
IKAN belanak ditemui mati di Kampung Benteng Laut dan Kampung Benteng Tengah, Muar, Johor, semalam.
MUAR 4 April - Penduduk Kampung Benteng Laut dan Kampung Benteng Tengah, dekat Parit Jawa, di sini gempar apabila ribuan bangkai ikan belanak ditemui terapung-apung hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bangkai ikan spesies air masin tersebut memenuhi tebing parit kampung itu hingga ke jeti nelayan berdekatan.
Keadaan itu dipercayai akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan ikan tersebut yang datang dari laut berhampiran terperangkap di pintu tali air Parit Jawa sebelum memasuki parit di kampung berkenaan.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Uji berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi ketika membuka warungnya yang berada di tepi parit Kampung Benteng Laut.
"Saya lihat banyak ikan yang mati timbul di sekitar tebing sungai. Saya bimbang jika kejadian ini disebabkan oleh pencemaran air seperti yang berlaku beberapa tahun lalu akibat pembuangan sisa kilang oleh sebuah syarikat membuat plastik di sini.
"Jumlah ikan yang mati itu agak banyak dan hanyut hingga ke muara sungai yang berada kira-kira 500 meter dari sini," katanya.
Penjaga pintu air Parit Jawa, Mohd. Zainul Ayub, 38, berkata, ikan tersebut tidak boleh bertahan di dalam air tawar menyebabkannya mati dan memenuhi parit di sekitar kampung berkenaan hingga ke jeti nelayan.
Menurutnya, sebelum ini tali air di kawasan itu kering akibat kemarau sejak Januari lalu dan keadaan tersebut menyebabkan pihaknya perlu menyekat laluan air dari parit untuk menakung air sebelum dilepaskan ke laut bagi kemudahan nelayan yang perlu berulang alik ke laut.
Berikutan itu, ikan belanak itu memasuki parit tetapi disebabkan air hujan mula memenuhi kawasan itu, ia mati kerana tidak mampu bertahan dalam air tawar.
"Kerana itu kita lihat hanya spesies ini saja yang mati dan bukan ikan air tawar lain seperti haruan dan tilapia yang hidup dalam air tawar.
"Pada kebiasaannya, ikan belanak akan memasuki parit apabila air pasang dan tidak kembali semula ke laut kerana parit dipenuhi air masin, cuma kali ini apabila hujan lebat dan kandungan air sudah berubah, ia tidak boleh bertahan dan mati," katanya.