arokiasamy, 25, di akhir kes pendakwaan.

Arokiasamy didakwa merompak 11 keping kad kredit milik Kong Teck Wei, 49, di stesen minyak Shell Jalan 21/1 Sea Park, Selangor, pada 4.10 pagi, 6 Dis, 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.

Mahkamah menetapkan 19 dan 20 April depan untuk mendengar kes pembelaan.- Bernama

Warga Kemboja ditahan cuba beri rasuah anggota penguatkuasa



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2012
rasuah sprm
MELAKA -- Seorang warga Kemboja ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada anggota penguatkuasa semasa operasi penguatkuasaan bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka bersama 10 badan dan agensi kerajaan lain, semalam.

Pengarah CIDB Melaka, Norlida Nabil berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di satu tapak pembinaan di Mukim Ayer Panas, Jasin kerana tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah, tinggal melebihi had tempoh masa dan menyalahguna pas lawatan.

Beliau berkata lelaki terbabit cuba memberi wang RM230 sebagai sogokan kepada anggota penguatkuasa.

"Lelaki itu kemudian ditahan reman oleh Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 14 hari bermula semalam bagi membantu  siasatan," kata Norlida kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam industri khususnya syarikat pembinaan serta orang awam terhadap pentingnya mematuhi akta  berkaitan industri pembinaan.

Operasi itu dilakukan di empat lagi tapak projek pembinaan iaitu di Cheng,

Sungai Udang, Taman Saujana Bukit Katil dan Kampus Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Norlida berkata hasil operasi mendapati terdapat kerja pembinaan yang dilaksanakan dengan menggunakan perakuan pendaftaran kontraktor yang telah luput.

"Notis memberhentikan kerja serta merta telah dikeluarkan oleh CIDB Melaka terhadap sebuah syarikat kontraktor atas kesalahan tersebut di bawah Seksyen 25 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520)," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengesan kira-kira 80 peratus daripada 400 pekerja yang diperiksa tidak memiliki Kad Hijau iaitu kad yang dikeluarkan oleh CIDB bagi mendaftarkan semua pekerja di tapak binaan.  -- Bernama

889 rakyat Malaysia ditahan, 80 peratus jadi ‘keldai dadah’




30 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Seramai 889 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan dadah sejak 10 tahun lepas, sekaligus menjadikan jumlah paling tinggi rakyat negara ni ditahan atas kesalahan itu berbanding kes jenayah lain yang dilakukan di negara luar.

Ini diikuti dengan pemalsuan kad kredit iaitu 248 orang, lain-lain (158), mencuri (105), Imigresen (85), jenayah komersial (84), menipu (65), pemerdagangan manusia (50), pemalsuan dokumen (44) dan membunuh seramai 27 orang.

Statistik Kementerian Luar yang diambil dari tahun 1991 hingga tahun lepas itu juga mendedahkan jumlah keseluruhan rakyat negara ini ditahan di negara luar adalah seramai 1,941 orang, menurut Pegawai Khas Menteri Luar Neow Choo Seong.

"Seramai 1,755 yang ditahan telah disabitkan kesalahan, manakala 186 lagi telah dibebaskan," katanya dalam satu seminar Kesedaran Rakyat Mengenai Keldai Dadah (SEDARLAH) di Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills di sini, semalam.

Daripada statistik itu, katanya seramai 81 orang rakyat negara ini dipenjarakan seumur hidup, 33 dikenakan hukuman mati manakala selebihnya dipenjarakan antara lima hingga 30 tahun di luar negara, katanya.
  
"Daripada 33 orang yang dikenakan hukuman mati itu, 25 daripada mereka melakukan kesalahan berkaitan dadah, manakala lapan lagi kerana membunuh.

"Tahun paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan dadah pula adalah pada 2007 iaitu seramai 145 orang, 2008 seramai 138 ditahan, 2009 (135), 2010 (126) dan tahun lepas seramai 72 orang ditahan," katanya.

Beliau berkata ini membuktikan kesalahan paling serius dilakukan rakyat negara ini di negara luar adalah dadah dan perkara yang sering dikaitkan dengannya adalah 'keldai dadah'.

"Keldai dadah merujuk kepada seseorang yang secara sukarela atau terpedaya untuk menjadi kurier membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Antara taktik penyeludupan adalah menyembunyikan dadah tersebut di dalam kenderaan, dalam bagasi atau beg pakaian, mengikat atas badan atau menelannya," katanya.

Neow juga mendedahkan, kira-kira 80 peratus daripada kalangan rakyat negara ini yang dikesan terlibat menjadi keldai dadah adalah terdiri daripada golongan lelaki.

Katanya laporan dari Bahagian Konsular Wisma Putra itu membuktikan bilangan lelaki adalah golongan tertinggi terlibat menjadi keldai dadah berbanding wanita iaitu hanya 20 peratus.

"Bila bercakap mengenai keldai dadah, tentu kita akan terbayangkan wanita selalunya yang akan jadi mangsa atas faktor terjerat dalam percintaan atau mengejar kemewahan. Tetapi sebenarnya lelaki juga tidak terkecuali dan golongan ini dikesan paling ramai terlibat," katanya kepada Bernama.

Neow berkata kebanyakan golongan lelaki yang dikesan menjadi keldai dadah pula ditangkap secara berkumpulan kerana mereka sebelum itu mengagih-agihkan dadah tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya ditangkap.

"Kalau wanita melakukannya (keldai dadah) secara seorang diri, lelaki pula melakukannya secara berkumpulan seperti apa yang berlaku di New Zealand tahun lepas. Enam lelaki kita ditahan di sana kerana membawa dadah. Ini adalah satu strategi bagi mengelakkan mereka dikenakan hukuman berat.

"Contohnya kalau seorang sahaja yang bawa tiga kilogram dadah, tentulah hukuman berat dikenakan ke atasnya. Tapi kalau seorang ditahan dengan membawa 500 gram dadah sahaja, (selepas dibahagikan dengan ahli kumpulan lain) hukuman yang dikenakan tentulah lebih rendah," katanya.

Beliau berkata apa yang boleh dilakukan kementerian itu untuk membantu mangsa yang ditahan di luar negara adalah dengan membuat lawatan konsular ke pusat-pusat tahanan atau penjara, mendapatkan bantuan guaman dengan memberi jaminan perbicaraan dilakukan secara adil dan saksama.

"Kementerian juga bertanggungjawab menjamin hak-hak asasi rakyat Malaysia terlindung di bawah undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa," katanya.

Neow berkata antara kesan sosial dari gejala 'keldai dadah' ini adalah keruntuhan akhlak dan moral, modal insan kepada negara berkurangan dan pembangunan sosial terbantut.

"Dari segi ekonomi pula, ia akan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi akibat ketidakstabilan sosial. Ia akan menjejaskan pelaburan asing sekaligus membantutkan ekonomi negara," katanya.

Neow berkata dari segi politik pula, imej negara di arena antarabangsa akan tercalar, menjejaskan hubungan baik dengan negara lain dan wawasan serta dasar negara sukar tercapai.- Bernama

Kontraktor rugi RM7,000 rumah dimasuki penjenayah bersenjata




31 Mac 2012
KUANTAN - Tiga beranak melalui saat cemas apabila kediaman mereka di Kampung Jambu, Beserah di sini dimasuki dua lelaki bersenjatakan kuku kambing dan alat penggerudi awal hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran berkata dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa, seorang kontraktor bersama isterinya serta anak perempuan mereka berumur 16 tahun, turut diikat menggunakan wayar telefon.

"Kontraktor dan isterinya, kedua-dua berusia 40-an, diikat bersama anak perempuan mereka di bilik tidur utama. Dua suspek yang menutup muka dengan kain memasuki rumah melalui tingkap bilik anak mangsa," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek mengumpil tingkap rumah berkenaan sebelum masuk dan mengejutkan anak mangsa yang sedang nyenyak tidur.

"Suspek kemudiannya mengejutkan mangsa suami isteri dan mangikat mereka tiga beranak di bilik tidur utama sebelum menggeledah kediaman mereka," katanya.

Kata Narenasagaran, suspek terbabit melarikan barang kemas, tiga buah telefon bimbit, jam tangan dan wang tunai RM2,000 dengan kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM7,000.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek kemudiannya melarikan diri melalui pintu tepi rumah terbabit.

"Mangsa sekeluarga berjaya melepaskan diri sebelum pergi ke Balai Polis Beserah untuk membuat laporan kira-kira pukul 4 pagi," katanya. - Bernama

Bekas KSU MOSTI bebas 10 tuduhan rasuah




30 Mac 2012
SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abdul Hanan Alang Endut hari ini dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM59,390.60 tanpa dipanggil membela diri.

Hakim M.Bakri Abdul Majid membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Hanan, 60, yang didakwa menerima suapan-suapan itu di  No 25, Jalan 17/21 Seksyen 17 Petaling Jaya dari 1 hingga 15 Dis 2008 dalam bentuk cek-cek kosong (tanpa jumlah dan tarikh) United Overseas Bank milik Adam Omar sebagai ganjaran kerana meluluskan permohonan dana oleh Global Goodway (M) Sdn Bhd.

Dia kemudian didakwa telah menunaikan cek-cek itu yang diterimanya dari 15 Dis 2008 hingga 27 Feb 2009 bagi tujuan pembaikan rumah berjumlah RM15,024, pembayaran zakat pendapatan berjumlah RM25,000, kad kredit berjumlah RM9,275, cukai taksiran  bagi tiga premis sebanyak RM1,542.60, cukai tanah di Mukim Sungai Raya sebanyak RM15 dan mendepositkan RM8,000 ke dalam akaun isterinya.

Abdul Hanan didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam penghakimannya, M.Bakri berkata berdasarkan keterangan saksi ke-14 pendakwaan iaitu Adam Omar, mahkamah berpendapat adalah tidak selamat untuk memutuskan cek yang diterima oleh Abdul Hanan sebagai rasuah kerana ia lebih kepada pinjaman.

Beliau berkata terdapat perjanjian bertulis antara saksi itu dan Abdul Hanan mengenai pemberian 10 cek itu di mana Abdul Hanan akan membayar pinjaman berkenaan selepas beliau pencen dan mendapat gratuiti.

Menurutnya Adam turut memberitahu mahkamah bahawa sebelum memberikan 10 keping cek itu, dia pernah menawarkan rasuah berjumlah RM300,000 kepada Abdul Hanan tetapi bekas KSU itu menolak dan Abdul Hanan juga tidak pernah meminta rasuah daripada saksi berkenaan.

Selain itu, M.Bakri berkata antara bukti menunjukkan perbuatan Abdul Hanan bukan rasuah ialah pemberian 10 keping cek itu yang boleh dikesan oleh semua pihak dan sekiranya seseorang menerima rasuah ia akan menerimanya dalam bentuk wang tunai dan bukan dalam bentuk cek.

Beliau juga berkata Adam menerima dana berkenaan kerana layak dan bukan kerana bantuan Abdul Hanan.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Abdul Hanan diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Badrul Munir Bukhari dan Sarah Abishegam.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Abdul Hanan yang memakai kemeja lengan panjang putih dan berseluar hitam, bersyukur di atas pembebasannya.

"Alhamdulillah, akhirnya saya mendapat pembelaan yang sewajarnya walaupun ada peringkat seterusnya iaitu rayuan oleh pihak pendakwaan," katanya yang ditemani isteri, Datin Norihan Ahmad, anggota keluarga dan rakan-rakan.- Bernama

Bekas Exco Selangor kekal bebas tuduhan rasuah




6 April 2012
Bekas Exco Selangor kekal bebas tuduhan rasuah
PUTRAJAYA - Bekas anggota Exco Selangor Datuk Saidin Thamby hari ini dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah sekeping cek bernilai RM1 juta, pada 1997.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Malik membebaskan Saidin selepas menolak rayuan terakhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Paya Jaras itu.

Abdul Malik yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohtaruddin Baki juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen pada 1 Ogos 2002.

Abdul Malik berkata panel itu telah memberi pertimbangan teliti kepada penghujahan terhadap rekod keterangan oleh kedua-dua pihak.

"Kami berpendapat sama ada kualiti keterangan yang dikemukakan atau penilaian teliti oleh pendakwaan boleh dijadikan bahan cukup bagi pendakwa membuktikan kes melampaui keraguan munasabah," katanya.

Dalam penghakiman 88 muka surat itu, Abdul Malik berkata panel tersebut tidak cenderung untuk merekodkan keputusan bersalah terhadap responden (Saidin) berdasarkan keterangan tipis dan sangsi.

Katanya, rasuah adalah perkataan hodoh yang mudah didakwa tetapi memerlukan bebanan berat untuk membuktikan di mahkamah kerana ia perlu dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Katanya, dalam kes tersebut, mahkamah tidak bimbang dengan moral salah tetapi hanya dengan kesalahan undang-undang.

"Tidak dapat disalahkan apabila seorang ADUN mendapat komisen secara sah di sisi undang-undang. Tetapi komisen itu tidak patut diterima secara rasuah dalam konteks Seksyen 3(a)(i) Akta Pencegah Rasuah 1961," katanya.

Abdul Malik berkata, cerita keseluruhan mengenai derma kepada Umno semasa perbicaraan adalah tidak benar dan Saidin diminta komisen dan ia tidak diterima secara rasuah oleh responden.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 April 2009, membenarkan rayuan Saidin untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara serta penalti RM1 juta yang perlu dibayar kepada kerajaan persekutuan selepas mendapati dia bersalah menerima rasuah dalam bentuk sekeping cek bernilai RM1 juta.

Saidin didakwa menerima suapan itu daripada pengerusi Syarikat Nusantara Network Sdn Bhd, Datuk Dr Hanifah Nordin, di sebuah rumah di Taman Selaseh, Batu Caves, Selangor, pada pukul 12.30 tengah malam, 15 Mac 1997.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(a)(i) Akta Pencegah Rasuah 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 akat kedua-duanya sekali.

Selepas keputusan diumumkan, Saidin, 76, yang dikerumi oleh  rakan-rakannya, dipeluk oleh anak perempuannya.

Saidin memberitahu pemberita beliau gembira dengan penghakiman itu dan berasa lega kerana dapat membersihkan namanya daripada kesalahan rasuah selepas 14 tahun.

Saidin diwakili oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa. – Bernama

Lelaki simbah asid diberkas, seorang lagi diburu



NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
30 Mac 2012
SHAH ALAM - Seorang lelakiyang disyaki  menyimbah asid keatas  dua wanita di sebuah hentian bas di Rawang diberkas malam tadi.
Suspek berusia 30 tahun ditahan dirumahnya dalam serbuan di Taman Rasa Utama, Rasa, Kuala Kubu Bahru, kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, seorang lagi lelaki yang terlibat dalam kejadian ragut dan simbah asid itu masih diburu.
Dalam kejadian Selasa lalu, S Rani, 46, melecur teruk dibeberapa bahagian badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.
Seorang lagi mangsa, Nuraqilah Osman, pelajar tingkatan dua, melecur di bahagian belakang badan.

‘Awang Hitam’ godam e-mel, usahawan hilang RM85,000



NORDIANA JOHARI
6 April 2012
MELAKA - Pelbagai cara dilakukan warga Nigeriadalam menjalankan kegiatan penipuan di negara ini. Kali ini menggunakan modus operandi dengan cara menggodam e-mel mangsa untuk meraih pendapatan lumayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Superintendan Soh Hock Sing berkata, polis menahan tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita rakyat tempatan berhubung kegiatan berkenaan.

Menurutnya, ia berikutan pihaknya menerima laporan seorang usahawan berusia 45 tahun kerugian RM85,000 akibat tertipu menjadi mangsa awang hitam.

“Mangsa yang menjalankan perniagaan runcit menerima satu e-mel daripada syarikat pembekal Indonesia yang memerlukan bayaran RM85,000. Mangsa membuat bayaran dua kali iaitu RM45,000 dan RM40,000 kepada akaun sebuah bank yang dipaparkan dalam e-mel berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka di Bukit Beruang, hari ini.

Hock Sing berkata, selepas membuat pembayaran, mangsa menghubungi rakan perniagaannya dan mendapati mereka tidak menerima sebarang bayaran.

"Susulan itu, ia membawa kepada penangkapan wanita berusia 25 tahun kelmarin di Kuala Lumpur semasa mahu mengeluarkan wang. Bagaimanapun, hasil soal siasat wanita terbabit mengaku dia diarah oleh rakan lelakinya iaitu warga Nigeria untuk mengeluarkan wang daripada akaun terbabit," katanya.

Menurutnya, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Puchong untuk memberkas warga Nigeria yang terlibat tetapi gagal.

"Polis hanya menemui pasport, komputer dan komputer riba dipercayai milik suspek. Kami turut menyerbu sebuah rumah di Bachang malam semalam, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penipuan melibatkan usahawan terbabit," katanya.

Hock Sing berkata, semasa serbuan dilakukan, suspek enggan memberi kerjasama dan hanya membuka pintu selepas 30 minit diketuk.

“Seorang wanita cuba membuang kondom di luar rumah tetapi anggota yang membuat pengawasan di luar rumah melihatnya. Tiga lelaki warga Nigeria berusia 26 hingga 28 tahun dan seorang wanita tempatan berumur 19 tahun ditahan,” katanya.

Turut dirampas tiga komputer riba yang disorokkan di bawah tilam dan enam telefon bimbit.

Lagi mayat bayi ditemui



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2012
Lagi mayat bayi ditemui
KEPONG - 24 jam selepas penemuan janin bayi di Jinjang kelmarin, satu lagi mayat bayi lelaki cukup sifat masih bertali pusat berserta uri ditemui di perangkap sampah di dalam longkang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, semalam.
Lebih menyayat hati, bahagian muka bayi tersebut kemek dipercayai akibat terhantuk dinding longkang (konkrit) semasa dihanyutkan.

Bayi tersebut ditemui dalam keadaan terlangkup oleh seorang pekerja kontraktor pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang menjalankan tugas-tugas pembersihan di situ pada jam 11 pagi.

Rafu’si Ahmad, 40, berkata, dia tiba di lokasi jam 10.30 pagi, sedikit lewat daripada kebia­saannya kerana hujan lebat pagi semalam.
Menurutnya, ketika mahu mengaut sampah di lubang perangkap tersebut, dia melihat satu objek terapung dan menyangkanya anak patung.

“Saya kaut ia naik ke atas dan melihat ada tali pusat, baru saya sedar ia adalah mayat bayi.

“Ketika itu saya berasa amat terkejut dan berasa amat kasihan dengan nasib bayi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rafu’si kemudiannya bertindak memanggil seorang pemancing yang berada berhampiran untuk mendapatkan bantuan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bayi tersebut dipercayai dibuang kurang daripada 24 jam daripada masa ditemui.

Katanya, mayat bayi tersebut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini, diminta hubungi balai polis terdekat,” katanya.

Remaja lelaki maut ditetak



NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
7 April 2012
SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki maut ditetak di tempat letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25 di sini lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, mangsa yang berusia 17 tahun ditetak dengan parang di bahagian bawah ketiak dan rusuk kiri.

Difahamkan, berlaku pertengkaran antara mangsa dengan sekumpulan lelaki sebelum dia ditetak.

Orang asli maut tertembak diri sendiri ketika memburu



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2012
PEKAN - Seorang Orang Asli maut akibat tertembak diri sendiri di perkampungan Orang Asli Air Hitam dekat Paloh Hinai di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu, mangsa Awang A/L Seman, 29, mati serta merta di tempat kejadian akibat parah di mata dan kepala. Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman berkata difahamkan mangsa bersama isterinya yang berumur sekitar 50-an keluar berburu ayam hutan di hutan
berhampiran dengan membawa sepucuk senapang patah.

"Dipercayai mangsa secara tergesa-gesa dan bergegas mencapai senjata api yang diletakkan di bakul motosikalnya setelah ternampak seekor ayam hutan melintas.

"Pada masa yang sama, senapang patah itu meletup secara tiba-tiba lalu mengenai mata kanannya sebelum dia rebah ke tanah," katanya hari ini.
 
Yahaya berkata mangsa yang cedera teruk di mata dan muka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum isterinya membuat laporan polis.

Beliau berkata polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan dan mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

"Siasatan awal mendapati senapang patah terbabit milik bapanya dan mangsa tidak memiliki lesen senjata api yang sah. Kita juga sedang siasat bagaimana senjata api tersebut berada dengan mangsa," katanya.-  Bernama

Pengganggur Bangladesh ditemui mati

KUALA LUMPUR - Seorang warga Bangladesh menelefon rakan serumahnya memberitahu ada orang sedang mengetuk pintu rumah kedai yang didami mereka sebelum dia ditemui mati dengan kesan kelar di leher di tingkat empat rumah tersebut di Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Lama di sini hari ini.
Mayat warga Bangladesh berumur 23 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh rakan serumahnya itu kira-kira 10 pagi yang bergegas pulang ke rumah berkenaan setelah menerima panggilan kecemasan dari mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Aida Abdul Hamid memberitahu pemberita hari ini polis percaya kematian mangsa mempunyai kaitan dengan kes samun.

"Dua bilik di rumah itu telah digeledah dengan keadaan barangan berselerak dan polis percaya penjenayah telah datang untuk menyamun sebelum mengelar leher mangsa.

"Kami juga dimaklumkan, sebelum kejadian berlaku mangsa telah menelefon rakan serumahnya dan memberitahu ada orang sedang ketuk pintu rumah itu dengan kuat," katanya.
Mayat penganggur berkenaan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Parah kena tembak



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2012
Parah kena tembak
BALING - Seorang tukang kasut cedera parah setelah ditembak oleh individu tidak dikenali di kawasan berbukit Air Tepus, Hutan Simpan Ulu Muda, tiga hari lalu.

Mangsa, Mat Isa Yaakup, 45, dari Kampung Charuk Bunting bersama seorang rakannya dikatakan keluar dari rumah pada 31 Mac lalu untuk mencari ikan tengas di kawasan hutan tersebut.

Ayah kepada tiga orang anak itu rebah setelah terkena tembakan pada lewat petang 4 April lalu.

Keadaan itu mengakibatkan rakan mangsa turun semula dari kawasan bukit untuk membuat laporan polis seterusnya mendapatkan bantuan penduduk setempat.

Sehubungan itu, gerakan menyelamat mangsa dilancarkan oleh polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.

Anggota penyelamat terpaksa meredah hutan dan bukit lebih lapan jam untuk sampai ke kawasan mangsa ditembak.

Berikutan keadaan jalan yang tidak sekata, berisiko malah mengambil masa yang terlalu lama, pihak berkuasa terpaksa menggunakan bantuan helikopter untuk membawa mangsa keluar dari kawasan hutan itu.

Sementara itu, isteri mangsa, Faridah Yaakup, 39, berkata, suami hanya memberitahunya akan ke Bukit Lasau tanpa menjelaskan tujuannya.

“Suami saya memang sering ke Bukit Lasau untuk mencari ikan tengas. Dia akan pergi bersama rakan-rakannya dan akan bermalam selama beberapa hari di kawasan hutan itu.

“Selalunya, suami akan pulang dengan keadaan selamat malah akan membawa hasil sungai dan hutan yang banyak untuk dijual,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia tidak begitu risau kerana suaminya tahu selok belok dalam kawasan hutan tersebut sehinggalah dimaklumkan jiran bahawa suaminya cedera terkena tembakan.

“Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan berdoa agar suami berjaya diselamatkan. Tambahan pula, kebanyakan penduduk mengatakan suami saya telah meninggal dunia di atas bukit itu.

“Saya runsing kerana tidak mendapat maklumat tepat sehinggalah dimaklumkan polis bahawa suami selamat tetapi parah.,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa dijangka dibawa keluar dengan helikopter," katanya.

Difahamkan, ketika berita ini ditulis, usaha menyelamat dihentikan kerana hujan.