Search This Blog

Sunday, April 1, 2012


Mayat bayi tanpa kepala

KUALA LUMPUR 31 Mac - Seorang pekerja Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) terkejut apabila menemui mayat seorang bayi tanpa kepala ketika membersihkan tangki antiseptik di Jalan Tengkat Tong Shin, Bukit Bintang di sini pagi ini.
Mayat bayi lelaki berusia kurang seminggu itu ditemui dalam keadaan berbogel pada kira-kira pukul 11 pagi..
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, pemeriksaan polis mendapati bayi tersebut dipercayai telah mati sejak tiga atau empat hari lalu.
"Siasatan bagi mengesan sama ada bayi tersebut dibuang tanpa kepala atau sebaliknya masih dilakukan ketika ini.
"Mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kes penemuan bayi tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pekerja binaan jumpa rangka manusia

KUANTAN 31 Mac - Dua lelaki yang sedang mengendalikan sebuah jengkaut bagi pembinaan jalan terkejut menemui satu rangka manusia tertimbus dalam tanah di Kampung Serun, Nenasi dekat Pekan tengah hari kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten T. Narenasegaran berkata, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, rangka yang ditemui tersebut tertimbus di Kilometer 54 Jalan Pekan-Rompin telah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.
"Dua lelaki terbabit yang masing-masing berusia 30-an terkejut selepas mendapati satu rangka manusia tertimbus di dalam tanah di kawasan berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis.
''Setakat ini tiada sebarang identiti pada rangka tersebut dan pihaknya kini masih menyiasat kes berkenaan. Kita masih menunggu laporan bedah siasat ke atas rangka tersebut bagi mengetahui punca kematian dan identitinya," katanya di sini.

18 kes cerai punca hubungan songsang

KUALA LUMPUR 31 Mac - Sebanyak 18 kes perceraian berpunca daripada hubungan songsang telah dilaporkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sepanjang tahun lalu.
Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, jumlah itu menunjukkan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini berada dalam keadaan yang semakin parah dan membimbangkan.
"Masyarakat khususnya ibu bapa tidak boleh bersikap ambil mudah dengan melihat isu LGBT ini sebagai bukan masalah mereka kerana tidak mustahil anak-anak mereka turut terlibat dalam gejala negatif itu secara sembunyi.
"Golongan biseksual misalnya, ia sangat sukar untuk kita memastikan sama ada individu tersebut terlibat atau tidak dalam hubungan songsang kerana secara fizikalnya mereka kelihatan normal," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Anti Seks Bebas dan LGBT' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Miharja dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengetua SMK Miharja, Amran Mohd. Ihsan dan yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohamed Iqbal Yusoffsa.
Kempen itu akan melibatkan sebanyak 30 sekolah di seluruh negara bertujuan menerangkan kepada ibu bapa dan guru-guru mengenai salah laku seks bebas dan hubungan songsang, LGBT yang menyalahi undang-undang negara dan tamadun manusia.
Tambah Azwanddin, pihaknya mendapati kebanyakan golongan biseksual di negara ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan dan berada dalam bidang profesional.
Katanya, skop mendidik para pelajar di era globalisasi perlu lebih luas kerana mereka bukan saja dikehendaki mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang semata-mata malah ia perlu seiring dengan sikap yang berakhlak dan bermoral tinggi.

Dua pemandu lori ditahan

ALOR GAJAH 31 Mac - Dua pemandu lori ditahan selepas menghalang dan mempertikaikan tindakan sepasukan polis menahan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan di sebuah kawasan kuari pasir, Parit Melaka di sini Rabu lalu.
Kedua-duanya yang berusia 30 dan 42 tahun itu ditahan dalam operasi pukul 2 petang.
Ketua Operasi Unit Khas Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, semasa melakukan pemeriksaan, kedua-dua lelaki itu enggan memberikan kerjasama.
"Akibat tindakan yang tidak mengendahkan arahan polis itu menyebabkan mereka ditahan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Khas Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini baru-baru ini.
Operasi itu melibatkan 10 anggota dan pegawai Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan Jabatan Pengangkutan Jalan Putrajaya.
Menurut Khuzir, selain di kuari itu, pihaknya turut melakukan pemantauan di beberapa lokasi lain di daerah ini sejak seminggu lalu sebelum mereka mula melaksanakan operasi berkenaan.
Beliau berkata, ia susulan aduan orang ramai tentang kehadiran lori tanah membawa muatan berlebihan sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain di kawasan terbabit.
"Sehingga pukul 6.30 petang, sebanyak 13 buah lori telah diperiksa dan polis mengeluarkan 10 saman atas kesalahan muatan berbahaya, JPJ mengeluarkan tujuh saman bagi kesalahan teknikal manakala SPAD menyita permit 11 buah lori," katanya.

11 rakyat Malaysia cedera hotel terbakar

BANGKOK 31 Mac - Sekurang-kurangnya lima maut, manakala lebih 300 lagi termasuk 11 rakyat Malaysia cedera, selepas letupan gas di sebuah hotel di Hadyai, selatan Thailand hari ini mencetuskan kebakaran.
Kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 1 petang di Hotel Lee Gardens Plaza di bandar yang menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia dan Singapura, dipercayai berpunca akibat letupan gas di bahagian ruang bawah tanah.
Datuk Bandar Hadyai, Prai Pattano berkata, lima orang disahkan terbunuh setakat ini dan beliau masih menunggu maklumat mangsa.
"Kira-kira 336 orang cedera dan 28 daripadanya dikejarkan ke hospital. Mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius dibenarkan pulang," katanya.
Pegawai polis, Leftenan Phuvadol Viriyanarangkul berkata, terdapat pelancong asing yang turut mengalami kecederaan, namun tiada butiran lanjut diterima setakat ini.
Agensi berita Thai melaporkan, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus mengeluarkan kira-kira 200 tetamu dan staf hotel yang terperangkap di tingkat empat bangunan berkenaan. - AFP/AGENSI

MPV ghaib depan rumah

Oleh WAN ASRUDI WAN HASAN
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
IPOH: Seorang pengusaha butik pengantin terkejut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima bernilai lebih RM150,000 ‘ghaib’ di depan kediamannya di Taman Meru, Jelapang, di sini, selepas bangun tidur, pagi kelmarin.
Rozilawati Ishak, 34, mendakwa kereta dibelinya sejak tahun lalu hilang selepas dilarikan sindiket curi kenderaan profesional memandangkan kunci pendua dan alat kawalan jauh kunci untuk membuka kenderaan berkenaan masih tersimpan rapi di dalam almari kediamannya.

Menurutnya, dia yang pulang lewat pagi ketika malam kejadian memaklumkan, kereta berkenaan yang diletakkan di depan rumah dicuri pada awal pagi.

Malah, dia diberitahu beberapa jiran di taman berkenaan, mereka ternampak kereta miliknya meluncur laju keluar ke jalan utama, jam 3 pagi pada hari kejadian.

“Sudah setahun lebih saya menggunakan kereta itu, malah ia untuk kegunaan keluarga dan pulang ke kampung saja serta dilengkapi sistem kunci keselamatan.

“Sebelum ini, kejadian curi kenderaan jarang berlaku di sini kecuali beberapa kes membabitkan pecah cermin kereta penduduk.

Click Here

“Saya syak perbuatan curi kereta ini dilakukan individu profesional memandangkan kunci pendua dan alat kawalan langsung tidak diusik, malah tiada barang lain hilang,” katanya.

Akibat kejadian itu, dia turut kerugian lebih RM2,000 apabila barang kelengkapan pengantin, pakaian dan alat solek yang disimpan dalam kereta turut dilarikan pencuri.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Jelapang sebelum kes itu diletakkan di bawah perhatian Balai Polis Kampung Tawas. Ibu kepada empat anak berkenaan berharap kereta kesayangannya dapat ditemui segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu, malah dia memaklumkan kejadian kereta curi kerap berlaku di beberapa kawasan yang dikenal pasti di sekitar daerah itu.

Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan berharap orang awam turut memberi kerjasama dengan melaporkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan perumahan mereka untuk memudahkan usaha mengesan penjenayah.

Lelaki ditahan bantu kes rompakan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai terbabit dalam kes rompakan di sebuah rumah di Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu, pagi kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, penahanan suspek yang tinggal di kampung sama, jam 7 pagi kelmarin itu, diharap dapat membantu polis mengesan sekumpulan suspek lain yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu.

“Ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah dan dia ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan ini selepas menerima maklumat orang awam.

“Dengan penahanannya, kita berharap dapat menjejaki suspek lain dan kita percaya rompakan ini didalangi lima lelaki, termasuk dua warga Indonesia dan seorang Bangladesh.

“Kita percaya semua suspek dapat ditahan dalam masa terdekat,” katanya selepas melakukan lawatan dan menyampaikan sumbangan sempena Hari Polis ke-205 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Ismail Muslim; Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Malik Hakim.

Merc S350 nyaris hangus dibakar

Laporan dan foto AHMAD OTHMAN
metrojb@yahoo.com
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KOTA TINGGI: Pemilik sebuah syarikat pembinaan jalan, Datuk S Selvarajoo nyaris kerugian ratusan ribu ringgit apabila kereta Mercedes S350 miliknya dapat diselamatkan daripada terbakar.
Kejadian berlaku diparkir di depan pejabat di Jalan Tun Seri Lanang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, ahli perniagaan itu dikatakan singgah di pejabatnya dan meletak kenderaan di depan premis itu.

Seorang kakitangan yang enggan dikenali berkata, orang ramai sedar bahagian dalam kereta majikannya berasap sebelum memaklumkan kepada kakitangan pejabatnya.

“Petugas di pejabat itu segera menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan api di tempat duduk depan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, cermin tingkap sisi kanan Mercedes S350 itu dipecahkan oleh seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai menunggang sebuah motosikal.

Ajal sebelum baiki rumah

Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MUAR: Impian seorang ibu tunggal mengubah suai rumah pusaka bagi keselesaan mereka empat beranak tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan motosikal, dua kereta dan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Batu 7½, Jalan Bakri - Air Hitam, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi, Rapiah Ahmad Musman, 45, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan perindustrian Bakri, di sini.

Anak kedua arwah, Zulazrie Abdul Wahab, 20, berkata, ibunya menyatakan hasrat mengubah suai rumah pusaka diduduki mereka beberapa hari lalu untuk memberi keselesaan kepada mereka tiga beradik.

“Bagaimanapun, saya memintanya menunggu sehingga hujung bulan depan apabila saya mendapat gaji. Tanpa diduga, itulah permintaan terakhir ibu sebelum dia meninggal dunia pagi tadi (semalam),” katanya.

Katanya, arwah keluar dari rumah mereka di Parit Kemin, Air Hitam, di sini, seperti biasa iaitu sekitar jam 6.30 pagi untuk ke tempat kerja di kawasan perindustrian Bakri.

Menurutnya, ketika itu dia tidak melihat perubahan pada ibunya dan sebaik menghantar arwah di depan pintu, dia terus menyambung tidur.

Lelaki maut mahu hantar biskut


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
NILAI: Perjalanan seorang bapa kepada dua anak dipercayai mahu menuju ke Shah Alam, Selangor, bertukar tragedi apabila dia terbunuh selepas treler membawa muatan biskut dipandunya merempuh treler lain di Kilometer 43.4 Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 4 pagi, Wan Mohamad Lokman Mohamad Zin, 34, tersepit di dalam kenderaan berat itu sebelum dikeluarkan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian.

Memilukan apabila mangsa yang parah di kepala dan tulang rusuk masih bernyawa ketika diselamatkan tetapi meninggal dunia sejurus dikeluarkan dari kenderaan.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Shah Alam, untuk menghantar biskut.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, lori dipandu Wan Mohamad di laluan perlahan (paling kiri) dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang treler membawa muatan tekstil di laluan sama.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tersepit di dalam treler sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya di sini, semalam.

Kapal pesiaran mewah terapung lepas terbakar


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MANILA: Kapal pesiaran mewah yang memuatkan kira-kira 600 pelancong Barat terapung-apung di perairan Filipina semalam selepas kejadian kebakaran kecil yang mencederakan kru kabin, kata kerajaan.
Kebakaran itu merosakkan dua enjin kapal Azamara Quest lewat malam kelmarin ketika ia dijadualkan menuju ke Pelabuhan Sandakan di Malaysia, kata jurucakap Jabatan Pengagkutan Nicasio Conti kepada radio DZBB di Manila. “Kebakaran itu sudah dipadamkan, tetapi mereka tidak dapat menghidupkan dua enjin kapal itu, jadi ia sekarang terapung antara Pulau Palawan dan Pelabuhan Zamboanga,” katanya.

Menurutnya, tiada seorang pun daripada penumpang yang majoritinya pelancong Amerika dan Eropah cedera dalam kejadian itu. Hanya seorang kru kabin diberikan rawatan di atas kapal berkenaan. - AFP

Lelaki mati diserang jerung


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SYDNEY: Seorang lelaki berusia 33 tahun yang menyelam di barat Australia mati diserang jerung semalam, kata polis. Ia adalah kejadian keempat di barat negara itu sejak akhir tahun lalu.
Mangsa yang belum dipastikan identitinya menyelam bersama abangnya pada awal pagi di pantai Stratham dekat Busselton, kira-kira 200 kilometer di selatan Perth.

“Ia serangan jerung,” kata jurucakap polis Australia barat kepada media.

“Abangnya dapat menyelamatkan diri, tetapi mangsa terbunuh selepas diserang,” katanya.

Mayat mangsa dikatakan diheret abangnya hingga ke Pelabuhan Geographe Marina. Serangan itu berlaku hanya 10 hari selepas seorang peluncur yang terjatuh dari papan luncurnya digigit jerung di Gold Coast, timur Australia. - AFP

Artis baru sering diminta habuan seks


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Hanya lima hingga 10 peratus artis yang mengalami gangguan seksual sejak terbabit dalam industri seni membuat laporan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) biarpun jumlahnya dikhuatiri lebih ramai.
Timbalan Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya sentiasa memantau kejadian sebegitu dan tidak menafikan ia masih berlaku.

Katanya, kebanyakan kes membabitkan artis wanita yang baru mencuba nasib menjadi pelakon atau penyanyi yang diminta habuan seks oleh segelintir pengarah dan penerbit tidak bertanggungjawab.

“Kebanyakan mereka orang baru dalam industri. Ada di kalangan mereka terdesak mengejar cita-cita menjadi artis hingga sanggup menggadai maruah.

“Mereka (pengarah dan penerbit tertentu) pula ambil kesempatan dengan menawarkan watak dalam filem atau drama serta peluang merakamkan album, tetapi dengan syarat serahkan tubuh,” katanya yang juga Ketua Biro Seniman Muda kepada Metro Ahad.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, artis yang menjadi mangsa diminta segera membuat laporan polis, termasuk dengan Seniman, bagi memudahkan persatuan membuat tindakan selanjutnya.


Menurutnya, Seniman akan memberi bantuan yang difikirkan sesuai, termasuk memberi nasihat berkaitan undang-undang menerusi Penasihat Undang-Undang mereka.

“Mereka juga diminta hantarkan sekali surat aduan atau bukti, jika ada. Kalau tak boleh hantar surat, e-mel saja ke presidenseniman@gmail.com atau dzed.resources@yahoo.com. Ia hanya untuk rekod dan sekurang-kurangnya ada hitam putih.

Click Here
“Saya tahu ada artis malu dan takut untuk buka mulut. Namun, kes begini perlu didedahkan untuk kebaikan semua pihak, khususnya artis itu sendiri. Setiap kes boleh jadi pengajaran untuk orang lain yang mahu mencuba nasib sebagai artis,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan itu bukan saja menjejaskan nama baik industri hiburan pada mata masyarakat, malah turut merosakkan masa depan artis terbabit, lebih-lebih lagi jika individu itu memiliki gambar atau video lucah artis terbabit.

“Dunia hiburan kita bukan besar sangat. Pusing pusing, mereka akan bertemu kembali. Kadangkala jika artis itu bermasalah dengan mereka, diugut pula akan menyebarkan gambar atau video itu,” katanya.

Dalam pada itu, Zed berkata, Seniman mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan kini mengumpul bukti.

“Kita tahu siapa mereka. Buat masa ini kita mengumpul bukti sebelum tindakan diambil, termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.