Search This Blog

Friday, March 16, 2012

Pemandu protes kenaikan harga minyak



MANILA 15 Mac - Beratus pemandu, pengguna dan aktivis berhaluan kiri hari ini mengadakan demonstrasi di ibu negara Filipina ini bagi menuntut kerajaan mengambil tindakan membantu rakyat berikutan kenaikan harga minyak.
Kira-kira 50 kenderaan menyertai satu konvoi bantahan bergerak dari Quezon di pinggir bandar Manila, ke pusat kewangan di Makati City di mana penunjuk perasaan berpiket di pejabat sebuah syarikat minyak, sekali gus mengganggu lalu lintas.
Di bahagian-bahagian lain Manila, beratus penunjuk perasaan berarak ke Dewan Perwakilan dan Istana Presiden untuk menuntut kerajaan menurunkan cukai nilai tambah sebanyak 12 peratus yang dikenakan ke atas bahan bakar.
Menurut Jabatan Tenaga, harga minyak telah meningkat sebanyak 12 peratus sejak awal tahun ini.
''Sudah tiba masa bagi pengguna untuk mengambil pendirian terhadap kenaikan harga minyak mingguan dan kerajaan yang tidak prihatin,'' kata Setiausaha Agung Bagong Alyansang Makabayan atau gerakan nasionalis baru, Renato Reyes.
Reyes juga menggesa kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang di Kongres untuk menghapuskan, mengurangkan atau menggantung cukai nilai tambah ke atas minyak bagi mengawal harga produk petroleum.
Beberapa bandar di Manila menggantung beberapa sesi persekolahan di tengah-tengah kebimbangan demonstrasi akan melumpuhkan lalu lintas dan mengakibatkan pelajar terkandas.
Pihak berkuasa juga menyediakan trak dan bas sebagai pengangkutan di kawasan yang terjejas secara percuma. - DPA

Britain tahan bekas ketua pemberita News of the World



LONDON 15 Mac - Polis Britain yang menyiasat kegiatan menggodam telefon di akhbar News of the World milik Rupert Murdoch, menangkap bekas ketua pemberita tabloid tersebut, semalam kerana didakwa menakut-nakutkan seorang saksi.
Neville Thurlbeck, 51, pada mulanya ditangkap kerana disyaki memintas secara haram mel suara telefon bimbit pada April tahun lepas dan selepas itu dibebaskan dengan ikat jamin.
Scotland Yard berkata, seorang lelaki ditangkap, semalam apabila lelaki itu menyerah diri di sebuah balai polis di tengah London 'kerana disyaki menakut-nakutkan seorang saksi serta menggalakkan atau membantu perlakuan kesalahan'.
Ia mengesahkan lelaki itu pada mulanya ditangkap pada 5 April 2011 dan mengenal pastinya sebagai Suspek A (Thurlbeck) dalam Operasi Weeting iaitu siasatan mengenai skandal penggodaman telefon itu.
Thurlbeck pada minggu lepas menulis blog yang menyiarkan alamat rumah Will Lewis, eksekutif kanan di News International, firma akhbar Britain yang menjadi sebahagian daripada empayar News Corporation milik Murdoch, berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Beliau kemudian mengeluarkan alamat tersebut sambil mengakui penyiarannya 'menyebabkan kesusahan bagi keluarga Lewis' dan beliau 'ingin memohon maaf kepada Puan Lewis atas sebarang kesusahan yang dialami'.
Thurlbeck telah mengemukakan saman terhadap News International atas alasan beliau dipecat secara tidak adil.
Penangkapan itu dibuat sehari selepas polis menangkap bekas Ketua Eksekutif News International yang juga bekas Pengarang News of the World, Rebekah Brooks dan suaminya, Charlie Brooks, sahabat karib Perdana Menteri David Cameron, kerana disyaki mengganggu proses undang-undang.
Murdoch menutup News of the World pada Julai lalu selepas terdapat bukti penggodaman telefon di akhbar tabloid itu berlaku secara meluas, tetapi akhbar-akhbar beliau di Britain terus dihantui dakwaan mereka menyembunyikan kegiatan tersebut. - AFP

Lelaki terbakar cubaan langgar tentera AS



KABUL 15 Mac - Seorang jurubahasa rakyat Afghanistan yang memandu sebuah trak, bertindak cuba melanggar sekumpulan askar marin Amerika Syarikat (AS) yang berkumpul menyambut ketibaan Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta di sebuah lapangan terbang tentera di sini, sebelum traknya terbabas.
Askar marin itu 'berhimpun untuk menyambut ketibaan pesawat Setiausaha Pertahanan', kata seorang pegawai tentera AS hari ini, kepada wartawan di Kabul mengenai insiden, semalam.
Seorang askar Britain cedera 'semasa trak tersebut dicuri' di pangkalan tentera Camp Bastion, wilayah Helmand, yang dikongsi bersama oleh tentera Britain, AS dan askar asing lain dalam kontinjen Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), katanya.
Selepas traknya terbabas, jurubahasa itu keluar dari kenderaannya dengan seluruh tubuhnya terbakar, dan dia meninggal dunia, hari ini kerana melecur teruk, kata jurucakap tentera AS, Jeneral Mike Scaparotti.
Tiada bahan letupan ditemui pada lelaki tersebut atau di dalam kenderaannya, kata beliau.
'Kakitangan kontrak' itu melarikan trak pikap di Camp Bastion pada waktu yang sama pesawat Panetta dijadual mendarat.
Dia memandu kenderaan itu dengan laju sebelum terbabas ke dalam parit dan keluar dalam keadaan terbakar, kata jurucakap Panetta, George Little.
Panetta melawat Afghanistan hanya beberapa hari selepas seorang askar AS menembak mati 16 penduduk kampung Afghan, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di wilayah Kandahar dalam insiden keganasan terburuk membabitkan tentera AS sejak negara itu menceroboh Afghanistan pada 2001.
Suspek dalam pembunuhan beramai-ramai itu, seorang sarjan tentera darat AS yang telah tiga kali berkhidmat di Iraq, dibawa menaiki penerbangan meninggalkan Afghanistan dan kini dilaporkan berada di Kuwait, kata pegawai Pentagon, semalam. - AFP

Pasangan Switzerland diculik Taliban ditemui selamat




Imej video daripada youtube bertarikh 25 Oktober, 2011 merakamkan David Och (kanan) dan Daniela Widmer ketika diculik di wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan pada 1 Julai, 2011. - AFP


MIRANSHAH 15 Mac - Sepasang kekasih dari Switzerland yang diculik dan ditahan lebih lapan bulan oleh militan Taliban Pakistan ditemui dalam keadaan selamat oleh pihak tentera, semalam.
Pasangan tersebut, David Och, 31, dan Daniela Widmer, 28, diculik pada 1 Julai lalu di wilayah Baluchistan ketika bercuti di negara ini.
Van Volkswagen biru yang dinaiki mereka ditemui di daerah Loralai, kira-kira 100 kilometer di timur Baluchistan.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas berkata, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat dan telah dipindahkan ke Peshawar.
"Mereka mendakwa telah melarikan diri daripada militan Taliban dan terus mencari perlindungan di pos kawalan tentera," katanya.
Taliban Pakistan mendakwa melakukan penculikan itu pada Julai lalu dan menuntut pertukaran seorang saintis Pakistan, Aafia Siddiqui yang dihukum penjara di New York atas dakwaan cuba membunuh ejen Amerika Syarikat di Afghanistan. - AFP

Anak setiausaha Pesaka maut



WARTAWAN SINAR HARIAN

16 Mac 2012
Anak setiausaha Pesaka maut
TEMERLOH – Anak lelaki Timbalan Setiausaha Agung Pesaka Kebangsaan merangkap Setiausaha Pesaka Negeri, Osman Nok meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) malam kelmarin akibat kemalangan jalan raya.
Ketika kejadian berlaku, Muhammad Nabil Raihan Osman, 15, yang menunggang motosikal terbabit dalam satu kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta dekat Kampung Peragap, Kerdau kira-kira jam 3.45 petang kelmarin.
Motosikal ditunggangi mangsa yang tinggal di Kampung Lipat Kajang bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang warga emas, Osman Mohd Nor, 68, bersama keluarganya dalam perjalanan dari Bentong ke Kerdau.
Akibat kemalangan itu, Muhammad Nabil mengalami cedera parah di kepala selepas terjatuh daripada motorsikal dan dikejarkan ke Hoshas untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat mengalami pendarahan otak kira-kira jam 11.04 malam kelmarin ketika sedang menerima rawatan.
Menurutnya, kemalangan berlaku di satu persimpangan dalam keadaan cuaca dan trafik baik.
Sinar Harian difahamkan sumber Pesaka, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lipat Kajang, Kerdau, di sini.
Osman Nok pula baru selesai membawa pesilat negeri menyertai Kejuaraan Silat Pra Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung selama lima hari berakhir 11 Mac lalu di Mentakab, di sini.
Kejohanan pemanas badan sebelum Sukma itu selamat diadakan dengan Pahang menjadi juara keseluruhan apabila menggondol sebanyak 12 emas, lima perak dan dua gangsa.

Tiga termasuk pelajar maut nahas jalan raya di Pahang


16 Mac 2012
KUANTAN - Tiga termasuk seorang pelajar Tingkatan Empat, maut dalam dua kemalangan di Pahang semalam.

Dalam kejadian di Km 76.5 Jalan Besar Kuala Terla, Cameron Highlands, seorang pelajar, A. Gurwinder Singh, 16, maut selepas motosikal yang diboncengnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 11.39 pagi itu, pemandu pacuan empat roda terbabit memperlahankan kenderaan apabila sebuah kereta di hadapannya membuat pusingan 'U' secara mengejut.

"Motosikal yang dinaiki mangsa dari arah Ringlet menuju ke Kuala Terla telah merempuh bahagian belakang pacuan empat roda terbabit sebelum melanggar sebuah kereta lain dari arah bertentangan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala penunggang motosikal yang belum dikenal pasti identitinya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Cameron Highlands.

Sementara itu, dua lelaki warga Indonesia maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori treler dari arah belakang di Km 115 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh, malam tadi.

Dalam kejadian 9.35 malam itu, mangsa sedang berhenti di tengah jalan untuk membelok ke simpang masuk Taman Setia Jasa.

"Sebuah lori treler dengan muatan besi dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur telah terlanggar motosikal yang dinaiki mangsa. Kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Junardi, 28, dan Hardi Awan, 30, mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas terperosok di bawah treler berkenaan," katanya.

Kedua-dua mayat mangsa yang bekerja sebagai pekerja ladang kelapa sawit Felcra Berhala Gantang itu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat, katanya.

"Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.- Bernama

'Dirang tulis nama guna dakwat merah'


NORSHIKIN MOHD SALLEH & AZIZAN INCHE HARUN
16 Mac 2012
Dirang
PASIR GUDANG – Guru Tadika Permata Islamiah selama ini tidak menyedari nama mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, bertulis menggunakan dakwat warna merah dalam buku pendaftaran.
Nor Shaima Aldam, 25, berkata, keselu­ruhan 19 kanak-kanak sesi petang ditulis dalam buku pendaftaran menggunakan pen berwarna biru, tetapi agak pelik nama mangsa, yang mesra dengan panggilan Dirang bertulis dengan dakwat merah.

Menurutnya, selepas mendapat perkhabaran kanak-kanak tadikanya hilang dan ditemui dibakar, dia membuat semakan untuk memastikan nama penuhnya dan terkejut kerana dalam banyak-banyak nama, hanya nama Dirang tertulis dengan dakwat merah.

“Selama ini kami tidak menyedari hanya nama Dirang ditulis menggunakan dakwat merah. Patutnya ditulis dengan dakwat biru seperti kanak-kanak lain.

“Ia seolah-olah menjadi petanda murid kesayangan kami itu akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang lagi guru, Mariam Sarian, 47, berkata, Dirang seorang murid yang periang dan pintar walaupun baru berusia lima tahun sehingga keletahnya lebih menyerlah daripada murid yang setahun lebih tua daripadanya.

Menurutnya, walaupun orangnya kecil molek, tetapi suaranya paling kuat setiap kali sesi berselawat kerana hobinya memang cenderong pada perkara begitu.

“Dirang ke sekolah bersama abangnya, Mohamad Hafis, tetapi Dirang lebih dikenali di tadika kerana abangnya pendiam,” katanya.

Jangan salahkan ibu Dirang


Anisah Kalam 
PASIR GUDANG – Mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, tidak pernah bersendirian ke kedai runcit atau ke taman permainan di Flat Seri Delima Bandar Seri Alam, di sini, kecuali pada hari kejadian itu.
Peniaga, Anisah Kalam, 35, berkata, dalam sehari mesti dua atau tiga kali mangsa, yang lebih mesra dipanggil Dirang, pergi ke kedai runcitnya, tetapi bersama abang atau ibu saudaranya.
Anisah yang sudah berniaga di flat itu enam tahun berkata, Dirang juga tidak keseorangan ketika bermain di taman permainan berhampiran rumahnya.
“Saya minta tolong janganlah salahkan ibunya (Roselyn Alan) kerana sepanjang berniaga di sini Dirang tidak pernah (dibiarkan) bersendirian membeli gula-gula atau barang pesanan ibunya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Anisah berkata, Walaupun Dirang baru berumur lima tahun, kanak-kanak itu petah bercakap dan mesra dengan semua orang sehingga keletahnya diingati penduduk flat itu.
Menurutnya, Dirang tidak pergi ke kedainya tiga hari sebelum itu.
“Pada hari itu saya pelik lihat Dirang sendirian ke kedai, malah baki wang 20 sen selepas membeli dua bungkus mi segera dan lima biji telur tidak dibelanjakan untuk membeli gula-gula seperti biasa.
“Keletahnya seperti biasa yang gemar memberi salam sebelum masuk ke kedai. Saya juga suka mengusik dia kerana petah bercakap walaupun baru berusia lima tahun,” 

Rumah dipecah masuk, 3 beradik nyaris maut terjun balkoni



HASNIZA HUSSAIN
16 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Tiga beradik nyaris maut selepas terjun dari balkoni setinggi lima meter (15 kaki) ketika cuba melarikan diri apabila rumah mereka di Taman Nirwana, Ampang dekat sini, dipecah masuk kira-kira jam 5 pagi tadi.
Nurul Aisyah Nik Osman, 18, cedera parah akibat pendarahan kepala serta patah kaki manakala dua kakaknya, Nurul Adawiyah, 21, dan Nurul Athirah, 19, cedera ringan.
Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
Sinar Harian difahamkan, hanya sebuah komputer riba hilang dan suspek sempat melarikan diri setelah mendengar jeritan mangsa serta jiran.
Malah, Sinar Harian juga difahamkan, rumah didiami mereka adalah milik bekas Ketua  Polis Selangor, Datuk Johar Che Din, yang merupakan bapa mertua kepada kakak mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Siasatan dijalankan berkaitan kesalahan pecah rumah.
Dalam pada itu, Bernama memtik isteri Johar, Datin Hapsah Mohd Yunus berkata, rumah berkenaan telah diberikan kepada anak lelakinya di mana kini ia dihuni tiga adik perempuan menantunya.
Hapsah, yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak lelakinya, berkata ketika kejadian, Nurul Aisyah yang sedang melayari Internet dalam sebuah bilik ternampak kelibat seorang lelaki di bahagian bawah rumah dan bergegas ke bilik kakaknya untuk memberitahunya.
Katanya, mereka bertiga berada dalam ketakutan telah bertindak mengunci pintu bilik sebelum penceroboh itu cuba membuka pintu itu.
"Mereka panik dan terjun melalui anjung bilik," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Hapsah berkata beliau dimaklumkan bahawa Nurul Aisyah mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala Nurul Athirah pula patah kaki dan Nurul Adawiyah mengalami cedera ringan dirawat di Hospital Ampang.
Hapsah, 60, berkata setelah diperiksa, penjenayah melarikan komputer riba milik Nurul Aisyah yang dianggarkan bernilai RM3,000.
Menurut jiran yang enggan dikenali, beliau mendengar bunyi jeritan wanita dari rumah berkenaan lalu keluar untuk memeriksa.
"Masa mak cik keluar tengok mereka dah terjun dari anjung bilik, mak cik terus hubungi anak puan Hapsah ni, lepas tu mak cik terus telefon ambulans sebab mak cik tengok mereka cedera teruk," katanya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin mengesahkan kejadian berkenaan dan sedang menjalankan siasatan.

Maut bersama bungkusan nasi



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2012
RANTAU PANJANG - Hasrat seorang anak untuk menyerahkan bungkusan nasi lemak kepada ibunya, tidak kesampaian apabila maut dalam satu kemalangan di Jalan Shapadu Lama, di sini, lewat petang semalam.

Mangsa dikenali Muhammad Alfizan Mazlan dari Taman Kembara, Rantau Panjang dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediamannya bersama bekalan nasi lemak sebaik selesai menjalankan perniagaan di sekitar kawasan ini.

Bagaimanapun, hanya beberapa minit sebelum sempat menyerahkan bekalan itu kepada ibunya, pelajar tingkatan empat itu terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi, hanya beberapa kilometer dari kediamannya.

Ahli keluarga mangsa yang tiba di lokasi kejadian tidak dapat menahan kesedihan dan hampir pengsan sebaik melihat keadaan mangsa.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Klang menghala Bandar Sultan Sulaiman.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal mangsa dipercayai berada di garisan tengah dipercayai untuk membelok ke kanan jalan, sebelum dirempuh sebuah kontena dari arah bertentangan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak ke laluan bersebelahan di sebelah kiri,” katanya.

Mangsa yang parah di kepala dan beberapa bahagian lain meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pelajar KUIM maut dipanah petir




16 Mac 2012
MELAKA - Seorang pelajar Kolej Universiti Teknologi Melaka (KUIM) maut dipanah petir sebelum menjalani latihan bola sepak di stadium kolej berkenaan di Kuala Sungai Baru semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Mohd Ridwan Jamal, 20, pelajar semester empat Diploma Kejururawatan bersama sembilan rakan yang lain berada di tepi padang sambil bersiap-sedia untuk menjalani latihan.

Kakak mangsa, Roslinda Jamal, 41, yang dimaklumkan mengenai insiden itu oleh rakan adiknya melalui panggilan telefon berkata, adiknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kem Terendak, Sungai Udang.

"Lebih kurang pukul 7 malam saya tiba di Hospital Kem Terendak dan diberitahu oleh doktor bahawa adik saya telah meninggal dunia dan usaha menyelamatkannya melalui kaedah bantuan pernafasan juga gagal," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini.

Mayat Mohd Ridwan yang merupakan anak bongsu dari enam adik-beradik itu di bawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Roslinda berkata dia dimaklumkan bahawa ketika kejadian, hujan renyai-renyai turun sebelum satu dentuman kuat diiringi panahan petir berlaku.

"Mereka beritahu saya, kesemua pelajar di padang berkenaan tercampak dari tempat masing-masing lalu melarikan diri dari padang itu sebelum menyedari Mohd Ridwan terbaring tidak sedarkan diri," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. - Bernama

Warga emas ugut tikam kerana jeling



NIK AMIRULMU'MIN NIK MIN
16 Mac 2012
Sheikh Mustafa Shek Umar
KUANTAN - Seorang warga emas berang dan bertindak mengugut menikam seorang lelaki warga asing menggunakan sebilah pisau selepas tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu memandangnya tanpa sebab dalam satu kejadian di hadapan rumah pekerja tapak binaan rumah kedai, lorong belakang Jalan Mahkota di sini, 11 Mac lalu.
Ugutan warga emas menimbulkan ketakutan kepada pengadu (mangsa) lalu dia membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan terancam.

Akibatnya, warga emas terbabit, Sheikh Mustafa Shek Umar, 63, ditahan polis susulan laporan tersebut dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sebilah pisau lipat yang disyaki digunakan untuk mengugut mangsa sebelum itu.

Peniaga kecil berasal dari perkampungan Cenderawasih di sini itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam bagi menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah terhadap mangsa menggunakan pisau bagi tujuan mendatangkan kecederaan.

Tertuduh tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas tuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin itu.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dalam keputusannya mengarahkan tertuduh didenda RM3,500 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Sebelum itu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya hukuman diringankan memandangkan dia mempunyai lima tanggungan termasuk empat cucu yang masih kecil.

“Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia hanya cakap namun tidak melakukan sebarang kekerasan atau cuba menikam pengadu ketika itu.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan, tertuduh bersama seorang lelaki keluar dari stor sebelum terserempak dengan pengadu.

Pengadu memandang ke arah tertuduh sehingga menimbulkan kemarahan warga emas itu lalu keluar kata-kata ugutan berbunyi “Hendak aku tikam perut engkau dengan pisau ini?,”

Disebabkan tindakannya itu, tertuduh yang turut memiliki satu kesalahan lampau berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Guna taktik menyamar, nelayan asing warnakan bot



HAZELEN LIANA KAMARUDIN
16 Mac 2012
Guna taktik menyamar, nelayan asing warnakan bot
PASIR PUTEH - Tindakan nelayan Vietnam menggunakan taktik penyamaran dengan mewarnakan bot nelayan mereka dengan cat merah gagal, apabila perbuatan itu berjaya dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ketua Penguatkuasaan Maritim Daerah, Komander Maritim Zainin Abdul Majid berkata, perbuatan tersebut disedari ketika mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.
”Kami mula menyedari bot nelayan mereka bukan daripada negeri ini apabila melihat nombor pendaftaran bot tidak diletakkan di hadapan tetapi ditengah seperti mana bot nelayan asing lain. Apabila kami melakukan pemeriksaan didapat kesemua tujuh orang nelayan tersebut yang terdiri daripada awak-awak dan tekong tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui semasa sidang media di sini, semalam.
Operasi Ops Perkasa Timur itu diketuai Pegawai Memerintah Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohd Rafek bersama 16 anggota.
Zainin berkata, kebiasaannya bot nelayan berwarna merah mewakili nelayan daripada Negeri Kelantan, manakala hijau dari Terengganu dan Kuning pula dari Pahang.
Beliau berkata, semasa operasi tersebut dijalankan berlaku adegan kejar mengejar selama 10 minit sebelum kesemua mereka dapat ditahan dan dibawa ke Jeti Operasi Maritim Malaysia Tok Bali untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, jumlah keseluruhan tangkapan ialah RM300,000 dan kesemua mereka berumur dari 20 hingga 55 tahun.
Menurutnya, bot nelayan bernombor pendaftaran BT 92819 TS itu ditahan kerana kesalahan menangkap ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.
”Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau enam bulan penjara bagi setiap awak-awak atau kedua duanya sekali,” katanya.

Polis percaya seorang mangsa dilemaskan



KUALA LUMPUR 15 Mac - Siasatan polis dalam kes pembunuhan seorang pensyarah dan bapanya di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong dekat sini Isnin lalu, mendapati seorang daripada mangsa telah dilemaskan.
Sumber memberitahu, polis bagaimanapun masih menyiasat punca kematian seorang lagi mangsa namun, setakat ini menolak kemungkinan ia turut dilakukan dengan cara sama.
Katanya, polis juga memberkas dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut di kawasan kolej yang menjadi tempat mangsa, Zara Eleena Omar Peter, 23, mengajar, pukul 4.30 petang tadi.
Penahanan itu menjadikan jumlah individu yang diberkas setakat ini seramai empat orang.
"Dua yang ditahan petang tadi adalah pelajar di kolej terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, polis menahan dua suspek yang dipercayai adik beradik, masing-masing berusia 18 dan 20-an di sebuah flat di Pandan Indah di sini, iaitu beberapa jam selepas Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, ditemui mati.
Dalam perkembangan sama, sumber itu turut memberitahu, punca pembunuhan dua beranak tersebut dipercayai kerana masalah kewangan yang melibatkan Zara Eleena dan salah seorang suspek.
"Dipercayai salah seorang suspek telah menggunakan wang milik mangsa tetapi enggan memulangkan kembali malah cuba untuk menipu mangsa," katanya.
Selain itu, difahamkan kereta Perodua Kenari milik Omar Peter telah dikesan pihak berkuasa.
Mayat Omar Peter dan Zara Eleena yang juga pensyarah di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Taman Maluri ditemui selepas isteri Omar Peter, Normalia Mahmood, 40-an, membuat laporan polis tentang kehilangan kedua-duanya selama empat hari di Segamat, Johor.
Ketika ditemui tiada kecederaan luaran pada tubuh kedua-dua mangsa.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Razak Elias ketika dihubungi hari ini enggan mengesahkan penahanan tersebut sebaliknya memberitahu, siasatan masih dijalankan.