15 Mac 2012

UMBAI- Gara-gara tertinggal dompet di sebuah kedai runcit, seorang pelajar Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir kerugian RM1,100 setelah dompetnya yang diletakkan di atas kaunter pembayaran dipercayai dicuri individu yang tidak bertanggungjawab.
Pelajar Jurusan Usuluddin, Mohd Azrul Azuan Idris, 25, berkata, dia tertinggal dompet di kedai runcit milik bapanya di Umbai dan terlupa mengambilnya selepas membuat pembayaran.
Menurutnya, lebih kurang tiga minit dia kembali semula ke kedai itu untuk mengambil dompetnya, namun malangnya telah diambil seorang individu dipercayai penduduk tempatan melalui Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai berkenaan.
Katanya, lebih dikesalkan wang sebanyak RM1,100 itu sepatutnya diberikan kepada seorang sahabatnya di Mesir, namun gagal berbuat demikian setelah wang berkenaan dicuri suspek yang dianggarkan mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 2 inci.
“Memang ini kecuaian saya namun terkilan dan kecewa dengan sikap individu yang tidak amanah seharusnya dia memulangkan semula atau memberi kepada pekerja kedai terbabit setelah menjumpainya, lagipun dompet saya tidak jauh dari juruwang. Suspek dipercayai kerap membeli barang di kedai ini dan saya mengharapkan bantuan orang ramai yang pernah melihat atau mengenalinya supaya dapat menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.
Tambahnya, disebabkan masalah itu dia juga kehilangan beberapa kad penting termasuk kad pelajar universiti, simkad telefon Mesir, kad nikah, kad bank dan kad pengenalan diri.
Menurutnya, dia yang sepatutnya kembali ke Mesir pada 22 Mac ini bimbang tidak dapat kembali pada tarikh yang ditetapkan disebabkan kesulitan yang dihadapi.
“Saya merayu dan berharap orang ramai yang mengenali lelaki ini supaya dapat membantu dengan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, dia juga berhasrat memberi saguhati kepada sesiapa yang dapat membantu menyelesaikan kes ini dan sebarang maklumat boleh menghubunginya di talian 019-6902307 atau Balai Polis Merlimau, di talian 06-2631222.