Search This Blog

Saturday, March 3, 2012

Bawa bapa ketika berjudi

pusat judi

PUCHONG – Seorang anak sanggup mengheret bapa yang berusia 71 tahun menemaninya ke sebuah pusat perjudian kononnya untuk mengisi masa lapang apabila mendakwa janji temunya dengan seorang kawan dibatalkan.

Difahamkan, bapa lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mengidap penyakit asma terpaksa membatukan diri sementara menunggu anaknya bertaruh wang di mesin komputer lengkap perisian perjudian online (dalam talian).

Namun, nasib kedua-duanya bertukar malang apabila ditahan sepasukan anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerbu masuk premis terbabit di Pusat Perdagangan Kinrara (PPK) 1 di sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mazrul Zahar Mohd berkata, dalam serbuan bersama Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu, enam premis bertopengkan pusat siber diperiksa.

Menurutnya, lima premis didapati menjalankan kegiatan tanpa lesen dan menawarkan pertaruhan menerusi perjudian online dan mesin slot.

Manakala sebuah premis tidak dikenakan tindakan kerana mempunyai lesen perniagaan dan hanya menawarkan perkhidmatan Internet.

“Kesemua premis dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu selepas beberapa kali ditutup dalam serbuan sebelum ini.

“Pihak majlis merampas 63 set komputer judi online manakala polis menyita 37 mesin slot yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM150,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengusaha akan dikenakan tindakan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana tidak mempunyai lesen perniagaan sah MPSJ.

Sementara itu, Pegawai D7, Inspektor Roslin Mohd Isa berkata, 12 pemain dan dua penjaga ditahan dalam serbuan itu.

“Kesemua yang ditahan termasuk tiga warga Indonesia berusia 20 hingga 70 tahun dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.

“Mereka berdepan tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.


Bawa bapa ketika berjudi - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bebas, tapi masuk hospital

hospital-tampoi

AYER KEROH - Dua lelaki terlepas hukuman penjara maksimum 10 dan 20 tahun apabila Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam membuat keputusan melepaskan kedua-duanya daripada pertuduhan merompak yang dilakukan secara berasingan, tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Zaharah Hussain memerintahkan tertuduh Mohd Shariman Mohd Sharif, 28, dan Mohd Ridwan Husin @ Ahmad, 31, ditahan di Hospital Permai, Tampoi sehingga suatu masa yang dibenarkan untuk dibebaskan.

Keputusan itu dibuat Zaharah selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff mengemukakan laporan perubatan daripada hospital yang sama selepas membuat pemeriksaan dan pemantauan selama sebulan.

Mengikut laporan perubatan, Mohd Shariman dari Batang Kali, Selangor didapati menghidap penyakit skizofrenia; manakala Mohd Ridwan, dari Tanjung Kling mempunyai Fontal Lobe Syndrome iaitu penyakit berpunca daripada kecederaan otak yang dialami selepas kemalangan ketika berusia 17 tahun.

Shariman didapati melakukan rompakan sebuah motosikal milik seorang anggota polis dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di perhentian bas tepi jalan besar Hutan Percha, Alor Gajah pada 8.05 pagi, 24 Oktober 2011.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, seorang anggota polis yang juga pengadu, Nasarudin Mansor menerima maklumat dari orang awam mengenai tertuduh yang tidur di Ladang Getah, Jalan Besat pada 7.55 pagi.

Selepas 10 minit, pengadu melihat tertuduh membawa sebotol mineral berisi petrol yang mahu diisi pada motosikal sebelum pengadu bertindak menongkat motosi­kalnya itu.

Namun, pengadu kemudian dipukul menggunakan playar sebelum ditolak dan tertuduh melarikan diri menggunakan motosikal milik pengadu.

Sementara itu, Mohd Ridwan berhadapan pertuduhan melakukan rompa­kan harta kepunyaan Lee Kim Chong, 49, iaitu dua buah telefon bimbit jenama Nokia dan wang tunai kira-kira RM250 dengan jumlah kerugian sebanyak RM450.

Dia yang melakukan kesalahan di kawasan Jambatan Sungai Air Salak, Bukit Rambai, kira-kira 11 pagi pada 16 November 2011 itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.


Bebas, tapi masuk hospital - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kereta tiba-tiba 'terbang'

Kia-Hin-mati-di-tempat-kejadian-selepas-kereta-yang-dipandunya-terbabas-ke-dalam-parit-di-KM-1-Jalan
LEDANG – “Mulanya saya nampak sebuah kereta 'terbang' disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat. Saya bergegas keluar rumah dan nampak kereta kancil ini sudah masuk dalam parit,” kata saksi kejadian kemalangan maut di kilometer (KM) 1 Jalan Muar-Tanjung Agas, kelmarin.

Saksi, Sa’yon Hamid, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya berhadapan jalan terbabit sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki.

“Tetapi saya hairan apabila kereta ini secara tiba-tiba 'terbang' semasa menghampiri simpang berdekatan kedai makan di sini.

“Saya sangat terkejut lalu keluar rumah dan melihat kereta Kancil ini sudah masuk ke dalam parit berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sa’yon berkata, jarak rumahnya dengan tempat kejadian hanya pada jarak kira-kira 100 meter.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia melihat pemandu itu berada dalam keadaan lemah di tempat duduk pemandu dengan buih keluar dari mulutnya.

“Mungkin lelaki ini sakit ketika memandu menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

“Orang ramai mula membanjiri tempat kejadian, lalu salah seorang rakannya menghubungi pihak ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar tetapi mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Isteri mangsa, yang mahu dikenali sebagai Yee, 40-an berkata, dia menganggap insiden yang menimpanya suaminya itu hanyalah mimpi.

“Saya masih tidak percaya dan tidak dapat terima berita ini kerana sebelum kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan yang aneh.

“Pagi tadi sebelum keluar bekerja, dia seperti biasa dengan sikap cerianya dan berbual bersama ketika sarapan pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa, Low Kia Hin, 51, dari Jalan Kim Kee, Muar dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada tekanan darah tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kereta tiba-tiba 'terbang' - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wanita terpedaya janji manis ‘Awang Hitam’ - Semasa

Mangsa

TELUK INTAN - Seorang wanita kerugian lebih RM72,850 selepas termakan puji rayu ‘Awang Hitam’ yang dikatakan pandai menabur janji-janji manis sebelum memperdaya gadis tersebut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisoner Goh Kok Liang berkata, wanita berusia 36 tahun yang berkhidmat sebagai pegawai sebuah syarikat perladangan kelapa sawit di Hutan Melintang, dikatakan mula berkenalan dengan suspek dalam satu laman sosial sejak awal tahun lalu.
Menurutnya, suspek yang juga seorang pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara itu memperkenalkan dirinya sebagai David Mark, seorang warga Amerika Syarikat untuk memerangkap mangsa.
Katanya, suspek dari Nigeria dan berusia 29 tahun itu turut mengajak mangsa berkahwin.
“Melihat mangsa semakin dapat dijinakkan, suspek mula mengatakan yang dia akan melabur dalam satu perniagaan di Malaysia serta akan melawat negara ini dalam Febuari tahun ini.
“Suspek telah memperdaya mangsa untuk membuka satu akaun antarabangsa atas nama gadis tersebut dengan bayaran sebanyak RM1,100 untuk membuka akaun,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.
Kok Liang berkata, bagaimanapun, wang milik mangsa dalam akaun tersebut telah dipindahkan dalam satu akaun di sebuah bank tempatan milik seorang ejen bank antarabangsa, beralamat di negara ini.
Menurut Kok Liang, ejen tersebut dikenali sebagai Ahmahlisa Ahmad dan kini pihaknya sedang mencari serta mengesan pemillik akaun berkenaan bagi membantu siasatan.
“Selepas itu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia telah memasukkan wang sebanyak USD250,000 kedalam akaun tersebut namun mengarah mangsa untuk membuat pelbagai pembayaran berjumlah RM19,250 bagi mengaktifkan pemindahan wang.
“Tidak lama kemudian, wakil bank yang dipercayai sindiket sama telah menghubungi mangsa mengatakan mereka akan membawa wang sebanyak USD250,000 ke Malaysia untuk diserahkan kepada gadis tersebut,” katanya.
Kok Liang berkata, mangsa turut diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran dan juga telah berjumpa dengan ejen bank antarabangsa tersebut sebelum menyerahkan wang tunai sebanyak RM53,600.
Menurutnya, sejal mula mengenali lelaki tersebut, mangsa telah menyerahkan sewang sebanyak RM72,850 dan pembayaran dibuat diantara 5 Januari hingga 26 Januari tahun ini.
Beliau berkata, setelah membuat pelbagai bayaran, mangsa belum menerima wang sebanyak USD250,000 (RM825,000) seperti yang dijanjikan suspek dan mula mensyaki sesuatu sebelum menyedari bahawa dia telah ditipu lelaki berkenaan.
“Mangsa kemaudiannya membuat satu laporan polis.
“Sehubungan itu, satu pasukan polis ditubuhkan sebelum suspek berjaya ditahan pada 31 Januari lalui sebuah hotel mewah di ibu negara sebelum dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 420 kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Wanita terpedaya janji manis ‘Awang Hitam’ - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tidak akan maafkan sehingga akhir hayat

Mohd Fazil Hanapi Idrus

KUALA TERENGGANU – Mangsa simbah asid di Padang Merchang, Marang sudah mula berselera untuk menjamah makanan dan minum tanpa perlu mengharapkan bantuan ahli keluarganya selepas selamat menjalani pembedahan pada 23 Februari lalu.

Selepas menjalani pembedahan, Mohd Fazil Hanapi Idrus, 18, bukan sahaja tidak lagi memerlukan bantuan ketika makan dan minum tetapi sudah boleh bergerak sendiri berbanding sebelum ini dia terpaksa mengharapkan bantuan ahli keluarga.

Malah kesan melecur akibat disimbah asid pada wajahnya juga sudah beransur pulih.

“Selepas menjalani pembedahan, saya terpaksa makan ubat penahan sakit mengikut jadual ditetapkan kerana kesan dari pembedahan yang dijalankan tempoh hari. Tetapi sekarang sakitnya sudah semakin berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya.

Katanya, dia tidak kisah berapa lama terpaksa tinggal di hospital asalkan dapat pulih sepenuhnya bagi menjalani kehidupan seperti biasa. Malah, berasa lega apabila melihat ramai kawan-kawan dari Kampung Padang Merchang datang melawatnya di hospital.

Apabila ditanya, adakah dia dapat meneka siapakah gerangan yang melakukan perbuatan tersebut, dia hanya mampu mengeleng-gelengkan kepalanya tetapi dia tidak akan memaafkan orang yang melakukan perbuatan itu terhadapnya sehingga akhir hayat.

Sementara itu, bapa mangsa, Idrus Mat Noh, 54, ketika ditemui Sinar Harian semasa membuat lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam, turut melahirkan rasa gembira apabila melihat keadaan anaknya, yang semakin beransur pulih itu.


Tidak akan maafkan sehingga akhir hayat - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Rakaman seks: Lelaki peras ugut bekas teman wanita direman

Rakaman seks: Lelaki peras ugut bekas teman wanita direman - Semasa - Sinar Harian: "SHAH ALAM – Seorang lelaki ditahan reman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes ugutan seks terhadap bekas teman wanitanya.

Dia dikatakan menggunakan rakaman hubungan seks untuk memeras ugut mangsa untuk kepuasan seks dan wang sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek yang berusia awal 40-an ditahan di Balai Polis Puchong Jaya dan dibawa ke mahkamah Petaling Jaya untuk direman.

Menurutnya, suspek disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah.

"Suspek ditahan tiga hari untuk membantu siasatan," katanya."

'via Blog this'

Maut bersama kereta baru


eksiden

JELI – Hasrat membawa pulang kereta baru ke kampung halaman dekat Marang, Terengganu tidak kesampaian apabila mangsa seorang tukang rumah maut di tempat kejadian ekoran kenderaan yang dipandu bertembung dengan treler dekat kilometer 114.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik, jam 11.30 malam kelmarin.

Mangsa, Mat Zari Jusoh, 48, dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Jeli dipercayai memandu secara berseorangan maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, tengkuk dan patah tulang rusuk kiri manakala pemandu treler hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa dikatakan baru pulang dari Gurun, Kedah bersama seorang lagi rakannya yang memandu kereta barunya sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

Saksi kejadian yang juga rakan mangsa, Herman Bakar, 35, berkata, mereka berdua ber­tolak dari Gurun kira-kira jam 8 malam dengan meman­du dua kereta secara berasingan.

“Ketika tiba di tempat kejadian saya yang memandu kereta baru yang dibeli mangsa jenis Proton Wira berada di belakang melihat kenderaan yang dipandunya hilang kawa­lan dan terbabas ke tengah jalan sebelum merempuh treler tanpa muatan dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik.

“Sebelum kejadian arwah ada mengatakan dia ingin berada di sana selama seminggu namun menukar fikiran untuk pulang segera pada malam itu sebaik sahaja menerima panggilan dari rakannya,” katanya. Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Jeli untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superin­tendan Sheik Azhar Sheik Omar me­ngesahkan ada menerima la­poran tersebut dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Maut bersama kereta baru - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wajah bengkak seperti bola selepas guna pewarna rambut

LONDON: Seorang wanita muda yang gemarkan gaya wajah baru mengalami kecacatan penglihatan buat sementara waktu dan dirawat di hospital selama tiga hari ekoran tindak balas pewarna rambut yang dibelinya di pasar raya.

Wajah Carmen Rowe membengkak seperti “bola” selepas menggunakan pewarna rambut hitam Clairol “Nice n Easy” yang dibelinya di sebuah pasar raya tempatan di Asda. Dia dimasukkan ke Hospital Morriston Swansea keesokan harinya selepas mengalami wajah bengkak menyebabkan dia tidak dapat melihat. Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun itu berkata, dia menjalankan ujian pada kulit 48 jam sebelum menggunakan pewarna itu tanpa menghadapi sebarang masalah dan telah mewarnakan rambutnya sejak dia berusia 13 tahun.


Carmen akhirnya dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari rawatan apabila bengkak di wajahnya surut dengan pengambilan steroid dan antibiotik. Namun, dia dimasukkan semula ke hospital sebanyak empat kali bulan seterusnya selepas mengalami sakit dan bengkak di wajahnya. Doktor akhirnya mengesan tindak balas alahan terhadap Paraphenylenediamine di dalam pewarna rambut itu.

Carmen dari Swansea berkata: “Saya bangun dan kepala saya bengkak hingga sya tidak dapat melihat. Saya sudah menjadi buta.


“Saya lihat ke cermin dan separuh daripada wajah saya sudah bengkak. Kelihatannya separuh daripada kepala saya bagaikan telah dipam menjadi sebiji bola. “Saya terus ke hospital dan ketika sampai di sana, kepala saya makin membengkak, malah telinga saya juga menjadi besar. Doktor menahan saya di wad serta-merta.


“Perkara paling teruk ialah apabila kepala saya mula keluar nanah. Saya terpaksa membungkus kepala dengan tuala, ia cukup teruk dan baunya seperti anjing basah,” katanya.

“Saya tahu remaja sering mewarnakan rambut mereka pada usia 13 atau 14 tahun dan ia mungkin bahaya untuk mereka.


“Saya hanya ingin memberi amaran kepada ibu bapa apa yang mungkin terjadi. Ia adalah alahan yang boleh berlaku bila-bila masa saja,” katanya.


myMetro | Wajah bengkak seperti bola selepas guna pewarna rambut:

'via Blog this'

Ditikam lebih 10 kali

SENAI: “Saya percaya ia angkara orang dalam kerana pembunuh itu seolah-olah tahu bila adik saya habis bekerja dan mengekorinya hingga ke parkir yang dikhaskan untuk kakitangan berpangkat pengurus ke atas.

“Selain itu, ia tidak mungkin dilakukan pembunuh upahan kerana mayat adik ditikam bertubi-tubi lebih 10 kali seperti dia tidak pernah membunuh atau benar-benar marahkan adik,” kata seorang ahli keluarga mangsa bunuh yang enggan dikenali ketika ditemui di Kawasan Perindustrian Senai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa, Teh Hock Chuen, 42, yang juga pengurus bahagian perolehan sebuah kilang elektronik terkemuka ditemui pengawal keselamatan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah bersebelahan kereta Honda CRV miliknya di parkir khas di kawasan kilang berkenaan dengan lebih 10 kesan tikaman di seluruh badan.

Lelaki berusia 50-an itu berkata, pembunuh kejam itu dipercayai sudah merancang dan hanya menunggu masa dan tempat sesuai sebelum menyerang adiknya menggunakan senjata tajam menyebabkan mendiang mati di tempat kejadian.


“Setiap hari, adik akan menamatkan tugasnya sekitar jam 7.30 malam dan terus pulang ke rumah.


myMetro | Ditikam lebih 10 kali:

'via Blog this'

Sarung parang di sisi mayat

SEREMBAN: Mayat seorang lelaki ditemui dengan beberapa kesan kelar di badannya di tepi longkang berhampiran loji kumbahan di Taman Angsa Mas, Mambau di sini, semalam, dipercayai dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam.

Difahamkan, mangsa yang berseluar hitam panjang dan berbaju-T, dijumpai orang awam di kawasan berkenaan kira-kira jam 8 pagi.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berusia antara 20-an dan 30-an itu berlumuran darah dan pihaknya percaya mangsa dibunuh dalam tempoh 24 jam berdasarkan kesan darah pada mangsa.

“Selain itu, terdapat beberapa kesan pada perut dan badan mangsa dipercayai dikelar dengan senjata tajam,” katanya di sini, semalam.


Menurutntya, pihaknya turut menemui dua sarung parang berhampiran mayat mangsa dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian bunuh itu.


“Kami sedang mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen dijumpai. Mangsa berkemungkinan bukan warga tempatan kerana tiada kesan suntikan BCG pada lengannya.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh lebih daripada seorang penjenayah,” katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian Hotline 06-6014999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.


myMetro | Sarung parang di sisi mayat:

'via Blog this'

Isteri Datuk ditampar sebelum disamun

KUALA LUMPUR: Isteri kepada seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk, ditampar dan diheret masuk ke dalam rumah sebelum diikat dua lelaki yang menyamun rumahnya di Bukit Damansara, di sini, membabitkan kerugian lebih RM10,000, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa yang enggan dikenali dan berusia 75 tahun itu berseorangan dan sedang membasuh baju di belakang rumah.


Menurutnya, tanpa disedari dua lelaki tempatan memasuki rumahnya melalui pintu hadapan sebelum bertindak memeluknya daripada belakang.

“Saya terkejut dengan tindakan itu cuba melawan tetapi lelaki terbabit bertindak agresif apabila menampar muka saya.


“Lebih kejam, mereka mengheret saya masuk dalam rumah sejauh 50 meter sebelum mengikat tangan dan mulut saya menggunakan dengan kain,” katanya. Menurutnya, selepas meninggalkannya di tingkat bawah rumah, kedua - dua lelaki itu naik ke tingkat satu rumah untuk mencari barangan berharga dan lebih 30 minit kemudian, mereka melarikan diri bersama pelbagai barangan berharga dan wang tunai bernilai lebih RM10,000.


Katanya, dia dibiarkan dalam keadaan terikat itu selama beberapa jam sebelum berjaya melonggarkan ikatan.

“Selepas membuat pemeriksaan di seluruh rumah, saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Travers ,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu berhubung kejadian terbabit.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


myMetro | Isteri Datuk ditampar sebelum disamun:

'via Blog this'

Ditumbuk adik maksiat

myMetro | Ditumbuk adik maksiat: "KUALA LUMPUR: Teguran kakak apabila adik lelakinya membawa teman wanita tinggal bersama di kediaman ibu mereka di Kepong, di sini, dibalas dengan maki hamun selain ditumbuk di muka hingga cedera.

Lebih menyedihkan, perbuatan adiknya itu disokong abang kandung yang mempertahankan tindakan lelaki itu menjadikan rumah ibu mereka tempat maksiat.


Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, mangsa yang berusia 28 tahun didatangi abangnya jam 9.30 malam kelmarin dalam marah-marah serta memaki hamun dia dan suaminya ketika beristirahat di rumah.

“Pertengkaran lebih teruk hingga adiknya menumbuk muka mangsa,” katanya."

'via Blog this'

6 suspek kes bakar remaja ditahan

SHAH ALAM: Polis Selangor percaya dapat menyelesaikan kes seorang remaja lelaki yang terbakar 80 peratus badannya akibat dibakar di ladang kelapa sawit Sungai Tengi, Hulu Selangor, di sini, Ahad lalu, dengan tertangkapnya enam lelaki, pagi semalam.

Semua suspek di tahan di Labu Kubong, Teluk Intan, Perak jam 4.30 pagi hasil risikan dan intipan pegawai dan anggota di sebuah rumah milik keluarga seorang daripada suspek.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek berusia 20 tahun hingga 25 tahun dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di rumah berkenaan selepas menyedari mereka menjadi buruan polis sejak Ahad lalu.

Katanya, polis akan menyiasat hubungan antara suspek dan mangsa dan siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud konspirasi antara kesemua suspek untuk membunuh mangsa.


Menurutnya, dua daripada suspek merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dua lagi jurujual butik di Damansara manakala seorang penjual burger dan penghantar surat.


“Siasatan mendapati kejadian yang menimpa mangsa bermotifkan dendam. Namun polis akan menyiasat secara menyeluruh bagi mengetahui peranan semua suspek dalam kes ini.

“Polis sebelum ini berjaya menahan dua pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berusia 19 tahun dan 20 tahun pada Selasa lalu di Shah Alam dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Tun Hisan berkata, petunjuk yang diperoleh daripada dua wanita terbabit membolehkan polis menahan semua suspek berikutan mereka mengenali antara satu sama lain.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan semua dibawa ke mahkamah bagi mendapat perintah tahanan reman hari ini (semalam).


Akhbar ini Isnin lalu melaporkan kes seorang remaja lelaki Muhammad Syahirudin Mohd Shauki, 19, yang terbakar 80 peratus badannya dan kini dilaporkan kritikal dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HS).


Mangsa dilaporkan di bawa tiga lelaki menaiki sebuah kereta dari Kota Damansara ke ladang sawit di Sungai Tengi, Hulu Selangor sebelum disimbah petrol ke seluruh tubuh dan dibakar.


Dalam keadaan terbakar, mangsa terjun ke longkang memadamkan api sebelum membuka pakaian hangus dan berjalan 400 meter meminta bantuan.


myMetro | 6 suspek kes bakar remaja ditahan:

'via Blog this'

Abang tiri lacur adik

myMetro | Abang tiri lacur adik: "KOTA KINABALU: Abang tiri durjana. Itu gelaran paling sesuai kepada seorang lelaki apabila tergamak menjadi bapa ayam memperdagangkan tubuh adiknya berusia 15 tahun sebagai pelacur bagi melayan pelanggan kemaruk seks di sebuah hotel murah di Kampung Air, di sini.

Kegiatan lelaki dan gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), terbongkar apabila sepasukan polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat, Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, menyerbu hotel terbabit, jam 2 pagi, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan M Chandra, berkata sebaik pintu bilik dibuka, polis mendapati pelajar terbabit sedang melayan seorang pelanggan.

Beliau berkata, susulan penahanan gadis itu, polis memberkas seorang lelaki berusia 22 tahun di kawasan berhampiran dipercayai menjadi bapa ayam.


“Siasatan juga mendapati lelaki berkenaan abang tiri kepada pelajar itu,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, semalam."

'via Blog this'

‘Bersekongkol sindiket antarabangsa’

IPOH: Pertambahan bilangan penjenayah wanita warga Malaysia yang menjadi buruan polis antarabangsa termasuk Interpol ada kaitan dengan keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan beberapa sindiket penipuan dan jenayah terancang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ramai wanita tempatan dikesan menjadi dalang pelbagai kes penipuan serta bersekongkol dengan sindiket antarabangsa untuk melakukan jenayah penipuan dan pengedaran dadah.


Bagaimanapun, katanya, sebahagian penjenayah wanita yang dikehendaki itu bukan kerana mereka suspek utama, tetapi diperlukan untuk menjadi saksi di mahkamah atau membantu siasatan.

“Senarai nama wanita Malaysia yang dikehendaki itu didapati meningkat mungkin kerana ia dicampur dengan beberapa nama yang sedia ada di dalam senarai penjenayah dikehendaki sejak beberapa tahun lalu. “Bagaimanapun, berdasarkan maklumat... ada lebih ramai wanita tempatan diletakkan di dalam senarai ‘dikehendaki’ selepas mereka ini mudah diperdaya sindiket antarabangsa terutama untuk aktiviti penyeludupan dadah,” katanya ketika dihubungi.


Menurutnya, perkembangan teknologi maklumat menyebabkan pelbagai bentuk jenayah terancang termasuk jenayah perdagangan menjadi semakin kompleks.


Namun, tugas PDRM kian mantap apabila badan berkenaan kini memiliki sistem Unit Perisikan Pusat (CIU) sebagai strategi jangka panjang meningkatkan kemampuan polis menyelesaikan kes jenayah berpandukan maklumat risikan tepat.

PDRM turut menggunakan sepenuhnya kemudahan pembangunan dan penyelidikan terkini melalui Interpol yang beroperasi di Singapura bagi mengesan suspek dikehendaki.


Pusat itu berfungsi bagi memperkuatkan peranan polis di peringkat antarabangsa selain membekalkan maklumat yang diperlukan bagi mengenal pasti individu suspek serta memerangi jenayah.


myMetro | ‘Bersekongkol sindiket antarabangsa’:

'via Blog this'

Rugi RM12,000 nak buang sial

AMPANG: Seorang warga emas berputih mata selepas kerugian hampir RM12,000 akibat percaya kepada seorang tukang tilik yang kononnya mampu membuang sial dari tubuhnya.

Difahamkan, ketika wanita berusia 76 tahun itu berjalan berseorangan untuk ke sebuah klinik di Bandar Baru Ampang, di sini, pagi kelmarin, dia dihampiri tiga wanita tidak dikenali.


Menurut sumber, dalam kejadian jam 8 pagi itu, tiga wanita terbabit menghampiri mangsa dan seorang daripada mereka yang menyamar tukang tilik mendakwa tubuh mangsa membawa sial dan perlu berubat segera bagi membuangnya.

“Mangsa yang terkejut dengan dakwaan itu bersetuju untuk berubat dengan wanita terbabit. Namun, dia dikenakan syarat supaya membuat bayaran terlebih dulu.


“Mangsa yang tidak membawa wang tunai kemudian ditemani wanita terbabit pergi ke sebuah bank berhampiran untuk mengeluarkan wang RM12,000.


“Sebaik menyerahkan wang itu, seorang daripada wanita terbabit memberikan sebungkus plastik berwarna hitam kepada mangsa. Mereka memberitahu mangsa supaya tidak membuka plastik itu dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian pulang ke rumahnya.


Sebaik tiba di rumah, anak perempuan mangsa yang melihat bungkusan plastik berkenaan membuka ikatan plastik itu dan hairan mendapati kandungannya adalah sebotol air mineral dan garam.

Sumber berkata, anak perempuannya itu mendapatkan penjelasan mangsa berhubung bungkusan plastik berkenaan dan percaya mangsa ditipu ketiga-tiga wanita terbabit.


Katanya, mangsa dibawa ke balai polis berhampiran membuat laporan kejadian berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan.


myMetro | Rugi RM12,000 nak buang sial:

'via Blog this'

Dakwa dipukul guru muzik

PRIHATIN...aktivis masyarakat Klang, Peter Tan (kiri) menunjukan kesan lebam pada pipi Ng, sambil diperhatikan ibunya.
PRIHATIN...aktivis masyarakat Klang, Peter Tan (kiri) menunjukan kesan lebam pada pipi Ng, sambil diperhatikan ibunya.

KLANG: Hanya kerana menegur rakan sekelasnya bermain satu permainan tangan, seorang pelajar sekolah swasta cedera di kepala, muka, mulut, kaki dan bahagian belakang kerana dipukul guru muziknya.

Menceritakan semula kejadian pada 29 Februari lalu, mangsa, Ng Shoon Vee, 14, berkata, guru muzik berumur 50 tahun itu mengarahkan dia keluar dari kelas tanpa memberitahu kesalahannya.


“Saya tidak tahu apa kesalahan saya, tetapi cikgu terus mengarahkan saya ke luar kelas sebelum merotan bahagian belakang, kaki dan tangan saya.

“Saya sempat menepis rotan itu, tetapi cikgu menumbuk pula muka saya bertalu-talu melebihi 10 kali hingga saya terhantuk ke dinding,” katanya dalam sidang media di Kelab Eksekutif Klang, semalam.


Ng berkata, guru terbabit hanya berhenti memukulnya selepas menyedari kehadiran guru lain di kawasan itu.


Ibu mangsa, Tan Wan Ching, 40, berkata, selepas kejadian itu dia terus membuat laporan polis dan membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Saya juga sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pengetua sekolah berkenaan, namun guru terbabit menceritakan cerita yang sebaliknya,” katanya.


Wan Ching berkata, dia harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap guru itu sebelum lebih ramai pelajar lain menjadi mangsanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.


Jurucakap Jabatan Pelajaran Selangor berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, namun jika pelajar terbabit bersekolah di sekolah swasta, Jabatan Pelajaran tiada kuasa.

myMetro | Dakwa dipukul guru muzik:

'via Blog this'

Nyaris maut disondol gajah liar

KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) nyaris terbunuh apabila seekor gajah yang cuba ditangkap naik minyak dan menyerang lelaki terbabit di Kampung Jelung, Setiu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu mangsa, Mohd Noor Abdullah, 58, patah lima tulang rusuk dan cedera di bahagian muka selepas tercampak disondol gajah berkenaan.

Isteri mangsa, Zamariah Seman, 52, yang ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, dia menggeletar selepas dimaklumkan suaminya cedera diserang gajah liar ketika menjalankan operasi di sebuah kampung di Setiu.

Menurutnya, ketika kejadian itu, dia sedang bermesyuarat dengan rakannya kira-kira jam 4.30 petang kelmarin dan bergegas ke HSNZ untuk memastikan keadaan sebenar suaminya.


“Ketika dihubungi, rakan suami meminta saya bertenang sebelum menceritakan keadaannya yang parah akibat diserang gajah terbabit dan terpaksa dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

myMetro | Nyaris maut disondol gajah liar:

'via Blog this'

Suspek rasuah berprofil tinggi Indonesia dibicara

myMetro | Suspek rasuah berprofil tinggi Indonesia dibicara: "JAKARTA: Perbicaraan yang sudah lama dinantikan terhadap suspek rasuah Nunun Nurbaeti berlangsung pagi semalam di Mahkamah Rasuah Jakarta, di mana pendakwa raya menuduh Nunun terbabit dengan rasuah berbilion rupiah pada 2004 dalam kes berprofil tinggi membabitkan tokoh bank pusat.

Nunun, dipercayai mempunyai maklumat penting untuk didedahkan berhubungkait dengan dalang dan penyumbang skim rasuah itu yang membabitkan 33 Ahli Parlimen ketika itu.


Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menghantar anggota dewan yang menerima rasuah ke penjara, tetapi belum mengenal pasti penyumbang utamanya.

KPK mula menyiasat kes itu pada awal 2009 selepas bekas anggota dewan, Agus Condro Prayitno membongkarkan hal itu bahawa dia bersama puluhan anggota Dewan Perwakilan Suruhanjaya XI Kewangan menerima beberapa cek kembara untuk mengubah undian memilih Miranda Swaray Goeltom sebagai Timbalan Kanan Gabenor bank pusat. - JP"

'via Blog this'

Polis Thai rampas 4 juta pil methamphetamine, 200,000 pil kuda

myMetro | Polis Thai rampas 4 juta pil methamphetamine, 200,000 pil kuda: "BANGKOK: Polis menahan tiga lelaki bersama 200,000 pil kuda di daerah Mae Sai di Chiang Rai, semalam, kata Ketua Polis Mae Sai, Kolonel Thanomsak Yospen.

Bertindak ekoran maklumat diterima, polis narkotik membuat intipan di hadapan pusat imigresen dekat Mae Sai - di jambatan Myawaddy.


Mereka melihat sebuah van putih melintasi jambatan itu dari Myawaddy seperti yang dijangka, sebelum mengekorinya ke Hotel Regina di tambon Wiang Phang Kham.

Di hotel itu, pemandu van yang dikenali sebagai Surachet Taluang, 52, menemui pengawal keselamatan hotel, Chamras Prompanya dan kedua-duanya mengambil dua beg plastik keluar dari van itu.


Polis kemudian menyerbu dan menahan mereka serta menemui 200,000 pil kuda dalam dua beg plastik berkenaan.


Kedua-dua lelaki itu berkata, mereka dibayar 60,000 baht (RM5,896) untuk menghantar dadah itu kepada individu yang bernama Thongdee Sriwichai di daerah Mae Sai.

Sementara itu, dalam insiden berasingan polis merampas empat juta pil methamphetamine yang cuba dibawa masuk dari negara jiran, Myanmar. - BP"

'via Blog this'

Wartawan radio cedera ditembak

myMetro | Wartawan radio cedera ditembak: "MANILA: Dua lelaki bersenjata yang menaiki motosikal menembak dan mencederakan pengulas radio di tengah Filipina dalam serangan terbaru terhadap wartawan di negara itu.

Inspektor Kanan Polis, Stephen Somosot berkata, mangsa, Fernando Gabio, 62, berada di luar kediamannya di bandar Iloilo, semalam apabila penyerang melepaskan tiga tembakan mengenai kaki Gabio. Mangsa bagaimanapun dalam keadaan stabil di hospital. Gabio mengacarakan program “Mr. Expose” di Radyo Mo Nationwide. Rancangan itu membicarakan tajuk seperti rasuah. Somosot berkata, Gabio sebelum ini ada menerima ancaman bunuh daripada seseorang tidak dikenali melalui telefon. - AP"

'via Blog this'

Marah dirakam Google kencing depan rumah

myMetro | Marah dirakam Google kencing depan rumah: "NANTES: Seorang lelaki semalam menyaman Google berhubung gambar yang disiarkan di Internet oleh aplikasi Street Viewnya yang menunjukkan dia kencing di depan rumahnya.

Lelaki itu percaya gambar itu menyebabkan dia menjadi bahan ketawa di kampungnya di kawasan pendalaman barat laut Perancis.


Lelaki berusia kira-kira 50 tahun itu dan tinggal di wilayah Maine-et-Loire meminta Google membuang gambar berkenaan. Penduduk tempatan mengecam gambar itu adalah dia meskipun wajahnya dikaburkan.

Dia juga menuntut bayaran ganti rugi berjumlah 10,000 euro (RM40,000).


“Setiap orang ada hak terhadap satu tahap kerahsiaan,” kata peguamnya, Jean-Noel Bouillard.


Gambar itu dirakam kereta berkamera Google pada November 2010. - AFP"

'via Blog this'

Pekerja dibaham singa betina

myMetro | Pekerja dibaham singa betina: "SYDNEY: Seorang lelaki cedera selepas dibaham seekor singa betina di sebuah taman hidupan liar di Darwin semalam.

Mangsa dikejarkan ke hospital dengan kecederaan pada lengannya.
Kejadian berlaku selepas Peter Davidson menghulurkan tangannya ke dalam kandang haiwan itu menerusi jeriji kandang itu.

“Seorang kanak-kanak perempuan datang dan memberitahu ada orang digigit oleh singa,” kata Ketua Saintis di Taman Crocodylus, Charlie Manolis.


Manolis berkata, lelaki itu bekerja di taman berkenaan dan sedang mencabut rumput berhampiran kandang itu apabila singa berkenaan, Shebe, 9, membahamnya. - AP"

'via Blog this'

7 kepala manusia ditemui

myMetro | 7 kepala manusia ditemui: "DURANGO: Pihak berkuasa Mexico menemui tujuh kepala manusia di jalan raya di sebuah bandar di Durango, utara negara itu.

“Tujuh kepala manusia ditemui di jalan raya di Santiago Papasquiaro,” kata jurucakap Pejabat Peguam Negara Durango, Raymundo Enriquez.


Ia ditemui di kawasan kediaman di bandar yang mempunyai penduduk seramai 40,000 orang itu, 750 kilometer ke barat laut Mexico City.

Turut ditemui ialah mesej yang ada kaitan dengan kumpulan penjenayah yang mengancam pegawai kehakiman tempatan.


Sebahagian Mexico, termasuk Durango, dicengkam keganasan yang ada hubungan dengan kumpulan penjenayah. Pembunuhan kejam, seperti memenggal kepala digunakan untuk menyampaikan mesej kepada musuh.


Kira-kira 50,000 orang dipercayai mati dalam keganasan yang ada kaitan dengan kumpulan dadah sejak Disember 2006 apabila Presiden Felipe Calderon mula mengerah tentera memerangi jenayah terancang. - Reuters"

'via Blog this'

Gerakan murtad Melayu dikesan

KUALA SELANGOR: Bekas EXCO kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali malam kelmarin, mendedahkan ada gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menubuhkan unit khas untuk menggerakkan agenda Kristianisasi mereka terhadap orang Melayu.

Katanya, mereka bergerak dengan perancangan dan strategi rapi, mubaligh Kristian berusaha mengkristiankan orang Melayu, menggugurkan kalimah Allah, mendekati orang Melayu dan membawa Kristian ke dalam kehidupan orang Melayu.
“Mereka datang dari United Kingdom, Jerman, Belanda, Australia, Amerika dan Kanada. Setiap mereka yang datang diwajibkan tinggal di negara ini sekurang-kurangnya setahun.
“Mereka mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dalam antropologi, sosial psikologi, agama dan boleh berbahasa Melayu selepas belajar dalam dua bulan. Mereka juga faham budaya, jiwa orang Melayu, sosial interaksi, unit masyarakat orang Melayu, keluarga Melayu dan masalah orang Melayu,” katanya pada majlis Bicara Akidah dan Kuasa Ketiga - Selamatkan Ummah di Saujana Utama, di sini.

Hasan yang juga Presiden Jalur Tiga (JATI) berkata, unit khas berkenaan mempunyai kelebihan yang hebat kerana mereka memiliki dana tanpa had daripada badan kristian antarabangsa.

“Beberapa orang yang sudah dibaptis datang jumpa saya menceritakan apa yang dia dapat apabila masuk Kristian. Sewa rumah RM1,700 sebulan dibayar, kereta dibelikan dan anak empat lima orang disara.

“Segala keperluan anak, sebut apa saja, komputer riba, kamera, i-Pad, jelajah dunia, semua dapat. Mereka (mubaligh Kristian) berkeliaran di hospital terutama di wad pesakit yang dikategori sebagai tidak ada harapan sembuh.
“Duduk di hospital tujuh, lapan bulan atau setahun. Anak, suami, isteri dan saudara tidak pergi ziarah. Siapa yang gantikan mereka? Pengembang Kristian dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Hasan menyarankan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya membincangkan semula isu Israel di peringkat Majlis Syura Ulama parti itu supaya ia dapat diperhalusi.

Katanya, kenyataan Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr Mousa Abu Marzook yang menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Hamas mengiktiraf kewujudan Israel adalah bukti jelas bahawa ia diputar-belitkan pemimpin pembangkang itu.

Berita Harian Online | Gerakan murtad Melayu dikesan:

'via Blog this'

Pekebun temui mayat dibakar, ditimbus daun sawit

AYER HITAM: Seorang pekebun terkejut apabila menemui mayat reput dipercayai mangsa pembunuhan dan dibakar sebelum ditimbus dengan daun kelapa sawit dalam kebunnya, dekat Kampung Jawa, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata mayat berkenaan ditemui pekebun berkenaan ketika sedang membersihkan kawasan berkenaan, kira-kira jam 9 pagi.
“Pemilik kebun yang bekerja sendirian itu terkejut apabila menemui mayat dengan kesan bakar dan ditimbus separuh badan dengan daun sawit ketika melakukan pembersihan kawasan itu.
“Mayat berkenaan ditemui dalam lopak berair di kebun sawit berkenaan, yang terletak kira-kira 700 meter dari jalan masuk utama Kampung Jawa. Berikutan penemuan itu, pekebun terbabit membuat laporan polis sebelum sepasukan penyiasat dikejarkan ke lokasi, kira-kira jam 9.30 pagi.

“Hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui kesan di permukaan tanah kira-kira 10 meter dari mayat berkenaan yang dipercayai menjadi tempat pembakaran mangsa sebelum mayatnya dibuang dalam lopak itu," katanya, di sini, semalam.

Din berkata, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah reput dan rentung kerana dipercayai sudah lima hari berada di lokasi itu, hasil pemeriksaan oleh Unit Siasatan Forensik Polis Johor.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian Online | Pekebun temui mayat dibakar, ditimbus daun sawit:

'via Blog this'

Kes bunuh Nurul Aien selesai

TAIPING: Polis yakin kes pembunuhan kejam Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang ditemui mati dengan kepala dan separuh badan terendam dalam air kolah dipenuhi air di bilik mandi rumahnya, dekat sini, pada 24 Februari lalu, selesai susulan penahanan seorang remaja di Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Tasik Gelugor, Seberang Prai, kira-kira jam 4 pagi.
Katanya, suspek yang membantu perniagaan keluarganya tinggal berhampiran rumah mangsa dan mengenali remaja wanita terbabit.
“Polis menemui telefon bimbit mangsa pada suspek sebaik dia ditangkap. Suspek juga pernah terbabit dengan kes jenayah lampau mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) iaitu mendatangkan kecederaan kepada orang lain, kira-kira satu setengah tahun lalu.

“Berikutan tangkapan ini, kita percaya kes bunuh ini dapat diselesaikan walaupun kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif sebenar pembunuhan itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Suspek terbabit dipercayai lari dan menyembunyikan diri di Pulau Pinang selepas kejadian pembunuhan itu.

Yusuf berkata, polis mempunyai keterangan cukup bahawa suspek terbabit dalam kes bunuh berkenaan.
Katanya, suspek direman selama seminggu dan disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Dua lagi remaja yang ditahan sebelum ini tiada kaitan dengan kes berkenaan dan sudah dibebaskan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam, dipercayai cuba dirogol dan dicabul di rumah mereka di Kampung Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering.

Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat Nurul Aien yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.

Berita Harian Online | Kes bunuh Nurul Aien selesai:

'via Blog this'