Search This Blog

Monday, April 2, 2012

Rasuah: Inspektor dipenjara, denda RM20,000


IPOH 31 Mac - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihukum penjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah menerima rasuah RM1,000, tiga tahun lalu.
Hakim Julie Lack Abdullah turut memerintahkan Shamsi Norman Latif, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dipenjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Shamsi didakwa secara rasuah meminta suapan RM2,000 daripada Abdul Khalim Abdullah Sani, 56, bagi mengurangkan berat dadah miliknya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Cawangan Narkotik IPD Kuala Kangsar kira-kira pukul 12 tengah hari, 11 Disember 2009.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada anak lelaki tersebut, Hasnida Abdul Khalim baji tujuan sama di dalam kenderaan di Jalan Dang Selili berhampiran Bank Rakyat Kuala Kangsar pada pukul 1.15 petang hari yang sama.
Kedua-dua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Ahli perniagaan kempunan bercuti atas kapal


KUALA LUMPUR 1 April - Kisah keseronokan bercuti di atas kapal persiaran yang sering didengar daripada rakan-rakan mendorong seorang ahli perniagaan mencuba pengalaman sama dengan membeli pakej pelancongan pelayaran yang ditawarkan oleh seorang wanita pada awal tahun ini.
Pakej tersebut menawarkan pelayaran di atas sebuah kapal persiaran terkenal dari Kuala Terengganu, menuju ke Papua New Guinea pada 21 hingga 28 Februari lalu.
Namun, percutian indah yang diimpikan tidak menjadi kenyataan kerana pakej ditawarkan tidak wujud, malah nasib ahli perniagaan itu bertambah malang apabila mendapati kepala surat syarikat dan tanda tangannya disalahgunakan oleh wanita berkenaan untuk memperdayakan mangsa lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, mangsa berusia 25 tahun dari Tapah, Perak ditawarkan pakej pelancongan itu oleh seorang wanita dari Seremban, Negeri Sembilan pada Januari lalu.
"Percutian dijanjikan adalah pelayaran dengan sebuah kapal persiaran persendirian dari Kuala Terengganu ke Papua New Guinea pada 21 hingga 28 Februari lalu.
"Mangsa sudah membuat pembayaran untuk lima rakan sebanyak RM2,300 melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Cheras dan membayar RM1,000 lagi bagi pihaknya untuk percutian tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
Bagaimanapun, Izany berkata, mangsa kecewa apabila menyedari mereka sebenarnya telah ditipu dan bertambah terkejut apabila dihubungi seorang individu tidak dikenali bertanyakan tentang percutian tersebut kerana mendakwa ditawarkan pakej pelancongan sama dari syarikatnya.
Beliau berkata, apabila diperiksa, mangsa mendapati wanita berusia 36 tahun yang pernah berurusan dengannya sebelum ini telah memalsukan kepala surat syarikat dan tanda tangannya untuk menipu mangsa lain dengan tawaran pakej percutian sama tanpa kebenarannya.
Katanya, apabila bersemuka, wanita tersebut tidak mengaku melakukan penipuan dan memaklumkan urusan percutian itu melibatkan kerabat Diraja Terengganu dengan gelaran Pak Engku.
"Apabila mangsa meminta semula wang yang sudah dibayar, wanita berkenaan mengarahkannya supaya berurusan dengan pihak penganjur iaitu Pak Engku.
"Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Cheras di sini baru-baru ini kerana mendakwa suspek turut mengugut dan memburuk-burukkan namanya," ujar Izany sambil memberitahu kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

23 GRO ditahan lakukan aksi tarian ghairah


KUALA LUMPUR 1 April - Polis menahan 23 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang didapati melakukan aksi tarian mengghairahkan di atas pentas untuk menarik pelanggan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Prima Selayang 8/3, dekat sini awal pagi ini.
Serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil risikan dan maklumat awam.
Pegawai Operasinya, Asisten Supritendan Azli Abu Shah berkata, kesemua wanita warga asing itu ditahan selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan tersebut.
Katanya, mereka yang berusia antara 19 hingga 39 tahun itu terdiri daripada sembilan warga Vietnam, Thailand (8), Indonesia (4) dan China (2).
"Dalam operasi tersebut polis turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus pusat hiburan berkenaan dan tiga pekerja lelaki warga Myanmar.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis yang dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) itu beroperasi sejak setahun lalu tetapi lesennya telah tamat sejak enam bulan lalu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan berkenaan.
Tambah Azli, siasatan awal mendapati kesemua GRO berkenaan hanya melakukan persembahan tarian di atas pentas namun tidak terlibat dalam aktiviti pelacuran.
"Wanita berkenaan hanya diberikan kalungan bunga bernilai RM10 setiap satu sekiranya pelanggan berpuas hati dengan persembahan mereka," katanya.
Kata beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan mengikut Seksyen 61 Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan.
"Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 55b (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing pertama kali dan Peraturan 39B akta sama kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial," jelas beliau lagi.

Kereta rempuh jentolak, 2 maut


KEPALA BATAS 1 April - Dua terbunuh selepas sebuah kereta merempuh sebuah jentolak dalam kemalangan ngeri di Taman Desa Sena di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.40 petang itu, mangsa terbunuh ialah pemandu jentolak, P. Premkumar, 27, dan pemandu kereta Honda Accord, Fairuz Ahmad, 28.
Premkumar maut di tempat kejadian manakala Fairuz pula meninggal dunia di Hospital Kepala Batas.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kemalangan berlaku semasa jentolak itu keluar dari simpang Taman Desa Sena sebelum dirempuh kereta terbabit.
Katanya, semasa kejadian, jentolak itu dalam perjalanan ke Pokok Machang sementara kereta berkenaan pula dari arah Tasek Gelugor.
"Rempuhan itu menyebabkan jentolak tersebut terbalik lalu menghempap Premkumar menyebabkan dia cedera parah di kepala.
"Fairuz juga cedera parah dan dihantar untuk rawatan tetapi gagal diselamatkan," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Suhaimi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Kepala Batas sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tawar khidmat pelacur gadis China di Internet



Blog bertajuk Sam's China Doll memaparkan gambar pelacur warga China yang menawarkan perkhidmatan haram itu di sekitar Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 1 April - Kegiatan pelacuran yang biasanya bergerak di lorong-lorong gelap atau secara sembunyi, kini dikesan semakin melampau apabila menawarkan perkhidmatan itu di Internet seperti blog.
Pemantauan wartawan Utusan Malaysia terhadap sebuah blog dikenali sebagai Sam's China Doll mendapati, seorang individu dikenali sebagai Sam memaparkan gambar 28 gadis warga China yang menawarkan perkhidmatan seks kepada orang ramai.
Pengunjung blog di alamat http://samcheras5.blogspot.com/ itu boleh memilih untuk melakukan hubungan seks dengan mana-mana gadis yang berusia antara 17 dan 25 tahun itu.
Harga ditetapkan bermula RM180 bagi 45 minit hingga ke RM1,000 semalaman.
Pelanggan yang berminat perlu menghubungi nombor telefon dipaparkan bagi melanggan pelacur yang dibahagikan kepada kategori princess dan model itu.
Ketika wartawan menghubungi individu itu, dia memberitahu, kegiatan tersebut dilakukan di sekitar Taman Shamelin, Cheras, Taman Maluri dan Seri Petaling dekat sini.
"Awak mahu mana satu? Kalau mahu Dan Dan (nama pelacur), awak boleh jumpa saya dekat Menara PGRM. Nanti sudah sampai sana, awak telefon saya.
"Harga tiada diskaun sebab itu sudah masuk harga bilik," ujarnya ringkas.
Lelaki yang bercakap pelat Cina itu juga sempat 'memancing' wartawan dengan menyatakan perkhidmatan gadisnya itu adalah yang terbaik.
Di blog itu, selain gambar gadis dengan aksi mengghairahkan, butiran diri mereka seperti negara asal, ukuran badan dan ketinggian turut diperincikan dalam blog tersebut yang mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu.
Malah, segala 'kemahiran' mereka di ranjang juga dinyatakan bagi mengumpan pelanggan.
Kesemua gadis itu pula diberi nama gelaran seperti Xiao Pei - Girl Wonder, Dan Dan - Sexy Doll, Ao Yang - Yummy! Yummy!, Yang Soo - Korean Delight, Xiao Min - Sexy Frame, Ke Le -Second to None, Bai Li - Sex Master, Miki - Ultra Cute, La La - Ultra Girl dan Yurin - Gorgeous 38DD.
Sehingga 30 Mac lalu, didapati 196 individu telah menjadi pengikut di laman blog itu yang kali terakhir dikemas kini pada 27 Mac lalu.

Duda dipercayai ketua sindiket edar dadah diberkas


KOTA BHARU 1 April - Polis memberkas seorang duda berusia 29 tahun dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah yang amat dikehendaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kok Bedollah, Tumpat, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Supritendan Amran Ramli berkata, suspek berasal dari Kampung Geting, Tumpat itu dipercayai ketua 'Geng Zack' yang dianggotai oleh tujuh ahli.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas 3,500 biji pil kuda dan tiga botol heroin dianggarkan bernilai RM111,000 serta wang tunai RM4,210 dipercayai hasil jualan dadah.
Jelasnya, serbuan pukul 3.50 petang itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selepas mendapat maklumat mengenai pengedaran dadah.
"Lelaki tersebut ditangkap di luar rumah itu dan barang rampasan ditemui dalam dan luar rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Amran, lelaki terbabit sebelum ini pernah ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2009 dan dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak di Machang serta dibebaskan pada September lalu.
"Tangkapan dan rampasan itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Menurut Amran, dalam serbuan tersebut, polis turut menyita tiga kenderaan iaitu Proton Perdana, Proton Wira dan Honda dianggarkan bernilai RM70,000.

Lumba haram kereta tumpas



Anggota polis bahagian narkotik melakukan pemeriksaan sampel air kencing ke atas pemandu kereta yang ditahan dalam operasi membanteras lumba haram di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 1 April - Bagaikan aksi dalam filem The Fast and The Furios, sekumpulan pelumba kereta bertindak berani dengan menganjurkan lumba pecut kereta jarak dekat secara haram di Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Skudai di sini tengah malam tadi.
Kegiatan mereka, bagaimanapun tumpas setelah polis menyerbu lokasi itu dan menahan 83 kereta ketika ligat beraksi dalam Ops Khas Lumba Kereta.
Operasi selama lima jam bermula pukul 12 tengah malam itu dijalankan Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan dibantu Cawangan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.
Ketua Operasi Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, pihaknya melakukan pemantauan selama dua minggu sebelum melakukan operasi cegah lumba haram berkenaan.
"Litar perlumbaan bagi aktiviti setiap hujung minggu itu bermula dari plaza tol berkenaan sehingga ke susur keluar Skudai yang terletak kira-kira satu kilometer.
"Terdapat pemandu cuba melarikan diri tetapi polis bertindak lebih awal dengan menutup beberapa susur keluar lain di plaza tol berkenaan," katanya semasa ditemui selepas tamat operasi.
Lumba pecut kereta jarak dekat mengikut Wikipidea adalah perlumbaan melibatkan antara dua atau lebih kenderaan pada jalan lurus dengan jarak yang pendek iaitu kira-kira 0.8 kilometer.
Khuzir memberitahu, kesemua kereta yang ditahan dibawa ke Pejabat Peronda Lebuh Raya di Sedenak untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, sebanyak 102 saman trafik dan 32 saman JPJ turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya mengubah suai kenderaan dan nombor plat serta cukai jalan tamat tempoh.
"Seramai 10 pemandu yang ditahan turut didapati mempunyai waran tangkap atas kesalahan trafik sebelum ini manakala dua lagi didapati positif dadah menerusi ujian air kencing," katanya.
Pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras kegiatan lumba haram di seluruh negara dari semasa ke semasa.

Warga emas ditemui mati, tidak sempat terima wang BR1M


SETIU 1 April - Hasrat seorang warga emas, Mustafa Mat Yatim, 63, untuk membeli makanan enak selepas mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di pondoknya di Kampung Fikri, dekat sini semalam.
Mustafa yang berasal dari Kampung Bukit Abal, Pasir Putih, Kelantan hidup sebatang kara di kampung berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu dengan menumpang pondok milik seorang penduduk.
Warga emas yang melakukan kerja-kerja kampung seperti mengambil upah mengopek kelapa dan membersihkan kebun untuk menyara hidup itu sepatutnya mengambil BR1M bersama penerima lain di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah, dekat sini hari ini.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Norzeri Abdullah ketika ditemui berkata, setiap kali berjumpanya, Mustafa sering bertanya bilakah dia akan mendapat bantuan tersebut.
Norzeri memberitahu, sebelum ini, surat kelulusan BR1M untuk Mustafa belum diterima oleh pihak JKKK menyebabkan warga emas berkenaan risau tidak memperolehi bantuan itu kerana sudah ramai penduduk kampung tersebut mendapat BR1M.
"Tiga hari lalu saya mendapat surat kelulusan bantuan RM500 tersebut dari Pejabat Daerah Setiu lalu saya serahkan kepadanya.
"Semasa menerima surat itu, Mustafa tersenyum serta berkali- kali menyuarakan hasratnya untuk membeli makanan yang sedap apabila mendapat wang bantuan itu," katanya di sini semalam.
Mustafa yang mempunyai enam anak itu ditemui mati di pondoknya kira-kira pukul 5 petang oleh seorang penduduk kampung yang kebetulan mencari kambing di kawasan tempat tinggal warga emas itu.
Jenazah Mustafa dikebumikan hari ini di tanah perkuburan kampung berkenaan hasil kerjasama JKKK Kampung Fikri dengan penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung kematian warga emas itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Anak jutawan diselamatkan


SHAH ALAM 1 April - Polis berjaya menyelamatkan anak seorang ahli perniagaan bergelar jutawan semalam, selepas sembilan hari lelaki itu diculik bagi mendapatkan wang tebusan RM1.5 juta di Kawasan Perindustrian Seri Kembangan dekat sini.
Mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pengurus projek di syarikat pembinaan milik bapanya diselamatkan di sebuah premis di Rawang dekat sini tanpa sebarang kecederaan pukul 6.30 pagi.
Susulan pembebasan mangsa, polis memberkas sembilan lelaki berketurunan India termasuk seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan.
Polis juga berjaya mendapatkan wang RM275,850 yang merupakan sebahagian daripada wang tebusan pendahuluan berjumlah RM300,000 yang dibayar kepada penculik oleh keluarga mangsa.
Turut dirampas daripada kumpulan penculik itu adalah tiga kereta jenis Proton Gen 2, Proton Waja dan Honda Odyssey; sebuah treler; topeng ski, telefon bimbit, iPad dan kunci kereta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mangsa yang berkeluarga dan mempunyai tiga anak diculik empat lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan dengan menaiki kereta di tapak pembinaan di Seri Kembangan pada pagi 22 Mac lalu.
Beliau berkata, selepas diculik, suspek menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut wang tebusan berjumlah RM1.5 juta.
Menurut beliau, siasatan bermula selepas bapa suspek yang berusia 60 tahun dan merupakan pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan membuat laporan polis pada 11 pagi hari yang sama.
"Selepas keluarga mangsa membayar pendahuluan wang tebusan berjumlah RM300,000 yang diletakkan di satu tempat, polis mula menjejak suspek dan akhirnya membawa kepada pembebasan mangsa yang dikurung di sebuah premis di Rawang.
"Seterusnya kita berjaya membuat tangkapan di Kajang sebelum menahan pegawai polis terbabit di Rawang serta memberkas suspek lain yang kesemuanya sembilan orang. Kita turut menemui sejumlah wang tebusan serta lain-lain barang rampasan di rumah suspek dan di dalam treler.
"Kita juga menahan dalang yang merancang penculikan itu dan memburu saki-baki rakan jenayah mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Tun Hisan berkata, kesemua suspek yang berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.
Beliau berkata, tiga daripada suspek ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan Inspektor yang diberkas itu ditahan kerja sejak 2010.

Letupan di Hatyai berpunca daripada bom kereta


KUALA LUMPUR 1 April - Seorang rakyat Malaysia disahkan terbunuh dan 10 lagi mengalami kesan lecur dalam kejadian letupan bom kereta di sebuah hotel di Hatyai, selatan Thailand semalam, menurut Konsul General Malaysia di Songkhla Mohd Aini Atan.
Beliau berkata, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Law Phin Hock, 46, berasal dari Kulim, Kedah.
Mohd Aini, ketika dihubungi berkata, 10 rakyat Malaysia yang cedera itu - tiga lelaki dan tujuh wanita - kini dirawat di tiga buah hospital.
"Empat mangsa (dua lelaki, dua perempuan) kini dirawat di hospital Songkhla dan tiga lagi kesemuanya perempuan di Hospital Sikarin manakala di Hospital Rajyindee (seorang lelaki dan dua perempuan). Mangsa yang cedera kini berada di dalam keadaan stabil," katanya.
Kejadian letupan itu yang pada awalnya dipercayai berpunca daripada kebocoran gas telah disahkan sebagai letupan bom kereta oleh Ketua Polis Thailand, Jen. Priewpan Damapong dalam kenyataannya yang disiarkan televisyen hari ini.
Kejadian letupan di Haadyai itu berlaku pada masa yang sama dengan kejadian letupan bom kereta di Yala semalam, mengorbankan 11 orang dan mencederakan 110 yang lain.
Mohd. Aini berkata, seramai 10 pegawai dari tiga agensi iaitu Pejabat Penyelarasan Sempadan Malaysia-Thailand (MTBCO), Pegawai Perhubungan Polis (MPLO) serta Kementerian Luar sedang membuat pemantauan di pejabat operasi berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, pegawai tersebut juga akan memantau keadaan mangsa yang mengalami kecederaan dan memberi maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan anggota keluarga mangsa mendapat perkembangan terbaru mengenai mereka.
Beliau berkata, 17 lagi rakyat Malaysia yang cedera menerima rawatan pesakit luar.
Mereka adalah antara lebih 300 orang yang dilaporkan cedera dalam kejadian di lokasi yang sentiasa sesak dengan pelancong itu kerana kedudukannya di tengah pusat perniagaan. — BERNAMA

Cerita detik cemas mangsa letupan bom Hatyai

HATYAI 1 April - "Kejadian berlaku begitu pantas sehingga saya dan isteri tidak sempat melarikan diri. Bunyi letupan sangat kuat diiringi serpihan kaca berterbangan mengenai kami."
Itu cerita mangsa letupan bom di Hotel Lee Gardens Plaza di sini, Choo Kok Boon, 46, dalam nada tersekat-sekat ketika cuba mengingati detik cemas itu.
Menurut peniaga alat ganti kenderaan itu, pada mulanya dia dan isteri warga Thailand,Somkhid Lauyut, 37, berjalan menuju ke kenderaan mereka yang diletakkan di bahu jalan berdekatan.
Katanya, ketika melalui jalan itu, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana keadaan tenang, malah kenderaan di jalan raya juga tidak sibuk ekoran waktu makan tengah hari.
Namun, katanya, satu letupan kuat tiba-tiba menggegarkan kawasan sekitar.
"Muka saya berlumuran darah terkena kaca. Saya juga lihat isteri tersembam dan terpaksa merangkak di bahu jalan. Saya juga sempat lihat orang ramai menjerit dan keadaan masa itu agak kelam-kabut kerana ada yang menangis," katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di Hospital Rajyindee di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang (waktu tempatan) semalam, seramai 416 orang termasuk pelancong Malaysia dilaporkan cedera akibat letupan yang menggegarkan kompleks beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza di sini.
Berdasarkan laporan pihak berkuasa, seramai empat orang terbunuh termasuk seorang warga Malaysia manakala yang lain termasuk 27 rakyat Malaysia cedera dalam letupan yang berlaku tidak lama selepas tiga letupan bom mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain di Yala, dekat sini.
Kok Boon yang berasal dari Taman UOG Heights, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur berkata, dia dan isteri bercuti ke negara ini sejak petang Jumaat lalu.
"Semasa kejadian, saya sudah hendak pulang ke Malaysia. Kalau saya cepat seminit atau dua, mungkin kami tidak kena dan selamat pulang," katanya.
Lelaki itu yang mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki berkata, kejadian itu memang mengejutkan kerana dia serta mangsa lain terpinga-pinga melihat kepulan asap sebelum dibantu anggota paramedik.
Seorang lagi mangsa, Minnie Ng, 35, berkata, perasaan teruja kerana pertama kali datang Hatyai bertukar menjadi detik hitam apabila turut terlibat dalam kejadian itu.
"Saya ingat datang sini hendak bercuti dan membeli-belah, tetapi tidak sangka dimasukkan ke hospital," ujarnya.
Jelasnya, sebelum letupan dia dan 20 lagi ahli rombongan syarikatnya dari Melaka baru mendaftar untuk menginap di hotel itu.
"Ikut program, kami dijangka pulang esok (Isnin) tetapi dalam keadaan sekarang, saya terpaksa dirawat dahulu," katanya.
Sanguthala Khrisnan, 33, pula berkata, dia amat takut melihat kepulan asap tebal semasa terperangkap di hotel tersebut.
"Nasib baik kami dibawa oleh penghuni lain ke kawasan kolam renang," katanya yang masih trauma ekoran kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana kesemua ahli rombongan syarikat terselamat dalam kejadian tersebut.

Pengacara pijak muka


KUALA LUMPUR: Seorang pengacara rancangan gosip popular berusia 28 tahun bertindak menyerang seorang wanita yang sedang meraikan hari lahir rakannya dalam sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini, dengan memijak muka mangsa menggunakan kasut tumit tingginya dalam kejadian awal pagi semalam.
Akibat perbuatan pengacara wanita terbabit yang juga bergelar pelakon dan pernah membintangi beberapa siri drama serta telefilem itu bersama beberapa rakannya menyebabkan mangsa yang berusia 20-an cedera di kepala dan terpaksa dirawat di Hospital Ampang (HA).
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, semuanya bermula apabila mangsa meraikan hari lahir rakannya itu dihampiri seorang wanita tidak dikenali.

“Wanita terbabit bertanya kepada mangsa adakah dia dengan tidak sengaja terpukul atau melakukan kekasaran kepada sesiapa. Bingung dengan pertanyaan itu, mangsa menafikan dakwaan itu sebelum mendiamkan diri.

“Belumpun persoalan itu selesai, mangsa dihampiri seorang lelaki bertubuh sasa yang terus menampar mukanya menyebabkannya terjatuh,” katanya.

Dimamah bahang


PECAH...restoran McDonald’s yang meletup di Hotel Lee Garden di tengah bandar Hatyai, kelmarin.
PECAH...restoran McDonald’s yang meletup di Hotel Lee Garden di tengah bandar Hatyai, kelmarin.
HATYAI, SONGKHLA: Menghidu asap dan menahan bahang panas api menjadi pengalaman ngeri sepasang suami isteri yang terperangkap di tempat letak kereta Hotel Lee Garden Plaza, di sini, yang menjadi lokasi letupan bom kereta, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Wong Sze Ee, 28, bersama suaminya, Ooi Fook Chuan, 33, dari Pulau Pinang baru selesai mendaftar keluar daripada hotel berkenaan.

Mereka ke kawasan letak kereta B2 di bawah hotel berkenaan untuk menyimpan beg pakaian di dalam kereta.
Sze Ee berkata, sebaik tiba di kereta, gegendang telinganya seakan-akan mahu pecah akibat letupan kuat hingga menggegarkan ruang bawah bangunan berkenaan.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia melihat kepulan asap hitam memenuhi ruang tempat meletak kereta berkenaan.

“Saya lihat suami hampir lemas kerana asap tebal dan kami cuba menyelamatkan diri dengan mencari jalan keluar melalui tangga di kawasan tempat letak kereta itu yang terletak agak jauh.
“Bagaimanapun, kami tidak berjaya melarikan diri menggunakan tangga berkenaan kerana asap terlalu tebal selain bahang panas api dan berlindung di bawah tangga sementara mencari laluan lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Songkhla Nagarind (HSN), di sini, semalam.

Menurutnya, dalam keadaan kawasan itu dipenuhi asap tebal, mereka menutup mulut menggunakan baju dipakai manakala suaminya terhidu terlalu banyak asap menyebabkannya hampir pengsan.
Katanya, dalam tempoh 30 minit, mereka bagaikan sudah berputus asa untuk menyelamatkan diri kerana kawasan dipenuhi asap amat tebal menyebabkan kedua-duanya mengalami kesukaran bernafas selain tiada bantuan tiba dalam tempoh itu.

“Saya ketika itu sudah putus harapan, tetapi lega apabila terlihat cahaya lampu samar-samar daripada arah depan kawasan tempat letak kereta berkenaan sebelum terdengar suara anggota penyelamat.

“Dalam keadaan lemah, saya berteriak kepada mereka supaya membantu kami yang ketika itu hampir pengsan sebelum dibantu anggota penyelamat keluar dari kawasan berkenaan dan dihantar ke HSN, Hatyai,” katanya.

Katanya, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas terhidu banyak asap dan dia mendapatkan rawatan di wad biasa.

Rahsia pergi negara jiran terbongkar


HATYAI, SONGKHLA: Niat empat kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Perlis cuba merahsiakan pemergian mereka ke negara jiran, terbongkar apabila seorang daripada mereka gagal pulang kerana kereta dinaiki terperangkap di kawasan letupan bom.
Lebih malang, pasport milik pemilik kenderaan itu tertinggal dalam kereta yang diletak di tempat letak kereta Hotel Lee Garden Plaza, di sini. Difahamkan, mereka termasuk seorang wanita berada di Hatyai sejak awal pagi kelmarin, tinggal di hotel berasingan, dihalang mengambil kereta yang diletak di kawasan Hotel Lee Garden Plaza selepas letupan bom itu.

Empat kakitangan itu terpaksa hadir ke kaunter perkhidmatan sementara Konsulat Besar Malaysia di Songhkla yang dibuka di lobi Hotel Grand Plaza, bersebelahan lokasi kejadian di sini, semalam.
Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, pihaknya mewujudkan Pusat Operasi Sementara yang dibuka 24 jam bagi membantu rakyat Malaysia yang mengalami masalah.

“Keluarga atau waris yang mahu mendapatkan maklumat situasi terkini boleh menghubungi talian +6674311062 dan +6674316274 atau faksimilie +6674324004,” katanya.

Darah penuhi jalan


HATYAI, SONGKHLA: “Sebaik menjejakkan kaki di lobi hotel, saya dikejutkan dengan gegaran dan dentuman kuat seolah-olah kapal terbang terhempas sebelum melihat asap tebal menyelubungi kawasan berdekatan,” kata Razmin Ahmad, 35, penjawat awam yang menyaksikan kejadian letupan bom di Hotel Lee Garden di Jalan Prachatipat dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Razmin baru saja selesai mendaftar masuk ke hotel berhadapan hotel terbabit bersama 80 lagi rakan rombongan dari Ipoh, Perak, sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Sebaik menyedari berlaku letupan, saya memeriksa sekitar hotel dan terdengar tangisan orang ramai yang menjadi mangsa letupan.
“Saya lihat pecahan kaca serta darah mangsa memenuhi jalan di sekitar kawasan letupan serta sempat membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit,” katanya yang ke situ untuk kali kedua dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, dia berada di lokasi letupan bom berkenaan hampir dua jam dan menyaksikan kekecohan yang berlaku di kawasan terbabit termasuk bomba dan ambulans yang berulang-alik menyelamatkan mangsa.

“Orang ramai yang terperangkap di tingkat empat bangunan hotel menjerit serta melambai-lambaikan tangan melalui tingkap yang dipenuhi asap tebal.
“Ada yang keluar melalui belakang bangunan, manakala mereka yang berada di sekitar kawasan letupan dan restoran makanan segera terbaring cedera dan ada yang tidak sedarkan diri,” katanya.

Razmin berkata, semua ahli rombongan yang datang bersama-samanya terselamat dan tidak cedera.
Katanya, dia datang ke negara berkenaan bersama keluarga termasuk isteri dan tiga anaknya dan kini takut untuk bersiar-siar di lokasi tumpuan pelancong termasuk kawasan berdekatan hotel diduduki.

Tali pinggang ‘makan’ anak tiri


SUBANG JAYA: Hanya kerana bermain basikal di dalam rumah dan merosakkan basikal adiknya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun teruk dibelasah bapa tirinya di rumah mereka di Puchong Utama, di sini, Khamis lalu.
Kejadian itu disedari guru mangsa yang mendapati kanak-kanak itu bengkak di kepala, pendarahan dalam mata serta luka di kiri dan kanan lengannya akibat dibelasah dengan tali pinggang ketika datang ke sekolah, jam 9 pagi, keesokan harinya. Menurut sumber, mangsa bermain basikal di dalam rumah sebelum dimarahi bapa tirinya. “Tidak puas hati dimarahi, mangsa memberontak dengan merosakkan basikal adiknya sebelum dikejar bapa tirinya yang kemudian membelasah kanak-kanak terbabit dengan tali pinggang.

“Mangsa bengkak di kepala serta pendarahan di dalam matanya. Kedua-dua lengan serta belakang badan mangsa turut cedera akibat dilibas dengan tali pinggang,” katanya.
Sehubungan itu, guru mangsa yang berusia 31 tahun membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan guru terbabit dan berkata, mengikut keterangan mangsa, kejadian berkenaan kali pertama berlaku.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

7 positif dadah di lebuh raya


TAHAN...empat daripada tujuh lelaki yang ditahan kerana positif dadah, kelmarin.
TAHAN...empat daripada tujuh lelaki yang ditahan kerana positif dadah, kelmarin.
PERIKSA...Ismail memeriksa sebuah kereta dalam operasi, kelmarin.
PERIKSA...Ismail memeriksa sebuah kereta dalam operasi, kelmarin.
SHAH ALAM: Seramai tujuh lelaki berusia 20-an ditahan kerana positif dadah jenis ganja dan syabu ketika operasi bersepadu besar-besaran dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dengan kerjasama agensi lain di Tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Batu Tiga menghala Kuala Lumpur, di sini, malam kelmarin.
Operasi bermula jam 8 malam sehingga 12 tengah malam itu membabitkan 130 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Operasi, Timbalan Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, sebanyak 252 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap pemandu kenderaan dan penunggang motosikal, manakala 23 motosikal disita.
“Antara kesalahan dikesan termasuk menunggang dan memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, penggunaan cermin gelap melebihi spesifikasi dibenarkan, kenderaan yang diubah suai tidak mendapat kelulusan dan ekzos mengeluarkan bunyi terlalu bising.

“Selain itu, JPN menahan tiga pendatang asing tanpa izin di dalam sebuah bas kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu berakhir.

Ismail berkata, operasi bersepadu yang julung kali dilakukan bagi tahun ini akan dilakukan setiap tiga bulan manakala operasi rutin yang dilakukan bagi setiap minggu diteruskan.
Menurutnya, operasi ini dijalankan untuk menyedarkan pengguna jalan raya mengutamakan keselamatan dan mematuhi undang-undang jalan raya.

“Saya berharap dengan adanya operasi seperti ini kadar kemalangan di Malaysia berkurangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, PDRM mengeluarkan 75 saman atas pelbaga

Wanita cederakan kemaluan lelaki tua dijel



E-mel Artikel
 Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KIMBALL (Minnesota): Seorang wanita didapati bersalah atas tuduhan mencederakan kemaluan seorang lelaki tua di sebuah rumah kebajikan di sini.
Sehubungan itu, juri di Stearns semalam mengenakan hukuman penjara 45 hari ke atas wanita berusia 37 tahun itu, Melissa Jean Stern.

Melissa dituduh melakukan kesalahan itu Januari lalu dan didakwa atas kesalahan melakukan perbuatan yang berbahaya. Seorang kakitangan rumah kebajikan itu memberitahu penyiasat, Melissa menarik kemaluan lelaki berusia 77 tahun itu untuk memaksanya keluar dari tandas.

Ia menyebabkan kemaluan lelaki itu calar dan berdarah.

Wanita itu juga diarah membayar denda sebanyak AS$685 (RM2,055). - AP