Search This Blog

Tuesday, March 13, 2012

Kes Dirang: 'Manusia berhati haiwan', kata Ketua Polis Johor



MOHD FIRDAUS YON
13 Mac 2012
PASIR GUDANG - “Hanya manusia yang berhati haiwan, kejam dan tidak berperikemanusiaan tergamak menyeksa insan kerdil yang tidak berdosa ini,” tegas Ketua Polis Johor berhubung kejadian yang menimpa Allahyarhamah Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang.

Menurutnya, pihaknya akan menyiasat kes berkenaan serapi-rapinya sekali gus membawa individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Kepergiannya amat tragis dan menyayat hati. Saya berharap ibu bapa dapat mengambil ikhtibar daripada kejadian ini.

“Saya juga menggesa masyarakat agar mengawasi anak-anak, supaya jangan terdedah kepada ancaman keselamatan sekali gus berwaspada dengan melaporkan kepada polis jika kelihatan mana-mana individu yang mencurigakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke rumah kanak-kanak berusia lima tahun terbabit di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya merangkap Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri Polis (Perkep) Johor, Datin Bibi Zakiah Meraslam yang berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada ibu Dirang, Roselyn Alan, 25. Mohd Mokhtar berkata, tiga daripada empat suspek yang ditahan oleh pihaknya untuk membantu siasatan positif dadah.

“Dua daripada tiga yang positif dadah ini mempunyai rekod lampau hasil daripada pemeriksaan dilakukan. Seorang daripadanya mempunyai rekod dalam kes dadah, manakala seorang lagi pernah dicekup terlibat dalam kes curi.

“Jadi yang sudah kita cekup adalah empat orang. Tiga daripadanya yang berusia antara 30 hingga 40 tahun terlibat dalam penyalahgunaan dadah. kita masih menunggu lagi beberapa laporan daripada Jabatan Kimia,” katanya.

Katanya, Polis Johor sedang menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim yang mengetuai pasukan khas menyiasat kes ini untuk menyiapkan kertas laporan untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan benarkan polis melakukan siasatan dahulu,” katanya.

Dalam pertemuan sama, Mohd Mokthtar berkata, pihaknya juga sedang berusaha menjejaki individu yang berasal daripada Kelantan kerana melakukan ugutan bagi mendapatkan wang menerusi kerjasama dengan Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Saya diberitahu ibu mangsa, Roselyn mendakwa ada menerima satu mesej sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang dari Kelantan yang mengugut meminta wang. Kita akan minta bantuan daripada polis Kelantan untuk mencekup orang yang menghantar SMS berkenaan.

“Kita akan kesan orang itu seterusnya tangkap dan bawanya ke Johor. Saya juga memberi jaminan Polis Johor akan memudahkan apa jua laporan yang dibuat selain sentiasa bersedia datang ke rumah jika dihubungi,” katanya.

Polis Pulau Pinang bongkar makmal dadah proses pil yaba




13 Mac 2012
GEORGE TOWN -- Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis pil yaba atau pil kuda selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Air
Itam, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt S. Batumalai berkata serbuan dilakukan kira-kira 6 petang berdasarkan siasatan dan intipan sepasukan pegawai dan anggota polis bahagian narkotik.

"Semasa serbuan di rumah berkenaan, terdapat tiga lelaki dan  seorang wanita berusia antara 23 hingga 54 tahun dan dipercayai mereka merupakan anggota sindiket pengedaran dadah jenil pil yaba," katanya pada  sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan ke atas rumah berkenaan mendapati salah satu bilik telah dijadikan sebuah makmal memproses dadah jenil pil yaba.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui sebanyak 1,315 biji pil yaba  yang turut dikenali sebagai pil kuda dan 649 gram serbuk dadah yaba bernilai RM76,300," katanya.

Batumalai berkata polis turut merampas  pelbagai peralatan dan bahan-bahan kimia untuk memproses pil yaba.

Katanya siasatan awal mendapati empat rakan yang ditahan itu aktif menjalankan kegiatan memproses dadah di rumah berkenaan sejak empat  bulan lepas.

"Mereka memproses pil berkenaan di rumah itu sebelum menjual dengan harga antara RM15 hingga RM17 sebiji kepada pelanggan di sekitar Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta Proton Wira  bernilai RM20,000 dalam serbuan berkenaan dan operasi mengesan anggota lain sindiket dadah terbabit sedang giat dijalankan.

Katanya keempat-empat suspek ditahan reman sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan  mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.  -- Bernama

Polis tahan empat suspek kes peras ugut pemilik pusat hiburan




13 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Empat suspek yang dipercayai sering memeras ugut meminta wang perlindungan daripada pemilik pusat-pusat hiburan di sekitar Cheras, dicekup polis dalam serbuan di Taman Shamelin, di sini Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata kesemua lelaki berumur 25 hingga 28 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta selepas polis melancarkan gerakan memburu suspek di kawasan itu.
"Sebelum itu, polis menerima maklumat terdapat seorang lelaki membuat kecoh dengan memecahkan harta benda sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin kira-kira 2 pagi. Hasil dari maklumat tersebut, polis ke tempat kejadian sebelum menahan kesemua mereka ketika mahu melarikan diri dengan sebuah kereta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohan berkata beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memeras ugut dirampas antaranya sebatang kayu besbol, dua bilah pisau panjang dan satu batang besi panjang.
"Kita percaya, mereka aktif dalam kegiatan ini sejak tiga hingga empat bulan lepas, memeras ugut pemilik pusat hiburan untuk mendapatkan wang perlindungan. Sekiranya pemilik premis berdegil, premis mereka akan dimusnahkan," katanya.
Beliau berkata empat suspek tersebut, tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - Bernama

Ibu 'bayi alas kaki' dipenjara sehari dan didenda RM2,000




13 Mac 2012
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita yang masih dalam pantang dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini terhadap tuduhan membuat laporan palsu.

Wan Syafira Wan Nazri, 23, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor 1234 Kampung Beladau Kepong, Manir di sini ketika disoal siasat pada 12.30 malam, 25 Februari lepas.

Dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Insp Miky Dustan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes pada 25 Februari lalu, tertuduh dengan sengaja telah memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam (polis) menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang yang lain.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang pembantu kedai sanggup mengadakan cerita kononnya bayi itu ditinggalkan di rumahnya oleh seorang warga emas.

Namun tindakan wanita itu berjaya dibongkar polis berdasarkan laporan yang bercanggah yang dikemukakannya dan dia disyaki tidak bercakap benar dan bayi tersebut adalah miliknya sendiri. - Bernama

Ibu tunggal dipenjara 11 bulan simpan harta curi




13 Mac 2012
KUALA TERENGGANU -- Seorang ibu tunggal enam anak dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyimpan harta curi.

Tertuduh, Rohayu Hamzah, 33, didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 Dis tahun lepas di jalan besar Kampung Pengkalan Kubur, Kampung Raja, Besut.  Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Dis lepas.

Mengikut fakta kes, pada tarikh tersebut, dari pukul 8.50 pagi hingga 9.45 pagi, wanita itu yang merupakan penganggur dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta bernombor pendaftaran DAU9657, jenis Proton Waja milik Azman Kasim dengan mengetahui harta tersebut adalah harta curi.

Ketika kejadian polis yang mengadakan pemantauan di Jalan Benting Lintang Besut, telah terserempak dengan kereta yang dilaporkan hilang sehari sebelumnya (24 Dis) sebelum polis mengejarnya di jalan besar Kampung Pengkalan Kubur, Kampung Raja, Besut.

Pemandu kereta tersebut terbabas di tepi kiri jalan dan didapati kelibat seorang wanita keluar dari kereta tersebut dan melarikan diri ke semak berhampiran. Polis menjumpai dompet suspek sehingga membolehkan polis mengesan wanita itu pada sebelah petangnya.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa polis, Insp Miky Dustan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  Tertuduh yang berasal dari Lot 1177, Kampung Kor Batu 8, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih lima tahun.  -- Bernama

Juruteknik didakwa rogol teman wanita 15 tahun

Juruteknik didakwa rogol teman wanita 15 tahun - Semasa - Sinar Harian:SELAYANG - Seorang juruteknik pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol teman wanitanya berusia 15 tahun, minggu lalu.

Frankie Chaong Lagi, 28, didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Jalan Bukit Rawang, Gombak, pada jam 10.30 malam, 7 Mac lalu.

Keesokannya, dia didakwa sekali lagi merogol mangsa sama pada jam 11.45 malam, di tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Arunjothy Selvaraju memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap Chaong atas alasan tertuduh mengenali mangsa.

Bagaimanapun dia merayu dibenarkan ikat jamin dan minta untuk menghubungi keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dan memerintahkan Frankie menjauhi mangsa sepanjang perbicaraan.

Kes ditetapkan 10 April ini untuk sebutan laporan perubatan dan lantikan peguam.
'via Blog this'

Warga Thai ditemui mati dengan kesan kelar

Utusan Malaysia Online - Jenayah:





KUBANG PASU 12 Mac - Seorang lelaki warga Thailand ditemui mati dengan kesan kelar pada leher dan luka di muka di sini hari ini.


Mayat Khambu Thongnet, 46, ditemui majikannya kira-kira 30 meter dari rumah pekerja di ladang getah Kampung Lima, Asun pada pukul 10 pagi.


Mangsa dikatakan bekerja di kebun sayur dalam ladang getah tersebut sejak tiga bulan lalu dan tinggal bersama seorang pekerja lain di rumah berkenaan.


Utusan Malaysia difahamkan, sebelum mayatnya ditemui, mangsa terlibat dalam pergaduhan dengan seorang pekerja lain.


Majikan mangsa, Tan Giap Poh berkata, selepas dimaklumkan mengenai pergaduhan itu, dia memutuskan untuk melawat pekerjanya bagi melihat keadaan mereka.


Namun, katanya, sebaik sahaja sampai di ladang tersebut, dia terkejut apabila mendapati anjing menyalak dengan kuat dan meminta seorang pekerja yang menemaninya melakukan pemeriksaan.


"Hasil pemeriksaan, kami menemui mayat mangsa dalam semak dan terus memaklumkan kepada polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad ketika dihubungi berkata, mangsa dan penyerangnya itu dipercayai terlibat dalam pergaduhan kira-kira dua jam sebelum mayatnya dijumpai.


"Hasil pemeriksaan, terdapat kesan kelar di leher mangsa yang mungkin disebabkan oleh objek tajam. Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa di tempat kejadian," katanya.


Menurut Mohd. Zakaria berkata, polis sedang memburu suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.


Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh


'via Blog this'

Polis mahu cekup wanita ugut ibu Dirang

Polis mahu cekup wanita ugut ibu Dirang - Nasional - Sinar Harian:

Paparan kandungan SMS yang dihantar kepada ibu Dirang.


PASIR GUDANG - Polis Johor mahu mendapatkan kerjasama rakan mereka dari Kelantan untuk "mencekup" seorang wanita yang menghubungi ibu kanak-kanak Nurul Nadhirah Abdullah, yang diculik dan semalam disahkan dibakar, dengan menelefon dan menghantar SMS berbaur ugutan meminta wang tebusan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di sini, hari ini.

Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, dilaporkan menerima panggilan dan SMS daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut.

"Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya.

Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini hari ini.

Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan
suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

Katanya, tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi.


'via Blog this'

Kenapa kasi mati anak aku! - Roselyn

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:





JOHOR BAHRU 12 Mac - "Kenapa kasi mati anak aku!" Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan betapa remuk redam hati seorang ibu setelah mendapat tahu kematian adalah pengakhiran kepada penantian ke atas anak perempuannya sejak 12 hari lalu.


Roselyn Alan, 25, ibu kepada kanak-kanak malang, Nurul Nadirah Abdullah, 5, hanya mampu menangis tanpa henti lebih satu jam sambil berulang kali menyebut kata-kata itu.


Dek kerana terlalu sedih dia akhirnya pengsan dalam sebuah bilik di rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini.


Selain wanita itu, Minah Jol, 56, nenek kanak-kanak yang lebih mesra dipanggil Dirang, turut meraung di sebuah lagi bilik.


Bapa tiri Dirang, Lima Medang, 25, bagaimanapun hanya mampu merenung ke luar tingkap sambil berlinangan air mata.


Difahamkan, Roselyn menerima panggilan daripada polis yang mengesahkan mayat rentung yang ditemui di kawasan berdekatan adalah Dirang pada pukul 6.40 petang.


Menurut Milnah, dia tidak menyangka mayat rentung yang ditemui adalah Dirang kerana polis sebelum ini memberitahu bahawa rangka itu bukan cucunya sekali gus ia membuatnya rasa lega dan meneruskan usaha mencari kanak-kanak itu.


"Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada Roselyn mengatakan Dirang sudah tak ada kerana sebelum itu saya dan anak perempuan (adik Roselyn) pergi mencari dia di kampung berdekatan.


"Kami sekeluarga betul-betul tidak sangka dengan kejadian ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Roselyn, di sini hari ini.


Sementara itu, jiran mereka lebih 10 tahun, Noridah Juliri, 44, berkata, dia terguris dengan berita kematian Dirang kerana sudah menganggap mereka sebahagian keluarganya.


"Saya pun bersama-sama tolong cari Dirang yang saya sudah anggap seperti anak sendiri sebelum ini. Jadi apabila mendengar berita sedih itu, saya tidak mampu berkata apa-apa.


"Selama kehilangan Dirang, saya sedih melihat Roselyn sering menangis siang malam sehingga anaknya yang kecil itu terabai kerana dia masih menyusu badan," ujarnya yang turut membantu menjaga adik bongsu Dirang.


'via Blog this'

Nurul Nadirah dibunuh, dibakar

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:










JOHOR BAHRU 12 Mac - Teka-teki kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang sejak awal bulan ini akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan rangka manusia rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada Khamis lalu adalah mayat kanak-kanak itu.


Pengesahan itu dibuat berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap rangka tersebut.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, sampel DNA yang diperolehi daripada serpihan tulang di tempat kejadian telah dihantar ke makmal dan ia sepadan dengan DNA ibunya.


"Sebelum ini, siasatan awal mendapati rangka tersebut milik manusia dewasa. Bagaimanapun setelah siasatan lanjut dijalankan, ia sebenarnya milik kanak-kanak yang hilang itu.


"Keadaan fizikal rangka tersebut hangus sama sekali menyebabkan polis menghadapi kesukaran untuk membuat pengecaman," katanya di sini hari ini.


Akhbar baru-baru ini melaporkan kehilangan Nurul Nadirah atau lebih mesra dipanggil Dirang semasa keluar ke kedai berhampiran rumahnya Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam kira-kira pukul 11 pagi, pada 1 Mac lalu.


Susulan kejadian itu, polis menahan empat suspek termasuk bapa kepada Nurul Nadirah bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak itu.


Malah, kehilangan kanak-kanak itu turut mendapat perhatian pihak swasta apabila RHB Bank Berhad cawangan Johor Selatan baru-baru ini turut mengedar 1,000 keping poster mengenai kehilangannya.


Penderitaan dialami keluarga Nurul Nadirah juga mendapat perhatian isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat keluarga Dirang di rumah mereka di sini semalam.


Tambah Roslan, berikutan pengesahan tersebut, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


"Kesemua empat individu termasuk bapa kandung kanak-kanak terbabit yang ditahan sebelum ini akan dilanjutkan reman bagi membantu siasatan," katanya sambil memberitahu motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.


'via Blog this'

10 maut tertimbus ketika gali harta karun

myMetro | 10 maut tertimbus ketika gali harta karun:KAHERAH: Seramai 10 orang terbunuh apabila timbunan tanah menimbus mereka ketika menggali harta karun secara haram di bawah sebuah kediaman di sebuah desa di tengah negara ini, kata polis, semalam.
Kesemua 10 mangsa, termasuk empat beradik tertimbus hidup-hidup apabila dinding tanah digali runtuh di desa Arab al-Manasra, di utara bandar raya bersejarah Luxor.

Petugas penyelamat masih mencari mayat mangsa, kata pihak berkuasa sambil menambah dua orang turut cedera dalam insiden itu.
Hasrat untuk mengumpul wang dengan cepat mendorong kebanyakan orang menggali tapak arkeologi secara haram, terutama di lokasi yang kaya dengan khazanah silam seperti Luxor, Aswan dan Kaherah. - AFP

'via Blog this'

Rebut parkir: Tembak sepupu sebelum bunuh diri

myMetro | Rebut parkir: Tembak sepupu sebelum bunuh diri:MANILA: Kerana bergaduh mengenai tempat letak kereta, seorang lelaki menembak mati sepupunya sebelum membunuh dirinya, di bandar Mandaluyong, malam kelmarin.
Eduardo Bassig, 52, meninggal dunia dua jam selepas dia menembak mati sepupunya, Noel Inocentes, seorang pesara jurutera, 55, pada jam 11 malam. 
Dia meninggal dunia di Pusat Perubatan Mandaluyong.

Inocentes pula diisytiharkan mati keetika tiba di Pusat Perubatan Cardinal Santos akibat 11 tembakan.

Pegawai Penyiasat 2, Jesus Busadre berkata, kedua-dua mereka berjiran di sebuah kawasan di Jalan A. Luna di Kampung Barangay Pablacion, di bandar Mandaluyong. -

Mereka berdua sudah beberapa tahun bermusuhan disebabkan harta pusaka, katanya. - Manila Post 

'via Blog this'

Wanita cuba seludup 1kg kokain ditahan

myMetro | Wanita cuba seludup 1kg kokain ditahan:BANGKOK: Polis di Sa Kaeo semalam, menahan seorang wanita Thailand yang masuk ke negara itu dari Kemboja dan merampas kira-kira satu kilogram kokain yang diseludup dari Brazil.
Suspek, Rungruang Pimpuangsa, 27, memberitahu pegawai penyiasat, dia menyeludup kokain keluar dari Brazil dan tiba di Phnom Penh dengan pesawat. 
Dia ditahan di tempat pemeriksaan di sempadan ketika cuba masuk ke Sa Kaeo, Thailand.

Menurut polis, Rungruang berkata dia membuka kedai berlian dan barang kemas di Brazil.

Dia kemudian membeli kokain dari seorang pengedar Brazil dengan harga AS$10,000 (RM30,342).

Suspek itu berkata, dia pada mulanya cuba untuk menelan paket kecil berisi kokain yang disembunyikan dalam stokin diikat di perutnya.

Katanya kokain itu akan dijual kepada pengedar dadah di Jalan Khao San di Bangkok yang popular dengan pelancong asing dengan harga 1,300 baht (RM130) satu gram. - Bangkok Post 

'via Blog this'

Bunuh diri lepas kekasih putuskan hubungan di FB

myMetro | Bunuh diri lepas kekasih putuskan hubungan di FB: "JAKARTA: Seorang wanita berusia 25 tahun nekad membunuh diri apabila teman lelakinya memutuskan hubungan mereka melalui Facebook.

Ame, yang bekerja di sebuah butik pakaian di pusat beli-belah di Batam, ditemui tergantung di tingkat dua di rumah penyelianya di kompleks kediaman di Taman Kota Baloi, malam kelmarin.
Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Penyelianya, Suwinto, berkata, hubungan Ame dan kekasihnya Adian, putus, selepas beberapa bulan bercinta.


Adian yang tinggal di Pekan Baru menghantar mesej memutuskan hubungan mereka di Facebook. - Jakarta Post"

'via Blog this'

Ketua polis tagih dadah

myMetro | Ketua polis tagih dadah:JAKARTA: Ketua Polis Cibarusah, Komisioner Adjutan Heru Budi Santoso ditahan Jumaat lalu kerana mengambil dadah jenis kristal methamphetamine atau syabu di kediaman rasminya di Jalan Raya Loji Cibarusah di Bekasi, Jawa Barat.
Polis Bahagian Hal Ehwal Dalaman, menahan Heru dan dua rakannya serta merampas 0.87 gram kristal methamphetamine dan gelas yang digunakan untuk membakar dadah itu. 
Jurucakap Polis Bakasi, Komisioner Adjutan Bambang Wahyudi semalam berkata, “Dia kini ditahan di ibu pejabat Polis Jakarta.”

Katanya, Heru kini disoal siasat.

Jurucakap Polis Jakarta, Komisioner Kanan Rikwanto memberitahu wartawan, Bahagian Hal Ehwal Dalaman telah membuat siasatan ke atas Heru sebelum dia ditahan.

Katanya, Heru tidak diserahkan ke bahagian narkotik.

Polis sedang menyoal siasat empat saksi yang dikatakan mempunyai hubungan dengan kes itu dan tahu dia menagih dadah,” katanya.

Katanya, “Dia membeli dadah itu dari empat lokasi di Bekasi, Cibarusah dan Jakarta.”

Katanya, ada tiga laporan mengenai Heru menagih dadah dan kumpulan Bahagian Hal Ehwal Dalaman telah diberi tugas untuk mengendalikan kes itu.

Katanya, Heru akan didakwa di bawah Artikel 114 dan 112 Undang-Undang Dadah yang membawa hukuman lima tahun penjara.

“Kami akan meneruskan siasatan. Selepas itu kes ini akan dibawa ke mahkamah dan dia akan diadili dengan profesional dan beretika,” katanya. - Jakarta Post

'via Blog this'

Isteri lumpuh jatuh pokok

Isteri lumpuh jatuh pokok - Kelantan - Sinar Harian:KAMPUNG KUBANG PANJANG – “Isteri saya lumpuh selepas terjatuh dari pokok rambutan apabila ranting yang dipijaknya patah. Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan tulang belakang,” kata Wee Chien A/L Eh Lem, 47, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan.
Wee Chien berkata, selepas kecelakaan itu, isterinya, Wan Di A/P Eh Noy, 39, lumpuh separuh badan dari pinggang ke bawah menyebabkan dia tidak dapat berjalan dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Menurutnya, pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk latihan fisioterapi, walaupun harapan isterinya tipis untuk berjalan, sedikit sebanyak selepas pelbagai rawatan termasuk rawatan tradisional, ada perubahan berlaku.
“Sudah dua tahun kecelakaan itu menimpa isteri saya, sekarang ini dia terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kelantan.
Cek sebanyak RM55,000 diserahkan Pengerusi NUTP Kelantan, Johari Ahmad yang hadir bersama Naib Pengerusinya, Che Mohd Azhar Abu Bakar di rumah Wee Chien, di sini, semalam.
Wee Chien layak menerima tuntutan hilang upaya kekal kerana dia mencarum dalam Skim Insurans untuk ahli NUTP yang mendaftar sebagai ahli persatuan sejak tahun 2000 lagi.
Wee Chien berkata, dia mencarum sebanyak RM4.50 sebulan yang dipotong melalui gajinya setiap bulan.
“Melalui premium sebanyak itu, saya, isteri dan tiga anak dilindungi insurans,” katanya kepada Sinar Harian.
NUTP yang ditubuhkan pada 27 Jun 1974 sebagai sebuah kesatuan pembela kaum guru dan pembela profesion perguruan sentiasa prihatin terhadap perkhidmatan para guru.
Di Kelantan seramai 11,000 guru sudah mendaftar menjadi ahli NUTP dan di Malaysia pula seramai 170, 000 guru sudah mendaftar.

'via Blog this'

45 individu ditahan

45 individu ditahan - Semasa - Sinar Harian:KOTA KINABALU - Seramai 45 orang, termasuk tujuh wanita, ditahan dalam satu operasi bersepadu di sekitar laluan utama ke pusat bandar raya awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, penahanan

individu berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun itu adalah mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah, iaitu tindakan pencegahan jenayah.

“Mereka ditahan di pekarangan Anjung Selera, Tanjung Lipat dan sepanjang bulatan memasuki ke bangunan Yayasan Sabah, dan polis akan meneruskan operasi bagi tujuan mencegah jenayah, sama ada dalam skala besar mahupun kecil pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, polis mendapat maklumat bahawa terdapat dua kumpulan berhimpun di kawasan terbabit, dan mereka akan dirujuk mengikut kesalahan yang berkaitan. - Bernama
'via Blog this'

Jalan Loh Karai runtuh

Jalan Loh Karai runtuh - Perak - Sinar Harian:
Jalan Loh Karai runtuh
KARAI – Sebahagian besar jalan utama Karai-Jawang, di sini, runtuh akibat banjir teruk yang melanda Kampung Kuala Karai, awal pagi kelmarin.
Ketua Kampung Loh Karai, Hasanal Basari Manas berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada struktur kelubung di bahagian bawah tanah yang telah lama dan tidak mampu menampung laluan air.
Beliau berkata, akibatnya kelubung itu pecah sehingga menyebabkan hakisan dan tanah runtuh.
“Jalan ini sudah lama dibina, sejak 30 tahun lalu dan digunakan oleh penduduk dari beberapa kampung termasuk Loh Karai, Periang dan Jawang. Hujan turun bermula jam 4.00 petang dan berterusan sehingga pagi. Jalan ini dipercayai runtuh kira-kira jam 3.00 pagi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Hasanal berkata, jalan ditutup demi keselamatan penduduk dan dijangkakan akan dibuka semula pada 14 Mac ini.
“Kini penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk keluar ke pekan walaupun laluan ini juga tidak berapa elok. Namun, tidak lama lagi akan dinaiktarafkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihaknya sudah beberapa kali membuat permohonan supaya kelubung sedia ada ditukar kerana ia sudah terlalu lama kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, kini kerja baik pulih dijalankan dengan segera oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak berkuasa.
“Ia dijangkakan akan mengambil masa selama satu hari sahaja untuk urusan baik pulih. Namun, sedikit masalah timbul apabila pihak kontraktor menunggu jawapan daripada TNB sama ada terdapat kabel elektrik atau tidak di bahagian bawah tanah,” katanya.

'via Blog this'

Tak percaya rumah hangus

Tak percaya rumah hangus - Perak - Sinar Harian:
Tak percaya rumah hangus
SUNGAI SUMUN - “Saya tak percaya ketika dikhabarkan oleh orang kampung mengatakan rumah terbakar malam tadi (semalam),” katanya mangsa kejadian kebakaran rumah, di sini, Shaharuddin Juki, 71.
Shaharuddin berkata, dia baru sahaja meninggalkan rumahnya untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Parit 9, pada shif malam.
Menurutnya, ketika kejadian, tiada siapa berada di rumah kerana isterinya pergi melawat anak mereka di Kuala Lumpur memandangkan cuti sekolah baru bermula.
“Saya pada awalnya tidak percaya, namun setelah dimaklumkan berkali-kali, baru dia percaya rumahnya sudah hangus terbakar. Apabila saya tiba rumah, rumah sudah hangus terbakar namun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, jiran yang menyedari kejadian itu terus menghubungi bomba untuk memadamkan kebakaran.
Turut melawat tempat kejadian, Adun Hutan Melintang, S Kesavan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Hutan Melintang, Rahmat Nazlan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.12 malam sebelum tiba pada 9.24 malam.
Katanya, dengan kekuatan sebuah jentera dengan lima anggota yang diketuai oleh Pegawai Operasi, Umiruddin Mohd Tahir, pihaknya berjaya mengawal api dalam masa tiga minit kemudian.
“Setiba di tempat kejadian, rumah mangsa hampir 100 peratus terbakar dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Manakala, Kesavan berkata, pihaknya akan memanjangkan masalah itu kepada pihak berkenaan untuk diberikan perhatian sewajarnya.
“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa dengan keluarga Shaharuddin kerana kehilangan rumah mereka dalam kejadian kebakaran malam tadi (semalam),” katanya.

'via Blog this'

Pelajar sekolah gantung diri

Pelajar sekolah gantung diri - Perak - Sinar Harian:
Pelajar sekolah gantung diri
SUNGAI SIPUT (U) - Mayat seorang remaja berusia 17 tahun ditemui tergantung di dalam bilik air rumahnya, di Kampung Muhibbah Fasa 3, di sini, semalam dipercayai membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa pada jam 12.15 tengah hari.
Beliau pada awalnya menyangka anak bongsu daripada sembilan beradik itu sedang mandi.
Menurutnya, sewaktu kejadian bapa mangsa bersama beberapa lagi ahli keluarga berada di rumah tetapi tidak mengesyaki kejadian seperti itu akan berlaku.
“Pada awalnya bapa mangsa menyangka anaknya itu sedang mandi tetapi selepas beberapa ketika anaknya tidak juga keluar dari bilik air. Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku bapa mangsa membuka pintu bilik air dan terkejut melihat anaknya tergantung serta sudah tidak bernyawa,” katanya.
Azman berkata, mayat pelajar tingkatan lima dari sebuah sekolah di Sungai Siput itu ditemui tergantung menggunakan kain Punjabi.
“Bapa mangsa menghantar sendiri mayat anaknya ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat jerutan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Punca sebenar kenapa mangsa mengambil tindakan sedemikian masih belum diketahui dan masih lagi dalam siasatan,” katanya.

'via Blog this'

Jumpa ulat dalam mi kari

Jumpa ulat dalam mi kari - Perak - Sinar Harian:
Jumpa ulat dalam mi kari
IPOH - Seorang ahli perniagaan yang sedang menikmati malam di sebuah restoran kopitiam di bandar raya ini tergamam selepas menemui seekor ulat di dalam hidangan yang dipesannya, malam kelmarin.
Ziyad Solleh, 26, mendakwa kejadian itu berlaku semasa dia bersama rakan-rakan berkunjung ke restoran berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.
Beliau mendakwa selepas hampir selesai menikmati juadah mi kari kering itu, dia terlihat seekor ulat sepanjang 2.5 sentimeter di dalam pinggan hidangannya.
“Selepas melihat ulat itu, tekak saya mula berasa loya dan hampir muntah kerana ia sangat menjijikkan,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.
Akibat tidak berpuas hati, Ziyad segera memanggil pengurus restoran untuk menyelesaikan masalah itu.
“Malangnya, hanya penyelia restoran sahaja yang muncul dan menyatakan pengurus mereka sudah pulang ke rumah. Penyelianya pula hanya memohon maaf di atas kecuaian tersebut dan tanpa melakukan apa-apa tindakan,” katanya yang kesal dengan perkhidmatan diberikan kakitangan restoran tersebut.
Dalam keadaan tidak puas hati, beliau terus mendesak supaya pengurus restoran tampil memberi penjelasan.
Akhirnya pengurus restoran terbabit datang semula dan selepas berbincang, mereka tidak mengenakan sebarang caj ke atas makanan yang di pesan Ziyad dan rakan-rakannya.
“Bukan niat kami mahu mengaibkan mana-mana pihak, cuma berharap mereka dapat pengajaran dan ambil iktibar daripada insiden itu. Premis yang menjual makanan perlu mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan supaya kejadian seperti yang saya alami ini tidak berlaku lagi ,” katanya.
Untuk rekod, dua tahun lalu, seorang penuntut sebuah kolej memfailkan saman terhadap dua syarikat yang berkaitan dengan sebuah restoran kopitiam terkemuka di Bandar Bukit Tinggi, Klang selepas mendakwa menemui sepasang kaki katak dalam makanan yang dipesannya.

'via Blog this'

Tidak puas hati kena saman

Tidak puas hati kena saman - Pahang - Sinar Harian:
Tidak puas hati kena saman
KUANTAN – Seorang pemandu tidak berpuas hati apabila dikenakan saman oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 66 Jalan Kuantan-Maran, di sini, 11 Mac lalu.
Mohd Izham Firdaus Khuzaai, 27, berkata, ketika ditahan dia mengakui tempoh sah lesen memandunya sudah tamat.
Katanya, sebelum ini dia pernah ke pejabat pos untuk memperbaharui lesen memandu, tetapi petugas di kaunter memberitahu lesen memandunya masih sah dan hanya akan tamat tempoh mengikut tarikh lahirnya.
“Saya sedia maklum tentang pengumuman tarikh tamat tempoh lesen memandu adalah sama dengan tarikh lahir seseorang pemegang lesen.
“Pun begitu, saya tidak pasti sama ada perlu memperbaharui lesen terlebih dahulu atau sebaliknya,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak JPJ seharusnya memberi kefahaman terlebih dahulu kepada jabatan terlibat dengan urusan memperbaharui lesen supaya tidak mengelirukan orang ramai.
“Bila timbul isu ini, siapa yang harus dipersalahkan? Bukan saya tidak mahu memperbaharui lesen memandu, saya sudah pergi ke pejabat pos.
“Bila kena saman, sudah tentulah saya tidak puas hati,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man berkata, pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) perlu memperbaharui lesen memandu terlebih dahulu sebelum tarikh tamat tempoh lesen memandu diselaraskan mengikut tarikh lahir.
“Tidak dinafikan, masih ramai yang kurang faham dan keliru tentang sistem baru ini. Pun begitu, pihak kami sedia untuk memberikan maklumat kepada pelanggan yang datang ke JPJ.
“Mereka perlu datang memperbaharui lesen kerana sistem dalam komputer yang akan set tarikh tamat tempoh lesen memandu mengikut tarikh lahir,” katanya.

'via Blog this'