Seperti separuh nyawa disedut
“SAYA dapat tahu Dirang disahkan mati melalui jiran yang mendengar berita itu di TV. Saya tiba-tiba jadi geram. Perasaan marah membelenggu fikiran bila menerima khabar tentang nasib yang menimpa Dirang.

Betapa tergamak si pembunuh bertindak kejam. Memanglah hati si pembunuh sudah hitam! Sampai sanggup membakar anak sekecil itu.

Hari ini (semalam) apabila baca akhbar untuk mendapatkan cerita yang lebih jelas, air mata saya menitis. Entahlah... saya seperti sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa.

Saya sudah kering perkataan untuk menzahirkan rasa simpati kepada ibu bapa yang senasib de­ngan saya. Itu sebenarnya.

Cuma apa yang mampu saya luahkan hanyalah selaut kasihan. Pasangan Roselyn Alan dan Lima Medeng memang menerima tamparan hebat lantaran anak disayangi­ diperlakukan sebegitu rupa oleh manusia yang tidak berhati perut.

Kasihan... saya harap mereka tabah menerima dugaan ini. Ingatlah, Dirang seorang kanak-kanak yang tidak berdosa. Yakinlah dengan janji ALLAH, tempat Dirang adalah di syurga.

Dulu anak saya, Awie (Asmawi) hilang ketika pulang dari sebuah kafe siber.

Bermula saat itu kehidupan kami seisi keluarga diselubungi mendung. Sedih. Sehingga kini awan keperitan masih belum berarak pergi dari hati.

9 Mac lalu genap empat tahun Awie lenyap tiada khabar. Perbagai persoalan bermain di fikiran bila mengenang di mana dan apakah nasib Awie.

Pencarian dan penantian keluarga Dirang berakhir juga walau takdirnya begini. Tapi nasib Awie tidak diketahui sehingga kini. Entah hidup, entahkan mati.

Kalau Awie masih hidup tentu sudah besar. Dia hilang waktu berusia 11 tahun. Kini sudah 15.

Kehilangan anak sememangnya seperti separuh nyawa disedut. Apatah lagi dengan kejadian seperti menimpa Dirang itu.

Kepada ibu bapa Dirang... bersabarlah. Jaga kesihatan. Jaga diri, fizikal dan mental. Ingat kepada ALLAH. Berdo­alah semoga pembunuh itu mendapat pembalasan.”