Utusan Malaysia Online - Jenayah:
Oleh Ilah Hafiz Aziz
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 9 Mac – Detik-detik terakhir seorang wanita warga Vietnam dan dua anak perempuannya yang terperangkap dalam kebakaran rumah mereka pasti tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun.
Mereka terperangkap dalam bilik utama rumah teres setingkat ketika api mula marak.
Bagi menenangkan anaknya, si ibu memeluk anak bongsunya yang berusia 5 tahun manakala seorang lagi anak mangsa yang berusia 6 tahun berada di sebelah dalam ketakutan.
Akibat lemas dan tidak tahan menghidu asap tebal kebakaran, tiga beranak itu lemah tidak bermaya sebelum menemui ajal akibat tubuh mereka terbakar.
Tiga beranak itu ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah mereka di sebuah taman di Jalan SK 6/1 Seri Kembangan, dekat sini awal pagi ini.
Mangsa, Huyah Thi Ngoc Thao, berusia lingkungan 30-an ditemui berpelukan dengan anak perempuan bongsunya, Yap Siew Yoon, 5. Seorang lagi anaknya, Yap Siew Yee, 6, ditemui bersebelahan mayat mereka.
Ketiga-tiga mangsa tidur di bilik utama dan kebakaran dipercayai berpunca dari dalam bilik tersebut.
Dua ahli keluarga iaitu suami mangsa yang merupakan warga tempatan, Yap Yao Chong, 43, dan adik perempuan Ngoc Thao, Lam Thi Bich Phufong, 16, sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Difahamkan, suami mangsa dan adiknya cuba menyelamatkan wanita itu dan anaknya yang terperangkap termasuk memasuki bilik itu namun gagal.
Yao Chong melecur teruk dipercayai ketika cuba membuka pintu bilik itu yang terkunci dari dalam dan dia kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Serdang di sini.
Keluarga Huyah dikatakan tinggal di rumah itu sejak enam tahun lalu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Zolkipli Sailan berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 2.55 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
Katanya, bomba terpaksa meredah api untuk cuba menyelamatkan mangsa sebelum kebakaran itu berjaya dikawal.
“Pasukan bomba memasuki rumah berkenaan melalui pintu masuk depan yang terbuka namun api terlalu marak.
“Api hanya berjaya dikawal kira-kira 12 minit kemudian dan mangsa yang rentung kemudiannya berjaya dikeluarkan seorang demi seorang sehingga pukul 4.15 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, api turut merebak ke dua rumah bersebelahan namun ia berjaya dikawal oleh pihak bomba.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias mengesahkan tentang kejadian itu dan memberitahu, kebakaran mungkin berpunca dari litar pintas.
“Polis sedang menunggu laporan penuh daripada pasukan Forensik Bomba dan Penyelamat untuk mengetahui sama ada punca sebenar kebakaran tersebut,” katanya.
'via Blog this'