Search This Blog

Friday, February 24, 2012

2 beranak terkejut kereta rempuh rumah

ANGGOTA bomba memeriksa kereta  yang terbabas dan melanggar sebuah rumah di Taman Tiroi, Jalan Labu, malam kelmarin.
ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang terbabas
 dan melanggar sebuah rumah di Taman
Tiroi, Jalan Labu, malam kelmarin.

SEREMBAN: Seorang lelaki dan anak perempuannya yang baru selesai solat Isyak berjemaah terkejut apabila mengetahui dentuman kuat didengar mereka itu disebabkan sebuah kereta merempuh rumah mereka di Taman Tiroi, Labu, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan Khairul Baiyinah, 11, terselamat, manakala pemandu kereta berusia 40-an cedera dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
Ahmad berkata, bunyi kuat itu menggegarkan rumahnya, menyebabkan anaknya menjerit ketakutan dan memeluknya.
“Apabila keluar bilik, saya terkejut melihat ruang tamu sudah tiada dinding dan tiang. Sebuah kereta Toyota Camry putih berada dalam rumah dengan keadaan empat tayar ke atas,” katanya ketika, semalam.

Ahmad berkata, beberapa jiran yang berkejar ke rumahnya segera memberi pertolongan untuk mengeluarkan seorang pemandu lelaki yang tidak sedarkan diri.
Katanya, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba tidak lama selepas dihubungi kemudian membawa mangsa ke HTJS.

“Saya juga menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana bimbang keadaan kereta yang terbalik dan kesan perlanggaran itu mungkin menyebabkan kebocoran tangki minyak yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya.
Beliau mendakwa beberapa penduduk berdekatan melihat kereta itu dipandu laju di Jalan Seremban-Labu dan terbabas lalu merempuh rumahnya.

“Saya bersyukur kerana kami tidak berada di ruang tamu ketika kejadian itu. Bagaimanapun, sebahagian besar peralatan rumah, termasuk dua motosikal dan empat basikal rosak teruk,” katanya yang kali pertama berdepan musibah itu sejak 26 tahun tinggal di taman berkenaan.

Berita Harian Online | 2 beranak terkejut kereta rempuh rumah:

'via Blog this'

Protes bakar al-Quran memuncak

PENUNJUK perasaan berkumpul sambil melaungkan slogan anti-Amerika di Kabul, semalam.
PENUNJUK perasaan berkumpul sambil melaungkan
 slogan anti-Amerika di Kabul, semalam.


12 maut bergaduh dengan tentera Afghanistan, Obama turut mohon maaf

KABUL: Meskipun tentera Amerika Syarikat meminta maaf atas tindakan askarnya membakar al-Quran disusuli langkah sama oleh Presiden Barack Obama, penduduk Afghanistan keluar beramai-ramai membantah kejadian itu hingga mencetuskan pergaduhan dengan tentera menyebabkan 12 terbunuh dan berpuluh lagi cedera.
Pergerakan Taliban turut menggesa penduduk Afghanistan tidak hanya membantah isu berkenaan sebaliknya menyerang kepentingan Amerika di negara itu.
Kamu patut serang tentera asing di pangkalan tentera mereka termasuk konvoi, tahan, pukul dan ajar mereka supaya tidak hina al-Quran lagi. - Kenyataan Taliban
“Kamu patut serang tentera asing di pangkalan tentera mereka termasuk konvoi, tahan, pukul dan ajar mereka supaya tidak hina al-Quran lagi,” menurut kenyataan Taliban.

Beribu-ribu penduduk Afghanistan menyerbu sebuah markas tentera Amerika sambil membaling batu dan memanjat tembok luarnya pada hari ke-3 bantahan terhadap pembakaran kitab suci itu.

Selain itu, seorang askar Afghanistan bertindak menembak mati dua askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dipercayai berpunca daripada isu sama.

Penunjuk perasaan juga menyerbu markas tentera Perancis, Norway dan Amerika. Obama berkata, kejadian itu berlaku secara tidak sengaja dan berjanji melakukan siasatan terperinci untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Saya mahu menyatakan rasa kesal atas kejadian itu. Saya meminta maaf kepada anda dan penduduk Afghanistan,” kata Obama dalam suratnya kepada Presiden Hamid Karzai yang disampaikan duta Amerika, Ryan Crocker.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu mungkin terlewat selepas demonstrasi meletus di seluruh empat wilayah timur menggambarkan kemarahan memuncak rakyat Afghanistan yang menganggap tentera asing tidak menghiraukan undang-undang negara mereka dan menghina budaya tempatan.

Keganasan itu juga satu peringatan betapa mudahnya hubungan Afghanistan-Amerika boleh terjejas ketika kedua-dua negara berusaha membentuk kerjasama jangka panjang sebelum tentera asing berundur pada 2014.

Kekacauan bermula Selasa lalu apabila pekerja Afghanistan di pangkalan tentera utama Amerika di Bagram, terlihat askar membuang buku ke dalam sebuah parit di mana sampah dibakar termasuk al-Quran dan bahan bacaan agama lain.

Pemerintah tentera Amerika dan NATO, Jeneral John Allen, memohon maaf dan menelefon Karzai serta organisasi berita utama untuk menjelaskan bahawa satu koleksi bahan agama termasuk al-Quran tersilap dibakar.

“Sebaik sedar apa yang dibakar, mereka berhenti dan mengambil apa yang tinggal,” kata Allen.

Empat naskhah al-Quran dibakar sebelum pembakaran dihentikan, lapor kerajaan Afghanistan.

Tetapi, kemarahan penduduk tidak dapat dibendung.

Satu demonstrasi diadakan di luar pangkalan Bagram selain di bandar timur di Jalalabad, wilayah Logar dan Parwan, lokasi Bagram.

Kira-kira 2,000 penduduk berkumpul di luar kompleks perumahan dikawal ketat untuk rakyat asing, melaungkan ‘matilah Amerika’ dan membaling batu ke dinding perkarangan dan membakar sebuah trak.

Kompleks itu dikenali sebagai ‘perkampungan hijau’ kerana kawalan keselamatannya sama di pangkalan tentera menempatkan kontraktor asing, polis dan sesetengah tentera gabungan.

Seorang penduduk, Mohammad Shaker, 18, berkata kali pertama dia mendengar mengenai pembakaran al-Quran pada Selasa lalu hingga dia dan kariah masjid memutuskan membuat bantahan jalanan selepas solat Subuh.

“Ini bukan kali pertama mereka melakukannya. Setiap hari mereka bunuh orang awam dengan serangan udara. Kami tidak dapat terima jenayah mereka di negara kami,” kata Shaker. – AP

Berita Harian Online | Protes bakar al-Quran memuncak:

'via Blog this'

2 helikopter marin bertembung, 7 terbunuh di San Diego

SAN DIEGO: Dua helikopter milik askar marin bertembung di kawasan terpencil di gurun California ketika sesi latihan penerbangan malam tadi, mengakibatkan tujuh anggota marin terbunuh dalam nahas terburuk bagi beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiada mangsa yang selamat dalam nahas yang membabitkan tentera dari kem Pendleton, kata pihak berkuasa hari ini.
Dua pasukan marin menaiki helikopter Cobra AH-1W dan sebuah lagi helikopter utiliti, UH-1 Huey ketika kemalangan itu berlaku lewat malam tadi berhampiran Chocolate Mountains berdekatan sempadan California-Arizona, kata Leftenan Maureen Dooley mewakili Pangkalan Udara Miramar yang berpangkalan di San Diego. - AFP

Berita Harian Online | 2 helikopter marin bertembung, 7 terbunuh di San Diego:

'via Blog this'

Wook lapor polis dakwa diperdaya Din

wook
KUALA BERANG – Seorang warga emas yang pernah menggemparkan rakyat Malaysia kerana berkahwin dengan seorang lelaki lebih muda tiga kali ganda daripada usianya daripadanya dilaporkan tertipu dengan helah anak saudaranya sendiri.

Warga emas, Wook Kondor, 109, yang lebih dikenal sebagai Wook dikatakan tidak tahan dengan perangai anak saudaranya, Din kerana memperdayakannya sehingga tanah miliknya tergadai sedangkan satu sen pun wang penjualan tanah tidak diperolehnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, warga emas dari Kampung Bukit Tok Bat didatangi anak saudaranya pada 2004 untuk meminta geran tanah miliknya.

“Menurut laporan, suspek meminta geran berkenaan kononnya untuk disimpan tetapi kepercayaan yang diberikan Wook bertukar tragedi apabila tiga tahun kemudian, Din kembali berjumpanya dan mengajak ke suatu lokasi untuk mendapatkan cap jarinya.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa menurunkan cap jari di atas kertas yang dia sendiri tidak memahaminya,” katanya.

Namun pada Disember 2011, seorang lelaki datang ke rumahnya di kampung berkenaan dan menyuruhnya berpindah serta-merta kerana menurut lelaki itu, tanah yang diduduki sudah dijual dan bukan lagi miliknya.

Sekian lama memikirkan kesulitan yang terpaksa dilalui, akhirnya Wook datang ke Balai Polis Kuala berang semalam kira-kira jam 9 pagi untuk melaporkan perkara berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Wook membuat laporan itu dengan ditemani suaminya, Mohd Nor Musa, 39.

Wook lapor polis dakwa diperdaya Din - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nyaris maut di tangan perompak


Md-Isa-dan-isteri-melakonkan-semula-keadaan-mereka-ketika-dirompak

PENDANG – “Saya ditendang dan dipukul di bahagian tangan kanan kerana perompak itu bertanya kepada saya di mana barang berharga disimpan tetapi saya memaklumkan tiada barang berharga di rumah ini menyebabkan perompak itu marah dan bertindak sedemikian.”

Itu kata Md Isa Taib, 75, mangsa rompakan bersenjatakan parang, pedang dan pisau di rumah mereka di Kampung Sungai Rotan, di sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Md Isa dan isterinya, Che Puan Amin, 61, dan anak perempuan berumur 22 tahun hampir maut setelah dipukul, tangan dan kaki diikat manakala muka ditutupi menggunakan selimut tebal sehingga pasangan itu hampir mengalami sesak nafas.

Kejadian itu menyebabkan mereka kehilangan wang tunai RM3,000 bersama sebuah komputer riba milik anak perempuan mereka dan lima buah telefon bimbit, nilai kerugian kira-kira RM6,000.

Md Isa berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi seseorang menolak pintu bilik tidurnya yang tidak berkunci dan mendapati tiga lelaki berdiri di hadapannya sambil memegang parang, pisau dan pedang.

“Saya terkejut setelah melihat senjata yang dipegang tiga lelaki itu yang mana dua perompak terbabit memakai topeng. Tangan saya terus diikat menggunakan wayar kipas manakala kaki diikat menggunakan tali.

“Tiga perompak itu masuk melalui tingkap belakang rumah yang dipotong besinya dan cermin dicabut manakala seluruh bilik tidur di rumah itu turut diselongkar,” katanya
Pecah bilik guna tong gas

Isterinya, Che Puan berkata, dia terjaga daripada tidur dan mendapati suaminya sedang bercakap dengan tiga lelaki dalam bilik. Perompak kemudian bertindak mengikat tangan dan kakinya menggunakan wayar telefon serta kepala dan muka turut ditutup menggunakan selimut.

“Perompak itu bertanya kepada saya dan suami siapa lagi tinggal di rumah ini dan kami memaklumkan bahawa anak perempuan saya sahaja tinggal bersama dan sedang tidur di dalam bilik.

“Salah seorang perompak pergi ke bilik anak saya, mereka memecah masuk bilik yang berkunci itu menggunakan tong gas. Tiba-tiba saya terdengar suara anak saya menjerit dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana kami tidak dapat bergerak kerana dijaga seorang perompak terbabit,” katanya.

Che Puan berkata, perompak itu menarik keluar anaknya itu ke bilik mereka dan mengikat tangan serta kaki anaknya itu di samping menutup mulut dengan kain.

Menurutnya, dalam kejadian yang berlangsung kira-kira sejam itu, anak perempuannya mengalami kecederaan pada bahagian mulut akibat ditampar perompak kerana enggan memberi telefon bimbit.

Manakala dia dan suami mengalami kecederaan masing-masing pada bahagian tangan kanan dan belakang badan.


Pasang kipas sebelum beredar

Che Puan berkata, kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku terhadap keluarga mereka namun, kejadian lalu perompak hanya memperoleh satu telefon bimbit sahaja.

Perompak itu juga sempat minum jus jambu dan buah-buahan yang berada di dapur setelah Che Puan menyedari botol jus berada di ruang tamu manakala buah-buahan hanya tinggal sebiji.

“Perompak juga ada bertanya kepada kami sama ada ingin makan buah atau tidak,” katanya.

Menurutnya, tiga perompak itu juga sempat memasang kipas sebelum beredar dari rumah terbabit.

“Perompak mengambil kipas dari bilik lain kerana wayar kipas yang ada dalam bilik itu dipotong oleh mereka dan ketika memasang kipas itu, salah seorang daripada perompak bertanya sama ada tahap kelajuan kipas yang dipasang laju atau tidak.

“Mereka tidak membuka ikatan tali yang diikat kami malah memasang kipas sebelum meninggalkan rumah dan kami bertiga berjaya melepaskan diri kerana ikatan yang diikat pada tangan anak tidak kukuh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.Che-Puan-menunjukkan-tingkap-yang-dipecah-masuk

Nyaris maut di tangan perompak - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Maut diseret 200 meter

SERET 200 METER
KUALA MUDA – Seorang penunggang dan pembonceng motosikal maut dalam kemalangan di kilometer 50 Jalan Alor Setar- Butterworth selepas menikmati makan malam dalam kejadian 11 malam kelmarin.

Mangsa, Said Akbar Said Farid, 20, (penunggang) dan Norfatihah Ismail, 18, dikatakan sedang dalam perjalanan dari Bedong ke Sungai Lalang selepas selesai makan malam di rumah Said Akbar di Kampung Sungai Toh Pawang.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan lain dari arah sama.

“Kedua-dua mangsa terjatuh dari motosikal di laluan asal namun kehadiran sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang pula mengheret pembonceng sejauh kira-kira 200 meter ke hadapan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua remaja itu adalah pekerja kilang di kawasan perindustrian Bukit Makmur baru selesai shif bekerja singgah ke Kampung Sungai Toh Pawang untuk makan malam.

“Mereka dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah Norfatihah di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang sebelum terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Difahamkan, pemandu kedua-dua kereta yang terlibat dalam kemalangan itu juga mengalami kecederaan tetapi masih belum membuat laporan polis (sehingga berita ini ditulis) berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan dua maut dalam kejadian itu.

Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat. Maut diseret 200 meter - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nahas kereta api di Argentina ragut 49 nyawa

Nahas kereta api di Argentina ragut 49 nyawa
BUENOS AIRES - Sekurang - kurangnya 49 maut manakala lebih 600 cedera termasuk warga emas dan kanak-kanak, kelmarin dalam nahas kereta api terburuk di Argentina dalam tempoh 40 tahun.

Kemalangan itu didakwa berlaku selepas kereta api yang sarat membawa penumpang tersebut merempuh dinding penghadang di Stesen Once di Buenos Aires.

Setiausaha sistem pengangkutan awam itu, JP Schiavi berkata, siasatan awal mendapati nahas menggemparkan tersebut mungkin berpunca daripada masalah brek.

Seorang penumpang dikenali sebagai Ezequiel menyatakan insiden itu berlaku terlalu pantas dan ramai penumpang cedera parah akibat terkena serpihan kaca dan logam.

Pasukan penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian cuba untuk mengeluarkan mangsa terperangkap dan angka kematian dijangka meningkat.

Beberapa pihak mula mempertikaikan sikap sambil lewa syarikat pengangkutan Trenes de Buenos Aires tersebut kerana didakwa gagal untuk membaiki struktur landasan kereta api usang di kebanyakan kawasan di negara itu yang dianggap sebagai faktor utama kemalangan boleh berlaku.

Dalam satu kejadian pada September lalu, seramai 11 orang terkorban selepas kereta api penumpang terbabas ke laluan bas lalu merempuh sebuah lagi kereta api di sebuah stesen di Buenos Aires. Nahas kereta api di Argentina ragut 49 nyawa - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

8 rumah, satu surau dihanyutkan, 200 rumah rosak - Global - Sinar Harian


JAKARTA - Banjir kilat yang melanda dua kawasan penempatan di daerah Pasaman, Sumatera Barat pada Rabu mengakibatkan sejumlah
kerosakan kepada kemudahan awam dan harta benda, termasuk lapan buah rumah serta sebuah surau yang dihanyutkan air.

Kejadian di Kampung Maringgiang, Bungo Tanjuang, Nagari Malampah di daerah kecil Tigo Nagari dan di Kampung Simpang 3, Marambuang Nagari Simpang, di daerah kecil Simpati itu, turut mengakibatkan 200 buah rumah rosak, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), pada Khamis.

Bencana itu yang berlaku akibat hujan lebat sejak tengah hari Rabu, menyebabkan kedua-dua kawasan terbabit dilanda air banjir setinggi lima meter,
yang membawa bersama kayu-kayu besar dan bahan runtuhan dari bukit Rimbo Malapah.

Arus air banjir juga mengakibatkan sebuah jambatan dan Jalan Simpati Malampah terputus.

Sehingga kini belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa, namun sejumlah penduduk yang menjadi mangsa bencana itu kini ditempatkan sementara di masjid dan dua buah sekolah.

Agensi-agensi bantuan kerajaan menghantar para pegawai mereka ke kawasan terlibat untuk menguruskan bantuan bencana kepada mangsa-mangsa. - Bernama 8 rumah, satu surau dihanyutkan, 200 rumah rosak - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dirempuh ketika berjemaah

Dirempuh ketika berjemaah
SEREMBAN – Seorang bapa dan anaknya, nyaris maut apabila rumah mereka di Taman Tiroi, Labu, di sini, dirempuh sebuah kereta, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan anak perempuannya, Khairul Baiyinah, 11, baru sahaja selesai solat Isyak berjemaah.

Menceritakan detik kejadian, Ahmad berkata, jantungnya bagaikan mahu berhenti tatkala mendengar dentuman kuat sehingga menyebabkan rumahnya bergegar.

“Saya terus memeluk anak sejurus mendengar dentuman kuat. Saya hanya bimbangkan keselamatan Khairul Baiyinah.

“Bagaimanapun, alhamdulillah kami berdua selamat,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya dia dan anak bongsunya sahaja berada di rumah, sementara empat lagi anaknya tinggal di asrama universiti.

“Sejurus keluar bilik, saya melihat rumah rosak teruk. Dinding dan tiang tiada, sebaliknya sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih berada dalam rumah dengan keadaan empat tayar ke atas.

“Beberapa penduduk taman ini segera memberikan pertolongan untuk mengeluarkan pemandu lelaki berusia 40-an yang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja’afar bagi menerima rawatan lanjut.

Ahmad berkata, beberapa penduduk melihat kejadian itu mendakwa, kereta tersebut dipandu laju dari arah Seremban dan terus meluncur masuk ke dalam rumah.

“Meskipun saya kerugian hampir RM50,000 apabila sebahagian besar peralatan rumah, dua buah motosikal dan empat basikal rosak teruk, saya tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan anak saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap punca kejadian itu.

Dirempuh ketika berjemaah - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Duda parah angkara dendam adik tiri

parah
KOTA BHARU - Angkara dendam lama, seorang duda cedera parah dipercayai dihentak dengan ulu lesung batu bertubi-tubi oleh adik tirinya dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bagus, Rantau Panjang, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa Mukhtar Alwi Che Ismail, 43, cedera parah di kepala dan muka serta menerima 23 jahitan di kepala kanan akibat hentakan tersebut.

Mukhtar yang tidak bekerja itu menerima rawatan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan kini masih dalam keadaan separuh sedar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam bilik air di rumahnya untuk mengambil wuduk sebelum didatangi adik tirinya yang dipercayai kurang siuman.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihentak bertubi-tubi dengan ulu lesung batu sebelum pengsan dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, polis menahan suspek yang juga bekas anggota polis komando 69 untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata merbahaya.

Sementara itu, adik mangsa, Nafsiah, 39, berkata, sebelum kejadian adik tirinya yang berusia 20-an itu datang ke rumah mangsa dan bertindak memukul abang kandungnya sehingga berlumuran darah.

Katanya, kejadian itu diketahui selepas ibunya, Asmah Abdullah, 60, menghubunginya setelah terkejut apabila mendengar jeritan Mukhtar meminta tolong.

“Sebaik selesai menunaikan solat Mahgrib, emak yang tinggal di rumah bersebelahan bergegas untuk melihat kejadian sebenar dan terkejut apabila mendapati abang berlumuran darah sambil mengerang kesakitan,” katanya ketika ditemui di HRPZ II semalam.

Nafsiah berkata, kejadian berkenaan kemungkinan berpunca perselisihan faham yang lama antara kedua-duanya yang sebelum ini pernah bergaduh.

Dia berkata, berikutan kecederaan yang dialaminya itu abangnya menerima beberapa jahitan di kepala dan mulut. Duda parah angkara dendam adik tiri - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Maut peluk kabel elektrik

maut-kabel elektrik
SEREMBAN – Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik, dipercayai mahu mencuri kabel elektrik di sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Munawir, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun itu ditemui maut dalam keadaan memeluk kabel elektrik oleh orang ramai.

Menurut saksi kejadian, Hee Kok Kit, 28, yang bekerja sebagai buruh binaan di pasar raya yang dalam proses pembaikan akibat terbakar seminggu lalu, dia terperanjat melihat kenderaan bomba dan polis di hadapan premis berkenaan.

“Orang ramai memenuhi kawasan belakang pasar raya. Saya dimaklumkan, ada orang maut terkena renjatan elektrik.

“Saya masuk ke bilik pendingin hawa dan mendapati seorang lelaki yang hanya berseluar tanpa memakai baju dan kasut dalam keadaan memeluk kabel elektrik,” katanya.

Kok Kit berkata, insiden itu pertama kali berlaku di pasar raya berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, mangsa yang berasal dari Labu itu, dipercayai seorang penagih dadah dan menganggur.

“Mangsa dipercayai mahu mencuri kabel elektrik pasar raya berkenaan tetapi terkena renjatan elektrik ketika kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat, sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Maut peluk kabel elektrik - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat nelayan bawah sampan

mayat dijumpai
BUKIT MERAH – Kehilangan seorang nelayan, Mat Dan Yahya, 71, di sini, membawa kepada penemuan mayat mangsa di bawah sampannya, di Sungai Kurau oleh penduduk kampung, kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hasan berkata, sekitar jam 4 petang, seorang penduduk menemui motosikal dan pakaian mangsa di atas tebing sungai.

Menurutnya, sampan mangsa turut ditemui di sungai itu menyebabkan penduduk berkenaan berasa hairan sebelum bertindak memanggilnya dan beberapa penduduk lain untuk mencari mangsa.

“Bimbang kejadian tidak dingini berlaku, kami kemudiannya, mencari di sekitar kawasan ini, namun mangsa tak dijumpai.

“Dalam usaha mencari ini, seorang penduduk menghubungi pihak polis,” katanya.

Mohamad berkata, penduduk kemudiannya meneruskan operasi mencari dan menyelam ke dalam sungai, sebelum menjumpai mangsa terapung di bawah sampannya.

“Mat Dan dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.

“Berkemungkinan arwah terkena serangan jantung dan tidak sempat berenang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah membuat laporan polis selepas menjumpai mayat mangsa dan dibawa ke Hospital Parit Buntar.

“Sekitar jam 11 pagi tadi (semalam) Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bukit Merah,” katanya.

Tambahnya, kali terakhir dia melihat arwah beberapa hari sebelum kejadian dan arwah kelihatan lesu seolah-olah tidak sihat.

“Arwah merupakan antara pekebun kecil kelapa sawit di sini yang mesra dengan semua penduduk selain menjalankan aktiviti sampingan sebagai nelayan sungai,” katanya

Hadir sama ke tempat kejadian, Penyelaras Parlimen Bagan Serai, Datuk Zaili Cha.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Mayat nelayan bawah sampan - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Saya tetap cinta walau dia jahat

remaja
Dungun – “Biarpun dia jadi buruan polis dan seorang pe­nge­dar dadah, saya tetap menyintainya malah sanggup jadi isteri jika dia sudi terima saya.”

Demikian luah seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), di sini ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Lebih mengejutkan apabila penuntut tahun pertama jurusan teknologi maklumat itu sanggup kahwin lari sekiranya ibu bapanya menghalang.

“Buat masa ini ibu bapa saya tidak mengetahui mengenai hubungan kami, namun saya akan maklumkan kepada mereka apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Kata penuntut yang hanya mahu dikenal sebagai Dila ini, dia tidak kesal menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki terbabit biarpun tahu jenayah yang dilakukan.

Gadis berasal dari Temerloh, Pahang itu juga mengakui, sebelum ini dia tidak tahu bahawa teman lelakinya seorang kaki dadah sehinggalah dihubungi polis kerana komputer riba miliknya berada dalam simpanan lelaki berkenaan.

Dila memberitahu, dia dihubungi polis setelah teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan di sebuah rumah dekat Jalan Bunga Raya.

“Saya kenal dia dua bulan lalu, kami berkenalan di sebuah kedai makan dan mula bertukar nombor telefon.

“Sejak itu kami makin rapat dan sering bertemu,” katanya yang hadir di balai polis untuk menuntut komputer riba miliknya,

Dila berkata, biarpun tahu teman lelaki itu bakal dihadapkan ke mahkamah, cintanya tetap tidak berubah.

“Biarpun baru tahu jenayah yang dilakukan tetapi saya tetap tidak dapat melupakannya,” katanya.

Demi cinta, dia sanggup menunggup teman lelakinya itu menjalani hukuman asalkan dapat menjadi suri dalam hidup suspek.

Buat masa ini, kata Dila, dia merahsiakan hubungan mereka kerana dia masih belum habis belajar manakala teman lelakinya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Suspek, 21, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik setelah mendapati remaja yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu disyaki menjadi dalang utama membekalkan dadah jenis pil kuda kepada penagih tempatan.

Penemuan 10 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphethamine dalam poket seluar suspek menguatkan dakwaan dia terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut selain turut menasihati golongan remaja agar lebih berhati-hati jika ada hubungan cinta dengan lelaki tidak dikenali untuk mengelakkan diri terbabit dengan perkara menyalahi undang-undang.

Saya tetap cinta walau dia jahat - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Komuter langgar stesen setelah brek rosak di Argentina


KOMUTER yang melanggar stesen Once setelah mengalami kegagalan brek menyebabkan 49 orang terbunuh di Buenos Aires, kelmarin. - REUTERS


BUENOS AIRES 23 Feb. - Pasukan penyelamat terpaksa memotong sebahagian bumbung komuter yang rosak teruk dalam satu kemalangan, selepas komuter itu melanggar penghadang di sebuah stesen di bandar raya ini bagi mengeluarkan mayat-mayat.
Kemalangan pagi semalam itu mencatatkan 49 terbunuh, manakala 600 yang lain cedera.
Jurucakap polis, Fernando Sostre berkata, pasukan penyelamat perlu memotong bumbung komuter pada gerabak pertama ekoran kesukaran untuk mengeluarkan mayat-mayat.
Jeritan 'Merah! Merah!' kedengaran setiap kali mangsa yang cedera parah dibawa keluar dari gerabak dan tempat kejadian turut menjadi tumpuan orang ramai.
Bahagian depan komuter merupakan bahagian paling teruk terjejas dan ketika kejadian, ia membawa 2,000 penumpang sebelum melanggar penghadang di Stesen Once akibat kerosakan brek.
"Saya melihat komuter tersebut berada dalam keadaan tidak selamat dan menyedari breknya tidak berfungsi," kata seorang daripada saksi, Alfredo, 28 tahun.
Anggota-anggota pertahanan awam cuba menenangkan ahli keluarga mangsa yang bergegas ke stesen berkenaan bagi mengetahui nasib saudara-mara mereka yang terlibat dalam nahas tersebut.
Empat jam selepas kemalangan itu, Ketua Perkhidmatan Kecemasan Buenos Aires, Alberto Crescenti mengeluarkan arahan agar operasi menyelamat dihentikan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

ILI: 67 pelajar dikuarantin


SEBAHAGIAN daripada 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dikuarantin di bangunan berasingan sekolah berasrama penuh tersebut kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI) di Ayer Keroh, Melaka, semalam.


MELAKA 23 Feb. - Sebanyak 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh di sini dikuarantin di bangunan berasingan di sekolah berasrama penuh itu kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI).
Mereka terdiri daripada 29 pelajar perempuan dan 38 lelaki dikuarantin setelah dikesan dijangkiti penyakit itu malam Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata, keadaan di sekolah terbabit terkawal dan setakat ini semua pelajar yang dijangkiti menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
"Malah, pada awalnya sebanyak 77 pelajar dijangkiti, namun semalam 10 daripada mereka iaitu lapan perempuan dan dua lelaki dibenarkan pulang ke asrama.
"Manakala 67 lagi pelajar yang masih mengalami ILI diasingkan di sebuah bangunan dengan rawatan dan pemantauan kesihatan dijalankan oleh para doktor dan kakitangan Jabatan Kesihatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik membawa keluar anak masing-masing dari sekolah tersebut kerana pengurusan kesihatan ILI adalah lebih baik dijalankan di situ.
"Di sini, terdapat doktor dan kakitangan perubatan yang bertugas secara berjadual bagi memberi rawatan dan ubat di samping kebersihan sekolah yang terjamin," katanya.
Tian Loo menambah, punca bagaimana jangkitan tersebut boleh merebak juga masih belum diketahui dan sedang disiasat.
"Kita sedang menunggu laporan daripada hospital. Saya sudah tubuhkan satu unit khas untuk pantau perkembangan penyakit setiap hari," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Dua sahabat terbabas

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Dua sahabat yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut apabila motosikal yang mereka naiki terbabas merempuh sebatang pokok di Jalan Pahang di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, R. Muraly, 31, dan rakannya, A. Muralidheran, 32, mati selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Jurucakap polis berkata, semasa kejadian, kedua-dua mereka yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke Setapak.
"Penunggang motosikal itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas merempoh sebatang pokok hiasan di kiri jalan.
"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mereka tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Muraly berasal dari Jalan Genting Klang manakala Muralidheran beralamat di Batu Caves.
Polis dalam pada itu turut meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Rakan Cop 03-21159999.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Guna nama polis untuk kaut wang RM100,000

KLANG 23 Feb. – Sepasang kekasih yang menggunakan nama seorang pegawai polis untuk memperoleh wang daripada keluarga dua orang kena tuduh kes dadah diberkas dalam operasi berasingan di Taman Sentosa dan Bandar Puteri di sini, semalam.
Dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu diberkas kira-kira pukul 7.45 malam selepas keluarga kedua-dua mangsa membuat laporan polis.
Salah seorang daripada mereka merupakan pemilik kedai menjual telefon bimbit dan pasangan itu dikatakan memperoleh wang hampir RM100,000 daripada keluarga kedua-dua mangsa.
Bayaran itu kononnya untuk membantu membebas atau mengurangkan hukuman terhadap anak-anak mereka.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kes itu terbongkar apabila keluarga kedua-dua mangsa berjumpa dengan polis setelah tidak berpuas hati kerana bantuan yang dijanjikan tidak ditunaikan.
Beliau berkata, selepas pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu menjelaskan yang dia tidak mengenali pasangan terbabit, keluarga mangsa terus membuat laporan polis.
“Polis mengadakan satu operasi khas selepas menerima laporan tersebut untuk memerangkap kedua-dua suspek dan mereka akhirnya berjaya diberkas.
“Kami sedang menyiasat bagaimana pasangan itu memperoleh maklumat mengenai mangsa, keluarganya dan pergerakan kes. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.
Mohamad dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan janji pihak tertentu yang kononnya dapat membantu membebaskan orang yang ditahan bersabit kes-kes jenayah dengan sejumlah bayaran apatah lagi menggunakan nama pegawai atau anggota polis.
“Itu semua percubaan untuk menipu dan boleh memburukkan nama pihak polis. Saya juga minta orang ramai yang pernah terlibat dengan kes seumpama ini agar membuat laporan,” kata beliau.

Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

Dua maut dalam nahas berasingan

KUANTAN 23 Feb. - Dua penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan berasingan yang berlaku di daerah Temerloh dan Bera, semalam.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, kemalangan pertama berlaku di Kilometer 49.5, Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Maran.
Katanya, mangsa, Wan Ahmad Budi Wan Mahmod, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami di kepala.
"Mangsa ketika itu menunggang motosikal bersendirian dari Jalan Temerloh menghala ke Jengka. Dipercayai motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, dalam kejadian kedua, seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Temerloh-Bahau dekat Bera.
Katanya, dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa, Lee Kean Chau, 74, dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Bahau.
"Mangsa dipercayai cuba memasuki simpang secara mengejut sebelum bertembung dengan motosikal lain dari arah bertentangan.
"Kean Chau mati ketika dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh," katanya.

Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

Bekas pengarah syarikat didenda

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Seorang bekas pengarah syarikat pembekal senjata api didenda RM12,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan memasukkan wang RM160,000 milik syarikatnya ke dalam akaun persendiriannya, dua tahun lalu.
Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Noorhamizam Hamid, 34, setelah lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya.
Noorhamizam sebagai pengarah syarikat Rebana Emas Sdn. Bhd., mengaku telah tidak bertanggungjawab dengan tugasnya dengan menunaikan sekeping cek Maybank Bhd. bernilai RM160,000 ke dalam akaun persendiriannya di Bank CIMB tanpa pengetahuan dan kebenaran Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Bank CIMB, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tingkat Bawah, Blok B, Bahagian Pusat Pelajar UPM, Serdang dekat sini pada 4 Oktober 2010.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM30,000.
Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Fadilah Abdul Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
Noohamizam yang tidak diwakili peguam bela pula memohon hukuman ringan atas alasan dia telah memulangkan RM30,000 kepada syarikat tersebut.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Cubaan seludup rokok bernilai RM286,482 gagal

BATU PAHAT 23 Feb. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas sejumlah 3,338 karton rokok keretek pelbagai jenama bernilai RM286,482 termasuk cukai yang cuba diseludup masuk menerusi perairan daerah ini semalam.
Semua rokok tersebut ditemui dalam sebuah bot yang tersadai di kawasan paya bakau muara Sungai Koris pukul 6.15 pagi, dipercayai cuba dibawa masuk dari Indonesia.
Sebelum itu, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang melakukan rondaan mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan enam batu nautika (11 kilometer) ke selatan perairan Tanjung Laboh dan mengarahkan tekong supaya berhenti namun tidak diendahkan.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, anggotanya kemudian yang menaiki bot Petir 85 mengejar bot itu selepas ia dipandu laju menghala ke daratan.
"Selepas dikejar hampir setengah jam, pihak kami menemui bot itu berukuran 15 meter panjang dilengkapi tiga enjin Yamaha 200 kuasa kuda yang diubah suai, tersadai di kawasan paya bakau, manakala tekong dan pekerja bot telah melarikan diri.
"Hasil pemeriksaan dalam bot itu, kami menemui sebanyak 50 guni berisi rokok pelbagai jenis seperti Gudang Garam Surya, Gudang Garam Nusantara Hijau, Gudang Garam Nusantara Merah dan Halftime 5," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Adon berkata, bot bersama enjin digunakan suspek yang dianggarkan bernilai RM35,000 turut dirampas dan ditunda ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini untuk siasatan lanjut.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 (Akta 235) kerana kesalahan mengangkut barang larangan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali nilai dagangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Beliau meminta orang ramai terutamanya nelayan supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mencurigakan di perairan negara kepada pihaknya di talian 07-4344020.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Kedai gambar jual sijil cuti sakit


Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menunjukkan sijil cuti sakit palsu yang dijual di sebuah kedai gambar pada sidang akhbar di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 23 Feb. - Sebuah kedai gambar di Taman Ungku Tun Aminah di sini bukan sahaja sering dikunjungi oleh pelanggan yang ingin memproses gambar dan membeli peralatan kamera malah ia turut menjadi tumpuan pekerja yang sering 'sakit'.
Ini kerana premis berkenaan dikesan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu dan kegiatan haram itu dipercayai mula aktif sejak setahun lalu.
Hasil maklumat orang ramai dan siasatan polis, seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga pemilik kedai gambar itu ditahan pukul 1.26 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, turut dijumpai semasa serbuan itu adalah 172 keping sijil cuti sakit disyaki palsu dengan 10 keping ditemui di dalam poket seluar suspek, manakala bakinya ditemui dalam pejabat kedai tersebut.
"Polis turut menemui 13 unit cop getah atas nama 13 doktor yang bekerja di hospital kerajaan, tiga unit komputer, sebuah komputer riba, dua pencetak, dua 'pendrive', dua keping disket yang kesemuanya dipercayai digunakan untuk menghasilkan sijil cuti sakit palsu.
"Siasatan awal mendapati, pemilik kedai itu menjual sijil cuti sakit palsu kepada rakyat tempatan yang bekerja di Singapura dan sekitar bandar raya ini dengan harga RM25 sekeping," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Menurutnya, butiran maklumat pesakit serta tarikh cuti perlu diisi sendiri oleh pelanggan kerana mereka hanya menyediakan sijil dan cop doktor sahaja.
Mohd. Mokhtar berkata, berdasarkan semakan 13 cop doktor berkenaan, seramai enam doktor masih berkhidmat di hospital kerajaan di Johor Bahru, manakala selebihnya telah bertukar ke hospital lain.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dalam satu lagi kes, beliau memberitahu, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru kosong serta dadah dipercayai jenis syabu di Taman Ungku Tun Aminah pada Khamis lalu.
Beliau berkata, lelaki yang ditahan pukul 6.30 petang itu memiliki satu rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) Akta Berbahaya 1952, katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Jadikan hotel markas operasi: 5 suspek Geng 6 Jari tumpas

HULU LANGAT 23 Feb. - Tindakan sekumpulan penjenayah menjadikan sebuah hotel di Jalan Semenyih di sini sebagai markas operasi jenayah samun serta pecah rumah akhirnya terbongkar apabila polis menahan lima ahli kumpulan itu di hotel tersebut baru-baru ini.
Kumpulan yang dikenali sebagai Geng 6 Jari itu aktif melakukan jenayah samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang dan dikatakan menggunakan hotel tersebut sebagai lokasi perbincangan mereka sebelum dan selepas melakukan jenayah.
Difahamkan, kumpulan ini digelar Geng 6 Jari kerana ketuanya memiliki enam batang jari pada sebelah tangannya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada 13 Februari lalu, kesemua suspek yang ditangkap termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 36 tahun.
Ab. Rashid berkata, pemeriksaan polis di bilik hotel berkenaan turut menemui beberapa peralatan pecah rumah dan samun serta barang berharga dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka.
Antara yang dirampas, katanya, lima bilah pisau lipat, parang, sebuah kereta Proton Saga, telefon bimbit, pemotong besi dan beberapa peralatan pecah rumah.
"Turut dirampas, pistol mainan yang dipercayai digunakan untuk menakut-nakutkan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Ab. Rashid, geng itu menyasarkan rumah teres yang tidak berpenghuni pada waktu siang mahupun malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah itu terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes pecah rumah di sekitar daerah Kajang sejak tahun lalu.
"Empat daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah, samun, dan dadah. Kesemua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam pada itu, Ab. Rashid berkata, pihaknya turut menumpaskan satu kumpulan yang dikenali sebagai Geng Sathia selepas menahan 10 lelaki tempatan pada 9 Februari lalu.
Beliau berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menyiasat kes samun sebuah rumah dan melarikan kenderaan jenis Perodua Alza milik mangsa.
"Hasil siasatan itu, polis dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor berjaya menahan kesemua suspek di Banting, Dengkil dan Kampung Baru Subang.
"Kita turut menemui beberapa peralatan menyamun seperti parang, pisau, serta barangan hasil curi antaranya rantai emas, cincin dan kereta Alza," katanya
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Anggota polis cedera ketika berkas penjenayah


Suspek yang cedera kerana menyerang polis dengan parang dibawa ke hospital di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 23 Feb. - Seorang anggota polis cedera di tapak kaki kanan dan jari kiri akibat ditetak dua penjenayah yang cuba memecah masuk sebuah premis di Lebuh Pekaka, Sungai Nibong di sini awal pagi ini.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah mereka.
Kejadian pukul 3 pagi itu berlaku ketika empat anggota dari Balai Polis Sungai Nibong yang membuat rondaan terserempak dengan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan.
Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, salah seorang suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang dan cuba menetak mereka menyebabkan salah seorang anggota polis terpaksa melepaskan tembakan.
Anggota polis yang cedera itu kini dirawat di hospital.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, Konstabel Shahrizal Zainol, 25, terpaksa berbuat demikian bagi mempertahankan dirinya ketika diserang penjenayah terbabit.
Menurutnya, salah satu tembakan terkena pada kaki konstabel itu ketika bergelut dengan suspek.
"Suspek berusia 25 tahun terkena tembakan di bahu manakala rakannya berusia 42 tahun terkena tembakan di leher.
"Polis juga berjaya merampas sebilah parang dan kita percaya kedua-dua suspek terbabit terlibat dalam beberapa kes samun di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.
Siasatan awal polis mendapati, suspek berusia 25 tahun dipercayai berasal dari Perak itu mempunyai 19 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah manakala rakannya dari Batu Maung di sini tidak memiliki rekod jenayah.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Kecederaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata merbahaya dan Seksyen 304 kanun sama kerana cuba membunuh.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Geng samun Vios dicekup


Ab. Rashid Ab. Wahab menunjukkan beberapa barang rampasan yang digunakan oleh penjenayah dalam kes samun dan pecah rumah di Kajang, semalam. - BERNAMA


HULU LANGAT 23 Feb. - Taktik sekumpulan penjenayah dikenali sebagai 'geng bumber' meminta maaf selepas melanggar kereta mangsa terutamanya Toyota Vios dari belakang sebelum menyamun dan melarikan kenderaan tersebut tumpas selepas polis menahan dua lelaki di Bandar Teknologi Kajang di sini minggu lalu.
Kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun dan menaiki kereta Proton Waja itu ditangkap anggota polis yang sedang melakukan rondaan keselamatan di kawasan Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, menyedari kehadiran polis, suspek bertindak memecut kenderaan mereka ke arah Bandar Teknologi Kajang sebelum berhenti menyorok di tapak pembinaan di kawasan tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kedua-dua suspek terlibat sekurang-kurangnya dalam 16 kes langgar belakang dan samun kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu.
"Mereka (suspek) akan menyasarkan pemandu Toyota Vios tidak kira wanita atau lelaki yang dilihat memandu seorang diri
"Pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan suspek didapati ia merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Serdang awal tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ab. Rashid berkata, suspek akan berpura-pura meminta maaf sebaik sahaja melanggar kenderaan mangsa sebelum mengeluarkan parang dan melarikan kenderaan itu.
Katanya, suspek juga akan bertindak ganas hingga sanggup mencederakan jika mangsa cuba melawan.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

2 pelarian Myanmar antara diberkas edar dadah

JOHOR BAHRU 23 Feb. - Polis menahan empat lelaki termasuk dua warga Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di Kota Tinggi semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd, Shariff berkata, keempat-empat suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun ditahan pada pukul 8.20 malam di Jalan Niaga 2 dekat sini.
"Ketika serbuan, kesemua suspek berada di luar kereta dan salah seorang daripada mereka memegang satu beg plastik putih. Apabila diperiksa, beg itu mengandungi lima bungkusan berisi dadah dipercayai heroin seberat 2.31 kilogram.
"Anggaran harga jualan runcit dadah berkenaan adalah RM100,000 dan dadah itu dianggarkan mampu digunakan oleh seramai 7,700 pelanggan di Kota Tinggi, Mersing dan bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sebuah kereta Proton Persona, manakala sebuah motosikal pula dirampas dalam pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang.
Mohd. Mokhtar berkata, seorang daripada suspek didapati positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan dadah.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988, katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Wanita Thailand edar 660 gram kokain

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Seorang ibu tunggal warga Thailand dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dadah jenis kokain, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Su Geok Yiam memutuskan demikian selepas mendapati keterangan bela diri tertuduh, Chaloemlak Nakkoed, 32, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap tuduhan berkenaan.
Seramai 21 saksi pendakwaan dan hanya tertuduh tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.
Mengikut pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai kedi di sebuah kelab golf di Kittinakorn, Thailand itu didakwa mengedar 454 gram kokain dalam bentuk 32 biji kapsul kira-kira pukul 8.05 malam, 7 September 2009 di bilik 908, Citin Hotel, Jalan Pudu di sini.
Bagi pertuduhan kedua, ibu kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu didakwa mengedar 206 gram kokain juga dalam bentuk kapsul di antara pukul 2.55 pagi dan 10.20 malam, 8 September tahun sama di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Mohd. Yusof manakala tertuduh diwakili peguam bela, T. Chakaravarthi.
Sewaktu peringkat bela diri, Chaloemlak yang berada di negara ini selepas tiba dari Brazil melalui Dubai menyatakan, dia tidak mengetahui bagaimana 32 biji kapsul boleh berada di dalam beg beliau.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku ada menelan beberapa kapsul namun menafikan bahawa dia mengetahui kapsul-kapsul terbabit berisi dadah.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Lelaki Iran, tempatan edar 895 gram syabu

SHAH ALAM 23 Feb. - Seorang penjual barangan elektrik warganegara Iran dan seorang lelaki rakyat tempatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 895 gram dadah jenis syabu di sebuah kompleks beli-belah, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Habib Syayyan Sandi, 40, dan Tay Chong Chaw, 41, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Dalam penghakimannya, beliau menolak keterangan kedua-dua tertuduh berhubung kewujudan pihak ketiga yang didakwa pemilik dadah tersebut, Peyme Soleyman Pour kerana nama lelaki itu hanya ditimbulkan pada peringkat pembelaan.
Katanya, tiada seorang saksi pun nampak lelaki yang dikatakan berada di tempat kejadian untuk menyerahkan bungkusan berisi dadah kepada kedua-dua tertuduh semasa serbuan dan tangkapan dilakukan oleh pihak polis.
Habib dan Chong Chaw didakwa mengedar 895 gram syabu (methamphetamine) di lif Utara berhadapan Adidas Store, Lot G-025 & G-027, Mid Valley Megamall, Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur dekat sini pada pukul 3.50 petang, 19 Oktober 2009.
Kedua-dua tertuduh dibicara mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Mohd. Yusoff manakala Habib dan Chong Chaw diwakili peguam Gooi Soon Seng.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Rumah terbakar kali kedua


Rumah Jumahat di Kampung Jawa Hulu Pulai Sebatang yang hangus dalam satu kejadian kebakaran di Pontian, semalam.


PONTIAN 23 Feb. - Tujuh belas tahun lalu , keluarga Jumahat Samsuri, 60, pernah tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran.
Walaupun berdoa semoga kejadian itu hanya berlaku sekali dalam hidup, namun takdir tetap menguji ketabahan hati mereka apabila kejadian serupa menimpa lagi pagi ini.
Rumah yang didiami Jumahat bersama isteri, Siti Khadijah Sadirin, 53, dan anak bongsu mereka di Kampung Jawa Hulu Pulai Sebatang di sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 11.30 pagi.
Bagaimanapun, mujurlah tiada siapa berada di rumah ketika kejadian kerana dia dan isteri keluar bekerja, manakala anak bongsunya belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi.
Menurut Jumahat, rumah berkenaan dibina di bawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) selepas kejadian pertama.
"Ibu saya, Salamah Mat Kisan, 75, yang tinggal di rumah bersebelahan ternampak api mula marak di bahagian dapur sebelum terdengar bunyi letupan.
"Ibu cuba padamkan api dengan menyiram air menggunakan baldi tetapi api terus marak sehingga ke bahagian hadapan rumah. Ibu saya kemudian meminta bantuan jiran," katanya yang mempunyai enam orang anak.
Sebaik tiba di rumah setelah dimaklumkan jirannya, dia amat terkejut apabila melihat api sedang marak dan tidak dapat menyelamatkan barangan dan dokumen penting lain.
Siti Khadijah yang bekerja di sebuah kilang di Api-Api di sini pula berharap ada agensi yang dapat membantu mereka mendirikan rumah baru untuk keluarga mereka dan kini menumpang di rumah ibu mertuanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I Bomba dan Penyelamat Pontian, Bahtiar Selamat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 11.35 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'