KUANTAN: Seorang pekerja sebuah hotel bajet di Jalan Pasar, di sini, yang melakukan pemeriksaan di sebuah bilik di hotel berkenaan terkejut apabila menjumpai mayat seorang lelaki di dalam bilik itu, semalam.
Mayat seorang pemandu teksi, Mat Rosli Karim, 56, dari Kemaman, Terengganu ditemui dalam keadaan terbaring oleh pekerja hotel itu, kira-kira jam 12 tengah hari.
Mat Rosli sepatutnya mendaftar keluar jam 12 tengah hari semalam, tetapi dia gagal berbuat demikian, sekali gus menimbulkan rasa curiga pekerja hotel terus melakukan pemeriksaan di bilik disewa mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata pekerja berkenaan mengetuk pintu bilik mangsa beberapa kali, tetapi tiada sebarang jawapan.
“Curiga dengan keadaan itu, pekerja itu membuka pintu bilik itu menggunakan kunci pendua.
“Sebaik pintu dibuka, pekerja berkenaan terkejut apabila melihat mangsa terbaring di atas lantai dan bergegas memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.