Search This Blog

Tuesday, February 21, 2012

Bidikan 17 peluru

TINJAU...Abdul Rahim  (dua dari kiri) meninjau tempat kejadian tembak di Apartmen Gardenia Court.
TINJAU...Abdul Rahim (dua dari kiri) meninjau tempat kejadian tembak di Apartmen Gardenia Court.

GOMBAK: Tiga lelaki terselamat daripada maut walaupun dihujani tembakan bertubi-tubi daripada tiga lelaki bertopeng yang menyerang mereka kerana menyangka mangsa adalah individu yang disasarkan dalam kejadian di Apartmen Gardenia Court, Taman Sri Gombak, malam kelmarin.
Malah, seorang daripada mangsa sempat naik semula ke tingkat lima kediaman berkenaan untuk berjumpa rakannya yang juga pemilik kereta dipinjam mereka bagi meminta bantuan sebelum mereka dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan selepas cedera terkena tembakan.
Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa yang masing-masing berusia 18, 23 dan 29 tahun berada dalam sebuah Honda Accord di kawasan tempat letak kereta selepas menghadiri majlis hari jadi rakannya tidak sempat menyelamatkan diri apabila tiba-tiba sebuah kereta Pajero dinaiki suspek terus melepaskan 17 das tembakan ke arah mereka.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek mudah melepasi kawalan pengawal keselamatan apabila memberitahu ingin berjumpa dengan seseorang.

Menurutnya, suspek yang bertopeng kemudian menghala ke tempat letak kereta sebelum menjumpai kereta mangsa dan terus melepaskan tembakan tanpa menyedari mereka tersilap orang.

myMetro | Bidikan 17 peluru:

'via Blog this'

Berlagak ‘suci’

SAKIT...Muhamad Hafiz menunjukkan muka isterinya, Nuramiza Ezzanie yang cedera.
SAKIT...Muhamad Hafiz menunjukkan muka isterinya, Nuramiza Ezzanie yang cedera.

ALOR SETAR: “Dia cuma berani di belakang, orang macam ini perlu diberi pengajaran,” kata Muhamad Hafiz Azizan, 23, suami mangsa ragut di Jalan Gelam-Jalan Datuk Kumbar, di sini, Jumaat lalu.
Muhamad Hafiz berkata, hatinya geram apabila menerima SMS dipercayai daripada peragut yang menggunakan telefon bimbit isteri yang berada di dalam beg diragut.
SMS berbunyi ‘Kami minta maaf, bukan niat kami benda nak jadi tak diduga, kami Mat Rempit tak diiktiraf tapi itulah salah dia (mangsa) sampai menggadai nyawa.’

Dia berharap, peragut terbabit ditangkap polis dan dihadapkan ke muka pengadilan.

SMS itu juga membuatkan, isterinya, Nuramiza Ezzanie Azmi, 21, semakin marah kerana peragut menyalahkan dirinya.
myMetro | Berlagak ‘suci’:

'via Blog this'

Kereta atas bumbung

TERBABAS...kereta tersangkut atas bumbung garaj selepas hilang kawalan.
TERBABAS...kereta tersangkut atas bumbung garaj selepas hilang kawalan.

KUCHING: “Tiba-tiba rumah bergegar dan sebaik membuka pintu, saya terkejut apabila melihat sebuah Toyota Vios tersangkut di bumbung garaj,” kata penghuni sebuah rumah yang dihempap kereta terbabas di Jalan Simpang Tiga, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, penghuni rumah berusia 50-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia dan seorang rakan menonton televisyen di ruang tamu, sebelum terdengar dentuman kuat dari depan rumah.

“Saya terkejut apabila melihat kereta tersangkut pada bumbung rumah dan ia adalah kejadian kedua, kerana beberapa tahun lalu pagar rumah pernah dilanggar kereta terbabas,” katanya.
Difahamkan, kereta dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Robert, 30, dari Jalan Rock dipercayai hilang kawalan akibat jalan licin ketika hujan menyebabkan ia merempuh besi penghadang jalan dan kedai peralatan pengantin sebelum ‘mendarat’ di bumbung garaj rumah berkenaan.

Namun pemandunya bernasib baik apabila hanya cedera ringan sebelum dibawa ke klinik dengan bantuan rakannya.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Mendu, beberapa minit kemudian pada malam sama.
Kemalangan berlaku hanya 300 meter dari tempat kejadian pertama apabila pemandu, Lim Chin Kwong, 42, dari Jalan Arang gagal mengawal kenderaannya lalu berpusing sebelum merempuh pembahagi jalan serta tiang lampu.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera ringan sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Satu lagi kemalangan berlaku membabitkan sebuah Proton Wira apabila pemandunya, Mohammad Ali Tambi, 44, hilang kawalan lalu merempuh penghadang sebelum berhenti di tengah-tengah jambatan, di Sejingkat.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan bersama seorang rakan, Mustapha Hassan, 27, dalam perjalanan ke Kampung Geobilt bertemu rakannya, pada jam 1 pagi.

Kemalangan dipercayai berpunca keadaan jalan licin menyebabkan kenderaan dinaiki berpusing beberapa kali.

myMetro | Kereta atas bumbung:

'via Blog this'

Banjir di Perak: 55 mangsa masih di pusat pemindahan

IPOH — Seramai 55 orang daripada 14 keluarga mangsa banjir di Manjoi masih berada di pusat pemindahan selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manjoi, Datuk Nazri Ismail berkata, mereka ditempatkan di dewan orang ramai di sini sehingga keadaan banjir di rumah mereka pulih.

"Walaupun banjir sudah surut tetapi air masih bertakung di rumah mereka dan perlukan masa untuk dibersihkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, mereka dapat pulang ke rumah masing-masing esok.

Semalam 500 orang daripada 140 keluarga di Gugusan Manjoi dan Buntung dipindahkan ke dua pusat pemindahan setelah air naik akibat limpahan dari sungai Tapah dan Sungai Pari ekoran hujan lebat lebih lima jam. — BERNAMA


Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

8 suspek pelbagai kes di Hilir Perak diburu

KUALA LUMPUR — Polis sedang menjejaki enam suspek yang disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah di kawasan Tapah, Perak baru-baru ini. Menurut laman web sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka disyaki terlibat dalam kes memiliki dadah, pecah dan pencerobohan rumah serta samun berkawan.

"Suspek-suspek yang diburu adalah Mohd. Azri Mohd. Kassim, 31 dari Pulau Indah, Selangor; Chua Kim Meng, 40 dari Langkap, Perak; Kamaruddin Ahmad, 27, dari Sungkai, Perak; N. Kannan, 43, dari Petaling Jaya, Selangor; K.Kumaraselvan, 43, dari Bidor, Perak dan Tan Fui Sheong, 41, dari Jasin, Melaka,” katanya dalam laman itu hari ini.

Polis meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kesemua suspek untuk menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222, 05-4012222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Katanya, polis juga sedang mengesan dua lagi suspek iaitu Song Siew Weng, 50, dan Chong Heoy Choo, 49, yang disyaki terlibat dalam beberapa kes penipuan di kawasan Hilir Perak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek-suspek tersebut diminta menghubungi IPD Hilir Perak di talian 05-6299222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. — BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

9 kereta dipecah pencuri di Petaling Jaya

KUALA LUMPUR — Sembilan kereta yang diletakkan di tanah lapang di Jalan PJS5 berhampiran Taman Desaria, Petaling Jaya, dekat sini dipecah masuk pencuri aksesori awal pagi tadi.

Kebanyakan kenderaan terlibat adalah buatan tempatan termasuk jenama Proton.

Seorang mangsa, Nor Azurah Nordin, 28, berkata ini merupakan kejadian pertama seumpama itu di kawasan berkenaan.

"Kira-kira 8 pagi, ibu saya memberitahu kereta saya kena pecah sebelum pergi menyiasat dan mendapati set cakera padat digital (DVD) bersama TV LCD di dalam kenderaan itu dicuri,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 pagi kerana ada saksi memberitahu ternampak seorang lelaki mundar mandir di kawasan itu.

Nur Azurah berkata, cermin tingkap bahagian pemandu keretanya pecah menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM2,000.

Seorang lagi mangsa, Kamal Salim, 23, berkata beliau kehilangan sejumlah wang, kad kredit, kad pengenalan dan kad Touch n Go kerana tertinggal beg duit di dalam kereta yang baru lima bulan dibelinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. — BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

2 maut, seorang parah kereta terbabas

KUANTAN — Dua maut manakala seorang cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Km 10.5 Jalan Kuantan Bypass lewat petang semalam.

Pegawai Turus Trafik Pahang, DSP Mohd Rizal Abdullah berkata, Norhazana Che Hasim, 28, yang memandu kereta itu dan Ismail Hassan, 48, penumpang hadapan, mati di tempat kejadian, manakala Suzilawaniasama Harun, 27, yang duduk di belakang cedera parah.

"Mereka yang menaiki sebuah kereta Proton Waja dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pelabuhan.

"Apabila sampai di tempat kejadian berhampiran Taman Pertanian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum kenderaan yang dinaiki tiga rakan sekerja itu terhumbang ke dalam longkang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. — BERNAMA


Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki larikan MPV polis ditahan

ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang melarikan kenderaan peronda polis (MPV) pada Khamis lalu, berjaya ditahan di Nilai, Negeri Sembilan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata lelaki berusia 35 itu ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Putra Point, Nilai, pada jam 6.25 petang hasil maklumat orang awam.
Beliau berkata, ketika ditahan lelaki terbabit mempunyai beberapa kesan kecederaan di bahu, tangan dan kening selain tangan kanannya bersimen akibat kemalangan.
"Suspek kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. - BERNAMA

Berita Harian Online | Lelaki larikan MPV polis ditahan:

'via Blog this'

3 suspek ditahan curi jentolak

TEMERLOH: Tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kes curi sebuah jentolak berjaya diberkas polis ketika mahu memasang nombor pendaftaran palsu jentolak berkenaan.

Ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 33 itu berjaya diberkas hanya beberapa jam selepas dipercayai melarikan jentolak berkenaan yang disewa daripada seorang lelaki 26 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor, dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa sedang membersihkan tanah kebun kononnya milik salah seorang suspek selepas dia menyewa jentolak itu untuk tempoh sebulan bermula hari berkenaan bagi kerja pembersihan di kebun itu di kampung Sempadan, dekat sini.
"Ketika mangsa sedang membersihkan kebun berkenaan pada pagi hari kejadian, suspek berkenaan meninggalkan mangsa kononnya mahu membeli air minuman.
"Kira-kira 10 minit kemudian, mangsa didatangi dua lelaki bersenjatakan parang," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bertindak terjun dari jentolak bagaimanapun berjaya ditangkap sebelum tangan serta kakinya diikat menggunakan pita pelekat.

"Suspek kemudiannya melarikan jentolak berkenaan," katanya.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan orang ramai untuk membawanya ke Balai Polis Lanchang bagi membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Mohd Nor berkata, hasil maklumat awam dan risikan, polis berjaya menemui semula jentolak berkenaan di Kampung Awah, Maran kira-kira 2 petang pada hari sama.

"Tiga lelaki berkenaan ditahan ketika mahu memasang nombor pendaftaran palsu jentolak itu dan pihak polis juga masih memburu dua lagi suspek yang dipercayai turut terbabit sama dalam kejadian itu iaitu ketika berurusan untuk menyewa jentolak pada peringkat awal perbincangan dengan mangsa sebelum itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online | 3 suspek ditahan curi jentolak:

'via Blog this'

Pegawai kastam dipenjara 5 tahun, denda RM2,000 kerana menyamun

ALOR SETAR: Seorang pegawai kastam dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menyamun seorang lelaki dua tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Bidin Hamid, 50, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan kes.
Bidin dituduh melakukan samun wang tunai RM300 terhadap seorang lelaki dalam sebuah kereta Myvi di tepi jalan hadapan Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Batu 10 Alor Biak, Sungai Korok dekat sini, kira-kira jam 8 malam pada 26 November 2010.
Dia yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan selepas digantung kerja, dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rizal Fadzil manakala Bidin diwakili peguam P V K Dasaratharaj.

Sementara menunggu keputusan rayuan, hakim membenarkan Bidin diikat jamin RM8,000 dan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan, manakala denda RM2,000 perlu dibayar. - BERNAMA

Berita Harian Online | Pegawai kastam dipenjara 5 tahun, denda RM2,000 kerana menyamun:

'via Blog this'

Pirana serang pelancong di Brazil

BRASILIA: Sekumpulan ikan pirana menyerang pelancong yang mandi di sungai selatan Brazil dan mengakibatkan 20 daripada mereka cedera akibat digigit di tangan dan kaki.
Laman web berita, G1 yang memetik pasukan penyelamat, berkata serangan luar biasa itu berlaku apabila sekumpulan spesis pirana, Palometas mengejutkan ratusan pengunjung yang sedang bersantai di pantai Toropi, iaitu terletak di daerah Rio Grande do Sul.
Katanya, 20 mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kaki dirawat di tempat kejadian. - AFP

Berita Harian Online | Pirana serang pelancong di Brazil:

'via Blog this'

Putera Monaco bergaduh, dimasukkan ke hospital

NEW YORK: Cucu mendiang Puteri Grace dari Monaco dimasukkan ke hospital selepas insiden pergaduhan di sebuah kelab malam di Bandaraya New York.
Putera Pierre Casiraghi mengalami luka di bahagian mukanya ketika pergaduhan itu. Bekas pemilik kelab malam berkenaan, Adam Hock, didakwa atas tuduhan menyerang putera monaco dan tiga rakannya di kelab malam Double Seven, Manhattan
Peguam yang mewakili putera berusia 24 tahun itu, Richard Golub berkata, Casiraghi dirawat di hospital dan dibenarkan pulang selepas pertelingkahan yang lewat Sabtu lalu.
Beliau berkata, pihak Casiraghi melakukan apa-apa atau bertindak susulan serangan itu.

Sementara itu, Hock berkata, putera Monaco bersama rombongan bertindak kurang sopan dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap wanita bersamanya. - AP

Berita Harian Online | Putera Monaco bergaduh, dimasukkan ke hospital:

'via Blog this'

Keluarga banduan terbunuh serbu rumah mayat Honduras

TEGUCIGALPA (Honduras): Orang ramai yang mempunyai kaitan dengan banduan yang meninggal dunia akibat terbakar atau lemas di penjara Honduras berpusu-pusu ke rumah mayat Tegucigalpa bagi membawa pulang mayat ahli keluarga mereka.
Jurucakap pendakwaraya, Melvin Duarte, berkata wanita dan beberapa kaum lelaki berpusu-pusu di rumah mayat, memecahkan peti simpanan mayat dan membuka sekurang-kurangnya enam beg mayat.
Beliau berkata, polis menggunakan gas pemedih mata bagi meleraikan mereka yang berada di rumah mayat Tegucigalpa.
Dalam kemalangan di penjara Honduras di bandar Comayagua minggu lalu, 359 banduan terbunuh daripada 852 banduan yang ditempatkan di penjara berkenaan. - AP


Berita Harian Online | Keluarga banduan terbunuh serbu rumah mayat Honduras:

'via Blog this'

Militan Filipina terbabit pancung kepala askar ditangkap

MANILA: Pihak berkuasa Filipina berkata polis menahan seorang ahli kumpulan militan Abu Sayyaf yang terbabit dalam pelbagai siri kekejaman termasuk memancung kepala askar marin dan melakukan serangan sehingga menyebabkan kematian.
Ketua Majlis Anti-keganasan Filipina, Paquito Ochoa Jr, berkata pasukan polis menahan Abdulpattah Ismael awal pagi tadi di tempat persembunyiannya di bandar Isabela berdekatan Pulau Basilan, selatan Filipina.
Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Ismael, yang menggunakan nama pemberontak Patah Hamjak.
Ochoa berkata, antara jenayah yang dilakukan Abdulpattah adalah memancung 10 anggota marin di bandar Al-Barka, Pulau Basilan pada 2007 dan serangan pada 2009 yang menyebabkan 31 pemberontak melarikan diri dari penjara.

Kumpulan Abu Sayyaf disenaraikan antara organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat. - AP

Berita Harian Online | Militan Filipina terbabit pancung kepala askar ditangkap:

'via Blog this'

Warga emas maut ditetak anak lelaki

SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat ditetak di kepala oleh anak lelakinya yang berang selepas gagal mendapatkan wang daripada mangsa dalam kejadian di Kampung Padang Buloh, Sidam Kiri, di sini, pagi tadi.
Mayat Ain'shon Abdul Rahman, 67, ditemui kira-kira jam 9.30 pagi di bahagian dapur rumahnya oleh penjual ikan yang menemui mangsa terbaring berlumuran darah di dalam rumah terbabit.
Suspek berusia 24 tahun yang dipercayai penagih dadah itu dikatakan berang selepas gagal mendapatkan wang daripada ibunya sehingga bertindak kejam dengan menetak wanita itu menggunakan parang sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas polis kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. Berita Harian Online | Warga emas maut ditetak anak lelaki:

'via Blog this'

Sungai dicemari sisa kilang

sungai tercemar
Mohd Adlan Jasin

LAKAI - Penduduk Kampung Lakai berkemungkinan hilang sumber pendapatan apabila Sungai Marong di kampung berkenaan ­dicemari sisa pembuangan dari sebuah kilang kelapa ­sawit berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lakai, Mohd Adlan Jasin ­berkata, kilang memproses kelapa sawit itu terletak di Felda Pasoh 1.

Menurutnya, kedudukan kilang terbabit yang terletak di bahagian hulu menyebabkan segala sisa buangannya mengalir ke sungai berkenaan yang terletak di bahagian hilir.

“Saya menyedari perkara ini pada 16 Februari lalu ­apabila mendapati kawasan permukaan sungai hitam dan berkeladak.

“Ini merupakan kejadian ketiga. Kali pertama ia berlaku pada Jun 2011 dan kedua pada Oktober 2011,” katanya.

Mohd Adlan berkata, air sungai menjadi hitam gara-gara sisa kilang yang dibuang ke sungai ini.

“Malah, ikan di sungai juga mati dan terapung di permukaan.

“Sungai ini menjadi sumber pendapatan penduduk kampung yang menjual ikan sungai, malah aktiviti memancing dan menjaring turut ­terjejas akibat pencemaran ini,” katanya.

Katanya, pihaknya juga sudah melaporkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak pasti bentuk tindakan yang akan diambil oleh kedua-dua jabatan berkenan dan cuma berharap ­masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Penduduk di sini bimbang jika keadaan berterusan, Sungai Marong mungkin ­tidak akan memberi sumber makanan lagi,” katanya.


Sungai dicemari sisa kilang - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wang BR1M kena kebas

rompak

KUALA KETIL- Seorang penduduk tidak sempat menggunakan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diterimanya setelah rumahnya dimasuki perompak kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Razali Sailan, 56, dari Lot 7 Kampung Baru, Batu Lima, Kuala Ketil berkata kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 melibatkan wang BR1M, barang kemas, telefon bimbit dan komputer riba.

Razali berkata, seramai empat perompak bertopeng memasuki rumahnya menerusi tingkap belakang yang dikopak.

“Ketika itu, saya dan anak sedang tidur sebelum dikejutkan oleh perompak tersebut yang bersenjatakan parang. Mereka bertindak mengikat saya dan anak-anak menggunakan kain perca sebelum menempatkan kami diruang tamu.

“Salah seorang perompak tersebut mengawasi kami dan tiga lagi menggeledah setiap bilik,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perompak terbabit tidak agresif malah menasihatkan kami agar tidak risau kerana mereka hanya mencuri barangan kecil.

“Selain itu, perompak terbabit sempat menjamah beberapa kepingan biskut malah turut melarikan sebungkus roti yang baru dibeli,” katanya ketika ditemui, semalam.

Razali berkata, dia bersyukur kerana dia dan keluarganya tidak diapa-apakan oleh keempat-empat perompak terbabit.

“Namun, saya dan keluarga tetap trauma dengan kejadian tersebut. Sebelum ini, memang terdapat kes pecah rumah di kampung ini. Namun, saya tidak menyangka, rumah saya pula menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan menarima laporan kejadian tersebut dan siasatan akan dilakukan.


Wang BR1M kena kebas - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nyaris rentung kena renjatan


SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
21 Februari 2012
nyaris rentung

GEORGETOWN - Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) nyaris rentung apabila terbakar dan melecur di seluruh bahagian badannya selepas pencawang utama TNB di Jalan Kangsar dekat sini meletup secara tiba-tiba.

Dalam kejadian pada jam 7.30 malam itu, Zaini Ismail, 35, dikatakan sedang membaiki kerosakan aliran bekalan elektrik pada pencawang itu dengan diawasi lima pekerja TNB sebelum kejadian.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba salah satu peralatan di pencawang itu meletup dan mengeluarkan api sebelum menyambar mangsa.

Akibat letupan terbabit, beberapa premis di kawasan itu terputus bekalan elektrik.

Pegawai Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Samsudin Ahmad berkata, mangsa mengalami kecederaan parah berikutan hampir 80 peratus badannya melecur.

Samsudin berkata, pihaknya terpaksa menggunakan jaket khas bagi membalut badan mangsa sebelum di kejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

“Ketika terkena renjatan elektrik itu, mangsa masih dalam keadaan sedar malah kakitangan TNB yang berada di situ membantu memadamkan api menggunakan pemadam api yang disediakan di dalam pencawang itu sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian.

“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 7.53 malam dan tiba selepas tiga minit kemudian bersama sebuah jentera dan enam anggota.

“Kita menerima panggilan mengatakan berlaku satu letupan di pencawang TNB di sini menyebabkan seorang mangsa cedera parah,” katanya.

Samsudin berkata, Jabatan Penyiasat Forensik Kebakaran akan menjalankan siasatan.

Difahamkan mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.Nyaris rentung kena renjatan - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bapa dakwa pusat perubatan cuai



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Februari 2012
cuai

GERIK – Kecuaian kakitangan sebuah pusat perubatan di sini, didakwa menjadi punca kematian seorang remaja, Athirah Mohd Mansyur, 13, yang sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 21 Januari lalu.

Bapa Athirah, Mohd Mansyur Ruhi, 44, berkata, keadaan anaknya amat membimbangkan ketika dimasukkan ke pusat perubatan itu.

Menurutnya, Athirah mengadu mengalami sakit kepala yang teruk dan muntah-muntah, menyebabkan dia meminta pihak berkenaan menjalankan pemeriksaan rapi terhadap anaknya.

“Pihak berkenaan memaklumkan anak saya hanya mengalami kecederaan ringan sahaja selepas membuat imbasan x-ray tetapi perlu ditahan di wad buat sementara waktu.

“Keesokan paginya, doktor memberitahu keadaan Athirah tidak serius dan tidak perlu dirujuk ke Hospital Taiping kerana tidak semestinya kemalangan itu menyebabkan dia cedera parah di bahagian dalaman kepala,” katanya ketika di di Balai Polis Gerik, Rabu lalu.

Menurut Mohd Mansyur, Dua hari selepas itu, anaknya dibawa ke Hospital Taiping bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, (HRPB) Ipoh kerana keadaannya tenat.

Mohd Mansyur, anaknya disahkan telah meninggal dunia oleh doktor di hospital tersebut.

“Saya kesal kenapa pihak berkenaan tidak mewadkan anak saya di hospital Taiping atau Ipoh, sebaliknya bila keadaan kritikal barulah berbuat demikian.

“Selain itu, Athirah juga tidak diberi makan sepanjang dirawat dengan alasan perlu berpuasa,” katanya.

Mohd Mansyur menyatakan, dia tidak kecewa jika pihak berkenaan mengambil berat keadaan anaknya dan bertindak segera walaupun Athirah meninggal dunia.

Katanya, anaknya mungkin boleh diselamatkan jika pihak berkenaan mengambil berat keadaan Athirah yang mengalami kecederaan dalaman di kepala.

“Saya terkilan di atas sikap kakitangan berkenaan dan berharap perkara yang sama tidak akan berulang kepada orang lain,” katanya.

Sebelum ini, Athirah terbabit dalam kemalangan ketika membonceng motosikal yang ditunggang abangnya, MOhd Afiq semasa dalamperjalanan pulang ke rumah dari SMK Bersia.

Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah Toyota Hilux menyebabkan Athirah tercampak di atas jalan berhampiran lampu isyarat di persimpangan Felda Bersia dan Kampung Bandariang.

Athirah mengalami luka di bahagian kepala, manakala abangnya cedera di muka.

Sementara itu maklum balas daripada pihak berkenaan akan disiarkan esok.

Bapa dakwa pusat perubatan cuai - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

GRO warga asing kena cekup dalam serbuan

SEREMBAN – Usaha lima pelayan pelanggan (GRO) warga asing melarikan diri daripada dicekup polis dalam serbuan di sebuah premis hiburan dekat Kemayan Square, di sini, awal pagi semalam tidak berhasil.

Kesemua mereka dicekup dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kesemua mereka yang berasal dari Vietnam dan China itu disyaki menyalah gunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar mereka dengan bekerja sebagai GRO.

“Ketika serbuan, masing-masing yang berusia 22 hingga 35 tahun cuba melarikan diri kerana menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, tindakan cekap anggota terlibat, kesemua daripada mereka berjaya ditahan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Hamdan berkata, selepas diperiksa, tiga wanita daripada Vietnam dikesan menyalah gunakan pas lawatan sosial dan dua daripada China menyalah gunakan pas pelajar.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai penjaga premis turut ditahan.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk disoal siasat sebelum tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, manakala wanita warga Vietnam disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6, akta sama.
GRO warga asing kena cekup dalam serbuan - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hujan lebat luar biasa

adun manjoi
sungai sampah
MANJOI - “Habis rumah pusaka peninggalan keluarga dimasuki air Sungai Pari yang terletak berhampiran dengan rumah kami.

“Sebelum ini, pernah juga kejadian banjir ini berlaku namun ia tidaklah seburuk yang berlaku pada hari ini (semalam),” luah Habsah Shariff, 56, salah seorang mangsa banjir yang tinggal di Jalan Raja, Kampung Manjoi.

Beliau yang tinggal bersama suami dan dua anak itu menyedari air semakin naik sehingga ke paras lutut pada jam 8 pagi.

“Kira-kira jam 3 pagi, hujan lebat melanda kawasan ini namun tidak menyangka air naik dengan cepat sehingga turut menjejaskan rumah lain yang terletak berhampiran.

“Boleh dikatakan semua barangan di rumah ini tidak dapat diselamatkan akibat banjir kilat itu,” katanya.

Pasangan suami isteri, Mohd Daud Abas, 61, dan Zaleha Mat Lin, 50, berkata mereka menyedari paras air mula naik selepas solat Subuh.

Mohd Daud yang juga orang kurang upaya (OKU) mendakwa mereka sekeluarga tidak mendengar siren amaran yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Lazimnya, setiap kali paras aircapai tahap bahaya siren amaran pasti berbunyi namun pagi ini ia gagal berfungsi,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih 500 penduduk di sekitar Gugusan Manjoi, Buntong, Silibin dan Batu Gajah terpaksa dipindahkan akibat hujan lebat yang berterusan bermula awal pagi semalam.

Difahamkan, paras air turut naik antara 0.5 hingga satu meter dalam kejadian itu.

Antara kawasan yang teruk terjejas termasuklah Kampung Manjoi Lama, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Taman Muhibbah, Taman Lim, Kampung Sungai Pari dan Kampung Sungai Terap, dekat Batu Gajah.

Bagi penduduk di Gugusan Manjoi semua mangsa yang terlibat ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Orang Ramai Manjoi dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kampung Tengku Hussein.

Dalam perkembangan sama, jambatan konkrit di Taman Wing Onn juga runtuh dan beberapa buah sekolah turut ditutup termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri dan SK Seri Mutiara.

SK dan SMK Tarcisian Convent serta SMK Dr Megat Khas turut dinaiki air namun keadaannya tidak serius dan persekolahan dijalankan seperti biasa.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut kelihatan sibuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah sarap yang tersangkut di jambatan Jalan Raja untuk memudahkan aliran air Sungai Pari bergerak lancar.


Terburuk dalam tempoh 10 tahun

Adun Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang melawat kawasan tersebut memberitahu kejadian banjir kilat itu adalah yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, sebelum ini pernah juga berlaku bencana sedemikian namun keadaannya tidak membimbangkan.

“Hujan lebat luar biasa yang bermula sejak 2 pagi tadi (semalam) adalah di antara punca berlakunya banjir kilat itu.

“Keadaan itu menyebabkan takungan air sungai tidak dapat menampung lebihan air sehingga mengakibatkan ia melimpah ke kawasan kampung berhampiran.

“Justeru, satu jawatankuasa tindakan banjir daerah kecil Ipoh ditubuhkan bagi mengawasi bencana tersebut yang membabitkan beberapa agensi termasuklah MBI, JPS dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Menurutnya, melalui laporan awal yang diterima daripada Jabatan Meteorologi banjir itu ditanda sebagai kawasan jingga yang bermaksud kawasan berkenaan mempunyai risiko untuk dilanda banjir semula.

“Oleh itu, secara keseluruhannya kawasan tersebut masih belum selamat untuk diduduki kerana hujan dijangka akan berlaku pada sebelah petang dan mereka diminta untuk lebih berwaspada,” katanya.

Nadzri berkata, sebelum ini, pihaknya pernah menawarkan penduduk yang terdedah dengan risiko banjir untuk pindah ke kawasan lebih selamat namun ada dalam kalangan mereka yang mempunyai alasan tersendiri untuk terus tinggal di kampung tersebut.

“Mungkin mereka mempunyai nostalgia tersendiri dan sayang untuk meninggalkan kampung itu.

“Bagaimanapun, kami akan cuba berbincang dengan keluarga yang berisiko tinggi untuk berdepan dengan banjir supaya mereka ditempatkan di kawasan lebih selamat,” katanya.

Beliau turut mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir tersebut.
Hujan lebat luar biasa - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Warung musnah, kereta rosak

Warung musnah, kereta rosak - Selangor & KL - Sinar Harian:

warung+kereta musnah
warung musnah

KUALA LUMPUR - Rutin perniagaan sebuah gerai yang beroperasi di hadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini bertukar tragedi apabila warung berkenaan musnah dalam kebakaran­, semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu turut mengakibatkan kerosakan dua kenderaan yang diletakkan berhampiran.

Barangan perniagaan juga musnah apabila tidak sempat diselamatkan disebabkan api marak dengan cepat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Zahari Mohd berkata, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Jinjang dan Gombak Selatan dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 9.38 pagi.

“Hanya sebuah gerai yang didirikan sementara terlibat, daripada siasatan awal, kebakaran itu berpunca daripada aktiviti memasak yang dilakukan dan kebocoran gas yang berlaku menyebabkan api marak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, disebabkan kejadian itu juga, kenderaan yang diletakkan berhampiran turut terbakar.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


'via Blog this'

Gadai nyawa selamat anak saudara

myMetro | Gadai nyawa selamat anak saudara: SERI ISKANDAR: Keberanian seorang gadis menggadai nyawa bagi menyelamatkan empat anak saudaranya yang hampir lemas, berakhir dengan tragedi apabila dia tenggelam selepas berjaya menolak mangsa ke tebing lombong tinggal di Lake Ville, Bandar Universiti di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Nurul Hasmak Amir Hamzah, 22, lemas selepas terjun ke dalam lombong bagi menyelamatkan anak saudaranya dan mayatnya ditemui di dasar lombong kira-kira jam 11 malam hari sama selepas hampir lima jam usaha mencari dilakukan.


Difahamkan ketika kejadian, empat anak saudara mangsa berusia antara lima hingga 12 tahun keluar bermain di kawasan lombong berkenaan sebelum mereka didapati terkapai lemas.

Shahrul Fahizan Husain, 38, berkata dia terdengar jeritan kanak-kanak lalu bergegas ke tempat kejadian dan dua kanak-kanak berada di atas tebing manakala dua lagi berada dalam air di tebing lombong.


Menurutnya, dia yang membantu menarik dua mangsa itu ke tebing terkejut apabila mereka memberitahu ibu saudara mereka lemas di lombong itu.


“Saya segera menghubungi polis dan memanggil jiran di kawasan perumahan berdekatan untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Iskandar, Zaiful Efendi Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.54 petang, dan menghantar 10 anggota anggota termasuk beberapa anggota unit skuba.


'via Blog this'

Sindiket tipu along

myMetro | Sindiket tipu along: BUKIT MERTAJAM: Bermodalkan sehelai kertas bersaiz A4, satu sindiket pemalsuan lesen pemberi pinjam wang mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000.

Sindiket itu menghasil serta menjual lesen palsu terbabit yang sepatutnya dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan dijual kepada pemberi pinjaman wang haram atau along bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap kegiatan itu.

Ia dipercayai dijadikan dokumen penting kepada along mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kumpulan sindiket itu dikesan aktif sejak 2007 di sekitar Seberang Perai, di sini.


Difahamkan, ketua kumpulan sindiket itu menghasilkan format lesen pemberi pinjam wang menggunakan perisian komputer bagi mengeluarkan dokumen palsu terbabit yang dijual pada harga antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi tempoh sah dua tahun.


'via Blog this'