Search This Blog

Tuesday, March 6, 2012

Pengawal plaza tol maut

Pengawal plaza tol maut - Selangor & KL - Sinar Harian:
pekerja tol maut

KAJANG - Seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di Plaza Tol Batu 11, Lebuhraya Cheras-Kajang maut apabila dirempuh sebuah motosikal di laluan paling kiri yang dikhaskan untuk kenderaan berat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa, Nordin Abas, 60-an tidak sedarkan diri setelah tercampak kira-kira lima meter daripada laluan tol berkenaan.

Rakan mangsa, Mohd Basri, 39, berkata, ketika kejadian, mereka sedang bertugas seperti biasa di pos pengawal yang terletak di lorong lapan Plaza Tol Batu 11 dari arah Kajang-Cheras sebelum mangsa beredar kerana ingin ke tandas yang terletak di pejabat Tol Grand Saga.

Menurutnya, mangsa berpakaian lengkap dengan jaket keselamatan, malah melalui lorong yang disediakan untuk kakitangan sebelum sebuah motosikal datang secara tiba-tiba dan merempuh ketika mangsa ingin melintas.

“Saya sedang bertugas ketika itu dan hanya mendengar bunyi kuat sebelum melihat sebuah motosikal tersadai di sisi jalan, mangsa tercampak ke kaki lima laluan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang akibat kecederaan serius di kepala, sementara penunggang motosikal hanya mengalami luka ringan di muka dan tangan.

Allahyarham Nordin yang juga merupakan pesara polis telah berkhidmat sebagai pengawal keselama­tan plaza tol lebih 3 tahun.


'via Blog this'

Sorok dadah dalam dubur

Sorok dadah dalam dubur - Melaka & NS - Sinar Harian:
sorok dadah dalam dubur

KUALA PILAH – Taktik seorang lelaki yang cuba me­ngaburi pihak polis akhirnya terbongkar apabila hasil ­pemeriksaan X-ray yang dijalankan berjaya menemui dadah yang dimasukkan melalui duburnya.

Helah itu terbongkar pada 2 Mac lalu jam 5 petang di ­jalan besar Terachi menghala ke Kuala Pilah selepas sepasukan anggota polis menahan suspek bersama isterinya ­berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun di tepi jalan.

Suspek yang pada mulanya enggan mengaku ­dibawa ke balai polis berhampiran ­untuk disoal siasat dan kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi melakukan ­pemeriksaan X-ray.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, suspek telah ditahan selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, suspek bersama isteri ditahan ketika hendak pulang ke Batu Kikir de­ngan menunggang motosikal.

“Hasil pemeriksaan air kencing mendapati kedua-­duanya positif dadah. Suspek lelaki positif jenis methamphetamine dan opiate manakala perempuan jenis opiate.

“Sejurus itu, suspek ­ dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan X-ray dan keputusan mendapati terdapat benda asing di dalam ­rektum lelaki. Hasil pengalaman kami, akhirnya ia berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Jaafar berkata, sebanyak sembilan paket plastik berisi serbu disyaki dadah berjaya ­dikeluarkan suspek.

“Setiap satu paket tersebut berharga RM50 dan kesemua­nya berjumlah RM500 ­dengan anggaran kasar berat 15.06 gram. Selepas itu, satu laporan polis dibuat dan kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari sehingga 9 Mac ini.

“Dipercayai, suspek merupakan pengedar kecil-kecilan dan pasaran sekitar Bahau serta Kuala Pilah selain memiliki empat rekod lampau,” katanya.

Katanya, suspek lelaki ­didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati dan seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya serta pengawasan polis selama dua tahun jika sabit kesalahan.

“Manakala isterinya disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 yang boleh dihantar untuk rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) selama dua tahun atau dikenakan Orang Kena Pengawasan (OKP) ­selama dua tahun jika disabit kesalahan.

“Suspek perempuan juga ditahan untuk membantu ­siasatan di bawah Seksyen 39(B) ADB 1952,” katanya.

Malah katanya, ini adalah kes pertama yang menggunakan modus operandi sebegitu dan sanggup mengambil ­risiko dengan memasukkan dadah melalui duburnya bagi mengelak dikesan pihak polis.


'via Blog this'

Tawar khidmat seks di apartmen mewah

Tawar khidmat seks di apartmen mewah - Utara - Sinar Harian:
gro

GEORGETOWN - Enam wanita warga China yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah apartmen mewah di Bukit Dumbar di sini awal pagi semalam.

Operasi dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira jam 12.15 pagi adalah hasil daripada maklumat orang awam dan intipan selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pemeriksaan yang dilakukan di beberapa bilik apartmen berkenaan menemui pelbagai barangan yang disyaki untuk tujuan pelacuran.

Beliau berkata, kesemua wanita yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 29 tahun dan dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan menjadi pelayan seks (GRO) di negara ini.

“Kesemua barang yang dirampas dari apartmen berkenaan dan wanita terbabit dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1959/1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.


'via Blog this'

Murung selepas berkhatan

Murung selepas berkhatan - Selangor & KL - Sinar Harian:
anak

PETALING JAYA - Seorang remaja memerlukan kos rawatan bagi memulihkan anggota sulitnya yang mungkin tidak boleh berfungsi selepas dikhatankan menggunakan peralatan tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

Ibu mangsa, Ummi Kalsom Ahmed, 40, berkata, anaknya yang kini berusia 14 tahun bakal menanggung risiko alat sulitnya tidak dapat berfungsi akibat kejadian berkenaan.

Menurutnya, pada 2008, anaknya mengikuti majlis khatan yang dianjurkan sebuah masjid dengan kerjasama sebuah jabatan agama, bagaimanapun anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun terpaksa dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti apabila mengadu sakit.

“Dia ditahan wad selama dua bulan, doktor ketika itu memaklumkan terpaksa melakukan pembedahan dengan menampal kulit perit pada alat sulitnya selepas ia rosak akibat dijangkiti kuman,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, di sini.

Meskipun sudah empat tahun berlalu, Ummi Kalsom berkata, anaknya kini berada dalam keadaan tertekan.

“Saya mahu meneruskan rawatan, namun sehingga kini, tiada mana-mana pihak yang mahu tampil membantu, malah sejak kejadian itu tiada individu mengakui kesalahan yang menyebabkan kejadian seumpama ini berlaku.

“Saya mahu lihat anak saya pulih dan menjalani kehidupan normal seperti remaja lain yang sedang meningkat dewasa,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Ummi Kalsom di talian 016-3734007.


'via Blog this'

'Saya macam sudah mati!'

'Saya macam sudah mati!' - Semasa - Sinar Harian:
'Saya macam sudah mati!'

KOTA BHARU- ”Saya rasa macam sudah mati, apabila pistol dan parang diacukan ke leher,” kata mangsa, Haris Jusoh, 61, ketika menceritakan detik cemas, semasa rumahnya dimasuki dua lelaki kira-kira jam 5.15 pagi semalam di Kampung Sokor, Kok Lanas, di sini.

Haris yang juga Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Kelantan berkata, semasa kejadian dia bersama isteri, Ani Malek, 51, dan empat anaknya iaitu, Mohd Fadli, 28, Norli, 27, Mohd Fakhrullah, 11, dan Mohd Ridhuan, 13, sedang tidur.

”Saya dikejutkan dengan suara orang memberi salam dan belum sempat pintu dibuka, seorang lelaki bertopeng menendang pintu.

”Kemudian dia mengacukan pistol ke leher dan menyuruh saya diam,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Haris berkata, lelaki itu menggeledah rumahnya sebelum melepaskan satu das tembakan yang terkena pinggang isterinya.

”Pada masa itu saya rasakan diri ini sudah mati sebab itulah saya beranikan diri untuk melawan,” katanya.

Menurutnya, ketika pergelutan, dua das tembakan dilepaskan, manakala rakannya bersenjatakan parang mengambil komputer riba, cincin dan wang RM5,000 sebelum melarikan diri dengan kenderaan pacuan empat roda.

“Mohd Fadli membawa kami ke Hospital Machang untuk rawatan kerana meng­alami kecederaan ketika pergelutan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan kejadian tersebut dan kes masih dalam siasatan.

'via Blog this'

Tukar motor dengan dadah

Tukar motor dengan dadah - Semasa - Sinar Harian:
Dadah

KULIM - Sistem tukar barang melibatkan penagih dadah dan pemilik bengkel haram semakin berleluasa dengan kejadian curi motosikal yang kerap berlaku.

Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan mencuri motosikal dan kemudiannya ditukarkan dengan dadah.

Ketua Balai Polis Kulim, Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, pihaknya kini kerap melakukan pemeriksaan terhadap bengkel yang beroperasi secara haram dalam usaha membanteras kejadian kecurian motosikal.

Menurutnya, cara ini berkesan dalam mengesan pemilik premis yang terlibat dalam kegiatan menjual alat ganti curi.

“Dari pemeriksaan dijalankan, polis berjaya mengenal pasti beberapa bengkel yang terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal dan memproses kereta curi. Semua ini dapat dilakukan dengan kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis.

“Polis mengenal pasti beberapa bengkel haram dan serbuan telah dibuat dan mendapati kegiatan memproses motosikal curi dan menjual alat ganti motosikal curi memang berlaku. Polis akan terus membuat serbuan dan menahan suspek terlibat,” katanya.

Sementara itu, seorang suspek yang ditahan kerana terlibat dalam pelbagai perlakuan jenayah oleh anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) berkata, sistem tukar barang yang dilakukan kebanyakannya melibatkan motosikal curi.

“Antara kerja yang mudah untuk penagih mendapatkan wang adalah seperti ragut dan curi motosikal.

“Kebanyakannya lebih suka mencuri motosikal kerana dalam masa singkat mereka sudah mempunyai modal untuk membeli dadah,” katanya.


'via Blog this'

Ibu percaya Dira masih hidup

Ibu percaya Dira masih hidup - Semasa - Sinar Harian:
Ibu percaya Dira masih hidup

PASIR GUDANG – Biarpun sudah lima hari Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih mesra dipanggil Dira dilaporkan hilang, ibu mangsa percaya anaknya masih hidup.
Roselyn Alan, 25, yakin anaknya kesayangannya itu akan ditemui.

“Perasaan saya tidak tenteram, saya tidak mampu lelap mata kerana runsing memikirkan keadaannya.

“Saya berusaha mendapatkan pandangan pakar perubatan alternatif, mereka mengatakan Dira masih selamat, namun dikurung di sebuah rumah dan dijaga oleh dua individu lain. Sayamerayu Dira dikembalikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Roselyn, keletah Dira yang gemar menyanyi dan mengusik dua adiknya bagaikan terbayang di ruang mata.

“Dia suka makan ayam goreng, jika pulang saya akan masakkan makanan kegemarannya,” katanya.

Roselyn berkata, biarpun Dira tidak mempunyai penyakit serius, namun hatinya runsing kerana anak keduanya itu pernah dimasuki ke unit rawatan rapi (ICU) setahun lalu akibat demam panas.

Sinar Harian kelmarin, melaporkan Dira disedari hilang oleh keluarganya selepas keluar membeli mi segera di kedai runcit Flet Seri Delima, Jalan Suria Bandar, Seri Alam, di sini kira-kira jam 11 pagi, Khamis lalu.

Roselyn berkata, Dira meminta mi segera sebaik sahaja bangun daripada tidur.

Berbekalkan RM4 bersama sekeping nota tertulis mi segera dua bungkus dan telur RM2, Dira keluar ke kedai runcit di blok bersebelahan.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dipercayai dilarikan seorang lelaki dan wanita yang selama ini mencurigakan tinggal berjiran di rumah kosong yang dilelong oleh pihak bank sejak Disember tahun lalu.

Roselyn merayu kerjasama daripada orang ramai terlihat atau terjumpa anaknya supaya menghubungi­nya di nombor 010-8239010 atau ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, polis mengesahkan menahan tiga individu, termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan pada 1 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dua lelaki dan seorang wanita berusia 36 hingga 40 tahun itu ditahan selepas menerima laporan oleh ibu mangsa pada hari kehilangan anak mereka.

“Saya sahkan menerima laporan ini dan polis berjaya menahan tiga individu yang direman sehingga esok (hari ini). Usaha mengesan kanak-kanak ini giat dijalankan di 20 lokasi sekitar bandar raya ini,” katanya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini, semalam.


'via Blog this'

Penjara 10 tahun 'Rasul Melayu' kekal

Penjara 10 tahun 'Rasul Melayu' kekal - Semasa - Sinar Harian: SHAH ALAM - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan ke atas ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad.

Abdul Kahar mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, tiga
tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau merayu terhadap hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu.

Panel tiga hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md. Yusup Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar membuat keputusan itu selepas mereka sebulat suara menolak rayuan
Abdul Kahar, 62, untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya pada 21 Oktober 2009.

Dalam penghakiman mereka, Ibrahim selaku pengerusi berkata pihaknya menolak lapan alasan yang dikemukakan oleh Abdul Kahar bahawa Hakim Abu Zaky Mohammad
telah terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman itu ke atasnya.

Mereka sebaliknya berpendapat hukuman penjara, denda dan sebatan itu sesuai dengan kesalahan perayu mengaku dirinya sebagai rasul yang sangat
serius serta merosakkan akidah umat Islam.

"Dalam mempertimbangkan hukuman, perkara yang perlu diambil kira ialah kepentingan umum serta berat kesalahan.

"Sebaliknya sebab-sebab yang mendorong kepada pemberatan hukuman ialah sejauh mana kesan kesalahan kepada masyarakat dan dan kesesuaian dengan keadaan
jenayah. Dalam kes ini, kesalahan bukan sahaja terhadap dirinya, tetapi perayu juga bertindak menyesatkan orang lain," kata Ibrahim.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata hukuman sebat ke atas Abdul Kahar hanya akan dijalankan selepas dia dirujuk kepada pegawai perubatan dan tidak ada asas untuk
pihaknya campur tangan jika Mahkamah Tinggi memutuskan semua hukuman berjalan secara berasingan.

Sejurus Ibrahim membacakan keputusan itu, anak-anak perempuan Abdul Kahar di galeri awam dilihat berpelukan dan menangis sambil ditenangkan oleh anak lelaki
tertuduh.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Kahar diwakili peguam syarie Musa Awang sementara pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Ketua
Pendakwa Syarie Selangor Abd. Shukor Abdul Hamid serta pegawai pendakwa syarie Siti Fatimah Maulana dan Shafezan Rosli.

Pada 21 Oktober 2009, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan bagi tuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menjelaskan doktrin palsu
dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar saja dan ibadah haji adalah sia-sia dan
merugikan.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan
ini bertentangan dengan ajaran Islam, mengikut Seksyen 8 (a).

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 10 iaitu mempersendakan dengan
perkataan amalan dalam Agama Islam iaitu menyatakan:

"Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang."

Bagi tuduhan di bawah Seksyen 12 iaitu menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan Mufti, Abdul Kahar dijatuhi hukuman
penjara setahun dan denda RM3,000 atau setahun penjara.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 13 iaitu menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul diutus Allah untuk orang Melayu.

Dia juga menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib; memadai dengan melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah haji
itu tidak perlu ditunaikan di Mekah tetapi boleh dikerjakan di mana-mana bumi Allah.

Abdul Kahar yang tidak bekerja didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang,
Ampang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Abu Zaky turut memerintahkan Abdul Kahar dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu dekat sini, pada enam
bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu. - Bernama


'via Blog this'

Seorang lelaki diminta tampil bantu siasatan

Seorang lelaki diminta tampil bantu siasatan - Terengganu - Sinar Harian: MARANG - Polis Terengganu meminta seorang lelaki tampil ke Balai Polis Daerah Marang bagi memberi keterangan kes dadah yang melibatkan penangkapan seorang lelaki yang bekerja sendiri pada tahun lepas.
Pegawai Penyiasat kes berkenaan Insp Ershah Izzani Mohd Isa berkata kegagalan mengesan Mohd Feerdaus Md Ibrahim, 30, yang mampu menjadi saksi polis sedikit sebanyak membantutkan penyelesaian kes tersebut.
"Kita meminta orang ramai atau ahli keluarga Mohd Feerdaus ini dapat memberi kerjasama kerana sehingga sekarang pihak polis masih gagal mengesan beliau," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Jelasnya pihak polis telah mencuba menjejaki saksi di alamat terakhirnya bernombor 616, Jalan Pintasan Gong Kapas, Kuala Terengganu namun sehingga kini masih menemui kebuntuan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali saksi ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Ershah Izzani Mohd Isa di talian 012-9629861 atau balai polis berhampiran.
Mohd Feerdaus diminta untuk membantu kes Muhammad Hirzi Tahir, 27, yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya berhubung penemuan dadah di hadapan Balai Polis Bukit Payung, di sini pada 28 Nov lepas.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

'via Blog this'

Bekas Pegawai Tadbir Negeri menang kes lawan Kerajaan Negeri - Terengganu - Sinar Harian

Bekas Pegawai Tadbir Negeri menang kes lawan Kerajaan Negeri - Terengganu - Sinar Harian:
peguam

KUALA TERENGGANU - Setelah lebih empat tahun berjuang, usaha seorang bekas Pegawai Tadbir Negeri untuk membuktikan bahawa pemecatannya oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 adalah pemecatan yang salah (wrongfull dismissal), akhirnya berjaya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa semalam dalam keputusannya berkata, penamatan plaintif iaitu Wan Mohd Faizul Wan Abas, 37, sebagai Pegawai Tadbir Negeri N41 oleh pihak defenden pertama, iaitu Kerajaan Negeri Terengganu adalah tidak sah.

Plaintif, Wan Mohd Faizul menamakan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai defendan pertama dan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu sebagai defendan kedua manakala dia diwakili peguam, Fathi Aziz Abu Bakar manakala pihak defendan diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri, Rosmawati Husin.

Mohd Yazid ketika membaca keputusannya, memerintahkan agar plaintif diambil semula sebagai Pegawai Tadbir Negeri Gred N41 daripada tarikh penghakiman dan pengesahan plaintif dalam jawatannya sebagai Pegawai Tadbir Negeri tertakluk kepada Perintah Am.

Beliau juga turut memerintahkan agar defendan pertama membayar gaji tertunggak dan sebarang faedah yang dinikmati plaintif dari tarikh plaintif dipecat.

Memandangkan plaintif telah hadir dengan jayanya kursus induksi dan lulus peperiksaan perkhidmatan (Peperiksaan Undang-Undang Kerajaan) dalam tempoh lanjutan percubaan, plaintif juga dikecualikan untuk hadir kursus induksi dan peperiksaan bagi tujuan pengesahan dalam jawatan.

Manakala, permohonan pihak defendan untuk penangguhan pelaksanaan telah ditolak oleh mahkamah.

Sementara itu, Wan Mohd Faizul yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu ketika ditemui berkata, dia amat bersyukur dengan keputusan yang dibuat dan mengharapkan kehidupannya akan kembali seperti sedia kala.

“Selepas ditamatkan perkhidmatan, saya rasa sangat tertekan apatah lagi ia menyebabkan saya menghadapi masalah kewangan selain dicari oleh peguam kerana tidak dapat membayar pinjaman dan sebagainya.

“Alhamdulillah, keputu-san ini merupakan satu bukti bahawa hak saya dikembalikan dan maruah saya tertebus. Saya rasa ini satu pe-ngajaran kepada kerajaan sendiri supaya berhati-hati dan jangan ambil tindakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sebelum ini, beliau bertugas di Pejabat Tanah Besut selama setahun lebih bermula pada tahun 2001, sebelum menjadi Penolong Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu.

Beliau kemudiannya bertugas di Pejabat Tanah Kemaman pada tahun 2004 selama setahun lebih, sebelum bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan dilantik sebagai Pegawai Tambah Sentara, sebelum dipecat pada tahun 2007, dikatakan atas dasar prestasi merosot.

'via Blog this'

Suami isteri nyaris maut - Kelantan - Sinar Harian

Suami isteri nyaris maut - Kelantan - Sinar Harian:
hampir maut

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri nyaris maut dalam kejadian tembak di Kampung Sokor, Kok Lanas di sini semalam.

Kejadian yang berlaku pada jam 5 pagi itu disedari oleh anak mangsa, Norly Haris, 28, yang mendengar pintu dapur rumah ditendang sebelum dua suspek membawa pistol dan parang bertindak masuk ke dalam rumah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa Haris Yusof, 61, mengalami kecederaan di leher manakala isterinya, Ani Malik, 51, cedera di bahagian kiri perut.

“Ketika kejadian seorang suspek yang bertopeng mengacukan pistol ke arah Norly dan mengarahkan supaya dia mendiamkan diri. Suspek cuba mendapatkan ayah Norly yang juga berada di dalam rumah terbabit supaya duduk berdekatan anaknya itu,” katanya kepada pemberita.

Jalaluddin berkata, suspek cuba menembak pintu bilik yang terkunci hingga terbuka dan melepaskan satu das tembakan di dalam bilik itu, ekoran gagal dibuka suspek melepaskan satu das tembakan sehingga terkena perut isterinya, yang ketika itu berada di dalam bilik bersama tiga anaknya, Fakrullah, Fadhillah dan Fikri.

“Tembakan terbabit terkena bahagian perut isterinya dan kedua suspek bertindak melarikan diri dengan membawa komputer riba dan beg duit yang mengandungi RM 5,000, kad pengenalan dan kad bank,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan mangsa (Haris) terdengar suara lelaki memberi salam tetapi dia tidak membuka pintu dan ekoran dari tindakan itu, suspek menendang pintu rumah mangsa.

“Seorang bersenjatakan parang manakala seorang bertopeng bersenjatakan pistol bertanyakan mengenai anak mangsa bernama Fikri namun pada ketika itu anaknya tiada di rumah.

“Mangsa dikasari suspek dan berlaku pergelutan hingga suspek tertembak mangsa dan terkena pada bahagian leher dan seterusnya menggeledah bilik tidur mangsa sebelum melepaskan tembakan ke bilik yang berkunci sehingga menyebabkan terkena di perut isteri mangsa,” katanya.

Setakat ini polis sudah mengenal pasti senjata yang digunakan suspek yang dipercayai jenis revolver .38 dan mengesan suspek yang berjaya meloloskan diri.

Sementara itu isteri mangsa, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut berada dalam keadaan stabil.

Ani berkata, dia bersyukur masih selamat walaupun trauma dengan kejadian terbabit.

“Ini merupakan pengalaman yang ngeri dan menakutkan dan saya tidak sangka ia melibatkan keluarga saya.

“Mujurlah anak-anak tidak mengalami sebarang kecederaan dan saya serahkan kes ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

'via Blog this'

Warga asing dicekup tuba ikan - Pahang - Sinar Harian

Warga asing dicekup tuba ikan - Pahang - Sinar Harian:
Deputi-Superitendan-Wan-Mohd-Zahari-Wan-Busu

CAMERON HIGHLANDS - Seorang lelaki warga Indonesia ditahan pihak berkuasa di sini bagi membantu siasatan berhubung kes pencemaran air di Sungai Kuala Terla minggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki berusia 28 tahun itu didakwa menggunakan racun kulat jenis Tiodan pada 28 Februari lalu untuk menuba ikan di sungai terbabit.

Menurutnya, Perbadana Air Pahang Berhad (Paip) Cameron Highlands kemudian membuat laporan polis berkaitan pencemaran itu bagi menyiasat punca masalah berkenaan berlaku.

“Pencemaran itu yang mengakibatkan ikan di sungai mati mendadak serta turut menyebabkan sebuah loji rawatan air yang membekalkan keperluan asas kepada lebih 20,000 penduduk sekitar Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap dan Kea Farm terpaksa ditutup sejak Selasa lepas.

“Ujian ke atas sampel bangkai ikan dilakukan Jabatan Kimia menunjukkan kehadiran racun itu sebagai punca kematian ikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat kepada punca air dan binatang.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama seminggu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk membantu siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan kes.

“Kita memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran berlaku,”katanya.

Kematian ikan di sungai itu mula dikesan Selasa lalu dan berikutan itu, loji rawatan utama di Kampung Terla ditutup sejak jam 11.30 pagi hari sama berikutan bimbang berlaku pencemaran air dan memudaratkan kesihatan penduduk.

Akibatnya, lebih 20,000 penduduk di sekitar Kampung Raja, Kampung Kuala Terla, Tringkap dan Kea Farm terpaksa mendapatkan bekalan melalui lori tangki air yang disediakan Paip.


'via Blog this'

Gadai nyawa selamatkan adik

Gadai nyawa selamatkan adik - Kelantan - Sinar Harian:
terbakar

SELISING - Tindakan pantas seorang abang, Mohd Arif Roslan, 11, yang sanggup bergadai nyawa berjaya menyelamatkan adik tirinya, Mohd Anas Mohamed yang berusia sebulan ketika api marak membakar rumah mereka di Taman Desa Atira, Bukit Tanah di sini.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.15 pagi itu, Mohd Arif bersama ibunya, Wan Hanim Wan Suhaimi, 46, bersama Mohd Anas dan Mohd Azam, 17, nyenyak tidur di ruang tamu bahagian tingkat bawah rumah mereka.

Mohd Arif yang merupakan murid darjah lima Sekolah Kebangsaan Kamil Tiga berkata, ketika kejadian itu dia dikejutkan dengan bunyi bising dan badannya terasa panas.

“Bila buka mata, saya lihat api sudah menyala daripada bahagian tingkat atas rumah.

“Pada masa itu, saya tengok ibu dan abang sudah panik serta menyelamatkan dokumen penting, jadi tanpa berlengah saya terus mengambil adik keluar dari rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian, di sini semalam.

Mohd Arif berkata, tanpa sempat menyarungkan baju dia terus membawa adiknya itu keluar dari rumah kemudian diikuti ibu dan abangnya.

Sementara itu, Wan Hanim berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada lilin yang dipasang kerana elektrik di rumah yang baru dua minggu didudukinya itu sudah dipotong.

Dia yang merupakan kakitangan Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Jawa Dua, mendakwa elektrik tersebut dipercayai dipotong ketika mereka sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur Khamis lalu kerana apabila pulang ke rumah petang kelmarin, elektrik sudah tiada.

“Sebelum ini, pihak berkenaan meminta saya menjelaskan tunggakan berjumlah RM800 kerana tuan rumah sudah meninggal dunia dan saya sudah menjelaskan separuh daripadanya tetapi pihak tersebut meminta pula surat kematian.

“Kami sudah usahakannya tetapi kerana masalah tertentu ia masih lagi dalam proses untuk mendapatkan surat pengesahan kematian tersebut, dan saya tidak menyangka pihak berkenaan sanggup berbuat demikian sebelum bertemu dengan saya terlebih dahulu,” katanya.

Dia yang masih terkejut dengan kejadian tersebut, bersyukur kerana anak-anaknya selamat walaupun bahagian ruangan di tingkat atas rumahnya habis terbakar.

Ketika kejadian tersebut, suami Wan Hanim tiada di rumah kerana berada di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam kira-kira 12.25 pagi.

“Kerugian dianggarkan berjumlah RM10,000 kerana ia hanya melibatkan ruangan di bahagian atas rumah sahaja, manakala puncanya kami percayai berpunca daripada lilin yang dipasang oleh keluarga tersebut,” katanya.

Menurutnya, sebanyak dua buah jentera dan enam anggota bergegas ke tempat kejadian kerana ia melibatkan kawasan perumahan.

Kaharudin berkata, kepada orang ramai yang menggunakan lilin, diharap berhati-hati dengan meletakkan ia di tempat yang tidak berisiko.

“Contohnya elakkan letak lilin di atas bekas plastik ataupun di kawasan yang barangnya senang disambar api,” katanya.


'via Blog this'

Maut rempuh babi hutan

Maut rempuh babi hutan - Terengganu - Sinar Harian:
mangsa babi hutan
mangsa babi hutan2

JERTIH - “Pada malam sebelum kejadian, adik ipar saya sudah menunjukkan pe-rubahan, dia enggan makan malam dan tidak mahu menjamah buah mangga yang dikopek suaminya.

“Selalunya, jika tidur awal pun dia akan bangun makan tetapi malam kelmarin dia tidak mahu makan walaupun suaminya menghantar buah mangga hingga ke bilik tidur.”

Demikian kata kakak ipar mangsa, Hairul Suzana Che Hassan, 30, menceritakan kelakuan pelik adik iparnya sebelum maut dalam kemalangan awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, kereta Perodua Myvi dipandu adiknya, Che Mohd Azmil Che Hassan, 24, terbabas ke laluan bertentangan selepas merempuh babi hutan yang melintas tiba-tiba di Kampung Anak Ikan, di sini.

Lebih malang, kereta dinaiki Che Mohd Azmil dan isterinya, Noor Azira Md Nayan, 24, bertembung pula dengan Perodua Kelisa dari Kuala Terengganu dipandu Marzita Mat Yahya, 31.

Kata Hairul Suzana, kemalangan yang berlaku itu kejadian kedua membabitkan kereta adiknya.

“Kejadian pertama berlaku Disember lalu di Kuantan, Pahang apabila kereta yang dipandu adik saya melanggar kayu di atas jalan raya pada waktu malam menyebabkan kereta tersebut mengalami kerosakan teruk tetapi dia hanya cedera ringan.

“Namun, kemalangan kali ini paling tragis apabila menyebabkan isterinya meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, pemandu Perodua Kelisa yang merempuh kereta mangsa, Marzita, kakitangan sebuah bank di Kuala Lumpur memandu seorang diri dari ibu kota itu untuk pulang ke kampung di Kampung Tok Donik, Kubang Bemban, Jertih.


Beria-ia mahu pulang ke kampung

Menurut Hairul Suzana, pada Jumaat lepas, adik iparnya, Noor Azira beria-ia mahu pulang ke kampungnya di Kuala Ketil, Kedah untuk menemui keluarga dan datuknya yang baru pulang menunaikan umrah.

“Dia memang beria-ia mahu pulang ke Kedah hinggakan meminta izin suaminya untuk pulang dengan bas sekiranya suami tidak mahu pulang. Tetapi, adik saya bersetuju pulang.

“Selepas pulang dari Kedah, mereka singgah di rumah mak saya di Kampung Kepala Gajah, Renek sebelum pulang Seberang Takir, Kuala Terengganu kerana bertugas pagi ini,” katanya.

Hairul Suzana berkata, Noor Azira bertugas sebagai penyelia Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kuala Terengganu manakala adiknya (suami mangsa) menjalankan perniagaan muat turun kad prabayar di Cherating, Pahang.

Katanya, pasangan itu mendirikan rumah tangga September tahun lalu dan tinggal berasingan namun pulang ke Kuala Terengganu setiap tiga hari sekali.


Dua maut dalam kejadian berasingan

Kemalangan maut yang berlaku di Kampung Anak Ikan yang meragut nyawa Noor Azira itu kejadian kedua di Besut semalam.

Satu lagi kemalangan berlaku di Jalan Tembila–Kampung Raja di Kampung Paya Rawa dekat Kampung Raja, apabila seorang pemandu Proton Iswara Aeroback maut kemalangan dengan sebuah kereta lain.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, Mohamad Zain Junus, 51, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

“Isteri dan empat anaknya cedera parah manakala pemandu kereta Proton Wira Aeroback, Mohd Zaitu Md Zahid, 45, yang tinggal di Rumah Awam Kos Rendak Anak Ikan dekat Tok Dor juga cedera parah,” katanya.

Menurutnya, kemala-ngan berlaku dipercayai kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Mohd Zaitu keluar dari simpang Sekolah Menengah (SM) Vokasional Besut yang membelok ke arah Kuala Terengganu tanpa memberhentikan kereta lalu bertembung dengan kereta yang
dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kampung Raja.

Akibat pelanggaran berkenaan, mangsa tersepit di dalam kereta dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.


Baru lepas makan kenduri

MOHAMAD Zain yang maut selepas kereta dipandu bersama isteri dan empat anak bertembung kereta lain baru sahaja pulang daripada majlis kenduri di rumah bapa saudaranya di Kemaman.

Bapa saudara mangsa, Hussin Senik, 66, berkata, anaknya saudara itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Baru Pantai Mek, Kota Bharu.

Menurutnya, dia menaiki kenderaan berasingan bertolak dari Chenih, Kemaman kira-kira jam 10 pagi kelmarin dan mereka berpecah di Kuala Terengganu apabila mangsa mengambil keputu-san untuk pulang melalui jalan pantai.

“Saya bersama kumpulan lain pula pulang melalui jalan Sungai Tong dan mendapat berita kemalangan itu ketika kami sudah sampai di Pasir Putih, Kelantan lalu berpatah balik ke Hospital Besut,” katanya.

Hussin berkata, anak saudaranya itu bekerja dengan sebuah syarikat swasta manakala isterinya tidak bekerja.


Tidak jumpa jalan ke rumah saudara

KATANYA, dia tidak menyangka kejadian arwah sesat dan tidak menemui rumah bapa saudara sehari sebelum itu rupa-rupanya tanda perkara tidak baik akan berlaku.

Menurutnya, ketika sampai di Chenih, Mohamad Zain lupa jalan ke rumah saudaranya itu malah dia sudah masuk semua jalan namun tetap tidak berjumpa menyebabkan dia terpaksa diambil sedangkan dia sudah biasa ke rumah tersebut.

Selain isteri, Bidah Junuh, 45, empat lagi anak Mohamad Zain yang duduk di kerusi belakang iaitu Sukri, 14, Mohd Aidey Izham, 11, Mohd Azwa, 6, dan Nur Sarah Liyana, 4 mengalami kecederaan parah.


'via Blog this'

Komputer riba tak dikebas

Komputer riba tak dikebas - Melaka & NS - Sinar Harian:
Komputer riba tak dikebas

ALOR GAJAH - Kepulangan satu keluarga selepas menghantar dua anak mereka pulang ke sekolah berasrama dikejutkan dengan keadaan rumah berselerakan akibat dipecah masuk di Kampung Ayer Paabas, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian antara jam 3 petang hingga 9 malam itu, Dasimah Abd Aziz, 42, bersama suami, Rosdi Rahim, 42, dan anak bongsu terkejut serta tidak menjangka keja­dian seumpama itu berlaku kerana pintu rumah masih berkunci.

“Jika dilihat dari luar seperti tiada apa berlaku kerana pintu masih berkunci tetapi sebaik masuk ke rumah saya mula rasa aneh apabila melihat beberapa kedudukan barang dalam rumah beralih tempat.

“Apabila masuk ke bilik, kami dapati semua pakaian berselerakan. Saya kemu­­dian­nya terus mencari duit yang ditinggalkan dalam laci dan barang kemas dalam timbu­­­­nan baju, tetapi semuanya sudah dikebas perompak.

“Bagaimanapun, bersyukur apabila bilik anak-anak tiada apa yang hilang. Manakala tingkap di bilik belakang yang dijadikan tempat menyimpan barang didapati sudah diumpil,” katanya.

Menurutnya, dia berasa hairan kerana perompak berkenaan hanya mengambil barang kemas, wang dan sebuah telefon bimbit sedangkan terdapat dua komputer riba yang tidak diusik.

“Peliknya, tiada barang lain yang diambil malah terdapat dua komputer riba di ruang tamu dan di rak pakaian dalam bilik tetapi tidak diusik,” katanya.

Dasimah berkata, perompak berkenaan dipercayai menggunakan pengaut longkang yang terdapat di belakang rumahnya untuk mengumpil besi tingkap.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, ketika dihubungi mengesahkan kejadian pecah masuk rumah yang berlaku di Kampung Lanjut Manis dan polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti suspek.

Dianggarkan mangsa kerugian kira-kira RM10,000.


'via Blog this'

Rakyat Malaysia antara 7 cedera letupan bom di Tak Bai

Rakyat Malaysia antara 7 cedera letupan bom di Tak Bai - Global - Sinar Harian: "BANGKOK - Seorang rakyat Malaysia adalah antara tujuh orang yang cedera dalam serangan bom di Tak Bai, Narathiwat, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Fauzi Awang, 40, cedera ringan di lengan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital Tak Bai.

Ketua Polis Tak Bai Pol Kol Nittinai Langyanai berkata seorang lelaki tempatan yang pada mulanya cedera dalam serangan 10.30 pagi di Pengkalan Perahu, Tak Bai, meninggal dunia di hospital.

Enam lagi yang cedera terdiri daripada empat anggota tentera dirawat di Hospital Narathiwat Ratchanakering dan dua lelaki tempatan dirawat di Hospital Tak Bai.

Ketua Polis Tak Bai itu berkata lima kilogram bom buatan sendiri diletupkan menggunakan satu walkie-talkie semasa empat anggota tentera itu berehat di kawasan itu.

Lebih daripada 5,000 orang terkoorban sejak kumpulan pemisah melancarkan kempen bersenjata kerana memperjuangkan kemerdekaan tiga wilayah selatan -
Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lalu. - Bernama"

'via Blog this'

Wanita sambung legasi edar dadah suami ditahan

Wanita sambung legasi edar dadah suami ditahan - Semasa - Sinar Harian: KUALA TERENGGANU - Seorang wanita sanggup mengambil risiko untuk menanggung kehidupan sehariannya dengan menyambung legasi pengedaran dadah suaminya yang kini telah meringkuk tiga tahun dalam penjara.

Bagaimanapun, jalan pintas yang diambil oleh ibu kepada tiga orang anak ini terbongkar setelah ditahan di rumah sewanya dalam satu operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu di sekitar Marang, Rabu (29 Februari) lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata bertindak atas maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah wanita berumur 44 tahun itu pada pukul 3.30 pagi di Taman Sri Binjai, Bukit Payung Marang.

"Hasil siasatan lanjut yang dijalankan di dalam rumah suspek ketika itu, polis menemui enam botol serbuk putih yang dipercayai heroin dan 30 biji pil kuda disorokkan dalam beg tangan miliknya. Selain itu, pihak polis turut menyita wang tunai berjumlah RM 2,000 yang dipercayai hasil jualan dadah dan sebuah kereta Proton Wira yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata ketika ditahan wanita yang bekerja sambilan mengambil upah menjahit itu sedang tidur bersama tiga lagi anak lelakinya yang berusia 17, 15 dan 10 tahun.

Roslan berkata suspek mengaku menjalankan kegiatan itu lebih dua tahun lepas setelah suaminya ditahan atas kesalahan mengedar dadah pada April 2009 bagi meneruskan kehidupan sekeluarga.

Suspek yang berasal dari Kuala Berang juga merupakan pengedar aktif sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu kini ditahan reman sehingga 13 Mac bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Susulan penangkapan dan maklumat wanita berkenaan, polis hampir menangkap ahli rangkaiannya di Wakaf Tapai Marang kira-kira 8.30 malam keesokan harinya namun suspek itu melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak polis di lokasi berkenaan.

Sementara itu, dalam operasi yang sama, seorang penoreh getah ditahan kerana mengedar dan memiliki dadah jenis heroin dan pil kuda. Lelaki yang masih bujang itu merupakan penagih ditahan kira-kira pukul
4 pagi di Kampung Felda Belara, Kuala Terengganu.

"Hasil siasatan lanjut ke atas suspek, polis berjaya merampas dua botol heroin dan 70 biji pil kuda dalam kereta suspek," kata Roslan. - Bernama

'via Blog this'