Tidak mengaku cabul budak 14 tahun


GEORGETOWN - Seorang penjaja berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebatan selepas didakwa mencabul kehormatan seorang remaja pada 12 Mac lalu.


Tan Seng Hooi, 56, dari Gerbang Erskine didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik tidak bernombor di tingkat bawaH Blok 16-A, Taman Teguh, Jalan Gerbang Erskine di sini.


Mengikut pertuduhan, Seng Hooi didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 14 tahun antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang.


Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, Seng Hooi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin. Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan.


Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.