Search This Blog

Friday, March 30, 2012

924 kilogram gula dirampas berhampiran sempadan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:





KUCHING 29 Mac - Cubaan sindiket yang mahu menyeludup gula bersubsidi ke negara jiran dengan menjadikan sebuah rumah kosong berhampiran sempadan sebagai transit menyimpan bekalan tersebut berjaya dipatahkan dalam satu serbuan di sebuah perkampung di Tebedu, dekat Serian semalam.


Modus operandi kumpulan tersebut dihidu oleh pihak polis hingga membawa kepada satu serbuan di kediaman berkenaan dan merampas sejumlah 924 kilogram gula dengan nilai keseluruhan RM2,217.


Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi semalam selepas polis memaklumkan kepada pihak kementeriannya mengenai penemuan gula yang disorok di sebuah rumah kosong, namun tiada suspek yang diberkas.


Menurutnya, bekalan gula bersubsidi itu terlebih dahulunya disorok di rumah kosong berkenaan sebelum dipercayai diseludup ke negara jiran dengan menggunakan sebuah kenderaan seperti lori pengangkut ais selain menggunakan permit import gula bagi mengelirukan pihak berkuasa di sempadan.


"Mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengemukakan permit gula import untuk membawa masuk gula bersubsidi berkenaan ke negara jiran dan dijual pada harga RM3.80 bagi setiap kilogram.


"Kita juga akan melakukan siasatan terhadap pemilik tanah di mana lokasi rumah kosong itu diserbu bagi memperoleh maklumat lanjut mengenai dalang sindiket terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Dalam pada itu, Wan Ahmad Uzir memberitahu, kejayaan itu merupakan rampasan terbesar gula bersubsidi pada tahun ini hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain iaitu polis.


Katanya, selain bekalan gula, sindiket seumpama itu dipercayai turut berminat menyeludup bekalan tepung serta gas memasak silinder, tidak seperti di kawasan Semenanjung yang lebih gemar menyeludup minyak petrol RON95.


''Berdasarkan pemantauan, kita mendapati jualan minyak petrol RON95 di stesen minyak yang berhampiran sempadan Tebedu itu adalah rendah, mungkin disebabkan faktor kenderaan yang kurang di kawasan berkenaan atau sindiket kurang berminat untuk menyeludup bahan itu," ujarnya.


'via Blog this'

Mini kasino terbesar tumpas

Utusan Malaysia Online - Jenayah:











Sebahagian kaki judi yang ditahan di sebuah lokasi haram di tengah hutan Kampung Batak, Sungai Ara, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, semalam.





PULAU PINANG 29 Mac - Satu sindiket judi haram ala kasino dikesan menjalankan operasi mereka di tengah-tengah hutan di Kampung Batak, Sungai Ara di sini bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.


Malah, kedudukan pusat judi itu yang dikelilingi kebun sayur dan tersorok di belakang sebuah bengkel kereta membuatkan ia sentiasa menjadi tumpuan para kaki judi setiap malam.


Untuk sampai ke lokasi perjudian itu, pengunjung perlu menyeberang sungai dengan menggunakan jambatan dan bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa, setiap simpang masuk ke lokasi itu dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV).


Bagaimanapun, intipan yang dilakukan pihak polis sejak tiga hari lalu membuahkan hasil apabila pusat judi itu diserbu tanpa disedari pengusahanya.


Dalam serbuan yang dilakukan pukul 9.30 malam tadi, seramai 63 kaki judi termasuk 17 wanita berusia antara 30 hingga 70 tahun yang sedang leka berjudi berjaya ditahan.


Polis turut merampas wang tunai RM45,000 dan peralatan judi seperti cip yang bernilai RM65,000.


Kejayaan ini merupakan serbuan lokasi judi haram yang terbesar pernah dilakukan di negeri ini oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.


Ketua Unit Pencegahan Perjudiannya, Deputi Supritendan Tan Tin Heng berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa tiga hari sebelum membuat serbuan berikutan kawasan berkenaan dikawal ketat oleh tonto yang diupah bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.


Selain risikan, ujarnya, serbuan yang disertai seramai 10 pegawai dan anggota itu dibuat berdasarkan maklumat daripada orang awam.


"Penganjur kegiatan haram ini sangat licik kerana mereka menjalankan operasi jauh dari penempatan penduduk. Premis ini agak terlindung dari pandangan umum menyebabkan ia menjadi lokasi perjudian yang sangat strategik," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.


Tin Heng berkata, setiap pertaruhan mampu mencecah sehingga RM250,000, malah ada di antara kaki judi sanggup menggadaikan barang berharga semata-mata mahu meneruskan permainan setelah kehabisan wang tunai.


Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.


Kes ini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.


'via Blog this'

Kediaman tinggi sarang penjenayah

Utusan Malaysia Online - Jenayah:











TUN Hisan Tun Hamzah (depan, tengah) melawat dan berbual-bual dengan penduduk, Zainal Mat Hashim pada majlis pelancaran Vertical Policing di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, semalam. - UTUSAN/wahidin salim





PETALING JAYA 29 Mac - Polis mendapati kebanyakan penjenayah terutama sindiket pengedaran dadah lebih gemar memilih bangunan kediaman tinggi untuk menjalankan kegiatan haram mereka bagi mengelak daripada dikesan.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, bangunan kediaman seperti kondominium, pangsapuri dan flat sering menjadi sarang penjenayah kerana sikap segelintir penghuninya yang jarang mahu mengambil tahu tentang urusan jiran tetangga.


Beliau berkata, disebabkan keadaan itu, premis kediaman ini menjadi pilihan sindiket untuk mengedar dan membina makmal mini memproses dadah, menyimpan hasil barang-barang curi dan samun, tempat simpanan pelacur warga asing, operasi pusat perjudian dan jenayah komersial.


"Sepanjang tahun lalu, kita sudah membongkar lima makmal mini memproses dadah dan membuat 139 tangkapan terhadap pelbagai kesalahan berkaitan dengan dadah dalam kondominium.


"Semua kejayaan ini adalah hasil risikan polis sendiri kerana tiada penghuni tampil memberi maklumat walaupun mungkin mereka juga curiga terhadap kegiatan jiran sebelum itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Vertical Policing di Dewan Serbaguna Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6, Puchong dekat sini hari ini.


Menurut Tun Hisan, program Vertical Policing atau kepolisan naik ke atas yang diperkenalkan hari ini diharap dapat mengatasi masalah jenayah di kawasan bangunan kediaman tinggi di seluruh negeri ini.


Beliau berkata, melalui program ini, ketua polis daerah akan turun padang memberi ceramah kepada pihak pengurusan dan penghuni kediaman untuk mendidik mereka tentang cara-cara mengesan kegiatan jenayah dan bagaimana mahu menyalurkan maklumat kepada polis.


"Semua penghuni harus menyimpan nombor telefon pengawal keselamatan di kawasan kediaman, mengetahui cara menggunakan aplikasi Mydistress dan talian hotline polis Selangor bagi memudahkan mereka menyalurkan maklumat jika curiga tentang kegiatan jiran-jiran.


'via Blog this'

Kehilangan Nur Aqila bimbangkan keluarga

Utusan Malaysia Online - Jenayah:








NORAZURA Mohd. Arshad menunjukkan laporan polis dan gambar anak perempuannya, Nur Aqila Natasha Zaini (gambar kecil, kanan) di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, semalam. Remaja di sebelah Nur Aqila ialah kakaknya, Nur Ain.






KUALA LUMPUR 29 Mac - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.


Nur Aqila Natasha Zaini dikatakan tidak pulang ke rumah bapanya di Bandar Tasik Selatan di sini sebelum satu laporan polis dibuat oleh ibunya, Norazura Mohd. Arshad, 38, di Balai Polis Salak Selatan pada Isnin lalu.


Menurut Norazura, kali terakhir dia berjumpa Nur Aqila Natasha adalah pada 17 Mac lalu ketika anak keempatnya itu datang ke rumahnya di Desa Pakar Jalan Sungai Besi.


"Aqila dan abangnya, Asyrul tinggal bersama bekas suami saya di Bandar Tasik Selatan dan akan datang ke rumah saya apabila ada kelapangan.


"Pada hari itu dia datang bersama seorang rakan perempuannya dan pulang semula pada malam hari yang sama.


"Bagaimanapun, saya terkejut apabila keesokan hari dia menelefon memaklumkan dia berada di The Mines dan belum pulang ke rumah bapanya," katanya ketika datang ke ibu pejabatUtusan Malaysia di sini hari ini.


Menurut Norazura yang bekerja sebagai operator kilang, dia kemudian mengarahkan anaknya itu pulang segera ke rumah bapanya namun Aqila tidak berbuat demikian dan menghilangkan diri.


Pada hari itu, katanya, Aqila yang tidak bersekolah kerana kesempitan hidup memakai baju T dan seluar jean biru.


Norazura yang berpisah dengan suaminya, Zaini Mat Dom, 41, sejak Ogos tahun lalu berkata, anaknya itu kerap memberitahu rakannya bahawa dia sering tertekan berikutan perceraian ibu bapanya.


Sehubungan itu, dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Aqila supaya menghubunginya di talian 01112820924 atau mana-mana balai polis berhampiran.


'via Blog this'

Lima sindiket dadah warga Afrika tumpas

Utusan Malaysia Online - Jenayah:






NOOR Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan alat ganti kenderaan yang digunakan untuk menyeludup dadah pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/IZHAM JAAFAR





KUALA LUMPUR 29 Mac - Lima sindiket dadah antarabangsa didalangi warga Afrika adalah antara enam sindiket yang tumpas dalam beberapa siri serbuan polis di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.


Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah 51.2 kilogram syabu dan 7,728 biji pil ekstasi bernilai RM10.3 juta selain menahan 11 individu iaitu sembilan warga Afrika termasuk dua wanita, serta dua lelaki tempatan.


Kesemua mereka yang ditahan dalam serbuan sejak dua minggu lalu itu berusia antara 20 hingga 48 tahun.


Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika dikesan menyeludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kebanyakan mereka menggunakan pas pelajar.


Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, dalam dua serbuan pertama pada 20 Mac lalu, polis menahan tiga warga Afrika termasuk dua wanita di sebuah rumah di Taman Alpina, Puchong selain merampas syabu yang disorok dalam dua batang silinder besi.


"Susulan penahanan itu, dua lagi lelaki Afrika ditahan di dua lokasi iaitu sebuah hotel sekitar Subang Jaya dan Puchong, Selangor.


"Dalam serbuan di hotel tersebut, seorang daripada lelaki Afrika itu maut selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan tersebut ketika cuba melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.


Dalam serbuan berikutnya, kata Noor Rashid, polis berjaya merampas 53 bungkusan dadah jenis syabu seberat 36.42 kilogram dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Afrika yang disorok dalam enam batang silinder besi berasingan di tempat menyimpan kargo KLIA.


Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dibuat kerana tiada individu yang tampil membuat tuntutan.


Dalam pada itu, Noor Rashid memberitahu, tiga kes berikutnya membabitkan lima lelaki warga Afrika menggunakan taktik menelan ketulan dadah bagi menyeludup masuk dadah ke negara ini.


"Dua daripada mereka yang baru tiba di KLIA disahkan telah menelan masing-masing 44 dan 65 ketulan kapsul," katanya.


Beliau berkata, kelmarin, polis berjaya mematahkan satu lagi sindiket dadah didalangi dua lelaki tempatan serta merampas 7.52 kilogram syabu dan 7,728 biji pil ekstasi di hadapan sebuah pangsapuri di Bukit Jalil.


Polis turut merampas sebuah kereta Mercedes-Benz dan Toyota Wish dipercayai milik suspek. Kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.


'via Blog this'

Eksekutif wanita nafi 42 tuduhan pecah amanah

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:








NOORISHAWATI Rosli dibawa keluar oleh anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/MOHD. AZRAIE MD. YUSOF






PETALING JAYA 29 Mac – Seorang eksekutif jualan yang baru melahirkan anak sulung tiga bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 42 tuduhan pecah amanah wang majikannya membabitkan kerugian berjumlah RM83,678 tiga tahun lalu.


Noorishawati Rosli, 31, yang dilihat berkali-kali menggeleng kepala ketika pertuduhan-pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan lima hakim berasingan, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.


Wanita itu didakwa atas 35 tuduhan sebagai pekerja di syarikat Utas Maju Sdn. Bhd., tidak menyerahkan wang berjumlah RM66,472 yang diterima daripada pelanggan-pelanggan kepada syarikat pembekal barangan makmal kesihatan itu.


Pelanggan-pelanggan tersebut terdiri daripada ahli farmasi, kakitangan klinik dan pihak hospital.


Tertuduh turut didakwa atas enam tuduhan membuat pesanan palsu menggunakan invois syarikat ke atas tiga penama yang bernilai RM12,786 sedangkan penama-penama berkenaan tidak membuat pesanan tersebut.


Tiga penama tersebut adalah Hospital Kota Tinggi, Johor; Klinik Kesihatan Port Dickson, Negeri Sembilan; dan Klinik Kesihatan Simpang Kuala, Kedah.


Dalam satu lagi tuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan resit palsu bernilai RM4,420 atas nama Klinik Kesihatan Port Dickson, Negeri Sembilan sedangkan klinik itu tidak pernah meminta berbuat demikian.


Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat Utas Maju Sdn. Bhd. di No. 15, Blok H, Jalan PJU 1A/3, Taipan 2, Damansara di sini antara 6 Mac 2009 dan 18 Jun 2011.


Dakwaan bagi kesemua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda serta disebat jika sabit kesalahan.


Peguam bela tertuduh, Hidayat Mohd. Noor merayu supaya diberikan wang jaminan yang minimum kerana anak guamnya telah memberi kerjasama dengan pihak polis sepanjang siasatan.


‘‘Selain itu, tertuduh baru melahirkan seorang bayi tiga bulan lalu dan masih menyusu badan,’’ katanya sambil memaklumkan tertuduh bercadang untuk mencagar tanah bernilai RM50,000 sebagai jaminan.


'via Blog this'

Gempa bumi lemah landa Mersing, Johor

myMetro | Gempa bumi lemah landa Mersing, Johor: "KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi berukuran 3.2 pada skala Richter melanda Mersing, Johor pada pukul 9.43 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata gempa itu berpusat di 16km timur laut dari Mersing.
Gegaran kecil mungkin dirasai di sekitar kawasan itu, kata kenyataan itu. - BERNAMA"

'via Blog this'

Sekolah gempar panggilan bom palsu

myMetro | Sekolah gempar panggilan bom palsu:


POH: Lebih 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael di sini, kelam-kabut meninggalkan kelas masing-masing selepas pihak sekolah menerima panggilan bom palsu jam 10.30 pagi semalam.


Semua pelajar diarah berkumpul di padang sekolah selepas seorang guru mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali menyatakan ada bom di bangunan sekolah itu.



Guru itu memaklumkannya kepada pengurusan sekolah sebelum semua pelajar dan kakitangan sekolah diarah berkumpul di padang.




Sepasukan Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dikejarkan ke sekolah itu, tetapi pemeriksaan menyeluruh selama tiga jam gagal menemui sebarang bom atau bahan letupan.



Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, dia dan beberapa rakan lain tidak tahu mengenai panggilan bom itu dan menyangka mereka diarah berkumpul di padang untuk latihan kebakaran.



“Kami dengar loceng penggera dan guru mengarahkan kami berkumpul di padang sekolah. Selepas setengah jam berada di padang, baru kami tahu mengenai panggilan bom berkenaan.








“Kami berkumpul di padang itu hampir tiga jam sebelum dibenarkan pulang ke rumah setengah jam lebih awal dari waktu persekolahan biasa,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang membuat panggilan palsu itu.






“Kita tidak tahu apa motif panggilan itu dibuat, tetapi kita berusaha mengenal pasti identiti pemanggil dan guru yang menerima panggilan berkenaan sudah dipanggil memberi keterangan.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500,” katanya.


'via Blog this'

Anak derhaka dapat balasan

myMetro | Anak derhaka dapat balasan:


KOTA BHARU: Gara-gara hasratnya untuk menjual rim kereta dihalang, seorang penganggur mengamuk dan mengugut bapanya menggunakan pedang, minggu lalu.


Bagaimanapun, perbuatan Mohd Hafizi Mat Hussein, 26, menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor.



Mohd Hafiz memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.




Mengikut pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa mengugut bapa kandungnya Mat Hussein Che Mat, 62, dengan niat menyebabkan ketakutan yang akan mendatangkan kematian kepada warga emas itu di rumahnya di Kampung Setek, Kok Lanas di sini pada jam 10 pagi, 25 Mac 2012.



Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.



Berdasarkan fakta kes, tertuduh tiba-tiba berang dengan mengamuk sambil mengacukan pedang ke arah pengadu selepas hasratnya untuk menjual rim tayar dihalang bapanya itu.








Pengadu yang ketakutan dan bimbang dicederakan bertindak membuat laporan polis yang membawa kepada penahan tertuduh sejurus kejadian. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan kerana dia sudah insaf dengan perbuatannya.



Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.


'via Blog this'

Terkejut lihat rakan tersepit pokok

myMetro | Terkejut lihat rakan tersepit pokok: "SUNGAI PETANI: “Sebaik tiba saya terkejut melihat Mohd Jalil berada di bawah batang pokok kekabu dengan kepala terbenam ke dalam tanah manakala tiga rakannya terduduk lemah di depan mayat arwah yang tersepit itu,” kata Mohd Amron Mat Tahar, 22, antara penduduk terawal membantu mengeluarkan mayat Mohd Jalil Abd Hamid, 53, yang ditimpa pokok kekabu ditebang bersama rakannya, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang di Kampung Pantai Prai, Sidam Kiri di sini, ketika Mohd Jalil, peniaga roti canai, mengambil upah menebang dua pokok durian dan sebatang pokok kekabu bersama tiga rakan.


Bagaimanapun, ketika cuba menarik pokok kekabu sebesar dua pemeluk itu, ia tiba-tiba tumbang ke arah mangsa yang tidak sempat melarikan diri lalu menghempapnya menyebabkan dia mati di tempat kejadian."

'via Blog this'

‘Tak sangka mimpi anak jadi nyata’

myMetro | ‘Tak sangka mimpi anak jadi nyata’:


SUNGAI PETANI: “Saya tidak sangka mimpi anak perempuan tiga hari lalu melihat ayahnya meninggal dunia benar-benar menjadi kenyataan,” kata Che Jam Hashim, 52, isteri kepada Mohd Jalil Abd Hamid, 53, yang mati dihempap pokok kekabu di tebangnya, kelmarin.


Che Jam dari Kampung Permatang Tiga, Penaga berkata, dia terkejut apabila anak tunggalnya, Mastura, 32, memberitahu, bermimpi bapanya meninggal dunia tetapi menganggap ia mainan tidur.



“Malah, saya juga memberitahu mungkin rezeki akan datang tetapi tidak menyangka sama sekali mimpi Mastura sebagai petanda suami akan pergi meninggalkan kami dan agak terkilan kerana tidak sempat memberitahu arwah.




“Sebelum kejadian, saya ada menelefon suami jam 10 pagi semalam (kelmarin) untuk bertanya di mana dia berada selepas menerima SMS daripadanya.



“Suami memberitahu dia berniaga roti canai di hadapan rumah mentuanya di Kampung Ekor Kucing, Kepala Batas dan sempat memberitahu, paha kanan dia terluka terkena gergaji ketika memotong pokok dua hari lalu,” katanya.



Arwah meminta isterinya itu tidak bimbang kerana luka berkenaan hanya sedikit.








“Itu perbualan terakhir dengan suami sebelum saya menerima panggilan telefon daripada saudara kira-kira jam 6.20 petang memaklumkan dia meninggal dunia dihempap pokok kekabu.



“Saya pernah menasihatinya agar berhenti mengambil upah menebang pokok kerana kerja itu bahaya. Saya bimbang keselamatannya, namun arwah hanya mendiamkan diri,” katanya di Jabatan Forensik (HSAH), di sini, malam kelmarin.







Jenazah Mohd Jalil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ekor Kucing, Kepala Batas, semalam.



Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa mengalami kecederaan dalaman yang teruk akibat dihempap pokok kekabu yang ditebang bersama tiga rakannya, petang kelmarin.



Berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa disebabkan tulang rusuknya yang patah menikam jantungnya.



'via Blog this'

Ibu hilang tengah sungai

myMetro | Ibu hilang tengah sungai:


SRI AMAN: “Ibu tenggelam secara tiba-tiba. Saya tidak sempat menyelamatkannya kerana saya sendiri hampir lemas,” kata seorang remaja yang terkilan kerana gagal menyelamatkan emak tersayang selepas perahu mereka karam dipukul ombak besar di Sungai Sinjur, Batang Lupar di sini, kelmarin.


Embang anak Mendi @ Bunyan, 48, dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki terbalik akibat dipukul ombak besar, jam 3.30 petang.



Menceritakan insiden menyedihkan itu, Alexson Inggam Jantan, 15, berkata, ketika kejadian dia dan ibu serta adik, Bradney, 12, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mengerjakan sawah padi di seberang sungai berkenaan.




“Ketika dalam perjalanan, ribut melanda secara tiba-tiba menyebabkan berlaku ombak di sungai menyebabkan perahu terumbang-ambing di tengah sungai.



“Keadaan menjadi lebih buruk apabila perahu dimasuki air dan terbalik. Semuanya terlalu pantas menyebabkan kami semua panik,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.



Alexson berkata, dia dan Bradney nekad berenang ke tebing sungai walaupun menghadapi kesukaran kerana keadaan sungai bergelora.








Dalam keadaan kelam-kabut itu, dia terpandang kelibat ibunya yang tenggelam timbul serta nekad berusaha mencapai tangannya, tetapi tidak berjaya sebelum wanita itu tenggelam dan hilang.



Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, Asisten Superintendan Ang Tuan Peck, berkata polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.






Beliau berkata, operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 6 petang kelmarin berikutan cuaca tidak mengizinkan dan disambung semula esoknya.



“Operasi membabitkan 14 anggota dan tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu, turut dibantu Polis Marin Kuching yang tiba di lokasi kejadian petang ini (semalam).



“Sehingga jam 5 petang tadi (semalam), mangsa belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat digerakkan di sepanjang sungai, tetapi tiada tanda menunjukkan mangsa ditemui,” katanya.



Difahamkan, penduduk, termasuk dari rumah panjang berdekatan turut bersama dalam operasi itu menggunakan perahu masing-masing sebaik berita dilaporkan


'via Blog this'

Meraung bawah lori terbalik

myMetro | Meraung bawah lori terbalik:


ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan selama lebih 45 minit selepas kenderaan berat membawa muatan batu kerikil dipandunya terbalik di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang dekat sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Abd Ghani Md Noh, 51, dalam perjalanan dari Masjid Tanah ke bandar Melaka dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan lori tiga tan dipandunya meletup.



Berikutan itu, kenderaan mangsa terseret kira-kira 10 meter dan terbalik dengan empat tayar ke atas menyebabkan mangsa tersepit.




Saksi kejadian dikenali Ramasamy, 45, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Sungai Udang ke Masjid Tanah terdengar letupan kuat ketika melalui satu selekoh berbukit sebelum melihat lori dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan terbalik menyebabkan muatan batu kerikil bertaburan.



“Saya dan beberapa orang awam segera memberhentikan motosikal dan berlari ke arah mangsa yang sedang meraung kesakitan.



“Mangsa bagaimanapun gagal dikeluarkan kerana lorinya terbalik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.








Dalam kejadian itu, mangsa bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan di kaki kiri.



Sementara itu, seorang saksi yang memandu di belakang lori terbabit, Ismail Khamis, 37, berkata, dia terkejut apabila tayar lori terbabit tiba-tiba meletup menyebabkan kenderaan itu terhoyong-hayang sebelum terbabas dan merempuh tebing lalu terbalik.







“Nasib baik saya sempat memperlahankan motosikal dan mengelak kerana muatan batu kerikil dibawa bertaburan atas jalan,” katanya.



Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Joned, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 3.15 petang.



“Sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamatkan pemandu lori itu,” katanya.


'via Blog this'

Wanita buntu suami tidak pulang setahun

myMetro | Wanita buntu suami tidak pulang setahun:


KUALA LUMPUR: Seorang wanita dari Kelana Jaya, Petaling Jaya buntu berikutan kehilangan misteri suaminya sejak setahun lalu yang masih belum terungkai hingga kini.


Keadaan itu dirasai wanita berkenaan yang mahu dikenali Ina, 50, yang bimbangkan keselamatan suaminya, Sulaiman Ahmad, 44, selepas didakwa ke Jakarta, Indonesia untuk menguruskan perniagaannya pada Januari tahun lalu.



Menurutnya, kali terakhir dia bertemu suaminya pada penghujung Disember 2010 ketika berada di Johor bagi menghadiri kenduri saudara mereka.




Namun, dia dan anak terpaksa kembali ke ibu kota lebih awal dan meninggalkan Sulaiman kerana perlu menguruskan persekolahan anak selain kembali bekerja.



“Dia sempat menghubungi saya memaklumkan mahu ke Jakarta pada Januari 2011 dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Ketika berbual dia sempat meminta saya menjaga diri dan anak dengan baik.



“Saya tak sangka itu perbualan terakhir saya dengannya,” katanya yang datang ke Balai Berita, di sini.








Ina berkata, sejak mendirikan rumah tangga bersama Sulaiman selama 21 tahun mereka tidak pernah bertelingkah dan menghadapi masalah besar apatah lagi suaminya sememangnya begitu menyayangi mereka sekeluarga.



Katanya, sejak menjalankan perniagaan di Indonesia tiga tahun lalu, Sulaiman kerap ke sana sehingga berada hampir sebulan sebelum pulang bertemu dia dan anak.






“Saya yakin dia masih hidup dan berada di negara ini kerana berdasarkan siasatan imigresen tiada rekod menyatakan dia ke Jakarta. Saya tidak pasti apa punca yang menyebabkan dia tidak pulang ke rumah atau menghubungi kami sejak setahun lalu.



“Sudah pelbagai usaha saya dan anak lakukan termasuk melalui perubatan secara Islam bagi mengesannya, namun usaha itu sehingga kini masih gagal,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya pada Jun tahun lalu.



Menurutnya, ketika mendapatkan khidmat pengamal perubatan, suaminya didakwa terkena ilmu sihir yang mana menyebabkan dia lupa tanggungjawab terhadap keluarga dan selain didapati sudah berkahwin lain.



“Jika benar dia sudah berkahwin, saya reda. Saya tak minta apa-apa, cuma saya mahu dia pulang dan selesaikan masalah ini kerana anak begitu merindui ayah mereka,” katanya.



Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sulaiman diminta menghubungi anaknya, Hazim di talian 013-2356778.


'via Blog this'

Saluran asap restoran di Suria KLCC terbakar

Kosmo! Online - Negara:






ASAP dari Restoran Chenoz on The Park (gambar kecil) yang keluar dari podium bumbung Suria KLCC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.





KUALA LUMPUR - Pusat beli-belah terkemuka Suria KLCC semalam terpaksa ditutup selama sejam ekoran berlaku kebakaran pada sistem saluran asap di Restoran Chinoz on The Park.


Semasa kejadian pada pukul 5.30 petang, orang ramai yang terdiri daripada pengunjung dan pekerja yang kesemuanya berjumlah kira-kira 5,000 orang diarahkan mengosongkan pusat beli-belah itu.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, orang ramai diarahkan keluar oleh pihak keselamatan Suria KLCC bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sebaik berlaku kebakaran dan menyebabkan asap tebal di sebuah restoran di pusat beli-belah itu.


Menurut beliau, kebakaran tersebut berlaku pada sistem saluran asap yang terletak dalam Restoran Chinoz on The Park.


"Asap tebal dari restoran dapat dilihat di podium bumbung Suria KLCC sejauh kira-kira tiga kilometer," kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.


'via Blog this'

Mini kasino dalam kebun sayur

Kosmo! Online - Negara:












KESEMUA 63 kaki judi di kebun sayur Kampung Batak, Sungai Ara yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, George Town kelmarin.






GEORGE TOWN - Siapa sangka di belakang sebuah bengkel membaiki kenderaan yang terletak di pinggir hutan dan dikelilingi kebun sayur di Kampung Batak, Sungai Ara di sini rupa-rupanya menempatkan sebuah mini kasino yang popular dalam kalangan kaki judi yang sudah berusia.


Bagi memastikan mini kasino yang terletak dua kilometer dari jalan besar itu selamat, sindiket judi haram yang mengoperasikan kegiatan itu mengupah beberapa orang tonto untuk mengawasi kawasan tersebut.


Malah kawasan terpencil itu juga dilengkapi sebanyak 16 buah kamera litar tertutup (CCTV). Antara lokasi CTTV yang dipasang termasuk di beberapa simpang jalan masuk ke mini kasino yang beroperasi selama 24 jam.


Namun setelah sebulan beroperasi, pada pukul 9.30 malam kelmarin, mini kasino yang dibina dengan khemah itu diserbu sepasukan polis dari Unit Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.


Serbuan itu dilakukan selepas beberapa anggota polis terpaksa menyamar sebagai kaki judi untuk masuk ke mini kasino itu.


Ketua operasi D7, Deputi Superintendan Tan Tin Heng berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membuat risikan kerana mini kasino itu diawasi CCTV dan tonto.


"Polis terpaksa mengumpul maklumat daripada orang awam dan membuat penyamaran sebelum membuat serbuan malam tadi (kelmarin)," kata beliau selepas serbuan itu.


'via Blog this'