Search This Blog

Thursday, March 22, 2012

Warga Afrika tukar taktik buka restoran




KUALA LUMPUR 21 Mac - Warga Afrika yang memegang pas pelajar di negara ini dikesan telah menukar aktiviti mereka daripada jenayah penipuan dalam talian kepada bidang perniagaan restoran dengan menggunakan rakyat benua itu sebagai pekerjanya.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Selangor menyerbu tiga premis di Seri Kembangan, malam tadi.

Pegawai Penguat Kuasanya, Osman Montel berkata, serbuan pukul 11 malam itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan seramai 28 warga Afrika, termasuk wanita ditahan kerana tidak memiliki permit untuk bekerja di negara ini, sebaliknya hanya memiliki pas pelajar.

"Mereka mendakwa sebagai pelajar di beberapa kolej swasta di Serdang dan Cyberjaya, namun kesahihan dakwaan mereka akan disiasat," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Osman menambah, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku ketika serbuan berkenaan walaupun terdapat segelintir daripada warga Afrika itu yang cuba mempertikaikan serbuan tersebut.

Katanya, kesemua warga Afrika terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk urusan dokumentasi sebelum dihantar ke kem tahanan.

Bayi ditemui di pintu masjid




Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my
PEKAN 21 Mac - Seorang penduduk Kampung Lamir di sini terkejut apabila menemui seorang bayi berusia dua minggu di pekarangan pintu masuk ruang solat sebuah masjid awal pagi ini.

Khasli Mohd. Razali, 48, berkata, bayi itu ditemui dalam keadaan sihat dan berpakaian lengkap semasa dia mahu membuka pintu masjid untuk menunaikan solat subuh pada pukul 5.20 pagi.

"Semasa hendak masuk masjid, saya terdengar suara bayi menangis dan menemuinya di pintu masjid.

"Saya kemudian meminta bantuan jiran di sebelah masjid untuk mengambilnya sebelum memaklumkan kepada imam dan polis.

"Saya percaya ketika ditemui bayi itu baru ditinggalkan dan ia menangis kerana digigit nyamuk berdasarkan kesan bintik merah pada mukanya," katanya ketika pemberita di sini hari ini.

Khasli berkata, terdapat sebuah beg ditinggalkan bersama bayi itu yang di dalamnya mengandungi lampin pakai buang, beberapa helai baju, tisu basah dan botol bayi yang masih berisi susu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung penemuan bayi itu daripada penduduk kampung pukul 5.30 pagi dan menghantar anggotanya ke masjid tersebut untuk siasatan.

Tambahnya, bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis masih menjejaki ibu kepada bayi terbabit dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Tujuh diberkas selepas rompak RM52,000




MARUDI 21 Mac - Tujuh perompak terpaksa berputih mata apabila diberkas beberapa jam selepas melarikan wang tunai RM52,000 dari sebuah peti besi di pejabat ladang kelapa sawit di Lapok, Tinjar dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam, kesemua suspek yang bersenjatakan senapang dan parang itu turut melepaskan beberapa das tembakan ke udara untuk menakut-nakutkan mangsa yang merupakan pengurus ladang.

Difahamkan, berikutan bunyi tembakan itu, penduduk rumah panjang berdekatan mengesyaki sesuatu buruk telah berlaku dan terus menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abu Bakar Mokhtar berkata, bertindak atas maklumat, lima suspek ditahan dua jam selepas kejadian dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Miri-Bintulu dekat sini.

Katanya, hasil soal siasat polis memberkas dua lagi rakan mereka kira-kira pukul 3 pagi.

"Tujuh suspek berusia 22 hingga 59 tahun itu berjaya dikesan berdasarkan tiga buah kenderaan yang digunakan semasa merompak iaitu sebuah Proton Wira, Honda Civic dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

"Turut dirampas senjata yang digunakan semasa rompakan itu iaitu senapang dan dua bilah parang panjang yang ditemui dalam kenderaan mereka," katanya di sini hari ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Dua maut, lima cedera



BERA 21 Mac - Dua Orang Asli maut manakala lima lagi cedera, termasuk seorang parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Kilometer 34, Jalan Temerloh-Bahau, awal pagi ini.
Mangsa yang terbunuh ialah penumpang hadapan, Saadan Pendek, 36, dan penumpang belakang, Subia Lidin, 12, yang kedua-duanya beralamat di Kampung Runchang, Pekan.
Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Zahid Mohd. Noor, kejadian berlaku pukul 5 pagi ketika keluarga tersebut dalam perjalanan dari arah Bahau ke Paloh Hinai, Pekan.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Iswara yang dipercayai dipandu laju itu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh sebatang pokok.
"Pemandu kereta itu, Kassim Law, 20, cedera parah di badan dan muka manakala dua mangsa yang maut cedera di kepala dan badan.
"Empat lagi penumpang yang cedera ialah Rosnani Lidin, 15; Adila Adi, 16; Rosnita Lidin, 13, dan Kitie Mail, 13," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan keadaannya dilaporkan stabil.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Lagi remaja lari dari rumah




JERANTUT 21 Mac - Kurang 24 jam seorang remaja berusia 15 tahun dilaporkan hilang oleh keluarganya di Kuantan, sebelum ditemui selamat dan mengaku mengikut teman lelakinya petang semalam, sebuah lagi keluarga di negeri ini turut menerima nasib sama.

Keluarga itu merayu remaja tersebut, Nornabila Mat Yaacob, 15, agar pulang ke pangkuan mereka setelah menghilangkan diri semasa keluar dari rumah bersama rakannya malam kelmarin.

Seperti kisah di Kuantan, Nornabila juga hilang semasa hendak membeli kad tambah nilai di Taman Koperasi di sini.

Menurut ibunya, Norazlina Osman, 47, Nornabila yang merupakan anak bongsu keluar dari rumah kira-kira pukul 8 malam bersama Norsyazwani Mazlan, 15, atau dikenali sebagai Wawa dengan menaiki sebuah motosikal.

"Sebelum Nornabila yang mesra dengan panggilan kakak hilang, kami telah mengajaknya untuk ke Dewan Majlis Daerah Jerantut untuk melihat kakak sulungnya, Farah Syahirah, 17, berlatih menari namun dia menolak.

"Saya bersama ahli keluarga lain keluar dan tinggalkan Nornabila bersama datuk serta neneknya sahaja di rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norazlina berkata, namun sebaik sahaja pulang ke rumah pukul 11.30 malam, mereka mendapati Nornabila tiada di rumah lalu menghubunginya namun gagal.

"Sebelum itu, kembar Nornabila iaitu Nornajihah, 15, ada menghubunginya pukul 8.15 malam tetapi telefonnya telah dimatikan. Anak saya menghubungi Wawa dan dia memaklumkan sudah menghantar Nornabila balik ke rumah," ujarnya.

Dia memberitahu, Wawa hanya menghantar Nornabila tidak jauh dari rumahnya dan tidak mengesyaki itu merupakan satu taktik yang digunakannya untuk melarikan diri.

Tambahnya, semasa keluar rumah Nornabila memakai baju T dan seluar jean berwarna hitam namun tidak membawa kad pengenalan.

"Saya dan saudara-mara telah mencari di merata tempat dan banyak kali menghubunginya namun telefon dimatikan sehinggalah Nornabila menghantar beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak pukul 8.04 pagi ini namun enggan bercakap menerusi telefon," ujarnya.

"Antara kandungan SMS tersebut termasuk Nornabila mengadu mempunyai masalah dan memberitahu agar semua tidak perlu bimbang keselamatannya dan dia akan balik

Difahamkan, Nornabila merupakan seorang yang sederhana dan tidak pernah keluar dari bandar ini tanpa ahli keluarganya selain tidak suka menceritakan hal peribadi termasuk kepada kembarnya.

"Sebelum ini, Nornabila ada memberitahu saya bahawa dia sudah tidak minat untuk bersekolah kerana tidak dapat memberi tumpuan dan ingin mencari pekerjaan namun hasrat itu dibantah bapanya (Mat Yaacob Mat Daud, 69)," katanya.

Katanya, setelah memujuk dan menasihatinya, Nornabila akur dan meneruskan persekolahan seperti biasa namun tidak menyangka menghilangkan diri tanpa sebarang berita.

"Saya merayu agar dia pulang ke rumah secepat mungkin atau sesiapa yang melihatnya boleh menghubungi kami di talian 013-9742605," katanya.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Kami akan mengedarkan gambar remaja itu supaya masyarakat yang mengenali atau melihatnya menghubungi keluarga dan balai polis terdekat," katanya.

Culik: 7 dijel seumur hidup, 6 sebatan




JOHOR BAHRU 21 Mac - Biarpun terselamat daripada hukuman mati di tali gantung, tujuh sahabat terpaksa meringkuk dalam penjara seumur hidup dan sebatan enam kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang ahli perniagaan, tiga tahun lalu.

Tertuduh-tertuduh terdiri daripada V.G. Vishal, 26, Soon Yong Hwa, 21, S. Sharvin Raj, 21, V.G. Harvinther, 26, S. Richard Roy, 27, T. Kaviaraasu, 23, dan S. Jayakanthan, 29.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan kesemua tertuduh terbabit gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Malah menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana meminta wang tebusan.

Kesemua tertuduh dan ahli keluarga masing-masing menangis sebaik sahaja mendengar hukuman yang dijatuhkan.

Mereka didakwa melarikan dan mengurung Foo Kwai Sang, 54, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta di Jalan Pulai 7, Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai, di sini pada pukul 3.45 petang, 9 September 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Kamardin memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 12 September 2009.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam, R.K. Menon, Sheikh Salem, Arnold Andrew, R. Jegathesan dan Kumar Palanisamy.

Lelaki Lebanon mengaku tidak bersalah




BANGKOK 21 Mac – Seorang lelaki Lebanon yang ditahan dua bulan lalu, hari ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan melanggar undang-undang pengawalan senjata di negara ini.

Atris Hussein ditahan di Bangkok pada Januari lalu dan polis kemudiannya menemui sejumlah besar bahan kimia yang boleh digunakan untuk membuat bom di kediaman yang disewanya di sini.

Menurut dakwaan itu, Atris dan beberapa rakan subahatnya yang tidak didedahkan identitinya telah membungkus lebih enam tan ammonium nitrat di dalam beberapa beg.

“Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu,” kata peguamnya, Withaya Buranasil yang menemui anak guamnya itu buat pertama kali hari ini sejurus sebelum kesnya disebut Mei ini.

Menurut Withaya, Atris tidak merancang untuk mendapatkan ikat jamin.

Jika didapati bersalah, Atris boleh dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atau denda sebanyak 50,000 bath (RM5,237).

Ammonium nitrat biasanya digunakan dilam industri pertanian tetapi jika dicampurkan dengan bahan-bahan tertentu ia boleh dijadikan bom dan di Thailand, memiliki bahan kimia itu memerlukan permit.

Ekoran penahanan itu, Amerika Syarikat memberi amaran berhubung ancaman serangan pengganas ke atas kawasan pelancong di Bangkok. – AFP

Lagi protes naik harga minyak di Jakarta




Pekerja Indonesia merempuh halangan yang dibina pasukan keselamatan Indonesia semasa satu tunjuk perasaan membantah kenaikan harga minyak di Jakarta, semalam. - REUTERS


JAKARTA 21 Mac - Polis Jakarta menempatkan 14,000 anggotanya termasuk di hadapan Istana Presiden di sini hari ini, untuk mengawal keadaan berikutan satu tunjuk perasaan oleh kesatuan buruh yang membantah kenaikan harga minyak.
Jurucakap polis Senior Komisioner Rikwanto berkata, selain memastikan tunjuk perasaan diadakan secara aman, anggota polis yang ditempatkan di situ turut bertanggungjawab menjaga keselamatan stesen-stesen minyak.
Menurut Gabungan Kesatuan Pekerja Seluruh Indonesia (KSPSI) semalam, mereka menjangkakan tunjuk perasaan yang menentang kenaikan bahan bakar itu bermula 1 April ini akan dihadiri antara 25,000 dan 30,000 orang.
"Kami akan membawa suara pekerja dan orang awam yang terbeban dengan kenaikan harga bahan bakar itu," kata Presiden KSPSI, Andi Gani Nena Wea.
Kerajaan Indonesia merancang menaikkan harga minyak subsidi sebanyak 33 peratus pada April ini ekoran peningkatan harga minyak global, sekali gus mencetuskan protes di seluruh negara. - AGENSI

Bengang dengan pemaju tidak bayar bil air




KLANG 21 Mac - Kira-kira 600 penduduk Blok D, Pangsapuri Sri Bayu, di sini terputus bekalan air apabila Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memotong bekalan air di pangsapuri itu semalam.

Tindakan tersebut terpaksa dilakukan Syabas ekoran pihak pemaju pangsapuri tersebut gagal menjelaskan bil tertunggak mencecah RM19,000 bagi tempoh November 2011 hingga Februari 2012 lalu.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan kekecewaan terhadap pemaju yang seolah-olah bersikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan penduduk yang terpaksa menanggung kesannya.

Seorang penduduk, Nor Hasanah Daud, 34, berkata, sejak pemotongan itu dilakukan dia terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke rumahnya di tingkat empat.

"Ini bukan kali pertama berlaku tetapi kali kedua dalam tempoh seminggu akibat tunggakan bil air yang tidak dilunaskan oleh pemaju," katanya yang sudah 10 tahun menetap di pangsapuri tersebut.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Afri Mohamad, 39, pula berkata, kebanyakan penghuni adalah penyewa dan sentiasa membayar bil bulanan kepada pemilik rumah tetapi pemilik rumah yang tidak menjelaskannya kepada pihak pengurusan.

"Pemilik rumah juga seharusnya memainkan peranan kerana sekiranya berlaku keadaan seperti ini bukan mereka yang susah tetapi penyewa yang mendapat susah.

"Masalah tersebut tidak akan berlaku sekiranya pemilik rumah mempunyai meter individu tetapi pangsapuri ini menggunakan meter pukal. Jadi disebabkan kelalaian orang lain, kami yang menjadi mangsa walaupun bayaran bil dibuat secara konsisten," katanya.

Dia berkata, terdapat segelintir penduduk terpaksa mengambil cuti disebabkan kejadian itu dan kejadian sama bakal berlaku di Blok A, B dan C pangsapuri berkenaan.

Siti Fatihah mengaku tidak diculik




KUANTAN 21 Mac - Remaja perempuan yang ditemui dua hari selepas dia dikatakan diculik ketika membeli kad tambah nilai prabayar Ahad lalu, akhirnya mengaku kepada polis bahawa dia sebenarnya tidak diculik.

Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, mengaku dia dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya berusia 26 tahun setelah mengalami tekanan emosi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, pengakuan itu dibuat ketika polis menyoal siasat gadis itu selepas dia ditemui di rumah keluarga teman lelakinya di Kampung Merchong dekat Pekan, petang semalam.

"Setelah menyiasat kes ini, polis mendapati Siti Nur Fatihah bukan diculik. Remaja ini keluar dari rumah secara sukarela dan tiada unsur paksaan atau kekerasan oleh mana-mana pihak.

"Gadis ini mengaku dia lari dari rumah untuk menenangkan fikiran dan mahu tinggal sementara dengan keluarga teman lelakinya," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ahad lalu, Siti Nur Fatihah dilaporkan 'diculik' oleh tiga individu, termasuk seorang wanita semasa keluar membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini.

Gadis itu bagaimanapun ditemui selepas polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di Kampung Merchong, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Dia dibawa ke kampung tersebut yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar ini.

Narenasagaran memberitahu, remaja itu sendiri menghubungi kedua-dua lelaki dan wanita itu untuk menghantarnya ke rumah teman lelakinya di Kampung Merchong pada hari dia dilaporkan hilang oleh keluarganya.

Menurutnya, Siti Nur Fatihah kini dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sultanah Fatimah di sini untuk diberi kaunseling dan penjagaan kerana dia tidak mahu pulang ke rumah serta merayu tidak mahu ditemui sesiapa.

Ditanya mengenai dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang didakwa melarikan gadis tersebut, Narenasagaran berkata, mereka tidak ditahan tetapi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

"Mereka tidak melakukan penculikan. Mangsa sendiri mengaku tidak diculik serta tidak dikasari atau dipaksa," jelas beliau sambil memberitahu kes ini dianggap selesai.

Sementara itu, di MELAKA, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes culik di negara ini.

Menurutnya, polis yakin anggota dan pegawai polis sedia ada mampu menangani kejadian seumpama itu.

"Kes penculikan dan kehilangan individu di negara ini tidak serius. Bagaimanapun, ia mungkin disensasikan seolah-olah negara ini tidak selamat sehingga mencetuskan suasana panik dalam masyarakat," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, di sini hari ini.

Ismail menambah, beliau percaya kepada kemampuan polis dalam menghadapi sebarang kejadian jenayah, termasuk kes culik selain akan meningkatkan pemantauan dan rondaan bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Doktor dijel, penalti RM6.39j


KUALA LUMPUR 21 Mac - Selepas seorang saksi dan peguam bela meninggal dunia dalam perbicaraan yang memakan masa lapan tahun, individu pertama yang didakwa atas tuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, Dr. Hamimah Idruss akhirnya hari ini dihukum penjara tiga tahun dan penalti RM6.39 juta.

Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman itu setelah wanita tersebut didapati bersalah atas lapan tuduhan pengubahan wang haram dan 10 tuduhan bersubahat dengan bekas pekerjanya melakukan pemalsuan dokumen melibatkan berpuluh-puluh juta ringgit, sembilan tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan Hamimah, 63, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Di bawah Seksyen 4(1) AMLATFA 2001, Hamimah yang merupakan bekas pengarah syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd., (Safire) didakwa atas lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.38 juta antara 3 dan 10 Jun 2003.

Wanita itu turut didakwa atas 10 pertuduhan bersubahat dengan bekas pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 43, dengan memalsukan surat perjanjian Safire yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta).

Bagi pertuduhan itu, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama.

Asmadi menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan di bawah AMLATFA dan penalti RM6,394,530.72 iaitu mengikut jumlah wang yang telah dilupuskan.

Gagal bayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara setahun lagi.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan bersubahat memalsukan surat perjanjian.

Kesemua hukuman diperintahkan berjalan serentak menyebabkan tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun sahaja.

Asmadi bagaimanapun membenarkan permohonan Hamidah melalui peguamnya, Harvinderjit Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan penalti sementara menunggu rayuan.

Kebenaran itu diberikan dengan syarat jumlah jaminan wanita itu dinaikkan daripada RM800,000 kepada RM1 juta beserta dua penjamin, perlu melaporkan diri di Balai Polis Bangi sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan notis rayuan difailkan selewat-lewatnya esok.

Kes itu mula dibicarakan pada 12 Julai 2005 selepas pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 23 April 2004.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 54 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk dua saksi dari Jerman dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Drs. Suleiman Mohamed manakala peringkat pembelaan, tiga saksi termasuk tertuduh tampil memberi keterangan.

Hamimah pada awalnya diwakili S. Pushpam, namun peguam itu meninggal dunia pada 25 Mei tahun lalu selepas mengalami kegagalan pelbagai organ dalam badan. Saksi pendakwaan yang meninggal dunia pula ialah Henry Toon.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Robert Pasang Alam dan Mustaqim Sukarno.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Robert menyatakan, daripada sejumlah RM41.38 juta wang haram itu, sebanyak RM34.98 juta telah berjaya disita manakala baki RM6.39 juta tidak dapat dikesan.

Menurutnya, hukuman berat perlu diberikan kepada tertuduh bagi membanteras aktiviti pengubahan wang haram apatah lagi ia menjejaskan nama negara kerana melibatkan sebuah syarikat antarabangsa dari luar negara sebagai mangsa.

''Tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang penyesalan kerana masih menyatakan Yusaini yang melakukan kesalahan itu. Saya ingat sampai hari ini pun dia tidak menyesal,'' kata Robert.

Sementara Harvinderjit pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menghidap diabetes dan telah memberi kerjasama penuh sepanjang perbicaraan.

Bekas posmen dijatuhi hukuman gantung kerana edar ganja


JOHOR BAHRU -- Seorang bekas posmen dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 500 gram dadah jenis ganja tiga tahun lepas.

Sebelum ini, pada 29 Jun 2010, tertuduh dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama atas kesalahan tersebut, tetapi kemudian diarah membela diri oleh Mahkamah Rayuan.

Pesuruhjaya Kehakiman, M.Gunalan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Abd. Rahim M. Ali, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

"Pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata dan penjelasan tertuduh ketika ditangkap juga tidak munasabah,” kata M.Gunalan.

Sebaik dibacakan hukuman tersebut, suasana bertukar pilu apabila isteri tertuduh pengsan manakala tertuduh memeluk dan mencium anak-anaknya yang menangis.

Abd. Rahim didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 500 gram di sebuah rumah di Jalan Impian 2/18, Taman Impian Jaya, Seelong, Kulaijaya pada pukul 8 malam, 10 Jan 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hidhir Mustapha.   -- Bernama

Gadis lari ikut kekasih ditemui di Kuantan


Siti Nur Fatihah Mahadi
KUANTAN -- Seorang pelajar berusia 15 tahun yang dilapor hilang selepas keluar membeli kad tambah nilai telefon bimbit, di Jerantut, Isnin lepas, ditemui bersama teman lelakinya di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata pelajar terbabit Nornabila Mat Yaacob yang dipercayai mengikut teman lelakinya ke Kuantan, ditemui keluarganya pada pukul 10 malam tadi.

"Ibu pelajar terbabit, sebelum itu menghubungi teman lelaki anaknya itu dan dimaklumkan Nornabila berada di Kuantan.

"Keluarga Nornabila yang menetap di Taman Koperasi, Jerantut ke Kuantan dan  menemui Nornabila di sebuah kedai serbaneka di Taman Tas, Kuantan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Azid berkata berdasarkan siasatan awal, pelajar terbabit pernah melarikan diri dari rumah sebelum ini bersama teman lelakinya yang berusia 20-an dan telah berkahwin itu Ahad lepas, seorang remaja perempuan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, dilapor hilang disyaki diculik di Taman Tas, Kuantan dan setelah ditemui dia mengaku dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun. . -- Bernama

Ibu bersyukur


       
SHAH ALAM: “Saya bersyukur ada pihak yang sudi bantu saya pergi ke Bangkok menyelamatkan anak saya, namun identiti pihak yang membantu itu biarlah saya rahsiakan,” demikian reaksi Norazura Roski, 37, ibu Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, mangsa culik di Stesen Bas Seksyen 9, di sini, 30 Januari lalu.

Norazura berkata, sewaktu pertemuan yang diaturkan polis Bangkok 16 Mac lalu, keadaan anaknya atau lebih mesra dengan panggilan Nana agak kurus dan kulitnya gelap berbanding sebelum dilaporkan hilang.


Katanya, anaknya kini masih lagi menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sehingga kini belum diketahui bila anaknya dibenarkan keluar.

Tumpang van lelaki tak dikenali


       
BANGKOK: Siasatan awal Polis Imigresen Thai menunjukkan remaja perempuan Malaysia berusia 14 tahun yang hilang bersama lima rakan Rohingyanya menumpang kenderaan seorang lelaki yang tidak dikenali di Malaysia dekat sempadan Thai-Malaysia, sebelum memasuki Thailand secara haram.

Timbalan Komander Pusat Siasatan Biro Imigresen, Pol Col Chartchai Lamsaeng berkata, mereka menaiki van berdaftar di Malaysia yang ditawarkan seorang lelaki Malaysia dekat sempadan pada 8 Mac. Lima remaja Rohingya itu empat lelaki dan seorang perempuan berumur antara 14 hingga 16 tahun. Keenam-enam mereka adalah rakan dan mengenali satu sama lain. “Mereka diberi minum oleh lelaki itu dan sejurus kemudian mereka tertidur,” Chartchai yang mengetuai siasatan kes itu memberitahu Bernama, di sini. Beliau berkata, apa yang dapat mereka ingat ketika perjalanan itu mereka melalui Hat Yai, Petchaburi atau Nakhon Phatom dan berhenti di Hua Lamphong di ibu negara ini. “Kami hairan bagaimana mereka dapat melepasi pusat pemeriksaan di sempadan tanpa dokumen perjalanan,” kata beliau. - Bernama

Remaja hanya main sandiwara


       
KUANTAN: “Tindakan remaja perempuan itu bergelut dan diseret masuk ke dalam kereta hanya sandiwara bagi mengaburi dua adiknya yang ketika itu berada bersamanya di tempat kejadian,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran berhubung kejadian Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, kononnya diculik ketika pulang membeli kad prabayar di kedai, 100 meter dari rumahnya di Taman Tas, di sini, Ahad lalu.

Siasatan polis mendapati tertekan kerana menganggap dikongkong keluarga, menyebabkan Nur Fatihah melarikan diri bersembunyi di rumah teman lelakinya di Kampung Merchong, Pekan, yang juga seorang anggota polis bertugas di Kedah.


Polis berjaya merungkai drama penculikan lakonan remaja itu oleh dua rakan lelaki dan seorang wanita dipercayai ibu saudaranya apabila Nur Fatihah dikesan berada di rumah lelaki berusia 26 tahun yang baru enam bulan berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

Nur Fatihah ditemui selamat di rumah teman lelakinya yang dipercayai dikenali sejak lebih setahun lalu dan kini bercuti, kira-kira jam 8 malam kelmarin, sebelum dibawa pulang ke bandar ini.


Narenasagaran menegaskan kejadian itu bukan kes culik seperti didakwa keluarga remaja berkenaan, sebaliknya anak sulung daripada tiga beradik terbabit keluar rumah secara sukarela untuk bersama teman lelakinya.


Katanya, ketika kejadian, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan di sini, menghubungi dua rakan dikenali sebagai Zaidi dan Hafiz serta ibu saudaranya meminta tolong menjemput sebelum menghantarnya ke rumah teman lelaki.


“Malah maklumat diperoleh daripada rakan karibnya dikenali sebagai Aimi, Nur Fatihah beberapa kali menyatakan niat lari dari rumah,” katanya dalam sidang media di sini, semalam. Narenasagaran berkata, hasil siasatan, remaja itu menjelaskan dia tidak mahu pulang kepada keluarganya dan kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAF), Alor Akar di sini, di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


“Polis percaya tindakannya melarikan diri disebabkan tertekan akibat rasa terkongkong hidup bersama keluarga.


“Sejak tingkatan satu dia tinggal di asrama Sekolah Menengah Agama Kota Gelanggi 3, Jerantut, sebelum berpindah ke SMK Pandan, awal tahun ini. Ketika di asrama mungkin dia rasa bebas dan berasa janggal apabila kebebasannya itu hilang kerana tinggal bersama keluarga.


“Teguran ibu bapa yang mungkin tidak dapat diterimanya menyebabkan dia memilih mencari ketenangan dengan menemui teman lelakinya,” katanya.


Menurutnya, polis merekodkan keterangan teman lelakinya namun menolak kemungkinan menahan anggota polis itu berikutan kejadian berlaku secara sukarela dan tidak membabitkan unsur paksaan.


Polis juga mengenalpasti dua lelaki dan wanita dipercayai ibu saudaranya untuk diambil keterangan.


“Kami tidak faham kenapa ibu bapanya menghebohkan kejadian ini kepada media kerana ia berlaku akibat masalah keluarga,” katanya.


Sementara itu, ibu gadis terbabit, Nor Mala Mohd Lazin, 33, berkata, dia terkejut dengan apa yang berlaku tetapi menafikan mengongkong Nur Fatihah.


“Saya juga tidak tahu yang dia ada teman lelaki dan tidak faham mengapa dikata mengongkong Nur Fatihah sedangkan kebebasan diberi jika wajar.


“Sesekali memarahinya memang ada, anda sendiri tahu bagaimana marah ibu kepada anak, begitulah juga apa yang saya lakukan sebagai tanda sayang,” katanya.


Menurutnya, keputusan memindahkan anak sulungnya itu ke SMK Pandan atas kerelaannya sendiri selepas tidak lagi mendapat tempat di asrama sekolah berkenaan.


“Saya bingung dan tidak tahu hendak cakap apa lagi,” katanya.

2 maut lompat bas


       
RANAU: Dua penumpang bas ekspres maut manakala dua lagi parah apabila keempat-empat mereka nekad melompat keluar daripada bas dinaiki yang secara tiba-tiba berundur selepas melanggar kereta di depan.

Kemalangan itu berlaku di Kilometer 35, Jalan Telupid - Ranau, berhampiran Kampung Nambutan, di sini, kelmarin.
Sebelum kejadian, bas membawa 36 penumpang, seorang pemandu dan seorang kelindan itu dikatakan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau, sebelum hilang kawalan ketika menaiki bukit, kira-kira jam 5 petang.

Penumpang, Nahawara Beddu, 44, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala Irlisafatin Jaffar, 23, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Ranau.



Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, dua lagi mangsa yang turut cedera parah belum dikenal pasti identiti dan masih dirawat di hospital sama.

Tak berdaya tahan sakit


KUALA PILAH: “Tolong matikan saya.” Itu jeritan seorang kelindan apabila tidak mampu menahan kesakitan selama dua jam selepas lori dinaikinya terbabit kemalangan hingga menyebabkan tangan kirinya ditindih tayar kenderaan itu di Kilometer 18.5 Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, mangsa, Ramburuj Kapar, 31, yang juga warga Myanmar menaiki lori membawa muatan bawang dipandu Abd Sallam Omar, 33, menuju ke Seremban.
Sejurus tiba di tempat kejadian, sebuah Proton Perdana V6 dipandu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori mangsa.

Difahamkan, pelanggaran itu menyebabkan Ramburuj tercampak ke bahu jalan dan tangannya ditindih tayar lori berkenaan sebelum diselamatkan anggota bomba.



Pemandu kereta terbabit turut cedera manakala pemandu lori, Abd Sallam tidak cedera.

Cuba perdaya pura-pura pitam


SOAL...anggota polis menyoal GRO yang ditahan dalam Ops Noda awal pagi semalam.
SOAL...anggota polis menyoal GRO yang ditahan dalam Ops Noda awal pagi semalam. 


SUNGAI BESAR: Tiga remaja perempuan yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia bawah umur membabitkan dua orang berusia 16 dan seorang lagi berusia 15 tahun diselamatkan dalam Ops Noda dijalankan Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Jalan Bunga Orkid, di sini, awal pagi semalam.

Selain itu, 24 lagi wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) turut ditahan dalam serbuan itu.


Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi diketuai Superintendan Amir Rasid Derani dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman membabitkan 16 anggota itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai ejen wanita berkenaan.

Ketika dibawa ke trak polis untuk siasatan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, seorang daripada GRO berpura-pura pengsan dipercayai untuk meraih simpati, namun dia segera bangun apabila menyedari taktik itu gagal.


Sementara itu, Amir Rasid ketika ditemui selepas serbuan berakhir, berkata pihaknya menjalankan risikan dan pemantauan selama empat hari mendapati premis itu menggajikan remaja bawah umur sebelum menjalankan serbuan.


“Kami sangat serius menangani pemerdagangan orang terutama membabitkan remaja bawah umur yang dipergunakan untuk tujuan tidak bermoral.


“Ketika serbuan, remaja bawah umur berkenaan asyik melayan pelanggan dengan menuangkan minuman keras di satu daripada 16 bilik yang terdapat di premis dua tingkat itu.


“Siasatan awal mendapati dipercayai remaja warga Vietnam itu turut dijadikan pemuas nafsu pelanggan termasuk dilacurkan. Manakala seramai 23 lagi wanita Vietnam dan seorang Thailand berusia 20-an juga ditahan,” katanya selepas operasi semalam.


Menurutnya, siasatan mendapati rata-rata pelanggan terdiri daripada golongan nelayan dan peladang tempatan yang mahu melanggani GRO di premis itu perlu membayar RM40 sejam, GRO terbabit akan mendapat RM3 ekstra bagi setiap jag minuman keras dipesan.


Katanya, secara kasar pendapatan GRO berkenaan dalam anggaran RM2,000 sebulan.


Menurutnya, serbuan bersama D7 IPD Sabak Bernam turut merampas wang tunai berjumlah RM4,718.


“Untuk tiga mangsa bawah umur yang diselamatkan siasatan dilakukan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang (Atip). Mangsa itu akan dibawa ke Rumah Perlindungan Bukit Ledang di Jalan Travers, Kuala Lumpur.


“Semua GRO yang ditahan itu dibawa ke IPD Sabak Bernam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen.


“Enam warga tempatan iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan berusia 20-an hingga 40-an dipercayai penjaga premis turut ditahan berikutan melindungi dan pekerja asing tanpa permit,” katanya.


Menurutnya, pihaknya mendapati warga asing tinggal berdekatan premis dan siasatan turut menjurus kepada sindiket pemerdagangan orang untuk tujuan tidak bermoral.

Peluncur air dibaham jerung


       
SYDNEY: Seorang peluncur air masih dirawat, selepas dibaham jerung ketika dia terjatuh dari papan luncurnya dan mendarat di atas haiwan itu ketika meluncur di Gold Coast, semalam.

Jerung itu berkemungkinan spesies jerung banteng (bull shark), menggigit Billy O’Leary dua kali, menyebabkan daging kakinya terkoyak hingga ke tulang dan tendon tumitnya parah.
O’Leary, 20 berjaya naik ke Pantai Nobby, di mana rakannya membalut kakinya untuk menghentikan pendarahan dan memberi tahu pihak berkuasa.

Rakannya Tim Windisch berkata, “Ada dua gigitan. Satu gigitan di bahagian betis itu menyebabkan daging kakinya terkoyak besar.”



“Satu lagi gigitan di bahagian bawah dekat tumit. Gigitannya itu besar hingga anda boleh lihat tulang kakinya,” katanya.



Ketua Penyelamat Pantai, Warren Young berkata berkemungkinan O’Leary mendarat di atas jerung banteng, spesies jerung agresif yang dikenali sering menyerang manusia.

“Itu yang O’Leary rasakan. Dia terjatuh daripada papan luncur ketika melompat dan membuat pusingan,” katanya. - AFP

Cermin kereta dipecahkan


       
KUANTAN: “Saya tidak pasti siapa tergamak memecahkan cermin kereta ini namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kerugian berikutan barang berharga tidak disimpan di dalam kereta,” kata jurusolek, Wan Nor Asiah Wan Sulaiman, 44, yang tergamam selepas melihat cermin kereta Toyota Vios miliknya dipecahkan dalam kejadian di Taman Awali, Bukit Sekilau di sini, pagi semalam.

Kejadian berkenaan hanya disedari ketika dia hendak ke tempat kerjanya di Jalan Bukit Ubi di sini, dan sebuah kereta Proton Pesona milik jirannya turut pecah cermin kiri depan.


Jirannya yang turut menjadi mangsa, Hanisah Azwanie Omar, 32, berkata, dia tidak menyedari cermin keretanya dipecahkan sehingga Wan Nor Asiah memberitahunya.

“Saya bergegas memeriksa kenderaan dan lega kerana tiada barang dalaman hilang,” katanya.

Belasah, bakar telinga mangsa


       
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bukan saja dipukul tiga lelaki tidak dikenali di muka menggunakan paip getah, malah telinga kirinya turut dibakar dengan pemetik api sebelum disamun kumpulan terbabit dalam kejadian di hentian bas Jalan Pekeliling, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 33 tahun menaiki teksi dipandu seorang lelaki berusia 30-an untuk pulang ke rumahnya di Damansara.
Menurut sumber, sebaik masuk ke dalam teksi itu, tiga lelaki tidak dikenali dipercayai bersubahat dengan pemandu teksi berkenaan meluru masuk sebelum pemandu terbabit terus memecut.

“Ketiga-tiga suspek kemudian memukul mangsa di muka, badan dan tangan menggunakan paip getah. Mangsa berulang kali merayu dikasihani, namun tidak diendahkan.



“Seorang suspek terus memukul kepala mangsa menggunakan paip getah sebelum mereka berhenti dan mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai,” katanya.

2 polis nafi samun warga asing


       
PETALING JAYA: Padah melakukan samun bersenjatakan pistol terhadap empat warga Bangladesh di sebuah rumah di Ara Damansara, dekat sini, tahun lalu, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Junaidi Awang, 33, dan Rasli Zainol Abidin, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.


Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama dua orang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan menyamun dengan mengambil wang tunai milik Md Shafiqul Sheikh, 31, Md Moshiur Rahman, 26, Borhan Uddin Molla, 33 dan Al Amien, 27, membabitkan kerugian RM592.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat nombor 10, tingkat bawah, Blok E, Sri Ara Apartmen, Jalan PJU 1A/5, Ara Damansara, di sini, jam 12.30 tengah malam, 11 Julai 2011.


Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.


Junaidi dan Rasli masing-masing yang hadir ditemani isteri dan kakaknya memohon wang jaminan dikurangkan berikutan isteri Junaidi hanya membawa RM4,000 manakala kakak Rasli membawa RM3,000.


Hakim Hayatul Akmal kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 19 April depan.

Tiga penjenayah gigit jari mesin juruwang kosong



         
MIRI: Tiga penjenayah termasuk seorang wanita yang menyangka mampu meraih keuntungan besar selepas melarikan sebuah mesin juruwang di sebuah kedai makan di North Yu Seng, di sini, ‘menggigit jari’ apabila mendapati mesin berkenaan kosong, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, ketiga-tiga penjenayah dikatakan memecah masuk kedai berkenaan dengan mengumpil pintu di tepi kedai sebelum mencuri mesin berkenaan.


Bagaimanapun, perbuatan mereka dilihat oleh seorang pelanggan yang sering berkunjung ke kedai berkenaan sebelum memaklumkan perkara itu kepada seorang pekerja kedai terbabit.

Menurut sumber, pekerja terbabit mendapati ketiga-tiga suspek berada dalam kedai itu dan cuba membawa keluar mesin juruwang itu.


“Sebaik menyedari kehadiran pekerja, kedua-dua suspek lelaki terus melarikan diri, manakala suspek wanita berusia 24 tahun ditangkap sebelum diserahkan kepada polis.


“Apa yang pasti, semua suspek cuba mencuri mesin juruwang berkenaan kerana menyangka mampu meraih keuntungan besar sedangkan tiada wang dalam mesin terbabit,” katanya.


Dalam kes berasingan, dua lelaki masing-masing berusia 27 hingga 47 tahun ditahan selepas mencuri besi milik sebuah syarikat pembinaan di Jalan Lapangan Terbang, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kedua-dua suspek memasuki kawasan pembinaan itu sehingga mengundang curiga seorang pekerja.


“Seorang pekerja ternampak kedua-dua suspek sedang mengangkut besi milik syarikat yang masih digunakan dan terus memaklumkan kepada majikannya, sebelum mereka mengekori suspek,” katanya.


Difahamkan, kedua-dua suspek bekerja di sebuah tapak pembinaan berlainan dan dipercayai mencuri besi itu untuk dijual kerana kesempitan wang.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kedua-dua kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Dua Orang Asli maut kereta rempuh pokok


       
BERA: Tujuh Orang Asli yang berhimpit seperti sardin dalam sebuah Proton Iswara terpaksa menempuh azab selama hampir setengah jam dan dua daripada mereka kemudiannya maut selepas kenderaan berkenaan merempuh sebatang pokok di Kilometer 34, Jalan Temerloh-Bahau, dekat sini, tengah malam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, Saadan Pendek, 35, penumpang di depan dan Subia Lidin, 12, penumpang di belakang yang berasal dari Runchang, dekat Pekan, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Mangsa yang cedera ialah pemandu, Kassim Law, 20, bersama empat penumpang belakang iaitu dua beradik, Rosnani, 15, dan Rosnita Lidin, 13, serta Adila Adi, 16, dan Kitie Mail, 13.

Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh, untuk rawatan.


Difahamkan, semua mangsa mempunyai hubungan pertalian saudara dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Pekan dari Bahau.


Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, siasatan mendapati ketika tiba di tempat kejadian di laluan berselekoh, Kassim dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh sebatang pokok.


“Akibat rempuhan kuat itu, semua mangsa dalam kenderaan berkenaan tersepit dan terpaksa bertindih antara satu sama lain. Polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan orang awam,” katanya.


Menurutnya, sepasukan anggota polis terpaksa bertungkus-lumus selama hampir sejam bagi mengeluarkan semua mangsa tersepit sebelum dikejarkan ke Hoshah akibat cedera di kaki, muka dan badan.


“Siasatan mendapati mangsa menggunakan laluan pintasan itu yang berselekoh kerana perjalanan dari Bahau, Negeri Sembilan ke Pekan, lebih dekat“ katanya.


Beliau berkata, dua jenazah mangsa sudah dituntut keluarga selepas bedah siasat di Hoshah pagi semalam dan polis menyiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hukuman berat tauke kafe judi

       
PUCHONG: Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) menggesa pengusaha kafe siber yang menyalahgunakan lesen termasuk perjudian dalam talian agar dikenakan tindakan buang daerah dan hukuman penjara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya akan mengemukakan memorandum cadangan itu kepada Kementerian Dalam Negeri dalam masa terdekat ini.


“Setakat denda yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka masih mampu membayarnya. Malah, ada yang diserbu pada sebelah pagi, beroperasi semula beberapa jam kemudian dan keadaan ini menunjukkan mereka tidak gentar dengan undang-undang,” katanya kepada media di pejabatnya, di sini, semalam.

“Malah, keuntungan yang diraih hasil perjudian dalam talian itu masih banyak walaupun selepas membayar saman yang diterima,” katanya kepada media di pejabatnya, di sini, semalam.


Tambahnya lagi, hasil pemerhatian yang dilakukan Skuad Pemantau LPKPM mendapati sebanyak 36 kafe siber di sekitar Puchong yang menyediakan perjudian itu beroperasi selama 24 jam sehari.


“Masalahnya hampir 90 peratus pengunjung terdiri daripada bangsa Melayu, malah ada juga pelajar yang lengkap berpakaian sekolah dibenarkan masuk.


“Beberapa premis pula tidak mempunyai lesen perniagaan tetapi sudah beroperasi lebih tiga tahun.,” katanya.


Tambahnya lagi beberapa kafe siber berkenaan turut beroperasi berhampiran sekolah sekali gus memudahkan pelajar berkunjung ke sana sehingga menyebabkan mereka ponteng belajar.


“Perlunya ada kerjasama antara PBT, polis dan beberapa agensi kerajaan terbabit kerana aktiviti kafe siber ini turut menyebabkan berlakunya pergaduhan dalam keluarga dan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat khususnya generasi muda,” katanya.

Pangsapuri Sri Bayu hutang Syabas RM19,000


 
PELABUHAN KLANG: Kira-kira 600 penduduk di Blok D, Pangsapuri Sri Bayu, di sini, terputus bekalan air apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memotong bekalan air di blok pangsapuri itu, kelmarin.

Langkah memotong bekalan air itu terpaksa dilakukan Syabas selepas pemaju dikatakan gagal menjelaskan bayaran tertunggak mencecah RM19,000 bagi tempoh November 2011 hingga Februari 2012 lalu.


Penduduk yang ditemui melahirkan kekesalan terhadap perkara itu kerana pihak pemaju tidak bertanggungjawab dalam menguruskan bayaran sehingga menyusahkan penduduk di kawasan terbabit. Penduduk, Nor Hasanah Daud, 34, ketika ditemui berkata, disebabkan keadaan itu dia terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke rumahnya di tingkat empat.

“Ini adalah kejadian kedua dan tidak sampai seminggu selepas bekalan air disambung akibat dipotong,” katanya yang sudah 10 tahun menetap di pangsapuri itu.

Letak gambar lucah di FB untuk balas dendam


       
BANDAR SRI BEGAWAN: Seorang lelaki berusia 28 tahun, dipenjara 10 bulan setelah mengaku meletak gambar lucah dan klip video bekas teman wanitanya di Facebook.

Adi Adip Mohammad, meletak nama samaran akaun Facebook bekas teman wanitanya lalu meletak beberapa gambar separuh bogel dan klip video wanita yang dikenali sebagai Miss X, serta aksi seks mereka di laman itu.
Defendan mengaku melakukan perbuatan itu pada 18 Februari lalu dan berniat mahu memalukannya serta mendapatkan perhatiannya selepas dia memutuskan hubungan dengan defendan. - BT

Pekerja limbungan tikam mati teman wanita dihukum gantung




   
SINGAPURA: Seorang pekerja limbungan kapal akan menjalani hukuman gantung setelah mahkamah menjatuhkan hukuman mati kerana membunuh seorang wanita Filipina pada 2010.
Bijukumar Remadevi Nari Gopinathan, 36, didapati bersalah membunuh Roselyn Reyes Pascua, 30, yang membawa hukuman mati.
Hakim Choo Han Teck berkata, pendakwa raya berjaya membuktikan kes terhadap Gopinathan tanpa ragu.

Mayat Pascua ditemui di bilik hotel pada 2010 Mac. Dia ditikam beberapa kali.

Ketika perbicaraan, Gopinathan mengaku menikam mangsa tetapi berkata mangsa membangkitkan kemarahannya kerana cuba memujuknya untuk melakukan hubungan seks.

Telefon bimbit Roselyn dan beberapa keping wang yang mempunyai kesan darah, ditemui bersamanya ketika dia ditahan, tiga hari kemudian. - Straits Times

Lelaki Perancis serang sekolah Yahudi sedia serah diri

TOULOUSE: Seorang lelaki Perancis yang mendakwa ada hubungan dengan al-Qaeda dan suspek utama dalam beberapa serangan termasuk membunuh empat orang di sebuah sekolah Yahudi, Isnin lalu, memberitahu polis kesediaannya menyerah diri.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Claude Guéant berkata pihak berkuasa mahu menahan suspek itu hidup-hidup.
Seorang lagi pegawai polis menamakan suspek sebagai Mohammed Merah yang bermastautin di Toulouse dan berketurunan Algeria. Awalnya, polis berbalas tembakan sebelum berunding dengan lelaki bersenjata itu. Dua anggota polis cedera dalam serbuan di rumah penyerang di bandar barat daya di sini, kata Gueant.
Suspek berusia 24 tahun adalah warga tempatan dan berkata dirinya milik al-Qaeda. - Claude Guéant, Menteri Dalam Negeri Perancis

“Suspek berusia 24 tahun adalah warga tempatan dan berkata dirinya milik al-Qaeda,” kata Guéant kepada media di tempat kejadian.

Katanya suspek ‘mahu membalas dendam atas kematian kanak-kanak Palestin’ dan berang dengan tentera Perancis kerana operasinya di luar negara.

Lelaki itu pernah menghabiskan masa di Afghanistan dan Pakistan, kata Gueant. Abang lelaki terbabit turut ditahan, katanya.
Pihak berkuasa melancarkan buruan besar-besaran di seluruh selatan Perancis selepas tujuh orang terbunuh dalam tiga serangan sejak beberapa hari lalu dan tahap berjaga-jaga Perancis dinaikkan ke peringkat tertinggi.

Selain itu, seorang anggota payung terjun tempatan dibunuh di sini 11 Mac lalu, dua lagi dibunuh manakala seorang cedera Khamis lalu di bandar berhampiran, Montauban, sementara tiga kanak-kanak dan seorang pendeta mati ditembak di sebuah sekolah Yahudi di sini, Isnin lalu.

Suspek dalam serangan itu memandu motosikal berkuasa tinggi dan senjata sama, sepucuk pistol Colt 45 yang digunakan dalam kesemua kejadian. Satu lagi senjata turut digunakan dalam serangan ke atas sekolah Yahudi.

Polis tiba malam semalam untuk menyerbu rumah lelaki itu di sini, hampir dengan tapak pembunuhan pertama.

“Apabila mereka tiba, mereka mahu supaya suspek segera ditembak,” kata Gueant.
Seorang lagi pegawai cedera pada lutut dan seorang pegawai cedera ringan ketika berbalas tembakan, katanya.

“Pegawai membawa ibu suspek ke tempat kejadian dan cuba mendapatkan bantuannya berunding, namun dia enggan, mengatakan tiada pengaruh terhadap anaknya,” kata Gueant. – AP

Bom meletup dekat kedutaan Indonesia


ANGGOTA bomba berada di Kedutaan Indonesia di Paris selepas sebutir bom meletup yang merosakkan bangunan berdekatan.
ANGGOTA bomba berada di Kedutaan Indonesia
di Paris selepas sebutir bom meletup
 yang merosakkan bangunan berdekatan.
 

PARIS: Letupan bom buatan sendiri di luar Kedutaan Indonesia di ibu negara Perancis awal semalam, menyebabkan kerosakan besar pada bangunan berdekatan tetapi tiada siapa yang cedera.  


Saksi melihat tiga lelaki meletak bungkusan berhampiran bangunan di barat Paris itu. Seorang kakitangan kedutaan ternampak bungkusan berkenaan dan meletakkannya 10 meter sebelum lari dari situ, kata sumber.
Bom berkenaan meletup jam 5.45 pagi waktu tempatan, sejam sebelum orang ramai mula memenuhi jalan raya, menyebabkan kerosakan tertentu termasuk tingkap pecah di bangunan 50 meter berdekatan.
Belum ada pihak atau individu mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan itu. 

Polis dan pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian dan menutup laluan di kawasan berkenaan. 

Sementara itu di Jakarta, jurucakap presiden mengenai hal ehwal luar, Teuku Faizasyah, berkata kerajaan Indonesia sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. 

“Kami masih menunggu penjelasan sama ada kami sasaran sebenar atau tidak,” katanya. – Agensi/Reuters

Pemuda maut motosikal rempuh babi hutan

IPOH: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh sekumpulan babi hutan yang melintas di tengah jalan di Km 25 Jalan Damai Laut-Batu Hampar dekat Sitiawan malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohamad Roy Hashim berkata, Azlan Harun, 26, berasal dari Pantai Remis yang mengalami kecederaan di kepala dan badan, meninggal dunia ketika dirawat di sebuah kelinik di Pantai Remis.
"Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat," katanya ketika di hubungi hari ini.

27 GRO termasuk tiga remaja ditahan



SABAK BERNAM – Polis menahan 27 wanita warga asing termasuk dua remaja berusia 16 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun yang bekerja sebagai pegawai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Bunga Orkid, Sungai Besar di sini semalam.
Mereka terdiri daripada 26 wanita Vietnam termasuk tiga remaja terbabit dan seorang rakyat Thailand berusia 20-an.
Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun disyaki ejen wanita berkenaan turut ditangkap bersama enam penjaga premis berusia 20-an hingga 40-an.
Semua tangkapan tersebut adalah hasil serbuan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman membabitkan 16 anggota pada pukul 1.30 pagi.
Superintendan Amir Rasid Derani yang mengetuai operasi yang dikenali Ops Noda itu berkata, serbuan dijalankan setelah pihaknya melakukan risikan dan pemantauan selama empat hari selepas mendapati premis itu menggaji remaja bawah umur.
Menurutnya, ketika serbuan, ketiga-tiga remaja bawah umur itu sedang melayan pelanggan di sebuah daripada 16 bilik yang terdapat di premis dua tingkat tersebut.

Tujuh sekawan culik peniaga dijel seumur hidup



JOHOR BAHRU - Tujuh sekawan dihukum penjara seumur hidup dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah menculik seorang ahli perniagaan tiga tahun lepas.
Hakim Kamardin Hashim memutuskan hukuman tersebut terhadap V. G. Vishal, 26, Soon Yong Hwa, 21, S. Sharvin Raj, 21, V. G. Harvinther, 26, S. Richard Roy, 27, T. Kaviaraasu, 23, dan S. Jayakanthan, 29, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes tersebut.
Kamardin bagaimanapun, memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap pada 12 September 2009.
Kesemua tertuduh dan ahli keluarga masing-masing menangis sejurus selepas mendengar keputusan dibacakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melarikan dan mengurung Foo Kwai Sang, 54, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta di Jalan Pulai 7, Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai di sini.
Kesalahan tersebut dilakukan pada pukul 3.45 petang 9 September 2009.

Keluarga punca lari dari rumah



FATIHAH ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan selepas ditemui selamat kelmarin.


KUANTAN - Siti Nur Fatihah Mahadi (gambar kecil), 15, yang sebelum ini didakwa menjadi mangsa culik sebelum ditemui semula di rumah keluarga kekasihnya di Pekan, Pahang memberitahu dia sengaja melarikan diri kerana tertekan dengan keluarga.
Bagaimanapun, polis setakat ini belum mendapat maklumat lanjut mengenai bentuk tekanan yang dihadapi oleh gadis itu sehingga memaksa dia mengambil jalan singkat untuk lari dari rumahnya di Taman Tas di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner, T. Narenasagaran berkata, perkara tersebut diakui sendiri oleh Fatihah yang memberitahu dia tidak diculik sebaliknya sengaja lari untuk tinggal di rumah kekasihnya yang berusia 26 tahun.
"Laporan yang dibuat kepada polis mendakwa gadis tersebut telah diculik adalah tidak benar. Gadis itu sendiri mengaku dia tidak diculik tetapi keluar rumah dengan rela hati kerana tekanan perasaan," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan Fatihah yang dikatakan hilang pada Ahad lalu semasa keluar membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini diculik oleh dua lelaki dan seorang wanita.

Penjara tiga tahun, penalti RM6.39 juta



KUALA LUMPUR - Individu pertama yang didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001, Dr. Hamimah Idruss dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan diarah membayar penalti sebanyak RM6.39 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas lapan tuduhan di bawah akta tersebut selain 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya untuk memalsukan dokumen, sembilan tahun lalu.
Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian terhadap bekas pengarah syarikat farmaseutikal Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd. itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.
Beliau bagaimanapun membenarkan rayuan tertuduh supaya hukuman penjara dan penalti ditangguhkan sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi dengan syarat jaminan dinaikkan sehingga RM1 juta berserta dua orang penjamin.
Tertuduh bagaimanapun membayarwang jaminan tersebut.
Hamimah, 64, menghadapi lapan tuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.3 juta di antara 3 hingga 10 Jun 2003.
Dakwaan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001, jika sabit kesalahan boleh didenda RM5 juta atau penjara lima tahun.