Search This Blog

Monday, March 5, 2012

Putin kembali Presiden Rusia, pembangkang protes

Putin kembali Presiden Rusia, pembangkang protes - Global - Sinar Harian:
Vladimir Putin

MOSCOW - Vladimir Putin mengisytiharkan beliau telah memenangi pemilihan Presiden Rusia, yang dicemari dengan dakwaan wujud penipuan dan penyelewengan besar-besaran dalam proses pengundian, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Putin kembali memegang jawatan tertinggi negara itu selepas menyandang kerusi perdana menteri selama empat tahun.

Putin sebelum menjadi perdana menteri merupakan Presiden Rusia. Perlembagaan Rusia membolehkan seseorang kembali bertanding jawatan presiden selepas 'berehat' selama empat tahun.

Pungutan suara di akhir proses pengundian dan keputusan awal menunjukkan Putin memperoleh 60 peratus undi.

Maklumat awal dikeluarkan suruhanjaya pilihan raya, dengan keputusan lebih separuh pusat pengundian sudah diketahui, menunjukkan Putin memperoleh 64 peratus undi, yang sudah cukup untuk kemenangan pusingan awal.

Pesaing terdekat beliau, Gennady Zyuganov hanya memperoleh 17 peratus undi.

Tiga calon lain hanya menerima undi satu digit.

Pada sidang media selepas proses pengundian ditutup, Zyuganov menyifatkan pemilihan kali ini sebagai tidak adil dan tidak berbaloi.

Putin memberitahu penyokongnya pada satu perhimpunan di sini bahawa mereka telah menang dalam persaingan terbuka yang bersih.

Pembangkang mendakwa wujud penipuan dalam proses pengundian dengan ramai mengatakan ada yang mengundi dua kali.

Justeru, mereka mahu mengadakan protes besar-besaran di Moscow hari ini.


'via Blog this'

Kereta api bertembung ragut 15 nyawa

Kereta api bertembung ragut 15 nyawa - Global - Sinar Harian: "WARSAW - Sekurang-kurangnya 15 terkorban manakala lebih 50 cedera selepas dua kereta api penumpang bertembung di kawasan luar bandar Szczekociny selatan Poland, kelmarin.

Jurucakap perkhidmatan kereta api Poland menyatakan dua buah kereta api yang membawa kira-kira 350 penumpang itu dipercayai berada dalam landasan yang sama tetapi pada arah bertentangan semasa insiden menggemparkan tersebut berlaku.

Dalam satu kenyataan semalam, perdana menteri Donald Tusk berkata, kejadian nahas itu adalah paling terburuk sejak 1990.

“Ia adalah tragedi mengerikan dan mencabar kecekapan anggota penyelamat. Kami menjangka angka korban akan meningkat kerana usaha mencari dan menyelamat penumpang tersepit masih diteruskan,” menurut salah seorang anggota pemadam kebakaran.

Pada 1990, seramai 16 terbunuh selepas dua kereta api bertembung di Ursus, pinggir bandar Warsaw."

'via Blog this'

Indonesia hantar pulang pembantu rumah bermasalah dari Amman, Jordan

Indonesia hantar pulang pembantu rumah bermasalah dari Amman, Jordan - Global - Sinar Harian: JAKARTA - Indonesia mulai Sabtu menghantar pulang lebih 30 pembantu rumah negara itu dari Amman, Jordan dalam usaha menangani masalah yang mereka hadapi dengan majikan.

Kedutaan Besar Indonesia di Amman menguruskan penghantaran pulang melalui empat penerbangan iaitu pada Sabtu, Ahad, Isnin dan 13 Mac, Kementerian Luar Negeri Indonesia berkata dalam kenyataan, Sabtu.

Pada masa ini 332 orang pembantu rumah Indonesia di tempatkan di pusat perlindungan Kedutaan Besar Indonesia di Amman.

Kekangan utama yang dihadapi kedutaan besar itu ialah sistem kafalah yang digunakan di Jordan dan di Timur Tengah pada umumnya, di mana pihak imigresen Jordan sebelum memberi permit keluar kepada pembantu rumah terbabit, akan memeriksa dengan majikan mereka dan jika majikan tidak memberi kebenaran kerana sebab-sebab tertentu, mereka akan tertahan di kedutaan besar itu.

"Persoalan yang dihadapi Kedutaan Besar Indonesia di Timur Tengah, pada umumnya ialah banyak majikan menahan pembantu rumah Indonesia dengan alasan kontrak mereka belum tamat atau ada tuduhan pencurian," kata kementerian itu.

Pihak Indonesia berulang kali mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkaitan di Jordan untuk mengatasi masalah itu kerana jumlah pembantu rumah yang dimasukkan ke pusat perlindungan Kedutaan Besar Indonesia adalah banyak dan proses penyelesaiannya memakan masa yang lama.

Sepanjang 2011, Kedutaan Besar Indonesia di Amman memberi perlindungan, menghantar pulang dan menyelesaikan 599 kes pembantu rumah Indonesia yang menghadapi pelbagai masalah termasuk tidak dibayar gaji, penyiksaan, gangguan seksual, masa kerja yang melebihi atau kurang dari masa kontrak, tinggal lebih masa kerana permit tinggal tidak diperbaharui majikan dan masalah-masalah kesihatan.

Daripada 332 pembantu rumah yang meminta perlindungan ke kedutaan besar, 200 adalah mereka yang pergi ke negara itu selepas Indonesia melaksanakan moratorium penghantaran pembantu rumah ke Jordan pada 29 Julai, 2010.

"Mereka dikirim oleh agen pekerjaan swasta dan individu yang tidak bertanggung jawab," kata kementerian itu. - Bernama

'via Blog this'

Pusat simpanan senjata Congo letup, 200 maut

Pusat simpanan senjata Congo letup, 200 maut - Global - Sinar Harian:
congo letupan4mac

KINSHASA - Sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh manakala sekitar 1,500 lagi cedera berikutan letupan besar di kawasan pusat simpanan senjata di ibu negara Congo, Brazzaville, hari ini.

Kesan letupan turut dirasai di bandar raya Kinshasa, sepanjang sempadan Republik Demokratik Congo.

Beratus-ratus orang turut dilaporkan cedera dalam letupan ini, lapor media asing.

Laporan BBC menyebut, penduduk di timur Brazzaville mula meninggalkan bandar raya itu sebaik letupan kedengaran.

Letupan bermula pada sebelah pagi dan terus kedengaran sehingga awal petang, sekali gus mencetuskan perasaan panik di kalangan penduduk di kedua-dua Brazzaville dan Kinshasa.

Meskipun Congo pernah menyaksikan penggulingan kuasa dan perang saudara pada masa-masa lalu tetapi ia dikatakan aman sejak 1990an.

Agensi berita AFP pula memetik diplomatik asing berkata, "sekurang-kuangnya 150 orang terbunuh di hospital tentera dan sekitar 1,500 orang cedera, sesetengah daripada mereka sangat serius."


'via Blog this'

Api mamah dada

myMetro | Api mamah dada: ANGKAT...polis mengangkat mayat mangsa, Paranjothi (gambar kecil), semalam.
ANGKAT...polis mengangkat mayat mangsa, Paranjothi (gambar kecil), semalam.
SIASAT...anggota forensik bomba menjalankan siasatan.
SIASAT...anggota forensik bomba menjalankan siasatan.

ALOR SETAR: “Saya terkejut mendengar jeritan jiran yang berteriak ‘api...api’ lalu berlari ke luar rumah bersama beberapa jiran lain untuk memeriksa.

“Selepas menyedari suara itu dari tingkat empat, kami bergegas naik dan melihat kepulan asap keluar melalui pintu sebuah rumah. Saya bersama jiran memecahkan pintu rumah terbabit untuk melihat mungkin ada mangsa terperangkap,” kata Ketua Blok I, Mohd Rejab Hashim, 52.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi di Flat Taman Setia Berjaya di sini, semalam, seorang pemandu lori berusia 41 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan terbakar pada dada sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Difahamkan, ketika kejadian R Paranjothi tinggal seorang diri kerana cuti sakit manakala isterinya keluar bekerja. Tiga anaknya berusia lapan hingga 12 tahun, berada di sekolah.


Mohd Rejab berkata, sebaik memasuki rumah berkenaan, dia ternampak api membakar kusyen dalam rumah itu sebelum menyuruh seorang rakannya mengambil air untuk memadamkannya.


'via Blog this'

9 tentera maut bertempur dengan anggota al-Qaeda

myMetro | 9 tentera maut bertempur dengan anggota al-Qaeda: "ADEN: Kumpulan al-Qaeda semalam cuba melepasi pondok tentera di wilayah Abyan di Yaman, mencetuskan kejadian berbalas-balas tembakan, menyebabkan sembilan tentera terbunuh dan beberapa yang lain ditawan.

Pegawai kerajaan dan perubatan berkata, pertempuran yang berlaku di daerah Kud, Abyan itu turut menyebabkan enam anggota tentera cedera. “Kami menerima enam mayat tentera,” kata pegawai perubatan hospital tentera Bashib di selatan bandar raya Aden.


Seorang pegawai tempatan di Kud berkata, anggota bersenjata al-Qaeda membawa lari tiga mayat anggota tentera yang lain, bersama-sama askar kerajaan yang mereka tawan. - AFP"

'via Blog this'

Korban letupan loji kimia China meningkat 25 orang

myMetro | Korban letupan loji kimia China meningkat 25 orang: "BEIJING: Jumlah kematian akibat letupan di loji kimia di utara China minggu lalu meningkat kepada 25 orang, kata akhbar kerajaan mengenai nahas industri terbaru yang melanda negara itu.

Kira-kira 46 lagi cedera dalam letupan dekat bandar raya Shijiazhuang, ibu negeri wilayah Hebei, Selasa lalu, lapor agensi berita rasmi Xinhua, memetik kenyataan Pentadbiran Kerajaan mengenai Keselamatan Kerja.


Sebelum ini, pihak berkuasa berkata, sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan puluhan lagi hilang.

Kesan letupan itu turut dirasai sekurang-kurangnya di tiga kampung berhampiran. Gambar mengenai letupan itu yang dimuat naik di Internet menunjukkan kawah besar di kelilingi sisa runtuhan. Dinding beberapa bengkel yang mengelilingi kawasan itu turut musnah. - AFP"

'via Blog this'

Abu Sayyaf didakwa dalang serangan bom di Jolo

myMetro | Abu Sayyaf didakwa dalang serangan bom di Jolo: "ZAMBOANGA: Kumpulan militan Islam yang mempunyai kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda dikatakan bertanggungjawab melakukan serangan bom yang menyebabkan dua penduduk terbunuh dan 13 lagi cedera di selatan Filipina.

Ketua Polis Wilayah, Superintenden Kanan Antonio Freyra berkata, pihaknya mengesyaki kumpulan Abu Sayyaf mungkin melakukan serangan itu di selatan Pulau Jolo, kelmarin.
Seorang peniaga jalanan dan guru terbunuh dan 13 yang lain cedera apabila bom buatan sendiri meletup di Jolo, kubu kuat Abu Sayaff sejak dekad lalu.

“Ia mungkin tindakan membalas dendam ke atas kematian anggota mereka, yang ditembak polis minggu lalu,” katanya. - AFP"

'via Blog this'

Interpol buru 37 rakyat Malaysia

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:


KUALA LUMPUR 4 Mac - Seramai 37 rakyat Malaysia termasuk enam wanita kini diburu oleh polis antarabangsa (Interpol) kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah serius yang berlaku di dalam dan luar negara sejak empat tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, usaha menjejaki suspek yang dipercayai sudah menyusup ke luar negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpol menemui kesukaran kerana mereka yang diburu ini licik menyembunyikan diri dengan melakukan perubahan fizikal pada penampilan dan identiti bagi mengelak dikesan.

Suspek berusia antara 21 dan 69 tahun itu diburu kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan dan kegiatan penyeludupan dadah membabitkan nilai ratusan juta ringgit di negara ini dan juga luar negara seperti Indonesia, Brunei serta Amerika Syarikat.


'via Blog this'

Kes penyakit Parkinson meningkat secara mendadak

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


KUALA LUMPUR 4 Mac - Penyakit Parkinson, iaitu gangguan neurodegeneratif (kemerosotan saraf) merupakan ancaman yang membimbangkan berikutan peningkatan mendadak kesnya sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Penyakit Gangguan Pergerakan Malaysia, Dr. Chew Nee Kong berkata, peningkatan pesakit daripada 30,000 pada beberapa tahun lalu kepada kira-kira 60,000 pada tahun lepas menunjukkan betapa ia perlu diambil perhatian.

Katanya, antara faktor utama peningkatan kes baru penyakit tersebut adalah sikap sambil lewa terhadap simptom-simptom Parkinson seperti terketar-ketar, pergerakan perlahan (bradykinesia) dan otot kaku yang disalah anggap sebagai normal bagi seseorang yang meningkat usianya.

"Ramai juga yang mengandaikan bahawa otot yang kaku atau kekurangan daya pergerakan adalah sebahagian daripada proses meniti hari tua, padahal semua ini simptom Parkinson.


'via Blog this'

Pekerja kilang sukan di Bangladesh didakwa didera

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 4 Mac - Para pekerja yang menghasilkan pakaian sukan untuk jenama Puma, Nike dan Adidas di Bangladesh mendakwa didera secara fizikal, lapor sebuah akhbar, di sini hari ini.

Menurut The Observer, mereka yang bekerja di kilang-kilang pembuat pakaian untuk tiga jenama sukan yang menaja Sukan Olimpik 2012 itu dilaporkan telah dipukul, dimaki dan mengalami gangguan seksual.

''Dua pertiga daripada pekerja kilang yang membekal pakaian Puma yang ditemubual mendakwa telah dipukul, ditampar, ditolak atau rambut mereka ditarik,'' lapor akhbar itu.

Kebanyakan pekerja wanita di sebuah kilang yang menghasilkan barangan sukan Adidas pula mendakwa, mereka perlu menanggalkan dupatta atau skaf masing-masing, di mana kes itu turut disiasat oleh badan amal, War on Want.


'via Blog this'

Lelaki Nigeria terjun tingkat empat diberkas

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 4 Mac - Cubaan seorang lelaki warga Nigeria terjun dari tingkat empat sebuah rumah bandar (townhouse) di Taman Aman Siera dekat sini malam tadi, untuk melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen sia-sia apabila dia berjaya diberkas.

Dalam serbuan pukul 1.15 pagi itu, suspek berusia 28 tahun terjatuh di atas bumbung tingkat bawah kediaman tersebut malah masih mampu berlari untuk memanjat pagar sebelum ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati dia yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial telah tinggal melebihi masa.

Lelaki itu dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad, seramai 63 anggota dan pegawainya terlibat dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) bermula pukul 11.45 malam.


'via Blog this'

Empat 'lubuk' GRO digempur

Utusan Malaysia Online - Jenayah:



Sebahagian gadis pelayan pelanggan ditahan dalam operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat di Seremban, semalam.


SEREMBAN 4 Mac - Empat 'lubuk' pusat hiburan terbesar menyediakan gadis pelayan pelanggan (GRO) di Taman AST dekat sini di gempur polis lagi malam tadi dan hasilnya seramai 102 wanita warga asing ditahan.

Kali terakhir Taman AST diserbu polis adalah pada 9 Januari lalu yang berjaya menahan 14 GRO warga Vietnam.

Kejayaan terbaru polis itu kali ini melibatkan seramai 90 wanita warga China, 11 dari Vietnam dan Filipina, seorang.

Turut ditahan dalam operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu ialah 103 pelanggan lelaki yang berusia 20 hingga 30 tahun, selain empat penjaga premis.


'via Blog this'

Maut selepas rempuh kereta

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


SHAH ALAM 4 Mac - Seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis secara melawan arus maut setelah merempuh sebuah kereta di Persiaran Masjid di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan pukul 2.15 pagi itu, mangsa, Aidil Hamidi Ismail, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta itu datang dari arah Bulatan Setia Jasa dan dipercayai cuba berpatah balik di laluan bertentangan selepas menyedari sekatan polis kira-kira 200 meter di hadapan.

Ekoran daripada tindakan itu, mangsa dipercayai telah merempuh kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia lingkungan 20-an.


'via Blog this'

Tangki air berkarat diturunkan

Kosmo! Online - Negara:



SOON HAI (tengah) bersama penduduk ketika melawat kerja-kerja menurunkan tangki air di Rumah Pangsa Taman Setia Jaya, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Lebih 300 penghuni Blok G, Rumah Pangsa Taman Setia Jaya di Jalan Langgar di sini lega apabila tangki air berkarat dan hampir pecah di bumbung bangunan empat tingkat itu diturunkan di sini mulai semalam.

Kerja-kerja menurunkan tangki air berusia 22 tahun itu adalah inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri Derga, Dr. Cheah Soon Hai yang menampung perbelanjaan berjumlah RM6,000 bagi tujuan itu.

Menurut Soon Hai, kontraktor yang dilantik memerlukan masa selama tiga hari untuk menurunkan kepingan tangki air yang sudah berkarat satu demi satu.

“Tangki air ini sudah dikosongkan sejak sebulan lalu kerana keadaannya yang tidak selamat digunakan. Selain itu, kedudukannya betul-betul di tepi bangunan juga mengancam nyawa penduduk sekiranya terjatuh,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat kontraktor menjalankan kerja-kerja menurunkan kepingan tangki air berkarat itu di sini semalam.

Menurut Soon Hai, pihaknya telah memohon bantuan daripada kerajaan negeri sejak lapan bulan lalu untuk melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah penghuni rumah pangsa itu namun tidak ada maklum balas positif diterima.


'via Blog this'

Pemandu lori mati terbakar

Kosmo! Online - Negara:



KEADAAN rumah Paranjothi yang terbakar di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang pemandu lori ditemui mati dengan kesan terbakar dipercayai akibat tertidur ketika menghisap rokok di sebuah rumah di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar di sini semalam.

Mangsa R. Paranjothi, 41, (gambar kecil) ditemui terbaring dengan kesan terbakar di beberapa bahagian badan berhampiran bilik air di dapur rumahnya pada pukul 8.30 pagi.

Menurut isteri mangsa, R. Ramgama, 33, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja sebagai pembantu gerai makan di kedai kakaknya di Lorong Merpati di sini.

“Sebelum keluar rumah saya beritahu suami supaya makan ubat, berehat, kunci rumah dan tidak perlu pergi kerja jika tidak sihat,” kata Ramgama.

Menurutnya, dia mengesyaki suaminya yang makan ubat demam mungkin menghisap rokok sambil baring menyebabkan api rokok itu terkena selimut atau kusyen di ruang tamu rumah semasa dia terlelap.

“Semasa menghisap rokok suami mungkin tertidur menyebabkan selimut atau kusyen terbakar dan hanya tersedar selepas terasa panas dan cuba menyelamatkan diri,” katanya yang mempunyai tiga anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan berusia lapan hingga 12 tahun.


'via Blog this'

Kos rawat mangsa bom ditanggung

Kosmo! Online - Negara:



MAS ERMIEYATI melawat Norasyikin yang menjadi mangsa letupan bom di wad ICU, Hospital Melaka semalam.


MELAKA - Kementerian Kesihatan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan Norasyikin Md. Esa yang cedera parah selepas sebutir bom buatan sendiri yang dihantar melalui satu bungkusan meletup di hadapan rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, Lubok China di sini Khamis lalu.

Ketua Puteri UMNO Melaka, Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO.

"Bantuan itu diberikan kerana kementerian dan Pergerakan Puteri amat bersimpati dan prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa lebih-lebih lagi mangsa adalah ahli Pergerakan Puteri Cawangan Ramuan China Besar.

"Kita juga telah memaklumkan perkara ini pada keluarga mangsa dan mereka gembira dengan pertolongan oleh Kementerian Kesihatan itu," katanya selepas melawat mangsa di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Besar Melaka di sini semalam.


'via Blog this'

GRO belai pelanggan dicekup

Kosmo! Online - Negara:



SEBAHAGIAN GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan di Taman AST, Seremban kelmarin.


SEREMBAN – Seramai 103 pelanggan yang masing-masing leka dalam belaian pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing yang gebu dan seksi terkedu apabila empat buah pusat hiburan di Taman AST di sini diserbu polis kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam serbuan pada pukul 9 malam yang dilakukan serentak itu polis menahan seramai 103 GRO warga asing dan 103 pelanggan warga tempatan.

Menurut beliau, semua GRO itu terdiri daripada 90 warga China, 11 Vietnam dan seorang warga Filipina yang berusia 21 hingga 45 tahun.

“Ketika serbuan beberapa wanita itu cuba melarikan diri dengan bersembunyi di beberapa tempat tersembunyi di pusat-pusat hiburan itu tetapi berjaya dikesan oleh anggota yang membuat serbuan,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Pelanggan lelaki yang ditahan masing-masing berusia 20 hingga 40-an. Turut ditahan empat penjaga di setiap pusat pusat hiburan tersebut.


'via Blog this'

Misteri 22 peluru bertaburan

Kosmo! Online - Negara:



BEBERAPA butir peluru ditemui atas rumput di tepi lebuh raya.


KULIM - Sekumpulan penarik kereta terkejut apabila menemui 22 butir peluru hidup bersepah di atas rumput dan di dalam longkang di Lebuh Raya Kulim-Baling berhampiran Kampung Bukit Sarang Ayam di sini semalam.

Peluru-peluru yang masih boleh digunakan itu ditemui pada pukul 9.30 pagi oleh salah seorang daripada kumpulan penarik kereta yang sedang berbincang dengan pemilik tiga buah kenderaan yang terlibat dalam satu kemalangan kecil di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Chin Soo Song berkata, pada awalnya kumpulan itu hanya menemui beberapa butir peluru di tepi lebuh raya itu namun jumlah peluru tersebut bertambah apabila ia turut bertaburan dalam longkang di tepi lebuh raya.

"Polis yang memeriksa lokasi kejadian kemudian menemui 22 butir peluru. Peluru-peluru itu bertaburan di atas rumput di tepi lebuh raya dan sebahagian lagi tertimbus di dalam longkang," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, kesemua peluru bersaiz sembilan milimeter itu dipercayai dibuang oleh pihak tertentu di kawasan itu secara tergesa-gesa, berkemungkinan bagi mengelak tindakan mereka membawa bahan terlarang itu disedari oleh pihak berkuasa.


'via Blog this'

Wanita separuh bogel serbu pusat pengundian di Moscow, Rusia

Kosmo! Online - Dunia:



DUA wanita separuh bogel ditangkap polis di sebuah pusat pengundian di Moscow semalam.


MOSCOW, Rusia - Beberapa wanita separuh bogel yang hanya memakai seluar panjang ditangkap polis selepas mereka menyerbu sebuah pusat pengundian di Akademi Sains Rusia di sini semalam.

Wanita-wanita tersebut yang merupakan anggota pertubuhan FEMEN dari Ukraine menyerbu pusat itu selepas Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin tiba untuk mengundi dalam pilihan raya presiden.

Putin turut bertanding sebagai calon presiden.

Anggota-anggota kumpulan itu cuba untuk mencuri peti undi selepas Putin membuang undi.

Tiga wanita menanggalkan baju mereka dan menyatakan Putin ialah seorang pencuri.

Polis Moscow menyatakan wanita-wanita tersebut dibawa ke sebuah balai polis dan keputusan belum dibuat sama ada mereka akan dikenakan dakwaan. - Agensi


'via Blog this'

Kenyataan bapa Ashraf dapat liputan di Britain

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR menunjukkan Mohd. Ashraf Razif Rosli (kanan) diserang seorang lelaki dalam satu rusuhan di Barking, London pada 8 Ogos tahun lalu.


LONDON - Akhbar Mail On Sunday semalam melaporkan Rosli Harun yang merupakan bapa pelajar yang diserang dan disamun semasa rusuhan di London, Mohd. Ashraf Raziq Rosli menyatakan negara berkebajikan Britain menggalakkan rakyat menjadi malas.

Menurutnya, pemuda berusia 17 tahun yang menyerang anaknya tidak bekerja dan memperoleh wang daripada kerajaan.

"Sistem di Britain membuatkan rakyat menjadi malas. Di Malaysia, jika anda ingin mendapatkan wang, anda harus bekerja. Jika anda mahu wang yang lebih, anda harus belajar bersungguh-sungguh.

"Di Britain, rakyat yang bekerja membayar cukai dan ia disalurkan kepada orang yang tidak bekerja. Saya tidak faham tentang perkara itu," katanya seperti yang disiarkan di akhbar The Mail on Sunday.

Kenyataan itu disiarkan selepas dua lelaki didapati bersalah merompak Ashraf dengan berpura-pura membantunya dalam insiden rusuhan di sini pada musim panas tahun lalu.

Ashraf, 21, diserang di Barking ketika rusuhan berlaku di sini pada 8 Ogos tahun lalu.

Sebelum itu, pelajar jurusan perakaunan tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dari Kuala Lumpur itu sedang berbasikal ke rumah seorang rakannya di sini apabila dia ditumbuk sehingga menyebabkan rahangnya patah manakala basikalnya turut dilarikan.

Ketika dia terbaring cedera, John Kafunda, 22, dari Ilford dan Reece Donovan, 24, mencuri beberapa barangan di dalam beg mangsa termasuk sebuah konsol per mainan video bersama 10 permainan video bernilai sekitar £500 (RM2,376).

Kedua-duanya didapati bersalah di Mahkamah Diraja Wood Green di sini pada Jumaat lalu kerana melakukan rom pakan dan berkelakuan ganas.

Pada 16 Februari lalu, suspek ketiga, Beau Isagba, 17, didapati bersalah menyerang Ashraf dan mencuri basikal mangsa.

Menurut Rosli yang merupakan bekas pegawai tentera, kejadian itu meninggalkan kesan psikologi ke atas Ashraf.

"Apabila dia melihat orang ramai datang ke arahnya di jalanan, dia akan menyeberangi jalan raya dan berjalan di bahagian lain," katanya. - Agensi


'via Blog this'