
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap memeriksa runtuhan silo iaitu peralatan penyimpanan biji jagung untuk memproses makanan haiwan di Kampung Valdol, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
NIBONG TEBAL 26 Mac - Dalam tempoh dua minggu, empat batang silo iaitu peralatan berupa silinder yang digunakan untuk menyimpan biji jagung di sebuah kilang memproses makanan haiwan di Kampung Valdor, Sungai Bakap dekat sini runtuh.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk berhampiran kerana terdapat empat batang silo lagi setinggi 20 meter yang memuatkan 1,000 tan metrik biji jagung untuk membuat dedak dan ia terletak kira-kira 30 meter dari rumah penduduk.
Dalam kejadian pertama pada 13 Mac lalu, tiga batang silo di situ bocor mengakibatkan biji jagung melimpah di dalam kilang terbabit, namun tiada sebarang kejadian buruk berlaku.
Namun, pada pukul 9.30 pagi ini, sebatang lagi silo tersebut pecah mengakibatkan ia melimpah ke jalan raya dan rumah penduduk sehingga mencederakan dua orang awam iaitu seorang wanita berusia 40-an dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang sedang melalui kawasan terbabit.
Menurut seorang penduduk, Goh Por Hua, 41, penduduk di kawasan itu pernah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat sejak beberapa tahun lalu mengenai masalah habuk yang timbul akibat kilang tersebut, namun tiada sebarang tindakan diambil.
"Banyak aduan dibuat kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan wakil rakyat kerana suasana tidak selesa yang dialami penduduk akibat habuk daripada kerja-kerja memproses makanan haiwan itu serta isu keselamatan kami di sini.
"Hari ini kebimbangan kami berasas apabila silo ini pecah sehingga mencederakan orang awam, selain biji jagung memenuhi jalan dan halaman rumah kami," katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi penduduk, Low Kim Seng, 26, berkata, kilang itu dibina sejak 30 tahun lalu dan beroperasi 24 jam sehingga menimbulkan gangguan kepada penduduk.
Katanya, setiap hari penduduk terpaksa membersihkan habuk yang melekat di kereta serta tingkap rumah manakala pakaian tidak boleh dijemur di halaman rumah.
"Saya harap kejadian hari ini dapat membuka mata pihak berkuasa untuk memantau operasi kilang ini yang mengancam keselamatan penduduk.
"Mujurlah mangsa terlibat hanya cedera ringan, namun kami tetap bimbang kerana ada empat lagi silo berisi biji jagung yang mungkin boleh runtuh jika tidak dipantau," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Mohd. Affendi Ishak memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.35 pagi dan tiba ke tempat kejadian lima minit kemudian.
Menurutnya, enam anggota bersama seorang pegawai terlibat dalam operasi menyelamat itu dibantu dengan anggota bomba sukarela.
"Selain dua mangsa cedera, sebanyak empat rumah turut terkena apabila strukturnya mengalami keretakan kecil akibat gegaran runtuhan itu.
"Saya melaporkan perkara ini kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk memantau keadaan kilang dan struktur empat silo yang masih digunakan," katanya.
'via Blog this'