Search This Blog

Wednesday, February 22, 2012

Melacur kumpul duit kahwin

POLIS menyoal siasat wanita yang dipercayai menawarkan khidmat seks dalam serbuan di hotel bajet di Johor Bahru, semalam.
POLIS menyoal siasat wanita yang dipercayai
menawarkan khidmat seks dalam serbuan
 di hotel bajet di Johor Bahru, semalam.


Pelayan pusat karaoke beri alasan ketika ditahan selepas layan pelanggan

JOHOR BAHRU: Seorang pelayan pusat karaoke mendakwa terpaksa menawarkan khidmat seks ketika bekerja di situ, bagi mengumpul wang untuk membiayai majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung beberapa bulan lagi.
Alasan itu diberikan ketika anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Johor menyerbu sebuah bilik hotel bajet terletak di belakang pusat karaoke tempat wanita itu bekerja, dekat Jalan Tun Abdul Razak di sini, awal pagi semalam.
Ketika ditahan, wanita terbabit baru saja selesai melayan seorang lelaki yang melanggannya ketika mengunjungi pusat karaoke berkenaan.

Sebaik ditahan, wanita berusia lingkungan 20-an itu menangis meminta dilepaskan kerana bimbang perkahwinan yang dirancangnya beberapa bulan lagi musnah jika kegiatan itu diketahui tunangnya.

Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan, Mohammad Abd Hamid, berkata serbuan dilakukan mulai jam 12 malam selepas mendapat maklumat awam dan hasil risikan berhubung kegiatan pelacuran yang ditawarkan pusat karaoke terbabit.

Katanya, dua pelayan wanita tempatan yang bekerja di pusat karaoke itu disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka dan penjaga pusat karoke terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Modus operandi yang digunakan lebih kurang sama dengan pusat hiburan eksklusif yang diserbu baru-baru ini, apabila pelayan menawarkan khidmat seks ketika berada di dalam bilik karaoke sebelum menjadikan hotel murah berdekatan untuk melampiaskan nafsu untuk menutup kegiatan mereka.

“Di sini, tawar menawar dibuat antara pelanggan dengan penjaga pusat karoke itu, sebelum persundalan dilakukan di hotel murah kira-kira 20 meter di belakang pusat terbabit dengan bayaran RM250,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pelacuran, manakala penjaga premis ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) kanun sama.

“Operasi berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan aktiviti persundalan dan jenayah lain dapat dibanteras.

“Maklumat dan kerjasama daripada orang ramai diperlukan untuk membantu polis menangani kegiatan jenayah,” katanya.

Berita Harian Online | Melacur kumpul duit kahwin:

'via Blog this'

16 sertai perhimpunan anti ISA didapati bersalah

KUALA LUMPUR: Seramai 16 individu yang ditahan kerana membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara tiga tahun lalu, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan terbabit dengan perhimpunan haram.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kes itu melampaui keraguan munasabah selepas semua tertuduh gagal mewujudkan keraguan berhubung kes berkenaan.
Pada 3 Ogos 2009, seramai 16 orang didakwa mengikut Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram di sekitar Masjid Negara.

Berita Harian Online | 16 sertai perhimpunan anti ISA didapati bersalah:

'via Blog this'

5 maut tembakan di spa Korea AS

WASHINGTON: Lima terbunuh dalam kejadian tembakan di Spa Korea, di luar Atlanta, hari ini, menurut laporan stesen berita tempatan dan pihak polis daerah itu.

Syarikat televisyen tempatan yang juga sekutu CBS, WGCL yang memetik Ketua Polis, Warren Summers berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan-bunuh diri.
Katanya, tembakan itu berlaku kira-kira jam 8.40 malam (waktu tempatan) di spa kesihatan Sujung.
Polis mengesahkan angka kematian kepada lima mangsa, tetapi tidak mengulas lanjut berhubung kejadian itu. - AFP

Berita Harian Online | 5 maut tembakan di spa Korea AS:

'via Blog this'

13,000 DVD cetak rompak, lucah dirampas

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 10,000 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak filem Tamil dan 3,000 keping DVD lucah bernilai RM200,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Tun Sambanthan di sini, malam tadi.
Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Cawangan Wilayah Persekutuan, Omar Mohd Bahari berkata premis yang mula beroperasi sejak dua tahun lepas pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.
"KDN hari ini menemui satu lubang kecil dipercayai stor menyimpan DVD berkenaan yang dibuat sendiri di bahagian dinding belakang premis yang terletak di tingkat dua dan berselindung sebagai rumah kedai yang mengandungi bilik-bilik sewa,” katanya kepada pemberita.
Omar berkata anggotanya terpaksa memecahkan dinding stor kecil itu yang disembunyikan di belakang tempat sembahyang pemilik premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Beliau berkata stor penyimpanan itu juga dijadikan tempat pembungkusan DVD berkenaan sebelum diedarkan ke kawasan sekitarnya dan serbuan kali ini dibuat setelah mengumpul maklumat daripada orang ramai sejak dua minggu lepas.
"KDN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui pembekal DVD dan video lucah bagi pasaran tempatan itu kerana ketika diserbu, pemilik premis berjaya melarikan diri,” katanya.
Katanya serbuan dibuat mengikut Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM30,000 bagi DVD filem manakala bagi video lucah, pengedar boleh didenda RM10,000 sehingga RM50,000 atau tidak lebih lima tahun penjara.
Operasi yang bermula pada pukul 8.30 malam itu berakhir sejam kemudian dengan kekuatan 10 anggota penguatkuasa KDN. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Pencuci dipenjara 8 bulan curi motorsikal

GEORGETOWN - Seorang pencuci kereta dikenakan hukuman penjara lapan bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri sebuah motosikal.
Majistret Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Balasubramaniam, 31, selepas mengaku bersalah dan berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Balasubramaniam didakwa mencuri motosikal berkenaan bernilai kira-kira RM1,500 kepunyaan Neoh Kok Oun di Jalan SP Cheliah, Jalan Patani di sini, pada pukul 6.15 petang, 14 Februari lepas.
Dia didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman enam bulan hingga lima tahun penjara dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Geng Leslee 17 anggota termasuk warga Myanmar tumpas

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan geng pecah rumah dikenali 'Leslee' berikutan kejayaan memberkas 17 ahli kumpulan, termasuk warga Myanmar, yang terlibat dalam 50 kes sepanjang setahun lalu di sekitar Lembah Klang.
Kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki tempatan, berumur 27, dan dibantu 16 ahli yang merupakan warga Myanmar, berumur antara 23 hingga 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kumpulan ini aktif lebih setahun dan menyasarkan rumah dan premis yang tidak berpenghuni.
Katanya, polis menemui 30 jenis barangan yang dipercayai barang curi, dianggarkan bernilai RM250,000.

Geng Leslee 17 anggota termasuk warga Myanmar tumpas - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tipu daya penyamun

KUALA LUMPUR: Berbekalkan alasan akan memulangkan semula barang samun, sekumpulan tiga lelaki memperdaya seorang remaja bawah umur dengan memintanya menunggu di satu lokasi sebelum diculik dan dirogol bergilir-gilir bersama seorang lagi rakan lain dalam kejadian di sebuah hotel di Pudu, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, remaja berusia 17 tahun berasal dari Kundang, didatangi tiga lelaki tidak dikenali ketika dia pergi ke kedai berhampiran Rawang.
Sumber berkata, dengan tiba-tiba, lelaki itu menyamun barangan berharga milik mangsa, termasuk wang tunai sejumlah RM100 dan telefon bimbit.

Bagaimanapun selepas mangsa merayu agar barangannya dipulangkan, lelaki itu berjanji berbuat demikian dengan syarat mangsa menunggu di lokasi dia disamun pada jam 11.30 malam.

“Seperti dijanjikan, tiga lelaki itu datang dengan ditemani seorang lagi rakan lain sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kereta jenis Proton Wira dan memecut ke arah ibu kota.

myMetro | Tipu daya penyamun:

'via Blog this'

Adun dimaki dalam Facebook

Zainal-Abidin-menunjukkan-gambarnya-disiarkan-dalam-laman-sosial-tersebut-yang-menjadi-sasaran-seora
JEMPOL- Tanpa sebarang sebab, seorang remaja bertindak menghambur kata-kata kesat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad menerusi komen dalam laman sosial, Facebook.

Kata-kata kesat berbaur lucah itu terpapar dalam akaun Facebook sebuah kumpulan warga Felda sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Berikutan itu, Zainal Abidin bercadang untuk membuat laporan polis berhubung tindakan remaja berkenaan yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagaimanapun, saya menarik balik hasrat berkenaan selepas remaja terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulanginya.

“Saya tidak tahu punca remaja berkenaan berbuat demikian tetapi saya percaya ini di­sebabkan sikapnya yang masih muda,” katanya.

Zainal Abidin berkata, tindakan remaja berkenaan seharusnya menjadi teladan kepada remaja lain supaya berhati-hati dalam memberi sebarang komen kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang serta tidak sihat kepada masyarakat.

“Tidak salah untuk memberi pandangan laman sosial tetapi bukan disalah guna. Kadang-kala orang yang membaca boleh salah tafsir mengenai satu-satu hal yang ditulis dalam laman sosial,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Zainal Abidin turut menasihatkan remaja supaya menjaga perilaku terutama ketika berhadapan dengan orang lebih tua.

“Mereka juga adalah pemimpin masa depan. Jadikan perkara ini sebagai iktibar agar ianya tidak berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian mendapati komen dalam laman Facebook berkenaan sudah dibuang dan remaja berkenaan memberitahu akan menemui Zainal Abidin dalam masa terdekat untuk menjernihkan keadaan.

Adun dimaki dalam Facebook - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sembur cat pada dinding

adun
BUKIT BERUANG - Tindakan pihak tertentu menyembur cat dengan perkataan provokasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, di sini mengundang rasa kurang senang pemimpin pembangkang di negeri ini.

Tulisan tertera perkataan ‘ABAI - Asal Bukan Anwar Ibrahim’ itu disembur menggunakan cat merah serta hitam di pintu serta dinding tepi bangunan yang menempatkan pejabat berkenaan.

Tindakan provakasi itu dipercayai dilakukan pihak tertentu dengan mengambil nama ‘Asal Bukan Umno’ atau ABU yang dilancarkan PKR sebelum ini.

Ketua Pembangkang Melaka, Goh Leong San bagaimanapun berkata, tindakan mengecat bangunan berkenaan sebagai sesuatu yang tidak matang, sedangkan banyak cara lain untuk suarakan pendapat.

“Adalah lebih matang dan demokratik kalau diadakan debat atau pertemuan sekiranya hendak suarakan pendapat mereka. Itu adalah lebih sihat kerana cara menyembur cat, kerana ia tidak akan menyelesaikan apa-apa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Leong San yang juga Adun Kesidang berkata, beliau percaya perkataan berkenaan ditulis hujung minggu lalu, bagaimanapun hanya disedari mereka pagi semalam.

Menurutnya, perkataan serupa turut ditemui di sebuah kedai kopi berhampiran ibu pejabat DAP negeri yang sering dikunjungi pemimpin pembangkang, pagi Jumaat lalu.

“Saya percaya sekiranya hari ini pejabat DAP jadi sasaran, tidak mustahil selepas ini mereka akan menyasarkan pejabat Pas dan PKR pula,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya akan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan pelancaran program ABU di Masjid Tanah, Jumaat ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan sedemikian bertujuan mahu melaga - lagakan DAP dengan rakan PR yang lain.

Sembur cat pada dinding - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat nelayan lemas dijumpai

mayat nelayan
BANDAR PENAWAR - Mayat nelayan yang lemas di Sungai Papan, kelmarin, dijumpai pada jam 12.25 tengahari semalam, kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dipercayai hilang.

Mayat Mohd Hazli Kasimon, 28, dijumpai terapung dalam operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pihak bomba dan penyelamat.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Giman Gunorathi berkata, mayat mangsa dijumpai terapung selepas anggota penyelamat membuat goncangan air di kawasan berkenaan menggunakan bot.

“Selepas membuat goncangan air, kami dapati ada objek yang terapung. Setelah pemeriksaan dilakukan, objek berkenaan adalah mayat mangsa yang hilang dan lengkap berpakaian dijumpai kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, operasi mencari mangsa yang bermula pada jam 8 pagi itu, turut disertai seramai 20 anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan peralatan seperti bot dan
jet ski.

“Operasi yang masuk hari kedua digerakkan dengan menggunakan tiga bot dan sebuah jet ski. Malah, kita juga meneruskan operasi mencari sehingga jam 2 pagi semalam, dengan dibantu orang awam dan anggota marin.

“Dengan penemuan mayat mangsa, secara rasmi operasi mencari ditamatkan pada jam 1.50 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Che Mahazan Che Aik, ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum kepala dan kakinya terkena bilah kipas enjin bot yang masih berfungsi sebelum dihanyutkan arus.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan dituntut keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Felda Papan Timur,” katanya.

Turut hadir di tempat kejadian, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penawar, Hamimah Mansor.

Mayat nelayan lemas dijumpai - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sindiket curi kepala lori

kepala lori
IPOH – Kejayaan polis Selangor menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kecurian kepala lori membawa penemuan sebuah bengkel memisahkan komponen itu di Simpang, Taiping.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, bengkel yang terletak dalam ladang kelapa sawit dijadikan markas oleh satu sindiket untuk melerai lori curi dalam tempoh beberapa jam sebelum dijual sebagai alat ganti.

Menurutnya, polis menemui lebih 1,700 enjin lori yang sudah dileraikan dipercayai dilarikan ke lokasi berkenaan di Kampung Ayer Putih.

“Bengkel milik sindiket itu telah lama beroperasi di Changkat Jering sengaja menggunakan kawasan tersembunyi di ladang kelapa sawit untuk memisahkan komponen enjin lori itu.

“Sindiket itu mendapatkan lori yang dicuri itu dari Pulau Pinang, Lembah Klang, Selangor dan negeri ini sebelum dibawa ke bengkel berkenaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, lapan pekerja berjaya diberkas polis dalam satu serbuan, Sabtu lalu manakala, pemilik bengkel berusia 40-an sempat melarikan diri.

“Antara yang ditahan adalah seorang kerani perempuan, empat pekerja warga tempatam dan tiga lelaki warga Bangladesh yang diupah untuk melakukan tugas meleraikan komponen dan enjin lori curi itu.

“Turut ditemui berpuluh kepala lori curi yang turut disorok di dalam bengkel berkenaan dan menunggu masa untuk dileraikan oleh ahli sindiket berkenaan,” katanya.

Tinjauan mendapati bengkel itu dibina dengan kawasan sekelilingnya ditutup dengan zink. Beberapa pegawai polis sedang sibuk melakukan pemeriksaan nombor casis pada semua enjin lori ditemui. Sindiket curi kepala lori - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Samun mangsa ala samurai

mangsa rompak
SUNGAI PETANI – Tindakan ahli Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) Sungai Petani yang membuka pintu pagar rumahnya sebelum keluar bersama isteri menjadi laluan mudah tiga penjenayah bersenjata menyerang mereka.

Mangsa, Saw Kok Keong, 40, berkata, dia kerugian hampir RM10,000 dalam kejadian di Taman Semangat, Sungai Petani itu, jam 12.40 tengah hari semalam.

Katanya, dia bersama isterinya yang juga pemilik kedai telefon bimbit bersedia untuk keluar sebelum sebuah kenderaan Perodua MyVi berwarna putih tiba-tiba masuk ke pekarangan rumah sejurus pagar dibuka.

Menurutnya, sebaik kenderaan itu berhenti, tiga lelaki keluar dari kereta itu bersama senjata masing-masing.

“Tiga lelaki bersenjatakan dua parang dan sebilah pedang samurai keluar dari dalam kenderaan tersebut sebelum memberi amaran supaya tidak melawan.

“Dua daripada mereka memakai kain penutup muka dan sempat memberitahu bahawa kehadiran mereka tidak mahu mencederakan sesiapa, tetapi hanya mahukan wang,” katanya kepada media.

Kok Keong berkata, tiga lelaki tersebut mengarahkannya masuk ke rumah sebelum mengikatnya dan isteri.

Menurutnya, penjenayah kemudian meminta isterinya mengejutkan anak remajanya yang sedang tidur dan turut mengikat mangsa.

“Selepas menggeledah kira-kira 10 minit, tiga lelaki itu kemudian melarikan diri bersama barang rompakan.

“Selepas membuat pemeriksaan, saya mendapati dompet, telefon bimbit, komputer riba, sebuah walkie-talkie CRSM milik dan wang tunai lebih RM7,000 dilarikan penjenayah itu,” katanya.

Selain itu, bahagian belakang badan mangsa juga bercalar akibat diacukan dengan muncung parang.

Kok Keong berkata, sebaik penjenayah melarikan diri, dia cuba mengejar suspek namun gagal untuk mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan tersebut.

Dia kemudian menggunakan telefon bimbit jirannya bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Samun mangsa ala samurai - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Takut dihempap tangki

Penghuni-flat-menunjukkan-keadaan-tangki-air-yang-sudah-rosak
ALOR SETAR - Lebih 800 penduduk di Flat Taman Setia Jaya menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera memindahkan tangki air yang sudah rosak atas faktor keselamatan.

Salah seorang penghuni flat di blok G berkenaan, Zaiton Abd Hamid, 34, berkata, mereka risau tangki air yang sudah lebih lima bulan tidak digunakan itu akan menghempap kediaman mereka sekiranya berlaku angin kencang.

Menurutnya, kebimbangan mereka semakin bertambah apabila sekitar jam 2.30 pagi baru-baru ini berlaku gegaran kuat pada tangki berkenaan apabila keluasan tangki tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang masuk ke dalamnya.

“Kebetulan saya belum tidur semasa gegaran itu berlaku sekitar tiga hingga empat minit disertai dengan bunyi dentuman seakan-akan guruh. Mulanya ingatkan tsunami rupanya berpunca daripada tangki air berkenaan.

“Jarak rumah dengan tangki air dekat kerana rumah saya yang diduduki bersama lima beranak berada di bahagian atas, kejadian ini sudah dua kali berlaku kali pertama tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zaiton berkata, dia berharap PBT akan mengambil tindakan segera mengalihkan tangki itu kerana keadaan fizikalnya semakin uzur dan sudah tidak digunakan apabila penduduk mula menggunakan bekalan air yang disalurkan melalui paip.

Penduduk, Moh Kok Aun, 64, berkata, dia turut merasai gegaran kecil yang berlaku walaupun tinggal di tingkat tiga blok yang sama.

“Saya tinggal bersama tiga ahli keluarga dan kami berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Flat Taman Setia Jaya, Maidin Hamid berkata, mereka memohon kerjasama daripada semua pihak mengambil serius mengenai perkara itu.

“Kita minta supaya tangki yang berusia lebih 21 tahun itu diganti dengan tangki baru kerana apabila bekalan air paip tiada mereka boleh menggunakan air tangki untuk keperluan seharian penduduk.

“Blok G diduduki 80 keluarga, majoriti masyarakat Cina dan selebihnya Melayu. Kita menggesa usaha berkenaan dilakukan secepat mungkin sebelum tangki itu jatuh serta bahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Maidin berkata, sebelum ini beberapa rayuan berhubung perkara berkenaan sudah dibuat namun tiada sebarang maklum balas, dan mereka turut menghadapi masalah lain seperti tong sampah tidak bertutup serta ketiadaan lampu di bangunan blok.

Menurut Adun Derga, Dr Cheah Soon Hai, PBT perlu lebih bertanggungjawab menyelesaikan perkara ini sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

“Kos untuk memindahkan tangki hanya sekitar RM10,000 dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) sudah menjalankan tugas mereka membuang air dalam tangki namun tugas memindahkan tangki terletak pada bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Aduan sudah kerap kali dibuat dan masalah yang sama sudah lebih lima kali dilaporkan melalui media namun kita masih tidak menerima sebarang respons positif daripada mereka. Besi yang menampung tangki air juga sudah longgar,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pembangunan Kerajaan Tempatan, Wan Azwar Wan Anuar berkata, beliau akan memaklumkan perkara berkenaan kepada bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengambil tindakan lanjut. Takut dihempap tangki - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Guna air curi untuk proses ayam

potong air
NILAI – Tindakan seorang pengusaha sebuah premis memproses ayam di Nilai 3, dekat sini, dikenakan tindakan selepas dikesan membuat penyambungan air haram dalam serbuan, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu disertai sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguat kuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhid­matan Air Negara (SPAN), diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguat­kuasaan SPAN (BHEPPP SPAN), Mohadir Hid.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, serbuan mengejut terhadap premis berkenaan dijalankan selepas menerima maklumat orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati pengusaha premis berkenaan melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip bersaiz 12 milimeter, disambungkan secara terus dari paip utama milik Sains.

“Hasil ujian klorin juga menunjukkan air itu adalah air terawat milik Sains,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Azlan, siasatan lanjut mendapati air di premis berkenaan digunakan bagi memproses 3,000 hingga 4,000 ekor ayam setiap hari.

“Paip terbabit juga disita untuk dijadikan sebagai bahan bukti kes,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan notis kesalahan kepada pengusaha terbabit atas kesalahan di bawah Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA 2006).

“Mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan,” katanya. Guna air curi untuk proses ayam - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dua beranak bermalam di hutan

hilang
hilang2
LANCHANG – Dua beranak yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di belakang rumah dekat Kampung Bolok Hilir di sini sejak kelmarin ditemui selamat di belakang sebuah Tabika Kemas kampung berkenaan pagi semalam.

Mariana Mohd Zakaria, 28, dan anaknya Siti Alia Natasha Azli, 2, ditemui seorang guru Tabika Kemas dalam keadaan lemah di belakang bangunan Tabika berkenaan jam 10 pagi semalam kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Mangsa bersama anak tunggalnya keluar dari rumah adiknya dekat Taman Lanchang Permai di sini kira-kira jam 8.30 pagi selepas dikatakan cuba mengikut suaminya.

Mangsa dipercayai diganggu makhluk halus sejak sebulan lalu keluar dari rumah selepas mendengar panggilan suami dan cuba mengikut jejak suaminya ke dalam hutan.

Suami mangsa Azli Shaharudin 36, berkata, dia tinggal di Felda Lepar 3, Jerantut dan pada Sabtu lalu dia membawa isterinya ke Lanchang untuk mendapatkan rawatan tradisional selepas dikatakan diganggu penyakit misteri.

Menurutnya, sebelum berubat dia bermalam di rumah adik iparnya dan kelmarin dia keluar mengikut biras ke ladang.

“Pada masa itu, ahli keluarga maklumkan isteri saya keluar mengikut jejak saya ke dalam hutan dan terus hilang bersama anak saya," katanya.

Azli percaya isterinya bukan keluar rumah untuk mengikutnya sebaliknya mengikut gangguan makhluk halus yang menyerupainya ke dalam hutan.

“Isteri pernah keluar rumah dua kali sebelum ini, dia cakap nak ikut ‘suami yang berambut panjang,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, usaha menjejak mangsa diadakan sejak berita kehilangan mangsa dan anaknya dilaporkan kepada polis pagi kelmarin.

Menurutnya, polis dengan bantuan hampir 100 pegawai anggota, Ikatan Relawan Rakyat, PGA dan penduduk kampung memulakan gerakan mencari sejak tengah hari kelmarin.

“Kita juga telah meminta bantuan udara dalam menjejak mangsa sebelum mangsa dan anak ditemui selamat oleh guru tabika di kira-kira dua kilometer dari rumahnya,” katanya.

Mohd Nor berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah bertungkus lumus mencari mangsa sehingga jam 4 pagi semalam sebelum menghentikan operasi akibat hujan lebat.


Guru Tabika tak tahu kejadian orang hilang

Guru Tabika Kampung Bolok Hilir, Azizah Wahid yang menjumpai mangsa dalam keadaan lemah pagi semalam tidak tahu mengenai kejadian yang menimpa dua beranak berkenaan.

Azizah berkata, dia tidak tahu langsung usaha mencari sedang giat dijalankan bermula kelmarin dan hanya mengetahui mangsa adalah orang hilang selepas seorang penduduk kampung menghantar anaknya ke Tabika terbabit.

“Saya menemui mangsa secara kebetulan, masa itu saya nak keluar untuk buat panggilan telefon, sebaik membuka pintu belakang saya lihat dua beranak dalam keadaan lemah di penjuru bangunan Tabika.

“Dia hanya cakap tolong saya, bila diaju soalan langsung tidak jawab, saya kemudian buatkan air milo dan beri sedikit makanan dan tolong bersihkan anaknya.

“Masa itu keadaan mangsa sangat kotor dan seluar terkoyak, anaknya ada kesan calar pada kaki dan banyak gigitan nyamuk,” katanya.

Azizah berkata, lebih kurang 15 minit kemudian kawasan Tabika tempatnya mengajar dipenuhi polis dan pasukan mencari dan menyelamat membawa mangsa dan anaknya menerima rawatan kecemasan di Poliklinik Lanchang.

Dua beranak bermalam di hutan - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pemilik kedai makan didenda RM90,000

KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik kedai makan dikenakan hukuman denda RM90,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana menggaji pekerja asing tanpa permit di premisnya yang terletak di Mengabang Telipot.

Hakim Wan Fadhilah Nor Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Norasamsudin Mohamad, 36, selepas pemilik Nasi Kampung Catering itu mengaku bersalah mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, Norasamsudin terpaksa meringkuk di penjara selama enam bulan selepas gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut fakta pertudu­han, tertuduh didakwa me­ngambil sembilan pekerja warga asing yang tidak memiliki permit sah.

Kesemua sembilan pekerja itu terdiri daripada dua pekerja lelaki warga Indonesia, dua pekerja lelaki warga Pakistan dan lima pekerja warga Thailand masing-masing seorang lelaki dan empat wanita.

Terdahulu, Wan Fadhilah Nor mengenakan denda RM10,000 bagi setiap pekerja yang diambil tertuduh dengan jumlah keseluruhan denda bernilai RM90,000.

Kesemua sembilan pekerja tertuduh yang didakwa mengikut Peraturan 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dihantar pulang ke negara asal selepas dikenakan kompaun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Nasi Kampung Catering, Padang Nenas, Jalan Mengabang Telipot, di sini kira-kira jam 7.20 malam, 1 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Imigresen Vickneswaran manakala Norasamsudin tidak diwakili peguam.

Pemilik kedai makan didenda RM90,000 - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Perut terburai, kaki hampir putus

oku kena pukul
KUANTAN- Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang baru sahaja kehilangan suami dua bulan lalu dakwa dipukul oleh dua individu di rumahnya di Kampung Kurnia di sini.

Kakak mangsa, Roshaslida Mohd Said,43 berkata, adiknya, Rohaiza, 39 yang mengalami masalah mental dakwa dipukul berikutan kecederaannya di bahagian bahu kanan.

Menurutnya, adiknya itu baru sahaja keluar dari wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejak sebulan lalu dipercayai diserang angin ahmar menyebabkan anggota badan sebelah kanan tidak boleh digerakkan dan tidak boleh bercakap.

“Sukar juga nak tahu cerita sebenar kerana adik saya ini tidak boleh bercakap. Apa yang kami faham cuma bahasa isyarat yang dia tunjukkan seperti penumbuk dan dan isyarat dua jari.

“Kejadian ini berlaku di rumahnya di Kampung Kurnia dan sejurus selepas dibawa ke hospital dan koma dalam dua minggu, saya bawa dia ke rumah saya untuk penjagaan rapi,” katanya.

Selain itu, Rohaiza juga mempunyai lima orang anak yang kini dijaga oleh iparnya.

“Walaupun adik saya ini mengalami masalah mental, apa yang dia cuba dia sampaikan kepada kami, dia telah dipukul yang menyebabkan sendi bahu kanannya cedera.

“Kini, apa yang saya bimbangkan adalah masa depan dia dan anak-anak yang seolah-olah terumbang-ambing.

“Saya juga berharap agar anak-anak adik saya ini boleh ditempatkan di rumah anak-anak yatim untuk kehidupan yang lebih terjamin,” katanya.

Rohaslinda berkata, kini apa yang diharapkan untuk membantu adiknya itu adalah sumbangan untuk lampin pakai buang dan juga susu berikutan Rohaiza kini hanya minum susu melalui tiub di hidungnya.

Sehubungan itu juga, dia berharap jika benar adiknya itu dipukul, dia mahu individu tersebut mendapat balasan yang setimpal. Perut terburai, kaki hampir putus - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Duda dibunuh kejam

Mayat-mangsa-dihantar-ke-HGM-untuk-bedah-siasat
GUA MUSANG - “Kejam hingga abang saya diperlakukan demikian dan apakah salahnya hingga sanggup dia dibunuh sebegitu rupa,” kata Abdullah Isa, 49, adik, Saari, 51, yang dijumpai mati dipercayai dibunuh dalam sebuah ladang getah di Kampung Panggong Lalat, dekat sini, pagi semalam.

Mayat Saari ditemui seorang penoreh getah yang sedang melalui jalan kebunnya kira-kira jam 7.30 pagi dan terkejut melihat mayat lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah tidak jauh dari motosikal ditungganginya.

Abdullah yang terkilan dengan kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu mahu pihak berkuasa menahan penjenayah terbabit dan dibawa ke muka pengadilan supaya hukumannya setimpal dengan kesalahan yang dilakukan itu.

Ketika ditemui di tempat kejadian, beliau mengakui telah lama tidak bertemu dengan abangnya itu terutama selepas arwah bercerai dengan isterinya sejak 10 tahun lalu ketika Saari tinggal di Kampung Kubang Kerian, Kota Bharu.

“Saya memang tidak tahu abang saya itu tinggal di mana selepas berpisah dengan isterinya dan terkejut apabila dimaklumkan rakan Saari dijumpai mati dipercayai dibunuh di kampung tersebut. Ketika saya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi, rasa gemuruh di hati kerana terlalu marah dengan sikap kejam penjenayah itu hingga sanggup membunuh abang kandung saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini juga dia pernah bertanya khabar rakan-rakan mengenai kehidupan Saari dan tidak sangka tempat tinggal sementaranya di kampung itu menjadi tragedi yang tidak boleh dilupakan.

“Arwah juga ada lima anak, tetapi anaknya itu tinggal bersama ibunya di kampung dan dia membawa diri berikutan tertekan selepas bercerai dengan isterinya,” katanya.

Saksi yang menemui mayat mangsa, Jasni Zaid, 51, berkata, dia ketika melalui jalan masuk ke kebunnya itu terkejut ternampak seorang lelaki yang terbaring di tepi jalan dalam kebun getah kira-kira jam 7.30 pagi.

Katanya, dia menyangka mangsa masih hidup walaupun dalam keadaan berlumuran darah, namun apabila menghampirinya untuk memberi pertolongan lelaki itu sudah meninggal dunia.

Berikutan itu, beliau terus keluar semula dari kebun getah tersebut untuk memberitahu kepada seorang ketua kampung sebelum melaporkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.

“Saya amat terkejut dengan keadaan berlaku itu dan rasa amat kejam dengan sikap penjenayah tanpa belas kasihan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mungkin telah lama tinggal di sebuah pondok kecil berhampiran di situ bagi membuka tanah untuk pertanian bersama beberapa rakannya.

“Memang sebelum ini saya nampak beberapa lelaki yang kerap memasuki jalan menuju ke kebun getah itu untuk membangun tanah bagi tujuan pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Superintendan Lai Yong Heng berkata, mayat Saari ditemui seorang penoreh getah jam 7.30 pagi di kawasan tersebut dan terus melaporkan kepada polis.

Menurutnya, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Kala Baru bekerja sebagai penjaga kolam ikan itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Mangsa yang ditemui memakai seluar berceloreng dan kemeja T putih ini turut cedera parah di kepala serta terdapat kesan luka di kaki. Hasil siasatan awal juga menunjukkan terdapat kesan pergelutan di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

“Kita menunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian sama ada melibatkan objek tertentu atau sebaliknya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.

Duda dibunuh kejam - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Padah promosi DVD lucah

promosi dvd lucah
PETALING JAYA – Gara-gara mempromosikan cakera video digital (DVD) lucah kepada anggota polis, seorang penjual diberkas polis dalam serbuan di sebuah kedai cetak rompak di Damansara Utama, semalam.

Sumber polis berkata, ketika ditahan, lelaki berusia 28 tahun itu cuba menjual DVD lucah dengan tawaran harga yang agak murah.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 10 album mempamerkan kulit cakera DVD lucah yang dipamerkan secara terbuka di satu ruangan di premis terbabit.

“Siasatan awal mendapati mereka menjual bahan ini melalui panggilan telefon, jika ada permintaan daripada pelanggan, lelaki ini akan bertindak menghubungi ‘runner’ sebelum DVD ini diserahkan kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan tidak menemui sebarang DVD lucah kerana premis terbabit tidak menyimpan bahan di situ kerana takut dirampas pihak berkuasa.

Sinar Harian pada 16 Februari lalu melaporkan mengenai beberapa premis DVD cetak rompak di Damansara Utama yang didapati turut menjual DVD lucah.

Hasil tinjauan yang dibuat mendapati pakej jualan adalah sekitar RM20 hingga RM30 bergantung kepada kuantiti pembelian.

Ketua Polis Daerah Peta­ling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan penangkapan lelaki itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 292 kanun keseksaan kerana mempamerkan bahan lucah. Padah promosi DVD lucah - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

7 warga asing ditahan dalam Ops 6P

ops 6p
SENAI – Seramai tujuh warga asing berusia antara 19 dan 38 tahun ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops 6P di dua lokasi berasingan, semalam, atas kesalahan tidak miliki permit perjalanan dan menyalahgunakan pas lawatan.

Pegawai Penguasa Imigresen Johor, Muhammad Acil berkata, serbuan di lokasi pertama di Taman Sri Lalang, Kota Tinggi, pihaknya menahan empat lelaki warga Thailand yang bekerja sebagai tukang masak dan pembantu kedai di sebuah kedai makan.

Dalam serbuan terbabit katanya, beberapa anggota telah menyamar sebagai pelanggan sebelum memesan minuman bagi mengelirukan suspek di premis berkenaan.

“Selepas menyedari kehadiran kami, beberapa suspek cuba melarikan diri melalui pintu belakang di bahagian dapur, namun gagal selepas kawasan persekitaran premis berkenaan telah dikawal oleh anggota yang bertugas.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada antara mereka menggunakan pas lawatan sosial, selain turut berulang-alik melebihi tiga bulan serta menggunakan pas sempadan yang mempunyai kelayakan hanya 25 kilometer dari sempadan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, dalam serbuan kedua di Kampung Kurnia, Kebun Teh, Muham­mad berkata, dua lelaki warga Thailand dan seorang wanita warga Indonesia ditahan.

“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c), 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen.

“Operasi dijalankan hasil maklumat orang awam pada jam lebih kurang 12.45 pagi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor, Khairulanwar Abu Bakar serta melibatkan 15 anggota,” katanya.

7 warga asing ditahan dalam Ops 6P - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nurul Zakiah dirayu pulang ke pangkuan keluarga

Nurul Zakiah

KUALA LANGAT 21 Feb. - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi dirayu pulang ke pangkuan keluarga setelah dipercayai melarikan diri bersama teman lelakinya sejak 14 Februari lalu.
Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat selepas keluar untuk ke sekolah pada hari tersebut.
Ibu saudaranya, Norlaila Saad, 43, berkata, setelah menyedari kehilangan Nurul, bapa remaja itu, Azman Saad, 51, telah menghubungi pihak sekolah tetapi diberitahu anak perempuannya itu tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut.
Katanya, pihak keluarga mengesyaki remaja berkenaan telah melarikan diri bersama seorang lelaki warga Pakistan yang dikenali sebagai 'Samer Khan' yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai borong di pekan Banting di sini.
"Sebelum menghilangkan diri, Nurul Zakiah menunjukkan perubahan sikap dan dikatakan ada menjalinkan hubungan dengan lelaki warga asing itu ketika bekerja sementara di sebuah pasar raya di sini.
"Saya sudah puas memberikan nasihat kepada Nurul dan cuba menghalangnya daripada meneruskan perhubungan dengan lelaki itu memandangkan dia masih belajar dan bakal menduduki peperiksaan SPM," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Norlaila yang memelihara anak saudaranya itu sejak berusia 12 tahun selepas ibu kandungnya meninggal dunia memberitahu, dia berasa sungguh risau kerana Nurul Zakiah sebelum ini pernah menyatakan hasrat ingin berkahwin dengan lelaki tersebut tetapi pihak keluarga mengambil sikap mendiamkan diri sahaja.
"Tidak sangka pesanan terakhir Nurul yang disampaikan kepada pemandu sekolah agar mengambilnya di sekolah pada pukul 4 petang (14 Februari) sekadar taktik untuk menghilangkan diri.
"Saya risau sekiranya anak saudara saya dipermainkan atau dibawa lari oleh lelaki Pakistan tersebut. Ini kerana pengusaha kedai borong tersebut memberitahu lelaki itu sudah tidak lagi bekerja di kedainya sejak 14 Februari lalu.
"Dia juga telah membawa barang-barangnya tanpa sebarang notis dan hari tersebut adalah tarikh yang sama Nurul menghilangkan diri," katanya.
Azman berkata, pihaknya telah membuat laporan polis pada 15 Februari lalu berhubung kehilangan anak perempuannya itu dan berharap pihak berkuasa dapat membuat siasatan.
"Saya amat berharap Nurul dapat pulang ke pangkuan keluarga dan berbincang kalau dia ada masalah. Lagipun Nurul akan menduduki peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya nanti," katanya.
Orang ramai yang pernah terlihat gadis tersebut diharap tampil membantu dengan menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Azman di talian 019-2959178 atau 012-9121072 (Za).

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Sindiket curi kenderaan terbesar tumpas


ANGGOTA polis menggunakan jengkaut untuk mengangkat setiap enjin bagi memeriksa nombor casis kenderaan di gudang barang lusuh di Kampung Air Putih, Taiping, Perak, semalam


SHAH ALAM 21 Feb. – Satu sindiket yang menjalankan kegiatan curi kenderaan termasuk lori dan kereta tempatan sejak lebih 10 tahun lalu akhirnya tumpas apabila polis menahan seramai 12 suspek dalam tiga serbuan di negeri ini dan Perak, minggu lalu.
Sindiket curi kenderaan ini yang dipercayai terbesar pernah wujud di negara ini dan mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit. Mereka biasanya akan mencuri kenderaan di tempat letak kereta awam, selain menyamun kenderaan daripada pemiliknya.
Hampir kesemua kenderaan yang dicuri itu biasanya akan dileraikan komponen untuk dijual secara berasingan dan jenayah sindiket itu dilakukan di sebuah gudang terpencil yang terletak di sebuah kawasan persendirian dalam ladang kelapa sawit di Kampung Air Putih, Simpang, Perak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah memberitahu, kejayaan itu bertitik-tolak daripada penangkapan tiga lelaki berusia 22 hingga 33 tahun yang cuba mencuri sebuah lori di belakang sebuah pasar raya di Rawang pada Khamis lalu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan Proton Wira dinaiki suspek, polis menemui peralatan digunakan untuk mencuri kenderaan, antaranya pemutar skru, gunting, playar, wayar yang diubah suai dan ‘test-pen’.
Menurutnya, susulan penangkapan tiga lelaki itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Sabak Bernam, pada pukul 4 pagi sehari kemudian.
“Hasil soal siasat ke atas lelaki terbabit, polis mendapat maklumat mengenai lokasi penyimpanan enjin lori dan kereta curi di sebuah gudang di Kampung Air Putih.
“Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang hari yang sama, lapan suspek ditahan terdiri daripada seorang wanita iaitu kerani berumur 42 tahun, tiga lelaki tempatan dan empat warga Bangladesh berusia 18 hingga 50 tahun dipercayai ahli sindiket itu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Tun Hisan berkata, dalam serbuan itu, polis juga berjaya merampas beberapa peralatan lori dan kereta yang telah dileraikan, dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.
“Antara peralatan yang dijumpai dalam gudang itu adalah 1,101 enjin lori, 1,040 pintu lori, 102 enjin kereta, 128 buah kenderaan keluaran tempatan, 30 kepala lori, tiga buah lori, tiga bahagian hadapan kereta dan beberapa unit kunci lori.
“Ketika ditemui, kesemua nombor casis pada lori yang kebanyakannya jenis Hicom, Daihatsu dan Isuzu muatan satu tan itu telah dikikis bagi mengelak dikesan. Bagaimanapun, kita akan menggunakan khidmat pasukan forensik untuk mengesan nombor casis asal semua kenderaan itu,” katanya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua kenderaan curi itu, antara kes kecurian paling awal dikesan adalah kehilangan sebuah lori di Hutan Melintang, Perak pada tahun 1999.
Tun Hisan pada masa yang sama turut meminta seorang lelaki, R. Muniandy, 38, iaitu pemilik gudang berkenaan tampil untuk membantu siasatan kes ini.
Katanya lagi, kesemua suspek yang ditahan, direman sehingga hari ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Putera Monaco cedera ditumbuk

NEW YORK 21 Feb. – Putera Monaco, Pierre Casiraghi ditumbuk di bahagian muka dalam satu pergaduhan di sebuah kelab malam di bandar raya ini pada hujung minggu lalu.
Insiden itu menyebabkan seorang lelaki tempatan didakwa di mahkamah kerana melakukan serangan.
Casiraghi, 24, cucu kepada bekas pelakon Hollywood Grace Kelly, dimasukkan ke hospital akibat kejadian itu, menurut laporan media.
Polis berkata, putera itu bersama tiga lagi lelaki lain diserang oleh bekas pengusaha restoran, Adam Hock ekoran satu pertikaian ketika di kelab malam The Double Seven pada pukul 2 pagi waktu tempatan, Sabtu lalu.
Antara mereka yang turut ditumbuk oleh Hock ialah seorang pelayar keturunan Greece, Stavros Niarchos dan bekas teman lelaki Paris Hilton, menurut satu aduan jenayah.
Casiraghi memberitahu polis dia secara berulang kali diserang di bahagian muka menyebabkan pipinya melecet dan mukanya bengkak, lebam, merah dan sakit.
Tiga lagi lelaki bersamanya turut membuat aduan yang sama terhadap Hock, 47 tahun.
Peguam tertuduh, Sal Strazzullo, bagaimanapun berkata, anak guamnya hanya mempertahankan diri.
“Anak guam saya memberitahu saya, putera itu bersama teman-temannya mengganggunya dan bertindak seperti kanak-kanak dengan mengejek dan cuba menyerangnya.
“Hock hanya mempertahankan diri ketika dia menumbuk putera dan teman-temannya itu. Adalah mustahil untuk seseorang itu menyerang empat lelaki kecuali dia adalah seorang ninja atau Bruce Lee,” katanya.
Mahkamah Jenayah Manhattan membebaskan Hock tanpa ikat jamin sementara menunggu perbicaraan disambung semula pada 29 Mac ini selepas dia mengaku tidak bersalah atas empat kesalahan melakukan serangan. – REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Mangsa asid jalani pembedahan Khamis ini, polis tahan seorang lagi


KEADAAN terkini Mohd. Fazil Hanafi yang masih terlantar selepas mendapatkan rawatan di wad akibat terkena simbahan asid di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 21 Feb. - Dua sahabat yang menjadi mangsa simbahan asid di Kampung Padang Mercang Marang Ahad lalu, akan menjalani pembedahan bagi menampal kulit baru Khamis ini.
Keadaan Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, dan Shahrulzaman Salim, 38, kini dilaporkan semakin stabil namun mereka berdua yang ditempatkan di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) enggan bercakap mengenai kejadian itu.
Menurut bapa kepada Mohd. Fazil, Idrus Mat Nor, 54, anaknya itu bakal dibedah bagi membolehkan lapisan kulit paha diambil untuk menampal sebahagian anggota badannya yang melecur teruk.
"Doktor bagi tahu mungkin tiga hari lagi Mohd. Fazil akan dibedah dan dia juga tidak kisah. Buat masa ini dia enggan bercakap mengenai kejadian itu dan lebih banyak mendiamkan diri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Idrus lagi, isterinya, Zaleha Ishak, 45, juga tidak membenarkan anaknya itu melihat cermin bagi mengelakkan emosi mangsa terganggu.
"Biarlah jangan bagi dia tengok cermin dulu. Kasihan pula kalau dia tidak boleh terima keadaannya. Insya-Allah lepas pembedahan nanti kita tengoklah macam mana," ujarnya.
Dalam pada itu, ujar Idrus yang kini membantu isterinya berniaga, anaknya itu dijangka ditempatkan di hospital selama dua bulan lagi bagi membolehkan dia mendapat rawatan susulan.
"Anak saya tidak menonjol dalam pelajaran namun dia berminat membaiki kenderaan," jelasnya yang merupakan bapa kepada tujuh anak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, pihaknya menahan seorang lagi individu berusia 26 tahun pukul 4.30 petang semalam di sebuah tempat cuci kenderaan di Kampung Padang Mercang.
"Individu yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu ditahan bagi membantu siasatan memandangkan dia juga dikenali salah seorang mangsa simbahan asid itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 19 Februari lalu, Mohd. Fazil Hanafi yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan rakannya, Shahrulzaman Salim, 38, melecur di muka dan badan akibat disimbah asid ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Mercang.
Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, kedua-duanya disimbah asid melalui tingkap yang terdapat pada bilik tidur mereka, dipercayai dilakukan individu tidak dikenali.
Berikutan itu, polis menahan seorang nelayan dan penganggur semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut dan siasatan setakat ini tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan cemburu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Polis serbu tiga lokasi pengedaran dadah


PULAU PINANG 21 Feb. - Polis menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam serta merampas pelbagai jenis dadah dan wang tunai berjumlah RM25,600 dalam tiga serbuan yang diadakan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan ketika memandu di Jalan Besi, Greenland kira-kira pukul 11.50 pagi.

Menurutnya, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan.

"Hasil pemeriksaan dalam bonet kereta suspek, polis menemui dua bungkusan dadah dipercayai heroin dan syabu masing-masing seberat 246 gram dan 2.69 gram, 70 biji pil Eramin 5 dan 80 biji pil ekstasi bernilai RM14,950.

"Siasatan awal mendapati, lelaki itu memiliki rekod jenayah atas kesalahan merusuh menggunakan senjata," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan penahanan itu, beliau berkata, polis menyerbu sebuah hotel tiga bintang di Lebuh Thye Sin dan memberkas dua lelaki berusia 40 tahun dan seorang wanita Vietnam berusia 20 tahun.

Menurut Kong Meng, dalam serbuan pukul 10.30 malam itu, polis merampas 3.5 gram heroin, 200 biji pil Eramin 5, enam peket syabu seberat 4.7 gram, 80 biji pil ekstasi dan tujuh tiub dadah jenis ketamin yang keseluruhannya bernilai RM8,233.

"Kumpulan ini dipercayai mengedar dadah di sekitar negeri ini. Dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau melibatkan dadah," katanya.

Beliau berkata, dalam satu lagi serbuan, polis menahan empat lelaki berusia 20 tahun yang berkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta di Taman Datuk Syed Abbas, Jelutong pada pukul 3 pagi ini.

Polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat ganja seberat 1 kilogram RM2,500 yang disorok suspek terbabit di bawah tempat duduk pemandu.

"Suspek yang datang dari Kuala Lumpur dipercayai mendapatkan bekalan ganja di sini," katanya.

Kong Meng berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.


Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Rayuan jurusolek berlagak perempuan 7 Mei

EMIRUL Shazril Shah Jamaluddin hadir ke mahkamah untuk merayu
 atas kesalahan berlagak seperti perempuan di Mahkamah
Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 7 Mei ini keputusan sama ada seorang jurusolek dibenarkan merayu atau tidak terhadap hukuman penjara dan denda yang dihadapinya atas kesalahan berlagak dan berpakaian seperti perempuan, tiga tahun lalu.
Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah memutuskan demikian selepas Emirul Shazril Shah Jamaludin yang diwakili peguam syarie, Ruslizam Rahim mengemukakan dokumen hujahan balas di hadapannya hari ini.
Terdahulu, Ruslizam memaklumkan bahawa pihaknya baru sahaja menyerahkan dokumen tersebut kepada Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Azizuddin Abdullah Halim, sebelum prosiding bermula.
Mohd. Azizuddin selaku responden kemudian bangun mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu bahawa pihaknya memerlukan tempoh sebulan untuk menjawab hujahan itu.
Perayu, Emirul, 30, berpakaian kemeja perempuan dan berseluar ketat dilihat hadir seorang diri ke mahkamah hari ini. Ketika prosiding berlangsung dia, dilihat menyarung jaket berwarna hitam.
Ruslizam yang ditemui pemberita di pekarangan mahkamah berkata, anak guamnya selaku perayu telah memfailkan rayuan untuk kali kedua terhadap hukuman penjara seminggu dan denda RM1,000 seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada 17 April 2009.
Jelas beliau lagi, Emirul dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan berpakaian dan berlagak seperti perempuan untuk tujuan tidak bermoral ketika serbuan polis di sebuah kelab malam di Bukit Bintang pada 16 April 2009.
''Anak guam saya pada ketika itu yang tidak diwakili peguam syarie kemudian memfailkan notis rayuan terhadap kedua-dua hukuman tersebut, bagaimanapun, pada Mei tahun lalu, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
''Oleh demikian, Emirul melalui saya telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi agar memberi sekali lagi peluang kepadanya untuk merayu terhadap keputusan hukuman penjara dan denda berkenaan,'' ujar Ruslizam.
Lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara tiga minggu jika gagal membayar denda.
Kedua-dua hukuman tersebut dibenarkan digantung pelaksanaannya oleh mahkamah sementara menunggu rayuan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Wanita gusar rumah dipecah masuk



Che Rogayah Zakaria menunjukkan kesan kerosakan pagar besi yang diumpil pencuri ketika mencoroboh rumah kedainya di Kota Bharu, semalam.


MACHANG 21 Feb. - Seorang ibu tunggal di sini gusar mengenai masa depannya apabila tidak dapat meneruskan perniagaan kedai makan kerana masih trauma dengan kejadian rumah kedainya dua kali dimasuki pencuri baru-baru ini.

Che Rogayah Zakaria, 36, yang berniaga gulai itik serati di kedai makannya di Jalan Machang-Kuala Krai berkata, berikutan kejadian tiga minggu lalu, dia dan tiga anaknya terpaksa menumpang di rumah saudara di kampung berdekatan.

"Saya tidak dapat bayangkan perasaan takut atau trauma selepas kejadian itu. Masa kejadian saya seolah-olah tidak sedar diri sedangkan saya sebenarnya mengikuti pergerakan pencuri yang menggunakan lampu picit menggeledah almari.

"Tetapi, selepas pencuri itu keluar baru saya perasan bahawa rumah saya telah diceroboh masuk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Che Rogayah memberitahu, selepas kejadian pertama, dia mengambil keputusan tidak tidur di rumah kedainya kerana bimbang keselamatan diri dan anak-anak memandangkan lokasi rumah kedainya agak terpencil.

Katanya, apa yang amat mengejutkan dia sekeluarga ialah apabila mendapati rumah kedainya itu sekali lagi dimasuki pencuri kurang 24 jam dan melarikan barangan berharga seperti kipas angin, radio serta tabung.

Ibu tunggal itu mendakwa, kejadian itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM10,000 dan kini mula bingung dengan masa depan perniagaan kedai makannya.

"Hanya kedai itu sumber pendapatan harian saya untuk menyara kehidupan dan anak-anak selama ini. Selepas kejadian itu saya menjadi buntu dan takut sebab itu saya menumpang tinggal di rumah saudara buat sementara ini.

"Sekarang ini saya masih buntu mahu mulakan semula kerjaya selepas menghadapi kerugian akibat kecurian tersebut. Kami orang miskin, berniaga sekadar cukup untuk perbelanjaan harian bersama anak," katanya.

Che Rogayah yang bercerai dengan suaminya sejak beberapa tahun lalu percaya kejadian tersebut kemungkinan ada kaitan masalah hubungan keluarga tetapi enggan mengulas lanjut.

"Saya sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa, jadi terserah kepada mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.


Utusan Malaysia Online - Timur:

'via Blog this'