Search This Blog

Tuesday, March 20, 2012

Remaja diselamat daripada dilacur



SHAH ALAM 19 Mac - Polis Thailand berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan Malaysia yang melarikan diri daripada sekumpulan anggota sindiket pelacuran selepas menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, minggu lalu.
Turut melarikan diri bersama remaja berusia 14 tahun itu ialah sekumpulan remaja Myanmar.
Remaja perempuan itu yang berasal dari Seksyen 8, Shah Alam, di sini dipercayai hilang dari rumah dan kehilangannya itu dilaporkan oleh ibunya yang berusia 37 tahun pada 12 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ibu kepada remaja itu bagaimanapun sekali lagi membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11 di sini sehari selepas itu memaklumkan dia menerima panggilan daripada anak perempuannya.
Beliau berkata, wanita itu mendakwa anak perempuannya mengadu telah diculik bersama beberapa kanak-kanak warga Myanmar oleh sekumpulan individu dan dibawa ke Thailand.
"Bagaimanapun, mereka berjaya melarikan diri dan diselamatkan oleh Polis Thailand pada 11 Mac lalu di Stesen Kereta Api Hua Lampong.
"Polis kini menyiasat kes ini mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tun Hisan, Pejabat Kedutaan Malaysia di Bangkok telah berurusan dengan pihak berkuasa Thailand untuk menghantar pulang remaja tersebut ke tanah air.

Bumbung kedai emas dipecah



TUMPAT 19 Mac - Sekumpulan perompak yang dipercayai beberapa kali gagal memecah masuk sebuah kedai emas di sini, bertindak nekad memasuki premis itu melalui bumbung Jumaat lalu, menyebabkan premis tersebut kerugian kira-kira RM400,000.
Pekerja kedai tersebut, Mohd. Sobri Ahmad, 48, berkata, dia menyedari kejadian tersebut pada Sabtu lalu selepas membuka premis berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.
Katanya, selepas membuka kedai, dia terus ke bahagian belakang untuk membuka peti besi simpanan emas.
"Selepas memeriksa didapati kesemua 24 bekas barang kemas yang terdapat di dalamnya telah dilarikan perompak berkenaan.
"Antara barang kemas yang dilarikan termasuklah rantai, gelang kaki, subang dan cincin," katanya ketika ditemui di sini.
Mohd. Sobri berkata, perompak berkenaan memasuki kedai itu melalui bahagian bumbung berdasarkan kerosakan pada siling.
Katanya, penjenayah itu juga sempat memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis.
Berikutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu, pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Makmal proses syabu diserbu



PULAU PINANG 19 Mac - Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah jenis syabu selepas menyerbu sebuah rumah teres yang dipercayai dijadikan makmal haram di Machang Bubok, dekat Bukit Mertajam baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 6.15 petang Khamis lalu, tiga lelaki berusia antara 34 hingga 54 tahun yang sedang leka memproses pelbagai jenis dadah dalam rumah itu berjaya ditahan.
Polis turut merampas lima liter meth-oil, 55 gram syabu, 1,555 biji pil WY, 20 gram ketamin, 11 gram heroin bersama peralatan dan bahan-bahan kimia untuk memproses dadah.
Nilai pasaran dadah yang dirampas itu dianggarkan RM250,000 dan polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Viva bernilai RM45,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supritendan S. Batumalai berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari JSJN negeri hasil maklumat orang awam dan intipan yang diadakan sejak seminggu.
"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis percaya makmal haram itu memproses dadah jenis syabu dan telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
"Kejayaan terbaru ini merupakan rampasan ketiga sepanjang tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Batumalai, ketiga-tiga suspek itu direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati mandatori.
Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat pergerakan yang mencurigakan di kawasan perumahan yang mereka diami.

Sindiket edar dadah tumpas





HULU LANGAT 19 Mac - Gara-gara mengurung seorang 'pelanggan' yang gagal membayar hutang, kegiatan sekumpulan sindiket pengedaran dadah yang memiliki makmal memproses syabu di sebuah kondominium di Sungai Long, Kajang, di sini akhirnya terbongkar apabila diserbu polis hari ini.
Lima suspek termasuk dua beradik dikatakan mengurung 'pelanggan' lelaki warga Indonesia itu setelah mangsa yang juga dipercayai pengedar dadah gagal menjelaskan tunggakan hutang syabu yang diambil daripada sindiket berkenaan.
Mangsa berusia dalam lingkungan 20-an dikurung sejak beberapa hari lalu dalam sebuah bilik kondominium di tingkat enam yang disewa dan dijadikan makmal memproses syabu oleh sindiket itu.
Suspek kemudian meminta mangsa menghubungi rakannya agar membawa wang untuk membayar hutang dadah yang dibeli sebelum ini dan mengugut mahu membunuhnya jika permintaan itu gagal dipenuhi.
Suspek melarikan diri dengan keluar menerusi tingkap ketika empat suspek yang mengawalnya sedang nyenyak tidur, namun, dia dikatakan terjatuh ketika berada di tingkat empat.
Dia bagaimanapun masih mampu berjalan untuk membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan suspek dan terbongkarnya makmal memproses syabu berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Asisten Supritendan Hngh Ah Leong menyerbu kondominium itu pada pukul 8 pagi ini.
"Ketika diserbu, empat suspek itu sedang tidur dan hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis peralatan dan bahan kimia untuk memproses syabu termasuk cecair dipercayai syabu seberat 1.5 kilogram yang dikeringkan untuk dijadikan kristal.
"Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Damai Perdana, Cheras dan memberkas seorang lagi anggota sindiket bersama syabu yang siap diproses seberat setengah kilogram bernilai kira-kira RM60,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.
Nordin berkata, kelima-lima suspek berusia lingkungan 30-an dipercayai sudah setahun menjalankan kegiatan memproses dan mengedar syabu.
Beliau berkata, bagi mengelak kegiatan mereka dikesan, sindiket itu sering berpindah dan unit kondominium yang diserbu hari ini, baru tiga minggu didiami selepas berpindah dari blok bersebelahan.
Katanya, sindiket itu mempelajari cara-cara menghasilkan syabu dengan belajar melalui Internet dan kesemua mereka juga memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta Akta Kediaman Terhad.
"Lima anggota sindiket merupakan rakyat tempatan kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya sambil memberitahu polis akan menyiasat kesahihan dakwaan lelaki Indonesia terbabit yang kini dirawat di hospital bahawa dia dikurung dan terjatuh semasa melarikan diri melalui tingkap.
Difahamkan, kelima-lima suspek termasuk seorang yang baru dibebaskan dari penjara pada 29 Februari lalu, pernah dikenakan tindakan Akta Kediaman Terhad di Kedah sebelum ini. Mereka juga didapati positif mengambil dadah.

Lelaki potong payu dara isteri ditahan





2012/03/20

SEOUL: Seorang lelaki ditahan kerana bertindak memotong dan menelan puting payu dara isterinya selepas wanita berkenaan menuntut cerai, kata polis semalam. 

Akhbar Korean Times melaporkan warga Korea berketurunan Cina itu menelan sebahagian puting payu dara sebelah kiri isterinya selepas memotongnya menggunakan pisau ketika bergelut dengannya di rumah mereka di Andong, wilayah Gyeongsang utara.
Menurut polis Andong, lelaki berusia 48 tahun itu berada dalam keadaan mabuk ketika bergaduh dengan isterinya yang juga warga Korea Utara yang berpaling tadah, awal pagi Khamis.

Lima militan Bali ditembak





2012/03/20


  • Foto
    POLIS forensik memungut bukti berhampiran kesan darah militan yang ditembak mati di Bali, semalam.
  • Foto
    POLIS Indonesia membawa keranda mengandungi mayat militan Bali yang dihantar ke Jakarta dari Sanglah Hospital di Denpasar, semalam.
Polis Indonesia kenal pasti kumpulan JI ketika cuba rompak sasaran

DENPASAR: Polis Indonesia menembak mati lima suspek militan di Bali tengah malam kelmarin ketika mereka mengenal pasti dan meninjau sasaran serangan, kata agensi menangani keganasan semalam.
Kumpulan itu dikaitkan dengan Jemaah Islamiah (JI), yang didakwa bertanggungjawab dalam pengeboman di Bali yang membunuh lebih 200 orang, kebanyakannya pelancong Australia, kata pegawai.
“Suspek militan itu mengenal pasti sasaran. Mereka sudah mempunyai beberapa sasaran di beberapa lokasi di Bali. Mereka sudah meninjau tempat itu,” kata ketua polis, Ansyaad Mbai.

Serangan di Bali pada 2002 detik permulaan Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia, berdepan ancaman kehadiran militan.

Polis berkata, suspek militan itu dalam persediaan melancarkan rompakan bersenjata untuk membiayai matlamat mereka, sebelum maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Kumpulan itu dikaitkan dengan satu kumpulan lain yang melakukan rompakan bank di Medan. 
“Ia adalah kumpulan militan Islam, kumpulan serpihan JI yang mendirikan kem latihan di Aceh. Mereka cuba merompak kerana mahu mendapatkan wang meneruskan kegiatan mereka,” kata jurucakap polis, Saud Usman Nasution.

Kelima-lima mereka yang bersenjatakan dua raifal bercadang merompak biro mata wang asing dan kedai emas, kata polis.

“Malam kelmarin kami menumpaskan lima penjenayah yang merancang melakukan tindakan ganas dan merompak mata wang asing dan kedai emas di beberapa lokasi di Bali. 

“Semua suspek mati selepas cuba melawan atau melepaskan tembakan ke arah polis,” kata jurucakap polis, Boy Rafli Amar.

Media Australia memetik seorang pegawai kanan polis sebagai berkata kemungkinan kumpulan itu merancang melancarkan serangan Khamis ini, menjelang hari Nyepi, menandakan kedatangan Tahun Baru Hindu di Bali.

Penduduk kepulauan itu secara tradisi mengadakan perarakan besar-besaran menjelang sambutan Nyepi, yang turut menarik kedatangan ramai pelancong, lapor Australian Associated Press.

Pembunuhan itu menyusul ketika bermulanya perbicaraan seorang lagi militan Islam yang dituduh membuat bom yang digunakan dalam serangan pada 2002 di kelab malam di Bali.

Umar Patek, yang ditangkap di bandar sama di mana tentera elit Amerika Syarikat membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan, juga dituduh mencampurkan kimia untuk menghasilkan 13 bom untuk meletupkan lima gereja di Jakarta menjelang sambutan Krismas pada 2000 yang mengorbankan 15 orang.

Pegawai keselamatan berkata, Umar adalah seorang anggota JI.

Sementara itu, akhbar Jakarta Post melaporkan mayat lima suspek itu diterbangkan ke Jakarta semalam untuk bedah siasat. – Reuters/Agensi

Kereta langgar bas


Kereta bertembung bas
SEREMBAN – Puluhan penumpang sebuah bas henti-henti cemas apabila bas mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson, berdekatan Batu 5, di sini petang kelmarin.
Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Iswara maut itu di tempat kejadian, manakala dua penumpang bas cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini sebagai pesakit luar.
Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dikatakan membawa 25 penumpang dalam perjalanan ke arah Seremban.
Ketika tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas dan bertembung dengan bas berkenaan.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan, P.Teyaho, 45, dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya di Bandar Springhill, Port Dickson.
“Sejurus tiba di sebuah selekoh, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum berpusing. Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit selama hampir 30 minit di dalam kereta, bagaimanapun disahkan mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Menurutnya, mayat Teyaho dibawa ke HTJ, di sini untuk bedah siasat.
Menurut jurucakap, bas terbabit terbabas ke bahu jalan sehingga mengakibatkan dua penumpang wanita berusia 20-an dan 50-an cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di HTJ.
“Pemandu bas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa, R Sharmini, 27, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kematian Teyaho.
“Saya sempat berjumpa dengan dia kira-kira 4.30 petang di Rahang. Waktu itu, saya tidak nampak perubahan pelik mengenai mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat HTJ, semalam.
Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Tanah runtuh makin serius



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mac 2012
Tanah runtuh makin serius
FELDA GUGUSAN TERSANG – Penduduk di sini berharap supaya tembok Gabion dibina bagi menghalang runtuhan tanah terus berlaku berdekatan jalan masuk ke Felda Gugusan Tersang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tersang Satu, Mohd Zahari Arshad berkata, lokasi sepanjang 500 meter itu berisiko mengundang kejadian kemalangan jika tiada tindakan segera dilaksanakan.
Menurutnya, tebing setinggi hampir 100 meter di situ kerap ­berlaku runtuhan tanah dan mendapan berikutan terdapat aliran air daripada bukit.
“Kita difahamkan bahawa peruntukan sudah pun disediakan bagi menangani masalah ini tetapi masih tidak tahu tarikh sebenar akan dilaksanakan.
“Memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini terutama hujan, penduduk risau akan berlaku runtuhan lebih teruk lagi pada masa akan datang,” katanya.
Risiko pengguna jalan
Sementara itu, Timbalan Pengerusi JKKR Felda Tersang Dua, Abdul Rahman Joned berkata, keadaan runtuhan tanah itu sudah pun menjangkau jalan berturap sekali gus menjadikan sebelah laluan sempit dan berbahaya kepada pengguna.
Katanya, pemandu kenderaan berat seperti lori muatan sawit dan bas sering menggunakan laluan itu sebagai rutin harian, tidak termasuk pengguna lain seperti kereta dan motosikal.
“Kita bimbang sekiranya berlaku runtuhan tanah atau mendapan secara tiba-tiba dan kebetulan pula terdapat pengguna melalui jalan itu.
“Kejadian menimpa pengguna jalan di Kampung Terap dekat Jalan Benta – Jerantut, baru-baru ini ­menambahkan lagi keresahan kami semua ekoran bimbang ia berlaku di sini pula,” katanya.
Tindakan pasang Gabion
Timbalan Pengerusi JKKR Felda Tersang Tiga, Abdul Rahman Zakaria berkata, pemasangan tembok batu atau Gabion wajar dilaksanakan walaupun hanya sementara demi keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, keadaan hujan yang kerap ketika ini menjadikan penduduk resah untuk melalui jalan itu sekali gus terbayangkan trauma mangsa jalan mendap di Jalan Benta – Jerantut tempoh hari.
“Terdapat pembetung di ­bahagian bawah jalan itu dibina bagi menyalurkan aliran air hujan dari bukit tetapi ia tidak dapat menampung jumlah air yang banyak sekiranya berlaku hujan lebat dan takungan air sehingga melimpah ke atas jalan.
“Pada masa sama, air itu meresap ke dalam tanah sekali gus menjadi lebih berongga dan lembut, secara tidak langsung mengundang risiko berlaku mendapan tanah,” katanya.
Risiko waktu malam
Keadaan lebih berbahaya pada waktu malam dengan penglihatan dan ruang terhad terutama ketika kenderaan berselisih.
Mohd Zahari berkata, pemandu atau pengguna jalan yang tidak biasa dengan laluan itu juga berisiko terbabas dan terlibat dalam kemalangan kerana keadaan tanah runtuh sudah menjangkau tepi jalan berturap.
Katanya, penduduk tidak mahu berlaku kecelakaan sehingga mengakibatkan nyawa terkorban sekiranya masalah ini tidak diatasi segera.
“Pada ketika ini, pembinaan tembok batu amat penting untuk ­mengekang runtuhan tanah dari­pada berterusan,” katanya.

Geng samun warga asing tumpas



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mac 2012
Geng samun warga asing tumpas
KOTA TINGGI – Polis daerah ini berjaya menumpaskan geng samun bersenjata warga asing dalam tempoh lima hari daripada kejadian samun yang berlaku pada 8 Mac lalu, di Kilang Getah di Pasak Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, dalam kejadian tersebut, warga asing bersenjatakan parang panjang menyamun tiga pengawal kilang berkenaan dan berjaya melarikan dua Pum Gun bersama 30 peluru, sepucuk pistol bersama 20 peluru, satu T-baton, sebuah komputer riba dan empat telefon milik mangsa.
“Berikutan itu, pada hari sama, kumpulan siasatan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor, Datuk Amer Awal ditubuhkan. Satu serbuan telah dibuat kira-kira jam 5 petang di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit, di sini dan polis berjaya menahan tujuh warga asing berusia 22 hingga 28 tahun yang juga pekerja di ladang berkenaan. Melalui soal siasat yang dilakukan terhadap suspek, polis membuat satu lagi serbuan dan berjaya menahan tujuh lagi suspek warga asing berusia antara 18 hingga 27 tahun di Taman Daya, Johor Bahru, 11 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.
Manakala dalam kejadian berasingan di Batu Pahat, anggota polis berjaya menahan seorang warga asing dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan jam 9.30 malam.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dari pinggang dan mengacukan kepada anggota. Suspek warga asing berusia 23 tahun itu dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Polis juga berjaya merampas sepucuk pistol automatik, 11 peluru dan 9 lagi peluru yang ditemui di dalam beg suspek.
“Melalui tangkapan tersebut, polis Batu Pahat melakukan serbuan di sebuah taman perumahan di Batu Pahat dan berjaya menahan dua lagi suspek yang juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta merampas 30 peluru Pum Gun,” katanya.
Menurutnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun serta sebatan.
“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 8 Akta senjata api (Penalti lebih berat) 1971 dan dan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan serta seksyen 8 (a) Akta senjata 1960 yang boleh membawa hukuman 7 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM10,000 serta sebatan,” katanya.

Remaja maut motosikal ditunggang bergesel dengan kereta



Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : March 20, 2012
Remaja maut motosikal ditunggang bergesel dengan kereta
HUTAN MELINTANG - Niat seorang remaja mahu mengambil ibunya pulang dari tempat kerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 17, Jalan Teluk Intan- Hutan Melintang, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam, motosikal jenis Ex5 yang ditunggang mangsa, Muhamad Azrul Hassan, 19, bertembung sebuah kereta jenis Proton Wira.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Batu 17, Sungai Sumun menunggang bersendirian dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang.
Menurutnya, setibanya di jalan masuk ke Taman Wawasan Wira yang dipandu lelaki berumur 25 tahun itu membelok ke simpang kiri sebelum bergesel dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Geselan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Kok Liang berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan jenazah dituntut keluarga mangsa, kira-kira jam 10 pagi semalam bagi urusan pengebumian.
Selain itu, pihaknya meminta mana-mana individu melihat kejadian kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, di talian 05-6299222 untuk memberikan maklumat.
“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jambatan laluan Pendang ke Langgar runtuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mac 2012
Jambatan laluan Pendang ke Langgar runtuh
PENDANG – “Bunyi dentuman kuat sungguh,” kata seorang saksi kejadian jambatan yang menghubungkan Pendang ke Langgar runtuh petang semalam.
Dalam kejadian 3.30 petang itu mengejutkan orang ramai sekitar kawasan itu apabila jambatan yang menjadi jalan alternatif untuk ke Pendang dan Langgar itu tiba-tiba runtuh sehingga laluan itu terpaksa ditutup dan diawasi oleh pihak polis.
Saksi, Ahmad Farizal Md Noor, yang berniaga kedai makan berhampiran jambatan itu berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik air dan terkejut mendengar bunyi dentuman yang kuat dari luar kedainya.
“Selepas sebuah lori membawa muatan dari arah Pendang ke Langgar melalui jambatan itu tiba-tiba bunyi dentuman kuat menyebabkan saya segera keluar dan mendapati jambatan itu runtuh selepas lori itu lalu namun bersyukur tiada kemalangan jiwa. Kejadian ini merupakan kali pertama berlaku selepas 25 tahun berniaga di sini kerana sebelum ini hanya kemalangan maut sahaja yang berlaku di atas jambatan itu,” katanya.
Ahmad Farizal berkata, sejak tol Pendang dibuka, laluan itu merupakan laluan yang sering digunakan oleh pemandu lori untuk mengelak tol dan laluan itu lebih cepat terutamanya untuk ke Langgar dan Alor Setar kerana jarak dari kawasan itu ke Tol Pendang kira-kira 12 kilometer.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan kejadian mendapati pengguna jalan raya terpaksa berpusing menggunakan laluan lain setelah polis menutup laluan itu kira-kira jam 4 petang.

Disoal SPRM 7 jam isu SMS NFCorp





2012/03/20

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail, memberi keterangan hampir tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung kira-kira 50 khidmat pesanan ringkas (SMS) antara beliau dan Pengarah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Beliau dipanggil memberi keterangan selepas membuat laporan di Balai Polis Klang, Disember lalu, bagi menafikan dakwaan pernah cuba memberi rasuah kepada polis berhubung siasatan kes Pusat Fidlot Nasional (NFC).Shamsubahrin tiba di SPRM jam 10.30 pagi ditemani empat peguam, termasuk Latheefa Koya, Murnie Hidayah Anuar, Zarina Ismail, untuk memberi keterangan kepada SPRM dan dilihat keluar pejabat suruhanjaya itu kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Shamsubahrin berkata, dia menggunakan telefon bimbitnya bagi membuat dan menyimpan salinan semua SMS yang dihantar dan diterimanya daripada Mohamad Salleh, yang secara automatik disimpan dalam satu e-mel berasingan miliknya.

"Telefon itu sudah diserahkan kepada SPRM sebaik saya ditahan akhir tahun lalu tetapi saya tidak tahu kenapa ia dikembalikan semula selepas pembebasan saya sedangkan semua maklumat ada di dalam telefon bimbit berkenaan," katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata pegawai SPRM menyoal Shamsubahrin berhubung SMS antara beliau dengan Mohamad Salleh.

Pada 30 Disember lalu, Shamsubahrin, yang juga Ketua Eksekutif Syarikat Resources Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menipu Mohamad Salleh dengan menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat yang tidak benar bagi memperdaya mangsa untuk membayar RM1.755 juta antara November hingga awal Disember tahun lalu. 
Bagi pertuduhan kedua, Shamsubahrin didakwa menipu dengan memperdaya dan mendorong Mohamad Salleh, yang juga Pengerusi Eksekutif NFC, supaya menyerahkan cek berjumlah RM1.755 juta kepadanya di kawasan Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur antara 25 November dan 6 Disember 2011.

Sementara itu, Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) mendapati NFCorp masih belum memulakan pembayaran balik pinjaman kerajaan berjumlah RM250 juta yang sepatutnya bermula Januari lalu.

Bercakap pada sidang media di bangunan Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat PAC, semalam, Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata memang ada jadual pembayaran balik disediakan tetapi berikutan kontroversi NFC pembayaran balik belum dibuat lagi.

Pada 12 Mac lalu, Dr Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta milik syarikat itu.

Azmi berkata, PAC akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi NFCorp di bangunan Parlimen, hari ini, bagi menyiapkan laporan isu berkenaan.

"Siasatan PAC berhubung isu NFCorp tidak bertindih dengan pendakwaan di mahkamah kerana kami memberi penekanan mengenai sistem tawaran dan pemantauan sesebuah projek.

“Kita sedia maklum sesetengah perkara dalam kes ini mungkin subjudis, namun ini bukan kali pertama kita membangkitkan kes sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya.