Search This Blog

Monday, March 26, 2012

Ibu lega pembunuh anak ke mahkamah


JOHOR BAHRU 25 Mac – Ibu kepada Nurul Nadirah Abdullah, kanak-kanak berusia 5 tahun yang dibunuh dan dibakar, kini mampu menarik nafas lega apabila mengetahui suspek yang bertindak kejam ke atas anaknya akan didakwa di mahkamah di sini esok.
Roselyn Alan, 25, berharap suspek akan dikenakan hukuman setimpal ekoran tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan ke atas anaknya yang lebih dikenali sebagai Dirang.
“Saya lega dengar berita ini dan akan hadir di mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes tersebut.
“Apa pun hukuman yang diterima pembunuh itu, ia tetap tidak setimpal dengan apa yang dilakukan ke atas Dirang,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Mokhtar dan isteri, Datin Bibi Zakiah Meraslam mengunjungi keluarga itu bagi menyampaikan perkembangan kes Dirang selain menghulurkan sumbangan kepada Roselyn di rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Dirang diculik ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai dekat rumahnya pada pukul 11 pagi 1 Mac lalu.
Ekoran daripada itu, polis menahan empat individu termasuk bapa kandung Dirang sebelum menemui rangka yang rentung di sebuah rumah terbengkalai di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu.
Rangka tersebut kemudian disahkan pada 12 Mac lalu sebagai mayat Dirang selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap rangka terbabit sepadan dengan DNA Roselyn.
Dalam pada itu, Roselyn turut mengakui mereka sekeluarga hidup dalam ketakutan selepas kejadian yang menimpa Dirang.
Malah, dakwanya, beberapa kejadian telah menimpa mereka sekeluarga termasuk cubaan orang tidak dikenali menceroboh rumah selain seorang adiknya, Mohd. Hakim Alan, 14, dikejar lelaki tidak dikenali ketika keluar dari rumah beberapa kali.
“Pernah satu ketika, tiga lelaki menaiki kereta Kancil cuba mengejar dan menangkap Mohd. Hakim dan menyebabkan dia berlari ke surau berdekatan untuk menyelamatkan diri,” jelasnya.
Sehubungan itu kata Roselyn, mereka sekeluarga kini telah berpindah ke blok berlainan di flat berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Budak hantar SMS ugutan


JOHOR BAHRU 25 Mac - Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kisah tragis kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang ditemui dibunuh dan dibakar di sebuah rumah terbengkalai di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu.
Kes Nurul Nadirah yang lebih dikenali sebagai Dirang itu menjadi tumpuan sehingga ada pihak yang bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan meminta wang tebusan kepada ibu kanak-kanak itu, Roselyn Alan, 25.
Namun, polis hari ini mengesahkan SMS ugutan tersebut sebenarnya dihantar oleh dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Berikutan usia kanak-kanak itu, kes ugutan tersebut terpaksa ditutup kerana ia tidak menjadi satu kesalahan seperti diperuntukkan Seksyen 83 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia difahamkan, kanak-kanak terlibat mengambil kesempatan menghantar SMS ugutan itu kepada Roselyn selepas membaca laporan akhbar berhubung kehilangan Dirang.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mengikut Seksyen 83 Kanun Keseksaan, tidak menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh kanak-kanak berusia lebih 10 tahun tetapi kurang daripada 12 tahun kerana belum cukup akal untuk menimbangkan keadaan dan akibat.
Katanya, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), namun kes ini terpaksa ditutup kerana ia dihantar oleh kanak-kanak berusia 11 tahun.
''Seorang lelaki dan pasangannya yang merupakan warga asing ditahan di Kota Bharu, Kelantan dan siasatan mendapati SMS itu dihantar oleh anak lelaki itu dan rakan sebaya kanak-kanak tersebut,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Polis Ke-205 Kontinjen Johor yang dihadiri lebih 2,000 pegawai dan anggota polis negeri ini di Setia Indah di sini hari ini.
Pada 16 Mac lalu, Polis Kelantan menahan seorang bekas tentera di rumahnya di Kampung Belukar, Pulai Chondong, Machang pada pukul 3 pagi kerana disyaki terlibat menghantar SMS berbaur ugutan kepada Roselyn pada 8 Mac lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tiga telefon bimbit termasuk satu daripadanya yang digunakan suspek ketika menghantar SMS berkenaan kepada Roselyn.
Suspek kemudian direman selama tiga hari sehingga 18 Mac dan diserahkan kepada Polis Johor untuk tindakan lanjut.
Nurul Nadirah yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai pada hari yang sama SMS ugutan diterima.
Polis mengesahkan mayat rentung yang ditemui adalah Dirang pada 12 Mac lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap rangka terbabit sepadan dengan DNA Roselyn.

Anggota JI tidak berada di Sabah



JURUCAKAP Angkatan Tentera Filipina, Kolonel Marcelo Burgos menunjukkan gambar Zulkifli Abdul Hir atau Marwan di utara Manila, Februari lalu.


KOTA KINABALU 25 Mac - Polis Sabah hari ini menolak kemungkinan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) kelahiran Johor, Zulkifli Abdul Hir atau Marwan berada atau memasuki negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Hamza Taib berkata, sempadan negara khususnya di negeri ini sentiasa dikawal ketat dan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan.
"Sabah sentiasa dikawal baik dan masyarakat tidak perlu risau," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Polis Ke-205 peringkat negeri di Stadium Majlis Daerah Putatan di sini, hari ini.
Menurut Hamza, berdasarkan kepada laporan risikan, Marwan dikatakan masih hidup.
Minggu lalu, Timbalan Ketua Jabatan Petugas Khas/Counter Terrorism, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang memetik sumber risikan berkata, pihaknya percaya Zulkifli masih hidup.
Bulan lalu, tentera Filipina melaporkan, tiga pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara terbunuh dalam serangan udara di Pulau Jolo.
Pihak tentera negara itu berkata, antara yang terbunuh termasuk Zulkifli, yang merupakan seorang jurutera di Amerika Syarikat dan disyaki menyediakan bom buatan sendiri kepada kumpulan pengganas di rantau ini.
Bagaimanapun, sehingga kini, pihak tentera negara tersebut masih tidak menunjukkan sebarang bukti mengenai kejayaan mereka membunuh ketiga-tiga pengganas terbabit.

Pusat hiburan tarian tiang diserbu



Aksi dua daripada tiga gadis penari tiang yang sempat dirakamkan di sebuah pusat hiburan di Nilai, kelmarin.


SEREMBAN 25 Mac - Pusat hiburan ini baru sahaja beroperasi selama sebulan, namun sajian dihidangkan kepada pengunjung premis berkenaan cukup erotik.
Apa tidaknya, tiga gadis berpakaian seksi dengan aksi mengghairahkan di tiang selama 10 minit bagi dua sesi sudah pasti membuat premis berkenaan mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Namun, kegiatan luar batasan undang-undang di premis berkenaan dipatahkan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sini Sabtu lalu.
Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri memberkas 32 orang atas pelbagai kesalahan.
Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Yusharifuddin Mohd. Yusop memberitahu, premis berkenaan diserbu kira-kira pukul 2 pagi selepas pihaknya menerima maklumat orang ramai selain risikan yang dibuat oleh pihaknya.
Mengulas mengenai kewujudan tarian tiang di premis berkenaan, Yusharifuddin memberitahu, kesemua gadis yang berusia antara 23 hingga 25 tahun itu menari selama 10 minit untuk dua sesi dengan menerima bayaran antara RM200 hingga RM250.
"Sesi tarian ini bermula pukul 1.20 hingga 1.30 pagi manakala sesi kedua pula pada pukul 2.20 hingga 2.30 pagi," katanya ketika ditemui selepas mengetuai serbuan itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap pengunjung premis berkenaan, tujuh daripada mereka yang berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan kerana didapati positif mengambil dadah dipercayai jenis ketamin dan ekstasi.
Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, 24 individu yang berusia antara 19 hingga 63 tahun ditahan kerana mengambil minuman keras di premis berkenaan.
Beliau berkata, kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 78, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mengambil minuman keras.

Kenyataan lima remaja diambil


SHAH ALAM 25 Mac - Polis sudah mengambil kenyataan lima remaja warga Myanmar yang ditemui bersama Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan, 15, di Bangkok, Thailand baru-baru ini selepas remaja itu dilaporkan hilang pada Januari lalu.
Selain itu, polis turut mengambil keterangan Nazatul Fardiana dan ibu bapanya bagi melengkapkan siasatan kes itu.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, polis sedang menyiasat secara terperinci setiap kenyataan yang diambil daripada remaja-remaja itu yang sebelum ini dikatakan diculik untuk dijadikan pelacur.
"Percanggahan antara mereka yang diambil kenyataan dalam kes ini memang ada. Kita sekarang sedang menyiasat untuk mengesahkan sama ada betul atau tidak keterangan yang diberikan dan ia akan dimaklumkan pada sidang akhbar dalam tempoh terdekat.
"Polis akan siasat secara terperinci kejadian ini bermula dari hari Nazatul Fardiana dilaporkan hilang sehingga dia ditemui semula iaitu dalam tempoh sebulan," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis Ke-205 peringkat Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.
Nazatul Fardiana dilaporkan hilang sejak 30 Januari lalu setelah ibunya, Norazura Roski, 37, menghantar mangsa ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 di sini untuk ke rumah rakannya.
Remaja itu menghubungi ibunya pada 12 Mac lalu memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan berjaya melarikan diri sebelum diselamatkan Polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok, bersama-sama lima remaja Myanmar.
Lima remaja berusia antara 14 dan 17 tahun itu telah dibawa pulang ke negara ini pada Jumaat lalu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Zahedi berkata, siasatan kes tersebut hampir siap dan menjurus kepada Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.

Suspek kes bunuh peniaga Korea bunuh diri


KUALA LUMPUR 25 Mac - Siasatan kes kehilangan seorang ahli perniagaan Korea Selatan, Kim Chong Yong sejak 31 Oktober lalu mungkin semakin rumit selepas suspeknya dipercayai mati selepas membunuh diri di sebuah penjara di Korea Selatan.
Menurut sumber, suspek yang juga seorang warga Korea Selatan berusia lingkungan 50-an dipercayai membunuh diri minggu lalu di sebuah penjara di Seoul.
Suspek dipercayai kenalan mangsa yang dikatakan melarikan diri ke Hong Kong dari negara ini awal tahun ini selepas dicari oleh polis bagi membantu siasatan kes kehilangan mangsa.
Dia bagaimanapun ditahan selepas didapati menggunakan identiti dan pasport palsu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Korea Selatan.
"Lelaki itu dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah di Korea Selatan, termasuk penglibatannya dalam kumpulan gengster dan dia telah dipenjarakan di sana," kata sumber itu hari ini.
Pada 31 Oktober lalu, Chong Yong, 53, yang tinggal di negara ini sejak dua dekad lalu dilaporkan hilang dari kediamannya.
Presiden Majlis Sukan Korea Selatan di Malaysia itu dilihat kali terakhir di sebuah pusat hiburan di Desa Sri Hartamas antara pukul 9 malam hingga 1 pagi pada 30 Oktober bersama seorang lelaki dipercayai rakan senegaranya.
Selepas kehilangan Chong Yong tersebar, rakan senegara mangsa, difahamkan melarikan diri ke luar negara.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia bekerjasama dengan polis antarabangsa untuk mengesan suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan.
Kereta Mercedes-Benz model CLS350 milik mangsa dengan satu daripada tayarnya rosak teruk, ditemui ditinggalkan di kondominium tersebut 1 November lalu dan laporan polis mengenai penemuan kenderaan itu dibuat empat hari kemudian oleh anak perempuan mangsa yang baru tiba dari Britain.

Dua suspek didakwa hari ini

myMetro | Dua suspek didakwa hari ini:

JOHOR BAHRU: Dua suspek utama kes pembunuhan kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang pada 1 Mac lalu, dijangka dituduh di mahkamah, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff bagaimanapun enggan mengulas berkaitan nasib seorang lagi suspek, sama ada dia akan turut didakwa atau dibebaskan.

“Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada 1 Mac lalu iaitu pada hari sama Dirang dilaporkan hilang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.
“Seorang lagi suspek didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana penyalahgunaan dadah,” katanya.

Mokhtar ditemui pada majlis Perhimpunan dan Melafaz Ikrar Sempena Peringatan Hari Polis ke-205 di kawasan tempat letak kereta Pasaraya Maslee, Setia Indah di sini.

“Saya bangga dengan kecekapan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor yang komited dalam menjalankan siasatan berkaitan kes pembunuhan kejam ini hingga membolehkannya diselesaikan diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.
Menurut Mokhtar, kes pembunuhan Dirang dianggap selesai selepas suspek didakwa di mahkamah dan ia sekali gus diharap mampu memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

“Suspek akan digantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan dan ia diharap memberi pengajaran kepada penjenayah yang ligat melakukan jenayah.
“Jangan sesekali terfikir dengan membakar mayat mangsa ia dapat menghapuskan bukti,” katanya.

Dirang disahkan mati dibunuh sebelum dibakar selepas ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan terhadap rangka manusia ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu mendapati ia sepadan DNA ibunya, Roselyn Alan, 25.

Tiga suspek membabitkan sepasang kekasih dan seorang lelaki ditahan polis pada hari Dirang dilaporkan hilang manakala bapa kandung kanak-kanak berkenaan, Handry Yongot, yang berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan pada 8 Mac lalu.

Namun, pada 16 Mac lalu, Handry disahkan tiada kaitan dengan pembunuhan kejam itu dan dihantar pulang ke negara asalnya, Filipina kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Terbaru, pada Jumaat lalu, ketiga-tiga suspek utama disambung reman sehingga 30 Mac ini bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

'via Blog this'

myMetro | Nur Fatihah tidak dinoda

myMetro | Nur Fatihah tidak dinoda: "PEKAN: Tindakan tegas akan dikenakan kepada remaja, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, yang membuat laporan polis dirinya dirogol sedangkan pemeriksaan mendapati tiada kesan diperlakukan demikian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, pemeriksaan doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, mendapati tiada kesan boleh mengaitkan remaja berkenaan dirogol.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada kesan koyak atau cedera pada kemaluan remaja terbabit yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Katanya, pihaknya tidak pasti tujuan utama remaja itu membuat laporan polis dia dirogol teman lelakinya tiga hari lalu sedangkan kejadian itu tidak berlaku.


“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti tujuan sebenar remaja itu berbuat demikian selepas dia dikesan berada di rumah teman lelakinya yang berusia 26 tahun di Kampung Merchong, dekat sini."

'via Blog this'

Pencuri identiti tumpas

myMetro | Pencuri identiti tumpas:GEORGETOWN: Hasil enam aduan awam yang diterima berkaitan kecurian data maklumat peribadi permohonan sub kad kredit membawa kepada penahanan lima lelaki termasuk seorang penolong pengurus sebuah bank, di sini.
Berikutan itu, polis percaya dapat melumpuhkan satu sindiket pemalsuan permohonan kad kredit yang menggunakan identiti diri palsu bernilai lebih RM1 juta yang aktif sejak Mac tahun lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub berkata, kelima-lima suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun itu ditahan hasil operasi di beberapa lokasi bermula dari 3 Oktober tahun lalu sehingga Jumaat lalu hasil maklumat dan risikan dilakukan berdasarkan aduan awam yang diterima.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri diketuai Inspektor N Muniandy melakukan sembilan serbuan di beberapa lokasi mereka dipercayai mencuri data peribadi mangsa yang dihantar kepada bank sebelum menggunakannya.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi mereka cukup licik termasuk memperoleh data milik mangsa yang pernah dihantar kepada pihak bank melalui ejen kad kredit dan mereka mencurinya sebelum membuat permohonan baru dengan membuat beberapa pengubahsuaian maklumat mangsa.

“Mereka mengubah nombor telefon mangsa kepada nombor telefon sindiket yang didaftarkan atas nama individu tertentu dan alamat penerimaan kad kredit di kediaman yang disewa sindiket.
“Selepas memperoleh kad kredit itu, mereka membuat pelbagai transaksi menggunakan kad di sekitar pusat bandar, Bayan Lepas dan juga Songkhla, Thailand,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati transaksi itu membabitkan bayaran bagi penginapan hotel, restoran dan pusat hiburan serta pengeluaran wang tunai di mesin juruwang automatik (ATM).
Katanya, suspek juga mengambil wang tunai tanpa pembelian barang dengan nilaian serendah RM1,000 hingga RM40,000,” katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Polis ke-205 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini semalam. Hadir sama di majlis itu adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Roslee Chik.

Ayub berkata, pihaknya turut merampas dua unit komputer riba, 13 slip transaksi kad kredit bernilai RM173,523, satu surat perjanjian sewa rumah, resit pembayaran sewa rumah (tiga), bil telefon (12), kad kredit (18), kad sim prabayar (10), telefon bimbit (enam), pek permulaan pra bayar syarikat telekomunikasi (empat), satu mesin faksimili dan telefon.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang satu tahun atau melebihi 10 tahun atau sebatan dan denda.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 468/471 kanun sama yang boleh membawa tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

“Polis menasihatkan orang ramai yang ingin membuat permohonan kad kredit agar menggunakan saluran betul dan elak menggunakan perkhidmatan ejen serta pastikan salinan kad pengenalan ketika penyerahan kepada pihak bank dipalang.

“Jangan layani sebarang panggilan telefon orang tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai bank untuk mengemaskini data dan pin peribadi,” katanya.

'via Blog this'

Peluk tiang 2 kali seminggu

myMetro | Peluk tiang 2 kali seminggu:SEKSI...aksi tiga gadis ketika mempersembahkan tarian tiang.
SEKSI...aksi tiga gadis ketika mempersembahkan tarian tiang.
BERKAS...sebahagian daripada pelanggan yang ditahan.
BERKAS...sebahagian daripada pelanggan yang ditahan.
NILAI: Berbekalkan wajah cantik dan tubuh menawan, tiga wanita tempatan memperoleh pendapatan lumayan dengan melakukan persembahan ghairah tarian tiang sambil berpakaian seksi selama 10 minit di sebuah pusat hiburan di daerah ini.
Difahamkan, mereka yang berusia 23 hingga 25 tahun melakukan tarian itu dua kali seminggu di premis berkenaan dengan bayaran RM200 hingga RM250 seorang bagi sesi berasingan iaitu pada jam 1.20 pagi dan sejam berikutnya.
Wanita berasal dari utara dan selatan tanah air itu dipercayai melakukan persembahan mengikut tema berbeza, antaranya tarian ‘ballet’ yang seksi termasuk hanya berbikini untuk tontonan pelanggan.

Mereka termasuk seorang yang dikatakan menjadi ketua kumpulan itu yang menjadikan tarian tiang sebagai kerjaya, hanya menerima undangan daripada pemilik premis hiburan.

Perkara itu dibongkar sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang menyerbu pusat hiburan berkenaan, jam 2 pagi kelmarin.

'via Blog this'

‘Terkena sihir’

myMetro | ‘Terkena sihir’: "KUALA LUMPUR: Seorang ibu hanya mampu menangis mengenang nasib tiga anak perempuannya yang didakwa dilarikan menantu lelaki sejak tiga tahun lalu dan kini dikatakan menjadi pelacur.

Wanita berusia 57 tahun itu kini hanya mampu berdoa supaya tiga anak perempuan yang berusia 30-an bersama enam cucu berusia antara dua dan 15 tahun pulang ke pangkuan keluarga.

Warga emas berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Rohaya, 57, berkata, sumber polis dan bomoh yang ditemuinya berkata, ketiga-tiga anaknya itu kini dipercayai berada di negara jiran.

Rohaya berkata, menantu mualaf berusia 40-an yang berniaga di pasar malam itu mengahwini anak perempuan sulungnya pada 2005 dan tembelangnya terbongkar pada September 2009 apabila mengambil kesempatan membawa lari adik iparnya berusia 31 tahun yang sudah bersuami bersama lima anaknya yang berusia di antara dua bulan dan tujuh tahun.


Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, katanya, pada 2010 sekali lagi dia sekeluarga dikejutkan dengan berita kehilangan anak kedua berusia 34 tahun bersama tiga anak perempuannya yang dibawa lari menantunya itu dari rumah suaminya di Batu Kurau, Perak."

'via Blog this'

Patah ibu jari

myMetro | Patah ibu jari:KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas patah ibu jari dan luka di tangan kiri kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas diserang seorang lelaki yang menceroboh masuk ke sebuah pusat jagaan warga emas di Klang Lama, Khamis lalu.
Berikutan kejadian itu, mangsa berusia 75 tahun kini trauma, namun keadaannya dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan di pusat perubatan berkenaan. 
Menceritakan kejadian itu, pengurus pusat jagaan itu, Maha Lashimi Ramaloo, 51, berkata, penceroboh terbabit masuk ke dalam pusat jagaan berkenaan dari dapur sebelum menceroboh bilik mangsa melalui tingkap.

Menurutnya, ketika kejadian pada jam 1 pagi itu, kebanyakan penghuni sedang tidur menyebabkan suspek mengambil kesempatan memecah masuk sebelum mangsa terjaga.

“Mangsa yang ketakutan kemudian terus menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek yang panik terus menyerangnya dengan pisau dicuri di dapur.

'via Blog this'

Lepas dera, rogol pula

myMetro | Lepas dera, rogol pula:

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 40-an yang baru keluar dari penjara dua bulan lalu atas kesalahan mendera anak tirinya, ditahan polis kerana dipercayai merogol seorang lagi anak tirinya berusia 12 tahun di rumahnya di Kampung Baru, Sungai Pasir, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Hashim Ali berkata, lelaki terbabit ditahan jam 5 petang oleh sepasukan anggota polis selepas menerima laporan mengenai suspek merogol anak tirinya.

Katanya, suspek yang baru dibebaskan dari penjara Januari lalu, kini di tahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.
“Suspek pernah ditahan polis kerana mendera anak tirinya berusia 10 tahun dengan menjerutnya menggunakan tali gasing, Ogos tahun lalu.

“Akibat perbuatan itu, suspek dihukum penjara dua bulan, namun sebaik keluar dari penjara suspek bertindak ganas dengan merogol anak tirinya berusia 12 tahun (kakak kepada mangsa jerut),” katanya.

'via Blog this'

Padah terajang sepupu

myMetro | Padah terajang sepupu:

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh yang menendang perut sepupunya menerima padah apabila dikenakan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Mohamad Shahran Mohmad Salleh, 24, didakwa menyebabkan cedera ke atas Siti Anani Abdul Kadir di sebuah rumah beralamat 570 Kampung Alor Atas Tol, di sini, jam 12.15 tengah malam pada 26 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Shahran berkemeja-T kuning tenang ketika dikenakan hukuman denda RM1,000 atau berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada petang 26 Februari lalu, Mohamad Shahran meletakkan kenderaannya di depan rumah pengadu, Siti Anani di Kampung Alor Atas Tol, sehingga menyebabkan dia tidak dapat mengeluarkan keretanya.
Suami Siti Anani yang pulang dari kerja kemudiannya meletakkan kereta di depan kenderaan Mohamad Shahran dengan harapan untuk mengetahui pemiliknya apabila datang kembali.

Kira-kira jam 12.15 tengah malam, mereka bertemu di depan rumah berkenaan dan Mohamad Shahran yang berang dengan keadaan itu terus menendang perut Siti Anani.

'via Blog this'

‘Hukuman mati pun tak setimpal kesalahan mereka’

myMetro | ‘Hukuman mati pun tak setimpal kesalahan mereka’:

SERI ALAM: “Syukur, akhirnya penjenayah terbabit bakal dihadapkan ke mahkamah. Diharap dia menerima hukuman setimpal di atas perbuatan kejamnya,” kata Roselyn Alan, 25, ibu kepada kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, semalam.
Roselyn yang ditemui di kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, bagaimanapun menganggap hukuman mati dijatuhkan kepada penjenayah itu jika disabitkan kesalahan sekalipun tetap tidak setimpal dengan kesalahan suspek membunuh sebelum membakar Dirang.

“Jika tiada aral melintang, kami sekeluarga akan hadir di mahkamah untuk melihat sendiri suspek terbabit yang akan didakwa esok (hari ini).
“Kami bercadang mengikuti kes ini sehingga suspek dijatuhi hukuman. Kami puas hati dengan penerangan diberikan polis dan berterima kasih kepada mereka kerana banyak membantu serta bekerja keras dalam menyelesaikan kes ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, secara peribadi bertemu Roselyn di rumah wanita berkenaan, semalam bagi menyampaikan sendiri perkembangan terkini berkaitan siasatan kes pembunuhan Dirang.

Dalam pertemuan sejam itu, Roselyn dan beberapa ahli keluarganya khusyuk mendengar penerangan daripada Mokhtar.

'via Blog this'

Pengirim SMS budak 11 tahun

myMetro | Pengirim SMS budak 11 tahun:JOHOR BAHRU: Pengirim sebenar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta wang tebusan berjumlah puluhan ribu ringgit kononnya bagi membebaskan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang hilang pada 1 Mac lalu sebelum disahkan dibunuh, sebenarnya seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kes itu berjaya dibongkar selepas polis menahan seorang bekas anggota tentera berpangkat Koperal di Kelantan, 16 Mac lalu.

“Hasil siasatan terhadap bekas anggota tentera terbabit bersama teman wanitanya mendapati SMS itu dihantar anak lelakinya.
“Koperal berusia 45 tahun yang juga duda dua anak itu ditahan di kediamannya di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, Machang,” katanya.

Mokhtar ditemui pada majlis Perhimpunan dan Melafaz Ikrar Sempena Peringatan Hari Polis ke-205 di kawasan tempat letak kereta Pasaraya Maslee, Setia Indah, di sini.

Menurut Mokhtar, polis menemui tiga telefon bimbit di kediaman lelaki terbabit sebelum ia disita untuk pemeriksaan.
“Saya sahkan kes ini ditutup kerana SMS terbabit dihantar seorang kanak-kanak. Kerjasama yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan membantu menyelesaikan kes ini.

“Saya turut nasihatkan orang awam supaya tidak melakukan perkara sedemikian selain memastikan anak berada di bawah jagaan tidak melakukan perkara negatif seperti itu,” katanya.

'via Blog this'

Keluarga diancam

myMetro | Keluarga diancam: "SERI ALAM: Belum hilang rasa sedih selepas pemergian Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang pada 1 Mac lalu, keluarga kanak-kanak itu mendakwa terancam berikutan beberapa insiden dilalui keluarga berkenaan dengan terbaru cubaan memecah masuk rumah mereka di Flat Seri Delima, Bandar Baru Seri Alam.

Dalam kejadian jam 1 pagi kelmarin, keluarga Dirang yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi bising dari siling.
Bunyi aneh yang pada mulanya disangka burung menyebabkan mereka tidak mengendahkannya, bagaimanapun mula berasa pelik apabila ia semakin kuat seperti seseorang sedang mengorek lubang pada siling berkenaan.

Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata, kejadian itu disedari adik iparnya sebelum semua ahli keluarga dikejutkan daripada tidur.


“Kami meminta bantuan jiran untuk mengesan punca bunyi terbabit. Kerana risau, kami menendang dinding dan tiang rumah. Bunyi aneh itu kemudian hilang selepas jiran memenuhi depan rumah."

'via Blog this'

2 beranak bergaduh

myMetro | 2 beranak bergaduh: "GOMBAK: Salah faham urusan perniagaan menyebabkan bapa yang hilang pertimbangan membelasah anaknya dengan kayu sehingga mangsa cedera di kepala dan badan serta terpaksa menerima rawatan di Hospital Selayang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun datang ke rumah bapanya di Batu Caves, dekat sini, selepas dihubungi lelaki berusia 56 tahun itu yang mahu berbincang mengenai urusan perniagaan mereka.


Menurut sumber, pada mulanya perbincangan lancar sebelum bertukar panas apabila masing-masing mempertahankan pendapat Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim mengesahkan menerima laporan kejadian itu"

'via Blog this'

Pesan jaga anak

myMetro | Pesan jaga anak:

AMPANG: Seorang lelaki warga Bangladesh sempat berpesan kepada rakannya menjaga isteri dan anaknya yang berusia lima bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditembak individu tidak dikenali di depan pintu hostel penginapannya, semalam.
Mangsa, Liton Gazi, 32, penyelia sebuah kelab rekreasi di Taman Melawati, di sini, ditemui terbaring berlumuran darah di depan pintu hostel di bahagian bawah bangunan kelab berkenaan berhampiran tempat letak kenderaan.

Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa sempat meminta air dan berpesan kepada rakan yang menemuinya, jam 7.15 pagi supaya menjaga keluarganya yang ditinggalkan di Bangladesh. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8 pagi daripada pengurusan kelab itu mengenai satu kejadian tembakan membabitkan lelaki warga Bangladesh.
“Berikutan itu, sepasukan polis bersama unit forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan hasil siasatan di tempat kejadian menemui mangsa parah dipercayai ditembak sebaik keluar biliknya di bahagian bawah bangunan bersebelahan tempat letak kenderaan.

“Mangsa yang terkena tembakan dipercayai masih hidup dan dibawa ke HKL. Mangsa yang hanya berkain pelekat tanpa baju dipercayai terkena satu das tembakan di belakang rusuk kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mangsa yang sudah lima tahun bekerja di kelab itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HKL.
Amiruddin berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, tidak menemui senjata atau kelongsong peluru, namun masih meneliti barangan peribadi mangsa bagi membantu siasatan kes itu.

Menurutnya, pihaknya juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk suspek sama ada dilakukan individu atau penyerang berkumpulan.
Katanya, polis sudah merakam keterangan rakan mangsa dan pengurusan kelab yang menemui mangsa selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.

Justeru, beliau meminta saksi awam atau orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya atau balai berhampiran bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

'via Blog this'

Askar jemput adik temui ajal

myMetro | Askar jemput adik temui ajal:

ALOR GAJAH: Majlis kenduri kesyukuran sebuah keluarga di kampung Padang Sebang, dekat sini, bertukar kenduri arwah apabila seorang ahli keluarga mereka maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Nangka, Padang Sebang, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Mangsa, Azzuwan Rusli, 26, anggota tentera yang bertugas di Kem Sungai Buluh, Selangor, tiba di rumah neneknya, di sini, 12 tengah hari Jumaat lalu dan terbabit kemalangan ketika keluar bersama seorang rakan untuk menjemput adiknya yang tiba dari Ipoh, Perak di bandar Melaka.

Azzuwan pulang ke rumah neneknya di kampung Padang Sebang, Jamaliah Bador, 80, untuk menghadiri kenduri kesyukuran, kelmarin.
Isterinya, Asnurul Ain, 24, berkata, suaminya keluar bersama seorang rakan untuk menjemput adik yang tiba dari Ipoh dan lima minit kemudian, dia dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimpa suaminya oleh seorang saudara.

“Kami bergegas ke tempat kejadian dan melihat suami sudah nazak sebelum meninggal dunia tidak lama kemudian. Walaupun sedih, saya reda dan menganggapnya suratan takdir,” katanya yang mempunyai seorang anak, Muhammad Haziq Darwish yang berusia sembilan bulan ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi kelmarin di Jalan Bukit Nangka, Padang Sebang, dekat sini, Azzuwan maut di tempat kejadian akibat parah anggota badan apabila Perodua Kancil dipandu rakannya, Shahrul Anuar Sebetu, 20, merempuh lori simen yang diletakkan di kiri jalan.
Kemalangan turut mengakibatkan Shahrul Anuar bersama adik arwah, Azlan, 21, yang duduk di belakang, parah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan ke Bandar Melaka.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Shahrul Anuar tiba-tiba hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum merempuh lori simen yang diletakkan di kiri jalan dan berpusing ke arah bertentangan.

“Ketiga-tiga mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota penyelamat. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka (HM),” katanya.

Menurutnya, adik mangsa bersama rakannya yang parah dihantar ke HM untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987.

'via Blog this'

Dibaham 3 anjing liar

myMetro | Dibaham 3 anjing liar:SUNGAI PETANI: “Saya nampak anjing itu membuka luas mulutnya sebelum menyambar kaki kiri saya. Walaupun menjerit meminta tolong, tiada siapa membantu,” kata Muhammad Nabil Amin Abd Wahab,10, yang terpaksa menerima 20 jahitan selepas diserang tiga anjing liar ketika bermain bola di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 6 petang, dia bersama beberapa rakannya bermain bola sepak di Padang Awam taman perumahan itu, apabila tiba-tiba tiga anjing liar menyerangnya dari belakang.

Akibat kejadian itu, Muhammad Nabil yang cedera di kaki kiri dan tangan dikejarkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Muhammad Nabil berkata, ketika kejadian, dia menjadi penjaga gol dan menyedari tiga anjing di belakangnya, namun tidak sempat menyelamatkan diri apabila anjing itu terus meluru ke arahnya.

“Saya sakit kaki akibat terpijak kaca seminggu lalu dan tidak dapat berlari menyebabkan menjadi sasaran tiga anjing dipercayai kelaparan itu. Seekor anjing menyambar kaki kiri menyebabkan saya terjatuh dan sempat menjerit meminta tolong, namun tiada siapa membantu.

“Seekor lagi anjing naik ke atas badan manakala seekor lagi berada di kepala mengawasi pergerakan saya. Nasib baik kejadian dilihat seorang pelanggan kedai makan berdekatan yang datang membantu,” katanya ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Nor Azila Osman, 29, berkata, Muhammad Nabil sudah seminggu tidak bermain bola di padang berkenaan kerana kakinya belum sembuh akibat cedera terpijak kaca ketika bermain bola di padang sama. “Dia tidak boleh berjalan sempurna dan hari ini (semalam) sepatutnya jahitan luka kakinya dibuka, tetapi kelmarin kena tambah jahitan lagi di kaki kiri.

“Kejadian penduduk digigit anjing liar kerap berlaku di perumahan ini. Februari lalu, budak perempuan sekolah rendah berdekatan menerima nasib sama digigit anjing ketika pulang sekolah.
“Saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera mengatasi masalah itu,” katanya.

'via Blog this'

30 kambing ‘main air’ terperangkap di beting

myMetro | 30 kambing ‘main air’ terperangkap di beting:

KUANTAN: Kambing tidak lagi takutkan air. Mungkin itu sesuai menggambarkan tindakan sekumpulan 30 haiwan peliharaan yang turun bermain air di beting pasir dekat kuala Kampung Cherok Paloh, Pekan, pagi semalam.
Namun, gelagat kumpulan kambing itu yang cuba ‘berjinak’ dengan air membawa padah apabila mereka terperangkap di beting pasir berkenaan selepas air laut tiba-tiba pasang.

Bagaimanapun, kumpulan kambing itu selamat sampai ke tebing selepas mengharungi air walaupun seekor tersasar dibawa arus, namun diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang bergegas ke tempat kejadian. Kejadian kambing bermain air yang dianggap pelik itu disaksikan sebuah keluarga dari Bukit Setongkol, di sini, yang singgah berehat di pantai berkenaan jam 9 pagi semalam.
Saksi kejadian, Moha Hazrul Hisham, 27, berkata ketika tiba di pantai berkenaan bersama 10 ahli keluarganya yang mengayuh basikal dari bandar ini ke Cherok Paloh, dia melihat kumpulan kambing itu datang dari arah Tanjung Selangor, Pekan, melintasi air cetek sebelum menuju beting pasir terletak 50 meter dari pantai.

Katanya, tiba-tiba air mula pasang dan mereka yang melihat kejadian itu cemas kerana air laut sudah mengelilingi beting pasir itu tempat kumpulan kambing itu berada.

“Melihatkan air laut semakin dalam dan arus deras saya bimbang kambing itu lemas menyebabkan saya menghubungi JPAM,” katanya.
Katanya, kumpulan kambing itu selamat ke pantai walaupun seekor daripadanya pada mulanya hanyut dibawa arus dan sempat diselamatkan anggota JPAM dengan sebuah bot.

'via Blog this'

Pengasuh cubit budak 4 tahun

myMetro | Pengasuh cubit budak 4 tahun:

KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang baru mengambil anak perempuannya dari sebuah pusat asuhan sebaik pulang bekerja terkejut apabila mendapati terdapat kesan lebam dan bengkak di badan dan muka anaknya di Bandar Tasik Selatan, di sini, Khamis lalu.
Difahamkan, budak perempuan berusia empat tahun memberitahu ibunya dia ditampar dan dicubit pengasuhnya serta seorang kanak-kanak lain di pusat asuhan itu berkali-kali tanpa mengetahui punca sebenar.

Menurut sumber, ibu mangsa yang juga peniaga berusia 32 tahun yang tidak berpuas hati kemudian bertanyakan kejadian itu kepada pengasuh terbabit pada keesokan hari.
“Pengasuh terbabit mengaku mencubit mangsa kerana anak kecil itu mengoyakkan kertas peperiksaan seorang lagi kanak-kanak yang diasuh. “Namun, dia menafikan kesan lebam di muka mangsa akibat ditampar, sebaliknya mengatakan mangsa terjatuh dari buai,” katanya.

Sumber itu berkata, pengasuh terbabit turut menafikan mangsa ditampar pemilik kertas soalan yang dikoyakkan itu.

Bagaimanapun, tidak berpuas hati dengan penerangan pengasuh terbabit, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi selain membuat aduan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

'via Blog this'

Suu Kyi sakit, batal kempen

Berita Harian Online | Suu Kyi sakit, batal kempen:
Doktor peribadi nasihat berehat selepas lakukan perjalanan jauh

MYEIK: Masalah kesihatan memaksa ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, membatalkan kempennya, kata partinya semalam, seminggu sebelum pilihan raya kecil berlangsung dan dilihat sebagai ujian utama pembaharuan yang dijalankan rejim. 

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu, yang bertanding untuk kerusi Parlimen pada pilihan raya kecil 1 April ini, diarahkan berehat oleh doktor peribadinya selepas jatuh sakit di bandar Myeik di selatan Myanmar.
Bagaimanapun, beliau meneruskannya dengan perhimpunan akhir di kawasan terpencil itu semalam, disambut berpuluh ribu rakyat ketika menggesa penyokong mengundi parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinannya.
“Saya cuba untuk kekal sihat. Rakyat memberi galakan kepada saya,” katanya kepada orang ramai sambil meminta maaf kerana cuma memberi ucapan pendek sebelum bergegas menaiki pesawat kembali ke Yangon. 

Timbalan pegawai penerangan NLD, Kyi Toe, berkata kesihatan Suu Kyi semakin merosot ketika berkempen. 

“Menurut nasihat doktor keluarganya, Tin Myo Win, Suu Kyi akan berehat di rumah. Dia tidak akan membuat lawatan jarak jauh lagi,” katanya kepada AFP. 

Kenyataan daripada NLD mengesahkan keputusan untuk membatalkan lawatan kempen akhir hari ini dan esok ke Magway, di tengah Myanmar, tempat lahir bapanya. 
Suu Kyi yang jelas kelihatan letih pernah jatuh sakit ketika mengikuti jadual padat menghadiri perhimpunan dan memberi ucapan di seluruh negara. 

Kesihatan pemimpin demokrasi itu menjadi sumber kebimbangan berpuluh ribu penyokong yang hadir untuk melihatnya pada hampir setiap pentas kempen. 

Suu Kyi jatuh sakit kelmarin, selepas bot yang dinaikinya terperangkap dalam beting pasir selama beberapa jam ketika lawatan, kata Tin Myo Win, kepada AFP awal semalam. 

“Beliau keletihan kerana berada di dalam bot untuk jangka masa lama,” katanya sambil menambah Suu Kyi mengalami tekanan darah rendah dan muntah. 

Pilihan raya minggu depan adalah yang pertama boleh ditandingi Suu Kyi di negara yang diperintah tentera sejak beberapa dekad. Beliau bertanding untuk kerusi Kawhmu berhampiran Yangon. – AFP

'via Blog this'

Rumah Dirang diceroboh

Berita Harian Online | Rumah Dirang diceroboh:

LIMA MEDANG, menunjukkan siling rumah kosong yang dipercayai digunakan individu yang tidak dikenali untuk memecah masuk ke rumahnya melalui siling di flet Seri Delima Bandar Seri Alam, Johor Bahru.
LIMA MEDANG, menunjukkan siling rumah kosong yang dipercayai digunakan individu yang tidak dikenali untuk memecah masuk ke rumahnya melalui siling di flet Seri Delima Bandar Seri Alam, Johor Bahru.
PASIR GUDANG: Belum reda dengan kesedihan kehilangan Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, yang dibunuh dengan kejam, keluarga budak perempuan itu kini berada dalam keadaan ketakutan apabila rumah mereka di Flet Seri Delima, dekat sini, cuba dipecah masuk selain anggota keluarga berkenaan turut dikejar lelaki tidak dikenali.

Bapa saudara Dirang, Hakim Alan, 14, iaitu adik bongsu kepada Roselyn Alan, 25, sudah tiga kali dikejar lelaki tidak dikenali sejak minggu lalu sehingga memaksanya melarikan diri ke surau untuk berlindung.

'via Blog this'

Kes wanita parah terima bungkusan masih disiasat

Berita Harian Online | Kes wanita parah terima bungkusan masih disiasat:
MELAKA TENGAH: Polis masih menyiasat kes seorang wanita yang parah selepas satu bungkusan kiriman dipercayai bom buatan sendiri, meletup ketika mangsa cuba mengalihkan dari kawasan pagar rumah neneknya di Kampung Ramuan Cina Besar, Lubok Cina, Alor Gajah, pada 1 Mac lalu. 

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kes itu masih dalam peringkat siasatan dan belum ada lagi suspek yang didakwa berhubung kejadian berkenaan setakat ini.
“Kita masih lagi menyiasat mengenai kes ini dan belum ada sebarang kenyataan mengenainya yang boleh kita dibuat setakat ini.
“Polis akan memaklumkannya jika ada sebarang perkembangan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang dekat sini, semalam. 

Katanya, semua lima suspek termasuk abang mangsa berusia 35 tahun yang ditahan juga sudah dibebaskan selepas seminggu direman. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, Norasyikin Md Esa, 27, yang bekerja sebagai juruwang cedera hampir seluruh badan selepas tercampak beberapa meter dari kawasan letupan berkenaan. 

Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki di sekitar Masjid Tanah dan Batu Berendam termasuk abang wanita berkenaan, diikuti seorang lagi suspek berusia 24 tahun yang menyerah diri di IPK negeri.

'via Blog this'

Polis tumpas sindiket palsukan kad kredit

Berita Harian Online | Polis tumpas sindiket palsukan kad kredit:
GEORGETOWN: Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan permohonan kad kredit menggunakan identiti palsu membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta selepas menahan lima lelaki termasuk seorang penolong pengurus bank di beberapa lokasi, Jumaat lalu. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub, berkata kelima-lima suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun ditahan hasil maklumat dan risikan berdasarkan aduan awam serta pemantauan sejak tahun lalu.
Katanya, Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri diketuai Inspektor N Muniandy melakukan sembilan serbuan ke atas suspek yang dipercayai mencuri data peribadi mangsa.
Modus operandi sindiket ialah menggunakan maklumat pemohon kad kredit yang dihantar kepada bank untuk membuat permohonan baru dengan membuat beberapa pengubahsuaian ke atas maklumat. 

Selepas memperoleh kad kredit, mereka akan membuat pelbagai transaksi di sekitar bandar ini, Bayan Lepas dan Songkhla, Thailand seperti membayar penginapan hotel, restoran dan pusat hiburan. 

“Siasatan juga mendapati mereka membuat pengeluaran wang tunai di mesin ATM dan membeli barangan. Semua suspek direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Polis Ke-205 di sini, semalam. 

Hadir sama, Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik. 
Polis turut merampas dua unit komputer riba, 13 keping slip transaksi kad kredit bernilai RM173,523, satu surat perjanjian sewa rumah, tiga keping resit pembayaran sewa rumah, telefon, 18 keping kad kredit pelbagai jenis, 10 kad sim prabayar dan enam telefon bimbit.

'via Blog this'

ADUN Slim diikat perompak

Berita Harian Online | ADUN Slim diikat perompak:


Oleh Nurhayati Abllah

2012/03/26

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan isteri bersama anak lelakinya diikat setengah jam oleh tiga lelaki bertopeng yang memecah masuk kediamannya di Taman Wang Setia, Tanjung Malim, kira-kira 120 kilometer dari sini, awal pagi kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Mohd Khusairi bersama keluarganya sedang tidur di tingkat atas rumah sebelum kediamannya dimasuki penceroboh dipercayai warga Indonesia melalui pintu balkoni tingkat berkenaan.
Mohd Khusairi yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak dan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata, dua daripada lelaki terbabit yang memakai topeng melompat di atas katil ketika beliau dan isteri sedang nyenyak tidur sebelum mengejutkannya supaya bangun.
“Pada masa itu, seorang daripada suspek mengacukan pisau ke leher saya dan memberi arahan supaya tidak membuat bising. Kemudian saya dan isteri diikat sebelum seorang daripada penjenayah itu ke bilik anak lelaki saya yang terletak bersebelahan dan mengikatnya pada tiang katil. 

“Tiga lagi anak saya berusia sembilan, 11 dan 13 tahun turut dikejutkan dari tidur dan diletakkan dalam bilik tidur saya. Mereka tidak diapa-apakan tetapi diugut supaya tidak membuat bising, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Katanya, selepas mengikat dan mengumpulkan semua ahli keluarganya, ketiga-tiga perompak berkenaan mula menggeledah rumah sebelum melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai, telefon bimbit, komputer riba, iPad dan pasport antarabangsa miliknya. 

“Ketiga-tiga penjenayah berkenaan kemudian melarikan diri melalui pintu balkoni iaitu tempat sama mereka masuk. Ketika itu baru saya berjaya melepaskan ikatan dan melaporkan kejadian terbabit kepada polis. 
“Akibat kejadian itu, saya sekeluarga kerugian kira-kira RM40,000 dan sehingga kini masih trauma terutama ketika waktu malam,” katanya.

'via Blog this'