Search This Blog

Friday, March 9, 2012

Terkejut dengar jeritan ibu

Terkejut dengar jeritan ibu - Perak - Sinar Harian:
Terkejut dengar jeritan ibu
TAIPING – “Jeritan ibu mengejutkan saya dari tidur sebelum mendapati rumah kami terbakar dan terus berusaha memadamkan kebakaran,” kata mangsa kebakaran sebuah rumah di Kampung Tupai Mas, S Poobalan, 33, semalam.
Poobalan berkata, malangnya usaha itu tidak berhasil apabila api semakin marak dan bertindak menyelamatkan diri.
Menurutnya, rumah papan peninggalan bapanya yang dibina sejak 50 tahun lalu musnah sekelip mata.
“Ibu masih bersedih kerana tiada barang yang dapat diselamatkan, tetapi saya bersyukur kerana kami semua selamat.
“Motosikal, barangan kemas, perabot dan dua anak anjing turut mati dalam kebakaran ini. Bukan mudah untuk membina semula rumah yang telah musnah sebegini,” katanya.
Katanya, buat sementara waktu, mereka mungkin tinggal di rumah jiran atau menyewa.
“Terima kasih kepada semua yang membantu memberikan bantuan kewangan dan keperluan,” katanya.
Sementara itu, kakaknya, S Kogilawani, 34, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut kerana masih bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.
“Petang kelmarin kawasan rumah kami tiada bekalan elektrik, bagaimanapun setelah jam 7 malam, rumah jiran yang lain sudah terang, hanya rumah kami sahaja yang masih tiada bekalan elektrik.
“Sebelum pergi kerja, saya telefon TNB tetapi pihak mereka memberitahu akan datang pagi ini,”katanya.
Kogilawani berkata, dia bersyukur kerana ibu dan adiknya selamat walaupun terpaksa membina semula rumah baru.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan pada jam 6.54 pagi dan tiba bersama tiga jentera serta 13 anggota.
Katanya, ketika tiba di lokasi, rumah papan dengan tiga bilik itu telah musnah 100 peratus dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran 15 minit kemudian.
“Mangsa ketika itu berjaya menyelamatkan diri dan berada di tepi jalan. Api mula merebak melalui bilik nombor dua rumah berkenaan.
“Kerugian dianggarkan RM60,000 dan puncanya masih dalam siasatan,” katanya.
Simpati dengan kejadian itu, Pemuda MIC Perak, MIC Bahagian Taiping, Ketua UMNO Bahagian Taiping, Penyelaras Dun Pokok Assam dan orang ramai menghulurkan bantuan kewangan.

'via Blog this'

Bekas pramugari ditahan edar dadah bersama kekasih

Bekas pramugari ditahan edar dadah bersama kekasih - Utara - Sinar Harian:
Hashim (tengah) ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, semalam.
SUNGAI PETANI – Bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan tempatan ditahan bersama kekasihnya kerana memiliki dadah disyaki ganja seberat 13.19 kilogram ketika menginap di sebuah bilik di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani tiga hari lalu.

Serbuan pada jam 11.15 pagi dilakukan oleh pegawai dan 13 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis menemui 14 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 13.19 kilogram di bawah tilam dan satu bekas plastik disyaki candu seberat 910 gram dalam beg suspek.

“Nilai rampasan berdasarkan harga pasaran dianggarkan RM44,200.

 “Turut dirampas adalah wang tunai RM5,150 dan sebuah kereta Perodua MyVi,” katanya kepada media semalam.

 Menurutnya, wanita berusia 28 tahun itu dipercayai bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah kilang di Juru, Pulau Pinang manakala kekasihnya, seorang juruteknik elektrik berumur 31 tahun.

 “Hasil siasatan mendapati bilik penginapan itu dijadikan stor menyimpan ganja sebelum dijual kepada pembeli sejak empat hari lalu,” katanya.

 Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

'via Blog this'

Percaturan kaki judi tidak menjadi

Percaturan kaki judi tidak menjadi - Melaka & NS - Sinar Harian:
Percaturan kaki judi tidak menjadi
BANDA HILIR - Tindakan pengusaha pusat judi berkomputer melanjutkan aktiviti selepas tengah malam kerana beranggapan polis tidak akan membuat serbuan pada masa itu, akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Semalam, polis membuat serbuan ke atas 28 pusat perjudian berkomputer secara serentak di beberapa lokasi di negeri ini.
Dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, seramai 80 kaki judi yang sedang leka bermain permainan judi berkomputer di 18 premis tergamam melihat anggota polis menyerbu premis berkenaan.
Hasil perancangan rapi polis, kesemua suspek, termasuk tiga warga Indonesia langsung tidak menyedari kehadiran polis.
Antara ditahan dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 3 pagi itu adalah lima kakitangan awam peringkat pertengahan yang turut didapati leka berjudi apabila diserbu.
Turut ditahan, 18 penjaga premis, termasuk dua lelaki warga Myanmar dan seorang wanita Indonesia.
Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini untuk siasatan lanjut.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Persekutuan Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, polis turut merampas 260 unit komputer dengan anggaran nilai kira-kira RM520,000 dalam operasi berkenaan.
Selain itu, katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah lebih RM10,000.
“Operasi membabitkan kerjasama polis daerah Mela­ka Tengah dan Bukit Aman, dengan dibantu lima kontinjen lain iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang. Operasi khas ini, dikenali Ops Dadu Khas, bertujuan membanteras aktiviti perjudian terutama di Bandaraya Melaka sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri membebaskan Melaka daripada aktiviti tidak sihat, terutama perjudian. Kita menjalankan operasi ini selepas tengah malam kerana daripada risikan, kita dapati ramai penganjur dan pemain beranggapan polis tidak akan membuat operasi selepas masa itu,” katanya.

'via Blog this'

Bergaya dengan kad palsu

Bergaya dengan kad palsu - Selangor & KL - Sinar Harian:
bergaya dengan kad palsu
SUBANG JAYA – Mem­punyai 14 rekod lampau bersabit kes dadah dan pelbagai jenayah lain nyata tidak menginsafkan seorang lelaki berusia lanjut apabila bergiat aktif menggunakan kad kredit palsu pula bagi membuat pembelian barang.

Bagaimanapun, nasib lelaki itu dan seorang lagi rakannya yang berlagak dengan kad kredit palsu ketika membeli-belah berakhir malang apabila kegiatannya berjaya dihidu peniaga sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway di sini, yang kemudian bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Su­bang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bertindak atas aduan peniaga yang meragui ketulenan kad kredit dimiliki suspek, pihaknya berjaya memberkas dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 56 tahun di dalam pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, ketika ditahan kedua-dua suspek sudah membuat dua transaksi pembelian masing-masing ber­harga RM307 dan RM253.60.

“Siasatan dan pemeriksaan menyeluruh mendapati, suspek mempunyai lima kad kredit palsu yang tidak mempunyai cip keselamatan.

“Polis percaya suspek membeli kad kredit daripada satu sindiket yang mendalangi kegiatan pemalsuan kad terbabit,” katanya pihaknya percaya suspek sudah membuat beberapa transaksi pembelian menggunakan kad sama sebelum ini.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan reman sehingga esok untuk siasatan menye­luruh dan pihaknya masih mem­buru sindiket terbabit,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Kesek­saan.

Sementara itu, dalam kes berasingan Yahaya berkata, pihaknya menemui sepucuk pistol jenis Revolver Colt 38 Special dan lima peluru hidup di sebuah unit pangsapuri di Taman Subang Mas, di sini.

Katanya, senjata tidak mempunyai lesen berkenaan ditemui tersembunyi di sebalik kusyen kerusi kecil di salah sebuah bilik dihuni dua beradik lelaki.

“Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kira-kira jam 1.45 pagi. Lelaki terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam saringan ujian air kencing dilakukan.

“Enam hari selepas itu, kita menahan seorang lagi lelaki iaitu abang suspek pertama di Shah Alam. Suspek berusia 37 tahun bekerja sebagai pengawal peribadi mempunyai 11 kes lampau termasuk kes curi kenderaan, samun, pecah rumah dan dadah,” katanya sebuah kereta jenis Wira yang dilaporkan hilang di Tanjung Kling, Melaka dirampas daripada suspek.

Beliau berkata, polis percaya pistol ditemui digunakan untuk melakukan jenayah samun. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

'via Blog this'

Remaja maut motor dirempuh kereta

Remaja maut motor dirempuh kereta - Utara - Sinar Harian:
Remaja maut motor dirempuh kereta
ALOR SETAR - Tindakan seorang remaja lelaki melintas pembahagi jalan membawa padah apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta, di Jalan Anak Bukit, malam kelmarin.
Mukhsinin Mustafa, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam dan mangsa dipercayai cuba melintas pembahagi jalan sebagai jalan pintas ke laluan bertentangan.
“Ketika mangsa menunggang motosikalnya melintasi pembahagi jalan berkenaan, dia dirempuh kereta sebaik sahaja berada di laluan bersebelahan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, disebabkan rempuhan kuat, mangsa mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian.
“Pemandu kereta yang berusia 22 tahun tidak cedera dalam kejadian itu,” katanya.
Jenazah mangsa dibawa pulang ke rumahnya pada jam 1.30 pagi.

'via Blog this'

Padah keluar secara melulu

Padah keluar secara melulu - Melaka & NS - Sinar Harian:
Padah keluar secara melulu
SENALING – Tindakan seorang penunggang motosikal yang keluar secara melulu di kawasan simpang mengundang padah apabila bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga BLM di Jalan Senaling-Tampin, semalam.
Kejadian berlaku jam 9 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 40-an tercampak ke bahu jalan sehingga menyebabkan kaki kirinya patah dan tulang buku lali tersembul keluar manakala pemandu kereta berkenaan yang juga seorang wanita­ tidak cedera.
Petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majeran Lon berkata, pihak JPAM menerima panggilan kira-kira 9.03 minit dan bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kami melihat seorang lelaki sedang mengerang kesakitan berikutan kakinya patah hingga menyebabkan tulang buku lali terkeluar. Dia masih dalam keadaan sedar dan berada di tepi jalan,” katanya.
Majeran berkata, kejadian itu berlaku apabila­ lelaki tersebut keluar dari simpang Bemban arah ke Senaling secara melulu.
“Dipercayai kereta tersebut dari arah Melaka menuju ke Kuala Pilah. Namun apabila tiba di simpang Bemban–Senaling, sebuah motosikal keluar secara mengejut menyebabkan pemandunya tidak dapat mengelak lalu merempuh lelaki berkenaan. Akibat rempuhan itu, lelaki berkenaan tercampak dan kepala terhantuk di atas jalan. Dia cedera di kepala, dahi dan kaki,” katanya.
Katanya, pihaknya yang tiba awal di tempat kejadian menghulurkan bantuan kecemasan sebelum menunggu ketibaan ambulans dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
“Saya bersama kakitangan hospital memberi­ rawatan awal sebelum mangsa dibawa untuk rawatan susulan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut memberikan bantuan dengan mengangkat mangsa ke tempat selamat,” katanya.
Sementara itu, difahamkan, bahagian sisi motosikal mangsa remuk dan lampu depan pecah manakala kereta berkenaan rosak sedikit di bahagian depan.

'via Blog this'

Maut jatuh dari balkoni jiran

Maut jatuh dari balkoni jiran - Selangor & KL - Sinar Harian:
jatuh bangunan2
PUCHONG – Cuba mengelak diri daripada polis dengan memanjat balkoni rumah jiran mengundang padah kepada seorang warga Afrika apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di sini, petang semalam.

Difahamkan, sepasukan anggota polis menyerbu satu unit rumah Kondominium Vista Milinium di Puchong Perdana di sini, kira-kira jam 2.30 petang selepas menerima maklumat berhubung kes dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, selepas pintu jeriji dipecahkan, terdengar bunyi bising dan kelihatan beberapa orang berebut-rebut keluar ke balkoni dan bilik tidur pangsapuri itu.

Menurutnya, secara tiba-tiba salah seorang daripada lelaki berkenaan dikatakan memanjat balkoni dan cuba melompat ke rumah bersebelahan untuk melarikan diri.

“Tanpa memikirkan tindakannya boleh membawa maut, lelaki terbabit cuba turun dari tembok batu ke tingkat bawah dengan berpaut pada sebatang saluran paip plastik.

“Tidak tahan beban berat badan lelaki itu, saluran plastik berkenaan pecah menyebabkan dia terjatuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lapan warga Afrika termasuk seorang wanita di dalam pangsapuri berkenaan.

“Masing-masing tiga dari Liberia, dua dari Guinea, dua dari Nigeria dan seorang dari Ghana. Enam daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja manakala dua lagi positif dadah jenis heroin dalam ujian saringan air kencing dijalankan.

“Turut ditemui seberat 1.47 gram ganja,” katanya lelaki yang ditemui maut dikenali sebagai Eddy berusia lingkungan 20-an dari Liberia.

Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

'via Blog this'

Kepala arwah tersepit pintu

Kepala arwah tersepit pintu - Kelantan - Sinar Harian:
keluarga-menatap-gambar-mangsa
TANAH MERAH – “Saya terlalu dekat dengannya dan cuba menarik tangannya tetapi tidak berjaya kerana kepala arwah tersepit pada pintu,” kata bapa Raja Muhammad Irfan, 13, yang maut tertimbus dalam kejadian dekat kuarters polis di Jalan Belfield berhampiran Kampung Attap, jam 9.30 malam semalam.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu Methodist Boy School, Kuala Lumpur berada di belakang rumahnya apabila tiba-tiba tebing setinggi lima meter runtuh dan menimbusnya.

Bapa mangsa, Raja Hazlan Raja Husin, 46, berkata, ekoran hujan lebat berserta ribut melanda membuatkan runtuhan tanah berlaku sekelip mata walaupun benteng penghalang sudah dibina.

Menurutnya, pada malam tersebut dia dan anak ketiga daripada lima beradik itu sedang mengangkat kain di ampaian belakang rumah berikutan hujan lebat dan ribut melanda pada malam tersebut menyebabkan satu runtuhan kecil berlaku dekat belakang rumah.

“Apabila siap mengangkat kain, dia kembali semula ke dapur dan saya hanya berada beberapa kaki sahaja darinya, dalam sekelip mata tidak sampai dua minit terdengar satu bunyi kuat diikuti air lumpur dan tanah menghempap pintu dapur menyebabkan arwah tersepit dari paras dada hingga kepala.

“Saya cuba untuk tarik tangan tetapi tidak mampu apabila kepalanya tertimbus dengan tanah, selama 10 minit dengan pertolongan jiran-jiran usaha untuk mengeluarkan mangsa tidak berjaya.

“Operasi menyelamat dilakukan pihak bomba akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan, namun arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam semalam,” katanya ketika ditemui dekat rumahnya di Kampung Padang Bongor, Bukit Merah, semalam.

Menurutnya, kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguruskan perjalanan membawa pulang jenazah mangsa ke kampung halaman amat dihargai.

Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Belimbing jam 11.30 pagi semalam.

Ibu mangsa, Rohani Che Yusuf, 41, yang masih bersedih ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia bersama dua lagi anaknya sedang tidur dan tidak menyangka kejadian tanah runtuh berlaku dekat kawasan rumahnya.

Menurutnya, dua tahun lalu runtuhan kecil sudah berlaku dan faktor hujan lebat dan ribut membuatkan rumahnya dihempap timbunan tanah bersama air lumpur.

“Arwah amat rapat dengan saya, kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga. Tiada perubahan ketara berlaku pada dirinya cuma sehari sebelum kejadian dia suka menyakat dan bergurau dengan adik beradiknya yang lain terutamanya adik bongsu yang berumur setahun lebih.

“Arwah ada juga menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran di sekolah agama di Kelantan namun tidak kesampaian,” katanya.

'via Blog this'

‘Pancing’ duit masjid RM5

‘Pancing’ duit masjid RM5 - Terengganu - Sinar Harian:
Draman-(kiri)-dipenjara-sehari-dan-didenda-RM500-kerana-'mengail'-duit-tabung-masjid-berjumlah-RM5.
KUALA TERENGGANU - Kedengaran lucu, tapi ia sebenarnya menjengkelkan. Seorang penganggur yang mungkin terdesak, sanggup ‘memancing’ menggunakan lidi, semata-mata kerana ingin mencuri wang tabung masjid sebanyak RM5.

Bagaimanapun, tindakan ‘kreatif’ tertuduh iaitu Draman Hamzah, 39, yang berasal dari Kebor Besar, di sini, akhirnya dibalas dengan hukuman penjara selama sehari.

Majistret Noradila Ab Latif ketika membaca keputusannya turut memerintahkan agar tertuduh membayar denda sebanyak RM500 atau dipenjara selama dua minggu jika gagal membayar denda.

Sebelum itu, tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan ke atasnya dibacakan. Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor V Ravi.

Berdasarkan fakta kes, pengadu, Sayed Shahidi Sayed Mohamad, 38, pada 6 Mac lalu, kira-kira jam 12.10 tengah hari, yang ketika itu berada di rumah seorang rakan di Kampung Tok Ku Chabang 3, menyedari seorang lelaki tidak dikenali duduk berdekatan tabung masjid di situ, dipercayai hendak mencuri wang dalam tabung.

Pengadu bersama rakannya kemudian ke pintu utama masjid, dan mendapati ada lelaki sedang ‘mengail’ dengan menggunakan lidi dalam tabung tersebut.

Dia bersama rakannya kemudian menangkap suspek dan ketika ditangkap, terdapat RM4 dalam genggaman tangan kiri dan RM1 masih lagi berada pada lidi pengail.

Pengadu kemudiannya merampas RM5 daripada suspek dan tidak lama kemudian, polis tiba. Dia kemudiannya menyerahkan wang RM5 itu dan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut.

'via Blog this'

Penunggang digilis treler

Penunggang digilis treler - Kelantan - Sinar Harian:
Dua-anak-mangsa,-Nor-Adilah-(kiri)-dan-kakaknya,-Nor-Diana-Abdullah-(tengah)-mengutip-sisa-sisa-otak
KOTA BHARU – Seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila otaknya berkecai akibat digilis sebuah treler dalam kemalangan di bulatan jam besar di sini, pagi semalam.

Mangsa, pengawal keselamatan, Adnan Awang, 59, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya pecah selain kecederaan parah di bahagian dada dan lengan.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Mahkamah Kota Bharu membelok ke kiri menuju ke Jalan Sultan Ibrahim sebelum bergesel dengan treler dari arah bulatan.

Mangsa kemudian terjatuh ke bawah perut lori sebelum kepalanya digilis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sementara itu, keadaan di sekitar lokasi kemalangan tambah pilu apabila anak bongsu mangsa, Nor Adilah Adnan, 23, bersama suami, Mohd Fauzi Zaki, 31, tiba kira-kira sejam 30 minit kemudian.

Nor Adilah berkata, dia mendapat tahu berita itu daripada panggilan telefon orang awam yang menghubunginya menggunakan telefon bimbit mangsa.

“Dia (mangsa) baru balik daripada mengambil ubat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana penyakit gout yang dihidapi dan sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Pasir Mas,” katanya.

Seorang kakitangan Muzium Kelantan, Mohd Tarmizi, 48, berkata, dia yang menyedari kejadian bergegas untuk memberi bantuan, bagaimanapun, mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Saya lompat dari pagar untuk cuba berikan bantuan dengan segera. Tetapi tidak mampu buat apa-apa akibat kepalanya digilis dan maut di situ. Cuma dapat menutup mayatnya menggunakan surat khabar sebelum polis tiba,” katanya. Mayat dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat.

'via Blog this'

Gadai nyawa sedut bisa ular

Gadai nyawa sedut bisa ular - Pahang - Sinar Harian:
sedut bisa ular
KUANTAN - Di sebalik kejadian yang menimpa seorang pemain ular yang dipatuk ular tedung selar, Mohd Sabron Ismail, 23 di Zoo Mini Teruntum di sini, Khamis lalu, seorang pemuda India yang juga rakan sekerja, K.Mohan, 28 boleh dianggap penyelamat awal nyawa Sabron.

Biarpun berlainan agama dan bangsa, Mohan sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan menyedut bisa di tangan Sabron pada hari kejadian tersebut.

Malah akibat tindakan nekad Mohan, dia juga terpaksa ditahan di wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selama tiga hari sebelum dibenarkan keluar dan kini rutinnya, melawat rakannya setiap hari.

Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, Mohan yang sudah berkawan baik dengan Sabron sejak mula bertugas dua tahun lalu memberitahu, ketika itu dia sedang memberikan makanan pada rusa manakala Sabron sedang sibuk memandikan ular yang dikenali nama “Hana” itu.

“Situasi ketika itu saya sedang membelakanginya namun tiba-tiba senyap, saya jerit panggil nama dia dua kali tapi tak disahut, hanya panggilan ketiga dibalasnya.

“Sabron meminta pertolongan saya dan memberitahu dia dipatuk ular dan sepantas kilat saya lari ke arahnya serta menepis ular itu yang masih melekat di tangan kirinya,” katanya.

Mohan berkata, selepas itu, hanya satu difikirkannya, menyedut bisa itu untuk menyelamatkan rakannya dan memberitahu ketika itu Sabron masih sedar sebelum di hantar ke hospital.

“Ketika itu apa yang terlintas, saya yakin Sabron selamat dan 10 minit kemudian dia dihantar ke hospital.

“Sabron adalah rakan yang baik, ceria, suka buat lawak dan peramah, malah sejak dia dirawat, ketiadaannya di tempat kerja memang terasa,” katanya Sabron juga gemar menyanyi lagu-lagu Inggeris.

Mohan yang juga rapat keluarga pemain ular itu turut memberitahu, setiap kali mempunyai masalah selepas meluahkan masalah kepada Sabron, pasti emosinya lebih tenang.

“Seperti rakan dan ahli keluarganya yang lain, saya bersembahyang dan mendoakan keselamatannya, semoga dia sihat kembali.

“Saya tekad nak bawa dia jalan-jalan, ceriakan hatinya kalau dia sudah sihat nanti,” katanya.

Sementara itu ayah Sabron, Kamarudin Abdullah, 56 memberitahu, dia reda jika tangan kiri anaknya terpaksa dipotong.

“Doktor ada memberitahu, memberikan tempoh 24 jam sebelum pembedahan susulan untuk membuang daging yang mati dan tempoh 48 jam sama ada tangannya dipotong atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang juga seorang tukang kayu menghargai kunjungan dan keprihatinan mereka yang mendoakan keselamatan nyawa anaknya yang kini masih bergantung pada bantuan alat pernafasan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) di HTAA di sini.

Katanya, dia menerima panggilan dari seluruh negara dan juga negara jiran sejak kisah anaknya dilaporkan media.

'via Blog this'

Tiga sekeluarga maut dalam nahas di lebuhraya pantai timur

Tiga sekeluarga maut dalam nahas di lebuhraya pantai timur - Semasa - Sinar Harian:KUANTAN -  Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi anggota keluarga itu cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dikatakan merempuh belakang sebuah treler di Km 210.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang awal pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Norazman Ibrahim, 43, iaitu seorang eksekutif Proton di Shah Alam, isterinya Norhayati Ibrahim, 42, dan anak lelaki mereka Akif Iskandar, 17.
Anak perempuan mereka Nur Rudiana, 12, dilaporkan cedera dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata kejadian berlaku pada 1.30 pagi ketika keluarga berkenaan yang menetap di Taman Puchong Perdana, Selangor dalam perjalanan dari Shah Alam menuju Temasik, Terengganu untuk menghadiri majlis kenduri kahwin.
Beliau berkata Norazman yang memandu kereta itu merempuh treler yang membawa muatan bijeh besi.
"Akibat rempuhan itu, pemandunya mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan, isterinya meninggal di Klinik Kesihatan Gambang kira-kira 3.30 pagi akibat kecederaan dalaman," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata anak lelaki mangsa pula disahkan meninggal pada 4.18 pagi ketika menerima rawatan di HTAA akibat parah di kepala.
Pemandu treler berumur 46 itu tidak mengalami kecederaan.
Kakak kepada Norazman, Noordinal Ibrahim, 49, berkata dia dimaklumkan tentang kejadian itu oleh rakan kepada adiknya kira-kira 2.30 pagi melalui telefon.
Katanya secara kebetulan rakan adiknya itu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur telah terserempak dengan kemalangan terbabit dan mengecam nombor plat kereta mangsa.
"Saya terkejut apabila diberitahu tentang kejadian ini dan segera memberitahu suami sebelum bergegas ke sini. Arwah sepatutnya bertolak hari ini ke Terengganu. Dia juga tidak maklumkan kepada saya untuk bertolak awal," katanya di HTAA.
Tiga beranak itu akan dikebumikan di kampung Norhayati di Kuala Berang, Terengganu. - Bernama

'via Blog this'

Penyelia kilang didakwa tipu pengawal keselamatan

Berita Harian Online | Penyelia kilang didakwa tipu pengawal keselamatan: "KUALA LUMPUR: Seorang penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang pengawal keselamatan membabitkan RM75,750.

C Mapur Abdus Sukur, 33, dituduh menipu Azizah Dolmat, 49, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tanah di Lot No. 1754, Mukim Masjid Tanah, Alor Gajah akan ditukar hak milik kepada Azizah sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang sejumlah itu kepada tertuduh."

'via Blog this'

Polis diacu pistol

myMetro | Polis diacu pistol:KOTA BHARU: Sekumpulan lima lelaki disyaki penjenayah yang menaiki sebuah kereta nekad memecut kenderaan ketika ditahan polis, malah melanggar kaki seorang anggota polis dan mengacukan sepucuk pistol dalam kejadian di Jalan Teliar, Bunut Susu, Pasir Mas, pagi semalam.
Sebelum kejadian, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menerima maklumat dan mengekori sebuah Perodua Viva dinaiki lima lelaki itu pada jam 9 pagi.

Sebaik kereta ditahan, pemandunya memecut dan melanggar kaki seorang anggota polis dan salah seorang di tempat duduk penumpang hadapan mengacukan pistol.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ketika dikejar anggota polis, kereta dinaiki suspek terbabas di tepi jalan.

Katanya, dua suspek ditahan, manakala tiga lagi melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui sepucuk pistol berwarna hitam dan satu kelopak tanpa peluru, sebilah parang, satu botol plastik lutsinar disyaki dadah serta satu paket plastik lutsinar berisi empat biji pil berwarna merah, disyaki dadah.
“Dua suspek ditahan berusia 21 dan 36 tahun dan masing-masing berasal dari Kampung Tualang dan Kampung Padang Tok La, Pasir Mas,” katanya.

'via Blog this'

Tiga beranak rentung di Seri Kembangan

myMetro | Tiga beranak rentung di Seri Kembangan: "


ANGGOTA bomba memeriksa lokasi kebakaran yang meragut
 3 nyawa dan seorang lelaki melecur hampir kesemua anggota
 badannya di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, pagi ini. Kebakaran
 tersebut dapat dikawal oleh pihak bomba
 pada jam 4.20 pagi.
 - Foto Farizul Hafiz Awang 

KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga rentung apabila terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Aman, Seri Kembangan dekat sini awal hari ini.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan Zulkifli Sairan berkata berdasarkan laporan awal kebakaran pada kira-kira pukul 2.55 pagi itu meragut nyawa seorang ibu berusia 30-an bersama dua anak perempuan masing-masing berusia tiga dan enam tahun.
Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Serdang, katanya kepada Bernama. - BERNAMA"

'via Blog this'

Lelaki berjumpa kawan ditemui mati terapung di laut

myMetro | Lelaki berjumpa kawan ditemui mati terapung di laut: "GEORGETOWN: Polis Gerakan Marin menemui mayat lelaki yang sebelum itu dikatakan pergi menemui kawannya, terapung di perairan Pantai Macalum di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata mangsa dikenali Goh Peng Chong, 42, dari Bukit Mertajam dilaporkan hilang oleh keluarganya yang membuat aduan di Balai Polis Daerah SPT pukul 2 pagi semalam.
"Satu gerakan mencari dilancarkan selepas polis menerima laporan itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Azman berkata Goh yang lengkap berpakaian ditemui pukul 9.50 pagi tadi dipercayai terjun dari atas jambatan Pulau Pinang ekoran kereta miliknya tersadai atas jambatan kira-kira empat kilometer dari George Town.


Mangsa dikatakan datang ke George Town untuk berjumpa rakannya dan tidak pulang ke rumah sejak petang Rabu.


Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - BERNAMA"

'via Blog this'

Dua bekas kontraktor dituduh palsu 4 dokumen tender MPB

myMetro | Dua bekas kontraktor dituduh palsu 4 dokumen tender MPB:KUANTAN: Dua bekas kontraktor dituduh secara berasingan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, atas kesalahan bersubahat memalsukan empat dokumen tender Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dua tahun lalu.
Omar Ludin, 36, dari Taman Temerloh Jaya, Temerloh mengaku bersalah manakala rakannya, Firdaus Ramli, 37, dari Jalan Teratai, Ulu Gali, Raub pula tidak mengaku salah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut kertas pertuduhan, Omar didakwa menggunakan empat dokumen tender MPB palsu atas nama Syarikat Lekir Jati Sdn Bhd, SML Bina Sdn Bhd, JMY Hayat Construction Sdn Bhd dan Mestika Terbilang Sdn Bhd.
Tertuduh melakukan perbuatan itu untuk membuat tuntutan palsu pada 19 September lalu jam 11.30 pagi di Pejabat MPB, Jalan Ketari, Bentong.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya.

Sementara Firdaus dituduh bersubahat melakukan tindakan sedemikian di tempat, masa dan waktu yang sama. Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tuduhan itu dan mohon untuk dibicarakan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syafinaz Shabudin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Fathiyah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas Omar dan membenarkan Firdaus dijamin RM5,000 sebelum menetapkan tarikh 9 April ini untuk sebutan semula dan lantikan peguam.

'via Blog this'

Hujan berterusan 4 jam 45 minit

myMetro | Hujan berterusan 4 jam 45 minit:KUALA LUMPUR: Banjir kilat di sekitar ibu negara kelmarin berpunca daripada jumlah hujan yang tinggi berikutan hujan turun selama empat jam 45 minit mulai jam 6.45 petang, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Beliau berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan hujan berterusan sehingga 11.30 malam itu menyebabkan paras air di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Klang mencecah paras amaran.

“Kesan hujan lebat itu mengakibatkan 15 kawasan dilanda banjir kilat apabila dinaiki air antara 0.3m dan 1.2m, kecuali di Kampung Periuk, Kampung Baru yang mencatat paras air sehingga 2.1m,” katanya dalam kenyataan semalam.
Antara kawasan terbabit ialah Lorong Rhu Pertama dan Persiaran Madge di Ampang Hilir; Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Lorong Kiri 14 dan 15 serta Jalan Keramat 1 dan 2 di Datuk Keramat; Jalan Limau Kasturi, Bangsar; Jalan Liew Weng Chee Off Jalan Yap Kwan Seng; Jalan Melaka; dan Kampung Pasir Baru, Jalan Klang Lama.

Kawasan lain yang terjejas ialah Jalan Travers, Brickfields, Jalan Bandar, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Salahuddin dan Jalan Munshi Abdullah.

Raja Nong Chik berkata, hanya satu kawasan membabitkan pemindahan sementara iaitu di Kampung Periuk, Kampung Baru yang dinaiki air sedalam 2.1 meter, dengan 784 penduduk membabitkan 174 keluarga dipindahkan ke dewan Kelab Sultan Sulaiman.
Mereka dibenar pulang pada jam 12.30 tengah malam selepas banjir mulai surut.

“Tinjauan dan bancian petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati lebih 16 kenderaan terperangkap dan rosak akibat banjir kilat berkenaan,” katanya. - Bernama

'via Blog this'

Sengsara 12 jam

myMetro | Sengsara 12 jam:KUALA LUMPUR: “Kami terpaksa memanjat lori pasir untuk menyelamatkan diri berikutan kereta ditenggelami air. Biarpun dalam kesejukan, lapar dan berhimpit-himpit, Alhamdulillah, kami terselamat selepas 12 jam terperangkap dalam banjir,” kata penyanyi, Shila Amzah, 22, yang terperangkap bersama rakannya yang juga pelakon, Sharnaaz Basir Ahmad, 27, dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Batu 12, dekat Hulu Langat, kelmarin.
Menurut Shila, sebelum kejadian, dia bersama ibunya dan Sharnaaz menikmati makan malam di sebuah restoran di Batu 12, namun ibunya terlebih dulu pulang ke rumah di Batu 9 selepas hujan.

“Sebelum pulang ke rumah, kami berhenti di sebuah stesen minyak dan ketika itu hujan begitu lebat hingga menenggelamkan jalan,” katanya.
Katanya, ketika itu, keadaan jalan tidak begitu teruk dan masih boleh dilalui menyebabkan mereka bertekad meneruskan perjalanan pulang.

“Namun, ketika melalui jalan curam, kami terperangkap dalam kesesakan luar biasa akibat banjir di sepanjang jalan hingga menenggelamkan kereta Proton Waja yang kami naiki,” katanya.

Menurutnya, berikutan tidak tahu berbuat apa-apa tambahan pula banjir semakin menenggelamkan keseluruhan kereta, mereka akhirnya bertekad memanjat lori pasir untuk menyelamatkan diri.
“Ketika itu, saya hanya berdoa kepada Allah semoga kami terselamat. Kami begitu sedih melihat anak kecil serta ratusan keluarga lain menerima nasib sama apabila terperangkap dalam banjir,” katanya.

Katanya, biarpun jarak perjalanan pulang ke rumahnya hanya kira-kira tiga kilometer tetapi disebabkan banjir yang begitu teruk, mereka tersadai selama hampir 12 jam bermula kira-kira jam 10 malam.
“Alhamdulillah, jam 10 pagi tadi (semalam) baru kami selamat tiba ke rumah dan syukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Menurutnya, biarpun terselamat, kereta milik Sharnaaz mengalami kerosakan teruk dan terpaksa dihantar ke bengkel, semalam.

'via Blog this'

Rumah runtuh dilanda arus deras banjir

myMetro | Rumah runtuh dilanda arus deras banjir: "AMPANG: “Saya sedih apabila tempat berteduh selama ini runtuh dilanda arus yang begitu deras tetapi apakan daya, mungkin itu takdir kami sekeluarga,” kata mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Ramli Abu Kassim, 62.

Menurutnya, dia menganggarkan kerugian hampir RM80,000 selepas sebahagian rumahnya runtuh dilanda arus deras termasuk kesemua peralatan dalam rumah tidak dapat digunakan.


Katanya, ketika kejadian, dia bersama isteri serta dua anak sudah berpindah ke bilik gerakan banjir dan bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya selamat.

“Walaupun saya kerugian besar, namun nyawa lebih penting. Kini, saya bersama keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tidak dapat menyelamatkan sebarang barangan dari dalam rumah.


“Kejadian ini yang paling teruk dan kami tidak menyangka banjir yang berlaku begitu pantas menyebabkan sebahagian rumah kami runtuh,” katanya."

'via Blog this'

OKU ‘diacah’ lemas terjun sungai

myMetro | OKU ‘diacah’ lemas terjun sungai:KANGAR: Akibat terkejut dengan gurauan rakannya menyatakan tempat mereka melepak di pelantar ikan di Kampung Tandiap, dekat sini, diserbu polis, seorang lelaki kelainan upaya (OKU), dikhuatiri lemas apabila bertindak terjun ke dalam Sungai Perlis berhampiran muara Kuala Perlis, dekat sini, petang kelmarin.
Sehingga lewat petang semalam, pasukan penyelamat gagal menemui mangsa dikenali Mat Yusuf Mohamad, 32 dari Bukit Tok Po, Kuala Perlis dan mangsa dipercayai hanyut ke laut.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mangsa yang turut terjun ke sungai berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing dalam kejadian jam 5.10 petang itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar pemuda berkenaan terjun ke sungai bersama dua lagi rakannya semasa berehat di pelantar ikan itu.

“Dakwaan menyatakan Mat Yusof terjun ke sungai selepas dikejar sepasukan anggota polis bahagian narkotik adalah tidak benar.

“Mungkin ada rakan mangsa membuat gempar menyatakan pasukan narkotik sedang menyerbu tempat itu hingga menyebabkan mangsa hilang punca sebelum bertindak demikian,” katanya, di sini, semalam.
Abdul Rahman berkata demikian ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di sini, semalam.

Operasi dihentikan lewat petang kelmarin berikutan hujan dan arus deras, disambung semula pagi semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis sememangnya ada membuat operasi di sekitar Kuala Perlis yang terletak dua kilometer dari lokasi kejadian, tetapi operasi itu tamat setengah jam lebih awal.

'via Blog this'

Tertimbus lepas merajuk

myMetro | Tertimbus lepas merajuk:KUALA LUMPUR: Seorang remaja yang maut selepas tertimbus dalam tanah runtuh dalam kejadian di Kuarters Kerani Polis di Jalan Belfield Off Jalan Maharajelala, malam kelmarin, dikatakan ke belakang rumah kerana merajuk dengan bapanya.
Dalam kejadian jam 9.20 malam, arwah Raja Mohd Irfan Raja Mohd Hazlan, 13, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Jalan Hang Jebat, tertimbus dari paras pinggang ke bawah selama lebih 10 minit sebelum diselamatkan jiran, tetapi mangsa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 11.50 malam.

Menceritakan kembali kejadian malang itu, jiran mangsa, Zaharah Hashim, 54, berkata, menurut ibu mangsa, ketika kejadian mereka berlima berada di dalam rumah termasuk mangsa dan dua lagi adik-beradiknya.
“Ketika itu, hujan lebat dan bapa mangsa dikatakan menyuruh mangsa mengangkat kain di jemuran, tetapi mangsa enggan sebelum bertindak melarikan diri ke belakang rumah gara-gara merajuk. “Dengan tiba-tiba, bapa mangsa terdengar bunyi yang kuat di belakang rumah dan hanya sempat menarik tangan mangsa masuk ke dalam rumah namun terlambat selepas tanah di belakang rumah runtuh dan mangsa yang tersepit di pintu belakang tertimbus separuh bahagian badannya termasuk muka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

'via Blog this'

Mayat tertiarap

myMetro | Mayat tertiarap: "MELAKA: Mayat seorang lelaki warga emas yang lemas apabila perahu dinaiki bersama seorang rakannya karam dipukul ombak ketika dalam perjalanan pulang ke muara Pengkalan Nelayan Tanjung Nibong, Telok Mas, di sini, ditemui kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir berkata, mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), ketika meneruskan operasi mencari dan menyelamat di perairan berhampiran muara jeti nelayan di kawasan itu. “Sepasukan anggota PPDA yang bergerak dari arah Umbai semasa menjalankan operasi melihat mayat mangsa dalam keadaan tenggelam timbul di lokasi awal operasi mencari mayat mangsa dijalankan.


“Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dan terapung atas permukaan air kira-kira 200 meter dari kawasan pantai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam."

'via Blog this'

Pegang baju satu sama lain 20 minit

myMetro | Pegang baju satu sama lain 20 minit:MELAKA: “Saya sempat berpaut di tepi perahu sambil memegang kolar baju arwah supaya dia tidak hanyut, namun dia hilang apabila dipukul ombak,” kata Mohd Noor Saimin, 53.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, perahu dinaikinya bersama mangsa, Mahmod Abu Samah, 64, terbalik selepas dipukul ombak besar iaitu kurang setengah kilometer (km) dari muara Pangkalan Nelayan Tanjung Nibong, Telok Mas, dekat sini, ketika dalam perjalanan pulang memancing ikan.

Ia menyebabkan mangsa terkorban, manakala Mohd Noor berjaya menyelamatkan diri sebelum diselamatkan nelayan lain.
Menurut Mohd Noor, sebelum kejadian, dia dan mangsa memancing ikan berhampiran Pulau Hanyut, kira-kira jam 6.30 petang. “Sewaktu tiba di Pulau Serimbun iaitu kira-kira empat kilometer dari kawasan pantai, hujan mula lebat dan kami terpaksa berlindung berhampiran Pulau Lalang berhadapan jeti Pulau Besar.

“Kami berlindung di situ selama kira-kira 45 minit dan mula bertolak pulang apabila hujan reda. Namun, apabila tiba di Pulau Menatang, ombak semakin besar, tetapi saya meneruskan perjalanan hingga ke pondok ternakan kupang.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi itu, ombak menjadi semakin tinggi dan menyebabkan perahu dinaiki terbalik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, sejurus perahu terbalik, dia dan mangsa terperangkap di bawahnya sebelum berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Kami memegang baju antara satu sama lain selama kira-kira 20 minit sebelum perahu itu dipukul ombak besar hingga genggaman saya terlepas.
“Selepas itu, arwah kelihatan lemah dan tidak berdaya lagi sebelum dilihat semakin jauh dihanyutkan,” katanya.

Kata Mohd Noor, dia berpaut pada tiang konkrit selama kira-kira setengah jam sambil menjerit meminta bantuan.

Dia diselamatkan kira-kira jam 11.45 malam kelmarin, dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, isteri mangsa, Rosimah Ahmad, 64, berkata, suaminya itu memberitahu mahu pergi memancing, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

“Saya melarang dia untuk pergi memandangkan hari sudah gelap dan cuaca mendung, namun tidak diendahkan,” katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

'via Blog this'

Tak sangka teguran guris hati

myMetro | Tak sangka teguran guris hati:PASIR GUDANG: “Saya tidak sangka teguran diberikan mengguris hati pasangan terbabit apabila dikaitkan dengan kehilangan Dirang,” kata Milnah Jul, 52, nenek Nur Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang hilang sejak 1 Mac lalu.
Pasangan itu yang juga jiran mangsa ditahan polis bersama seorang lelaki dipercayai rakan mereka pada hari sama kehilangan kanak-kanak itu di kawasan berhampiran rumah mangsa.

Milnah berkata, mereka sekeluarga tidak mengenali pasangan terbabit kerana mereka baru berpindah pada Disember lalu.
“Sebelum ini, saya mendengar khabar angin segelintir penduduk di sini memberitahu keburukan suspek.

“Ramai menasihatkan kami supaya berhati-hati dengan mereka, malah difahamkan sejak berpindah ke sini, banyak kejadian pelik berlaku membabitkan kes kecurian motosikal, kereta dan wayar kabel. “Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak ambil peduli dan tidak mahu campur dalam urusan itu,” katanya ketika ditemui di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

'via Blog this'

‘Mana adik, kenapa tak balik?’

myMetro | ‘Mana adik, kenapa tak balik?’:PASIR GUDANG: “Mana adik, kenapa tak balik?” Itu pertanyaan Mohd Hafis Abdullah, 6, abang Nur Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang, 5, kepada ibunya, Roselyn Alan, 25, setiap hari sejak kehilangan adik kesayangannya itu, awal bulan ini.
Roselyn berkata, sejak kehilangan Dirang anak sulungnya kelihatan murung dan sering bertanya di mana adiknya kerana terlalu rindu.

Menurutnya, kedua-dua anaknya itu rapat dan tidak pernah berpisah sejak kecil, malah sering bermain dan ke sekolah bersama.
“Dirang bukan seorang adik bagi Hafis, tetapi teman sepermainan dan rakan baik, malah mereka ke sekolah tadika berhampiran bersama setiap hari. “Sejak kehilangan Dirang, saya terpaksa berbohong kepada Hafis mengatakan adiknya itu berjalan-jalan untuk menyedapkan hatinya yang bertanya setiap hari,” katanya. Menurutnya, kehilangan Dirang memberi kesan mendalam kepada anak sulungnya itu sehingga kesihatannya merosot hilang selera makan dan enggan ke sekolah.

Katanya, sejak Dirang hilang Hafis hanya merenung foto dan memegang permainan adiknya itu setiap masa.

“Keadaan itu menyebabkan kami risaukan kesihatannya kerana dia hilang selera makan dan asyik menangis akibat rindukan adiknya,” katanya.

'via Blog this'