Search This Blog

Monday, February 20, 2012

Anak tiri jadi ‘isteri kedua’

KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi sebuah kumpulan berkonsep hip hop popular tanah air ditahan polis selepas didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun di rumahnya di Gombak Jaya, dekat sini, semalam.

Penyanyi berusia 37 tahun yang juga pernah berlakon filem itu ditahan selepas anak tirinya membuat laporan di Balai Polis Gombak, di sini, jam 11 malam, kelmarin.

Menurut sumber, dalam laporannya, mangsa mendakwa dinodai bapa tirinya itu sejak berusia tujuh tahun dan kejadian terbaru berlaku pada 9 Februari lalu.

“Berikutan laporan itu, polis melakukan siasatan sebelum menahan penyanyi terbabit di rumahnya di Gombak Jaya jam 2 pagi tadi (semalam),” katanya, semalam.


Sumber itu berkata, remaja perempuan terbabit mendakwa dia nekad membuat laporan polis kerana tidak tahan dijadikan hamba seks bapa tirinya sejak tujuh tahun lalu selain bimbang keselamatan adik perempuannya yang lain.


myMetro | Anak tiri jadi ‘isteri kedua’:

'via Blog this'

Cecair maut dari tingkap


TERBAKAR...tilam rosak teruk terkena asid.
TERBAKAR...tilam rosak teruk terkena asid.


MARANG: “Saya terjaga daripada tidur sebaik mendengar rakan menjerit kepanasan dan meminta tolong. Tanpa sedari saya sendiri turut menjadi mangsa apabila rakan lain memberitahu muka saya kemerahan dan mula menggelupas,” kata Shahrul Zaman Salim, 38, seorang daripada dua mangsa simbah cecair dipercayai asid dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Padang, Merchang, di sini, semalam.
Foto
SHAHRUL...tak sedar diri turut kena
Foto
MOHD FAZIL...parah terkena simbahan asid
Pada mulanya, dia menyangka hanya rakannya, Mohd Fazil Hanapi Idrus, 18, saja yang terkena simbahan cecair itu.
“Bagaimanapun, sebaik rakan membuka lampu, barulah saya terasa pedih di muka dan lengan. Lebih mengejutkan, tilam kami berdua tidur turut rosak disebabkan terkena cecair itu,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.10 pagi itu, kedua-dua mangsa yang sedang tidur di rumah berkenaan disimbah dari arah tingkap yang tidak ditutup berhampiran tempat mereka tidur.

Shahrul Zaman yang juga nelayan berkata, dia terkejut sebaik mendengar teriakan Mohd Fazil yang menggelupur sambil memegang muka dan badan yang kemerahan.


myMetro | Cecair maut dari tingkap:

'via Blog this'

Peniaga rugi RM80,000 disamun 4 lelaki bersenjata

KUALA TERENGGANU: Empat sekeluarga mengalami detik-detik cemas apabila empat lelaki bersenjatakan alat pemotong, parang dan kayu memecah masuk dan menyamun rumah mereka di Kampung Gemuruh, Tepoh, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa, Ali Omar, 60, dan keluarganya sedang nyenyak tidur sebelum rumah mereka diceroboh menjenayah yang melarikan barangan berharga kira-kira RM80,000 termasuk tunai RM50,000 yang baru dikeluarkan dari bank untuk membayar pinjaman.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata, empat lelaki bertopeng yang memecah masuk rumah pemilik kedai runcit dan kafe siber itu dipercayai warga Indonesia daripada dialek percakapan mereka.

Katanya suspek bertopeng yang bersenjatakan parang dan kayu yang diambil dari rumah itu masuk melalui pintu belakang berdasarkan kesan umpilan pada pintu berkenaan.


"Suspek bertindak mengikat pasangan suami isteri itu serta dua anak lelaki yang berusia 34 dan 17 tahun menggunakan dawai dan tali nylon," katanya kepada pemberita di sini.


Pihak polis kini sedang giat memburu keempat-empat suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang anak mangsa, Zuraidah Ali, 34 berkata suspek menggeledah rumah berkenaan dan menemui wang RM50,000 yang disimpan di dalam satu bekas plastik di dalam laci meja solek di tingkat dua rumah berkenaan.

Katanya, wang tersebut baru dikeluarkan oleh ayahnya sebelum kejadian untuk membayar pinjaman termasuk sewa komputer di kafe sibernya.

"Penyamun turut melarikan barang kemas emak saya termasuk subang emas yang dipakainya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kira-kira sejam selepas kejadian, ibu, ayah dan adiknya berjaya melepaskan ikatan sebelum meminta pertolongan jiran.

Katanya, akibat kejadian, ayahnya mengalami luka-luka kecil di pergelangan tangan kiri akibat ikatan tersebut manakala anggota keluarga lain tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama


myMetro | Peniaga rugi RM80,000 disamun 4 lelaki bersenjata:

'via Blog this'

Tukang rumah didenda RM2,000 gigit telinga polis

KUALA TERENGGANU: Gara-gara menggigit telinga anggota polis ketika cuba melarikan diri dari tahanan, seorang tukang rumah hari ini dikenakan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mohd Shukri Muda, 34, dari Gong Pak Jin, Batu Rakit, di sini didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Konstable Amran Yahya, 23, bagi menakutkan penjawat awam itu daripada menjalankan kewajipannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada jam 8.25 malam, 12 Februari lalu bertempat di Balai Polis Gong Badak, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.


Mohd Shukri yang memakai baju lokap polis dan berjalan terhencut-hencut akibat terkena tembakan di kaki yang dilepaskan anggota berkenaan untuk mempertahankan diri, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.


Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor V Ravi. - Bernama


myMetro | Tukang rumah didenda RM2,000 gigit telinga polis:

'via Blog this'

Anjing baham tangan mayat

Penagih maut hidu gam berlebihan di lorong belakang stesen minyak
GEORGETOWN: Polis menemui tangan kanan milik seorang penagih dadah yang dipercayai mati akibat menghidu gam secara berlebihan selepas digigit anjing sehingga putus di sebuah lorong belakang sebuah stesen minyak di Bayan Lepas di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata pihaknya dimaklumkan orang awam yang menemui tangan kanan S Shankar, 30, dari Bayan Lepas, dalam kejadian jam 10 pagi itu.
“Pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit, membawa kepada penemuan mayat Shankar yang sudah busuk dan reput yang dipercayai mati sejak beberapa hari lalu serta botol gam yang berada berhampirannya.

“Mangsa adalah penagih dadah dan dipercayai mati akibat menghidu gam berlebihan. Mayatnya dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat,” katanya.

Fah Hin berkata, bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia lebih tujuh hari lalu akibat menghidu bahan itu secara berlebihan.

“Siasatan yang dilakukan pada mayat mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan sama ada dipukul atau dibunuh melainkan kesan gigitan anjing pada tangan kanannya. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Berita Harian Online | Anjing baham tangan mayat:

'via Blog this'

Penjara Filipina dihujani peluru, 3 terbunuh

MANILA - Puluhan lelaki bersenjatakan grenad dan bom menyerang penjara selatan Filipina dalam cubaan membebaskan rakan mereka yang ditahan, tetapi dihalang polis sehingga mencetuskan pertempuran dan meragut tiga nyawa, kelmarin.

Menurut pegawai, seramai 13 orang cedera dalam serangan itu melibatkan orang awam yang terperangkap dalam pertempuran di luar dewan bandar raya Kidapawan, utara Cotabato dan di sepanjang jalan komersial utama.

Pegawai polis dan ketenteraan menyalahkan bekas anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), tetapi jurucakap bagi kumpulan pemberontak Islam menafikan tuduhan itu.

Kejadian yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang termasuk pemandu palang merah yang membawa orang awam ke hospital berlaku apabila tiga penyerang membaling bom tangan ke dalam pintu pagar penjara sehingga mencetuskan tembak-menembak dengan pegawal penjara sebelum dibantu sekumpulan polis.


Penjara Filipina dihujani peluru, 3 terbunuh - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Banjir kilat, 500 penduduk Gugusan Manjoi dipindah

IPOH - Seramai 500 penduduk di Gugusan Manjoi terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara di sini berikutan banjir yang berpunca akibat hujan lebat luar biasa awal pagi tadi.


Paras air Sungai Pari mula naik sejak jam 2 pagi, menyebabkan jambatan di Taman Wing Onn runtuh akibat dilanda arus deras. Dalam pada itu, laporan Bernama menyebutkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang meninjau kawasan terjejas di Kampung Manjoi di sini, pagi tadi, berkata kejadian banjir itu dianggap luar biasa berbanding sebelum ini.

Beliau meminta Majlis Keselamatan Negeri dan agensi kerajaan lain menyalurkan segala bentuk bantuan dengan segera terutama keperluan harian dan
makanan kepada kesemua mangsa banjir.

"Pihak yang bertanggungjawab juga perlu mengambil langkah segera bagi menghubungkan kawasan ini termasuk jalan raya di kampung-kampung yang rosak," katanya kerajaan negeri akan menyumbang sejumlah peruntukan kepada semua mangsa banjir bagi mengurangkan beban terutama untuk membaik pulih kediaman mereka.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Nazri Ismail berkata menerusi laporan Jabatan Meteorologi, banjir tersebut ditandakan sebagai kawasan Jingga iaitu keadaan yang masih berisiko dilanda banjir semula.

Seorang penduduk di Kampung Manjoi, Che Akhirson Abd Ulrassar, 55, berkata beliau menyedari kejadian itu berlaku apabila seorang penduduk menjerit dengan memberitahu banjir berlaku.

"Pukul enam pagi saya lihat rumah saya dinaiki air sehingga ke paras lutut. Perabot di rumah saya rosak termasuk dua ekor kucing saya mati," katanya ketika ditemui.

Suri rumah Habsah Sharif, 56, berkata kejadian banjir yang berlaku pada hari ini merupakan kejadian yang paling buruk berlaku berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini kalau hujan memang air naik tapi tak seteruk hari ini. Habis barang-barang saya tak dapat diselamatkan," katanya yang tinggal bersama suami serta dua orang anaknya.


Banjir kilat, 500 penduduk Gugusan Manjoi dipindah - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

GRO warga asing kena cekup dalam serbuan

SEREMBAN – Usaha lima pelayan pelanggan (GRO) warga asing melarikan diri daripada dicekup polis dalam serbuan di sebuah premis hiburan dekat Kemayan Square, di sini, awal pagi semalam tidak berhasil.

Kesemua mereka dicekup dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kesemua mereka yang berasal dari Vietnam dan China itu disyaki menyalah gunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar mereka dengan bekerja sebagai GRO.

“Ketika serbuan, masing-masing yang berusia 22 hingga 35 tahun cuba melarikan diri kerana menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, tindakan cekap anggota terlibat, kesemua daripada mereka berjaya ditahan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Hamdan berkata, selepas diperiksa, tiga wanita daripada Vietnam dikesan menyalah gunakan pas lawatan sosial dan dua daripada China menyalah gunakan pas pelajar.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai penjaga premis turut ditahan.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk disoal siasat sebelum tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, manakala wanita warga Vietnam disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6, akta sama.


GRO warga asing kena cekup dalam serbuan - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Motosikal hilang setiap hari

Motosikal hilang setiap hari
KULIM - Kes curi motosikal dilaporkan semakin meningkat di Kulim dan sehingga kini polis sedang menjejaki individu serta kumpulan yang terlibat dengan jenayah terbabit.

Dari tinjauan dibuat motosikal jenis Honda Ex5 dilaporkan hilang setiap hari dan kawasan di mana ia sering menjadi tumpuan adalah di sekitar kawasan pasar malam, tempat letak motosikal di pasaraya.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, beliau tidak menolak jumlah kehilangan motosikal meningkat berpunca dari permintaan barang alat ganti motosikal yang mahal dipasaran.

Dengan adanya alat ganti dari motosikal curi, mekanik yang menjalankan kegiatan bengkel haram dapat mengurangkan kos baik pulih.

“Mereka akan menjual motosikal dengan harga di antara RM200 hingga RM250 seunit.

“Polis telah mengenal pasti kumpulan terlibat dan pemantauan sedang dijalankan. Tidak sukar untuk polis menjejaki dalang yang melakukan jenayah ini kerana sehingga hari ini polis masih menerima maklumat dari orang awam,” katanya.

Ghuzlan menasihatkan kepada pemilik motosikal supaya jangan meletakkan motosikal mereka ditempat gelap dan jauh dari penglihatan. Pastikan motosikal sentiasa selamat dan dikunci dengan kunci pendua.

Bagaimanapun beliau meminta kerjasama semua pihak supaya melaporkan sebarang jenayah yang berlaku di sekitar dengan segera kepada polis.

Motosikal hilang setiap hari - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lebih 20 rumah rosak dilanda ribut

KANGAR - Lebih 20 buah rumah dan gerai makanan di kawasan Sena, Bintong dan Tambuan Tulang di Perlis mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang semalam.


Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika hujan lebat namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih menjalankan bancian kerosakan.

Seorang jurucakap JKM Perlis berkata, sehingga kini jabatan itu merekodkan lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung dan nilai kerugian belum diketahui.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sena, Abdul Jamil Saad berkata lebih lapan buah rumah dan gerai rosak dalam kawasan Sena.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan Perlis berkata kejadian berlaku begitu pantas.- Bernama


Lebih 20 rumah rosak dilanda ribut - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mak Nyah Lorong Kunyit belum serik

Mak Nyah Lorong Kunyit belum serik
KUANTAN- Lorong Kunyit. Itu gelaran diberi penduduk di bandar ini berikutan kegiatan ‘mak nyah’ yang menjadikan ia port menjalankan aktiviti mencari pelanggan yang bernafsu songsang.

Kelmarin, ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi yang menyaksikan dua mak nyah diserang dan dibelasah de­ngan rantai besi oleh enam lelaki di Wisma Belia, Jalan Haji Abdul Aziz,Rabu lalu, aktiviti mereka masih berjalan seperti biasa.

Ini menunjukkan mereka tidak gentar untuk mencari rezeki walaupun ada rakan cedera diserang ganas. Dalam tinjauan yang dilakukan, penulis bersama seorang rakan mendapati, tiga mak nyah bersidai di kaki lima di lokasi tersebut mencari pelanggan.

Malah lokasi tersebut mula sesak dengan kehadiran kereta dan motosikal yang mungkin ingin mencari dan menjamu mata melihat aksi mereka. Dengan penampilan seksi dan menggoda, pakaian yang singkat dan mengghairahkan, bermekap cukup umpama wanita cantik, mereka tidak segan silu menghampiri kenderaan kereta ataupun motosikal yang berhenti.

Ada yang jelita dan lebih cantik daripada wanita sejati menyebabkan lelaki terpedaya dan terkulai di tangan mereka, namun ada juga masih terlihat aura lelaki di sebalik penampilan glamor ditunjukkan.

Kira-kira jam 12.30 malam, penulis bersama rakan terpaksa menyembunyikan diri di dalam kereta dari jauh untuk merakam gambar meeka ketika berurusan bersama pelanggan.

Setengah jam menunggu, penantian kami berbaloi, apabila sebuah kenderaan berhenti dan sepantas kilat, seorang mak nyah menghampiri. Namun hanya lima minit, kenderaan terbabit beredar.

Sangkaan kami mungkin harga yang dikenakan tidak memuaskan hati pemandu ataupun sekadar mengusik mak nyah terbabit. Lorong tersebut sebenarnya menjadi bualan dan antara destinasi wajib buat penghuni bandar Kuantan ataupun dari luar yang menge­tahui aktiviti mereka. Ia sekadar untuk ’suka-suka’ selepas puas berhibur dan berjalan bersama rakan di bandar Kuantan.

Lorong itu pasti dilalui untuk melihat sendiri aktiviti dan wajah mak nyah di depan mata secara realiti. Malah rakan penulis turut memberanikan diri untuk memberhentikan kenderaannya di hadapan mak nyah terbabit. Ketika ditanya, mak nyah terbabit memberikan nama Mimi (bukan nama sebenar) dan tersenyum manis cuba menggoda rakan penulis.

Bersuara lembut dengan sepasang blaus hitam, Mimi menunjukkan reaksi sedia dilanggan. Ditanya berapa harga yang ditetapkan, Mimi memberitahu RM50 dan sanggup mengikut rakan penulis ke lokasi yang diinginkan. Namun selepas berbasa-basi dan terlihat kelibat penulis dalam kenderaan itu, mak nyah tersebut terus menjauh­kan diri.

Mungkin mak nyah tidak menyukai wanita sejati seperti penulis. Selepas satu jam menghabiskan masa di lokasi tersebut, kami beredar dan akan menyambung tinjauan di lokasi tersebut di siang hari.

Kalau malamnya ia umpama syurga pemuas nafsu buat penggemar dan pelaku songsang, siang pula berubah wajah, menjadi pusat aktiviti perniagaan dan ekonomi de­ngan deretan premis dan bank yang memberikan khidmat buat penduduk Kuantan.
Ketika tinjauan Sinar Harian, ia langsung tidak menunjukkan ia menjadi port maksiat popular di bandar itu, seperti seolah-olah ia tidak berlaku kerana kesibukan warga Kuantan dengan urusan masing-masing.

Namun apabila ditanya pada peniaga berhubung aktiviti negatif itu, mereka sukar memberikan kerjasama mungkin gusar dengan keselamatan mereka memandang­kan mak nyah terbabit juga ada yang tinggal berhampiran di lokasi tersebut.

Penulis dimaklumkan golongan itu berkumpul di lokasi terbabit setiap hari dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi, kecuali malam Jumaat.
Penulis turut meninjau lorong di mana dua mak nyah diserang baru-baru ini.

Sunyi dan memudahkan mereka yang melakukan perbuatan itu melarikan diri. Sebelum ini, dua mangsa yang dikenali dengan nama Rozita dan Shasha diserang dengan besi, topi keledar dan rantai besi berikat mangga oleh enam lelaki bermotosikal kira kira jam 3.30 pagi Rabu lalu menyebabkan cedera di kepala, badan dan lengan.

Mereka menggelar lelaki-lelaki terbabit sebagai Geng Anti Mak Nyah dan mendakwa, sejak enam bulan lalu, 12 kali kejadian sama membabitkan 10 mangsa sudah terjadi dan dipercayai geng terbabit bertindak kira-kira jam 1 hingga 5 pagi, namun tidak mencuri atau mengambil barang mangsa.

Mak Nyah Lorong Kunyit belum serik - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mangsa mungkin kenal suspek

Mangsa mungkin kenal suspek
SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kedai aksesori kereta di Taman Cindai di sini ditemui mati dalam bilik air oleh pemilik kedai berkenaan jam 10 pagi semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, Raja Dzulhairi Raja Ali, 19, juga dikatakan mempunyai talian persaudaraan dengan pemilik kedai itu.

Beliau berkata, pada jam 8.30 malam kelmarin, kedai ditutup seperti biasa dan hanya tinggal seorang pekerja di dalam kedai iaitu Raja Dzulhairi.

Menurutnya, ketika pemilik kedai datang semula jam 10 pagi semalam mendapati kedainya masih belum dibuka seperti biasa.

“Dia kemudian memanggil mangsa namun tidak berjawab sebelum menyedari pintu kedainya bertutup namun tidak berkunci. Setelah membuat pemeriksaan mendapati pintu bilik air berkunci dari dalam,” katanya kepada media semalam.

Mohd Zakaria berkata, pemilik kedai itu kemudian memecahkan pintu bilik air dan mendapati mayat mangsa berada di dalamnya. Menurutnya, motosikal dan komputer riba milik mangsa dipercayai hilang dan beberapa aksesori kereta yang berada dalam kedai juga dilarikan suspek.

“Bagaimanapun, tiada kesan pecah masuk dan suspek dipercayai kenalan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk bedah siasat. Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Baki Kemat, 43, berkata, jenazah akan dibawa pulang ke pangkuan keluarga di Felda Palong 8, Negeri Sembilan untuk dikebumi.
Mangsa mungkin kenal suspek - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sorok minyak masak bersubsidi

Sorok minyak masak bersubsidi
KRUBONG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas sejumlah 6.4 tan metrik minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM16,000, petang kelmarin.

Serbuan dilakukan kira-kira 5 petang di sebuah premis niaga di Telok Mas, sekali gus menyelamatkan nilai subsidi kerajaan sebanyak RM8,960. Pengarahnya, Muhabir Ibrahim berkata, rampasan membabitkan 80 karton minyak masa setiap satu seberat sekilogram serta 252 karton setiap satu seberat lima kilogram yang di premis tidak berlesen itu.

“Kita percaya penyimpa­-nan tanpa kelulusan ini adalah untuk tujuan penyelewengan. Penyimpanan dilakukan secara terangan tetapi kita dapat kesan selepas mengadakan operasi atas maklumat orang ramai.

“Stor tidak dilesenkan untuk menyimpan barangan bersubsidi seperti ini sepatutnya memerlukan kebenaran atau lesen,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muhabir berkata, berikutan penemuan itu, dua kakitangan syarikat pembungkusan minyak berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 atau maksimum tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi pengguna dan peruncit menghadapi masalah bekalan minyak masak boleh menyalurkan maklumat di talian 06-2345822 / 06-2345869 atau 1800-886-800 untuk tindakan segera.

Difahamkan, terdapat tujuh syarikat pembungkusan minyak masak dengan kuota subsidi 1,740 tan metrik serta lima syarikat pemborong dengan 2,925 tan metrik setiap bulan di negeri ini.

Bagaimanapun, Melaka tidak menghadapi ketirisan beka­lan minyak masak setakat ini.
Sorok minyak masak bersubsidi - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki Myanmar dipenjara kerana rogol budak 12 tahun

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar hari ini dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan di rumah sewanya di Taman Wilayah Selayang dekat sini, minggu lepas.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid turut memerintahkan tertuduh, Mohd Shukur Zawkareya dihantar ke negara asalnya selepas tamat menjalani hukuman itu.

Mohd Shukur, 28, didakwa terhadap empat pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun di dalam sebuah bilik di alamat 7-2-1, Jalan 20/20A, Taman Wilayah Selayang, Sentul antara pukul 11.30 malam hingga 3.30 petang, pada 3 Februari hingga 6 Februari lepas, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, yang bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang, turut dituduh tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah, mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Mohd Shukur, yang masih bujang, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat pertanyaan Balai Polis Jinjang, Sentul pada pukul 9 malam, 6 Februari lepas. Bagi keempat-empat kesalahan rogol itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara enam tahun hingga sembilan tahun, manakala bagi pertuduhan kelima (tiada pasport) tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu serentak, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Februari lepas.

Terdahulu, Mohd Shukur, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga yang tinggal di kampung halaman di Myanmar.

"Saya juga kenal mangsa dan kami suka sama suka," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ain - Nur Amiyerra Awod Abdullah memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kepentingan awam perlu didahulukan berbanding kepentingan peribadi.

"Fakta bahawa mangsa dan tertuduh suka sama suka bukan fakta yang patut dipertimbangkan oleh mahkamah kerana ia melibatkan mangsa bawah umur. Jadi, hukuman berat perlu diberikan supaya ia bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat," katanya. - Bernama


Lelaki Myanmar dipenjara kerana rogol budak 12 tahun - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat wanita ditemui di lombong

IPOH - Seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya di sebuah lombong tinggal di Taman Lake View, Seri Iskandar, Tronoh petang semalam ditemui mati lemas malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohd Fakri Che Mat berkata mayat Nurul Hasmah Amir, 22, dari Bandar Universiti, Seri Iskandar ditemui pada pukul 11 malam tadi oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat, katanya ketika di hubungi hari ini.
Fakri berkata mangsa dikatakan pergi ke lombong yang terletak berhampiran rumahnya bersama empat anak saudaranya.
Mangsa dipercayai tenggelam ketika cuba membantu salah seorang anak saudaranya yang lemas ketika mandi di lombong itu, katanya.

Beliau berkata anak saudara mangsa yang berusia 12 tahun itu berjaya diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian.
Pasukan bomba dan penyelamat yang digegaskan ke tempat kejadian selepas menerima laporan berjaya menemui mayat mangsa di dasar lombong itu. - Bernama

Mayat wanita ditemui di lombong - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

RM100,000 disamun dua lelaki berpistol

RM100,000 disamun dua lelaki berpistol
SUBANG JAYA – “Beberapa minit selepas penyamun melarikan diri baru saya tahu premis terbabit benar-benar dirompak dan bukannya main-main seperti dakwaan tukang cuci pusat beli-belah sebelum itu,” kata Muhammad, saksi kejadian samun premis pengurup wang berlesen di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery, pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, dua lelaki bersenjatakan pistol membawa lari pelbagai mata wang asing bernilai hampir RM100,000.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira lima minit selepas pekerja premis memulakan operasi di tingkat bawah pusat beli-belah itu.

Muhammad berkata, sebelum itu dia menerima maklumat daripada dua pekerja penyelenggara bangunan yang menyatakan premis itu dirompak.

“Saya kemudian mendekati ruang kedai untuk melihat apa yang berlaku tetapi dimaklumkan tiada apa-apa yang berlaku oleh salah seorang tukang cuci yang berada berhampiran lokasi. Mendengar penjelasan itu, saya kemudian berpatah balik dan meneruskan tugas di kedai milik majikan seperti biasa.

“Hanya beberapa minit selepas melihat dua lelaki bertopeng keluar, saya terkejut apabila melihat pekerja premis keluar dari kedai dengan keadaan tangan dan kaki terikat manakala mulut disumbat dengan kertas,” katanya.

Muhammad berkata, dia dan beberapa pekerja penyelenggara yang berada di tempat kejadian kemudian terus memaklumkan kejadian kepada pengawal keselamatan pusat beli-belah sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian berlaku sebaik pekerja premis selesai memindahkan wang dari peti besi ke mesin juruwang.

“Dua suspek masing-masing memakai topi besbol dan topi keledar cuba memasuki premis melalui pintu terletak di bahagian tepi. Oleh kerana pintu jeriji besi berkunci, salah seorang suspek mengacukan sepucuk pistol dibaluti plastik ke arah penjaga kedai dan mengarah mangsa membuka pintu.

“Bimbang perkara buruk berlaku mangsa kemudian membuka pintu, suspek terus meluru ke mesin juruwang dan memindahkan wang ke dalam beg dibawanya. Seorang lagi rakannya bertindak mengikat tangan dan kaki mangsa,” katanya pekerja lelaki berusia 31 tahun sudah bekerja hampir tiga tahun di premis itu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dan seorang lagi rakan mereka yang menunggu di dalam kereta menutup muka dengan topeng jerebu.

“Tiada pelanggan ketika kejadian dan tiada kecederaan serius kepada pekerja cuma dia ditampar sekali ketika suspek mengarahkannya supaya tidak membuat bising,” katanya.
RM100,000 disamun dua lelaki berpistol - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Parah dihentak meja kaca

Parah dihentak meja kaca
KEPONG – Seorang warga Nigeria hampir pecah kepala selepas dihentak dengan meja kaca oleh teman wanitanya dalam satu pertelingkahan yang berlaku di rumah sewa mereka di Apartmen Desa 1, malam kelmarin.

Menurut jirannya, pasangan warga asing itu dikatakan mula bertikam lidah di dalam rumah sejak tiga hari lalu sebelum ia menjadi serius jam 9 malam kelmarin.

“Kami (jiran) sering mendengar mereka bergaduh, tetapi semalam saya terdengar bunyi seperti orang menjerit, bila keluar saya dapat lihat lelaki warga Nigeria itu sudah berlumuran darah melarikan diri keluar dari rumah, manakala teman perempuan mereka berada di dalam rumah memegang objek seperti tukul besi,” katanya.

Menurutnya, lelaki Nigeria yang tidak berbaju itu kemudiannya melarikan diri ke arah lif sebelum menghilangkan diri.

Polis yang tiba selepas menerima aduan mengetuk pintu rumah pasangan kekasih namun tidak berjawab menyebabkan mangga pintu terpaksa dipecah.

Pemeriksaan polis di dalam rumah tidak menemui sesiapa, cuma yang ada hanyalah kesan darah di atas lantai.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menjejak warga Nigeria yang cedera itu berhasil selepas mangsa pulang ke rumah semula ke rumah jam 12 malam.

Mangsa dikenali sebagai Victor, 28, memberitahu dia bergaduh disebabkan cemburu buta teman wanitanya yang merupakan warga Thailand.

“Saya jumpa kawan baik (wanita) di restoran, tiba-tiba kekasih saya itu muncul dan dia marah-marah sejak beberapa hari lalu dan hari ini dia hentak meja kaca atas kepala,” katanya.

Mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan polis malah turut mengaku bahawa dia adalah pelajar sebuah kolej di ibu negara dan tinggal menyewa di situ sejak lapan bulan lalu.
Parah dihentak meja kaca - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pengusaha kebun sayur maut akibat lemas

GUA MUSANG - Seorang pengusaha kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing, dekat sini, ditemui mati lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihanyutkan arus Sungai Belatop, petang semalam.

Mayat Lai Set Koy, 59, ditemui sepasukan penyelamat yang melancarkan gerakan mencarinya terapung di sungai itu kira-kira jam 1 petang dekat Kampung Brooke Lama iaitu sejauh sembilan kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 petang kelmarin ketika mangsa yang berasal dari Kampung Raja, Cameron Highlands mengharungi sungai berkenaan yang dalam perjalanan keluar dari kebunnya.

Beliau berkata, dalam perjalanan itu mangsa yang tidak menyedari arus sungai deras terus mengharunginya menyebabkan kenderaan ­dihanyutkan arus sejauh hampir satu kilometer sebelum Koy dipercayai tercampak keluar.

Katanya, memang kebiasaan sungai itu airnya cetek pada musim kemarau dan mudah bagi pengusaha sayur di kawasan Tanah Tinggi Lojing itu mengharungi sungai dengan ­kenderaan sepanjang hari.

“Kita yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin terus bergegas ke tempat kejadian dan hanya ketika itu ternampak bumbung kenderaan ­berada di tengah sungai.

“Semasa kejadian hujan lebat menyebabkan air sungai naik mendadak dan arusnya deras menyebabkan mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan tersebut terus hilang dihanyutkan arus,” katanya.

Saiful Bahri berkata, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bersama polis dan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari mulai jam 9.30 pagi semalam.

Beliau berkata, ketika melakukan pemeriksaan awal dalam kenderaan yang masih tenggelam dalam sungai itu belum menemui mangsa dan ­dipercayai tercampak keluar semasa dibawa arus deras.

“Berikutan itu, pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari ­sepanjang sungai tersebut sebelum ditemui terapung tersekat pada batu di tepi sungai sama dekat Kampung Brooke Lama,” katanya.

Mayat mangsa yang ditemui ­dalam keadaan cedera parah di ­kepala dipercayai terhantuk dengan batu ­ketika dihanyutkan arus sungai tersebut dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.


Pengusaha kebun sayur maut akibat lemas - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki ditahan positif dadah

Lelaki ditahan positif dadah
KUALA LUMPUR - Empat lelaki berusia 20 hingga 30-an ditahan dipercayai positif dadah jenis ganja dan heroin dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Batu Sembilan, Cheras, kelmarin.

Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Asisten Superintendan Hambazi Abdul Rahman berkata, mereka ditahan turut tidak mempunyai lesen memandu.

Menurutnya, mereka ditahan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah dan jika bersalah akan dihantar ke pusat pemulihan.

“Operasi kali ini tumpu kepada penunggang motosikal bagi mencegah kemalangan melibatkan penung­gang motosikal,” katanya di Tol Batu Sembilan, Cheras, kelmarin.

Operasi disertai 26 anggota Jabatan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Jabatan Trafik dari Kajang, Jabatan Narkotik dari Kajang, Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurutnya, 250 motosikal dan 70 kereta diperiksa dan 97 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Hambazi berkata, empat kompaun dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar ke atas kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Jalan Gereja, Dataran Merdeka, 185 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur.
Lelaki ditahan positif dadah - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gaduh penjara Mexico, 44 banduan maut

Mexico
MEXICO - Sekurang-kurangnya 44 banduan terbunuh dalam pergaduhan antara kumpulan di sebuah penjara di bandar perindustrian di Utara Mexico.
Pergaduhan yang tercetus pada jam 2 pagi (4 petang waktu Malaysia) itu dipercayai didalangi dua kumpulan banduan yang terlibat dalam kegiatan dadah.
Jurucakap Agensi Keselamatan Awam Negeri Nuevo Leon, Jorge Domene Zambrano berkata, pergaduhan tercetus apabila kumpulan Gulf dan Zetas berebut untuk menguasai penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat.
Keadaan penjara telah dapat dikawal sepenuhnya pada jam 6 pagi (8 malam waktu Malaysia) dan siasatan awal mula dijalankan.
Dalam pada itu, siasatan awal menunjukkan kemungkinan pintu penjara yang memisahkan dua sayap bangunan penjara telah dibuka oleh pengawal penjara.
Sementara itu, Pengarah Penjara Gilberto Cesena mengesahkan 44 banduan yang mati dalam pergaduhan itu adalah mereka yang menghuni bangunan penjara sayap D.
"Ada mangsa yang dicekik, ditikam dan dipukul sehingga menyebabkan kematian. Buat masa ini, kami tidak dapat memastikan bilangan yang tercedera," katanya Cesena.
Menurutnya, kejadian ini bukan sesuatu yang baru kerana pergaduhan sehingga menyebabkan kematian biasa berlaku di penjara di negara itu.
Gaduh penjara Mexico, 44 banduan maut - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nahas bas berasingan ragut 28 nyawa di China

Nahas bas berasingan ragut 28 nyawa di China
BEIJING - Sekurang-kuranya 28 terbunuh dan ramai cedera selepas terlibat dalam tiga nahas bas berasingan di selatan China dalam tempoh sehari, semalam.
Dalam kejadian pertama, sebuah bas terbalik di sebatang jalan pergunungan di wilayah Yunnan dan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan penumpang terbunuh dan 24 yang lain cedera.

Kejadian kedua berlaku berhampiran wilayah Guizhou menyebabkan bas yang membawa 37 penumpang dari bandar Chuxiong ke bandar pelancongan Dali hilang kawalan berikutan salah satu tayar pengangkutan itu meletup dan mengorbankan 13 penumpang serta 22 yang lain cedera.

Nahas ketiga di selatan Guangxi menyebabkan enam penumpang terbunuh apabila bas yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah trak.

Menurut statistik polis, kira-kira 70,000 orang terbunuh dan 300,000 yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya setiap tahun di China.

Nahas bas berasingan ragut 28 nyawa di China - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bekas suami naik angin

Bekas suami naik angin
HULU SELANGOR – “Saya me­ngalami pendarahan dan bengkak dalam telinga serta cedera di kepala akibat dihentak kerusi,” kata peniaga kedai alat tulis, G Jayanti, 34, ketika menceritakan detik dia diserang bekas suami di kedainya di Jalan Orkid 2B di sini, petang kelmarin.

Jayanti berkata, ketika kejadian pada jam 5.10 petang itu, dia ditemani dua anaknya, R Priya, 8, dan R Pharni, 5, serta terdapat pelanggan dalam kedainya sebelum didatangi bekas suaminya yang dikenali sebagai Silvam, 44, dalam keadaan marah.

Menurutnya, bekas suaminya datang menaiki kereta Kelisa untuk menuntut penjagaan anak dan mengajaknya kembali ke pangkuannya.

“Saya terkejut kerana dia datang dalam keadaan marah-marah meminta supaya saya kembali kepadanya dan mahu mengusahakan kedai milik suami kedua saya bersama-samanya.

“Tetapi, keengganan saya membuat dia naik angin dan bertindak memukul saya dengan kerusi plastik, menendang, menyepak dan memaki hamun saya di depan anak-anak dan pelanggan,” katanya.

Jayanti berkata, dia cuba melawan, tetapi tidak tahan dipukul malah bekas suami yang berpisah dengannya sejak lebih 10 tahun lalu itu cuba merampas rantai dan subang emas dipakainya.

Jayanti yang dalam kesakitan terpaksa akur dan menyerahkan barang kemasnya sebelum lelaki itu beredar.

Bagaimanapun, selang beberapa minit dia dihubungi bekas suaminya dan mengugut bertindak sekali lagi jika permintaannya tidak dituruti.
Bimbang ugutan itu, Jayanti membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa lewat petang hari kejadian.

Jayanti berkata, itu kali kedua dia diserang dan kali pertama setelah lapan tahun bercerai. Menurutnya, suaminya telah memberi amaran dan mereka tidak diganggu sekian lama sebelum sekali lagi kembali kelmarin.

Jayanti berkata, dia masih trauma dan terpaksa menutup perniagaannya semalam untuk berehat.
Bekas suami naik angin - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Balas dendam isteri curang

Tangkap
BATU PAHAT – Seorang lelaki yang kecewa terhadap kecurangan isterinya mengambil keputusan membalas dendam dengan memadu asmara bersama perempuan lain di sebuah rumah kedai usang di sini.
Bagaimanapun nasib lelaki itu yang merupakan warga Indonesia malang apabila perbuatannya berjaya dihidu penduduk kampung lalu dicekup oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Daerah Batu Pahat kira-kira jam 1 pagi semalam.
Timbalan Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan terbabit sanggup menjadikan sebuah rumah kedai yang telah terbiar dan berbau busuk di Sri Gading untuk memuaskan nafsu mereka.
“Ketika diserbu, rumah kedai berkenaan berada dalam keadaan gelap sebelum beberapa anggota penguat kuasa bertindak mengepungnya.
“Tiba-tiba seorang lelaki meluru keluar menerusi pintu belakang. Bagaimanapun tindakan nekadnya gagal kerana diberkas anggota yang berkawal di pintu belakang rumah kedai itu,” katanya.
Saiful Ariffin berkata, pemeriksaan penguatkuasanya kemudian mendapati ada tangga yang menghubungkan ruang unit bilik atas rumah kedai itu sebelum menemui pasangan lelaki terbabit bersembunyi sebalik pintu.
“Pasangan berusia 42 dan 45 tahun masing-masing berasal dari Jawa Timur, Indonesia dan lelaki terbabit sudah tiga tahun menetap selain bekerja sebagai buruh binaan di sini.
“Difahamkan lelaki terbabit mengakui mempunyai isteri di negara asalnya malah memiliki seorang anak berusia 14 tahun. Bagaimanapun selepas mengetahui kecurangan isterinya, dia bertindak 'membalas dendam' dengan mengadakan hubungan dengan perempuan lain,” katanya.
Menurut Saiful Ariffin, berdasarkan siasatan, kedua-duanya gagal membuktikan mereka pasangan suami isteri yang sah.
Pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.
“Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan, bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Balas dendam isteri curang - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'