Search This Blog

Friday, March 23, 2012

Kegiatan curi ”Mat Solo The Kancil Man” tumpas

Kosmo! Online - Terkini:


23/03/2012 6:52pm

KUALA LUMPUR – Kegiatan ”Mat Solo The Kancil Man” yang aktif mencuri kereta di sekitar ibu negara akhirnya lumpuh selepas seorang lelaki tempatan diberkas polis di Pantai Dalam, minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, suspek diberi gelaran itu kerana melakukan kegiatan jenayahnya secara berseorangan.
Beliau berkata, suspek dipercayai terlibat dalam 50 kes curi kereta jenis Proton Iswara dan Perodua Kancil di sekitar Wangsa Maju, Pudu, dan Lembah Pantai sejak tahun lepas.
"Susulan dari tangkapan itu, polis menjumpai sembilan buah Perodua Kancil dan sebuah Proton Iswara yang dilaporkan hilang di kawasan yang berbeza,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – BERNAMA

'via Blog this'

Lapan wanita Vietnam mangsa pemerdagangan

Kosmo! Online - Terkini:


23/03/2012 6:55pm

KUALA LUMPUR – Berkahwin dengan lelaki tempatan atau menjadi pelacur — itu adalah dua pilihan yang diberi kepada wanita-wanita Vietnam mangsa pemerdagangan orang bagi melangsaikan beban hutang mereka memasuki negara ini.
Taktik sindiket pemerdagangan orang itu terbongkar apabila polis menyelamatkan lapan wanita Vietnam berusia 17 hingga 37 tahun dalam serbuan di sebuah rumah flat di Taman Sunway, Batu Caves di sini, awal hari ini.
"Kesemua wanita itu dikurung di rumah berkenaan sejak sebulan lepas untuk dijadikan pelacur,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan.
Beliau berkata, dalam serbuan hasil maklumat Polis Vietnam yang diperoleh semasa persidangan mengenai pencegahan pemerdagangan orang di sini itu, polis turut menahan seorang wanita Vietnam berusia 23 tahun dan tiga lelaki tempatan berusia antara 48 dan 60 tahun yang dipercayai dalang dalam proses mencari jodoh dan menguruskan kemasukan mereka ke negara ini.
Abdul Jalil berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri persidangan “Program Pembinaan Kapasiti: Mengenai Pencegahan Penyeludupan Migran dan Migrasi Haram di Asia Tenggara” di sini hari ini. – BERNAMA

'via Blog this'

Bahana tipu diculik, dua beradik masuk lokap

Bahana tipu diculik, dua beradik masuk lokap - Semasa - Sinar Harian:
WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Nasib dua beradik lelaki, yang mendakwa mereka diculik dan dilarikan ke Tanjung Malim, Perak, berakhir dalam lokap apabila helah mereka yang sebenarnya melarikan diri dari rumah keluarga di Jalan Klang Lama di sini, terbongkar.  

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata dua beradik berumur 14 dan 12 tahun itu telah berpakat dengan seorang lelaki untuk memaklumkan kepada keluarga mereka kononnya mereka diculik.   

"Lelaki itu menelefon ibu dua beradik berkenaan mengenai penculikan palsu itu dan ibu mereka memaklumkan kepada bapanya sebelum membuat laporan polis mengenai kes itu pada 15 Mac lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.  

Beliau berkata keesokannya, dua beradik itu ditemui oleh seorang pemandu lori di Tanjung Malim apabila terdengar mereka menjerit meminta tolong dari dalam lori itu sebelum diserahkan kepada polis.  

Polis kemudian menahan lelaki berusia 26 tahun itu kerana membuat panggilan palsu selain menahan dua beradik itu kerana membuat laporan palsu, katanya.   

alam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai di sini dua hari lepas dan merampas heroin seberat 147.24 gram, yang dibungkus dalam 80 paket plastik kecil, bernilai RM4,000 daripadanya.  

Siasatan awal polis mendapati lelaki itu aktif mengedar dadah di Lembah Pantai dan Brickfields dan dia ditahan reman sehingga 28 Mac ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah, katanya. - Bernama

'via Blog this'

Kedai runcit hangus dalam kebakaran

Kedai runcit hangus dalam kebakaran - Utara - Sinar Harian:
ROSNANI SAAD
23 Mac 2012
Terbakar
ALOR SETAR - Tidak sampai dua jam sebuah kedai runcit di Taman Selera Mergong ditutup, pemiliknya dikejutkan dengan panggilan yang memaklumkan kedainya terbakar.
Ooi Kee Aik, 67, berkata, kebiasaannya pada setiap Jumaat, beliau akan menutup perniagaan lebih awal iaitu sekitar jam 1.30 petang atau 2 petang.
"Hari ini saya tutup kedai kira-kira jam 2 petang dan pergi ke Alor Setar Mall kerana ada urusan di sana. Tetapi kira-kira jam 4 petang, saya menerima panggilan dari rakan yang memberitahu kedai runcit saya terbakar.
"Saya segera bergegas ke kedai namun tiada apa yang sempat diselamatkan," katanya yang sudah 20 tahun berniaga di situ.
Sementara itu, saksi kejadian, Nor Qolis Rohadi, 22, berkata, beliau bersama rakan datang ke kedai komputer di kawasan itu untuk mencetak tugasan namun terlihat kepulan asap dari kedai runcit berkenaan yang terletak bersebelahan kedai komputer.
"Melihat asap yang semakin banyak, kami terus membantu pemilik kedai komputer memindahkan barang-barang namun tidak dapat membantu pekedai runcit kerana kedai miliknya berkunci," katanya.
Pemilik kedai komputer, Syed Shafie Syed Hassan, 59, berkata, sebaik terhidu bau asap, beliau segera menghubungi bomba dan mengalihkan barang-barang di dalam kedainya.
"Sudah tujuh tahun saya berniaga di sini namun ini kali pertama berlaku kebakaran di bangunan ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.23 petang dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
"Kebakaran ini melibatkan sebuah kedai runcit seluas 1.9 meter persegi X 2.8 meter persegi, yang terletak bersebelahan kedai komputer dan surau Taman Selera Mergong.
"Kita menggerakkan empat jentera bomba dengan kekuatan 14 anggota dan api berjaya dikawal pada jam 4.48 petang, selain itu kita turut mendapat bantuan daripada lima pasukan bomba sukarela dengan kekuatan 50 anggota," katanya.
Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan namun kebanyakan barang di dalam kedai runcit terbabit, hangus terbakar.

'via Blog this'

Pelajar disangka hilang lari ikut suami orang





2012/03/23

KUANTAN: Kehilangan seorang pelajar ketika keluar membeli kad tambah nilai telefon bimbit di Jerantut Isnin lalu terjawab apabila gadis itu mengikut teman lelakinya ke bandar ini. 

Difahamkan, gadis terbabit, Nornabila Mat Yaacob, 15, yang dikatakan bermasalah selain enggan meneruskan pelajaran ditemui selamat bersama teman lelakinya berusia 26 tahun yang sudah beristeri dan mempunyai seorang cahaya mata.
Lelaki terbabit dipercayai mengambil gadis berkenaan di Taman Koperasi, di Jerantut, pada malam Isnin lalu sebelum dibawa ke bandar ini.
Ketua Polis daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, berkata susulan laporan yang dibuat keluarga mangsa, gerakan mencari dijalankan sebelum gadis terbabit ditemui dalam keadaan selamat selepas dihantar teman lelakinya ke sebuah kedai serbaneka di Taman Tas, di sini, kira-kira jam 10 malam, kelmarin. 

“Ibu kepada gadis terbabit ada menghubungi teman lelaki anaknya sebelum dimaklumkan Nornabila berada dalam keadaan selamat dan tinggal bersama bapa saudara lelaki berkenaan di sini. 

“Gadis berkenaan sudah dibawa pulang keluarganya ke Jerantut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pelajar terbabit dikatakan pernah melarikan diri dari rumah sebelum ini dan mengikut lelaki sama sebelum pulang semula ke pangkuan keluarga. 
Beliau berkata, polis tidak mengklasifikasikan kes terbabit sebagai culik kerana pelajar berkenaan secara sukarela lari dari rumah untuk bersama kekasihnya.

Dua beradik rentung dalam kebakaran rumah kedai di Pontian





2012/03/23

PONTIAN: Dua beradik rentung dalam satu kebakaran membabitkan 10 rumah kedai dua tingkat separuh papan di Pekan Ayer Baloi di sini, hari ini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Penolong Kanan Penguasa Bomba, Abd Hamid Aroon, berkata kebakaran dipercayai berlaku pada jam 4.30 pagi ketika mangsa, Khusnul Khotimah Selamat, 13, dan adik lelakinya, Rohman, 12, sedang tidur di tingkat dua rumah kedai yang berusia lebih 50 tahun itu.
"Bomba menerima panggilan kebakaran itu pada jam 4.47 pagi dan seramai 33 anggota bersama lima jentera bergegas bagi memadamkan kebakaran berkenaan," katanya di tempat kebakaran.
Beliau berkata, anggota bomba menemui rangka dua beradik itu selepas api berjaya dipadamkan pada jam 6.30 pagi. 

Enam anggota keluarga mangsa, termasuk ibu bapa dua beradik malang itu, Hasniah Abd Hussin, 50, dan Selamat Kosnan, 51, berjaya menyelamatkan diri dari rumah yang disewa sebagai kediaman mereka. 

Abd Hamid berkata, punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat. 

Difahamkan, ketika kebakaran, hanya rumah kedai itu berpenghuni manakala yang lain menjalankan perniagaan pada sebelah siang seperti kedai runcit, kedai makan, kedai telefon, pusat siber dan stor. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim ketika dihubungi turut mengesahkan kebakaran itu. 

Beliau berkata, kebakaran itu tidak membabitkan sebarang perbuatan khianat. 

Sementara itu, Hasniah berkata, ketika kebakaran, dia dan suaminya tidur di tingkat atas bersama mangsa manakala empat anak mereka yang lain di tingkat bawah. 

Hasniah berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap sebelum turun ke tingkat bawah dan mendapati rumahnya terbakar. 

"Saya ingat kedua-dua mereka ikut keluar dari rumah. Kami kemudian gagal menyelamatkan mereka kerana api marak dengan cepat," katanya. - BERNAMA

4 sekeluarga dirompak dalam rumah





2012/03/23

BAYAN LEPAS: Empat sekeluarga di Sungai Ara di sini mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang awal pagi ini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin, berkata dalam kejadian 4 pagi itu, perompak terbabit dikatakan mengejutkan semua mangsa yang sedang tidur di bilik masing-masing sebelum mengumpulkan mereka di dalam sebuah bilik.
"Kumpulan perompak bertopeng terbabit dikatakan mengikat tangan dan mulut semua mangsa sebelum mengambil barangan berjenama termasuk barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepaskan diri masing-masing daripada ikatan dan kemudaian mendapatkan bantuan. 

Lai berkata, semua lelaki itu dipercayai datang dengan berjalan kaki ke rumah mangsa dan menjadikan kediaman mewah sebagai sasaran mereka. 

Katanya, polis percaya kesemua suspek yang dipercayai warganegara asing itu terbabit dengan beberapa siri rompakan seumpama itu di sekitar Daerah Barat Daya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan sebatan. - BERNAMA

Pekerja dakwa dipecat selepas dituduh mogok di facebook



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2012
Rosdi hadir bersama kumpulan pekerja tersebut membawa surat pemberhentian mereka semalam
KOTA BHARU – Seramai 41 pekerja kilang di Padang Tembak di sini, semalam mendakwa mereka dianiaya majikan apabila 21 daripadanya dikatakan dipecat sementara 29 lagi digantung kerja tanpa alasan munasabah.

Kumpulan pekerja itu bersama Pengerusi Majlis Permuafakatan Pekerja Muda, Rosdi Mat Zain hadir ke pejabat Sinar Harian di sini, semalam selepas menemui jalan buntu apabila terbeban dengan tindakan pihak majikan sebuah kilang tersebut.

Wakil pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 34, berkata, mereka diberikan surat penamatan perkhidmatan yang menuduhnya sebagai individu penyebar surat layang di facebook.

“Dalam kandungan surat itu saya juga dituduh menghasut pekerja lain untuk melakukan mogok pada 16 Mac lalu. Sedangkan saya tidak melakukan perkara tersebut dan mogok itu juga tidak berlaku.

“Sudah 17 tahun saya berkhidmat dalam syarikat itu dan sekarang saya rasa dianiaya apabila diberhentikan tanpa sebarang notis. Bagaimana saya hendak membayar hutang kereta, sewa rumah dan menganggung kos hidup kalau begini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja yang turut menerima nasib sama, Edy, 27, berkata, dia juga merasa ditipu apabila diberikan surat untuk ditandatangani tanpa diberitahu surat tersebut adalah persetujuan untuk dia diberhentikan.

“Mulanya, wakil syarikat itu memberitahu surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris tersebut ialah surat untuk mendapatkan cek gaji, tetapi mujurlah terbaca dan tidak menurunkan tanda tangan.

“Mereka tidak sepatutnya melakukan perkara seperti ini. Kami diberhentikan secara beramai-ramai dalam tempoh sebulan. Kalau nak berhentikan kami, ikutlah saluran undang-undang yang betul,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan bercadang membuat laporan polis untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada pihak syarikat berkenaan.

“Kami rujuk ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) tetapi diberitahu kes ini perlu dibawa ke Mahkamah Perusahaan tetapi dimaklumkan hanya boleh dibantu sekiranya kami mahu bekerja kembali di syarikat itu,” katanya.

Mahu kahwin sebelum ajal



ROSMIZA KASIM
23 Mac 2012
Mayat Mohd Zuri dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.
KOTA BHARU- Seorang pemuda sempat menyuarakan hasrat hati kepada ayahnya untuk berkahwin, dua hari sebelum ditemui mati dipercayai lemas selepas diserang sawan.

Mayat Mohd Zuri Rahman, 30, ditemui terapung oleh penduduk di tali air Kampung Tepus, Bachok kira-kira jam 6.15 petang kelmarin selepas kira-kira 20 jam dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Bapa mangsa, Rahman@Abdul Rahman Mangun, 65, berkata, sebelum kejadian anaknya keluar rumah selepas waktu Isyak dan tidak pulang sehinggalah mayatnya ditemui kira-kira 100 meter dari kediaman mereka.

“Dua hari sebelum kejadian Mohd Zuri ada memberitahu saya dia mahu berkahwin dan perkara ini tidak pernah diluahkan kepada kami sekeluarga.

“Saya tidak mengambil serius luahannya memandangkan kami semua sedar dia tidak berapa sihat dan sering diserang sawan sejak usia 18 tahun lagi selepas demam panas,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

Rahman berkata, dia mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan seorang lagi anaknya, Nor Asiah, 35, yang ketika itu berada di rumah menunggu kepulangan Mohd Zuri.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian yang juga merupakan lokasi sering dikunjunginya setiap hari dan berdasarkan pakaian serta badannya, memang sah itu adalah mayat Mohd Zuri,” katanya.

Tambahnya, kemungkinan Mohd Zuri diserang sawan ketika berada di kawasan tersebut sehingga menyebabkan dia terjatuh ke dalam tali air berkenaan.

Katanya, biarpun Mohd Zuri mengidap sawan dan sering berkelakuan kasar dengannya tetapi pemergiannya amat dirasai kerana arwah seorang yang rajin membantunya di rumah.

“Dia seorang yang rajin tetapi kami sekeluarga perlu sentiasa pandai menjaga hatinya supaya dia tidak bertindak diluar jangkaan jika permintaanya tidak dituruti,” katanya.

Rahman berkata, jenazah anak keenam daripada sembilan beradik itu dikebumikan di Kampung Tepus, Bachok selepas bedah siasat selesai dijalankan malam kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asistent Superintendan Ghazali Daud mengesahkan kes tersebut dan tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

Simpan harta curi: 2 warga asing dipenjara



23/03/2012 4:33pm

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Jerman dan Filipina masing-masing dikenakan hukuman penjara tiga tahun setengah dan dua tahun setengah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap 227 pertuduhan termasuk menyimpan harta curi dan cuba menipu dua pegawai bank dua minggu lepas.
Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Alexander Sinowenka, 51, dari Jerman dan Tomas Diaz, 66, dari Filipina selepas mereka mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu semalam.
Bagi pertuduhan berkaitan harta curi, Sinowenka dan Diaz masing-masing dikenakan hukuman penjara enam bulan, manakala bagi pertuduhan menipu dua pegawai bank, kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan hukuman penjara dua tahun.
Selain itu, Diaz dikenakan hukuman penjara enam bulan lagi bagi pertuduhan menyimpan lima keping cek Kembara American Express, namun mahkamah membenarkan hukuman tersebut berjalan serentak dengan hukuman berkaitan pertuduhan harta curi yang dihadapinya.
Mahkamah turut mengenakan hukuman penjara setahun terhadap Sinowenka bagi kesalahan memiliki pasport palsu. – BERNAMA

2 beradik cedera ditembak di persimpangan jalan



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2012
KOTA BHARU - Seorang lelaki dan adik perempuannya cedera ditembak di persimpangan lampu isyarat, berhampiran Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, kira-kira jam 1.40 petang tadi.

Dalam kejadin itu, abang mangsa yang berusia 45 tahun cedera di paha kanan selepas terkena empat das tembakan.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa dikatakan berhenti di persimpangan jalan.

Kedutaan Indonesia bukan sasaran




POLIS Perancis menjalankan siasatan dekat bangunan Kedutaan Indonesia di Paris ekoran letupan bom dekat bangunan kedutaan itu,kelmarin. - REUTERS


JAKARTA 22 Mac - Ketua Agensi Perisikan Indonesia, Leftenan Jeneral Marciano Norman, hari ini mendedahkan bahawa Kedutaan Indonesia di Paris yang digegarkan dengan letupan bom, semalam bukanlah sasaran serangan.
Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, bom itu dipindahkan dari bangunan kedutaan berkenaan sejurus sebelum ia meletup.
Menurutnya, bungkusan itu pada awalnya diletakkan di dalam tong sampah di luar kedutaan.
"Kira-kira 10 minit selepas itu, seorang datang dan memindahkannya ke bahagian lain di jalan itu. Selepas itu baru ia meletup.
"Berdasarkan rakaman tersebut, pihak kami yakin bom itu bukan disasarkan ke atas Kedutaan Indonesia. Itu rumusan kami setakat ini," katanya.
Dalam kejadian semalam, bom tersebut meletup pada pukul 5.45 pagi waktu tempatan, menyebabkan kaca tingkap bangunan terletak radius 50 meter dari lokasi kejadian pecah dan dua buah kereta turut terbakar.
Ketua Polis Perancis, Michel Gaudin yang melawat tempat kejadian bersama Ketua Turus Polis, Jean-Louis Fiamenghi memberitahu wartawan, bungkusan tersebut ditemui di bawah tingkap kedutaan oleh pekerja yang membersihkan tong sampah di jalan terbabit.
"Pekerja itu melihat bahagian dalam bungkusan, membukanya dan dapat mengagak ia adalah bom berdasarkan wayar yang bersambung pada tin yang ditemui.
"Pekerja tersebut meletakkan kembali bungkusan itu, meninggalkan kawasan tersebut dan menghubungi polis. Selepas itu baru bom tersebut meletup," katanya.
Letupan yang sama pernah berlaku di Kedutaan Indonesia pada 2004, lebih kurang pada waktu yang sama. - AFP

Tiga beranak didakwa memperdagang amah



23/03/2012 4:03pm

KUALA LUMPUR – Seorang ibu dan dua anak perempuannya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memperdagangkan bagi tujuan eksploitasi seorang pembantu rumah warga Kemboja, bulan lepas.
Soo Ah Lai, 59, didakwa memperdagangkan Chhum Pov, 28, bagi maksud eksploitasi dengan menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain terhadap wanita itu di No. 139, Jalan 2/62, Bandar Manjalara Kepong, di sini pada 3.30 petang, 18 Februari lepas.
Dua anak perempuannya, Yap Siew Ling, 37, dan Yap Siew Lee, 30, masing-masing didakwa atas pertuduhan yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Hasbi Hasan membenarkan Ah Lai, Siew Ling dan Siew Lee masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen. – BERNAMA

Rumah pusaka musnah



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2012
Anggota bomba sewaktu usaha memadamkan kebakaran.
ALOR SETAR - Sebuah rumah pusaka berusia lebih 50 tahun musnah dalam kebakaran di Lorong Petani kira-kira jam 10.40 pagi, semalam.

Api yang marak begitu cepat menyebabkan penghuninya hanya dapat menyelamatkan dokumen peribadi dan tidak sempat untuk mengeluarkan peralatan di dalam rumah termasuk wang dan perabot.

Mangsa, Fasitah Basir, 42, berkata, apabila terdengar bunyi seolah-olah ada benda terbakar, dia segera naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku.

Menurutnya, dia kemudian terkejut apabila mendapati sebuah bilik di tingkat atas telah terbakar dan segera turun ke bawah untuk mengambil air.

“Saya cepat-cepat turun ke bawah untuk mengambil air bagi memadamkan api namun apabila naik semula, saya mendapati api telah mula marak.

“Anak saudara saya juga ada cuba untuk padamkan api di bilik itu namun tidak sempat kerana kejadian berlaku begitu pantas,” katanya.-

Fasitah berkata, rumah itu dihuni oleh 13 orang termasuk ibunya, Faridah Ibrahim, 65, dan bapanya, Basir Baharum, 75, yang sewaktu kejadian keluar bersarapan pagi.

Faridah yang ketika kejadian baru pulang bersarapan itu berkata, rumah itu merupakan rumah pusaka peninggalan bapa mertuanya.

Dia turut terdengar ada orang menjerit di luar rumah memberitahu rumahnya terbakar.

“Saya cuba masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan barang namun api marak dengan cepat.

“Walaupun tidak sempat untuk menyelamatkan barang namun bersyukur kerana saya dan keluarga tidak cedera,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Lee Guan Aik dan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew turut turun padang melawat mangsa serta menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan kira-kira jam 10.51 pagi dan tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.

Beliau berkata, dua jentera bomba dengan kekuatan 17 anggota berjaya mengawal api kebakaran 10 minit kemudian.

“Kita turut menerima bantuan daripada 10 pasukan bomba sukarela untuk memadamkan kebakaran.

“Tiada sebarang kesulitan sewaktu operasi memadamkan kebakaran dan kita masih menyiasat punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Pengedar hadapi tuduhan tipu RM162,000 lepas



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2012
SHAH ALAM - Seorang pengedar jam tangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh menipu seorang penjual barangan itu sebanyak RM162,221 kira-kira 13 tahun lepas.  

Matthew Ho Wei Kit, 52, dari Kuching, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.   

Dia didakwa memperdayakan Koh Sin Cheong, 51, untuk mendepositkan cek secara berperingkat berjumlah RM162,221 ke akaun miliknya di Hong Leong Bank, Pandan Indah, Ampang dekat sini, antara 9 April 1999 dan 10 Mei 1999.  

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.  

Mahkamah membenarkan Ho diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes.   

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie manakala Ho diwakili peguam Fahri Azzat. - Benama

Anggota polis trafik maut dilanggar bas persiaran



MOHD FIRDAUS YON
23 Mac 2012
Jenayah Allahyarham Ismayuddin dibawa keluar dari rumah untuk dikebumikan.
KULAIJAYA - Seorang anggota polis trafik berpangkat Koperal maut selepas dilanggar sebuah bas persiaran ketika sedang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, semalam.

Kejadian jam 11.55 malam itu mengakibatkan mangsa, Kpl Ismayuddin Ismail, 50, yang bertugas di Cawangan Trafik di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Baharu Selatan Selatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketika kejadian, Ismayuddin, yang sudah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 20 tahun lalu, sedang mengawal aliran keluar masuk kenderaan dari  Singapura-Johor Bahru.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, mangsa dilanggar sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura yang hilang kawalan di laluan bas di BSI.

“Kejadian ini berlaku di 200 meter dari pintu masuk BSI. Bas terbabit yang dipandu oleh seorang wanita itu pada mulanya melanggar sebuah kereta, penghadang jalan sebelum merempuh anggota ini seterusnya berhenti di kedudukan 150 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera parah akibat pelanggaran ini meninggal dunia di tempat kejadian ketika sedang bertugas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarah keluarga mangsa di Felda Taib Andak, di sini, hari ini.

Allahyarham Ismayuddin meninggalkan seorang balu, Norsiah Md Amin, 47, dan lima cahaya mata, Nur Farhana, 24; Nur Afiqah, 14, Nur Farzana, 11; Mohamad, 9,  dan Mohd Irsyad Fauzan, 8.

Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat 35 kes samun di sekitar JB




23 Mac 2012
JOHOR BAHARU - Polis percaya berjaya menyelesaikan 35 kes samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan dua lelaki berumur 21 dan 23 tahun di Jalan Lumba Kuda, di sini, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata kedua-dua lelaki itu ditahan di luar sebuah restoran di jalan berkenaan, pada pukul 2.30 petang, 13 Mac.

"Polis merampas satu beg galas berwarna merah daripada mereka yang mengandungi satu komputer riba, tujuh telefon bimbit, satu kamus digital, pasport dan wang tunai RM29. Kedua-dua mereka kini direman sehingga 27 Mac," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata polis kini sedang mengesan tiga lagi lelaki yang dipercayai rakan kedua-dua mereka bagi membantu siasatan terhadap kes sama.

Mereka ialah M.Mageswaran, 19, beralamat terakhir di nombor 1, Jalan Bahagia 3, Lima Kedai, Gelang Patah; S.Gajendran, 23, beralamat terakhir di nombor 2, Jalan Bahagia 3, Lima Kedai, Gelang Patah dan G.Joseph, 26, beralamat terakhir di nombor 03-08, Blok L, Perumahan Rakyat Lima Kedai, Gelang Patah.
  
"Ketiga-tiga mereka mempunyai rekod jenayah lampau dengan Joseph didapati pernah dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak, Simpang Renggam, dekat Kluang," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Noor Hashim berkata polis turut mencari seorang lelaki, Mohd Nazir Nayan atau dikenali Siaw Long, 32, yang beralamat terakhir di nombor 14, Jalan Ros 4, Taman Ros, Mantin, Negeri Sembilan, bagi membantu siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol dalam sebuah kereta curi, Sabtu lepas.

Beliau berkata hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan tempat kereta di mana kereta curi itu ditemui menunjukkan imej Mohd Nazir.

"Mohd Nazir juga merupakan lelaki yang dikehendaki polis berhubung satu kes bunuh di kawasan berkenaan selain mempunyai tiga rekod jenayah lain," katanya.- Bernama