Search This Blog

Wednesday, April 4, 2012

Lelaki terselamat kereta terjunam ke Selat Tebrau

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki terselamat apabila sempat keluar dan berenang ke tebing selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam laut Selat Tebrau, berdekatan Tambak Johor, di sini, hari ini. 

Mohd Amin Miran, 31, dari Pekan Nenas, Pontian, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar. Beliau dipercayai hilang kawalan kenderaannya selepas bergesel dengan sebuah bas lalu melanggar tembok konkrit dan terjunam ke dalam laut.
SEBUAH Myvi ditarik keluar menggunakan kren selepas terbabas dan terjunam sedalam tiga meter ke dasar laut Selat Tebrau, berdekatan Tambak Johor, hari ini. - Foto Zain Ahmed (berita lanjut) 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, M Vijayan, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 10.25 pagi dan menghantar pasukan seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru termasuk tujuh anggota dari unit skuba.

"Dua kren digunakan bagi mengangkat dan mengeluarkan kereta yang tenggelam kira-kira tiga meter ke dasar laut," katanya. 

Operasi berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam. - BERNAMA

Khalwat 2 kali dalam 10 jam


PASANGAN remaja ditahan  dua kali dalam tempoh 10 jam   di hotel murah dan rumah sewa sekitar  Kubang Pasu, semalam.
PASANGAN remaja ditahan dua kali dalam tempoh 10 jam di hotel murah dan rumah sewa sekitar Kubang Pasu, semalam.
Malam buat maksiat di rumah sewa, pagi dicekup lagi di motel 

JITRA: Tidak serik - itulah gambaran sesuai bagi sepasang kekasih yang ditangkap khalwat dua kali dalam tempoh 10 jam oleh kakitangan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu di dua lokasi berbeza di sini, semalam. Pasangan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 19 dan 20 tahun itu kali pertama ditangkap berdua-duaan di sebuah rumah sewa di Taman Mahsuri di sini, jam 12.05 tengah malam kelmarin, dan dicekup kali kedua di sebuah motel murah di Taman Ehsan, dua kilometer dari lokasi pertama kira-kira jam 10 pagi semalam.
Sumber pejabat agama itu berkata, mereka ditahan ketika serbuan dilakukan di rumah sewa pelajar perempuan dan ketika pemeriksaan dilakukan pasangan itu berada berdua-duaan dalam sebuah bilik, manakala seorang rakannya tidur di bilik berasingan. 

Pelajar perempuan itu berasal dari Kampung Sungai Korok di sini dan rakan serumahnya belajar di semester pertama sebuah IPTA di sini, manakala teman lelakinya yang berasal dari Kampung Teluk Malik, juga di sini belajar di sebuah IPTA lain. 

Sumber berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota penguat kuasa pejabat agama membuat pemeriksaan dan mendapati pintu rumah itu berkunci dari dalam. 

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu dibuka remaja perempuan yang berpakaian lengkap dan membenarkan pemeriksaan dijalankan dan hasilnya mendapati dua motosikal, termasuk motosikal lelaki itu diletakkan di ruang tamu rumah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Juruterbang maut di udara


STURGEON BAY (Wisconsin): Seorang wanita berusia 80 tahun berjaya mengemudi sebuah pesawat ringan mendarat selamat ketika juruterbang - juga suaminya - menghembus nafas terakhir di udara.
Pegawai polis daerah Door, Terry Vogel, berkata menara kawalan dimaklumkan kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan) bahawa pesawat Cessna itu mengalami masalah tidak jauh dari Sturgeon Bay.

Kata Vogel, juruterbang berusia 81 tahun itu tiba-tiba pengsan, memaksa isterinya mengambil alih tugas mengawal pesawat berkenaan.
Seorang juruterbang bertauliah kemudian mengiringi pesawat itu untuk mengajar wanita terbabit.

Sejam kemudian, enjin kanan pesawat itu kehabisan minyak, namun wanita terbabit berjaya mendarat di Lapangan Terbang Cherryland dengan sedikit kecederaan. - AP

Penduduk kejar siswa didakwa cetus kecoh


KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan mahasiswa yang cuba mengganggu rundingan secara aman 34 penduduk flat PKNS, Kampung Kerinchi bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang enggan mengosongkan rumah masing-masing untuk pembangunan kawasan itu menyebabkan sebahagian penduduk marah dan mengejar serta memaki-hamun kumpulan terbabit.
Kejadian berlaku jam 10.30 pagi semalam, selepas sebahagian daripada 433 penduduk yang bersetuju mengosongkan rumah mereka mula berang dipercayai kerana kumpulan terbabit cuba menghasut segelintir penduduk lain supaya tidak berpindah.

Difahamkan, penuntut yang cuba mencetuskan suasana kekecohan itu diketuai pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris, (UPSI) Adam Adli, 22, yang digantung tiga semester selepas menurunkan bendera gambar Presiden Umno di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra, 17 Disember lalu, selain disertai beberapa rakannya.
Selain Adam, turut berada di lokasi itu ialah penuntut Universiti Malaya (UM), Safwan Anang yang sebelum ini mendakwa dipukul polis ketika terbabit demonstrasi haram di hadapan UPSI pada malam Tahun Baru lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, kekecohan bermula apabila kumpulan mahasiswa terbabit berada di tingkat tiga sebuah flat yang akan dirobohkan dan menyebabkan beberapa individu lain marah sambil menjerit mengarahkan mereka turun serta tidak mencampuri urusan pengosongan bangunan itu.

“Berlaku sedikit kekecohan ketika proses pengosongan, namun keadaan dikawal sebelum polis membawa keluar beberapa individu yang hampir dipukul penduduk selepas datang secara tiba-tiba dan naik ke sebuah flat berkenaan. “Kami turut menerima laporan Adam Adli yang mendakwa dipukul dan dikejar beberapa penghuni yang dipercayai berang dengan tindakan penuntut terbabit campur tangan urusan pengosongan flat berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Subahat samun kakak ipar


NIBONG TEBAL: Seorang wanita bukan saja sanggup bersubahat dengan seorang lelaki untuk menyamun rumah kakak iparnya di Taman Cempaka, dekat Batu Kawan, kelmarin, malah turut mencederakan mangsa menggunakan pemutar skru.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, wanita berusia 32 tahun bersama seorang lelaki, datang ke rumah kakak iparnya yang berusia 45 tahun bagi mendapatkan pertolongan apabila mendakwa kereta mereka rosak.

Bagaimanapun, tiba-tiba wanita terbabit menarik kakak iparnya ke dalam sebuah bilik sebelum mengugut mencederakan mangsa jika tidak menyerahkan barang berharga dan wang tunai.
Mangsa yang ketakutan menyerahkan dua telefon bimbit, sebentuk cincin, dua gelang, dua rantai serta wang tunai RM2,500.

Masih tidak berpuas hati dengan apa diperoleh, wanita berkenaan naik berang lalu mencederakan mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan Honda CRV milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, mangsa mendakwa kerugian kira-kira RM125,000, termasuk kehilangan keretanya dalam kejadian itu.
Menurutnya, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB) kerana luka dan lebam di dahi, kepala, tangan dan leher.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, ibu mangsa berusia 62 tahun tidur dalam rumah berkenaan, tetapi tidak dicederakan.
“Mangsa mengesahkan wanita yang menyamunnya itu adalah adik iparnya, tetapi tidak mengenali lelaki berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis kini memburu wanita berkenaan bagi membantu siasatan serta berusaha mengenal pasti identiti lelaki terbabit.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui lokasi wanita terbabit, Zarina Begum Sujaudeen berusia 32 tahun, diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Alamat terakhir wanita berkenaan adalah di No 181, Jalan Bendahara, Happy Garden, Ipoh Perak.

Dosa korban


PETALING JAYA: Seorang penternak lembu kerugian lebih RM10,000 apabila ditipu seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang kononnya menjadi orang tengah bagi urusan membeli lembu dan kambing untuk ibadat korban ahli kariah Surau al-Munawwarah, Apartmen Lagoon Perdana di Bandar Sunway, di sini.
Penolong Setiausaha surau itu, Muhammad Syafiq Khor Abdullah berkata, penipuan dilakukan lelaki terbabit terbongkar selepas penternak lembu itu menemui jawatankuasa surau pada Januari lalu berhubung pembayaran empat lembu dan dua kambing yang digunakan untuk ibadat korban sempena Aidiladha tahun lalu yang belum diterimanya.

Menurutnya, pihak jawatankuasa surau terkejut apabila diberitahu penternak lembu itu belum menerima baki bayaran RM10,164 sedangkan wang hasil kutipan daripada ahli kariah yang mengambil bahagian melaksanakan ibadat korban sudah dibayar kepada ‘Datuk’ terbabit yang berusia 36 tahun.
“Surau al-Munawwarah menawarkan harga RM350 untuk satu bahagian korban penuh pada tahun lalu sebelum lelaki terbabit yang juga penghuni apartmen menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi urusan membeli lembu dan kambing.

“Kami menyerahkan wang RM2,000 sebagai deposit daripada jumlah keseluruhan RM11,164 selepas lelaki itu mendakwa sudah mendapatkan haiwan berkenaan daripada seorang penternak di Banting,” katanya.

Katanya, pihak surau menyerahkan baki bayaran seminggu sebelum Aidiladha dan memikirkan urusan pembayaran selesai berikutan penternak berkenaan menghantar lembu dan kambing pada hari dijanjikan.
“Penternak lembu itu mendakwa dia hanya menerima deposit RM1,500, manakala baki bayaran yang diterima dalam bentuk cek tidak dapat ditunaikan apabila pihak bank memberitahu ia cek tendang.

“Kami terkejut kerana sudah menyerahkan wang RM11,164 kepada lelaki terbabit untuk harga lembu itu,” katanya.
Muhammad Syafi q berkata, pihak jawatankuasa surau dengan kerjasama anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) apartmen berkenaan kemudian membantu penternak lembu itu mengesan lelaki itu, namun gagal kerana dipercayai sudah menghilangkan diri.

“Lebih dua bulan kami cuba mengesan lelaki itu terbabit termasuk berkunjung ke rumahnya selepas telefon bimbitnya dimatikan, tetapi dimaklumkan lelaki terbabit sudah tidak menetap di kediaman itu.

“Difahamkan, lelaki terbabit melakukan kegiatan sama di beberapa surau sekitar Bandar Sunway sebelum kami dan penternak lembu sepakat membuat laporan di Balai Polis Bandar Sunway, kelmarin,” katanya.

Disamun depan rumah


PETALING JAYA: Seorang peniaga berdepan detik mencemaskan apabila disamun empat lelaki berparang yang menaiki kereta mewah yang berhenti di depan rumahnya dan disangkakan kenalan jiran di Old Town, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 52 tahun tiba di rumahnya dari tempat kerja apabila dihampiri tiga lelaki menaiki kereta BMW, manakala seorang lagi menunggang motosikal.

Menurut sumber, keempat-empat lelaki terbabit tiba-tiba menyerang mangsa dan mengacu sebilah parang ketika mangsa menutup pintu pagar rumahnya.

Pemilik produksi dakwa disamun polis


SEREMBAN: Seorang lelaki dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes remaja perempuan berusia 13 tahun mendakwa dirogol di sebuah hotel di Senawang di sini, empat tahun lalu.
Lelaki itu dikenali sebagai Nor Azli Zainal Abidin yang bernombor kad pengenalan 801027-05-5387 dan beralamat terakhir di Taman Guru, Sungai Landak, Ampangan, di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, berdasarkan laporan diperoleh, mangsa mendakwa baru mengenali lelaki itu selama lima hari sebelum dirogol di hotel berkenaan pada 21 Jun 2008.
“Dalam kejadian jam 9.30 pagi, remaja itu dipercayai berjumpa suspek (Nor Azli) di Sikamat sebelum mengikutnya menaiki motosikal untuk bersiar-siar.

“Sejurus tiba di hotel itu, suspek merogol mangsa. Bapa mangsa yang mengesyaki perkara buruk berlaku kepada anaknya membuat laporan polis,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, sepasukan anggota polis memberkas lelaki berkenaan di sekitar daerah ini.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Oktober 2008, gagal dikesan sehingga sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, Saiful Azly meminta bantuan orang ramai mengesan suspek untuk didakwa di mahkamah.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6014999/ 06-6033222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Kembar lemas jala ikan


NIBONG TEBAL: “Saya cuba tarik tangannya, tetapi tidak berupaya, saya juga tidak berani terjun ke dalam sungai bagi menariknya kerana tidak tahu berenang,” kata Muhd Amirul Rosli, 16, adik kembar kepada Muhd Taufik yang mati lemas selepas tergelincir ketika cuba melepaskan jala yang tersangkut kayu di Sungai Kerian di Kampung Ampang Jajar, kelmarin.
Melihat abangnya dibawa arus, dia terus mendapatkan bantuan sepupu yang tinggal tidak jauh dari sungai dan sepupunya yang bergegas ke sungai, terjun serta menyelam bagi mencari Muhd Taufik tetapi gagal.

“Saya tidak sangka abang yang kelihatan gembira sejak beberapa hari lalu, meninggalkan saya dan keluarga buat selama-lamanya,” katanya yang tinggal bersama abang serta emaknya selepas bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, Mei tahun lalu.
Dalam kejadian itu, Muhd Amirul dan Muhd Taufik bersama sepupu mereka yang berusia 12 tahun, pergi menjala di sungai berkenaan yang terletak 10 meter dari rumah jam 4.15 petang.

Selepas mendapat beberapa ekor ikan, Muhd Amirul berehat di tebing sungai manakala Muhd Taufik dan sepupunya yang juga berada di tebing, cuba melepaskan jala mereka yang tersangkut pada kayu.

Bagaimanapun, Muhd Taufik dikatakan gagal mengimbangi dirinya lalu tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Polis yang menerima laporan pada jam 5 petang, mendapatkan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal bagi mengesan mangsa.

Anggota Unit Skuba bomba gagal menemui mangsa selepas menyelam di sekitar kawasan dia dilaporkan terjatuh sebelum operasi menyelamat dihentikan jam 7 malam.
Bagaimanapun, operasi mencari mangsa yang bersambung jam 8.14 pagi semalam menemui mayat mangsa tertiarap enam meter di dasar sungai.

Masuk longkang pulang kenduri


KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat produksi mendakwa kerugian lebih RM40,000 selepas disamun sekumpulan lima lelaki dipercayai anggota polis ketika memandu kenderaan disewa syarikatnya di Jalan Tangsi, di sini, 19 Mac lalu.
Lebih mengecewakan lelaki terbabit, dia bukan saja disamun, malah turut dipukul dan dikurung lebih 12 jam di sebuah hotel di ibu negara sebelum dibebaskan dan diperas ugut lima lelaki terbabit.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alif, 22, berkata, kejadian berlaku jam 10.45 malam ketika dia memandu Honda Civic yang disewa sebelum dihalang sebuah van.
“Beberapa saat selepas itu, empat lelaki turun daripada van berkenaan sambil seorang daripada mereka menunjukkan kad kuasa polis dan mengarahkan saya keluar.

“Saya enggan menurut kehendak mereka, namun seorang daripada lelaki itu merosakkan pemegang pintu kenderaan sebelum memaksa saya duduk di belakang manakala seorang lagi memecut kenderaan berkenaan,” katanya yang datang ke Balai Berita, semalam.

Alif berkata, dia dibawa ke Stadium Badminton Cheras, kononnya untuk berjumpa seorang lelaki berpangkat sarjan mejar bagi menyelesaikan masalahnya.
Beberapa minit selepas itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai sarjan mejar muncul dan memberitahu mangsa melakukan pelbagai kesalahan dan perlu membayar RM50,000 jika mahu rekod kesalahannya dipadam.

“Mereka merampas dompet sebelum menumbuk dan menendang perut saya. “Saya dibawa ke dua bank di Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut untuk mengeluarkan RM3,000 dan RM5,000.
“Lelaki terbabit memberitahu wang itu tidak cukup untuk memadam rekod kesalahan lampau saya dan mengarahkan supaya saya meminjam duit daripada sesiapa untuk diberikan kepada mereka, namun saya hanya mendapatkan tambahan RM3,000 daripada seorang rakan,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Alif dibawa ke perkarangan Balai Polis Pudu di Cheras untuk berjumpa seorang lagi lelaki mengaku cif inspektor dan memberitahu wang yang diberikannya sebanyak RM16,450 masih tidak mencukupi.

Alif kemudian dibawa ke sebuah hotel di Jalan Raja Laut dan dikurung dengan tangan bergari sambil dijaga tiga lelaki yang tidak dikenalinya.

“Keesokan harinya, jam 8.30 pagi, dua lelaki mengaku koperal dan sarjan membawa saya keluar untuk mengeluarkan lagi wang dari dua bank di Sentul Raya sebanyak RM 8,000,” katanya.

Menurutnya, akibat bimbang keselamatannya, dia mengambil masa sehari sebelum melaporkan perkara itu kepada polis di Balai Polis Tun H S Lee, di sini, pada 21 Mac lalu.

Sebaik saja mendapat tahu mangsa membuat laporan polis, lelaki terbabit meninggalkan kereta yang dilarikan mereka di sebuah stesen minyak di Jalan Kuching.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mengesahkan menerima laporan itu dan berkata empat suspek ditahan dan dua daripadanya anggota polis. Katanya, anggota terbabit kini digantung tugas dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

‘Ustaz’ urus janin


IMBAS...wartawan Harian Metro menjalani ujian pengimbasan di klinik terbabit.
IMBAS...wartawan Harian Metro menjalani ujian pengimbasan di klinik terbabit.
KUALA LUMPUR: Bagai membunuh kandungannya sendiri, namun masih memilih untuk menguruskan janin mengikut kaedah Islam.
Itu pilihan rata-rata ibu muda terlanjur yang memilih pakej ditawarkan dalam perkhidmatan mengugurkan kandungan secara haram di beberapa klinik swasta di ibu kota pada harga RM1,800 hingga RM2,000 mengikut usia kandungan.
Dengan berselindung di sebalik papan tanda hospital bersalin, beberapa klinik swasta di ibu kota kini dikesan ‘memancing’ pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan menggugurkan kandungan secara haram bersama khidmat uruskan janin mengikut kaedah Islam dengan mendakwa mengupah seorang ‘ustaz’ pada harga RM100 setiap janin.

Hasil tinjauan dan penyamaran wartawan Harian Metro di beberapa klinik swasta mendapati klinik ini dilengkapi kemudahan wad dan didatangi pelanggan saban hari tanpa mengira waktu.

Perkhidmatan menggugurkan kandungan secara haram itu difahamkan dilakukan jururawat kanan.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Lubang sebesar kereta di lantai


NGERI...keadaan lubang kesan letupan bom.
NGERI...keadaan lubang kesan letupan bom.
HATYAI, SONGKHLA: Lubang sebesar kereta terbentuk di lantai aras B2 Hotel Lee Garden Plaza di Jalan Prachatipat di sini, akibat letupan bom yang menggegarkan bangunan setinggi 33 tingkat menempatkan hotel dan pusat beli-belah, Sabtu lalu.
Tinjaun Harian Metro kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan semalam, mendapati lebih 200 kereta tersadai di aras berkenaan dengan separuh daripadanya musnah sama sekali akibat letupan bom yang dimuatkan dalam sebuah kereta dipercayai Honda Jazz.
Bangkai kenderaan yang diletupkan itu juga dilihat terpelanting ke tingkat tiga aras bawah tanah berdekatan laluan turun ke tingkat itu yang dianggarkan sejauh 30 meter.

Keadaan gelap dan berdebu menyelubungi aras bawah tanah apabila operasi membersihkan tempat letak kereta di situ masih belum dilakukan, selain bekalan elektrik ke seluruh bangunan turut diputuskan.

Kawasan lantai yang berlubang itu terletak betul-betul di bawah restoran makanan segera di bangunan terbabit yang dihubungkan melalui eskalator, malah lantai, siling dan dinding konkrit juga berlubang akibat letupan.





Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Pelajar Saudi tikam sepupu ketika mabuk


CHRISTCHURCH: Pelajar Arab Saudi yang menikam sepupunya berulang kali dengan serpihan kaca lampu dalam bilik sebuah hotel di Queenstown didenda AS$3000 (RM9,000).
Abdulraham Tariq Alghamdi, 19, didakwa mencederakan dengan niat dalam kejadian yang berlaku Februari lalu di Hotel The Mercure, walaupun ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk.

Pelajar kursus bahasa Inggeris di Christchurch itu mengaku bersalah dan diberi amaran hukuman penjara.
Abdulraham pergi ke Queenstown dengan mangsa, Osama Mohammed Eidah, 21, dan dua lagi rakan lelaki.

Kedua-duanya keluar untuk minum dan kembali ke hotel sebelum pergaduhan tercetus apabila Abdulraham mahu berpatah semula ke pusat bandar.

Pelajar itu yang tidak mempunyai kesalahan jenayah lain sebelum ini, akan dihantar pulang ke negara asalnya beberapa hari lagi. - Agensi

Amuk: 7 maut di kolej agama


ANGGOTA keselamatan berkawal berhampiran sebahagian daripada mayat mangsa pembunuhan lelaki keturunan Korea di Oakland, California, semalam.
ANGGOTA keselamatan berkawal berhampiran sebahagian daripada mayat mangsa pembunuhan lelaki keturunan Korea di Oakland, California, semalam.
OAKLAND: Tujuh terbunuh dan tiga cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah kolej keagamaan swasta berhampiran San Francisco, semalam.
Suspek, seorang penduduk tempatan warga Korea menyerah diri sejurus selepas serangan itu.

Menurut saksi, lelaki terbabit berdiri dalam sebuah kelas di Universiti Oikos di Oakland Timur sebelum menembak dada seorang mangsa dari jarak dekat.
Katanya, penyerang terbabit kemudian melepaskan tembakan rambang pula di kelas berkenaan.

Digambarkan sebagai “gila,” suspek terbabit kemudian menembak lagi di sekitar kolej berkenaan.

“Mangsa ditemui di beberapa lokasi apabila pihak berkuasa tiba sejurus selepas dimaklumkan melalui banyak panggilan telefon kecemasan 911,” katanya.
Sementara itu, polis belum mendedahkan jenis senjata api yang digunakan, atau berapa banyak senjata ada pada suspek.

Kira-kira 35 orang berada di dalam atau berhampiran bangunan kolej itu ketika kejadian.
Sumber berkata, 10 orang terkena tembakan dan lima daripadanya mati di tempat kejadian, manakala dua lagi di hospital.

Orang ramai pula terpaksa berlindung dalam kelas atau pejabat.

Ketua Polis Oakland, Howard Jordan, berkata suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta selepas insiden itu, tetapi berjaya ditahan berhampiran pasar raya Safeway di kawasan Alameda.

“Suspek yang dipercayai penduduk Oakland menyerah diri kepada polis,” katanya.

Menurut Jordan, suspek dikatakan pernah belajar di kolej berkenaan dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Dia dikenali sebagai One Goh dan berusia 43 tahun,” katanya.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, melaporkan lelaki terbabit bernama Ko Won-Il dan memiliki kerakyatan AS.

Laman sesawang Universiti Oikos mendakwa, mereka menawarkan pendidikan mengikut standard tertinggi dengan nilai Kristian.

“Universiti Oikos mempunyai matlamat dan misi khusus untuk menawarkan program dalam bidang kajian keagamaan, muzik dan kejururawatan,” katanya. Saksi, Lisa Resler, berkata dia sedang meninggalkan Safeway apabila melihat seorang lelaki Asia memakai topi ditahan anggota keselamatan pasar raya itu.

“Dia kelihatan keliru ketika digari,” katanya. Angie Johnson, 52, berkata seorang gadis meninggalkan bangunan itu dengan kesan darah di tangannya sambil menjerit mendakwa ditembak. - AFP

Suspek serangan Hatyai ditangkap


BANGKOK 3 April - Polis Thailand hari ini menahan seorang suspek pemisah dipercayai mempunyai kaitan dengan pengeboman di Hotel Lee Gardens di Hatyai pada 31 Mac lalu.
Samlee Puluduereh, 34, ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di daerah Mae Lan, wilayah Pattani. Turut dirampas semasa serbuan adalah sepasang playar dan dawai elektrik sepanjang 100 meter.
Pegawai berkata, Samlee menyerupai seorang daripada tiga individu yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta di hotel berkenaan.
Polis turut mengenal pasti beberapa lagi suspek yang dipercayai bersubahat dengan ketua kumpulan pemisah Sahudin Tohjehmah dalam kejadian pengeboman di selatan Thai tersebut.
Menurut sumber, Sahudin dalam letupan di Yala dipercayai dibantu Saifulloh Sahfru, yang juga rakan kepada Faisol Hayisama-ae, individu dikehendaki berhubung pembabitannya dalam serangan bom di lapangan terbang Hatyai pada 2005.
Selain itu, Sahudin juga disyaki dibantu anggota pemisah dikenali sebagai Abdulloh Pula dan Masoreh Tueramae.
"Mereka berkemungkinan merancang serangan tersebut pada hujung minggu lalu di kampung Byte, daerah Muang seminggu sebelum kejadian," kata sumber.
Sumber memberitahu, bom yang digunakan dalam serangan di Hotel Lee Gardens di Hatyai berkemungkinan dipasang sendiri oleh Masoreh sebelum dia meletakkan kenderaan tersebut di tempat letak kereta bawah tanah.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Yuthasak Sasiprapa hari ini menolak untuk mengadakan dialog dengan pemberontak pemisah yang dipercayai mendalangi serangan di selatan Thai berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan sumber risikan yang diperolehi, serangan oleh kumpulan terbabit juga dijangka meningkat bulan ini dan bulan depan. - AGENSI

Polis edar rakaman CCTV letupan tandas

Gambar CCTV yang merakamkan suspek yang dipercayai meletakkan bahan letupan di tandas LRT di Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 28 Mac lalu.


KUALA LUMPUR 3 April - Polis hari ini mengedarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan imej dipercayai seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes letupan mangkuk tandas sehingga mencederakan seorang pemuda di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai di sini Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, rakaman tersebut menunjukkan individu yang memakai topi itu sedang memasuki tandas lelaki di stesen tersebut.
"Kita menjejaki individu itu bagi membantu siasatan berikutan dia merupakan orang terakhir sebelum berlaku letupan ketika mangsa menggunakannya.
"Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mengecam fizikal lelaki tersebut supaya dapat menyalurkan maklumat untuk siasatan lanjut.
"Setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada mangsa dan individu yang berada di lokasi ketika kejadian tetapi belum ada tangkapan dibuat berhubung kes tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Orang ramai yang mengenali lelaki di dalam rakaman CCTV tersebut diminta menghubungi polis di mana-mana balai berhampiran atau Rakan Cop di talian 03-21159999.
Dalam kejadian itu, Sakereen Basri, 22, dari Seksyen 1 Wangsa Maju di sini cedera di belakang badan dan paha selepas terkena serpihan mangkuk tandas yang meletup di stesen LRT tersebut.
Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku ketika Sakereen menggunakan tandas sebelum mangkuk tandas itu tiba-tiba meletup dipercayai berpunca daripada mercun.
Kes itu disiasat mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Pemuda mati ditembak



Mayat Mohamad Nazuri Mohd. Zain (gambar kecil) yang mati ditembak dalam kereta di Pekan Rantau Panjang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Zuharman Mohamad Nor


RANTAU PANJANG 3 April - Seorang pemuda maut manakala rakannya cedera di tangan setelah ditembak dua lelaki bermotosikal di Jalan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Rantau Panjang di sini hari ini.
Ketika kejadian pukul 11.15 pagi itu, mangsa, Mohamad Nazuri Mohd. Zain, 24, dan rakannya, Muhammad Sazuazi Saufi, 27, menaiki kereta Proton Wira menuju ke arah pekan ini.
Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal memotong di sebelah kiri dan melepaskan beberapa das tembakan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa yang duduk di kerusi penumpang depan meninggal dunia akibat terkena dua das tembakan di rahang dan dada kiri.
"Rakan mangsa kemudian memandu kereta tersebut dan berhenti di hadapan gerai menjual mi milik ibu mangsa. Selepas itu orang ramai menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan mayat mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa dan rakannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta pihaknya menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif kejadian.
Katanya, polis telah melancarkan Ops Tutup dan hebahan dibuat kepada semua kereta peronda untuk mengesan kedua-dua suspek.
"Polis menahan Muhammad Sazuazi untuk membantu siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Sementara itu, kakak Mohamad Nazuri, Sahera, 29, ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka sama sekali individu yang terbaring dan berlumuran dalam kereta di depan kedai ibunya ialah adiknya.
"Saya mulanya melihat kereta Proton Wira di hadapan kedai emak dan ingat itu kereta pelanggan yang ingin membeli beras. Saya kemudian melihat seorang lelaki berlumuran darah di kerusi depan dalam keadaan terbaring.
"Hampir 30 minit saya melihat mayat ini secara teliti dan baru dapat mengecam itu Nazuri, saya kemudian memberitahu ayah yang berada di kedai untuk menghubungi polis," katanya.
Menurut Sahera, adik bongsunya itu meninggalkan seorang isteri, Nur Natasya Dewi Megat Iskandar, 15, yang mengandung empat bulan.
Tambahnya, Mohamad Nazuri tidak menunjukkan sebarang perubahan dan seorang yang kuat berahsia.

Lelaki mati dalam kereta ditembak bekas pegawai tentera


KUALA LUMPUR 3 April - Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang ditemui dengan kesan tembakan di dalam kereta di Taman Tasik Titiwangsa di sini semalam, telah ditembak oleh seorang bekas pegawai tentera semasa suspek cuba menyamun mangsa di rumahnya di Kelana Jaya semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa yang berusia 67 tahun telah menembak suspek bersama tiga lagi rakannya ketika mereka cuba menyamunnya semasa mahu keluar kenderaan.
Difahamkan, pesara itu baru sahaja pulang selepas mengeluarkan wang RM50,000 untuk kegunaan syarikat di sebuah bank berhampiran.
Mangsa telah dikepung oleh sebuah Proton Wira dan sebuah Proton Waja sebelum suspek dan seorang lagi rakannya yang bersenjatakan parang keluar dan menghampiri kenderaan mangsa.
Pesara tersebut yang memiliki sepucuk pistol kemudian melepaskan dua das tembakan yang menyebabkan kedua-dua suspek tersebut lari.
Bagaimanapun, suspek warga Indonesia yang dikenali sebagai Riyanggo itu terkena tembakan di dada dan ditemui mati dipercayai ditinggalkan oleh rakan jenayahnya di dalam Proton Waja di tasik berkenaan.
Kenderaan tersebut menarik perhatian seorang awam yang curiga melihat seorang lelaki terbaring di tempat duduk penumpang hadapan yang disangka tidur pada pukul 3 petang.
Ketika mahu mengambil kenderaannya dua jam kemudian, orang awam itu terkejut apabila mendapati suspek yang memakai jaket hitam masih lagi terbaring dan menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan awal polis mendapati kereta yang digunakan suspek adalah kenderaan curi.
"Di dalam kereta itu, kita menemui dua bilah parang, pasport dan dua keping nombor plat palsu.
"Pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat ke atas suspek dan sedang mengesan tiga lagi rakannya dalam kejadian samun itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Chin Wah memberitahu, bekas pegawai tentera itu disahkan memiliki lesen senjata api.

Seleweng gas subsidi dibongkar



RAMLI Nayan (kiri) bersama dua pegawainya memeriksa peralatan digunakan oleh sindiket penyelewengan gas bersubsidi yang diserbu di Kilometer 22, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Rawang, semalam.


KUALA LUMPUR 3 April - Satu sindiket membina premis untuk dijadikan pusat pemindahan gas bersubsidi di dalam hutan di Kilometer 22, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Rawang dekat sini bagi mengelak kegiatan haram itu dikesan pihak berkuasa.
Di bangunan tidak bernombor itu, sindiket ligat menjalankan kegiatan memindahkan gas dari tong kegunaan domestik ke tong industri yang memberi mereka keuntungan lumayan.
Namun, kegiatan haram itu akhirnya terbongkar apabila sepasukan empat pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Gombak diketuai Ketuanya, Ramli Nayan membuat serbuan di premis berkenaan pada pukul 8 malam tadi.
Menurut Ramli, pihaknya mengambil masa sebulan untuk menjalankan risikan bagi memastikan premis berkenaan benar-benar terlibat dalam kegiatan haram itu sebelum membuat serbuan.
Beliau berkata, usaha membongkar kegiatan sindiket terbabit sukar kerana kedudukan premis yang terletak jauh dalam hutan dan hanya boleh dilalui menggunakan jalan tanah merah.
"Sindiket juga memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan meletakkan puluhan anjing untuk mengawal kawasan premis manakala lori membawa tong gas yang siap dipindah untuk dihantar ke pasaran ditutup dengan kanvas," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.
Ramli berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas kira-kira 500 silinder gas kegunaan domestik dan industri dianggarkan bernilai hampir RM100,000.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket berjaya ditahan tetapi dua lelaki warga asing yang bekerja di situ sempat melarikan diri.
Katanya, modus operandi sindiket adalah membeli gas domestik seberat 14 kilogram dari ejen jualan yang sah dan membawa tong gas itu ke premis berkenaan menggunakan lori yang bertutup kanvas bagi mengelak dikesan.
"Di premis ini, proses memindahkan gas ke silinder industri seberat 50 kilogram akan dilakukan oleh beberapa pekerja warga asing.
"Sindiket memperoleh keuntungan hampir RM100 bagi setiap silinder gas industri yang dijual," katanya sambil memberitahu siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun bagi individu jika disabitkan kesalahan.

Hasbie sebagai 'individu dihubungi'


BUTTERWORTH 3 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa nama Hasbie Satar dicatatkan pada ruangan 'individu dihubungi' pada senarai sembilan projek yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat kontraktor lima tahun lalu.
Pengarah Gallant Route Sdn. Bhd., Lim Eng Keong, 55, berkata, terdapat huruf H yang ditanda pada ruangan itu dan ia merujuk kepada Hasbie yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Menurut Eng Keong, terdapat juga ruangan 'amaun dicadangkan' pada senarai sembilan projek tersebut yang ditanda dengan beberapa angka peratusan iaitu jumlah yang akan dibayar kepada individu dihubungi itu.
''Syarikat saya adalah subkontraktor kepada syarikat Nadi Cergas Sdn. Bhd. (Nadi Cergas) iaitu syarikat kontraktor bumiputera kelas A yang terlibat dengan projek-projek kerajaan.
''Senarai itu disediakan atas arahan seorang lagi pengarah Gallant Route iaitu Tan Kim Chooi sebagai bayaran kepada individu dihubungi untuk projek kerajaan antara Jun 2007 hingga Mei 2008,'' katanya di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin.
Eng Keong menyatakan demikian sebagai saksi pendakwa kelapan dalam perbicaraan kes terhadap bekas Setiausaha Politik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed itu yang dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram sebanyak lebih RM2.13 juta.
Hasbie dituduh melakukan perbuatan itu di alamat 4-10 Pangsapuri Sri Molek, Jalan Laksamana, Telok Air Tawar, dekat sini pada 11 Februari 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam negara, Anselm Charles Fernandis dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanifah dan Hazril Harun manakala Hasbie diwakili dua peguam, Y. Sheelan Shamugam dan Mohamad Fairuz Masri.
Pada hari pertama perbicaraan yang bermula semalam, tiga pengarah syarikat iaitu Fauzi Idris dari Fauzi Haji Idris Sdn. Bhd.; Pengarah Ismafinie (Md) Sdn. Bhd., Nik Mohd Iskandar Nik Hassan; dan Pengarah Syarikat Seri Delima Anggun Sdn. Bhd., Rizal Sabtu telah dipanggil memberi keterangan.
Turut tampil sebagai saksi ialah dua pengarah urusan iaitu Datuk Izham Omar Merican dari Zambina Wawasan Sdn. Bhd. dan Abu Bakar Ismail dari PAE Builders Sdn. Bhd. serta Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Daliza Jamaluddin dan Pegawai Pentadbiran Kementerian Kewangan, Norhasliza Yahya.
Ketika memberi keterangan, pengarah syarikat dan pengarah urusan itu memaklumkan mereka telah ditawarkan beberapa projek kerajaan di seluruh negara melalui Nadi Cergas yang dijalankan secara rundingan terus.
Perbicaraan bersambung esok.

Pegawai perubatan nafi jantung Baharudin ditukar


KUALA LUMPUR 3 April - Seorang pegawai perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan dakwaan jantung arwah Baharudin Ahmad ditukar dengan jantung seorang lelaki lain yang meninggal akibat sakit jantung dan dibedah siasat pada hari yang sama.
Dr. Ferwahn Fairis Ab. Karim, 39, yang terlibat dalam kedua-dua bedah siasat Baharudin dan seorang lagi pesakit jantung bernama Sulaiman Ramli turut menafikan jasad kedua-dua lelaki itu dibedah siasat serentak.
"Bedah siasat ke atas Baharudin dikendalikan lebih kurang pukul 11 malam dan saya bertindak sebagai pembantu kepada Pakar Patologi Forensik, Dr. Khairul Anwar yang mengetuai bedah siasat itu.
"Bagaimanapun, saya terpaksa keluar dari meja bedah Baharudin bagi menguruskan kes kematian Sulaiman yang tiba di Jabatan Forensik pada pukul 3 pagi," katanya ketika disoal oleh peguam, Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili keluarga Baharudin.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah diadakan untuk menyiasat punca kematian Baharudin, 60, yang ditemui meninggal dunia ketika perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai tahun lalu.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh sama ada jasad Baharudin masih berada di ruangan bedah ketika jasad Sulaiman sedang dibedah, Ferwahn menafikannya.
"Sebelum memulakan bedah siasat ke atas Sulaiman, jasad Baharudin telah dibawa keluar dari ruangan bedah siasat tersebut," kata saksi inkues ke-22 itu.
Terdahulu, Ferwahn menyatakan, dia tidak mengetahui Sulaiman meninggal dunia di Petaling Jaya namun saksi itu mendakwa, secara am terdapat beberapa keadaan yang membolehkan mayat dari kawasan lain dihantar ke HKL.
Sementara itu, saksi inkues ke-23, Pakar Perubatan Kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, Dr. Sarah Shaikh Abdul Karim, 37, turut diminta oleh Ahmad Jufliz menjelaskan alasan jasad Baharudin dipindahkan dari tempat kejadian sedangkan pasukan paramedik mendakwa lelaki itu sudah mati.
Sarah menyatakan, ada beberapa situasi yang membenarkan mangsa dipindahkan seperti ahli keluarga mangsa tidak boleh menerima kematian, paramedik merasakan ada cara lain perlu dilakukan atau jika melibatkan keselamatan paramedik di tempat kejadian.
Bagi kes Baharudin, menurut Sarah beliau mengarahkan mayat Baharudin dibawa ke HKL kerana mengutamakan keselamatan paramedik.
"(Perhimpunan) Bersih bukan seperti hari-hari biasa, dalam perhimpunan sebegini, boleh berlaku provokasi emosi yang akan membangkitkan suasana agresif kepada semua pihak termasuk terhadap paramedik sendiri," katanya.
Ahmad Jufliz turut bertanya mengenai sama ada keadaan tubuh Baharudin yang patah tulang rusuk dan gigi serta lebam di bibir dianggap sebagai normal selepas kaedah menyelamat kardiopulmonari pernafasan (CPR) dilakukan ke atas lelaki itu.
Sarah menjelaskan, kesan-kesan tersebut adalah komplikasi biasa yang berlaku dalam kaedah CPR terutamanya jika pesakit berusia lanjut.
Inkues bersambung esok.

Lelaki amuk tembak mati 7 orang



Seorang mangsa yang cedera diangkat menggunakan pengusung selepas seorang lelaki yang mengamuk melepaskan tembakan rambang di Universiti Oikos di East Oakland, California, Amerika Syarikat, kelmarin. - Reuters


OAKLAND 3 April - Tujuh terbunuh, sementara tiga lagi cedera apabila seorang lelaki yang mengamuk melepaskan tembakan rambang di sebuah kolej keagamaan persendirian berdekatan San Francisco, semalam.
Menurut polis, suspek seorang penduduk tempatan berbangsa Korea, tiba-tiba muncul di sebuah kelas di Universiti Oikos di East Oakland, bertindak menembak tepat pada dada seorang pelajar sebelum melepaskan tembakan rambang.
Menurut saksi, penyerang yang kelihatan seperti 'orang tidak siuman' itu kemudian turut melepaskan tembakan di kawasan sekitar kolej berkenaan.
Bagaimanapun, polis tidak menyatakan waktu kejadian berlaku dan kemungkinan penyerang menggunakan lebih daripada satu senjata.
Ketika kejadian, seramai 35 orang dilapor berada berdekatan bangunan tersebut.
Daripada jumlah itu, 10 terkena tembakan dan lima orang daripadanya disahkan mati di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital.
Penyerang yang melarikan diri selepas kejadian tersebut bertindak menyerah diri di Jabatan Polis bandar Alameda, yang terletak berdekatan.
Polis masih lagi menyiasat punca kejadian dan penyerang dipercayai merupakan bekas pelajar kolej tersebut. - AFP

Bebas tuduhan cuba rogol, cederakan pegawai polis


KLANG 3 April – Seorang bekas pekerja pelabuhan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan cuba merogol dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.
Hakim Siti Noraidah Sulaiman memutuskan untuk tidak memanggil Wan Abdul Hanif Wan Abdul Hisham, 33, membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Wan Abdul Hanif yang kini bekerja sendiri didakwa cuba merogol serta menyebabkan kecederaan terhadap bekas kekasihnya yang berpangkat Asisten Supritendan (ASP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 28 tahun di bilik No. 111, Hotel Royal Comfort, Jalan Meru di sini pada pukul 10 malam, 12 Februari 2009.
Bagi pertuduhan cuba merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Sementara bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan pula, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sepanjang perbicaraan, sebanyak sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan.
Sementara itu, Wan Abdul Hanif yang ditemani bapanya, Wan Abdul Hisham Wan Tajuddin, 62, dilihat segera meninggalkan mahkamah sebaik sahaja prosiding selesai.
Sementara itu, peguam Gerard Lazarus pula memberitahu, beliau akan berbincang dengan Wan Abdul Hanif dan keluarga anak guamnya sama ada mereka mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas pegawai polis itu.

17 maut kebakaran di gudang pasar



Seorang penyiasat mengambil gambar lokasi kebakaran yang menyebabkan 15 pekerja migran maut di sebuah gudang di Kachalovsky, pinggir Moscow, Rusia, kelmarin. - REUTERS


MOSCOW 3 April - Sekurang-kurangnya 17 pekerja migran terbunuh dalam satu kebakaran di gudang pasar dua tingkat di sini hari ini, kata Kementerian Kecemasan.
Seorang jurucakap kementerian berkata, gudang tersebut digunakan oleh pekerja asing sebagai tempat tinggal sementara di selatan Kachalovsky.
"Pihak kementerian masih cuba mendapatkan maklumat lanjut mangsa yang terbunuh," katanya.
Menurut laporan berita, pekerja asing yang terbunuh itu dipercayai berasal dari Tajikistan.
Beberapa pasar di Moscow mendapatkan khidmat pekerja asing yang lebih murah dan tidak memberikan mereka tempat tinggal yang selesa.
Pihak bomba mengambil masa selama dua jam untuk memadamkan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada alat pemanas badan yang usang.
Pekerja kecemasan berkata, persekitaran tempat tinggal yang kotor dan sempit menyebabkan pekerja-pekerja migran terpaksa berhimpit ketika tidur dan tiada ruang untuk keluar menyelamatkan diri.
Polis berkata, mereka sudah memulakan siasatan yang mengaitkan sebarang unsur-unsur jenayah, namun masih belum mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik pasar terbabit.
"Penghuni gudang itu mungkin membiarkan alat pemanas berkenaan dipasang sepanjang malam disebabkan cuaca sejuk di sini," kata seorang penyiasat yang enggan dikenali. - AFP